Sahabat Sejati

Tuesday 4 August 2015

Roh orang yang telah mati tidak boleh kembali semula ke alam dunia

Soalan:

Ini kisah benar yang menimpa saya dan amat merunsingkan. Kami baru berkahwin dan masih berbulan madu, suami saya meninggal dunia kerana kemalangan jalan, saya reda. Dalam kesedihan saya bermimpi suami saya datang kepada saya seperti sebelum pemergiannya, kami gembira dan tidur bersama dengan bahagia. Selang beberapa malam di antara terlena dengan tidak, saya merasakan suami berada di samping saya, bermadu kasih dengan saya. Kemudian melarat sehingga saya benar-benar yakin, suami meniduri saya. Apakah sebe­narnya, apakah rohnya boleh balik melayan saya. Apa yang harus saya lakukan, saya benar-benar runsing sekarang.

Jawapan:

Saya sudah menjelaskan dalam beberapa soalan sebelum ini. Tetapi elok juga saya pertegaskan lagi bahawa, orang yang telah meninggal dunia, roh mereka berada dalam alam kubur hingga ke suatu masa yang terpulang kepada Allah menentukannya.

Ada yang diseksa dalam kubur dan ada yang berbahagia. Selepas itu mereka akan di tempatkan ke alam barzakh sehingga ke hari Kiamat.

Firman Allah SWT: “Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan”. (Al-Mukminuun: 100)

Maksudnya selepas kematian mereka akan berada di alam barzakh (yang mereka akan tinggal tetap di dalamnya) sehingga pada hari mereka akan dibangkitkan semula

Dalam Tafsir Al-Qurtubi pada juzuk 18 halaman 56, dalam tafsiran ayat tersebut, bahawa selepas kematian, roh manusia masuk ke alam barzakh, mereka berada di dalamnya. Alam itu tertutup atau terdinding, tersekat daripada mereka kembali ke alam dunia hingga mereka kembali pada Hari Akhirat.

Ertinya, roh orang-orang yang mati, tidak boleh kembali ke alam dunia. Logiknya, kalau orang yang sudah mati, kembali seperti dalam bentuk yang saudari tanyakan tadi, maka mengapa orang yang mati dibunuh dengan zalim, diseksa musuh yang tidak berperikemanusiaan, dirogol dan sebagainya, mengapa mereka tidak balik semula untuk mencari orang yang menganiaya mereka dan membalas perbuatan kejam mereka?

Ini tidak pernah berlaku, kerana hakikatnya orang yang telah mati sudah berada di alam yang ‘terdinding’ dan tidak boleh kembali. Oleh itu persoalan yang ditanyakan tadi, dan hukum syaraknya ia bukan roh suami yang telah mati.

Ia bukan roh, bukan suami, besar kemungkinan ia adalah makhluk halus yang disebut sebagai Qareen. Qareen memang wujud, asalnya ia sebagai bayang-bayang, atau duplikasi daripada suami puan. Apabila suami telah kembali ke alam baqa’, maka makhluk tadi dengan izin Allah, dia boleh menyerupai sebagai suami untuk melakukan apa yang telah berlaku.

Oleh kerana ia bukan suami anda, tetapi makhluk halus, maka jangan sesekali melayaninya, jangan beri ruang kepadanya melakukan sesuatu yang tidak baik kepada anda, lindungilah diri anda dengan ayat-ayat al-Quran dan pesanan-pesanan daripada hadis-hadis Rasulullah. Antaranya banyak membaca dua surah terakhir daripada al-Quran, ayatul Kursi sebanyak yang mungkin, membaca Surah Al-Baqarah hingga akhir, atau membaca Khawateem Al-Baqarah (ayat 184, 185 dan 186).

Sebaik-baiknya sebelum tidur, saudari membaca 11 ayat dari Surah Al-Baqarah, iaitu ayat 1, 2, 3, 4, 5 dan 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286). Boleh juga membaca Surah Yaasin atau mana-mana surah, dengan memohon pertolongan Allah SWT agar perkara sebegini tidak berlaku lagi.
Wallahu a’lam 

(Bersama Dato Dr Harun Din)

6 comments:

iryantyismail said...

Asalamualaikum saudara...rasanya yan pun pernah alami oerkara sebegini...tapi hubby dah pi kerja masa tu...nauzubillah..mujur sekarang dah tiada lagi perkara tu...

Kakzakie Purvit said...

Mempercayai roh boleh balik tu sebenarnya kepercayaan org bukan Islam. Kena tahu bahawa setiap kita ada pendamping seperti disebut Qarin itu. Sebaiknya mana yg masih tak faham kena selalu hadirkan diri di majlis ilmu. Bahaya kan AI sebab ia boleh melibatkan aqidah.. wallahu'alam.

paridah said...

ASSALAM...YANG NYATA PUN BANYAK YG KITA XTAHU TAMBAH LAGI ALAM YG BERLAPIS TU...MESTI BANYAK DIPELAJARI N XMUDAH MEMBUAT ANGGAPAN DRPD FIKIRAN SENDIRI...TQ PERKONGSIANNYA.

saniahibrahim said...

terima kasih berkongsi info ini yang selalu menjadi persoalan dalam kehidupan

Saniah said...

Assalam,,, takut baca entri ni,, memang ada yang terjadi ke macam tu sampai boleh tidur bersama lagi,,

Bunda_nora said...

AsSalam...
selalu jugak dengar cerita2 begini..kononnya roh simati ikut balik .....
Kepada mereka yang benar2 teramat sangat merasa kehilangan dan sedih akan pemergian orang yang dikasihi kebanyakkannya akan mendapat gangguan dan tipu daya dari makhluk bernama qareen ini...

Dengan itu kita kena yakin seperti yang diperkatakan bahawa roh takkan kembali kedunia ini... Selain itu kita kena persiap kan diri untuk menghindari dari makhluk ini dengan banyak menbaca alquran dan ayat2 yang diperkatakan....
wallahu'alam....

Terima kasih atas perkongsian hebat ini..

Post a Comment