Sahabat Sejati

Monday 29 June 2015

Catatan 11 Ramadhan

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Azan di Radio Malaysia Pahang menandakan masuknya waktu berbuka puasa bagi Kuantan dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.

Sabda Rasulullah saw:
“… Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan semasa berbuka puasa, dan kegembiraan semasa bertemu Tuhan-Nya…” [Riwayat Muslim, Ahmad, al-Nasa'ie dan Ibn Majah]

Keseronokan berbuka puasa kerana hidangannya mungkin lebih kreatif dan pelbagai. Keseronokan yang lebih ketara adalah kerana makan bersama, serta makan dengan sebenar-benar lapar dan dahaga.

Manakala kegembiraan kedua ialah ketika bertemu dengan Allah SWT. Bagaimana kondisinya? Tidak terbayang di ruangan mata dan tidak terjangkau dek fikiran yang dangkal ini. Semuanya di dalam pengetahuan-Nya.

Hari ini telah masuk hari yang ke sebelas umat Islam berpuasa. Bermakna kita telah pun menghabiskan ‘semester’ pertama Ramadhan, atau dengan kata lain telah sepuluh hari pertama Ramadhan berlalu. Bagaimana keadaan puasa kita di sepuluh hari pertama tersebut, adakah ia telah merubah tingkah laku kita menjadi semakin baik. Kita sendirilah yang dapat menjawabnya kerana nilaiannya terletak pada diri sendiri.

Puasa tahun ini

Tahun ini kami tinggal bertiga menjalani suasana Ramadhan di rumah. Anak ketiga saya, acik Adawiyah telah pun tinggal di asrama bermula awal tahun yang lalu. Mengikuti jejak abang dan kakaknya yang turut menetap di asrama apabila bersekolah di peringkat menengah.

Berpuasa berdua, saya dan ummu Ikhwan berbuka dengan menu yang sekadarnya. Selera sekarang (orang tua?) tidaklah sama seperti selera zaman budak-budak dahulu. Dulu zaman budak-budak semuanya boleh ditelan, sekarang? Hmm, terlebih makan sedikit mulalah datang penyakit yang bermacam-macam.

Manakala ‘si kecil Haikal’ yang istimewa itu cuma menumpang gembira berbuka bersama-sama. Haikal tidak berpuasa, tentulah dia-kan istimewa!

Ada sahabat yang prihatin bertanya, “mengapa saya sering menulis si kecil Haikal yang istimewa. Apakah keistimewaannya? Bukankah semua anak-anak adalah istimewa? Nantilah saya coretkan kisahnya.

Terawih di surau taman perumahan saya tahun ini diimamkan oleh imam tahfiz dari Kemboja. Sedap bacaannya, ala-ala Syeikh Sa’ad Said al-Ghamidi gitu! Terpana dengan alunan merdu suaranya mengalunkan bait-bait Kalamullah. Cemburu memutik dihati, sedangkan saya tiada kelebihan itu. Tak apa, cemburu dan iri hati yang dibenarkan. 

Seperti Ramadhan tahun-tahun yang sebelumnya, saya suka berterawih dari satu masjid ke satu masjid. Bukannya apa, sekadar untuk merasai kelainan. Bersolat sambil memerhati persekitaran dan meluaskan pandangan dari lantai kepada Imam dan pemberi tazkirah yang bertugas.

Sebahagian surau dan masjid bersolat terawih sebanyak 20 rakaat, ada pula 8 rakaat dengan slot tazkirah selepas 4 rakaat. Bagus juga. Sekurang-kurangnya mengambil peluang dengan kehadiran jemaah yang ramai lebih berbanding sebelas bulan yang lalu. Disamping itu juga bolehlah berehat sebentar menghilangkan lenguh-lenguh sendi. Kalau dulu, dua puluh rakaat terawih senyum sahaja. Sekarang ini, lapan rakat pun sampai mengurut lutut. Itulah bukti dan tanda saya sudah berusia (tua?).  

Apa pun, samada 8 rakaat atau 20 rakaat tidak perlu menjadi satu perbalahan. Sesiapa mahu buat 8 rakaat silakan, yang mahu 20 rakaat pun silakan. Sesiapa buat banyak, maka ganjaran yang diperolehi juga banyak.  

Isu solat terawih

Dalam isu solat tarawih ini. Rasulullah saw tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, “Rasulullah saw bersabda: "Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”.

Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah mengehadkan jumlah rakaat dalam solat tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan solat tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.

Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata, “Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan solat tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat witir. Berdasarkan hujah di atas, kita dapati bahawa Nabi Muhammad saw tidak ada menetapkan sebarang rakaat untuk melaksanakan solat sunat tarawih. Cuma, sunnah yang dianjurkan adalah 11 rakaat termasuk witir. Ini bertepatan dengan satu hadis yang direkodkan Imam Bukhari dalam Sahihnya. Saiyidatina `Aisyah berkata, “Tidak pernah Baginda melaksanakan solat malamnya pada Ramadan mahupun pada bulan lain melebihi sebelas rakaat.”

Dalam menyelesaikan perbalahan mengenai jumlah rakaat ini. Imam Ibn Taimiyah berkata, “(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Semuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan.”

Beliau menambah, "Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan tiga rakaat witir sebagaimana yang diperbuat Rasulullah pada Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu, mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, kerana ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika seseorang itu bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan jumlah yang lain turut diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadan itu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia sudah salah." (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)

Oleh itu, tidak perlu kita berbalah dan berpecah dalam perkara sunat (solat terawih) sedangkan menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib. Raikanlah perbezaan dikalangan masing-masing. Ramadhan adalah bulan rahmat dan keberkatan yang dipenuhi dengan kebajikan. Muhasabah bersama.

Saturday 27 June 2015

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah - Adab Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa) (2)


Kedua: Adab Berbuka Puasa 

1 – Menyegerakan Berbuka Puasa 
Disunatkan juga kita menyegerakan berbuka puasa apabila telah pasti masuknya waktu maghrib. Rasulullah saw bersabda: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

2 – Berbuka Puasa Dengan Rutab, Tamar atau Air 
Rutab adalah buah kurma yang baru masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi saw. 

Anas bin Malik ra berkata: “Rasulullah saw berbuka puasa sebelum solat (maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (Riwayat at-Tirmidzi) 

Tamar, selain sedap dimakan, ia menyalurkan tenaga dengan cepat kepada tubuh badan. 

Keadaan orang yang berpuasa sangat memerlukan gula yang mudah dicerna untuk menghilangkan rasa lapar. Nutrisi yang paling cepat dicerna dan sampai ke darah merupakan makanan yang mengandungi satu atau dua zat gula iaitu glukosa dan sukrosa. Zat gula mampu diserap oleh tubuh dalam masa yang amat singkat. Justeru, makanan yang paling sesuai dimakan ialah buah tamar kerana ia memenuhi keperluan di atas. 

3 – Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib 
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah saw juga menyegerakan solat maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunatkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat maghrib. 

Sabda Rasulullah saw: “Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” (Riwayat Bukhari) 

Menurut Imam an-Nawawi: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.” 

4 – Membaca Doa 
Ibnu Umar ra berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi saw akan membaca: 

 “Hilanglah segala kehausan, telah basah segala urat-urat dan semoga tetaplah beroleh pahala, insya-Allah.” (Riwayat Abu Daud, sahih) 

Abdullah Ibnu Amr al-`Ass ra berdoa ketika berbuka puasa dengan doa ini: 

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.” (Riwayat Ibn Majah, hasan) 

Adapun doa yang sering dibaca oleh umat Islam dan diajar di sekolah ialah: 

“Ya Allah, bagi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka, maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Riwayat al-Daruqutni) 

Kata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu`: “Sanadnya dhaif”. 

Doa apabila berbuka puasa di rumah orang: 

“Orang-orang yang berpuasa telah berbuka dengan kamu dan orang-orang yang mulia telah memakan makanan kamu serta para malaikat mendoakan agar kamu mendapat rahmat.” 

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana yang mustajab (makbul) ialah doa orang yang berpuasa, sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah) 

5 – Berbuka Puasa Secara Sederhana 
Firman Allah SWT: “Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (al-A`raaf: 31) 

Perhatian: 

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertaqwa lagi penyabar, direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. 

Sabda Nabi saw: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak boleh menahan (nafsu makan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat at-Tirmidzi) 

6 – Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa 
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah. 

Firman Allah SWT: “Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukai kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” (al-Insan: 8-9) 

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. 

Sabda Rasulullah saw: 
 “Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” (Riwayat at-Tirmidzi) 

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas.

Friday 26 June 2015

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah - Adab Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa) (1)

Bagi orang yang berpuasa, selain daripada memahami fadhilat dan hukum-hakam puasa, terdapat pula beberapa adab dan amalan yang perlu dilakukan agar amalan yang dibuat bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang mesti diikuti. 

Pertama: Adab Bersahur 

Rasulullah saw amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. 

Sabda Rasulullah saw: “Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Maksud keberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. 

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-`Asqalani ra: “Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyalahi ahli kitab (Yahudi dan Nasrani yang tidak bersahur), menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.” 

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab) 

Sabda Rasulullah saw: “Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” (Riwayat Muslim) 

Ibadah sahur adalah ibadah yang agung sehinggakan Allah SWT melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohonkan keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi saw amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. 

Sabda Rasulullah saw: “Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” (Riwayat Ahmad, Sahih al-Jami`: Hasan) 

Adalah disunatkan juga untuk melewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. 

Sahal bin Sa`ad ra. berkata: “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah saw.” (Riwayat Bukhari) 

Qadhi `Iyadh ra. berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil dari Fathul Bari) 

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. 

Menurut Anas ra, Zaid bin Thabit ra. berkata: “Kami makan sahur bersama Nabi saw kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat.” (Riwayat Bukhari) 

Antara hikmah mengakhirkan sahur ialah: 

1 – Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat subuh. 

2 – Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya. 

Bersambung...

Rehat Minda: Pesan Murabbi 29

Salam Jumaat, salam Ramadhan.


"Terhalang daripada kebaikan itu, apabila kamu berjaga malam hingga ke subuh. 
Kemudian kamu tidak sempat solat witir kerana kamu terlalu sibuk dengan tanpa apa-apa!
Jangan biarkan malammu berlalu tanpa meninggalkan kesan yang baik.
Solat witir dan istighfarlah...
Sesungguhnya malam itu sebahagian daripada usiamu."

Wednesday 24 June 2015

Subhanallah, kreatifnya!

Cuba terbalikkan gambar, sesuatu yang menarik akan muncul..

sumber foto:FB

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Hukum Semasa Berkaitan Puasa (2)


6) Muntah dengan sengaja 
Muntah yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya. 

7) Mengeluarkan mani 
Air mani keluar samada dengan perbuatan berkucup dan seumpamanya atau dengan tangan (onani). Apabila seseorang berbuat demikian dengan sengaja puasanya batal. Jika tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya keluar, puasanya tidak batal. 

8) Gila atau Murtad (wal`iyazubillah) 
Kedua-dua perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. (Lihat: Al-Fiqh al-Manhaji) 

Untuk mengetahui fatwa semasa mengenai perkara ini, di bawah ini dikemukakan Keputusan Persidangan Fiqh Antarabangsa (al-Majma` al-Fiqhi al-Islami) [No. 93 (1/10) pada 23–28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] Mengenai Perkara-perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa. 

A- Keputusan (Qarar) Seperti Berikut: 

1 – Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. Ubat titis hidung atau semburan hidung, dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum. 

2 – Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung) dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum. 

3 – Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin) 

4 – Memasukkan teropong ke dalam salur peranakan /rahim atau alat ke dalamnya. (Contoh: alat pencegah kehamilan – IUCD) 

5 – Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray atau lainnya. 

6 – Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut daripada prosedur tersebut. 

7 – Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut dan dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum. 

8 - Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melaui pembuluh darah (seperti: Glukos yang mengenyangkan) 

9 – Oksigen dan Gas Bius 

10 – Bius menggunakan gas, bukan menggunakan cecair yang mengenyangkan. 

11 – Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat. 

12 – Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain. 

13 – Teropong dalam rongga perut (endoskopi)untuk mencari punca penyakit. 

14 – Mengambil tisu (biopsi)hati atau organ lain untuk ujian makmal. 

15 – Teropong perut, dangan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya. 

16 – Memasukkan ubat atau alat ke dalam otak. 

17 – Muntah dengan tidak sengaja. 

B- Jika tidak memberi mudarat, para doktor muslim hendaklah menasihati pesakit untuk menangguhkan dulu rawatan yang meragui sehingga selesai puasa. 

Tambahan daripada Keputusan “Seminar Fiqh Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 / 14-17 Jun 1997. Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA: 

1 – Suntikan ke dalam dubur, teropong dsn pemeriksaan digital ke dalam dubur. 

2 – Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya. 

3 – Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut. 

Penutup: 

Akhirnya sentiasalah menjaga kesempurnaan ibadat puasa daripada perkara-perkara yang membatal dan merosakkan amalan yang suci ini. Semoga amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Monday 22 June 2015

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Hukum Semasa Berkaitan Puasa (1)

Allah SWT telah memfardhukan puasa Ramadhan ke atas umat-Nya. Allah juga telah mensyariatkan puasa-puasa sunat yang lain selain daripada fardhu ini, serta menjanjikan ganjaran yang sangat besar, yang menjadi idaman bagi setiap orang yang beriman. 

Sabda Rasulullah saw: “ Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Muttafaq `alaih) 

Allah telah meletakkan garis panduan dalam melakukan puasa dan sekali-kali tidak membenarkannya untuk dilanggar. Maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui dan mempelajarinya untuk menjaga ibadat yang besar ini. 

Catatan ini bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara yang membatalkan puasa menurut kajian ulama semasa. 

Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim, menjaga puasa dari perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya. Oleh itu, perbincangan tentang perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa daripada terbatal, dan membatalkan puasa dengan perkara yang tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diperluaskan oleh Allah SWT. 

Ayat 185 daripada surah al-Baqarah adalah salah satu ayat yang telah disebutkan oleh Allah SWT tentang keringatan syariat-Nya: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” 

RUKUN PUASA 
Rukun puasa ada dua iaitu: 

1) Berniat pada malam harinya 
Sabda Nabi saw: “Sesiapa yang tidak berazam (berniat) pada waktu malam, maka tidak ada puasa (fardhu) baginya.” 

2) Imsak 
Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari. 

Antara perkara yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah: 

1) Mencapai Taqwa
Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberi perhatian lebih. 

2) Bulan Ingatan Fungsi al-Quran 
Firman Allah yang menyebut bahawa al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara hak dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat. 

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang Pasti 
 Sabda-sabda Nabi saw berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya. 

4) Kaedah Penambah Pahala dan Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang Pasti 
Sabda-sabda Nabi saw yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke syurga Allah, sekaligus melemahkan fungsi syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan. 

Seseorang yang berpuasa hendaklah menjaga diri daripada melakukan perkara yang merosakkan puasa, demi untuk menjaga kehormatan ibadat yang mulia ini. Antaranya ialah: 
• Menahan nafsu syahwat 
• Menanggung lapar dan dahaga 
• Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari 

Semuanya dilakukan dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah 

Inilah yang dijelaskan daripada al-Quran dan as-Sunnah. 

Demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat surah al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadis-hadis yang banyak. 

PERKARA ASAS YANG MEMBATALKAN PUASA IALAH: 

Sebagaimana yang disepakati (Ittifaq) ulama berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma` ialah empat perkara: 

1) Makan 

2) Minum 

3) Jima` 
Dalilnya ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “...Maka sekarang campurilah mereka (isteri kamu) dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam...” (al-Baqarah: 187) 

4) Haid dan Nifas 
Dalilnya hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud, sabda Rasulullah saw: “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa..” (Bukhari: 304, Muslim:79) 

Antara perkara yang membatalkan puasa lagi (menurut mazhab asy-Syafie) ialah: 

5) Sampai sesuatu (`ain) ke dalam rongga (al-Jauf) melalui liang yang terbuka. 
Maksud `ain ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata. 

Maksud al-Jauf ialah otak ataupun apa yang berada di antara bawah halkum hingga ke perut. 

Maksud liang terbuka ialah: mulut, telinga, qubul dan dubur, samada lelaki atau perempuan. 

Oleh itu, setitik air yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Tetapi setitik air yang masuk ke dalam mata TIDAK membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka. 

Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Suntikan pada urat TIDAK membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka. Begitulah seterusnya. 

Semuanya ini disyaratkan dilakukan dengan sengaja,qiyas kepada makan dan minum. 

Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur yang bernajis seperti gusi yang luka, walaupun air liur itu jernih dan dia tidak membersihkan mulutnya, maka puasanya batal. 

Sekiranya dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung dan air itu termasuk ke dalam jauf-nya maka ia tidak batal, kecuali ia melampau. 

Sekiranya terdapat sisa makanan dicelah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air liurnya tanpa sengaja lalu masuk ke dalam perutnya, maka puasanya tidak batal. 

Sekiranya ia dipaksa untuk makan atau minum, puasanya juga TIDAK batal. 

Bersambung...

Saturday 20 June 2015

Selamat memburu taqwa, duhai si mukmin!


Pantasnya putaran waktu. Siang dan malam silih berganti. Terasa bagaikan baru semalam Ramadhan meninggalkan kita. Kini Ramadhan kembali menjelma, ada yang gembira, ada yang biasa-biasa tidak kurang juga yang duka dan nestapa. Namun, bagi orang yang beriman Ramadhan menjadi tetamu yang amat dirindui, kerana rahmat dan keampunan yang ada di dalamnya. Di dalam bulan Ramadhan inilah semua orang Islam diwajibkan berpuasa, satu amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT. 

Kita sebagai umat Islam amatlah beruntung kerana dianugerahkan oleh Allah SWT hadiah yang amat istimewa ini, sehingga Allah sendiri yang membalas ganjarannya. Apa jua ibadat yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini pahalanya berlipat kali ganda. 

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa (kepada Allah SWT).” (al-Baqarah:183) 

Ayat ini merupakan tema yang penting yang perlu kita fahami dan hayati apabila memasuki gerbang Ramadhan. Ia bukan sahaja menjelaskan tentang perintah berpuasa di bulan Ramadhan tetapi merupakan satu penegasan terhadap kesan dan natijah dari ibadah puasa yang dilaksanakan. Apa yang perlu dicapai dalam proses puasa adalah ‘taqwa’. 

Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam menafsirkan ayat surah al-Baqarah 183, bahawa ibadah puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah SWT melalui beberapa faktor: 

1 - Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah SWT dalam keadaan sembunyi dan terbuka. Ini kerana tiada siapa yang memantau dan memerhati seseorang yang berpuasa melainkan Allah SWT. (Seseorang boleh makan lalu berpura-pura lapar di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah SWT). 

2 - Mengekang ketelanjuran syahwat dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. (Lantaran puasa melemahkan gelora nafsu). 

3 - Mencetus naluri yang peka dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain. (Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik). 

4 - Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang-orang kaya dan miskin (Di sisi Allah SWT). 

5 - Meletakkan kehidupan insan dan pengurusannya di atas sistem (yang benar dan menepati fitrah) dan mendisiplinkannya. 

 6 - Memulihkan struktur dalaman tubuh, menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang boleh memudharatkannya. (Tafsir al-Munir: Juzuk ke-2 m/s: 130) 

Rebutlah peluang untuk menjadi muttaqin.

Marilah kita berlumba-lumba merebut tawaran dan anugerah daripada Allah SWT ini. Semua hari-hari Ramadhan adalah waktu yang mulia. Janganlah kita menjadi orang–orang yang tidak mendapat manfaat dan ganjaran yang besar di bulan Ramadhan ini. Sebagaimana malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda saw bahawa orang yang tidak mendapat pengampunan dalam bulan Ramadhan ini adalah orang-orang yang benar celaka dan malang. 

Sabda Rasulullah saw ketika menaiki mimbar di Madinah: "Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya." (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi) 

Oleh itu, sama-samalah kita memohon keampunan kepada Allah SWT sempena Ramadhan ini. Isilah masa dengan beribadat dan melakukan ketaatan sebanyaknya, kerana kita tidak tahu adakah kita dapat menghabiskan Ramadhan sehingga penghujungnya. 

Ya Allah! Terimalah amal kami yang sedikit dan cacat bergelumang dosa ini. Sesungguhnya kami gembira dengan kedatangan Ramadhan ini. Sampaikanlah kami sehingga penghujung Ramadhan ini. Kami memohon sepenuh hati kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan jauhkanlah kami dari azab neraka-Mu yang dahsyat itu. Amin...

Friday 19 June 2015

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Amalan-amalan di bulan Ramadhan (2)


...sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak - Amalan-amalan di bulan Ramadhan (1)

4 – Bersedekah 
Ibnu Abbas ra. berkata: Rasulullah saw adalah manusia yang sangat pemurah dan baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan…dan baginda lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” (Riwayat Bukhari) 

Rasulullah saw menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Rasulullah saw: “Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar.” (Riwayat Bukhari) 

Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah saw, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing.” 

Rasulullah saw telah ditanya, apakah sedekah yang paling afdhal? Sabdanya: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah dalam bulan Ramadhan.” (Riwayat at-Tirmidzi, didhaifkan oleh Albani) 

Ia mempunyai banyak cara dan cabangnya: 

a) Memberi makan Para ulama salaf sangat menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain.

Ianya samada dengan memberi makan orang yang kelaparan ataupun kawan-kawan yang soleh dan tidak disyaratkan hanya kepada orang faqir. 

Rasulullah saw bersabda: “Di dalam syurga terdapat bilik-bilik, Nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya.” Bangun seorang a`rabi (orang kampung) bertanya: “Untuk siapakah bilik-bilik itu ya Rasulullah? Sabda Nabi saw: “Bagi mereka yang baik percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada waktu malam tatkala orang lain sedang tidur.” (Riwayat at-Tirmidzi, hasan) 

Al-Hasan al-Basri dan Ibnu al-Mubarak memberi makan para sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani dan berkhidmat kepada orang yang makan dan memenuhi keperluan mereka. 

Hammad bin Sulaiman akan menghidangkan juadah berbuka puasa untuk 500 orang ketika Ramadhan dan dia akan memberikan kepada setiap mereka 100 dirham di Hari Raya. 

Ibadat memberi makan akan menjadi asas kepada banyak ibadat lain, seperti rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga. Sabda Rasulullah saw: “Tidak masuk syurga seseorang itu sehingga ia beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling mengasihi.” (Riwayat Bukhari) 

b) Memberi makan (berbuka) orang yang berpuasa 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Riwayat at-Tirmidzi, sahih) Sabda Rasulullah saw: “Wahai manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu akan masuk ke syurga dengan sejahtera.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi, sahih) 

Semua ini menunjukkan bahawa mengumpulkan antara puasa dan sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa. 

Nabi saw bersabda: “Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, sahih) 

5 – Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta 
Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak akan berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa).” (Riwayat Bukhari) 

Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah, sebagaimana seseorang itu manahan diri daripada makan dan minum. Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka berkuranganlah pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Tuhannya. 

Sabda Rasulullah saw: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa, maka janganlah dia melakukan Rafath (melakukan perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh. Sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya, maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!” (Riwayat Muslim) 

Ali bin Abi Thalib ra. berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga daripada penipuan, kebatilan dan perkara yang sia-sia.” 

Berkata Mujahid: “Dua perkara yang sesiapa meninggalkannya maka sempurnalah puasanya: Ghibah (mengumpat) dan menipu.” 

Abu al-`Aliah pula berkata: “Orang yang berpuasa tetap dalam ibadatnya selagi dia tidak melakukan Ghibah.” 

Rahsia di sebalik larangan-larangan ini khususnya ketika sedang berpuasa ialah kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ia adalah seumpama orang yang meninggalkan perkara-perkara yang fardhu untuk melakukan perkara-perkara yang sunat, apakah faedahnya? 

6 – Doa, Zikir dan Istighfar 
Semua hari-hari Ramadhan adalah waktu yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti: 

• Ketika hampir waktu berbuka. Nabi saw menyebutkan tiga doa yang tidak ditolak, antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. (Riwayat at-Tirmidzi, sahih) 
• Di sepertiga malam ketika Allah SWT menyeru: “Adakah ada orang yang berdoa, maka Aku perkenankan, adakah orang yang memohon kempunan, maka Aku mengampunkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
• Memohon keampunan Allah SWT ketika waktu sahur. Firman Allah SWT: “Dan ketika waktu sahur mereka memohon keampunan.” (adz-Zariyat: 18) 

Jangan kita lupa juga terdapat ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang yang berzikir. Terdapat banyak nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi saw yang sahih menjelaskannya. 

7 – Umrah pada bulan Ramadhan 
Sabda Rasulullah saw: “Satu umrah pada bulan Ramadhan ganjarannya menyamai satu haji.” Dalam riwayat yang lain: “Menyamai satu haji bersamaku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

8 – Beriktiqaf 
Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadhan ini, ialah digalakkan beriktiqaf padanya. 

9 – Lailatul Qadar 
Di dalam bulan Ramadhan yang berkat ini Allah SWT menghadiahkan kepada hamba-hamba-Nya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar.  (Huraian akan datang)

Penutup 

Sabda Rasulullah saw sewaktu menaiki mimbar di Madinah: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi) 

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang Muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya. 

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah, semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas. Dituliskan nama kita di antara hamba-hamba-Nya yang mendapat keampunan Tuhan dan selamat daripada azab neraka. Aaamin.

Thursday 18 June 2015

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Amalan-amalan di Bulan Ramadhan (1)

Firman Allah SWT: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan batil).” (al-Baqarah: 185) 

Risalah ini sebagai satu tazkirah tentang beberapa kelebihan bulan Ramadhan serta apakah amalan yang sepatutnya diisi sepanjang bulan yang mulia ini. 

Semoga ia menjadi panduan dan pembangkit semangat untuk beramal dengan sebaik-baiknya. 

Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya ialah: 
• Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah 
• Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. 
• Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan 
• Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan 
• Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup 
• Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat kebajikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan. 
• Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan. 
• Pada setiap malam bulan Ramadhan tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka. 

Di antara amalan yang wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadhan ialah: 

1 – Berpuasa 
Rasulullah saw bersabda: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah.” (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah) 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharap pahala) maka diampun baginya dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Berpuasa banyak memberi faedah kepada kehidupan jasmani rohani. 

Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran, kesusahan dan sebagainya. 

2 – Ramadhan dan membaca al-Quran 
Nabi saw menceritakan bahawa Jibril as. membacakannya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan baginda sebanyak dua kali.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Para ulama bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh tiga malam, sebahagian setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh sepuluh hari sekali. Mereka membacanya ketika di dalam solat dan juga di luar solat. 

Imam asy-Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan dan beliau membacanya di luar solat. 

Ibnu Rajab berkata: “Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari ialah bagi mereka yang menjadikannya sebagai satu amalan biasa yang berterusan. Adapun pada waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadhan, khususnya pada malam-malam yang dijangkakan Lailatul Qadar ataupun ketika berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti Makkah bagi orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat.” 

3 – Qiyamullail 
Bagi seorang mukmin apabila berada pada bulan Ramadhan akan berhadapan dengan dua jihad di dalam dirinya. Pertama jihad di siang hari dengan berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiyamullail. Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga. 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT: “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang-orang yang menghabiskan malam dengan bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka..” (al-Furqan: 63-64) 

Qiyamullail adalah kebiasaan Nabi saw dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. ‘Aisyah rha. pernah berkata: “Jangan kamu tinggalkan qiyamullail. Rasulullah tidak pernah meninggalkannya, dan apabila baginda sakit atau kepenatan, baginda solat sambil duduk.” (Riwayat Abu Daud) 

Khalifah Umar bin al-Khattab ra. akan bersolat malam seberapa banyak, apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, sambil berkata: “Solah, solah!” (bangun untuk bersolat). 

Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis dikalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat). 

Abi Zar ra. meriwayatkan Nabi saw bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 hingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada baginda saw: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki-baki malam kami dengan solat sunat.” 

Maka Nabi saw bersabda: “Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga di (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman.” (Riwayat Tirmidzi, sahih) 

Bersambung...

Wednesday 17 June 2015

Ramadhan Kareem Munawwar lil-jame' 1436H


Assalamualaikum warahmatullah.

Ramadhan al-Mubarak telah membuka pintunya. Di dalamnya dipenuhi dengan segala rahmat dan kebaikan. Justeru , puji-pujian buat Ilahi yang masih lagi memberikan kesempatan untuk kita memasuki dan menyedut nafas di dalamnya.

Di kesempatan yang terluang ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak kepada semua sahabat pengunjung ‘pondok kecil’ abuikhwan. Marilah kita menghayati erti Ramadhan ini dengan penuh keikhlasan, serta merebut ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita. Jadikanlah Ramadhan ini sebagai madrasah untuk mentarbiah jiwa bagi memantapkan  keimanan kita kepada-Nya.

Suburkanlah bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan ibadah dengan membaca al-Quran, berzikir serta menghidupkan malam-malam dengan ibadah sunat, kerana inilah di antara ciri-ciri orang yang berjaya sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya.

Akhir kalam, saya mendoakan agar Allah SWT menerima segala amalan yang kita lakukan dan memilih kita menjadi hamba-Nya yang bertaqwa.

Jangan berpuasa tanpa agama.
Jangan beragama tanpa Tuhan..

Salam Ramadhan 1436H 

Tuesday 16 June 2015

Berpuasakah Aku?


Tajuk : Berpuasakah Aku? 
Penulis : Azmi Nordin 
Penerbit : Kalam Wahi Publishing 
Harga : RM13.00 
Mukasurat : 107 

Apa yang menarik dalam buku kecil ini yang diberi judul Berpuasakah Aku?, ialah menyorot perbincangan mantap dalam 12 bab penting. Judulnya membayangkan apakah puasa seseorang itu diterima atau sebaliknya, kerana menurut kaedah agama, setiap amal ibadat yang dilakukan tanpa disandarkan di atas ilmu dan ma`rifat, maka ianya terbatal di sisi Allah.

Justeru, penampilan buku Berpuasakah Aku? ini membantu umat Islam dengan penjelasan dan perbincangan mengenai keberkatan Ramadhan, persoalan puasa dan pensyariatannya. Ia juga sering dikaitkan dengan sifat sabar setelah seseorang itu menahan diri daripada makan minum, dorongan hawa nafsu syahwat yang boleh menjerumuskannya mendapat kehinaan.

Apa yang penting, buku ini juga menjelaskan tentang sifat taqwa yang menjadi matlamat utama tujuan berpuasa, disamping Ramadhan menjanjikan pelbagai bentuk pahala. Di mana amalan sunat di dalamnya diganjari dengan pahala amalan fardhu, sementara amalan fardhu pula diganjari sehingga 700 pahala.

Buku ini juga merungkai persoalan adab-adab yang mesti dijaga, hikmah puasa juga menjadi daya tarikan yang dibincangkan dalam buku ini yang mampu menjawab taqwa di dalam diri Muslim yang berpuasa. Ia juga disifatkan Allah sebagai penyembuh pelbagai penyakit zahir dan batin. 

Buku ini menutup tirainya dengan aspek Nuzul al-Quran yang menjadi sandaran umat Islam menjadikannya sebagai pedoman, panduan dan rujukan mencari rahmat, keampunan serta pelepasan daripada api neraka.

Juga penjelasan mengenai beberapa peristiwa dan peperangan yang dilalui Rasulullah saw terutamanya dalam bulan Ramadhan. Akhir sekali kaedah mengenai mencari Lailatulqadar yang menjadi buruan Muslim pada setiap musim Ramadhan. 

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Sunday 14 June 2015

Puasa tapi jangan tak solat

فَأَقِيْمُوا الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا 
"Maka dirikanlah olehmu akan sembahyang sesungguhnya sembahyang itu difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang ditetapkan." (an-Nisa’: 103) 

Solat adalah salah satu rukun Islam. Ia merupakan tiang yang menegakkan agama, atau ibadah pengabdian kepada Allah SWT yang paling utama. Namun berapa ramai umat Islam hari ini yang meninggalkannya.

Ya, tidak mudah mendirikan solat, kerana Allah SWT sendiri menyatakan bahawa solat itu amat berat melainkan bagi orang-orang yang khusyuk. 

Sebab itu kita tidak pelik jika sekiranya ada orang yang sanggup bertahan untuk berpuasa selama 13 jam tetapi mengabaikan solat yang hanya sekitar 10 hingga 15 minit.

Anehkan? 

Yang mewajibkan solat dan puasa adalah Tuhan yang sama, tetapi mengapa ada pemisahan. 

Sesungguhnya rukun Islam itu berkaitan antara satu sama lain serta saling lengkap melengkapi. Jika salah satu daripada rukun itu tidak dilaksanakan, maka pincanglah agama.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat. Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi”. (Riwayat at-Tirmizi, an-Nasaei dan Ibnu Majah). 

Foto hiasan (sumber)

Soalan:

Ustaz, apakah diterima puasa orang yang sengaja meninggalkan solat? Kerana saya melihat ramai orang yang berpuasa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan:

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya; 1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir. 2. Jumhur ulamak berpandangan: ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerjakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).
Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah.

Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”.

Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud):

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah ra.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149
4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4

 Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus


Al-Fadhil Ustaz Norhisyam Tuan Padang

Semoga bermanfaat!

Friday 12 June 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 28

Salam Jumaat.


Jangan biarkan uslub bicaramu melemahkan semangat orang lain sekalipun ia bertepatan dengan realiti. Manusia memerlukan harapan, lantaran itu, tolonglah dia atau  diam sahaja.

Wednesday 10 June 2015

Kian terasa kehangatannya


Ramadhan kian diambang. Bahang kehangatannya mula terasa. Di radio dan kaca televisyen telah kedengaran iklan buah kurma, tentunya Yusuf Taiyoob. Semuanya menggamit perasaan agar terserap masuk ke dalam suasana ramadhan yang berkah ini.

Di taman perumahan saya sudah kedengaran letusan mercun. Puasa belum lagi, tetapi berdentam-dentum yang membingitkan anak telinga. Hairan, dari mana datangnya. Kalau dulu ketika hampirnya raya baru ada mercun. Sekarang belum apa-apa, sudah berperang sakan.

Memasuki bulan ramadhan bererti kita memulakan ibadat besar disyariatkan oleh Allah SWT ke atas orang-orang yang beriman iaitu puasa. Sesungguhnya puasa di dalam bulan ramadhan adalah anugerah istimewa untuk umat Muhammad yang tidak disyariatkan kepada umat terdahulu. Tujuan puasa adalah untuk mendapatkan darjat taqwa. Erti taqwa sangat terserlah di bulan Ramadhan. Kemanisan melakukan pelbagai ibadat adalah isi sebuah taqwa. 

Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas umat terdahulu. Mudah-mudah kamu menjadi orang yang bertaqwa."

Saat ramadhan menjengah, terlihat beberapa watak. Ada yang gembira dan tidak sabar-sabar menanti kehadirannya. Ramadhan menjadi medan untuk menambah-nambah amal berbanding bulan yang lain. Ada juga yang berasa resah dan gelisah. Mengapa? Kerana ramadhan menjadi satu tembok untuk dia melakukan pekara yang biasa dilakukan. Ada juga yang biasa-biasa sahaja. Bulan ramadhan atau bulan lain sama sahaja tiada yang istimewa. 

Tepuk dada tanya iman, dimanakah aku?     

Ramadhan juga mengimbau kepada sesuatu. Teringat sahabat dan handai-taulan yang telah pergi. Mereka tidak sempat bertemu ramadhan kali ini. Bahkan mereka juga tidak mengetahui bahawa ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka. 

Dalam penasaran, saya juga terfikir. Apakah sempat bertemu dengan ramadhan yang hanya membilang hari sahaja. Atau mungkin juga ramadhan tahun ini adalah yang terakhir? Allah jua yang Maha Mengetahui.

Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan... 

Sunday 7 June 2015

Ceramah Lambaian Kasih Ramadhan


Assalamualaikum waahmatullah.

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk menghadiri ceramah bersempena dengan bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi.

Ceramah yang bertajuk "Lambaian Kasih Ramadhan dan Pelancaran Dana Ramadhan Maahad Tahfiz al-Quran Pengkalan Damar', akan diadakan pada 08 Jun 2015. Bertempat di Dataran Ilmiah Tahfiz  al-Quran Pengkalan Damar, Sungai Karang Kuantan. Penceramah jemputan adalah YH Ustaz Dato' Abu Hasan Din al-Hafiz, yang merupakan seorang pendakwah yang tidak asing lagi dan seringkali menghiasi kaca televisyen di dalam rancangan keagamaan. Beliau juga adalah mantan pegawai agama istana negara.

Disamping itu, ceramah ini juga bertujuan untuk melancarkan dana ramadhan bagi pembangunan Maahad Tahfiz al-Quran Pengkalan Damar. 

"Jom semarakkan majlis ilmu"

Friday 5 June 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 27

Salam Jumaat.


Dalam hati setiap manusia ada tumbuhan yang baik. 
Jika disiram dengan elok, ia akan bercabang dan menjadi ladang.
Jika disiram dengan buruk, ia akan rosak dan merosakkan tanah serta sekitarnya.

Thursday 4 June 2015

Perihal bunian

Soalan: 

Adakah orang bunian benar-benar wujud? Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia atau golongan makhluk halus?

Jawapan:

Makhluk halus yang dikenali dengan jin, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya jelas terpapar dalam al-Quran dan hadis sahih yang boleh dirujuk dalam jawapan terdahulu. 

Adapun istilah orang bunian ataupun bunian sahaja, dalam masyarakat Melayu pernah difilemkan oleh allahayarham P. Ramlee yang menceritakan perihal masyarakat makhluk bunian. 

Pada saya, makhluk ini wujud, ia tergolong dalam makhluk halus. Ianya dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan yang mereka berumahtangga, beranak pinak dan bermasyarakat.

Ada yang mendakwa melihat bunian dan ada juga dakwaan manusia berkomunikasi dengan bunian sehingga boleh berjiran tetangga termasuk meminjam barang-barang harian. Betul atau tidak cerita itu saya pulangkan kepada Allah SWT lebih mengetahui. 

Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadis Nabi saw menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia. 

Golongan bunian ini disebut Rasulullah sebagai 'aamir atau ummar' yang tinggal berhampiran dengan manusia.

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku di zaman Rasulullah saw, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba hilang daripada masyarakat. Lalu keluarganya bertemu dengan Nabi saw menceritakan kehilangan Khurafah. 

Tidak berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan menceritakan pengalamannya. Dia telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedar diri dan apabila sedar dia berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan. 

Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas. Dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguambela dan sebagainya. Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata, "Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu anggota daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya." 

Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya. 

Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi saw, maka ramai sahabat mempertikaikannya. Maka Nabi saw menyebut (maksudnya), "Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul." 

Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Tetapi asalnya adalah cerita benar orang yang bernama Khurafah. 

Saya sebut kisah ini kerana saya lihat seolah-olahnya yang berlaku ini, mungkin boleh disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya mereka boleh melakukan sama seperti manusia seperti dalam kisah Khurafah tersebut. 

Masyarakat bunian adalah satu daripada kelompok yang banyak dari masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh soal orang bunian, menjadi suatu lagenda masyarakat Melayu sehingga kini, bunia dikaitkan dengan masyarakat beragama yang mempunyai masjid, surau dan bunyi azan, termasuk orang mengaji al-Quran dan sebagainya. Orang Melayu lebih percaya ianya dikaitkan dengan jin Islam. 

Sememangnya Islam mengakui adanya jin Islam sebagaimana yang disebut dalam Suratul Jin. Dalam surah itu menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk ke jalan yang lurus, maka kami beriman (kata jin). Jin juga mengaku di kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang kafir. 

Oleh itu memang ada kemungkinan, masyarakat bunian ini jika betul seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama. 

Dalam masyarakat manusia contohnya ada yang tidak Islam. Hatta dalam masyarakat Islam awal di zaman Rasulullah saw di Madinah, dalam masyarakat ideal itupun wujud golongan munafik dari kalangan Islam. Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam fasik dan Islam munafik dan sebagainya. 

Oleh itu apakah tidak mungkin dalam masyarakat bunian, berlaku sama seperti masyarakat manusia? 

Waalahu a'lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Tuesday 2 June 2015

Kesibukan setiap kali ia menjelang...


Boleh dikatakan hampir setiap malam kebelakangan ini saya dan beberapa rakan berada di Pusat Tarbiyah. Banyak perkara yang perlu disusun untuk pengisian pada bulan Ramadhan nanti. Sebenarnya ia adalah perkara biasa pada setiap tahun tatkala menjelang bulan yang mulia ini. Saya percaya, bukan hanya di tempat saya, malahan di kebanyakan tempat kondisinya sama. Masing-masing mahu mencari setiap ganjaran lumayan yang dijanjikan dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini.    

Banyak program yang telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang ramadhan. Manakala beberapa tugasan telah pun saya terima, termasuk perlu menyiapkan artwork banner ucapan ramadhan dan kad ucapan hari raya YB Adun tempat saya serta artwork taqwim ifthar Ramadhan. Pagi tadi pula saya menerima panggilan daripada seorang sahabat yang meminta agar menyiapkan satu artwork banner dan poster untuk program 'Ceramah Perdana Di Ambang Ramadhan" yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz. Ahh, dengan senang hati saya menerimanya.

Selain itu, satu program daurah ramadhan yang mana saya telah diamanahkan untuk mengetuai jawatankuasa promosi. Saya telah pun merangka kerja-kerja promosi, selain banner dan poster, insya-Allah saya akan cuba membuat promosi melalui klip video. Doakan agar saya dapat menyiapkannya. Program Daurah Ramadhan 1436H adalah program sehari untuk mengupas isi kandungan kitab at-Takrirat as-Sadidah, iaitu penjelasan hukum berkaitan puasa. Alhamdulillah, dua orang ustaz yang diakui keilmuannya bersetuju untuk mengambil bahagian sebagai panelis.

Dalam kesibukan menyusun program-program, saya tidak lupa untuk mengulangkaji berkaitan fiqh puasa. Semuanya untuk menyegarkan ingatan sebagai langkah persediaan. Hukum-hukum berkaitan penggunaan inhaler samada mulut atau hidung, endoskop perut, penggunaan ubat titis pada hidung dan telinga, suntikan pada otot dan sebagainya. Semuanya isu-isu yang perlu diberi perhatian.

Walaupun kelaziman begini pada setiap tahun setiap kali hampirnya ramadhan, namun kesibukan yang digelar kesibukan itu bukanlah kesibukan pada hakikat yang sebenar. Bahkan ia adalah peluang untuk menambah-nambah amal kebajikan, insya-Allah. 

##Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan!