Sahabat Sejati

Monday 24 August 2015

Pulau Tawar sentiasa menggamit hati

'Lebuhraya Pantai Timur, ringkasnya LPT'

Entah sudah berapa kali saya ke Pulau Tawar Jerantut. Rasanya sudah tidak terkira jumlahnya, seingat saya lebih daripada 50 kali sejak kali pertama, kira-kira lima tahun yang lalu. Paling kerap sewaktu anak yang sulung berada di tingkatan satu. Dua minggu sekali saya berulang-alik mengambil dan menghantar beliau di asrama. Setelah naik tingkatan dua, barulah dia mula belajar menaiki bas ekspres. Sekali-sekala sahaja saya mengambilnya apabila ketiadaan tiket bas. Itu pun tidaklah kerap sangat. 

Petang Jumaat yang lalu sekali lagi saya bermusafir ke sana kerana perlu menyelesaikan satu urusan sekolahnya. Selepas solat Jumaat bergegas saya bertolak dengan kenderaan yang banyak berjasa ini. Lazimnya saya ke Jerantut melalui jalan lama. Tiada yang istimewa, cuma rasa seronok melihat panorama di sepanjang perjalanan berbanding melalui lebuh raya yang hanya kelihatan hutan di kiri dan kanan. Tetapi semalam, saya menggunakan laluan LPT untuk menjimatkan masa. Sewaktu memulakan perjalanan, jam di tangan sudah pun melewati 3 petang.

Diiringi celoteh juruhebah stesen radio kegemaran saya IKIM. FM selain stesen radio “satu pilihan” iaitu Pahang FM, saya membelah aspal lebuh raya yang menghubungkan Kuantan dan Karak. Tidak banyak kenderaan yang melaluinya ketika ini. Saya berkira-kira mahu keluar melalui tol Chenor, tidak seperti biasa melalui tol Maran dan terus masuk ke Kuala Sentul sebelum memasuki gugusan felda Jengka yang luas itu.

Kenderaan bergerak lancar.

Teringat perkongsian seorang teman melalui aplikasi whatsapp group beberapa hari lepas: “Betul ke susur keluar tol Kuantan (berhampiran Tanjung Pasir) ada pontianak malam-malam?”

Terkejut juga saya melihat foto yang turut dihantar.

Lalu dijawab oleh seorang sahabat kami yang kebetulan bertugas di Alloy MTD, sebuah syarikat yang menguruskan LPT: “Mengarutlah, aku kerja malam tak ada pun. Kalau tidak mesti aku yang jumpa dulu.” 

Entahlah betul atau tidak, gambar pun sedikit kelabu. Takkanlah makhluk halus boleh tertangkap di kamera, benak saya mencurigai. Wallahua`lam, sukar untuk mempercayainya. Sememangnya saya sedikit pun tidak menafikan akan wujudnya golongan syaitan dan jin. Ianya jelas disebutkan di dalam al-Quran. Malahan, di dalam al-Quran pun terdapat satu surah yang dinamai dengan surah al-Jin. Ada pun pontianak itu hanyalah istilah yang diberikan oleh orang melayu. Seumpama toyol, pelesit, polong dan yang seangkatan dengannya. Dari mana mereka mendapat nama tersebut saya pun tidak tahu. Tidak pula saya mahu mengkajinya, banyak lagi kerja lain yang berfaedah boleh dibuat. 

Tetapi secara peribadi saya sangat meminati alam mistik sejak dari sekolah rendah, walaupun penakut benar ketika itu. Buku-buku tulisan Tamar Jalis, Tok Awang Ngah dan Alang Bumin menjadi koleksi sebagai hiburan santapan minda. Sampai sekarang buku-buku tersebut masih saya simpan dan dalam kondisi yang masih boleh dibaca. 

Sekarang ini pula, buku “Siri Bercakap Dengan Jin” yang ditulis oleh Tamar Jalis telah diangkat ke layar perak. Saya tidak melepaskan peluang untuk menontonnya di channel Astro Mustika. Walaupun pada hemat saya, dari segi penghayatan penceritaan agak lemah berbanding bukunya yang mempunyai ribuan peminat, namun terhiburlah juga. Biarpun terpacul juga kata-kata kritisan nada tidak berpuas hati, persis juri tidak bertauliah memberi komen.

Oh, jauh pula saya berceloteh sehingga masuk ke alam mistik. Nanti hilang pula cerita yang menjadi tajuk utama di atas.

'Simpang susur keluar dari Tol Chenor' (sumber)

Melalui lebuh raya, kita boleh keluar di tol Maran kemudian masuk ke simpang Kuala Sentul selepas bandar Maran, boleh juga lajak lagi ke atas masuk ke simpang Pekan Bukit Tajau. Atau pun boleh memilih untuk susur keluar melalui tol Chenor. Semuanya akan bertemu jalan yang sama untuk ke Jerantut melalui Gugusan Jengka dan Kota Gelanggi. Dulu saya langsung tidak tahu jalan-jalan ini. Tetapi sekarang kebanyakan ceruk jalan dan nama tempat di sepanjang laluan ke sana berada di dalam kepala saya. Berkat anak sulung yang bersekolah di SMA Pulau Tawar, barangkali.

Saya memilih susur keluar tol Chenor, kemudian membelok ke kanan menuju ke Jengka. Manakala di sebelah kiri jalan keluar ke Kampung Awah dan Chenor. Teringat peristiwa kehabisan bensin sewaktu bermotosikal ke Pulau Tawar suatu ketika dahulu. Allahu rabbi, mujurlah ada seorang pakcik yang baik hati sudi membantu untuk membelikan petrol di stesen minyak yang agak jauh juga. Walaupun pada mulanya ada juga perasaan cemas dan bimbang. Yalah, berada di satu tempat yang di kiri dan kanan cuma ditabiri pokok kelapa sawit. Tanpa pilihan, saya pasti akan menolak motosikal untuk mencari stesen minyak yang paling hampir. Tetapi Allah SWT telah mentaqdirkan ia segera berakhir dengan baik setelah ada yang sudi membantu. Kisah ini telah saya coretkan di dalam entry terdahulu.

'Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar, tempat anak sulung saya belajar'

Sekolah ini mula diasaskan pada tahun 1958. Penubuhannya dibuat atas daya usaha yang diketuai oleh Tuan Haji Daud bin Imam Awang (Kadi Dearah Jerantut) dengan kerjasama penduduk setempat dan penduduk sekitarnya. Semasa mula ia diwujudkan sekolah ini diberi nama Madrasah Addaudiah mengambil sempena Tuan Haji Daud bin Imam Awang selaku ketua pengasasnya.

Pada mulanya murid-murid (seramai 20 orang) hanya belajar di sebuah surau kepunyaan Tuan Haji Daud bin Imam Awang. Kemudian pada tahun 1960, bangunan khas telah didirikan di atas sekeping tanah kepunyaan Puan Hajah Esah binti Ibrahim dan rakan kongsinya iaitu Zulkifli bin Ibrahim, Abdul Rahman bin Jaafar, Biyamin bin Mukim Teh dan Awang Chik bin Mukim Teh. Tanah tersebut terletak di mukim Pulau Tawar. 

Pada tahun yang sama jawatan kuasa telah berjaya mengumpulkan wang sebanyak lebih kurang RM800. Dan dengan wang tersebut telah dapat membangunkan sebuah bangunan sekolah. Pada tahun 1962, jawatankuasa sekolah sekali lagi telah berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM600, dengan wang tersebut dapat mendirikan bangunan tambahan bagi menampung kemasukan murid yang kian ramai.

Sebenarnya Madrasah Addaudiah ini pada mulanya adalah merupakan Sekolah Agama Rakyat, kerana segala perbelanjaan mendirikan bangunan, pengurusan dan gaji dibayar hasil dari derma dan sumbangan orang–orang kampung.  (sumber: wikipedia)

Sekolah ini pernah dinaiki bah pada akhir tahun 2014. Saya diberitahu paras air sehingga menceca lantai tingkat dua. Bayangkan bagaimana tingginya! Lama juga masa yang diambil untuk membaikpulih segala kerosakan. Alhamdulillah, sekarang ia sudah pun pulih setelah menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak.

Makam dan masjid Pahlawan Mat Kilau

'Makam Pahlawan Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar'

Setelah selesai semua urusan, saya bersiap-siap untuk memulakan perjalanan pulang ke Kuantan. Tatkala melihat jarum jam di tangan, ternyata ada masa lagi. Ada baiknya saya singgah sebentar ke makam Pahlawan Mat Kilau. Setiap kali ke Pulau Tawar, sekiranya masa mengizinkan memang saya tidak akan melepaskan peluang menziarahi makam Pahlawan Pahang yang masyhur itu. Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, tentu lawatan kali ini akan menjadi lebih bermakna. Ya, sangat bermakna kepada saya sebagai seorang yang sangat meminati bidang sejarah sejak zaman bersekolah lagi.

Sesampai sahaja di situ, saya bertafakur sejenak, menghadiahi al-Fatihah dan doa sambil mengenang kembali kisah perjuangannya seperti yang telah saya baca di dalam buku-buku sejarah. Kalaulah saya memiliki mesin masa pasti saya akan kembali ke zaman itu untuk sama-sama berjuang dengannya. Demikianlah hati kecil saya nakal menggetus sesuatu. Mustahil!   

Tidak lengkap rasanya jika tidak menziarahi juga Masjid Lama Pulau Tawar yang terletak di tepi tebing Sungai Pahang. Masjid ini telah dibaikpulih dan menjadi pondok pengajian agama dengan nama Madrasatul Mu`allim Yunus al-`Arabiyyah.

'Masjid Lama Pulau Tawar di tepi tebing Sungai Pahang. Foto kiri diambil ketika kunjungan pertama saya pada tahun 2011, manakala foto sebelah kanan adalah yang terbaru' 

Masjid ini ada sejarahnya. Disinilah tempat pahlawan Mat Kilau mengisytiharkan dirinya pada tanggal 26 Disember 1969, sejurus selepas sembahyang Jumaat. Berita luar biasa ini telah menggemparkan orang ramai seluruh negara terutamanya orang melayu. Dalam pada itu, ada sebilangan yang tidak mempercayainya, kerana mereka lebih percaya mengatakan Mat Kilau sebenarnya telah meninggal dunia pada tahun 1895-1896 dahulu.

Oleh kerana pengakuan luar biasa ini, kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan satu jawatankuasa seramai 6 orang yang ditugaskan untuk menyiasat ‘pengakuan’ ini. Akhirnya pada 6 Ogos 1970, Menteri Besar Pahang ketika itu telah mengisytiharkan bahawa orang tua yang tinggal di Kampung Batu Lima, Jalan Gambang yang selama ini memakai nama Muhammad bin Ibrahim atau Mat Siam sebenarnya Mat Kilau anak Tok Gajah. Dia adalah pahlawan Pahang yang terbilang pada akhir kurun ke-19 masihi.

Sepuluh hari selepas pengisytiharan itu, Mat Kilau telah meninggal dunia pada pagi Ahad 16 Ogos 1970 di rumahnya di Kampung Batu Lima. Pada petang itu juga jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kedondong bersebelahan dengan kubur ibunya, Teh Mahada.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak mengatakan: “Nama Mat Kilau akan tetap kekal dalam sejarah negara sebagai pahlawan yang menentang penjajahan. Semangat Mat Kilau bukan sahaja menjadi satu tauladan tetapi juga satu unsur ilham rakyat dalam menghadapi masalah masa depan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.”

Salam kemerdekaan!

Perjalanan pulang... (Bersambung)

5 comments:

saniahibrahim said...

Bnyak info yang kakak dapat dari entry ini dari kakak tak tau dimana pulau tawar sebelum ni.
Siri bercakap dgn jin satu ketika dulu rajin juga kakak baca tapi kini kakak tak ingat satu pun isi kandungannya

saniahibrahim said...

Bnyak info yang kakak dapat dari entry ini dari kakak tak tau dimana pulau tawar sebelum ni.
Siri bercakap dgn jin satu ketika dulu rajin juga kakak baca tapi kini kakak tak ingat satu pun isi kandungannya

paridah said...

assalam ..dekat saja pulau tawar ni dgn kampung kak. kalau dulu mundur n suram kini semakin maju dgn pelbagai projek ekonomi untuk kebaikan dunia n akhirat...nampak tambah ceria dgn keindahan alam semulajadinya yg bertebingkan sungai pahang...kak dulu-dulu ke jerantut menaiki bas saja melalui pulau tawar sehingga menyeberangi sungai phg menaiki feri pula...zaman berferi tu rasanya ustaz pun belum lahir lagi. cerita Allahyarham pejuang negara Mat Kilau mengejutkan sekali penemuannya di akhbar2 arus perdana. selama ini hanya membaca kisahnya dlm buku sejarah tentang perjuangan di abad ke 19 dan terlalu lama jangkamasanya kini dapat dilihat wajah pejuang yg karismanya n semangat wibawanya pejuang sejati mempertahankan pertiwi..

iryantyismail said...

asalamualaikum saudara...selamat pagi...
:-))
seram.lah pulak baca cite hantu tu...

tapi kan saudara..mengikut pengalaman yan.pernah terjumpa sekali....nauzubillah..taknak jumpa.lagi..

Kakzakie Purvit said...

Seronok pulak kakak membaca entri kali ini. Bayangkan besarnya jariah mereka sehingga tertubuhnya sekolah tersebut. Tahun 60an agaknya duit ratus macsm puluh ribu sekarang kan. Sebab itu mereka mampu dan cekal.

Org/pahlawan dulu betel-betul berjuang utk bangsa & agama tak ada isu duit masuk poket sendiri. Istqomah dan mujahadahnya tak sama.

Post a Comment