Sahabat Sejati

Tuesday 3 March 2015

Kenangan masih basah: Musim orang kahwin...


Banyak juga jemputan kenduri kahwin pada bulan Mac ini. Kelmarin adalah jemputan yang pertama, sehinggalah akhir bulan termasuk ‘waktu puncak’ iaitu pada cuti sekolah di pertengahan bulan nanti. Kebanyakan jemputan pada hari Sabtu dan Ahad melainkan ada satu pada hari Jumaat. Itupun kerana kenduri tersebut berdekatan dengan Kemaman, maka dibuat pada hari tersebut kerana negeri Terengganu cuti hujung minggunya pada hari Jumaat. 

Hmm, melihat pada tarikh kenduri, ada yang berlangsung pada hari yang sama. Begitu juga program-program saya di luar kawasan yang biasanya diadakan pada hujung minggu. Untuk itu, agak mustahil untuk saya memenuhi kesemua undangan melainkan perlu membuat pilihan. Tetapi jika ada yang tidak dapat memenuhi jemputan kenduri tak ‘sedap’ pula rasanya. Maklumlah semuanya kenalan belaka. Tengoklah bagaimana pilihannya nanti. 

Teringat pengalaman menemani YB Adun di tempat saya memenuhi undangan kenduri. Asalnya kami terlibat dalam program taklimat GST anjuran Pusat Khidmat Dun bersama Kastam Pahang pada sebelah pagi. Saya adalah salah seorang AJK pelaksana, manakala YB pula menjadi panelis bersama seorang lagi pegawai kastam yang dijemput. 

Usai program pada tengahari, saya dan 3 lagi rakan diminta untuk menemani YB makan kenduri. Ada 5 majlis kenduri kahwin yang perlu dipenuhi. Letih juga, lepas satu, satu. Itu tak apa lagi. Cerita sahabat saya yang menemani YB pada minggu sebelumnya, ada 13 majlis kenduri kahwin. Bayangkan 13 kenduri! Kata sahabat saya itu, rumah yang ke pertama , kedua dan ketiga masih boleh makan nasi yang dihidang. Masuk rumah yang ke- 4 sampai ke-9, cuma makan pencuci mulut sahaja. Manakala rumah yang ke-10 hingga 13 cuma larat minum air sahaja. Itulah yang termampu. 

Sambungnya lagi, jika masih ada rumah yang keseterusnya mungkin hanya pergi berjumpa tuan rumah. Sekadar tunjuk muka atau ambil syarat datang, kata orang. Habis, macamana nak makan sebab perut sudah sendat dan padat. 

Gelihati saya mendengarnya. 

Sedikit kenangan kenduri dulu-dulu 

 Foto hiasan (sumber)

Bercerita tentang kenduri kahwin, ia di antara perkara yang amat terkesan dalam hidup saya. Tentunya ketika saya masih kecil, yakni di waktu umur masih di zaman persekolahan. Saya melihat betapa meriahnya suasana kenduri-kendara pada masa itu. 

Boleh dikatakan seisi kampung turut menjayakannya. Semuanya ditanggung bersama tuan rumah dan orang-orang kampung. Ibarat kata, setiap penduduk kampung tidak mahu melepaskan peluang, sama-sama mahu mengambil bahagian menghulur tangan sedapat yang mampu. Yalah, esok-esok giliran mereka pula, maka perkara yang sama akan berulang. Begitulah resmi hidup di kampung, saling memberi dan saling menerima. 

Bak kata pepatah melayu berzaman, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.” Demikianlah gambaran betapa orang melayu dulu-dulu sebuah komuniti yang bersatu, saling bantu-membantu dan mempunyai hubungan sosial yang kuat dan erat. Ia memang satu realiti yang pernah wujud, tetapi semakin berkurangan hari ini. 

Lagi pun jika diperhatikan, ketika itu anak-anak muda kampung ramai. Benar, saya sendiri melihat rakan sebaya umur dengan saya di kampung dahulu hampir-hampir 30 orang juga. Ramai! Maka tidak hairan jika semua kerja-kerja dilakukan dengan bergotong-royong dan kerjasama antara orang tua dan orang muda. Kerja yang berat akan menjadi mudah dan ringan. Sekarang ini anak-anak muda ramai yang keluar merantau dan balik jarang-jarang sekali. Bukannya tidak ada tetapi agak sukar sedikit untuk mendapatkan tenaga muda. 

Sesuatu yang pasti, ketika itu tidak ada lagi khidmat katering yang menjadi sub kontraktor kepada kenduri kahwin seperti hari ini. Zaman sudah berubah, semuanya mahu senang dan mudah. Agar tidak pening kepala, guna sahaja perkhidmatan katering. Sediakan sahaja ongkosnya, maka tuan rumah dapat bersenang-senang bersandar di kerusi, atau berdiri di pintu pagar meraikan tetamu yang mahu pulang. (Ketika ini boleh dilihat tuan rumah memakai baju yang banyak kocek terutama baju melayu) 

Dahulu kemeriahan kenduri akan dirasai kira-kira seminggu sebelum berlangsungnya kenduri. Saya masih ingat, misalnya kenduri hendak diadakan pada hari Ahad depan, maka Ahad ini sudah bermula kerja-kerja yang besar. Orang-orang kampung akan bergotong royong membina bangsal makan, bangsal memasak dan menghidang. Memanglah, mustahil tuan rumah mahu melakukan bersendirian kerana kerja-kerja itu memerlukan gabungan tenaga ramai. 

Jika diingatkan dulu-dulu, hendak membuat bangsal kenduri kena tebang pokok buluh untuk dijadikan kerangka. Pokok buluh tidak susah kerana banyak kedapatan di belakang rumah penduduk. Pasti ada yang menawarkan pokok buluh di atas tanahnya untuk ditebang. Kemudian kena tebang pula 2 atau 3 batang pokok kelapa untuk diambil umbutnya. Saya sentiasa tidak melepaskan peluang melihat orang menebang pokok kelapa. Seronok sangat dapat melihatnya. Kadang-kadang sama naik menarik tali yang diikat pada batang kelapa. Tetapi biasanya saya duduk di hujung tali, takut tidak sempat lari (Padahal memang tidak kena kerana tali tersebut cukup panjang). 

Gedegumm! Seakan bergegar tanah yang dipijak saat batang kelapa yang panjang itu menyembah bumi. Setelah itu berebut-rebut pula mengambil buah kelapa muda untuk untuk dinikmati air dan isinya. Manakala batangnya dikatang pendek-pendek untuk dibuat tiang tempat duduk. Sekarang ini sudah tiada semua itu, sewa sahaja kanopi habis cerita. 

Demikianlah sedikit gambaran, pastinya sangat panjang jika mahu ditulis satu-persatu. Itu belum masuk cerita ‘malam besar’ dan pada siang hari kenduri. Sememangnya sangat meriah. Ahh, bagaikan masih terbayang-bayang di ruangan anak mata semua itu. Kalau ia dapat diulangi kembali... 

Seperti yang telah saya catatkan di atas, betapa orang melayu dulu-dulu, zaman ayah dan datuk kita adalah sebuah komuniti yang bersatu, saling bantu-membantu dan mempunyai hubungan sosial yang kuat dan erat. Itulah kehidupan orang kampung dulu-dulu. Unik dan berbaloi! 

Mood#Rindu zaman itu..

4 comments:

paridah said...

assalam musim kenduri kahwin musim jong pecah perahu kenyang...kalau rajin mngiring yb kerumah kenduri pasti kekenyangan betul kak..ditempat kak msh ada suasana bergotong royong sebelum knduri n hari kenduri...org tempat kak xsuka kenduri katering ni sbb mrk xsuka hanya datang duduk n mkn tnpa buat apa2...mungkinkh kebiasaan bgitu akn bertahn setelah generasi lama spt kami tiada...entahlh..

paridah said...

silap taip pula bukan perahu yg kenyang tapi yu yg kenyang heh..heh..sorry.

iryantyismail said...

asalamualaikum saudara....masyarakat zaman dulu memang mmpunyai satu semangat bergotong royong untuk mlncarkan majlis...tak kira bangsa..semuanya datang menolong..

Bunda_nora said...

Assalam...

Time bunda bertunang n kahwen dulu masih ada gotong royong...rewang...yang ramai datang menolong saudara mara dan jiran tetangga...

Sekarang ni ramai yang buat kenduri didewan dan dihotel...ada jugak sebab nya tu...duduk kat bandar ni mana lah ada masa masing2 suami isteri bekerja....tak sempat nak jengok dan campur hal jiran pun..

Pilihan nya dah tentu katering...kebanyakannya camtu...abis camno...hihi..

Post a Comment