Sahabat Sejati

Wednesday, 22 April 2015

Dah masuk bulan Rejab!


Jamadil Akhir telah pun melabuhkan tirainya. Cahaya Rejab pula menampakkan jelas sinarnya. Seterusnya kita akan menghitung hari-hari untuk memasuki Ramadhan al-Mubarak tidak lama lagi. Mudah-mudahan Allah SWT memanjangkan usia kita agar dapat memasuki bulan yang secocok dengan gelaran madrasah tarbiyyah ruhiyyah itu, insya-Allah. Tetapi ini bukan cerita pasal Ramadhan.

Diriwayatkan daripada Anas ra, tatkala masuk bulan Rejab Rasulullah saw mengucapkan doa: Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." (Direkodkan oleh Imam Ahmad dan dinilai dhaif oleh al-Sayuti, al-Baihaqi, Ahmad Syakir dan al-Albani).

Walaupun hadis ini merupakan hadis yang dhaif namun sebahagian ulama’ membenarkan untuk mengambil pengajaran daripada hadis dhaif selagi mana hadis tersebut bukanlah dikategorikan dalam darjat ‘dhaif syadid’ iaitu terlampau lemah antaranya disebabkan celaan ke atas ‘perawi’ (periwayat) hadis tersebut).

Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh mengikut kalendar Hijrah. Bulan yang berlaku di dalamnya peristiwa besar iaitu Israk Mi`raj yang menurut majoriti ulama berlaku pada 27 Rejab. Peristiwa yang sangat menguji dan mencabar keimanan manusia ketika itu. Tidak sedikit yang goyah dan tercalar keimanan kerana tidak dapat menerima rasionalnya sebagaimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah saw.

Jika mahu difikirkan secara logik, maka akal pasti tidak dapat menerimanya. Bayangkan dari Makkah menuju ke Baitul Maqdis, seterusnya naik ke langit untuk bertemu Allah SWT yang hanya mengambil masa semalaman. Tetapi dengan keimanan dan keyakinan yang mantap, Saiyidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain menerimanya dengan tanpa berkira-kira. Di dalam peristiwa Israk Mi`raj ini juga Rasulullah saw menerima perintah solat lima waktu yang menjadi kewajipan ke atas semua umat Islam.

Di antara bulan haram

Rejab juga disebut sebagai bulan haram iaitu bulan yang diharamkan berperang di dalamnya dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. 

Allah SWT berfirman: 
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (at-Taubah: 36) 

Rasulullah saw bersabda: 
“Sesungguhnya zaman(tahun) telah berputar sebagaimana keadaannya sejak hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu terdapat dua belas bulan dan di antaranya ada empat bulan yang suci, tiga berturut-turut iaitu Zulqaeddah, Zulhijjah dan Muharram dan keempatnya ialah bulan Rejab ‘Mudhar’ yang jatuh antara dua Jamadil (iaitu Jamadil Awal dan Jamadil akhir) dan Sya’ban”. ( Hadis Muttafaqun ‘Alaih). 

Bulan-bulan haram ini merupakan antara bulan-bulan mulia dalam Islam malah diagungkan oleh bangsa Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari menyatakan bahawa masyarakat Arab jahiliyyah pada ketika dahulu sering kali menukar bulan-bulan haram ini tanpa mengikut tertib asalnya. Mereka akan mendahulukan atau melewatkan bulan-bulan haram ini dengan bulan-bulan biasa seperti melewatkan bulan Rejab ke bulan Sya’ban. Perkara ini dilakukan supaya mereka boleh berperang sewaktu bulan-bulan haram. 

Apabila datangnya Islam, Rasulullah saw telah meletakkan kembali susunan dan tertib asal bulan-bulan Islam seperti yang kita ketahui pada masa kini. 

Bukan melemah sesiapa yang mahu beramal 


Seperti yang kita ketahui, Rejab memang bulan yang banyak kelebihan kerana ia di antara bulan-bulan haram. Namun, amat menggusarkan kerana apabila masuk bulan Rejab maka ‘bertebaran’ hadis-hadis palsu di dalam FB, whatsapp, wetchat dan sebagainya. Hadis yang menerangkan berkenaan kelebihan sesuatu amalan di dalam bulan Rejab termasuk ibadat solat sunat dan puasa. Sedangkan al-Hafiz Ibnu Hajar, seorang yang alim di dalam mazhab Syafie menyatakan: “Tidak ada hadis sahih yang menunjukkan bersolat dan puasa dalam bulan Rejab secara khusus.” 

Memang tidak ada sebarang dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah. Manakala khabar-khabar berkenaan beberapa hadith yang menceritakan tentang kelebihan puasa pada bulan Rejab bukanlah hadith-hadith yang boleh dijadikan hujjah kerana para ulama hadis telah mengklasifikasikan hadis-hadis tersebut sebagai hadis ‘maudhu’ (palsu) mahupun ‘dha’fun syadid’ iaitu terlampau lemah. 

Bukan mahu melemahkan sesiapa yang mahu beramal. Tidak! Sesiapa yang mahu beramal, silakan. Berpuasa isnin dan Khamis ataupun berpuasa 3 hari sebulan. Solat sunat dhuha, qiamullail dan sebagainya. Silakan! Cuma jangan menetapkan hari beramal kerana kelebihannya dan menyandarkan kepada hadis Nabi saw. Contohnya ada hadis yang berbunyi (sekadar menyebut beberapa hadis) 

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati. 

ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i. 

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati. 

iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib. 

v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib. 

vi. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash. 

Ingatan bersama 


Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu. Sekali lagi saya nyatakan, bukanlah saya mahu melemahkan sesiapa yang mahu beribadah. Silakan beribadah. Tetapi amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih, tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat serta berpuasa. Bukan hanya menetapkan khusus di bulan Rejab sahaja. 

Takutlah akan amaran Rasulullah saw kepada yang menyebarkan hadis palsu. 

Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda: "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari). Wallahua`lam. 

Peringatan buat diri saya.

4 comments:

iryanty ahamad said...

Asalamualaikum saudara..selamat tengah malam...terima kasih atas perkongsian...alhamdulilah ada perkara yang yan baru tahu..tentang hadis palsu..

Kakzakie said...

Semakin dunia menuju ke akhir zaman semakin bercelaru. Berbagai cara utk menyesatkan umat Islam dibuat. Yg tambah sedih yg baru belajar mengenal dunia alam maya tanpa mempelajari ilmu agama dgn mudah mengeluarkan kata-kata indah kemudian dikatakan ianya hadith. Bertebaran kini ayat-ayat yg menggusarkan ramai. Ulama' pun kakak rasa pening. Apatah lagi yg baru menapak mempelajari agama macam-macam hal sekarang ini.

Apa pun beramal dibulan apapun tidak ada halangan tapi niat kena betul. Ilmu kena dicari setiap waktu. Luangkan sedikit masa demi mencari ilmu. Insya-Allah tidak tersepit di celah kecelaruan yg menjadi-jadi sekarang ni..

paridah said...

assalam..amalan yg baik tetap diterima Allah dgn niat kerana Allah...yg rajin berpuasa niat spt puasa nabi daud alaihissalam..nabi kita juga berpuasa kala tiada bekalan mknan utknya..elakan mempercayai hadis2 palsu...peranan alim ulama ni di alaf baru memenafaatkn media sosial maya..

saniah ibrahim said...

terimakasih atas info ini ,banyak yang dapat kakak pelajari terutama tentang hadis2 palsu.Baru2 ini pun kakak dapat wasap dari seseorang tentang keterangan no 4 tu.Memang boleh mengelirukan ...

Post a Comment