Sahabat Sejati

Sunday 10 May 2015

Jernihkan kembali - updated


“Hish…serabutnya kepala, semuanya tak kena. Buat ini salah, buat itu pun salah, tak buat lagi salah.” 

Adakalanya hati resah tidak keruan. Jiwa tertekan, emosi berkecamuk membungkam fikiran. Semuanya tidak menjadi. Mengapa? 

“Aduii...dah 20 kali baca tak ingat-ingat lagi, macamana ni esok dah nak kena ‘test’ dah.” 

Adakalanya ingatan menjadi pudar. Di hadapan semuanya hitam dan kelam. Buntu dan kelu. Benak semakin senak. Mengapa? 

Carilah puncanya... 

“Perbuatan baik adalah sesuatu yang menenangkan jiwa dan mententeramkan hati, sedangkan dosa adalah sesuatu yang tidak menenangkan jiwa dan tidak mententeramkan hati, meskipun engkau mendapat fatwa dari orang ramai.” (Riwayat Imam Ahmad) 

“Sesungguhnya mukmin itu apabila berdosa akan meninggalkan titik hitam dihatinya. Jika ia bertaubat dan berhenti melakukan dosa serta memohon ampun terhapuslah titik hitam itu dari hatinya dan jika bertambah dosa, maka titik hitam itu akan bertambah besar. Itulah dosa yang disebut oleh Allah dalam kitab-Nya.” (Riwayat Ibnu Majah dan Imam Ahmad) 

Ya, sedikit sebanyak mungkin kerana dosa kita kepada Allah. Dosa yang mengundang keresahan, kegoncangan dan gejolak di dalam jiwa. Dosa yang menimbulkan kegelapan hati dan apabila hati menjadi gelap, ia pun menjadi keras dan jauhlah pemilik hati itu dari Allah. Lalu tertutuplah pandangan daripada kebenaran. 

Ubatilah ia. Jangan bertangguh-tangguh.

Maka penawar yang paling mujarab adalah dengan bertaubat kepada Allah. Taubat yang seenar-benarnya. Itulah rahmat dan nikmat yang dikurniakan kepada kita, hamba yang lalai dan leka. Tiap detik dan ketika. 

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya. Mudah-mudahan Tuhanmu menghapuskan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai...” (at-Tahrim: 8) 

Taubat adalah jalan menuju keampunan Tuhan. Maka ia akan menyingkirkan perasaan-perasaan yang meresahkan. Menjernihkan jiwa, menguraikan kekusutan. 

“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami dan jika Engkau tidak mengampuni dan mengasihani kami, nescaya kami menjadi orang-orang yang merugi.” (al-A`raf: 23) 

Bertaubatlah sementara masih diberikan kesempatan. Selagi pintunya masih terbuka, ketika nyawa belum menjengah halkum, maka lunakkan hati dan titiskan air mata penyesalam. Tentu Dia akan menerima kerana rahmat-Nya sentiasa mendahului murka-Nya.

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang luasnya langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (ali 'Imran: 133) 

Bukankah rasa ingin bertaubat itu rasa seorang hamba? 

##Peringatan buat diriku...

2 comments:

paridah said...

assalam..hamba2 Allah spt kita bukan insan sempurna sentiasa silap selalu berdosa ..ampuni hamba2-Mu ini ya Allah...astaghfirullah...

iryantyismail said...

asalamualaikum...saudara....mudah mudahan kita sempat bertaubat bukan tahu buat...insayallah..

Post a Comment