Sahabat Sejati

Thursday 15 January 2015

Coret-coret tiada idea...


Entah apa yang mahu dikongsi malam ini. Buntu. Sambil-sambil menunggu ilham turun dari langit tinggi, saya membelek-membelek artikel lama di dalam ‘pondok kecil’ abuikhwan ini. 

Sesekali terfikir semacam tidak percaya, saya masih bertahan untuk istiqamah menulis di blog ini. Walaupun ada masa-masa tertentu datang juga bisikan entah dari mana supaya tawaquf menulis. “Ada orang mahu baca ke?” Wah, jahat sungguh bisikan itu. Yalah, saya pun bukannya mahir menulis. Sekadar gitu-gitu sahaja, kaita wa kaita kata orang arab. 

Di sisi yang lain pula, datang bisikan yang berkata, rugi juga jika tidak menulis kerana ia adalah peluang dan ruang berdakwah yang mudah di langit nan terbuka ini. Manalah tahu satu perenggan pendek sahaja amar ma`ruf nahi mungkar yang ditulis dengan niat mencari redha Allah, maka itulah yang dinilai setingginya oleh-Nya. Tidakkah ia sangat menguntungkan! 

Diriwayatkan Saiyidina Umar ra. berkata, Allah SWT menyembunyikan 4 perkara di dalam 4 perkara. Di antaranya ialah Allah SWT menyembunyikan keredhaan-Nya dalam sesuatu ibadat. Oleh itu jangan remehkan ibadat walaupun kecil, kerana mungkin itulah yang Allah SWT redha. 

Mengingatkan kata-kata ini, lalu saya kembali bersemangat untuk menulis. Biarpun perasaan segan ada juga menempel, dek kerana tidak sebaik tulisan sahabat-sahabat yang lain. Kadang-kadang ada juga terbit rasa cemburu (yang halal) tatkala membaca coretan sahabat-sahabat. Saya tertanya-tanya, dari mana dan bagaimana sahabat-sahabat mendapat idea untuk menulis dengan baik. Kalaulah boleh dipinjam sebentar metode tersebut, hmm.. 

Oh ya, Sabtu lepas saya telah menerima 6 kotak berupa pakaian terpakai yang dikirim melalui pos oleh seorang sahabat, agar saya panjangkan kepada mangsa banjir di pantai timur. Sahabat alam maya dari Sarikei Sarawak ini saya jolokinya dengan panggilan ummi. Alhamdulillah, semalam telah saya serahkan 4 kotak kepada wakil sebuah badan kebajikan Islam yang akan ke Kelantan pada 17 Januari ini. Manakala selebihnya akan diserahkan kepada wakil sebuah NGO di tempat saya yang akan ke Temerloh juga pada tarikh yang sama. Mudah-mudahan Allah SWT membalas dengan sebaik-baik balasan kepada semua yang terlibat. 

Bukan mahu menunjuk-nunjuk kebajikan yang maha sedikit itu. Bahkan semua sangat memahami, sebesar zarah perasaan riak akan menghancur-leburkan pahala yang terkumpul di dalam kantung tanpa tersisa. Alangkah ruginya! Tidak lain tidak bukan, sengaja saya kisahkan dengan niat sebagai peransang kepada kita semua untuk membuat apa sahaja kebajikan. Menerbitkan ‘senyuman’ di bibir orang lain sebagaimana junjungan mulia yang sentiasa menjadikan hidupnya untuk menerbitkan ‘senyuman di bibir umatnya. 

Lebat pula celotehnya. Tadi mahu menulis tiada idea, sudah tulis payah pula mahu berhenti. Jadi, sebelum saya merapu lebih jauh, eloklah saya berhenti di sini.

2 comments:

paridah said...

ASSALAM...BILA SUDAH MULA MENULIS ILHAMNYA MELIMPAH-LIMPAH PULA YA...ITULAH YG SEBENARNYA YG SUSAH ITU HENDAK MEMULAKANNYA...TULISAN DI BLOG YG BERBEZA-BEZA SENTIASA ADA PENGGEMARNYA...TAMBAHAN TULISAN DIK USTAZ YG TERGABUNG CERITA2 SEMASA N ILMU2 AGAMA TUNTUTAN JIWA. PENULISANNYA SANTAI SEDERHANA XTERLALU MELERET-LERET. TERUSKAN MENULIS N3 SELALU.

abuikhwan said...

Kak Paridah:
Terima kasih atas kunjungan dan komentarnya. Begitulah ajaibnya, mahu menulis tiada idea bila sudah mula susah pula mahu berhenti. Apa pun komentar kak paridah menjadi pembakar semangat untuk terus mencoret-coret...

Post a Comment