Sahabat Sejati

Wednesday 30 September 2015

EBIP ke 14, meh pakat datang!

2013.. 

 “Banyak mana habis beli buku?” Razip bertanya. 

“Entahlah, rasanya dalam dua, tiga ratus juga,” saya menjawab. Kami berdua sedang memasukkan buku-buku yang di beli ke dalam but kereta. 

“Huii, banyak tu. Kalau tak ditegur tadi rasanya mau satu PWTC kamu punggah.” Jawab Razip sambil tersenyum. 

“Eh, kamu pun apa kurangnya. Tengok tu sampai tak cukup tangan nak bawa.” Saya menjawab memulangkan paku buah keras kepadanya. Kami sama-sama ketawa. Fadhli di belakang saya turut tersenyum. Kata-kata saya tempias juga kepadanya. Di kedua-dua belah tangannya terjinjing beg plastik yang dipenuhi buku. 

“Patutnya pesta buku macam ni kena buat juga di Kuantan. Taklah susah-susah nak datang. Nasib baik ada program di sini bolehlah juga singgah.” Saya menyuarakan isi hati seraya menghidupkan enjin kereta. 

“Ya, betul.” Serentak Razip dan Fadhli menganggukkan kepala, bersetuju dengan apa yang saya luahkan. 

Kami bertiga memang ‘hantu’ buku. Rezeki tahun ini, apabila program kami di Kuala Lumpur bertepatan dengan tarikh KLIBF. Apalagi, usai program pada hari terakhir, kami tidak sabar-sabar menuju ke PWTC. 

Teruja! Biarpun dua kali tersesat jalan dalam episod mencari lokasi bangunan PWTC, tempat berlangsungnya pesta buku tersebut. Terasa ingin ‘memunggah’ buku di setiap booth yang ada, kerana semuanya menarik hati. Tetapi sedar dan masih berpijak di bumi yang nyata bahawa isi poket yang tidak berapa ‘tebal’, maka terpaksa memilih buku yang sesuai, iaitu membeli buku-buku yang tiada atau sukar didapati di Kuantan. 

Walaupun dalam beringat, beratus juga helaian ringgit yang dikeluarkan.  Tidak mengapa, biarpun melangkah keluar daripada bangunan PWTC dengan poket yang faqir, tetapi hati yang berbunga kepuasan.

Itulah penangan Kuala Lumpur International Book Fair 2013 yang lalu. 

Ekspo Buku Islam Pahang ke-14 


Alhamdulillah, Ekspo Buku Islam Pahang (EBIP) kembali lagi. Sekarang sedang berlangsung untuk kali yang ke-14, bertempat di Atrium 1 & 2, Kuantan Parade. Ekspo yang bermula pada 26 September 2015 dan akan berakhir pada 4 Oktober 2015, menyajikan pelbagai aktiviti yang menarik. Selain koleksi jualan buku Melayu, Inggeris dan Arab, turut dimeriahkan dengan ceramah & diskusi buku, ramah mesra bersama ilmuan & selebriti Islam, pertandingan azan dan iqamat Bilal Junior, seminar & forum dan banyak lagi. 

Seingat saya, EBIP sudah 4 kali diadakan termasuk yang ke 3, 9 dan 12 di lokasi yang sama. Biarpun tidak sebesar dan se'gah' KLIBF, namun ia tidaklah menghampakan.    

Melihat jumlah pengunjung yang hadir saya rumuskan bahawa ia satu petanda yang cukup baik. Kesediaan masyarakat kita untuk membaca dan melabur duit membeli buku, sedangkan dalam masa yang sama bahan bacaan amat mudah didapati dengan banyaknya di era penulisan terbuka di internet. Maka besarlah peranan dan tanggungjawab penulis dan penerbit buku untuk menghasilkan karya yang sebaik mungkin. 

Mudah-mudahan Ekspo Buku Islam ini menjadi medium penyebaran ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada seluruh masyarakat di Malaysia. 

Ayuh ke EBIP hari ini!

Sunday 27 September 2015

Sirah haji Rasulullah saw (3)

Sambungan daripada artikel: Sirah haji Rasulullah saw (2)

Kemudian diazankan, diiqamah dan ditunaikan sembahyang Zohor. Selepas itu diiqamah dan ditunaikan sembahyang Asar dan tidak dilakukan sembahyang pun di antara keduanya. Kemudian Rasulullah saw menunggang sehingga sampai ke tempat wuquf dan meletakkan perut untanya al-Qaswa` (mendudukkannya) di batu-batu kecil dan meletakkan simpulan tali di hadapannya. Baginda menghadap kiblat. Baginda terus wuquf sehingga matahari terbenam dan bulatan warna kekuningan di ufuk menghilangkan diri.

Rasulullah saw menunggangkan Usamah di belakang. Baginda menolak tunggangannya (menyuruhnya bangun) sedangkan al-Qaswa` berasa sempit haluannya sehinggakan kepalanya menyentuh tempat meletakkan kaki penunggang(1). Baginda berkata sambil mengisyaratkan tangan kanannya: "Wahai manusia bertenanglah, bertenanglah". Setiap kali ada tunggangan yang ingin bangkit, diberikan sedikit laluan agar ia dapat bangun.

Baginda mula bergerak sehingga sampai di Muzdalifah. Di sana, Baginda bersembahyang Maghrib dan Isyak dengan satu azan dua iqamah (Jama` Takhir), tiada tasbih di antara keduanya. Kemudian Rasulullah berbaring hingga terbit fajar. Baginda bersembahyang Subuh apabila masuk waktu Subuh dengan satu azan dan iqamah. Kemudian Baginda menunggang al-Qaswa` hingga sampai di Masy`ar al-Haram. Baginda menghadap kiblat sambil berdoa, bertakbir, bertahlil dan mentauhidkan Allah. Baginda terus berada di situ sehingga hari betul-betul terang (tetapi sebelum matahari terbit). 

Kemudian Baginda bertolak sebelum matahari terbit. Al-Fadhlu bin Abbas menunggang (membonceng) bersama baginda. Beliau adalah lelaki yang cantik rambutnya, berkulit putih dan segak. Ketika Baginda bertolak, lalu di hadapannya unta yang ditunggang oleh wanita (Zho`inah)(2), lalu al-Fadhlu melihat kepada mereka. Lantas Rasulullah saw meletakkan tangannya pada muka al-Fadhlu. Beliau mengalihkan mukanya ke bahagian lain untuk melihat wanita tersebut, lantas Rasulullah saw mengalihkan tangannya di wajah al-Fadhlu untuk menutup pandangannya daripada melihat wanita tersebut.

Mereka meneruskan perjalanan sehingga ke lembah Muhassir. Kemudian Baginda bergerak sedikit lalu melalui jalan tengah dan keluar di Jamrah al-Kubra. Sehingga apabila sampai di Jamrah yang terletak berdekatan dengan pokok, Baginda melontar 7 biji batu. Baginda bertakbir setiap kali lontaran dilakukan. Batu itu sebesar batu kecil dan dilontarkan dari tengah wadi (lembah). Kemudian pergi ke tempat sembelihan dan menyembelih sendiri 63 ekor sembelihan(3). Kemudian Baginda menyerahkan kepada Ali untuk menyembelih bakinya dan berkongsi dengannya dalam sembelihan itu. Kemudian Baginda mengambil beberapa ketul daging daripada setiap unta itu lalu dimasak. Baginda memakan dagingnya dan menghirup kuahnya. Kemudian Baginda saw melakukan tawaf ifadhah di Baitullah dan sembahyang Zohor di Makkah.

Baginda menemui Bani Abdul Mutholib yang sedang memberikan minuman air zam-zam kepada orang ramai dan berkata: "Ceduklah (timbalah) wahai Bani Abdul Mutholib! Kalaulah bukan disebabkan bimbang kamu dikalahkan oleh ramai(4) manusia, nescaya aku akan menceduknya sendiri." Lalu mereka menceduknya untuk Rasulullah saw dan baginda meminumnya. Wallahu ta`ala a`lam.

Nota kaki:

(1) Dekat leher unta. Penunggang meletakkan kakinya di situ apabila berasa lenguh menunggang unta.

(2) Zho`inah juga dinamakan sebagai Haudaj. 

(3) Ini adalah dalil sunat memperbanyakkan sembelihan korban. Korban Nabi saw ini adalah sebanyak 100 ekor unta.

(4) Maksudnya kalaulah bukan kerana bimbang orang ramai beriktiqad bahawa ia merupakan amalan haji, lalu mereka berebut-rebut menceduknya, yang akan menyebabkan mereka membelakangkan dan menolak khidmat kamu , nescaya aku akan menceduk bersama kamu disebabkan besarnya fadhilat menceduk itu. 

(Sumber: Kitab Fiqh al-Manhaji jilid 1 & 2)

Saturday 26 September 2015

Sirah haji Rasulullah saw (2)

Foto hiasan (sumber)

Sambungan daripada artikel: Sirah haji Rasulullah saw (1)

Ali datang dari Yaman dengan membawa unta Rasulullah saw. Beliau mendapati Fatimah di kalangan mereka yang bertahallul, memakai pakaian yang bercelup (berwarna) dan memakai celak. Maka beliau menegur perbuatannya itu. Fatimah menjawab: "Sesungguhnya bapaku memerintahkanku melakukan ini." 

Dia (Jabir) berkata: Ali pernah bercerita di Iraq: Aku pergi menemui Rasulullah saw untuk menceritakan teguranku terhadap Fatimah disebabkan apa yang dia telah lakukan (bertahallul), di samping untuk meminta fatwa terhadap apa yang berlaku. Aku memberitahu baginda bahawa aku tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Baginda bersabda: "Dia benar, dia benar. Apakah yang kamu katakan sewaktu mula mengerjakan haji?" Katanya: "Saya berkata; Ya Allah! Sesungguhnya aku berniat haji dengan apa yang diniatkan oleh Rasulullah saw." Sabda Baginda: "Sesungguhnya bersamaku ada binatang sembelihan maka janganlah kamu bertahallul."

Jabir menceritakan lagi: Jumlah orang yang mempunyai binatang sembelihan yang dibawa oleh Ali dari Yaman dan juga binatang sembelihan yang dibawa untuk Rasulullah saw ialah 100 ekor. Kata Jabir: Orang ramai semuanya bertahallul dan bercukur kecuali Nabi saw dan mereka yang memiliki binatang sembelihan. Pada hari Tarwiyyah(1) mereka menuju ke Mina dan bertalbiyah dengan talbiyah haji. Rasulullah saw menunggang tunggangannya. Di sana mereka bersembahyang Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kemudian mereka tunggu seketika sehingga terbit matahari. Baginda mengarahkan supaya dibina khemah berbentuk kubah untuknya di Namirah. 

Lalu Rasulullah saw berjalan dan orang-orang Quraisy percaya baginda hanya akan wuquf di al-Masy`aral-Haram(2) sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Quraisy pada zaman jahiliyah. Tetapi Rasulullah saw terus bergerak sehingga sampai di Arafah. Di sana, Baginda mendapati kubah telah dibuat untuknya di Namirah. Baginda saw berada di situ sehingga tergelincir matahari. Baginda meminta supaya al-Qaswa` (unta baginda) dibawa dan dipersiapkan untuk ditunggang. Baginda saw pergi ke tengah-tengah lembah dan berkhutbah kepada orang ramai:

"Sesungguhnya darah-darah dan harta kamu haram(3) ke atas kamu sebagaimana haramnya hari ini, pada bulan ini di negeri ini. Ingatlah semua perkara jahiliyah sekarang berada di bawah kedua-dua tapak kakiku (ditinggalkan dan batil). Pertumpahan darah secara jahiliyah juga adalah batil. Sesungguhnya darah pertama di kalangan kita yang ditumpahkan secara batil ialah darah Ibnu Rabi`ah bin al-Harith yang telah menyusu di Bani Sa`ad dan dibunuh oleh Huzail. Riba jahiliyah juga adalah batil(4). Riba pertama yang aku batilkan ialah riba bapa saudaraku al-Abbas bin al-Mutholib. Sesungguhnya semua itu adalah batil dan tidak boleh diterima. Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka berdasarkan manah Allah. Kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan menggunakan kalimah Allah. Hak kamu yang mesti mereka tunaikan ialah tidak membenarkan tempat tidur kamu dipijak oleh orang yang tidak kamu sukai. Sekiranya mereka melakukannya, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukakan. Hak mereka yang mesti kamu tunaikan ialah memberi rezeki dan pakaian dengan baik. Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sesuatu yang kamu tidak akan sesat selepasku jika berpegang dengannya iaitu Kitab Allah. Kamu semua akan ditanya tentangku, apakah jawapan kamu semua?" Mereka menjawab: "Kami menyaksikan bahawa sesungguhnya kamu telah menyampaikan, melaksanakan dan menasihatkan". Sabda Baginda sambil mengangkat jari telunjuknya kepada manusia dan menggerakkannya: "Ya Allah! Saksikanlah. Ya Allah! Saksikanlah (diulang sebanyak tiga kali)".

Nota kaki:

(1) Hari 8 Zulhijjah. 

(2) Pada zaman Jahiliyah, orang-orang Quraisy wuquf di al-Masy`ar al-Haram iaitu sebuah bukit di al-Muzdalifah yang dipanggil Quzah. Ada pendapat mengatakan bahawa al-Masy`ar al-Haram ialah keseluruhan Muzdalifah. Sedangkan semua orang Arab (selain Quraisy) melepasi sempadan Muzdalifah dan wuquf di Arafah. Dengan itu orang-orang Quraisy menyangka bahawa Rasulullah saw akan wuquf di al-Masy`ar al-Haram dan tidak melepasinya, mengikut adat kebiasaan mereka. Tetapi Rasulullah saw melepasinya hingga ke Arafah sebagai melaksanakan perintah Allah Ta`ala; Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian bertolaklah kamu turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai." (al-Baqarah: 199). Maksud orang ramai ialah semua orang ramai selain Quraisy. Di zaman Jahiliyah, kaum Quraisy wuquf di Muzdalifah kerana Muzdalifah termasuk Tanah Haram. Mereka mengatakan bahawa: "Kami adalah penduduk Tanah Haram dan tidak akan keluar daripadanya."

(3) Maksudnya: Ada kehormatan yang tidak boleh dicerobohi. (Penterjemah)

(4) Dibatal dan ditolak  

(Sumber: Kitab Fiqh al-Manhaji jilid 1 & 2)

Bersambung...  

Friday 25 September 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 41

Salam Jumaat.


Apabila kamu memiliki jiwa yang cantik... kamu akan melihat semua perkara itu cantik.
Apabila kamu memiliki jiwa yang redha... kamu akan redha hatta dengan benda yang sedikit...
Inilah yang dinamakan berpada dengan apa yang ada.

Wednesday 23 September 2015

`Aidul Adha Mubarak 1436H


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Ilham. 

Alunan takbir bergema di udara. Alunan membesarkan Allah SWT yang tiada sebarang sekutu bagi-Nya. Kita meraikan `Aidul Adha yang diberkati, yang berkait dengan pengorbanan Nabi Ibrahim al-Khalil dalam menjalankan perintah Allah SWT dan kesabaran serta kepatuhan Nabi Ismail as. Oleh itu, marilah sama-sama kita meraikannya dengan penuh kesyukuran, kehambaan dan keimanan kepada Allah SWT sebagaimana yang ditunjukkan oleh kedua-dua hamba-Nya yang mulia itu. 

 Allah SWT berfirman: 
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).” (as-Saffat: 102-103) 

Melalui firman Allah dalam surah as-Saffat ini, dapat disimpulkan betapa kepatuhan dua orang hamba pilihan Allah ini yang bukan sekadar untuk mengorbankan harta, malahan nyawa sekali pun.  Demikianlah kepatuhan yang amat besar dan tinggi nilainya, melebihi kemahuan diri sendiri.

Dengan mematuhi syariat Islam, amalan korban bukanlah setakat menyembelih seekor haiwan korban seperti lembu, kambing, biri-biri atau unta tetapi ia turut menyemai semangat pengorbanan dalam jiwa kita untuk mentaati perintah Allah demi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Insya-Allah. 

Di kesempatan ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya `Aidul Adha kepada semua umat Islam, khususnya kepada pengunjung pondok kecil ABUIKHWAN. Sejujurnya, kunjungan dan sokongan sahabat-sahabat sekelian amat-amat saya harapkan dan saya hargai. Tentunya semua itu menjadi pemangkin semangat untuk saya terus mencoret sesuatu di pondok kecil yang seadanya ini. 

Anda semua adalah sahabat terbaik saya!

Sirah haji Rasulullah saw (1)

 Foto hiasan (sumber)

Muslim meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah ra.:

Selama 9 tahun Rasulullah saw tidak menunaikan haji. Selepas itu, pada tahun ke 10 hijrah, diisytiharkan kepada orang ramai bahawa Rasulullah saw akan menunaikan haji. Maka ramai manusia datang berkumpul di Madinah. Mereka ingin menyempurnakannya bersama Rasulullah saw dan melakukannya seperti yang baginda lakukan. Lalu kami keluar bersama Baginda sehingga sampai di Zulhulaifah. Di situ Asma` binti Umais melahirkan Muhammad bin Abu Bakar, lalu beliau menghantar utusan menemui Rasulullah saw bertanya: "Apa yang perlu aku lakukan?" Jawab baginda: "Mandilah, sumbatlah(1) dan ikatlah dengan kain dan berihramlah". Lalu Rasulullah saw sembahyang di masjid dan kemudian menunggag al-Qaswa`(2). Apabila sampai di al-Baida`, saya melihat sejauh mata memandang di hadapan saya terdapat penunggang unta dan pejalan kaki. Di sebelah kanan Baginda pun begitu, begitulah di sebelah kirinya, dan begitu jua di belakangnya. Ketika itu Rasulullah saw berada di tengah-tengah kami dan al-Quran diturunkan kepada Baginda. Dialah yang mengetahui takwilnya. Apa yang Baginda lakukan, kami juga melakukannya, lalu Baginda mengangkat suara bertalbiyah:

 "Ya Allah! Aku datang kepada-Mu, aku datang kepada-Mu dan tiada sekutu bagimu, aku datang kepada-Mu. Sesungguhnya pujian, kenikmatan dam kekuasaan milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu."  

Maka orang ramai pun bertalbiyah dengan talbiyah ini dan Rasulullah saw tidak melarang tindakan mereka. Rasulullah saw sentiasa bertalbiyah. Jabir berkata: "Kami tidak berniat kecuali haji dan kami tidak tahu umrah. Sehinggalah kami sampai ke Baitullah bersama Baginda, Baginda mencium rukun Hajarul Aswad, berlari anak tiga kali dan berjalan aki empat kali (pusingan tawaf), kemudian Baginda pergi ke Maqam Ibrahim dan membacakan:

"Dan jadikanlah Maqam Nabi Ibrahim itu tempat sembahyang." (al-Baqarah: 125)

Kemudian Baginda bersembahyang dengan menjadikan maqam di antaranya dengan Baitullah (maqam berada di tengah). Baginda membaca dalam dua rakaat tersebut surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun. Kemudian Baginda kembali ke rukun Hajarul Aswad lalu menciumnya. Kemudian keluar ke pintu menuju ke Shofa. Apabila hampir ke Shofa, Baginda membaca:

"Sesungguhnya as-Shofa dan al-Marwah itu adalah sebahagian dari syiar agama Allah." (al-Baqarah: 158)

Baginda berkata: "Aku memulakan dengan apa yang dimulakan oleh Allah". Lalu memulakannya dengan Shofa dan memanjatnya sehingga nampak Baitullah lalu menghadap kiblat dan mentauhidkan Allah dan bertakbir. Baginda berkata:

"Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nyalah kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, yang telah membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya, mengalahkan tentera ahzab dengan seorang diri,"

Kemudian Baginda berdoa di antara Shofa dan Marwah. baginda mengucapkan doa tersebut sebanyak tiga kali. Kemudian Baginda turun menuju ke Marwah. Di Marwah, Baginda melakukan apa yang telah dilakukan di Shofa. Sehingga apabila sampai di tengah wadi (lembah), Baginda berlari anak. Apabila kami sampai di lembah, Baginda berjalan sehingga sampai di Marwah. Baginda melakukan di Marwah apa yang dilakukan di atas Shofa, sehingga pada akhir tawafnya di atas Marwah Baginda bersabda:

"Jika aku tahu sejak mula lagi, nescaya aku tidak akan membawa al-hady (binatang yang disembelih oleh orang yang mengerjakan haji), dan aku akan menukarkan hajiku ini kepada umrah. Sesiapa di kalangan kamu yang tidak mempunyai binatang sembelihan, maka dia hendaklah bertahallul dan menjadikannya umrah." Lalu Syuraqah bin Malik bin Ju`syum bangun dan berkata: "Wahai Rasulullah! Apakah untuk tahun ini sahaja ataupun untuk selama-lamanya?" Lalu Nabi saw memasukkan jarinya ke dalam jarinya yang lain, sabdanya: "Umrah masuk ke dalam haji, umrah masuk ke dalam haji. Bahkan ia adalah untuk selama-lamanya."

Nota Kaki

(1) Disumbatkan sesuatu di tengahnya, kemudian diambil kain yang panjang yang diletakkan di tempat darah dan diikatkan kedua belahannya di hadapan dan di belakang untuk mengelakkan darah mengalir.

(2) Nama unta Nabi saw

(Sumber: Kitab Fiqh al-Manhaji Jilid 1 & 2) 

Bersambung...

Tuesday 22 September 2015

Selamat berpuasa sunat hari Arafah

Assalamualaikum warahmatullah.

Jangan lupa sahabat-sahabat untuk berpuasa pada hari Arafah. Mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan ganjaran yang yang sebaiknya. Hari Arafah pada tahun ini jatuh pada hari Rabu 23 September 2015 (09 Zulhijjah 1436H)


Sunday 20 September 2015

Kepada Allah jua kami memohon perlindungan..


Gerun dan menakutkan tetapi sangat menginsafkan. Allah SWT mahu menunjukkan kekuasaan-Nya dengan mendatangkan ribut di luar jangkaan. 

Demikianlah apa yang dapat saya simpulkan berkenaan kejadian yang berlaku di Tanah Haram tempohari.
  
Saya menonton klip video yang dihantar oleh seorang sahabat menerusi aplikasi whatsapp group. Saya melihat angin kencang menerbangkan pasir, meruntuhkan kren dan sebagainya, menjadikan suasana seperti tidak terkawal. Saya sendiri merasa gerun dengan keadaan itu biarpun sekadar menonton, apatah pula jika berada di situasi tersebut. Tentu ia lebih dahsyat dan menakutkan lagi. 

Di dalam FB saya membaca tulisan salah seorang yang berada di sana yang turut sama menghadapi suasana gawat tersebut. Katanya: “Suasana yang kelam-kabut menyebabkan saya rasa seolah-olah sudah kiamat.” 

Allahu Rabbi. Bayangkan baru sedikit Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghantar bala tentera-Nya, menjadikan seperti apa yang telah kita semua ketahui dan lihat. Bagaimana pula sekiranya keadaan sebenar huru-hara kiamat, tentu tidak mampu sekali untuk kita membayangkan kedahsyatannya. Jika gempa bumi berlaku di Jepun, hanya orang di sana yang merasa gegaran tersebut. Tetapi tatkala berlaku kiamat gegarannya meliputi seluruh permukaan bumi. 

Melihat kiamat dari jendela al-Quran 

Di dalam terdapat satu surah yang dinamai khusus dengan nama surah al-Qiyamah. Malahan di dalam al-Quran ada beberapa surah-surah yang menceritakan serba sedikit perihal kiamat. Di antaranya surah al-Haqqah, al-Zalzalah, al-Insyiqaq, al-Infithar dan sebagainya. 

Allah SWT berfirman: “Hai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu; sesungguhnya goncangan hari kiamat adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). Pada hari (ketika) kamu melihat goncangan itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.” (al-Hajj: 1-2) 

Tidakkah menimbulkan kegerunan di hati tatkala mendengar firmah Allah ini. Menerusi ayat 1-2 dari surah al-Hajj ini Allah SWT menceritakan tentang peristiwa besar iaitu kiamat. Allah SWT menyeru kepada semua manusia agar bertaqwa kepada-Nya, diikuti dengan penegasan dengan kalimah: Sesungguhnya (Inna) peristiwa kiamat sangat dahsyat. 

Buya Hamka menyebut di dalam Tafsir al-Azhar: “Demikianlah Allah menggambarkan kedahsyatan pada hari tersebut. Perhatikan bagaimana kasih sayang yang tergambar pada wajah seorang ibu ketika menyusukan bayinya. Seluruh kasih sayangnya tertumpah kepada anak yang sedang disusukan. Begitulah seluruh perasaan setiap ibu di muka bumi ini. Namun tatkala datangnya goncangan kiamat yang dahsyat itu, anak yang sedang enak menyusu boleh sahaja terlepas dari tangannya. Kerana ketakutan menghadapi goncangan hari kiamat tersebut melebihi dari kecintaan kepada anaknya. Begitu juga dengan wanita yang hamil yang gugur kandungannya kerana amat terkejut. Bagaimana tidak terkejut, jika rumah tempat tinggal berantakan runtuh. Pohon-pohon kayu yang besar gagah terhayun-hayun. Termasuk bumi yang memuntahkan isinya. Bagaimana tidak terkejut?” 

Disebabkan gegaran yang sangat dahsyat itu juga, seluruh makhluk yang berada di atas muka bumi bertempiaran ke sana-ke mari. Mereka terhoyong-hayang bagaikan orang mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. Sebaliknya peristiwa yang berlaku dengan gegaran yang kuat dan dahsyat itu amat mengejutkan, laku mereka tidak dapat berfikir dengan sempurna dan kebingungan persis orang yang sedang mabuk. 

Demikianlah gambaran kiamat. Meskipun gambarannya itu tidak mungkin dilihat dengan mata kepala, tetapi melalui firman-firman Allah SWT di dalam kitab-Nya akan membuka mata hati agar beriman kepada hari kiamat dengan sebenar-benarnya. Kepada Allah jua kami memohon perlindungan. 

“Sesungguhnya hari kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (terhadap hari akhirat).” (al-Ghafir: 59) 

##Semoga Allah SWT mengurniakan darjat syuhada kepada semua yang terkorban dalam tragedi kren runtuh di Masjidil Haram tempohari. Aminn

Friday 18 September 2015

Agar ada hati yang dicuit...

"KUANTAN: Lelaki maut terkena tembakan di kepala di depan restoran di Jalan Tun Ismail..."

Apakah ada yang masih terbuai dengan kata-kata lembut memujuk: "Malaysia masih aman."

Bukan mahu berpolitik, tetapi sekadar mahu menjentik. Agar ada hati yang dicuit.

Ya Allah, lindungilah kami semua daripada kejahatan makhluk ketika kami sedar maupun lalai. 

##Al-Fatihah. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosanya dan menempatkan rohnya bersama para solehin

Rehat Minda: Pesan Murabbi 40

Salam Jumaat.


Kadang-kadang kita terpaksa memijak halangan yang cukup memeritkan untuk sampai ke destinasi!

Wednesday 16 September 2015

Benarkah Rasulullah pernah disihir. Bukankah Rasulullah itu maksum yang terpelihara daripada kejahatan manusia dan jin?

Soalan: 

Saya mendengar dakwaan sesetengah pihak, mengatakan Nabi Muhammad saw sendiri pernah disihir, betulkah ini berlaku? Tidakkah Nabi Muhammad maksum yang terpelihara daripada kejahatan manusia, adakah wujud keterangan dalam al-Quran atau as-Sunnah tentang perkara ini?

Jawapan:

Nabi Muhammad saw memang maksum, seperti Firman Allah yang mafhumnya: "Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diperturunkan kepadamu dari Tuhan kamu dan jika tidak kamu kerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah akan memelihara kamu daripada (kejahatan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir." (al-Maaidah: 67).

Perkataan maksum jelas disebut daripada makna perkataan 'ya'tsimuka' (Memelihara kamu). Dalam tafsir yang muktabar, tidak ada orang yang boleh membunuhnya. Ia juga bermakna Nabi Muhammad maksum, dipelihara sehingga tidak berlaku sesuatu kemaksiatan ke atasnya. Nabi tidak melakukan kesalahan yang mendatangkan dosa.

Adapun makna keselamatan umum, seperti Nabi disakiti sehingga pernah luka kaki baginda dibaling batu oleh kanak-kanak upahan di Taif atau terluka (mengalami berbagai kesakitan) dalam Perang Uhud, sakit kepala, demam dan sebagainya pernah berlaku ke atas baginda.

Semua ini bukan bermaksud maksum, yang dipelihara Allah SWT kerana baginda sebagai manusia biasa yang menerima wahyu, baginda juga berlapar, rasa dahaga, sakit dan sebagainya.

Merujuk kepada dakwaan Nabi disihir, jika diteliti huraian di atas, bermakna sihir memang boleh berlaku. Di sebut dalam hadis sahih, Daripada A'ishah r.anha: "Kata A'ishah, telah disihir Rasulullah saw oleh seorang lelaki daripada Bani Zuraiq dikatakan lelaki itu ialah Labid bin al-A'sam al-Yahudi. Rasulullah saw berasa tidak keruan, perkara yang telah dilakukan, baginda merasa ragu sudah dilakukan atau tidak. Nabi bertanya A'ishah, "Wahai A'ishah, apakah kamu tahu bahawa Allah SWT telah melakukan sesuatu ke atas diriku? Nabi menyambung dengan katanya: "ada dua orang laki-laki datang kepada ku ketika aku sedang tidur, maka salah seorang berada disisi kepalaku, seorang lagi berada disisi kakiku, maka seorang daripadanya bertanya kepada kawannya, "apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini?" Maka seorang lagi menjawab, dia telah disihirkan orang. Ditanya lagi, siapakah yang telah mensihirnya? Dijawab lagi, sihirkan oleh Labid bin al-A'sam. Ditanya lagi dengan apakah dilakukan sihir itu? Jawabnya, digunakan sikat rambutnya, dengan satu ikhtiar lain (sihir). Ditanya, di manakah diletakkan barang-barang tersebut? Dijawabnya, ditanam dalam sebuah perigi namanya Perigi Darwan. Maka ditanya lagi, dengan apakah kita akan merawatkan Muhammad ini? Maka dibacakan beberapa ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad saw sedar dari tidurnya maka diberitahu kepada A'ishah: "Bahawasanya, Allah SWT telah menyembuhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis sahih ini sekurang-kurangnya memberikan kefahaman kepada kita bahawa musuh-musuh Islam, terutamanya Yahudi, akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak mereka. Ulama bersepakat bahawa berpandukan kepada hadis sahih ini, memang ada percubaan oleh insan yang kenali melakukan sesuatu yang dipanggil sihir.

Nabi saw memerintahkan sahabat, turun ke dalam perigi mencari barang-barang sihir tersebut, dikeluarkan dan Nabi telah sembuh seperti biasa.

Peristiwa ini tidak boleh disamakan dengan manusia di zaman kita yang terkena sihir sehingga hilang pertimbangan kewarasan, menderita kesakitan memanjang dengan menggangu ibadat, malah menganggu daripada melakukan kerja harian, ini semua tidak menganggu Nabi.

Nabi Muhammad cuma terasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam dirinya. Tiada siapa yang mengetahui, A'ishah pun tidak mengetahui sehingga Nabi memberitahu tentang dua orang lelaki (malaikat) datang untuk mengubat baginda dengan ayat-ayat al-muawwiyat, ayat pelindung penyakit sihir.

Sekaligus, ia merupakan panduan kepada umatnya untuk melindungi diri daripada penyakit.

Seterusnya, jelas bahawa Nabi sendiri pun bila disihirkan orang, baginda sendiri tidak mengetahui, melainkan selepas Jibril a.s memberitahu bahawa baginda telah matbub (disihirkan).

Jika Nabi sendiri tidak mengetahui baginda disihirkan, bagaimana orang yang datang untuk berubat, mengadu kesakitan, tiba-tiba orang yang hendak mengubat tersebut mengatakan 'kamu telah kena sihir?' Datang pesakit lain, kita mengatakan pula, 'kamu telah kena buatan orang.' Ada yang lebih ke hadapan mengatakan, 'kamu telah disihir fulan bin si fulan.'

Bagaimana insan biasa boleh mengetahui sihir yang kena kepada orang lain? Bukan kena kepada dirinya, dengan membuat keputusan orang itu kena sihir, inilah masalah yang kita hadapi.

Tidak sepatutnya berlaku sedemikian kerana hanya Allah SWT sahaja mengetahuinya dan tidak ada orang yang boleh tahu hal sebenarnya.

Pengubatan disyariatkan, tetapi jangan sampai kita mendakwa orang itu kena sihir atau menuduh serta menuding jari kepada orang yang didakwa melakukan sihir.

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Tuesday 15 September 2015

Celoteh malam ini 1 Zulhijjah 1436H

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, kita telah pun memasuki bulan haji. Hari ini tanggal 1 Zulhijjah 1436 hijrah. Dalam bulan ini umat Islam di seluruh dunia akan menyempurnakan ibadat qurban sebagaimana yang telah disyariatkan. Haiwan-haiwan qurban akan disembelih dan dagingnya akan diagih-agihkan kepada setiap penerima. 

Berbicara mengenai qurban, teringat kejadian yang menimpa seorang sahabat kelmarin di India. Kejadian yang tidak disangka-sangka tetapi ada juga lucunya. Sebenarnya sahabat saya itu dan beberapa orang lagi mewakili NGO kami iaitu Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAM Pahang) menguruskan urusan ibadah qurban dan aqiqah di sana. Manakala cawangan negeri lain menguruskan ibadah qurban dan aqiqah di negara lain mengikut pembahagian yang telah dibuat.

Sahabat saya yang 'itu' telah pun pulang ke Malaysia semalam dan sekarang ini berada di hospital. Nantilah saya ceritakan kisahnya dalam entry yang lain. Minggu depan satu lagi kumpulan akan berlepas ke Sri Lanka atas urusan yang sama. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. 

Agak terkejut juga dengan apa yang telah berlaku di Tanah Haram beberapa hari lalu, yang menyebabkan kehilangan nyawa sebahagian besar bakal hujjaj. Sesungguhnya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui segala rahsia. Mudah-mudahan Allah SWT menempatkan roh mereka yang terkorban bersama dengan para syuhada. Kepada keluarga yang ditinggalkan, semoga Allah SWT mengurniakan sekalung ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya, hanya Dia yang menjadi tempat meminta dan bergantung harap.

Allahu al-Musta`an   

Cinta yang sejati - update

Kalimah cinta sering diungkapkan, tetapi adakalanya ungkapan itu tersasar dari makna sebenar. Akibatnya cinta menjadi kotor, jijik dan murahan. Sedangkan jika dilihat dari sudut yang benar cinta itu sifatnya suci, murni dan mahal harganya. 

Fitrah manusia diciptakan dengan rasa cinta. Cinta pada diri sendiri, cinta pada keluarga, cinta pada agama, cinta pada harta, cinta pada tanahair dan 1001 cinta lagi. 

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kecintaan kepada syahwat (apa-apa yang diingini) iaitu wanita dan anak pinak, harta yang banyak dari jenis emas dan perak, kuda peliharaan yang terlatih, dan haiwan-haiwan ternakan serta kebun-kebun tanaman, semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Ali-Imran: 14) 

Menyintai dan dicintai adalah lumrah. Sebagaimana jasad yang memerlukan makanan, begitu juga hati yang memerlukan cinta. Dengan cinta lahirnya kasih sayang, kedamaian dan keamanan. 

Kata hukama`: “Kita dapat mengubati penyakit fizik dengan ubat-ubatan. Tetapi satu-satunya ubat untuk kesepian, keputus asaan dan hilangnya harapan adalah kasih. Banyak di dunia ini yang mati kerana kurang makan, tetapi lebih banyak yang mati kerana haus cinta dan kasih sayang.” 

Cinta yang sejati 

Setiap mukmin dituntut supaya mencintai segala sesuatu di dunia ini selepas daripada mencintai Allah. Mencintai Allah hendaklah mengatasi segala kecintaan, hingga sanggup mengorbankan apa sahaja. Cinta Allah cinta yang paling agung, cinta yang hakiki dan sejati. 

Cinta hakiki ialah cinta yang ditautkan di antara hati dan akal. Tautan yang dapat dirasakan kegadirannya, walaupun tanpa dilihat kerana yang bercantum adalah hati dan disimpul kemas oleh tali Allah. Tidak sekali-kali terlerai oleh badai nafsu dan dunia yang menggoda. 

Bayangkan bagaimana besarnya kebahagiaan dan bertuahnya kita jika terpilih untuk mendapat cinta Allah. Cinta Allah memutikkan kebahagiaan, memudarkan kepahitan. Cinta Allah melahirkan ketenangan, menyingkirkan keresahan. 

“Allah itu indah dan Dia suka pada keindahan”, demikianlah ungkapan tinggi sabda junjungan Rasulullah saw pada menyatakan sifat kesempurnaan Allah SWT, suci dari sifat kekurangan. Fikirkan, indahnya cinta kerana dicipta oleh Allah Yang Maha Indah. 

Setiap perkara itu nampak cantik dan indah apabila ada peraturan. Dimanakah cantiknya permainan bolasepak? Cantiknya permainan itu kerana ada peraturan dan undang-undang. Bayangkan jika permainan bolasepak tiada peraturan, pemain bebas memegang bola, boleh bermain kasar atau pun memukul pemain lain sesuka hati serta pemain boleh membawa bola ke mana sahaja hatta keluar stadium. Tentu lucu bukan? 

Begitulah cinta, Allah mengurniakan rasa cinta dan Dia juga membekalinya dengan peraturan cinta. Dengan peraturan, maka cinta akan menjadi cantik dan indah. Cinta membahagiakan dan mententeramkan jiwa. 

Hukum atau peraturan cinta perlu dipatuhi dan diikuti agar maksud penciptaannya tercapai. Selama mana peraturan ini dijaga selagi itulah cinta akan terpelihara dari kekotoran noda dan dosa. Cinta menjadi penyelamat dan menyelamatkan, bukan merosakkan dan meruntuhkan. 

Contohilah cinta para sahabat kepada Allah dan Rasul-Nya. Bagaimana mereka semua menunjukkan rasa cinta mereka. Walaupun diancam, diugut namun sedikit pun tidak berganjak, kerana cinta telah bersemi kukuh di dalam hati. Nama-nama seperti Abu Bakar As-Siddiq yang sanggup membiarkan tangannya dipatuk ular demi semata-mata untuk melindungi Rasulullah. 

Lihat pula bagaimana Jaafar ibn Abi Thalib yang dicantas kedua tangannya di medan Mu`tah, semata-mata cinta kepada Islam. Kenanglah pula pengorbanan Mus`ab bin Umair yang tega meninggalkan segala kemewahan hidup. Sejarah mencatatkan dia mati dalam keadaan tidak cukup kain kafan, dia yang dulunya sebelum Islam terkenal dengan wanginya athar yang dipakai. Serta ramai lagi para sahabat yang cinta mereka kepada Allah dan Rasul amat mengagumkan. Cinta sepenuh hati. 

Carilah cinta sejati. Berdoalah, semoga akan ketemu akhirnya Maha Suci Allah yang bersifat dengan kemurahan lalu menganugerahkan kasih sayang dan melimpahkan rasa cinta ke dalam hati-hati makhluk-Nya. Tetapi, lahirkah kecintaan kita kepada Allah, disudut manakah Allah kita letakkan dalam hati kita? Ya Allah aku cintakan-Mu, sudikah Kau membalas cintaku?

Friday 11 September 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 39

Salam Jumaat.


"Jika kamu tidak tahu alamat rumah rezekimu...
Sesungguhnya rezekimu mengetahui di mana alamat rumahmu.

Bicara Santai: Seputar malam ini...

Bergegas saya pulang ke rumah usai solat isyak tadi. Terpaksa menolak ajakan beberapa sahabat untuk berborak di anjung surau. Malam ini saya perlu menghadiri satu mesyuarat di surau Taman Idaman Bayu, kira-kira 10 minit dari taman perumahan rumah saya. Tidak sempat menukar pakaian, saya segera menghidupkan enjin kereta. Jika diikutkan hati saya mahu bermotosikal sahaja, tetapi melihat rintik-rintik hujan yang mulai turun berkabus, hasrat tersebut terpaksa saya batalkan. Takkan nak meredah hujan, malam-malam begini. Usia-usia begini mudah sangat dihinggapi demam atau selsema. Nampaknya pergi dengan kereta adalah pilihan yang sesuai. 

Sekarang ini boleh dikatakan hampir setiap malam hujan di tempat saya. Bezanya samada lebat atau tidak. Saya menjangkakan ia adalah permulaan memasuki musim tengkujuh. Teringat pula pengalaman ditimpa musibah banjir dua tahun lalu yang menyebabkan saya sekeluarga terpaksa mengikuti pakej percutian 4 hari 3 malam di dewan orang ramai berhampiran. Namun ia bukanlah sesuatu yang sangat ‘meresahkan’ kerana hikmah dan pengajarannya tetap ada tatkala direnungkan. Apatah lagi sebagai seorang muslim kita diwajibkan beriman dengan qada` dan qadar Yang Esa. Si sisi yang lain, sekurang-kurangnya ia dapat menambah pengalaman dan cerita kehidupan. Mudah-mudahan tahun ini tidak berlaku bah di tempat saya, insya-Allah. 

Kebetulan kuliah maghrib tadi habis lewat, maka solat isyak juga bermula lewat. Itu yang saya agak tergesa-gesa mengejar masa. Walaupun tempat mesyuarat tidak berapa jauh, tetapi melihat jam ditangan, ternyata saya telah terlewat. Kasihan pada sahabat-sahabat yang lain sedang menunggu-nunggu kedatangan saya. Bukannya apa, jika bermula awal, maka habis pun awal juga. Senyum. 

Kuliah maghrib di surau tadi berkisar mengenai pelaksanaan ibadat qurban. Saya rasa sebilangan surau dan masjid lain pun sama, memandangkan tidak lama lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidil Adha. Saya beranggapan memang sepatutnya dibuat ulangkaji serta diperkemaskan mana-mana yang kurang berkaitan ibadat qurban ini. Walaupun setiap tahun tajuk yang sama, namun pengulangan semula amat penting. Maklumlah "Melayu mudah lupa". Jangan marah, saya sekadar meminjam kata-kata keramat salah seorang mantan pemimpin negara satu ketika dahulu. Tersenyum saya mengingatkan kata-kata itu yang akhirnya menjadi viral seketika. Bagi saya, bukan hanya Melayu yang mudah lupa, Cina mudah lupa, India pun mudah lupa, 'omputeh' pun sama. 

Tanpa sedar saya telah pun sampai di perkarangan surau Perumahan Idaman Bayu. Beberapa sahabat sedang menunggu. Alhamdulillah, mesyuarat berjalan dengan lancar. Oh ya, sebenarnya malam ini adalah mesyuarat jawatankuasa hebahan dan promosi untuk program Himpunan Anak Muda Merdeka Negeri Pahang atau ringkasnya HIMMAH. Program julung-julung kali ini akan diadakan di Kompleks al-Makmur, Simpang Kerdau pada 16 September nanti, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia. Bermacam-macam acara yang telah disusun bermula seawal 8 pagi sehingga berakhir jam 12 malam. 

Di antara acara yang ada ialah jamuan rakyat, rawatan kesihatan percuma, persembahan gendang india, tarian singa, seni silat melayu, konsert santai seni Islamik, munajat perdana, pidato dan banyak lagi. Begitu juga dengan gerai pameran dan gerai jualan turut memeriahkan program ini. Sahabat-sahabat sekelian turut diraikan untuk hadir bersama. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan. 

Allahu al-Musta`an.

Wednesday 9 September 2015

Soal Jawab Fiqh Perubatan bersama Big Boh!


Assalamualaikum. Berita baik kepada semua pencinta ilmu khususnya warga Kuantan!

Big Boh kembali lagi. Bersempena dengan Karnival Farmasi Negeri Pahang 2015, satu program majlis ilmu akan diadakan. Program yang dinamai dengan 'Soaljawab Berkenaan Fiqh Perubatan" yang akan menampilkan murabbi sejuta ummah, al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Manakala saudara Muhammad Hafrizan Hazan, seorang ahli farmasi akan bertindak selaku moderator majlis. 

Program menarik ini akan diadakan pada hari Jumaat, 11 September 2015, masa 5.00 petang. Bertempat di Berjaya Megamall, Kuantan iaitu salah sebuah kompleks membeli-belah yang terbesar di bandar Kuantan. 

Diharap dengan kehadiran al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus di Berjaya Megamall ini berjaya menarik minat semua terutama anak-anak muda untuk sama-sama mendengar pengisian ilmu. Amatlah tepat lokasi kuliah ini diadakan, memandangkan Berjaya Megamall Kuantan adalah di antara salah sebuah pusat membeli-belah yang sentiasa menjadi kunjungan massa bersantai.      

Jom, g kuliah!

Tuesday 8 September 2015

Semuanya ada perhitungan...


Di dalam kitab Sahih Muslim, diceritakan mengenai Rasulullah saw pada suatu hari berdiri di hadapan para sahabat, lalu menyampaikan satu peringatan. Di dalam peringatan tersebut Rasulullah saw membaca ayat 104 daripada surah al-Anbiya':

Allah SWT berfirman: "Sebagaimana Kami memulakan penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah janji yang pasti Kami tepati, sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya."

Surah al-Anbiya' yang dibacakan oleh Rasulullah saw kepada para sahabat itu mengandungi dua pengertian. Pertama, Allah SWT menyatakan bahawa menghidupkan semula manusia yang telah mati adalah mudah bagi-Nya
.
Sebagaimana manusia yang lahir daripada perut ibu dalam keadaan tanpa pakaian, maka demikianlah Allah SWT berjanji akan mengulangi penciptaannya terhadap manusia. Yakni dihidupkan atau dibangkitkan semula daripada kubur mereka dalam keadaan seperti kejadian awalnya, iaitu dalam keadaan telanjang bulat. Kemudian manusia akan dikerah oleh Allah SWT di mahsyar berjalan tanpa alas kaki, malah manusia seperti baru dilahirkan daripada perut ibu. Masing-masing belum ghurlan iaitu belum berkhatan lagi.

Ketika Rasulullah saw menceritakan perkara ini, Aisyah rha. bertanya: “Apakah orang pada masa itu tidak akan merasa malu auratnya kelihatan oleh orang lain?” Rasulullah saw menjawab: “Bahawa kerana dahsyatnya keadaan itu, tidak ada lagi orang yang ingat hendak melihat aurat orang lain, bahkan orang tidak ingat lagi bahawa dia telah telanjang.”

Manakala, pengertian kedua ialah Allah SWT berjanji untuk kembali menghidupkan manusia yang telah mati. Sesungguhnya janji Allah adalah pasti dan benar.

Ayat 104 surah al-Anbiya’ ini jika ditadabbur maknanya, maka mampu menimbulkan keinsafan kepada sesiapa yang mendengarnya. Ia adalah satu persoalan aqidah yang dapat membentuk peribadi muslim yang bertaqwa.

Sekiranya di dalam hati dan fikiran setiap manusia bahawa mereka akan dibangkitkan pada satu hari nanti, maka mereka akan berhati-hati dalam setiap apa yang dilakukan. Sebaliknya, jika di dalam hati mereka tidak tersemat keyakinan ini iaitu manusia tidak akan dibangkitkan semula, maka tidak ada apa-apa yang akan menghalang mereka daripada melakukan dosa dan maksiat.

Tidak kira siapa, khususnya mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh, jika tidak memiliki keyakinan ini, mereka akan bebas berbuat apa sahaja. Tanpa peduli kezaliman dan kemudharatan ke atas orang lain. Tetapi andainya mereka penuh keyakinan bahawa setiap manusia tidak akan dapat lari dari dibangkitkan kembali di akhirat nanti, maka hilanglah keinginan nafsu untuk melakukannya. Sesiapa pun tatkala sedar ada perhitungan dan mereka akan dipertanggungjawab kelak, adalah mustahil untuk sengaja melakukan kejahatan walaupun sebesar debu. Begitulah keadilan Allah SWT. Setiap yang lemah dan teraniaya di dunia pasti akan mendapat pembelaan di akhirat.

Demikianlah, saya seringkali mengingatkan diri sendiri. Setiap kali mahu menitipkan coretan bahasa, maka ia pasti akan menjadi satu di antara dua. Samada menjadi pahala atau dosa, memberi kebaikan atau keburukan. Mana mungkin ia akan menjadi debu yang hilang begitu sahaja ditiupkan angin lalu.

Mudah-mudahan Allah SWT melindungi kita semua daripada menulis perkara-perkara adu domba, fitnah dan mehnah yang boleh memutikkan bibit-bibit permusuhan sesama kita. 

Allahu al-Musta`an

Saturday 5 September 2015

Bolehkah manusia melihat makhluk halus?

Soalan:

Kita percaya wujudnya makhluk seperti yang disebut dalam al-Quran, seperti Jibrail, Jin, Syaitan dan sebagainya. Saya musykil, mereka ini makhluk halus, mereka wujud dan boleh melihat manusia, tetapi manusia tidak boleh melihat mereka. Benarkah dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka (manusia) dapat melihat makhluk halus ini dengan mata kepala mereka sendiri. Makhluk itu berupa manusia yang menakutkan atau berupa binatang? Saya mohon penjelasan.

Jawapan:

Ayat al-Quran yang saudara maksudkan memang wujud. Dalam Surah al-A'raf ayat 27, Allah mengisahkan (mafhumnya), ".....Bahawa mereka itu (makhluk halus) boleh melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka....." 

Kebiasaannya mereka (makhluk halus) dapat melihat kamu manusia, sedangkan manusia tidak boleh melihat mereka dalam keadaan rupa mereka yang asal. Namun apabila makhluk ini telah menyerupai rupa-rupa yang Allah izinkan, maka mereka boleh menyerupai makhluk tertentu, dan ketika itu manusia boleh melihat mereka. 

Bukti jelas dalam al-Quran yang mengisahkan bahawa mereka (makhluk halus) boleh menyerupai manusia. Disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 48 (mafhumnya), "Dan ketika syaitan menjadikan manusia memandang elok dan baik pekerjaan mereka, dan mengatakan tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini (perang Badar) dan sesungguhnya aku pelindung kamu sekelian. Tatkala kedua pasukan telah berhadap-hadapan untuk berperang, (syaitan) dia cabut lari seraya berkata 'sesungguhnya kami berlepas diri daripada kalian, sesungguhnya kami dapat melihat apa yang kalian tidak dapat lihat'. Sesungguhnya kami sangat takut kepada Allah dan Allah amat dahsyat seksaan-Nya." 

Tafsir al-Qurtubi sebagai contoh, musyirikin dalam perang Badar yang gentar untuk memerangi tentera Islam, tiba-tiba muncul di hadapan mereka, satu pasukan peperangan yang diketuai oleh Suraqah bin Malik bin Ju'ashum. Suraqah memang dikenali, beliau dari suku Bani Bakr. Beliau dengan tenteranya amat ditakuti oleh Quraisy kerana latar belakang permusuhan mereka dengan Bani Bakr ini. 

Bila Suraqah menjanjikan untuk membantu mereka mengalahkan tentera Islam, maka tentera kuffar menjadi lebih berani. Peperangan bermula, tetapi Suraqah dan kuncu-kuncunya cabut lari. Akhirnya kuffar ditewaskan oleh tentera Islam.

Sahih daripada ayat ini ditafsikan dengan muktabar bahawa, yang berkata-kata dengan tentera kuffar adalah syaitan yang menyerupai manusia secara khusus seperti Suraqah bin Malik. 

Dalam Surah al-Anfaal ayat 30 (mafhumnya), "Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir mengaturkan satu tipu helah jahat untuk mencelakakan engkau (Muhammad), menangkap, atau membunuh kamu atau mengusir kamu. Mereka membuat perencanaan dan Allah membuat rencana pula, tetapi Allah Perencana yang terbaik." 

Tafsir Annasafi juzuk 9 halaman 199, mencatatkan peristiwa kuffar mengadakan satu pertemuan di Darun Nadwah untuk memutuskan perihal Muhammad, ketika pembesar Quraisy hendak bermesyuarat, mereka ditemui oleh seorang pemimpin daripada puak Najdi, atau Syaikhu Najdi datang khusus untuk menyertai mereka memberi pandangan, Quraisy Makkah membenarkan Syaikhu Najdi turut sama dalam mesyuarat mereka yang berakhir dengan keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad.

Syaikhu Najdi ini sebenarnya adalah Iblis laknatullah yang menyamar. 

Rasulullah saw sendiri pernah pergi berdakwah di kalangan makhluk jin. Sahabat seperi Abu Hurairah ra. pernah menangkap syaitan yang menganggu dan mencuri barang makanan yang dijaga dalam simpanan Baitul Mal. Ammar bin Yasir pernah berhadapan dan bertarung dengan makhluk halus ini.

Semua ini membuktikan bahawa makhluk halus memang boleh menyerupai berbagai rupa. Tetapi mereka tidak mudah sesuka hati hendak berupa sedemikian disebabkan ia boleh menimbulkan ketidaktenteraman di kalangan manusia, kerana Allah mengawal manusia dengan rahmat-Nya.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Friday 4 September 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 38

Salam Jumaat.


Siapa yang tidak minum dari lautan pengalaman akan mati kehausan di padang pasir kehidupan.
Kehidupan adalah sebuah sekolah.
Zaman adalah gurunya. 
Pengalaman adalah pengajiannya.

Roti pisang di BTR Jengka

(Sambungan daripada artikel: Pulau Tawar sentiasa menggamit hati)


Saya meninggalkan Pulau Tawar untuk pulang ke Kuantan. Seperti biasa, jalan raya yang membentangi Kota Gelanggi menjadi pilihan. Seterusnya memasuki gugusan felda Jengka bermula daripada felda Jengka 8. Ia adalah laluan yang paling dekat berbanding yang lain, setakat yang saya tahu. Menyusuri aspal jalan, anak mata saya disajikan dengan panorama menakjubkan di sebelah kiri. Jajaran bukit batu kapur tersergam yang dikenali dengan nama Gua Kota Gelanggi. Ia mempunyai berbagai-bagai cerita misteri dan ganjil yang sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai.

Kota Gelanggi merupakan kompleks yang mengandungi lebih 100 buah gua dan setiap gua disebut “kota” kerana bentuknya bagaikan sebuah kota. Cuma kira-kira 30 buah gua saja yang dibuka kepada orang ramai kerana faktor keselamatan antaranya Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Bukit, Kota Rehut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Lena. Semua gua-gua tersebut dikenali dengan nama Kota Gelanggi. Gua-gua ini dipanggil kota yang membawa maksud negeri-negeri yang berada di bawah Kota Gelanggi pada zaman dahulu.

Apabila sampai di gua ini, anda akan bertemu dengan gua yang berbentuk pintu gerbang, di dalamnya terdapat alur air yang mengalir air jernih lagi sejuk. Gua Kota Gelanggi juga dikatakan pernah dijadikan tempat pahlawan Mat Kilau dan bapanya Tok Gajah berlindung dan bertapa untuk meningkatkan ilmu kebatinannya.

Dek kerana keunikan dan keindahannya, telah menarik minat seorang produser filem iaitu M. Borhan yang juga pemilik Syarikat Sabah Filem memilih Gua Kota Gelanggi sebagai salah satu lokasi penggambaran filem “Sumpah Semerah Padi.” Cubalah cari filem tersebut di youtube.

Melepasi Kota Gelanggi, saya membelok ke kanan memasuki jalan raya felda Jengka 8. Pemanduan bergerak lancar kerana tidak banyak kenderaan yang membelah aspal tar yang menghubung felda-felda di dalam gugusan felda Jengka ini. Cuma yang sedikit mengganggu benak ialah jalan yang agak sempit tanpa ada sedikit lebihan laluan sikal di kiri dan kanan di sesetengah tempat. Cuak juga tatkala sesekali berselisih dengan lori-lori yang membawa muatan buah kelapa sawit.

Bilakah agaknya jalan utama Jengka ini mahu dilebarkan. Sejak pertama kali melaluinya lima tahun dulu rasanya macam inilah juga keadaannya. Kalau ada pun cuma tampalan baru di tempat-tempat yang mengalami kerosakan yang agak teruk. Pemimpin telah beberapa kali bertukar, tetapi jalan ini seperti apa yang terlihat sekarang. Tahun-tahun akan datang saya berharap ada perubahan, insya-Allah mudah-mudahan.

Bandar Tuan Abdul Razak Jengka


Saya memusingkan stering kereta untuk masuk ke bandar Tun Razak Jengka setiba dipersimpangannya. Dahulunya ia dikenali dengan nama bandar Pusat Jengka. Sekarang ini ia telah ditukar kepada bandar Tun Abdul Razak Jengka. Satu penghormatan kepada warga Felda Segi Tiga Jengka dengan pengistiharan ini, bersempena Hari Peneroka FELDA 2011 pada 7 Julai 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dikelilingi persekitarannya oleh 25 gugusan felda Jengka serta 6 lagi felda yang berhampiran, bandar Tun Abdul Razak ini ditadbir oleh Majlis Daerah Maran. 

Kali pertama saya ke sini ialah pada tahun 1994. Singgah sebentar dalam perjalanan pulang daripada ekspedisi mendaki Gunung Tahan. Memori saya agak kelam untuk mengingati dimanakah lokasi persinggahan bas yang membawa kami. Pada masa itu ia tidaklah semaju dan membangun seperti hari ini dengan berbagai-bagai prasarana.

Satu lagi Bandar Tun Abdul Razak terletak di Keratong. Saya tidak pernah lagi masuk ke sana. Sekadar melalui jalan luar apabila ke Segamat. Insya-Allah, ada masa dan upaya saya akan singgah pula di sana untuk menambah cerita kehidupan.

Saya mempunyai rancangan yang tersendiri tatkala singgah di bandar Tun Razak Jengka ini. Mahu menunaikan hajat dihati yang sekian lama terpendam. Bukanlah hasrat yang terlalu besar, Cuma hasrat seorang rakyat marhaein iaitu mahu mencuba roti pisang yang katanya cukup dikenali di sini. Sebelum ini saya telah mencari di bandar Kuantan, tetapi tidak ketemu. Asalnya saya mengetahui wujudnya juadah yang bernama roti pisang di Bandar Tun Abdul Razak ini, setelah diberitahu oleh salah seorang pelajar yang menjalani praktikal di bawah seliaan saya awal tahun yang lalu. Saya tidak pasti di mana lokasi restoran tersebut, malahan nama restoran itu pun saya tidak tahu. Apa yang menjadi tanda, ia terletak bersebelahan Agro Bank. Maknanya saya perlu mencari Agro Bank terlebih dahulu.


Dalam perjalanan mencari Agro Bank, ternampak sebuah stadium yang masih dalam pembinaan. Letaknya betul-betul berhadapan dengan arked anjung selera yang sering menjadi kunjungan para pelajar UITM untuk mengisi perut. Saya berhenti sebentar untuk mengambil beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. Sekurang-kurangnya 30 atau 40 tahun akan datang tentu ia akan menjadi gambar klasik yang bemakna untuk ditatapi.

Inilah stadium bolasepak felda atau nama rasminya Stadium Tun Abdul Razak yang gah itu. Stadium ini mula dibina pada 1 April 2013 yang menelan belanja sebanyak RM 87 juta. Bagi menjayakan projek ini, sebanyak 2 kontraktor bertauliah telah dilantik iaitu Konsortium Warisan Jengka Holdings (M) Sdn Bhd dan Johawaki Sdn Bhd. Kapasiti muatan penonton mampu menampung sehingga 20,000 orang. Rumput yang digunakan ialah rumput sintetik yang dikatakan menjimatkan kos penyelenggaraan. Katanya juga ia adalah rumput tiruan yang terbaik di Asia. Saya anggarkan tahun hadapan ia siap sepenuhnya dan boleh digunakan untuk perlawanan bolasepak.


Setelah berpusing-pusing mencari arah, akhirnya anak mata tertampang pada papan tanda pada sebuah bangunan yang tertera “Agro Bank”. Menurut panduan sahabat saya itu, restoran tersebut di sebelah bank tersebut, jadi secara automatik saya telah pun berjaya menemui restoran yang dimaksudkan. Alhamdulillah jumpa juga, ia terletak di lot sebelah tepi bangunan. Berhadapan bangunan ini juga adalah sebatang jalan yang menjadi tapak pasar malam. Menurut salah seorang peniaga pasar malam yang saya temui (selepas makan), katanya pasar malam tersebut beroperasi pada setiap hari bermula jam 4 petang. Seperti yang tertulis pada papan tanda, restoran ini bernama Restoren Nadi Kota. Menunya, selain masakan panas ada juga jenis-jenis roti yang pelik-pelik namanya.


Melihat pada papan tanda menu yang tergantung pada dinding, membuatkan saya tersenyum sendirian. Apa tidaknya, pelik-pelik pula nama roti yang tertera. Ada roti pisang syahdu, roti jantan ganazz, roti boom bergetah, roti sempoi-sempoi aje dan bermacam-macam lagi. Tak pernah lagi saya mendengarnya. Kreatif!

Selain daripada menu roti, terdapat juga masakan panas yang disediakan. Saya sekadar memesan sekeping roti pisang yang menjadi sebab saya singgah ke sini. Itupun untuk merasa dahulu, jika kena dengan selera, maka bolehlah datang lagi. Roti pisang ini adalah roti canai yang dibungkuskan di dalamnya dengan hirisan pisang, sebelum digoreng di atas kuali. Konsepnya sama seperti roti telur. Ternyata memang enak rasanya, diganding pula dengan sambal tumis bilis sebagai pencicah. Keenakannya, tidak tahu bagaimana mahu saya gambarkan. Ianya subjektif! Kena cuba sendiri baru tahu. Hanya yang boleh saya katakan, ia memang kena dengan selera saya. Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan mencuba pula roti yang lain, yang mempunyai nama pelik-pelik itu. 


Sebelum pulang, saya berjalan-jalan sebentar di sekitar bandar ini. Membeli sedikit juadah yang dijual di pasar malam untuk dibawa pulang. Kenderaan mula bergerak meninggalkan Bandar Tun Abdul Razak di saat azan maghrib sayup-sayup berkumandang. Insya-Allah, ada masa dan upaya saya akan singgah ke sini lagi.

Tuesday 1 September 2015

Salam kemerdekaan ke-58 (Edisi terlewat)

'foto hiasan'

Saya asyik menonton peristiwa bersejarah itu melalui youtube. Saya melihat almarhum Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimah merdeka sebanyak tujuh kali. Terpancar kegembiraan pada raut wajah hamba rakyat yang bersama meraikannya di Stadium Merdeka lebih lima dekad yang lalu. Tarikh keramat lagi bersejarah itu pada tanggal 31 Ogos 1957. Kegembiraan mereka menyambut kemerdekaan yang julung-julung kali setelah sekian lama ‘terlena’ di bawah pijakan penjajah.

Tanahair yang tercinta ini telah dijajah sejak awal kurun ke 16 setelah kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Kemudian silih berganti dengan Belanda, British, Jepun dan British semula sehingga ummat kita hampir sahaja kehilangan identiti sebenar. Tidak sedikit yang telah gugur sebagai pejuang demi mempertahankan kedaulatan negara. Mereka semua adalah insan yang sangat berjasa kepada tanahair. Justeru, sebagai golongan pewaris kita perlu mengisi kemerdekaan ini dengan sebaiknya agar pengorbanan mereka tidak disiakan.

Nikmat kemerdekaan

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan negara kita yang ke 58 pada tahun ini. Seperti tahun-tahun yang lalu, sambutan besar-besaran di seluruh negara. Benar, kita telah berjaya menghalau keluar penjajah daripada negara kita. Ia juga sememangnya kemenangan yang patut diraikan. Namun, saya mahu melihat erti kemerdekaan dari sudut pandang yang lebih luas. Merdeka bukan sekadar menghalau balik penjajah, malahan lebih daripada itu.

Oleh itu, marilah kita semua menghayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan erti kemerdekaan yang sebenar menurut kacamata Islam yang bukan hanya membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajah semata-mata. Sebelum merdeka penjajah adalah musuh nombor satu kita. Mereka menjajah agama kita sebelum menjajah kita. Mereka memporak-perandakan urusan agama kita, dan menyuntik jarum ke dalam ruang pemikiran kita sehingga kita ‘rela’ menerima pakai aturan dan undang-undang mereka.

Kemerdekaan yang hakiki

Mari kita menyelak sejenak lembaran sirah yang mulia.

Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin baginda saw dikenali sebagai ‘al-Fath’ iaitu pembukaan kota Makkah daripada kegelapan jahiliah, menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan sebenar. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang pahlawan Islam iaitu Rubaei bin Amir apabila ditanya oleh Rustum, panglima perang Parsi. Jawab Rubaei:

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah Yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, daripada kekeliruan agama-agama yang ada kepada keadilan Islam.”

Sesungguhnya hanya Islam yang dapat memerdekakan umat dengan kemerdekaan yang hakiki. Kemerdekaan yang bukan sahaja dinikmati oleh umat Islam, bahkan melimpah rahmatnya kepada penganut agama yang lain. Sejarah telah membuktikan kondisi yang berlaku. Lihatlah ketika pembukaan Mesir dan Palestin di zaman khalifah Umar al-Khattab. Golongan bukan Islam menikmati kemerdekaan, keamanan dan keadilan yang tidak dijangkakan, yang tidak pernah mereka kecapi ketika di bawah kekuasaan Rom dan Parsi.

Demikianlah kemerdekaan yang sebenar yang mendapat petunjuk dan keredhaan Allah SWT. Marilah kita kembali kepada Islam yang menjadi penyelesai kepada seluruh kehidupan manusia. Tidakkah kita meyakininya?

"...Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia memperoleh kemenangan..." (Ali-'Imran: 185)

Salam kemerdekaan buat jiwa yang merdeka...