Sahabat Sejati

Thursday 30 April 2015

Taman Syurga - Kembara Ilmu


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan khususnya warga Kuantan, dijemput untuk memeriahkan program Kembara Ilmu anjuran Randel CSR dan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan at-Tibyan Kuantan. 

Program Kembara Ilmu ini akan disempurnakan oleh al-Fadhil Ustaz Dr Muhammad Rozaimi Ramli yang merupakan seorang pensyarah di Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).    

Jadual pengajian adalah seperti berikut:

1 - Kuliah Maghrib
     1 Mei 2015 (Jumaat)
     Masjid Hidayah, Permatang Badak

2 - Daurah: Petunjuk Nabi saw Dalam Merawat Hati
     2 Mei 2015 (Sabtu)
     Dewan Pengajian Delima, Kg Baru Beserah
     Sesi 1 : 9.00pagi - 11.00pagi
                2.30ptg - 4.30ptg
3 - Kuliah Maghrib 
     2 Mei 2015
     Masjid Tok Sira, Alor Akar

4 - Kuliah Subuh
     3 Mei 2015 (Ahad)
     Masjid Saiyidina Umar al-Khattab, Cenderawasih

5 - Daurah: Petunjuk Nabi saw Dalam Merawat Hati
     Dewan Pengajian Delima, Kg Baru Beserah
     3 Mei 205
     Sesi 2 : 9.00pagi - 11.00pagi
                2.30ptg - 4.30ptg

6 - Kuliah Maghrib
     3 Mei 2015
     Masjid Sultan Ahmad Shah, UIA Kuantan

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Wednesday 29 April 2015

Terima kasih Datuk Seri MB...


Siang tadi Datuk Seri MB Pahang telah mengumumkan 5 Mei sebagai cuti peristiwa bagi negeri Pahang bersempena dengan PRK Parlimen Rompin. Alhamdulillah, terima kasih Datuk Seri MB Pahang. Banyak betul cuti pada bulan Mei ini. Walaupun saya bukan penduduk jajahan Parlimen Rompin dan tidak terlibat dengan proses pilihanraya tersebut, tetapi dek kerana warganegeri Pahang maka terkena juga tempias cuti tersebut.

Insya-Allah, anak-anak akan balik dari asrama pada hari esok. Hmm..tentu riuh dan meriah rumah yang selama ini hanya tinggal kami bertiga sahaja. Saya berkira-kira mahu mengambil cuti pada 6 Mei, bolehlah saya bersantai bersama keluarga semahunya nanti.   

1 Mei : Jumaat Hari Pekerja
2 Mei : Sabtu (tak kerja)
3 Mei : Ahad Hari Wesak ( pun tak kerja)
4 Mei : Ganti hari Wesak 3 Mei
5 Mei : Cuti peristiwa
7 Mei : Hari hol negeri Pahang

##Tengah plan nak ke mana, ada cadangan?

Tuesday 28 April 2015

Bagaimana untuk mengatasi dan membuang bahan-bahan yang disyaki bahan sihir yang ditabur?

Soalan:

Di pejabat saya, acap kali berlaku kecoh bila didapati benda-benda pelik ditaburkan di pintu pejabat bos kami, seperti kemenyan, beras kunyit, kain warna warni, telur, daging mentah dan bangkai burung gagak hitam bersepah sehingga ke dalam bilik bos saya. Apakah maksud kerja-kerja sebegini dan bagaimana untuk mengatasinya? 

Jawapan:

Sering berlaku berbagai benda pelik diletakkan di hadapan rumah, kedai, warung, tempat-tempat makan, di pejabat dan sebagainya. 

Orang Melayu mempunyai kefahaman menebal adanya kerja halus dilakukan, untuk menyampaikan maksud jahat, tidak puashati dengan seorang ketua ataupun seorang teman sepekerjaan, lalu berfikir untuk menukarkan mereka ke tempat lain atau dengan tujuan tertentu. 

Perkara yang disebutkan saudari, memang ada imbas-imbas pekerjaan sihir, tetapi apakah setiap kali kita berjumpa perkara tersebut, hendak dikaitkan dengan sihir, atau mungkin ia suatu perang psikologi? 

Mungkin ia bertujuan menakutkan seseorang, atau membuatkan orang yang 'dibuat' itu menarik diri dari jawatannya. Mungkin ianya kerja nakal, gurauan atau perbuatan suka-suka tanpa ada mainan sihir. 

Jika diandaikan ia amalan sihir, saya rasa ianya tersasar. Sihir itu ialah perbuatan tersembunyi dan tidak dapat dilihat. Kebiasaannya kerja sihir dilakukan di tempat gelap dan bahan sihir biasanya disembunyikan. 

Bahan sihir ditanam atau dimasukkan dalam konkrit, disangkutkan di atas bumbung atau di siling rumah dengan tujuan tiada orang yang dapat melihat. 

Ia dilakukan dengan jampi mentera, berhubung dengan makluk halus sebagai perantara untuk menyampaikan maksud jahat mereka. Sihir merupakan suatu perbuatan yang tidak diketahui, tersembunyi dan ianya tiba-tiba berlaku di alam nyata. 

Benda yang dapat dilihat dengan mata sebegitu, tentulah bukan sihir. Ianya perbuatan nakal untuk memerangi psikologi orang yang berkenaan. 

Saya nasihatkan, janganlah dihebohkan perkara sebegini kerana ia bukan sihir. 

Kita perlu mengatasinya dengan menyebarkan ajaran Islam yang sebenar, bahawa kerja-kerja berinsusiasi dengan amalan sihir adalah suatu dosa besar, padah besar yang mengundang kecelakaan dunia sampai kepada akhirat. 

Keduanya, mengajak manusia bertanggungjawab atas amalan mereka. Sekiranya amalan jahat dilakukan, hari ini mungkin untuk orang lain, tetapi hal yang sama mungkin akan dilakukan ke atas dirinya pula. Maka kerja seburuk ini hendaklah dihentikan serta merta. 

Ketiga, atasilah masalah yang berlaku dalam kehidupan kita secara gentleman dengan tidak membabitkan kerja-kerja yang membawa kepada kekecohan atau buruk sangka sesama rakan sekerja. 

Keempat, jadilah panduan, Islam itu sebagai suatu pegangan. Perkara yang melanggar hukum Islam dijauhi, khasnya perkara syirik yang merupakan perkara fitnah dalam masyarakat.

Kelima, fitnah memfitnah mengundang padah. Buruk sangka sama-sama di pejabat mengundang kecelaruan dan menjauhkan kita daripada ketenangan. 

Maka oleh kerana itu, kita hendaklah melakukan amalan-amalan yang mendekatkan diri kita dengan Allah SWT supaya dihindarkan kita daripada kecelakaan sihir dan sebagainya. Wallahua'lam. 

(Sumber: Bersama Dato  Dr Harun Din)

Ramadhan, takut dan harap


Tiba-tiba teringatkan bulan Ramadhan. Terasa ingin menulis mengenainya. Tentu ada yang berkata, kemaruk sangat ni. Ramadhankan lambat lagi, 2 bulan lagi. Rejab pun baru beberapa hari. Yalah, membaca tajuknya pun mungkin sudah ramai yang terasa lain macam. Memang janggal jika menulis sesuatu yang diluar ‘musim’. 

Al-Hafidz Ibnu Rajab menyebutkan satu riwayat yang menunjukkan semangat mereka dalam menyambut ramadhan. Beliau menyebutkan keterangan Mu’alla bin Al-Fadhl – ulama tabi’ tabiin – yang mengatakan: 

كانوا يدعون الله تعالى ستة أشهر أن يبلغهم رمضان يدعونه ستة أشهر أن يتقبل منهم
“Dulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadhan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadhan. Kemudian, selama enam bulan sesudah ramadhan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka selama bulan Ramadhan.” (Lathaif Al-Ma’arif, hlm. 264) 

Maknanya masih relevan jika saya menulis tentang Ramadhan pada ketika ini, sebagaimana mengambil teladan para sahabat rhum, berdasarkan kata-kata al-Hafidz Ibnu Rajab. 

Memang saya tidak sabar menanti kedatangan Ramadhan. Kalau boleh biarlah Ramadhan dua, tiga kali setahun. Bukannya setahun sekali. Saya percaya sahabat-sahabat pun sama, merindukan lambaian Ramadhan. Saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan jika ada yang tidak menyukai bulan ini. 

“Aduh Ramadhan pula, birulah muka aku menahan makan 12 jam..” 

Entahlah jika ada yang berkata demikian. Tetapi saya rasa tidak ada, kerana semua sukakan Ramadhan. Buktinya, ada yang tidak sembahyang tetapi sanggup berpuasa menahan makan selama 12 jam. Maknanya mereka sayangkan bulan Ramadhan dengan turut sama berpuasa. Bab sembahyang, itu soal lain. Janji Ramadhan mesti dihormati dan diraikan. 

Sangat tepat ia disebut sebagai adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Lihatlah, ramai yang menjadi baik tatkala masuknya bulan ini. Masjid dan surau mulai penuh sehingga AJK-nya berkira-kira perlu dibesarkan lagi tahun hadapan untuk menampung jemaah yang hadir. Tangan pula menjadi ringan untuk bersedekah dan menderma, manakala budaya bertukar juadah menjadi satu kemestian dek kerananya. Itulah penangan Ramadhan. Mudah-mudahan kebaikan yang subur di bulan ini berkekalan selepas berakhirnya Ramadhan. Aminn. 

Bagi diri saya pula selain daripada peluang menambah-nambah amal kebajikan dengan berbagai-bagai program yang telah disusun, Ramadhan ada sesuatu yang menggamit hati dan sanubari yang menjadi kenang-kenangan. Ia ada kegembiraan yang sukar untuk dijelaskan. 

Namun, dalam pada itu terlintas juga di fikiran, “sempat ke aku bertemu dengan Ramadhan tahun ini..” Takut dan bimbang menguasai jika ajal terlebih dahulu menjemput. Kehidupan bukan milik kita. Ia adalah kepunyaan mutlaq Allah SWT. Dia yang menciptakan kita dan seterusnya menetapkan tarikh kematian yang menjadi rahsia milik-Nya. 

Dalam ketakutan sekiranya tidak sempat bertemu dengan bulan Ramadhan, saya berharap-harap agar sempat dengan izin-Nya. 

Kata Syeikh Jamaluddin al-Qasimi al-Dimasyqi di dalam Mau`izatul Mukminin: “Takut dan harap adalah seumpama dua sayap yang digunakan untuk terbang bagi orang-orang yang benar-benar mendekatkan diri dan jiwanya kepada Allah SWT agar dapat menuju ke kedudukan yang terpuji.” 

Keduanya perlu ada dalam setiap diri Muslim. Sifirnya mudah, kita takut Allah tidak menerima amal ibadat kita tetapi dalam masa yang sama harap-harap Allah terima. Kita takut Allah tidak mengampunkan dosa kita, dalam masa yang sama harap-harap Allah ampunkan. Demikianlah hakikatnya, takut dan harap sangat perlu dalam kehidupan. 

“Takut tidak sempat bertemu Ramadhan, harap-harap sempat,” kata hati kecil.

Friday 24 April 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 21

Salam Jumaat.


Jangan merasa putus asa jika kamu berundur selangkah ke belakang...

Jangan lupa anak panah memerlukan kamu mengundurkannya ke belakang untuk ia bergerak dengan kuat ke hadapan.

Thursday 23 April 2015

Poskad dari Warszawa, Panorama Starego Miasta

 Ini poskadnya

Sudah lama saya tidak menerima kiriman poskad. Kali terakhir jika saya tidak lupa ialah ketika zaman belajar dulu. Maknanya memang cukup lama. Masa itu poskad yang menjadi pilihan adalah gambar pemandangan. Kami mengirim poskad gambar pemandangan di negeri Pahang kepada sahabat di Kelantan, Terengganu, Kedah, Melaka, Johor dan sebagainya. Mereka pula membalas poskad gambar pemandangan negeri mereka. Seronok sangat!

Semalam, terkejut juga apabila melihat ada sekeping poskad di dalam peti surat. Siapa pula yang berkenan mengirimkan kepada saya. Cantik juga gambar lukisan bangunan di tepi sungai yang tertulis Warszawa, Panorama Starego Miasta. Manakala di sebelah belakangnya pula tertera cop “WARSZAWA 20032015” dan dengan setem yang sangat berlainan dengan setem yang biasa saya lihat. Melihat pada tarikh copnya, bermakna ia telah dipos pada bulan lepas. Lamanya masa yang diambil untuk sampai ke tangan saya. 

Rupa-rupanya poskad ini kiriman daripada seorang pelajar yang pernah menjalani latihan di bawah seliaan saya dulu. Saya mendapat tahu sekarang ini dia sedang menjalani kursus di Poland selama 6 bulan. Patut pun sebulan poskad yang dikirimkan baru sampai, dari Poland rupanya. Hmm, ingat juga kat mantan tok guru hang ye.. (senyum). 

 Setem dengan cop Warszawa

Saya menghubungi beliau melalui aplikasi whatsapp untuk mengucapkan terima kasih di atas kiriman poskad tersebut. Katanya, poskad tersebut bukanlah semata untuk berkomunikasi. Yalah, jika diikutkan, mahu berhubung lebih mudah melalui email, atau melalui whatsapp yang sangat canggih dan pantas hari ini. Tetapi ia lebih kepada cenderahati untuk kenang-kenangan. ‘Oklah’ juga, saya mahu menjejakkan kaki ke Poland, entah zaman bila agaknya. Dapat poskad dengan setem dan cop dari Poland pun sudah memadai (senyum).

Sebenarnya ramai juga pelajar yang telah menjalani latihan di bawah seliaan saya. Ada di peringkat diploma dan ada yang ijazah. Dalam ramai-ramai itu, ada yang masih berhubung dan ramai juga yang telah terputus khabar berita. Namun mereka semua tetap diingatan dan doa saya. 

“Encik Wan, saya nak menjemput encik Wan sekeluarga ke majlis perkahwinan saya...” Beritahu seorang bekas pelajar kepada saya melalui telefon pada suatu hari.

“Insya-Allah...”

Mudah-mudahan dengan sedikit ilmu yang diberikan kepada mereka, akan menjadi amal jariah yang tidak putus-putus mengalir daripada perbendaharaan-Nya, setelah ketiadaanku nanti. Saya mengharapkannya.

Rasulullah saw bersabda: “Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: "Apabila mati seorang anak Adam mka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadis sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Wednesday 22 April 2015

Dah masuk bulan Rejab!


Jamadil Akhir telah pun melabuhkan tirainya. Cahaya Rejab pula menampakkan jelas sinarnya. Seterusnya kita akan menghitung hari-hari untuk memasuki Ramadhan al-Mubarak tidak lama lagi. Mudah-mudahan Allah SWT memanjangkan usia kita agar dapat memasuki bulan yang secocok dengan gelaran madrasah tarbiyyah ruhiyyah itu, insya-Allah. Tetapi ini bukan cerita pasal Ramadhan.

Diriwayatkan daripada Anas ra, tatkala masuk bulan Rejab Rasulullah saw mengucapkan doa: Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." (Direkodkan oleh Imam Ahmad dan dinilai dhaif oleh al-Sayuti, al-Baihaqi, Ahmad Syakir dan al-Albani).

Walaupun hadis ini merupakan hadis yang dhaif namun sebahagian ulama’ membenarkan untuk mengambil pengajaran daripada hadis dhaif selagi mana hadis tersebut bukanlah dikategorikan dalam darjat ‘dhaif syadid’ iaitu terlampau lemah antaranya disebabkan celaan ke atas ‘perawi’ (periwayat) hadis tersebut).

Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh mengikut kalendar Hijrah. Bulan yang berlaku di dalamnya peristiwa besar iaitu Israk Mi`raj yang menurut majoriti ulama berlaku pada 27 Rejab. Peristiwa yang sangat menguji dan mencabar keimanan manusia ketika itu. Tidak sedikit yang goyah dan tercalar keimanan kerana tidak dapat menerima rasionalnya sebagaimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah saw.

Jika mahu difikirkan secara logik, maka akal pasti tidak dapat menerimanya. Bayangkan dari Makkah menuju ke Baitul Maqdis, seterusnya naik ke langit untuk bertemu Allah SWT yang hanya mengambil masa semalaman. Tetapi dengan keimanan dan keyakinan yang mantap, Saiyidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain menerimanya dengan tanpa berkira-kira. Di dalam peristiwa Israk Mi`raj ini juga Rasulullah saw menerima perintah solat lima waktu yang menjadi kewajipan ke atas semua umat Islam.

Di antara bulan haram

Rejab juga disebut sebagai bulan haram iaitu bulan yang diharamkan berperang di dalamnya dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. 

Allah SWT berfirman: 
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (at-Taubah: 36) 

Rasulullah saw bersabda: 
“Sesungguhnya zaman(tahun) telah berputar sebagaimana keadaannya sejak hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu terdapat dua belas bulan dan di antaranya ada empat bulan yang suci, tiga berturut-turut iaitu Zulqaeddah, Zulhijjah dan Muharram dan keempatnya ialah bulan Rejab ‘Mudhar’ yang jatuh antara dua Jamadil (iaitu Jamadil Awal dan Jamadil akhir) dan Sya’ban”. ( Hadis Muttafaqun ‘Alaih). 

Bulan-bulan haram ini merupakan antara bulan-bulan mulia dalam Islam malah diagungkan oleh bangsa Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari menyatakan bahawa masyarakat Arab jahiliyyah pada ketika dahulu sering kali menukar bulan-bulan haram ini tanpa mengikut tertib asalnya. Mereka akan mendahulukan atau melewatkan bulan-bulan haram ini dengan bulan-bulan biasa seperti melewatkan bulan Rejab ke bulan Sya’ban. Perkara ini dilakukan supaya mereka boleh berperang sewaktu bulan-bulan haram. 

Apabila datangnya Islam, Rasulullah saw telah meletakkan kembali susunan dan tertib asal bulan-bulan Islam seperti yang kita ketahui pada masa kini. 

Bukan melemah sesiapa yang mahu beramal 


Seperti yang kita ketahui, Rejab memang bulan yang banyak kelebihan kerana ia di antara bulan-bulan haram. Namun, amat menggusarkan kerana apabila masuk bulan Rejab maka ‘bertebaran’ hadis-hadis palsu di dalam FB, whatsapp, wetchat dan sebagainya. Hadis yang menerangkan berkenaan kelebihan sesuatu amalan di dalam bulan Rejab termasuk ibadat solat sunat dan puasa. Sedangkan al-Hafiz Ibnu Hajar, seorang yang alim di dalam mazhab Syafie menyatakan: “Tidak ada hadis sahih yang menunjukkan bersolat dan puasa dalam bulan Rejab secara khusus.” 

Memang tidak ada sebarang dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah. Manakala khabar-khabar berkenaan beberapa hadith yang menceritakan tentang kelebihan puasa pada bulan Rejab bukanlah hadith-hadith yang boleh dijadikan hujjah kerana para ulama hadis telah mengklasifikasikan hadis-hadis tersebut sebagai hadis ‘maudhu’ (palsu) mahupun ‘dha’fun syadid’ iaitu terlampau lemah. 

Bukan mahu melemahkan sesiapa yang mahu beramal. Tidak! Sesiapa yang mahu beramal, silakan. Berpuasa isnin dan Khamis ataupun berpuasa 3 hari sebulan. Solat sunat dhuha, qiamullail dan sebagainya. Silakan! Cuma jangan menetapkan hari beramal kerana kelebihannya dan menyandarkan kepada hadis Nabi saw. Contohnya ada hadis yang berbunyi (sekadar menyebut beberapa hadis) 

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati. 

ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i. 

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati. 

iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib. 

v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib. 

vi. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash. 

Ingatan bersama 


Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu. Sekali lagi saya nyatakan, bukanlah saya mahu melemahkan sesiapa yang mahu beribadah. Silakan beribadah. Tetapi amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih, tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat serta berpuasa. Bukan hanya menetapkan khusus di bulan Rejab sahaja. 

Takutlah akan amaran Rasulullah saw kepada yang menyebarkan hadis palsu. 

Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda: "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari). Wallahua`lam. 

Peringatan buat diri saya.

Tuesday 21 April 2015

Apakah hikmahnya Allah menciptakan makhluk halus yang boleh melihat manusia sedangkan manusia tidak boleh melihat rupa asal mereka?

Soalan:

Apakah hikmahnya Allah menciptakan makhluk halus yang boleh melihat manusia sedangkan manusia tidak boleh melihat rupa asal mereka. Dalam masa yang sama makhluk ini memusuhi manusia dan sering menyakiti manusia. Senang mereka memperlakukan manusia kerana mereka dapat melihat manusia. Mengapa begitu, harap dapat dijelaskan. 

Jawapan: 

Bukan semua makhluk halus sentiasa mencelakakan manusia. Ada kalangan mereka beragama Islam dan ada yang kafir. Yang Islam kebiasaannya seperti manusia. Makhluk halus yang benar-benar Islamnya tidak akan menyakiti mana-mana makhluk.

Berdasarkan hadis Rasulullah saw (mafhumnya): "Seorang muslim yang sebenar adalah seorang muslim yang akan memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada makhluk lain sama ada melalui lidahnya mahupun perbuatannya."

Manusia muslim dengan makhluk halus yang muslim adalah bersaudara berdasarkan Firman Allah dalam al-Quran (mafhumnya): "Sesungguhnya semua orang mukmin itu adalah bersaudara."

Makhluk halus yang benar-benar muslim menjadi saudara kepada kita dan tidak akan menyakiti kita.
Bagaimanapun, permusuhan merupakan salah satu sifat yang ada pada manusia dan makhluk halus.

Seperti manusia, sesama mereka pun bermusuhan, berperang dan berbunuhan, sifat yang sama juga ada pada makhluk halus.

Allah menganugerahkan suatu rahmat yang amat besar kepada manusia dengan mereka tidak dapat melihat makhluk halus.

Allah menciptakan suatu filter atau penutup di mata, iaitu pada kebiasaannya kebanyakan manusia tidak dapat melihat makhluk halus.

Jika kita boleh nampak mereka sebagaimana mereka nampak kita, manusia tidak akan senang duduk, sentiasa terancam dan diancam.

Nescaya manusia tidak boleh berehat dan jauh sekali hendak tidur nyenyak kerana asyik terlihat rupa-rupa mereka yang menakutkan.

Disebabkan kita tidak dapat melihat mereka, maka kita boleh duduk bersenang lenang, berehat dan tidur tanpa sebarang gangguan, meski pun mereka berada di sekeliling kita.

Cuba kita bayangkan, jika sekiranya kita berada di dalam bilik tidur, tiba-tiba ternampak makhluk seperti ular atau pun seperti anjing hitam lari masuk ke bawah katil kita, tentulah kita akan mencarinya hingga dapat.
Jika tidak dapat, sudah tentu kita tidak akan nyaman tidur dan mungkin berpindah ke bilik lain.

Oleh kerana itu, kita harus faham bahawa dengan tidak dapat melihat makhluk halus dikatakan dikatakan suatu nikmat yang besar.

Makhluk halus boleh menyakiti manusia, jangan lupa, manusia juga boleh menyakiti makhluk halus.
Manusia takut kepada mereka, jangan lupa mereka juga takut kepada kita. Malah sebenarnya makhluk haluslah yang lebih takut kepada manusia, khasnya orang-orang yang sangat tinggi darjat ketaqwaannya kepada Allah SWT.

Disebut dalam satu hadis, Nabi saw mengatakan (mafhumnya): "Sekiranya Umar al-Khattab mengikuti suatu jalan ke suatu arah, tiba-tiba ada syaitan (makhluk halus) mereka akan bertempiaran lari mengikut jalan lain kerana tidak mahu berjumpa dengan Umar."

Dengan berlakunya makhluk halus menyakiti manusia, maka manusia boleh mempertahankan dirinya dengan cara mendekati Allah, memohon perlindungan kepada Allah SWT.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan jika kamu ditimpa suatu gangguan atau godaan dari syaitan, maka berlindunglah dengan Allah SWT, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-A'raaf, ayat 200)

Firman Allah (mafhumnya): "Dan jika kamu ditimpa suatu gangguan atau godaan dari syaitan, maka berlindunglah dengan Allah SWT, sesungguhnya Dia lah sahaja yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Fussilat, ayat 36)

Kedua-dua ayat ini membawa maksud yang sama, cuma dalam Surah Fussilat, ada penambahan ayat "hua" atau Dia-lah sahaja. Ayat ini Allah memberi penekanan bahawa Allah sahaja yang akan memberikan perlindungan kepada manusia, mempertahankan manusia daripada kecelakaan yang akan dikenakan
makhluk halus.

Insan mukmin sewajibnya hanya takut kepada Allah SWT sahaja, bukan takut kepada makhluk halus. Jika kita takut dengan mereka, ertinya penggantungan kita masih rapuh dan perlu ditingkatkan.

Ingatlah bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi, kita adalah "bos" atau "ketua" atau "pemerintah" yang memerintah alam, semua makhluk di muka bumi termasuk makhluk halus kena patuh kepada manusia.
Inilah yang menyebabkan iblis dengki serta iri hati kepada Nabi Adam as. kerana Adam dan anak cucunya diangkat menjadi khalifah.

Maka dengan itu manusia tidak seharusnya takut kepada makhluk halus.

Manusia perlu sedar, manusia diberi kelebihan yang tidak diberikan kepada makhluk halus.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai kenderaan di daratan dan di lautan; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik baik, serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan." (al-Isra', ayat 70)

Salah satu daripada kelebihan yang Allah berikan ialah, manusia dapat mempertahankan dirinya dari sebarang gangguan musuhnya termasuknya makhluk halus dengan berpegang dan bergantung kepada Allah SWT. Wallahu a'lam.

(Bersama Dato Dr Harun Din)

Saturday 18 April 2015

Taman Syurga: Kuliah Ilmu bersama Ustaz Dato` TITM


Assalamualaikum warahmatullah.

Sabda Rasulullah saw: “Barang siapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah memudahkan jalannya menuju Surga. Sesungguhnya para Malaikat membentangkan sayapnya untuk orang yang menuntut ilmu kerana redha atas apa yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya orang yang berilmu benar-benar dimintakan ampun oleh penghuni langit dan bumi, bahkan oleh ikan-ikan yang berada di dalam air.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 3641), Tirmidzi (no. 2682), Ibnu Majah (no. 223), Ahmad (V/196), Ad-Darimi (I/98), Ibnu Hibban (88 – Al-Ihsan dan 80 – Al-Mawarid)

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk bersama memeriahkan majlis ilmu yang akan disampaikan oleh pendakwah yang tidak asing lagi, al-Fadhil Ustaz Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man. Jadualnya adalah seperti berikut:

# Kuliah Maghrib
18 April 2015 (Sabtu)
Masjid Tg Ampuan Afzan, Bandar Indera Mahkota.

# Kuliah Subuh
19 April 2015 (Ahad)
Masjid Taman Balok Makmur.

Jom semarakkan majlis ilmu!

Fikir-fikir: Akhir zaman dah kita ni!


Kebelakangan ini terasa kesibukan yang lebih daripada biasa. Dari pagi membawa ke petang, kemudian melarat ke malam hari. Entahlah, kadang-kadang mengeluh juga apalah yang disibukkan. Kualiti hidup sama sahaja seperti dulu.  Wal`iyazubillah.

Kita melewati kehidupan dalam perantaraan masa. Sedar atau tidak masa dirasakan semakin cepat berlalu. Baru lagi rasanya hari Jumaat minggu lepas, tup, tup hari ini datang pula hari Jumaat. Banyak yang tidak sempat dilakukan dek kerana berlumba dengan masa. Tetapi jika difikirkan masa tetap 24 jam, tidak pernah terlebih atau terkurang sejak berzaman lagi. 

Dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda: “Jarak waktu akan saling mendekati, amalan akan berkurangan, kekikiran akan menjadi-jadi, akan muncul fitnah-fitnah (cubaan-cubaan) dan akan banyak al-“Haraj”, mereka bertanya: “Apakah al-Haraj itu wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Pembunuhan, pembunuhan.” (Diriwayatkan oleh Bukhari di dalam sahihnya, no 7061 dari Abu Hurairah. Dalam Sahih Muslim (157) dan Sunan Abu Daud (4088). 

Hadis ini menceritakan di antara tanda-tanda kecil kiamat. Mari kita ambil isyarat yang pertama iaitu mengenai zaman (masa). Mari kita mengambil tahu akan makhuk ajaib yang bergelar zaman (masa) ini.

Imam al-Khattabi dalam kitab Ma`alimus-Sunan berkata bahawa kalimat “zaman akan saling mendekati” adalah bermaksud singkatnya waktu umur dan berkurangnya keberkatan dalam waktu itu. Beliau juga mengikuti perkataan ulama lain yang menunjukkan bahawa hal itu akan terjadi pada zaman al-Mahdi dan Isa as, dengan segala nikmat dan kesenangan hidup yang dirasakan manusia pada waktu itu, maka dengan kesenangan itu waktu akan terasa pendek iaitu ia akan berlalu dengan cepat. 

Ibnu Hajar pula berkata: “Yang benar adalah bahawa keberkatan akan dicabut dari segala sesuatu termasuk dari waktu itu sendiri sedangkan yang demikian itu adalah di antara tanda sudah hampirnya kiamat.” 

Katanya lagi: “Kita menemukan hal ini pada zaman kita ini (zamannya - pen.) dari cepatnya hari yang mana hal itu tidak kita temui pada masa sebelum kita walaupun pada waktu itu tidak ada kesenangan hidup.” (Lihat kitab Fathul Bari, juz. 13, hal. 16. Kitab Ma`alimus-Sunan oleh al-Khattabi, juz. 6, hal. 142) 


Pendapat seperti ini juga disepakati oleh al-Qadhi `Iyyadh dan Imam Nawawi dan selainnya iaitu hadis ini bermaksud berkurangnya keberkatan dalam waktu sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis marfu`: 

“Tiada akan berlaku as-Sa`ah (kiamat) sehingga zaman akan semakin saling mendekat, maka setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti sesaat (sejam) dan sesaat seperti terbakarnya sumbu lampu.” (Daripada Anas pada riwayat Tirmidzi dan Abu Hurairah pada riwayat Ahmad) 

Kalimah as-Sa`ah banyak terdapat di dalam al-Quran. Kalimah ini kebanyakannya adalah bagi menggambarkan peristiwa qiamat. Dari segi bahasa as-Sa`ah bererti satu juzuk daripada zaman (masa). Dalam sehari semalam mengandungi 24 jam. Jika ia dikecilkan menjadi jam, seterusnya minit, dan akhirnya menjadi detik. Tetapi semua juzuk-juzuk masa itu disebut dalam bahasa Arab dengan kalimah as-Sa`ah. 

As-Sa`ah juga dalam bahasa arab bermaksud al-An, iaitu sekarang atau ketika ini. Oleh itu, jika Allah SWT menggunakan kalimah as-Sa`ah kepada hari qiamat, maka ia menjelaskan bahawa peristiwa qiamat itu adalah satu kejadian yang mendadak atau serta-merta. As-Sa`ah membawa erti qiamat yang bakal terjadi dalam sekelip mata ataupun al-An. As-Sa`ah juga memberi maksud suatu masa yang dekat. Justeru, as-Sa`ah yang dibahasakan kepada qiamat supaya mendorong manusia agar sentiasa berfikir tentang qiamat. Selain daripada itu agar tersemat di dalam hati bahawa qiamat sudah terlalu hampir. 

Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda: “Aku diutus adalah bersamaan dengan kiamat seperti dua jariku ini.” Baginda mengisyaratkan dengan mengiringkan jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Kesahihan hadis ini adalah muttafaqun `alaih, diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari, Muslim dari Abu Hurairah, Anas dan Sahal bin Sa`ad) 

Dalam riwayat yang lain, Baginda saw bersabda: “Aku diutus bersamaan dengan kiamat, dan sesungguhnya ia hampir sahaja mendahuluiku.” (Hadis dikeluarkan oleh Ahmad dan at-Thabari dengan sanad yang hasan dari hadis Buraidah bin Hushaib) 

Imam al-Qurthubi dalam kitabnya, “At-Tazkirah” ketika menjelaskan hadis Rasulullah saw: “Aku diutus bersamaan dengan kiamat”, berkata: “Makna hadis ini adalah menunjukkan bahawa terjadi kiamat sudah dekat. Al-hafiz Ibnu Hajar berkata: “Telah berkata Ad-Dhahhaq: “Tanda kiamat yang pertama adalah diutusnya Nabi Muhammad saw dan menjadi hikmah dari munculnya tanda kiamat pada masa awal, adalah untuk memperingatkan orang-orang yang lalai dan mendorong mereka untuk bertaubat dan bersiap sedia.” (Kitab Fathul Bari, Kitaburraqqaq, juz 11) 

Dunia sudah pun menjengah di akhir zaman. Justeru, marilah kita mencari keberkatan masa iaitu mengisi ia dengan sebaiknya. Lakukanlah apa sahaja asalkan ianya ada nilai di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan kita semua menjadi hamba-Nya yang bertaqwa dan 'beruntung'. 

"Demi masa! Sesungguhnya setiap manusia itu berada di dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka ingat-mengingati dengan kebenaran dan ingat-mengingati dengan kesabaran."   

##Peringatan buat diriku...

Friday 17 April 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 20

Salam Jumaat


Kehebatan manusia bukan dengan apa yang dimiliki
Sebaliknya dengan apa yang dihulurkan...
Sesungguhnya matahari memiliki api
Tetapi ia memenuhi alam dengan cahaya.

Thursday 16 April 2015

Kisah Umar Abd Aziz dan merendah diri - update

Saya mengemaskan sila, menunggu butir-butir mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh ustaz Ramli. 

Pandangan dialih ke kiri dan kanan. Tidak ramai yang menunggu. Ada yang sudah mengangkat punggung seusai solat maghrib tadi. Ada yang duduk di luar berborak sambil menghisap rokok. 

"Dah pandai belaka barangkali," bisik hati kecil saya, nakal. Tersenyum saya sendirian.

"Hah, apa yang kamu senyum sorang-sorang ni," tegur pakcik Hasan disebelah.  

"Tak ada apa-apa." 

Alhamdulillah, amat menarik kuliah pada malam itu. Cukup teruja saya mendengarnya. Laju tangan saya mencatat butir-butir pengajaran sebagai nota ilmu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya bawa pulang. Tidaklah dikatakan pergi berlenggang, balik berlenggang.

Teringat kata-kata murabbi di waktu belajar dahulu agar sentiasa membawa pen dan kertas. “Kemana sahaja kamu pergi pastikan ada pen dan kertas untuk mencatat, itu syarat dalam menuntut ilmu. Jika kamu menuntut ilmu tanpa membuat sebarang catatan, itu seumpama kamu menulis di atas takungan air. Tidak akan memberi bekas apa yang disampaikan.” Saya memegang erat azimat sang murabbi. 

Apa yang ingin saya kongsikan adalah kisah yang diceritakan oleh ustaz Ramli, kisah Khalifah Umar Abd Aziz yang amat masyhur dengan sifat tawadhuknya. 

Kisah Umar Abd Aziz 

Diceritakan bahawa pada suatu malam datanglah seorang tetamu kepada Khalifah Umar bin Abd Aziz. Waktu itu beliau sedang menulis. Lampunya hampir padam. 

Tetamu itu kemudian berkata: “Biarlah saya yang membaiki lampu itu, ya Amirul Mukminin.” Beliau menjawab: “Ah, jangan, tidak baik seseorang menganggap tetamunya itu sebagai pelayannya. Itu bukan termasuk suatu sifat yang mulia.” Tetamu itu berkata lagi: “Kalau begitu, biarlah saya bangunkan pelayan sahaja.” Beliau menjawab pula: “Ah, jangan, ia baru sahaja tidur, agaknya sejak tadi ia belum merasakan nikmat bantalnya.” 

Selanjutnya tetamu itu menceritakan bahawa beliau sendiri mengisikan minyak kedalam lampunya itu. Ia berkata: “Wahai, apakah tuan sendiri yang membetulkan lampu itu ya Amirul Mukminin. 

Beliau lalu menjawab: “Mengapa tidak, kalau saya pergi, saya pun tetap Umar. Kalau saya kembali, saya pun tetap Umar juga. Tidak akan berkurang sesuatu pun dari diriku dengan apa yang saya lakukan tadi bukan? Selamanya pun saya tetap Umar. Memang sebaik-baik manusia ialah orang yang tawadhuk disisi Allah Taala.” 

Buat diri saya

Amat berkesan cerita yang disampaikan oleh ustaz Ramli itu kepada saya. Saya merenung jauh tembus ke dalam diri, kadang-kadang betapa sukarnya kita untuk tawadhuk merendah diri, menadah telinga untuk mendengar butir-butir ilmu dari para asatizah dan tuan-tuan guru. Sepatutnya kita bersesak-sesak sehingga bercantum lutut untuk mengambil seberapa banyak pelajaran dan pengajaran yang disampaikan.  Besarnya keberkatan majlis ilmu sehingga diistilahkan oleh Rasulullah saw sebagai "di antara taman-taman syurga".

Lainlah jika kita mempunyai sesuatu yang mustahak sehingga tidak memungkinkan kita untuk duduk sama mendengar. Itu cerita lain. Saya maksudkan kepada yang tiada apa-apa kesulitan, tetapi tidak mahu juga bersila menadah telinga. Kebiasaannya, majlis ilmu seperti kuliah maghrib, kuliah subuh, tazkirah dhuha dan sebagainya tidaklah lama mana. paling lama jangka masa pun dalam sejam lebih. Maka labuhkanlah punggung dan tadahlah telinga sebentar.     

Bagi yang mendengar pula catatlah isi kuliah buat bekalan kita dan juga untuk disampaikan kepada orang lain pula. Mudah-mudahan kita saling lengkap melengkapi diantara satu sama lain. 

Apa yang dibimbangi saat hadirnya zaman seperti yang disebut oleh Rasulullah saw dalam hadisnya: 

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan merentapnya dari dada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama. Apabila tiada lagi ilmuan, maka nantinya manusia akan mengambil pemimpin-pemimpin yang jahil, pemimpin itu ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka sesatlah golongan yang bertanya, sebagaimana sesatnya juga golongan yang ditanya” [Hadith riwayat al-Tirmidhi] 

Sebagai peringatan bersama terutama diri saya.

Tuesday 14 April 2015

Amoi Berhijab


Sebut nama Felixia, yang datang dalam fikiran kita adalah: seksi. 

Sekiranya tidak seksi, yang mungkin datang adalah: Playboy. 

Kalau pun tidak Playboy, tergambar soal: hijab. 

Namun siapa sangka, di balik wajah menawan itu ada banyak kisah? Kisah yang selama ini dipendam, disimpan, dan tidak dikongsikan. 

Dalam Amoi Berhijab, ada banyak cerita yang istimewa. Cerita waktu kecilnya yang disalah faham sebagai bisu. Cerita waktu sekolahnya yang asyik dibuli. Cerita waktu remajanya yang penuh dengan agenda menjaga adik sahaja. 

Kemudian tentulah ramai ingin tahu hidup seorang model Playboy. Bagaimana hidup dalam dunia glamor. Serta hebatnya sehelai tudung, mampu mengubah hati seorang insan. 

Amoi Berhijab, sebuah buku ikhlas daripada hati. Sebuah tulisan yang sejujurnya mahu berkongsi, buat sesiapa yang mahu mengetahui.

Tajuk : Amoi Berhijab
Penulis : Raisyyah Rania Yeap, Sharafuddin Sulaiman
Penerbit : PTS Media Group
Muka surat : 160
Harga : RM18.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!

Sunday 12 April 2015

"Beranak seorang tetapi anak ramai" - telah hilang...

Lebih-lebih marah bimbang jadi lain pula. Tidak pasal-pasal kita disanggah oleh ibu bapa mereka pula. Nanti bukan budak-budak yang bergaduh, orang tua pula tidak bertegur sapa. 

Ada masanya saya terfikir, saya di antara generasi yang bertuah kerana sempat hidup di zaman “beranak seorang tetapi anak ramai". Anda tentu faham maksud ungkapan ini. Maksudnya, "anak kamu anak aku, anak aku anak kamu". Itulah bahasa desa, itulah pe`el perangai warga desa yang prihatin.

Benar, jika di desa tiada istilah anak sendiri, tiada anak orang. Orang tua bebas menegur anak-anak desa yang kesemua mereka dianggap seperti anak sendiri. Sedikit pun tidak bimbang disanggah ibu bapa mereka, bahkan diucapkan pula terima kasih kerana sudi menegur anak-anak mereka. Kita juga seperti itu, mengharap ada yang menegur anak-anak kita. Di hadapan mata kita, tiada masalah untuk kita menegur anak-anak kita. Tetapi di belakang kita tentunya kita mengharapkan sahabat-handai dan teman sekampung menegur pula. Begitulah sebaliknya. 

Tetapi itu dulu, sekarang sudah hilang bahasa desa itu sebagaimana hilangnya bahasa budi anak-anak desa. Tetapi saya pula cukup terasa 'hilang' di dalam kehidupan.

Friday 10 April 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 19

Salam Jumaat,


Sempurna manapun kamu...
Akan ada orang membencimu...
Hatta malaikat dibenci oleh syaitan.

Wednesday 8 April 2015

Bicara santai: Sakit, muhasabah bersama

 (foto hiasan)

Allah telah menguji saya dengan kesihatan yang agak kurang memuaskan. Telah seminggu saya diserang selesema dan batuk-batuk. Seingatnya bulan lepas saya turut terkena wabak ini. Tetapi kali ini agak menyakitkan. Lebih mengaibkan tatkala batuk yang bersangatan ketika sedang berada bersama sahabat ramai. Di waktu itu banyak mata yang memandang. 

Malam hari adalah masa yang agak tidak selesa. Batuk yang menyerang, sakitnya naik ke kepala. Mahu mengiring tak boleh, menelentang tak selesa, meniarap pun sama. Malam yang menjadi masa rehat akhirnya terisi dengan tidur-tidur ayam sahaja. Jika terlelap pun, entah jam berapa tidak ketahuan.

Pondok kecil abuikhwan juga sedikit terbiar tanpa sebarang contengan beberapa hari ini. Ia agak meresahkan hati. Masih saya ingati, sewaktu mula-mula membina blog ini dengan melahirkan ketakutan gagal untuk sentiasa menyajikan artikel yang baru. Bimbang jika sahabat-sahabat datang ke sini dan kecewa setelah mendapati ia mula 'bersawang'. 

Sebenarnya bukan tidak larat untuk menulis, tetapi berasa kurang selesa. Dalam pada itu, saya cuba juga untuk mencoretkannya agar tidak menghampakan para pengunjung (peminat??) – Aduh buruk benar bunyinya, ada peminat ke blog yang sekadar gini-gini. Hmm, malu pula menyebutnya. Ada ke yang mahu membaca setiap artikel yang di’post’kan di blog ini, bermula huruf pertama hingga ke huruf yang terakhir. 

Dalam senyum perisa kelat saya mempositifkan diri. Tuhan tidak bertanya, apakah ada orang yang membaca apa yang kamu tulis? Tetapi Tuhan bertanya apakah kita menyampaikan dakwah dengan menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran? Insya-Allah, ada. Mudah-mudahan, walaupun sebaris ayat. 

Muhasabah bersama
Mahu menulis mengenai apa? Ilham pula terencat sebagaimana terencatnya kesihatan. Tulislah dengan rileks dan santai-santai. Tajuk besar pun BICARA SANTAI. Oh, alang-alang tidak sihat, baik saya menulis mengenai kesihatan. Opss, jangan tersilap faham. Saya bukan mahu menulis mengenai tips-tips kesihatan. Yang itu biarlah pakar kesihatan yang mengambil tempat. Mereka lebih layak. Saya mahu menulis dari sisi yang lain. Sekurang-kurangnya kesihatan yang teruji ini, ada juga hikmah yang boleh dicubit, sebagai catatan muhasabah buat diri sendiri. 

Ketika sakit, terfikir juga alangkah menderitanya orang yang sakit sehingga membawa kepada kematian. Kadang-kadang kita memandang mudah orang yang sakit tua atau nazak. Maksud saya pernahkah kita memikirkan bagaimanakah kesakitan mereka. Mungkin pernah atau mungkin tidak. Kita yang sakit sedikit pun sudah tidak tertahan. Bagaimanakah pula mereka yang menderita sakit yang membawa kematian. Bagaimana pula kita nanti? Mampukah menahan kesakitan itu. 

Kata Aisyah rha: “Saya melihat Rasulullah saw yang sedang menghadapi maut, di sisi baginda ada sebuah bekas yang berisikan air, kemudian baginda mengusapkan ke wajahnya, sambil bersabda: “Tiada Ilah yang berhak disembah kecuali Allah. Sesungguhnya kematian itu mempunyai sakaratul maut.” (Riwayat Bukhari) 

Dalam riwayat yang lain: “Ya Allah, tolonglah saya dari kepayahan menghadapi maut.” (Riwayat ashabus Sunan selain Abu Daud dengan sanad hasan) 

Fatimah rha berkata: “Betapa pedihnya musibah menimpamu, wahai ayahku!” Nabi saw bersabda: “Tidak ada kepedihan lagi yang akan menimpa ayahmu setelah hari ini (hari kematian).” (Riwayat Bukhari) 

Saiyidina Umar ra berkata kepada Ka`ab al-Akhbar ra: “Wahai Ka`ab, ceritakan kepada kami mengenai kematian!” Ka`ab berkata: “Baik wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya kematian itu laksana sebatang ranting pohon yang banyak durinya yang dimasukkan ke dalam perut seseorang. Setiap duri mengenai satu urat. Kemudian, duri itu ditarik oleh seseorang dengan tarikan yang sangat keras. Hingga terambillah apa yang terambil dan tersisalah apa yang tersisa.” 

Diriwayatkan, tatkala Nabi Ibrahin as meninggal dunia, Allah SWT bertanya: “Bagaimana engkau mendapati kematian, wahai kekasih-Ku? Ia menjawab: “Ia laksana besi yang mencengkam bulu domba kering lalu ditarik.” Allah berfirman: “Padahal Kami telah meringankannya untukmu.” 

Demikianlah sakaratul maut yang menimpa kekasih-Nya. Sengaja saya membawakan kisah-kisah ini untuk membandingkan dengan diri kita. Sedangkan kekasih-Nya merasai berat dan pedihnya sakratul maut, apalah pula dengan kita yang setiap hari menumpukkan dosa, samada sedar maupun tidak. Bayangkan saat kematian yang mendatang kepada kita tanpa terdahulu cepat atau lambat walau sedetik. Bolehkah kita kawal perasaan. Mampukah kita tetapkan hati untuk terus berhubung dengan Allah? Mudah-mudahan Allah SWT meneguhkan hati kita di saat itu dengan husnul khatimah, iaitu penamat kehidupan yg baik. Aminn. 

Terdetik juga, alangkah menderita kesakitan orang yang diazab dalam neraka. Terkena selesema dan batuk-batuk pun terasa tidak selesa dan menderita, namun ada ubatnya. Ada harapan untuk sembuh. Tetapi menderita sakit di dalam neraka bagi orang yang tiada iman walau sebesar zarah di dalam hatinya. Oh, sakit menderita selama-lamanya. Harapan untuk sembuh? Atau tamat penderitaan? Tiada, ia kekal selama-lamanya. 

Lihatlah cerita yang menakutkan melalui tontonan Nabi saw kepada penghuni neraka dalam peristiwa Israk dan Mi`raj. Rasulullah saw menceritakan ada penghuni neraka yang mengoyak-ngoyakkan perut sendiri dan memakannya, ada yang memotong lidahnya dan tumbuh kembali, lalu dipotongnya lagi. Demikianlah ia berterusan. Ada yang memecahkan kepala sendiri dengan batu sehingga terkeluar otak. Kemudian kepala yang pecah itu kembali menjadi sediakala dan dipecahkan lagi, serta banyak lagi sebagaimana yang diceritakan oleh Rasulullah saw. 

Ya Allah, jauhkanlah kami dari azab neraka yang tidak tertahan itu. 

Tidak mudah sebenarnya 


Kita selalu menyebut bahawa ujian sakit itu adalah penghapus dosa bagi mereka yang sabar. Namun tidak mudah sebenarnya ketika kita menderita kesakitan. Untuk mengelak diri daripada mengeluh, resah dan berkata pada hati: "Wahai diri, sabarlah. Sakit ini tanda Allah sayang hanya untuk yang terpilih. Allah mahu menghapuskan dosa dan memberi pahala.” Tidak mudah sebenarnya. Memang kita boleh berkata begitu di saat tidak berada pada kondisinya. Bagaimana jika saat diuji dengan kesakitan yang seakan tiada harapan sembuh. Mampukah kita menuturkan demikian. Susah tetapi jangan sampai tidak mencuba. Berusahalah semampu mungkin untuk redha dan mengembalikan segalanya kepada Allah yang Maha Mengetahui. Saya benar-benar mengingatkan diri sendiri. 

Kembali kepada diri saya. Di celah-celah kesihatan yang kurang memuaskan itu, Allah memberi sedikit nikmat. Allah adalah Tuhan kita yang sangat penyayang. Dia yang telah berfirman di kitab-Nya: 
“Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (al-Insyirah: 5-6) 

Apakah nikmat di dalam kesakitan itu? Rasanya biarlah saya rahsiakan dulu. Nanti bertambah panjang pula artikel ini. Elok-elok ada yang mahu baca, akhirnya tidak jadi baca kerana panjang sangat. Nantilah di dalam ‘posting’ yang lain, itupun jika saya tidak terlupa. 

Terakhir, apabila sakit yang dideritai hilang, alangkah lega dan gembiranya. Sebuah syukur yang tidak mampu diungkapkan. Kadang-kadang sakit itu perlu agar kita menginsafi akan nilai dan harga sebuah nikmat yang dinamai sihat! Hampir seluruh kebahagiaan dan kenikmatan hidup bergantung dengan kesihatan. Ya, kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Jadi, sesekali diuji dengan kesakitan barulah kita tahu dan sedar akan nikmatnya sihat. 

Segala puji bagi Allah....

Sunday 5 April 2015

Benarkah Rasulullah tidak pernah mengubat orang yang sakit?

Soalan:

Saya mendengar seorang penceramah mengulas sebuah hadis bahawa Rasulullah saw, pernah dibawa kepadanya seorang pesakit meminta diubati. Rasulullah tidak mengubatinya, sebaliknya pesakit itu dirujuk kepada pengubat lain. Kata penceramah itu Rasulullah tidak mengubatkan pesakit. Oleh itu bagaimana kita hendak kaitkan ilmu perubatan Islam dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sedangkan Nabi tidak melakukannya? Mohon dijelaskan kesahihan hadis tersebut. 

Jawapan: 

Hadis yang dirujukkan penceramah tersebut adalah betul. Ia adalah hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim yang didapati dalam banyak kitab seperti Sahih Muslim dan Zaadul Ma’ad oleh Ibnul Qayyim dalam juzuk kelima. Hadis sepenuhnya bermaksud begini: 

Disebut lbnu Syihab az-Zukhri katanya; seorang lelaki telah dipatuk ular berbisa lalu dibawa kepada Rasulullah saw, sengatan ular ini amat serius, lelaki itu berada di dalam sangat kritikal. Lalu Nabi bertanya kepada sahabat, apakah ada orang yang mahir mengubati bisa ular. Sahabat memberitahunya, ada, iaitu Aalu Hazmin, mereka terkenal dengan ilmu pengubatan ini. Nabi bertanya siapakah nama pengubat yang terbaik itu, lalu mereka menjawab ‘Ammarah Ibnu Hazmin. Pesakit ini dibawa berjumpa dengan ‘Ammarah, tetapi beliau enggan mengubatkannya. Lalu pesakit ini dibawa berjumpa Rasulullah saw semula. 

Nabi bertanya ‘Ammarah mengapa beliau enggan merawat. Jawabnya, saya telah memeluk agama Is­lam dan saya mendengar Rasulullah saw melarang jampi mantera untuk rawatan. Lalu Rasulullah saw berkata kepada beliau, bukan semua jampi mantera diharamkan. Ada yang boleh diamalkan jika tiada dalam jampi itu perkataan yang syirik. “Nabi menyuruh ‘Ammarah membaca jampi yang ada padanya untuk rawatan bisa tersebut. Selepas mendengarnya, Nabi membenarkan ‘Ammarah membacanya untuk tujuan pengubatan. Lalu beliau melakukannya dan pesakit itu sembuh dengan izin Allah SWT” 

Permasalahan yang dibangkitkan, dengan ulasan penceramah tersebut, seme­mangnya boleh mencelarukan orang yang mendengarnya. Malah boleh memecah­ belahkan orang yang kurang ilmu penge­tahuannya tentang hadis. Orang yang banyak membaca dan mema­hami ilmu syariat, khususnya menguasai hadis-hadis Nabi yang banyak boleh memahami hadis ini. Kebiasaannya orang yang mahir dengan hukum, tidak mudah untuk membuat kesimpulan semata-mata dengan hanya menjumpai satu hadis sahih sahaja. Tidak wajar, daripada satu hadis sahaja penceramah sudah membuat kesimpulan dan menyalahkan orang lain, kononnya Nabi tidak pernah mengubatkan pesakit. 

Hadis-hadis sahih tentang pengubatan, saya dapati amat banyak. Memudahkan untuk kita memahami hadis-hadis ini, saya membuat kesimpulan bahawa hadis-hadis sahih tersebut, dikumpul­kan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Diletakkan dalam satu bab khusus yang dipanggil ‘Babuttadawi’ (Bab Mengubat Penyakit). Saya menyimpulkan semua hadis­-hadis sahih tentang bab pengubatan penyakit ini dalam sekurang-kurangnya enam keadaan yang berlainan tetapi mempunyai signifikan yang sendiri. 

Senario Pertama 

Pesakit datang berjumpa Rasulullah saw meminta dirawat dan Nabi sendiri merawat mereka dengan bacaan ayat al-Quran ataupun daripada hadis baginda sendiri. Ia terdapat misalnya dalam hadis dari Uthman Ibnul ‘Ass dan Aisyah binti Abu Bakr yang menyebut bahawa Rasulullah saw mengubati keluarganya yang sakit. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari. 

Demikian juga Anas bin Malik mencerita­kan bahawa Tsabit al-Banani datang kepada baginda mengadu sakit, lalu Nabi merawat­nya. Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Anas, iaitu datang seorang pesakit kepadanya lalu Anas berkata, mahukah kamu, aku jampi ke atas kamu sebagaimana jampi Rasulullah saw ke atas ku. Jawabnya mengapa tidak. Lalu Anas menjampinya dengan jampi Rasulullah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari. 

Senario Kedua 

Nabi mengajar sahabat menjampi pesakit untuk mereka menjadi pengubat. Hal ini sabit dengan hadis dari Aisyah, Uthman Ibnul ‘Ass dan Anas bin Malik, bahawa Nabi mengajar bacaan untuk mengubat penyakit.. 

Senario Ketiga 

Nabi sendiri yang sakit, tetapi baginda tidak mengubati dirinya. Sebaliknya diubati oleh Jibril as. Hal ini boleh dilihat dari hadis, Abu Sa’id al-Khudri katanya: “Jibril mendatangi Rasu­lullah saw lalu berkata, wahai Muhammad apakah anda mengadu kesakitan? Jawab baginda, ya. Lalu Jibril menjampikan baginda.” (Hadis Sahih Muslim). 

Ini menunjukkan, bahawa pasti ada pera­wat kepada yang sakit. Pesakit perlu dirujuk kepada perawat atau pakar lain dalam bidang-bidang tertentu. 

Senario Keempat 

Nabi saw sakit dan baginda merawat dirinya sendiri. Aisyah rha. menceritakan bahawa Rasulullah saw mengadu kesakitan, baginda mengubati dirinya sendiri dengan membaca ayat-ayat al-Quran. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Senario Kelima 

Pesakit yang mahir ataupun pakar, boleh diubati oleh orang yang kurang pakar. Hal ini berlaku, ada ketikanya Jibril yang merawat ke­tika Rasulullah sakit dan dalam hadis sahih se­perti peristiwa menjelang kewafatan baginda, baginda meminta Aisyah rha. merawatnya. 

Pada mulanya Aisyah enggan merawat Nabi kerana mengenangkan siapalah dirinya jika hendak dibandingkan dengan Rasulullah. Oleh kerana Rasulullah sendiri yang meminta Aisyah membacanya, lalu Aisyah membaca ayat-ayat al-Quran dengan meme­gang tangan Rasulullah sambil mengharapkan keberkatan yang lebih dari tangan Nabi yang suci itu. 

Dalam senario ini juga, Nabi meminta Aisyah membawa sebekas air untuk didoakan, setelah didoakan, lalu Nabi mencelupkan tangannya di dalam air itu, lalu Nabi menya­pukannya di muka dan di badan baginda. 

Senario Keenam 

Nabi tidak mengubat pesakit (sedangkan baginda boleh berbuat demikian). Senario ini sama sebagaimana yang disebutkan dalam soalan tadi. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah saw mengajar kita apabila ada pesakit yang serius (seperti dipatuk ular dalam hadis tadi), maka diarahkan supaya dirujuk kepada pakar segera. 

Sememangnya Nabi saw pakar dalam segalanya, tetapi baginda memberi peluang untuk dirujukkan hal-hal tertentu kepada sahabat-sahabat yang lain. 

Oleh itu maka hadis yang saudara persoal­kan, hanyalah salah satu episod daripada cara pengubatan Rasulullah saw. Wallah hu ‘alam 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Friday 3 April 2015

GST, bukan GST yang itu..tetapi memang GST

GST lagi! Tiada cerita lain ke? 

Eh, nanti dulu, jangan sentap sangat dengan tajuk di atas. Biarpun kalimah GST sangat ‘femes’ dua tiga hari ini dan telah pun menyentap hati ramai orang. Memang ramai yang tidak bersetuju dan membantahnya sebagaimana yang saya lihat di dalam media baru. Namun ada juga yang kata ia baik dan bagus iaitu peti televisyen dan pak-pak menteri. 

Oh, maafkan saya. Sebenarnya saya bukan bicara GST yang dikatakan sistem percukaian yang ‘good’ itu. Ini bicara GST lain. 

foto hiasan (sumber)

GST yang saya maksudkan ialah Gerhana Sudah Tiba. Rasanya semua sudah maklum, dijangka gerhana bulan akan berlaku pada malam esok. Tengahari tadi masjid di tempat saya telah pun membuat pengumuman untuk mengadakan solat sunat gerhana selepas solat maghrib esok. Seorang khatib dari luar daerah telah diundang untuk menyampaikan khutbah bersempena dengan solat sunat gerhana tersebut. 

Gerhana bulan berlaku apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya dari matahari. Sesetengah pihak tatkala mengalami peristiwa gerhana bulan mahupun matahari, mereka hanya melihat kejadian ini sebagai satu perkara yang luar biasa. Sekadar suatu yang pelik, itu sahaja. Tidak kurang pula yang mengaitkannya dengan perkara-perkara mistik. 

Apa pun tanggapan sesetengah pihak, sebenarnya kejadian gerhana ini adalah merupakan di antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang mentadbir seluruh alam. Apabila terjadi gerhana bulan mahupun matahari maka disunnahkan bagi kita untuk mengerjakan solat Solat Sunat Gerhana Bulan (Kusuf) dan Gerhana Matahari (Khusuf) 

Menurut Ibn ‘Umar ra, Nabi saw bersabda: 

“Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat”. (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1042). 

Hadis ini dilafazkan oleh Rasulullah saw pada hari kematian anak lelakinya, Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. 

Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana, apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya gerhana itu disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia. Rasulullah saw telah menyangkal kepercayaan karut ini lalu bersabda sebagaimana hadis di atas. 

Kalau dulu, orang-orang tua bercerita, jika berlaku sesuatu gerhana mereka akan mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Entahlah menjadi atau tidak. Tetapi sekarang rasanya sudah tiada yang melakukan begitu. Kefahaman agama kini sudah semakin meningkat dengan banyaknya kuliah-kuliah agama di surau dan masjid.  Jadi, secara perlahan-lahan kepercayaan ini pupus dengan sendiri.

Jom solat sunat Gerhana

Solat sunat gerhana dilakukan secara berjemaah, namun sekiranya solat Gerhana itu tidak dilakukan secara berjemaah ia tetap sah. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rah, dalil yang mengharuskan solat Gerhana dikerjakan secara bersendirian sebagaimana sabda Rasulullah saw: 

“Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (matahari dan bulan mengalami gerhana), bersegeralah solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046) 

Satu lagi, ia bukan hanya dikerjakan oleh kaum lelaki malah kaum wanita juga boleh turut serta mengerjakannya secara berjemaah. 

 Foto hiasan: Khutbah solat sunat gerhana (sumber)

Berbeza dengan solat-solat sunat yang lain, solat Gerhana memiliki empat kali rukuk, iaitu dua kali rukuk setiap rakaat. Kepada sahabat-sahabat yang tidak biasa melakukan solat sunat gerhana ini, saya sarankan agar membaca kaifiyatnya terlebih dahulu. Bukannya apa, bimbang nanti kepelikan pula. Kenapa rukuk sampai dua kali dalam setiap rakaat? Kacau nanti kalau ada yang mufaraqah kerana menyangka imam terlupa. 

Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Gerhana 

Rakaat Pertama:
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Gerhana (Kusuf atau Khusuf) 
2) Takbiratul Ihram 
3) Doa Iftitah 
4) Membaca surah al-Fatihah 
5) Membaca Surah al-Qur’an 
6) Rukuk 
7) Iktidal 
8) Membaca Surah al-Fatihah 
9) Membaca Surah al-Qur’an 
10) Rukuk 11) Iktidal 
12) Sujud 13) Duduk antara dua sujud 
14) Sujud kali kedua 
15) Bangun untuk rakaat kedua 

Rakaat Kedua:
1) Membaca surah al-Fatihah 
2) Membaca Surah al-Qur’an 3) Rukuk 
4) Iktidal 
5) Membaca Surah al-Fatihah 
6) Membaca Surah al-Qur’an 
7) Rukuk 
8) Iktidal 9) Sujud 
10) Duduk antara dua sujud 
11) Sujud kali kedua 
12) Duduk untuk tahiyyat akhir 
13) Memberi salam ke kanan dan ke kiri 

Setelah selesai mengerjakan solat Gerhana, sunnah dilaksanakan khutbah yang ringkas. Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir. Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya. 

Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.

Selamat mengerjakan solat sunat Gerhana!

Rehat Minda: Pesan Murabbi 18

Salam Jumaat.


"Wahai Tuhan kami!

Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu.

Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberiannya."

Thursday 2 April 2015

Rasailah denyut nadi kami..

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. 

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. 

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. 

"Daripada unta yang kita sembelih hari ini."

Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Kisah Imam al-Nawawi

Terdapat satu kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. 

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. 

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: 

"Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya saw." (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam)

Rasailah denyut nadi kami

Alangkah buruknya pemerintah atau ketua rakyat bermewah-mewah dengan peruntukan harta negara, sedangkan di masa yang sama rakyat bawahan gundah membilang butiran beras. Mengira helaian ringgit untuk membayar itu dan ini.

Duhai yang berada di atas tampuk, rasailah apa yang rakyat rasa. Rasailah penderitaan dan denyut nadi rakyat.  

##Cetusan rasa rakyat marhein...