Sahabat Sejati

Saturday, 30 August 2014

Misi dakwah Malam Merdeka, insya-Allah turun


 “Turun tak malam ni?” Tanya sahabat saya ketika kami beriringan keluar daripada masjid usai sembahyang subuh.

“Insya-Allah turun.” Saya membalas bicara.

“Harap-harap ramai yang datang membantu, dengarnya sepanjang pantai pun kena turun juga selain tempat biasa.” Katanya lagi sambil menyuakan senyuman sebelum kami berpisah.

“Harap-harap begitulah,” tutur hati kecil saya.

Insya-Allah turun...

Alhamdulillah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, misi dakwah diteruskan lagi. Malam ini misi dakwah malam kemerdekaan mengambil tempat. Seperti biasa kami akan turun ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan yang menjadi tumpuan golongan muda. Membawa misi "KAMI ADALAH DUTA PENYELAMAT DAN KASIH SAYANG”, seboleh-bolehnya kami tidak akan menimbulkan perasaan kurang senang pasangan yang ditemui. Sebaliknya menegur mereka dengan cara berhemah dan penuh mesra.

Kami turun bukan untuk menahan mereka. Bukan juga mahu mengherdik atau menjentik mereka. Apalah kuasa yang ada pada kami untuk melakukan demikian. Kami cuma mahu menjentik hati mereka dengan memberikan kesedaran dan keinsafan dengan tazkirah barang seminit dua. Penerimaan mereka tidak mungkin dijangka. Ada yang senang hati tatkala kami menghulurkan risalah dakwah. Ada juga yang mencebik masam sambil mengeluarkan perkataan sinis.

Teringat saya, pernah risalah dakwah yang dihulur disambut dengan laungan takbir raya dan gelak ketawa beramai-ramai. Betapa malunya ketika itu hanya Tuhan yang Maha Tahu. Namun, kami cuba untuk tidak merasa lemah dan kecewa. Dakwah memang begitu jalannya. Tidak ada hamparan karpet merah dan pacakan bunga manggar di kiri dan kanan. Bahkan ia jalan yang sukar. Diejek, disindir, dijadikan bahan ketawa adalah perkara biasa seumpama makanan harian dalam mengenal erti dakwah. Lihatlah dalam lembaran sirah junjungan mulia, bagaimana pahit dan peritnya jalan itu.

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang amat besar dan penting untuk dilakukan.” (Luqman: 17)

Kami ingin menerang bukan menyerang. Tidak mengapa ia diremehkan pada hari ini. Tidak mengapa mereka menolak dengan sindiran atau nista. Percayalah, akan sampai harinya, mutiara pemberian itu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan. Suatu hari nanti mereka akan mengerti jua.

“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (al-Ghasyiah: 21-22)

Allahu al-Musta`an...

Wednesday, 27 August 2014

FORUM MERDEKA: 'Merdekakah Negara Kita'

Jangan lupa kepada yang berdekatan dan berkelapangan untuk mengikuti forum ilmu bersempena dengan tarikh kemerdekaan negara.  Menampilkan panelis yang akan mengupas persoalan kemerdekaan daripada pelbagai sisi dan pandangan. Jom, semarakkan majlis ilmu!


FORUM MERDEKA : 'Merdekakah Negara Kita'
Tarikh : 28 Ogos 2014 (Khamis)
Jam : 9.00 malam
Tempat : Masjid al-Fattah, Batu 3 Kuantan
Ahli Panel :
Dr Riduan Mohd Nor
Dr Muhammad Ibrahim
Dr Mohd Fadli Ghani

Saturday, 23 August 2014

Di bawah telapak kakiku!


Harapan untuk melihat tanah menganjur yang dijajah itu kembali berdaulat tidak pernah berkubur. Semoga ia menjadi kenyataan, insya-Allah. 

Pray4#Gaza.

Friday, 22 August 2014

Semoga sabar dan tabah hendaknya...

Suasana muram menyelubungi hati-hati rakyat Malaysia hari ini. Tidak tertahan kesedihan menyambut ketibaan jenazah mangsa tragedi MH17. Tentunya kesedihan ini lebih dirasai oleh keluarga mangsa yang terlibat. 

Masjid di tempat saya hari ini mengadakan solat jenazah ghaib khas buat mangsa yang beragama Islam sejurus selesai solat Jumaat. Mudah-mudahan Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua. 

Seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Ya, semuanya bagaikan berada di luar kotak pemikiran kita. Namun, sebagai seorang Islam kita sentiasa yakin dan percaya semuanya adalah perancangan Allah SWT dan Dia Maha Mengetahui segala rahsia yang tersembunyi. 

Ujian seperti ini, jika tidak dirujukkan kepada Allah, tentu sukar untuk kita mencari ‘ketenangannya’. Hakikatnya, kita diberikan kesihatan agar ia menjadi kurniaan kasih Allah untuk sentiasa bersyukur. Manakala tatkala diuji dengan kesakitan, atas kurniaan kasih Allah untuk memanjatkan kesabaran. 

Kata-kata yang saya cuba ungkapkan adalah sebagai peluang untuk saya menyiram hati dengan rasa redha dan menerima segala ketentuan Allah SWT. Saya menasihati diri saya dengan penuh keinsafan, melihat kehidupan ini bukan dengan pandangan lemah makhluk tetapi melihat seluruh kehidupan ini dengan pandangan Pencipta kehidupan. 

Marilah kita menafsirkan apa yang berlaku dengan penuh keinsafan. Sesungguhnya kematian sentiasa mengintai di setiap saat kehidupan kita. Tanpa kita ketahui berapakah usia kita yang masih berbaki. Maka pergunakanlah masa yang ada untuk mempersiapkan bekalan untuk menghadapi saat yang pasti itu. Allah jua tempat dikembalikan segala urusan! 

“Semoga Allah SWT mengurniakan segenap kesabaran dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat.”

Wednesday, 20 August 2014

Bicara santai: VCD kuliah agama ustaz Azhar Idrus


Alhamdulillah, sempat menghabiskan sedikit masa pagi ini dengan menonton VCD kuliah al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Yalah waktu untuk pergi kerja lambat lagi. Kebetulan pula hari ini tiada kuliah subuh di tempat saya, jadi alternatifnya ialah pasang VCD, duduk menyandar di sofa sambil mencatat isi kuliah. 

Saya mahu beranalogi. Harap sahabat-sahabat memahami. 

Mendengar kuliah kalau boleh saya umpamakan seperti kita mengecas bateri. Tidak kiralah kuliah secara langsung, seperti di masjid dan surau atau hanya dengan mendengar VCD. Saya rasa sahabat-sahabat boleh bersetuju. Bateri yang lemah hendaklah sentiasa dicas untuk ‘topup’ kembali ‘powernya’. Jika tidak, lama-kelamaan bateri tersebut akan rosak atau tidak berfungsi. Jika sudah sampai tahap ini, tiada jalan lain melainkan bateri tersebut hendaklah ditukar dengan yang baru. 

Demikianlah, fitrah manusia, tidak kuat setiap masa. Ada hari-hari yang dilalui dengan perasaan lemah, kecewa, sedih, buntu, putus asa dan sebagainya. Kadang-kadang pelik, kita sendiri tidak tahu apakah punca yang menyebabkan kita merasa demikian. Oleh itu, kita sentiasa menginginkan kekuatan demi kekuatan untuk menampal kelemahan yang tidak lekang daripada diri yang amat lemah ini. Ohh, saya tidak maksudkan kuat atau lemah dari sudut fizikal. Itu cerita nombor lima. Saya maksudkannya dari sudut dalaman. Kekuatan untuk menghadapi saat-saat ‘down’ begini amatlah didambakan. 

VCD kuliah dan era Youtube 

Kembali semula kepada cerita VCD. 

Saya memiliki banyak koleksi VCD kuliah agama ustaz Azhar Idrus, termasuk juga VCD kuliah ustaz-ustaz yang lain. Di antaranya al-Fadhil Ustaz Dr Haron Din, al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus, al-Fadhil Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man,al-Fadhil Ustaz Shahril Long dan ramai lagi. Tetapi VCD kuliah Ustaz Azhar Idrus yang paling mendominasi. Seingat saya VCD kuliah ustaz Azhar Idrus lebih dari seratus keping telah saya beli. Itu belum termasuk VCD ustaz-ustaz yang lain. 

Dulu setiap bulan saya mesti membelinya, samada di toko agama, di dalam kuliah-kuliah serta tempat ceramah. Biasanya sekali beli dalam 10 keping. Maka, setiap bulan saya akan memperuntukkan bajet untuk membeli VCD kuliah. Tak apalah, pelaburan yang berbaloi. Sekurang-kurangnya boleh menonton kembali tatkala telah pencen nanti (insyaAllah). 

Namun, sejak 3, 4 tahun yang kebelakangan ini saya sudah tidak lagi membeli VCD kuliah. Bukan saya telah berhenti mendengarnya, tetapi sekarang ini untuk menonton kuliah agama sangat mudah. Aplikasi seperti youtube telah mengambil alih tempat VCD. Buka sahaja youtube dan, nah! Boleh pilih mahu mendengar ustaz mana, kuliah secara online pun banyak. Sangat mudah, pilih sahaja yang masa satu idaman kalbu. 

Fenomena Ustaz Azhar Idrus 


Tidak keterlaluan jika saya katakan ustaz Azhar Idrus sesuai mendapat jolokan ikon anak muda dan daie sejuta ummah kerana berjaya menarik minat orang ramai datang ke majlis ilmu. Lihat sendiri di dalam internet, betapa ramai audien yang datang ke kuliahnya. Di tempat saya sendiri demikian juga, yang mana beliau datang berkuliah pada setiap bulan, audien sehingga melimpah keluar masjid. 

Penyampaiannya yang bersahaja tetapi jelas dengan contoh-contoh yang mudah difahami, di selang-seli juga dengan jenaka yang menghiburkan. Cuma, bagi yang kurang memahami loghat Terengganu agak susah sedikit. Mungkin mengambil masa untuk memahaminya. Saya rasa sudah berapa ramai yang kembali ke masjid dan menjadi baik (insyaAllah) kerana mendengar kuliah ustaz Azhar Idrus. Benarlah hidayah milik Allah. Tanpa keizinan-Nya tidak akan bertemu hidayah itu. Namun, saya bercerita tentang penyebab. Ada orang berubah kerana dengar ustaz ini, ada orang dengar ustaz itu, ada yang baca buku ini, ada yang ikut-ikut orang lain dan sebagainya. Itu adalah penyebab dengan keizinan Allah SWT. 

Namun, dalam ramai-ramai yang meminati kuliah ustaz Azhar Idrus, tidak kurang juga yang ‘memusuhinya’. Cubalah buka youtube dan lihat di ruangan komen. Bermacam-macam bahasa ‘sampah’ yang boleh dilihat. Saya tidaklah kata ustaz Azhar Idrus betul semua. Beliau pun ada salah dan silap kerana namanya pun manusia biasa. Bagi saya, kita boleh tidak bersetuju atau berbeza pendapat, itu tidak sedikit pun menjadi masalah. Tetapi gunalah bahasa yang sesuai kerana menunjukkan siapa diri kita. 

Tidak rugi pun!

Tuesday, 19 August 2014

40 Ciri Ajaran Sesat


Tajuk : 40 Ciri AJARAN SESAT
Penulis : Mohammad Nizam Abdul Kadir
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Mukasurat : 184
Harga : SM 20.00 / SS 22.00

Fahaman dan ajaran sesat meru­pakan anca­man yang besar ter­hadap aki­dah Islam pada masa ini. Kerosakan aki­dah bakal merosakkan tauhid dan keimanan sese­o­rang Mus­lim. Justeru, tulisan ini mendedahkan ciri-​ciri fahaman sesat di samp­ing men­je­laskan aki­dah Islam yang sebe­nar den­gan menge­mukakan hujah-­hu­jah daripada al-​Quran, hadis dan pen­da­pat para ulama. 

Men­ga­pakah Anda Perlu Memi­liki Buku Ini? 

Penulis mema­parkan pen­je­lasan ter­hadap ciri-​ciri ajaran sesat den­gan menge­mukakan hura­ian yang lengkap agar pem­baca dapat men­ge­nal pasti fahaman yang salah, menyeleweng dan sesat. Dapat dijadikan pan­d­uan oleh pem­baca agar tidak mudah ter­jeru­mus den­gan sesu­atu fahaman yang sesat, Dapat mem­per­be­tul fahaman sebe­gini dari­pada men­jadi barah hati yang boleh mem­bunuh aki­dah Islam! 

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Sunday, 17 August 2014

Kenangan masih basah: Catatan 20 Syawal 1432H


“Emak apa khabar, sihat tak? Raya ni kami balik kampung.” Saya memberitahu emak melalui telefon. Suasana hening, alunan lagu raya yang berkumandang keluar dari corong radio menambah rasa syahdu. Malam ini telah pun masuk 25 Ramadhan. Tinggal beberapa hari lagi umat Islam akan meraikan kedatangan aidilfitri. 

“Alhamdulillah mak sihat, kamu pula apa khabar?” Kedengaran suara emak di hujung talian, ceria. “Kak De dan Abang Ngah kamu pun nak balik beraya di sini juga. Kak Cik kamu pula raya pertama baru sampai, tentu meriah raya tahun ni semua berkumpul,” sambungnya lagi panjang lebar. 

“Alhamdulillah saya sihat. Wah, baguslah, tentu meriah. Ingat tahun ini saya nak buat lemang, ” saya menyampaikan hajat hati kepada emak. Saya memang benar-benar maksudkannya. Boleh dikatakan setiap tahun saya membeli lemang sebagai juadah wajib di hari lebaran. Sepanjang perjalanan menuju ke kampung memang banyak gerai yang menjual lemang. Kalau nasib tidak baik ‘terbeli’ lemang rebus... cara biasa orang menipu berniaga. Tetapi tidak semua, ada yang jujur. 

“Pandai ke kamu buat? Kalau macam tu bolehlah mak rasa lemang yang kamu buat tu.” Jawab emak lagi menyambung bicara. 

Mungkin emak menyangka saya bergurau kerana setiap tahun tibanya aidilfitri saya sering membayangkan untuk membuat lemang. Acapkali juga saya berpakat dengan adik-beradik yang lain untuk bergotong-royong membuatnya tetapi tidak pernah menjadi kerana ada sahaja perkara membantutkannya. Ada yang balik kampung mertua, buluh lemang tidak dicari, masalah itu dan ini, sehingga menyebabkan ia sentiasa tertangguh. 

“Saya cubalah, buluh lemang pun dah tempah dengan kawan. Bukannya apa, setiap kali raya asyik beli je, tahun ni rasa nak makan lemang buat sendiri pulak.” Saya memberitahu emak sambil ketawa kecil. 

“Kalau begitu baguslah, nanti emak belikan ayam untuk buat rendang,” jawab emak sebelum mengakhiri perbualan. 

Buluh lemang tidak susah kerana sahabat saya mempunyai banyak rumpun buluh lemang di kebunnya. Itupun setelah bercerita dengannya, barulah saya tahu dia setiap tahun berniaga buluh lemang setiba hampirnya hari raya. Hmm, dalam diam-diam ‘businessman’ rupa-rupanya sahabatku ini. Saya mahu yang besar dan panjang saiz ruasnya, pesan saya kepada sahabat tersebut sebelum beliau ke kebun memotong buluh. Hmm, biasalah ‘kroni’. Kalau untuk orang lain, biasanya sudah ada saiz ‘standard’ sama seperti penjual buluh lemang yang lain. Begitulah mudah jika ramai kawan. 

Teringat azimat murabbi: “Tidak perlu mencari sahabat yang ramai, tetapi jadikan diri kita mudah bersahabat. Nescaya sahabat akan datang dengan sendiri.” 

Keinginan mahu berukhuwah dan bersahabat adalah soal hati. Jika hati mahu bersahabat, tanpa bahasa, tanpa ikatan bangsa, malahan biarpun sempadan geografi yang merentang sekalipun, kemesraan boleh berlaku. Tetapi, andai hati tidak mahu bersahabat, walaupun berkongsi bahasa dan minat yang sama, pasti tiada persaudaraan yang akan berputik. 

Aidilfitri 1432H 


Entahlah, saya sendiri tidak tahu mengapa raya tahun ini tergerak hati saya untuk membuat lemang. Pelik ada, lucu pun ada. Saya bukannya pandai membuat lemang. Seingat saya, cuma sekali sahaja saya membuatnya sewaktu mahu mengadakan majlis hari raya surau perumahan kami. Itupun sekadar menjaga api bersama sahabat yang lain. Kalau saya seorang yang menjaga api, alamat berkerak padatlah lemang jadinya.Tetapi tahun ini saya nekad untuk cuba membuatnya sendiri. Bermula daripada proses menyediakan buluh sehinggalah siap membakarnya. Saya nekad. Kalau kita yakin, insyaAllah menjadi. Saya berpegang pada kalimat ini. 

Saya cuba bertanya kepada rakan-rakan yang biasa membuat lemang. Bukannya apa, sebagai persediaan. Mujurlah mereka semua pemurah dengan pengetahuan yang dimiliki. 

“Buluh tu kena basuh dulu, manalah tahu kalau-kalau ‘ada’ yang bersarang di dalamnya.”

“Kalau daun tebrau tak ada, daun pisang pun boleh juga, tapi kena layur dulu kalau tidak mudah pecah.” Sahabat saya memberi panduan. 

Tidak cukup dengan itu, setiap blog dan youtube berkaitan dengan cara penyediaan lemang saya selongkar untuk menambah pengetahuan yang ada. Alhamdulillah, banyak input yang saya perolehi. Walaupun ada juga sedikit sebanyak perbezaan di antara satu sama lain. 

Saya mengambil cuti awal. 2 hari sebelum raya saya sudah pun berada di kampung. Seronok tidak terkira. Bermacam-macam persiapan telah dibuat. Tentu meriah raya tahun ini. Sesekali saya juga terfikir, betul ke aku nak membuat lemang ni? Menjadi ke? Ahh, pedulikan. Saya ketepikan perasaan itu, yang penting lemang mesti dibuat tahun ini. Buluh, pulut, santan, daun pisang, kayu api dan sebagainya sudah pun disediakan. Tunggu untuk dimulakan sahaja. 

Alhamdulillah, saya tidak keseorangan. Ahli keluarga yang lain turut membantu menyiapkan lemang. Akhirnya setelah berpeluh dan berpanas menjaga api, lemang yang diidam terhidang di depan mata. Lemangnya cantik tidak berkerak. Diganding pula dengan rendang ayam masakan emak. Cukup lengkap. Gembira hati saya melihat emak dan ahli keluarga yang lain berselera makan lemang yang saya buat. Termasuk juga tetamu yang hadir. Alhamdulillah, janji yang sekian lama tertangguh akhirnya tertunai hari ini. 

Hari ini 20 Syawal 1435H 


Emak saya sudah tiada. Tanggal 20 Syawal hari ini genap 3 tahun pemergiannya (Bonda, semoga damai dalam rahmatnya). Saya tiada disisinya sewaktu dia menghembuskan nafas yang terakhir. Ketika itu saya berada di luar kawasan kerana terlibat dalam satu program kemasyarakatan sebagai urusetia. Sehinggalah kakak saya memaklumkan melalui telefon. Bergegas saya pulang ke kampung dalam keadaan yang seakan tidak percaya. Sehari sebelum itu emak menelefon saya. Kami berbual panjang dan suara emak sangat ceria. Tidak sangka itulah kali terakhir saya berbual dengannya. Walaupun dalam kesedihan, namun saya gembira kerana sempat juga dia merasa juadah lemang yang telah lama saya janjikan untuk membuatnya. 

Saya redha dengan ketentuan-Nya.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang...Amiin.” 

Setiap kali menjelang aidilfitri, saya akan terkenang kepada hari-hari itu. Kenangan yang bersarang sentiasa subur di hati saya. Moga syawal yang diraikan tahun ini memberikan rahmat dan kebaikan kepada kita semua.

Saturday, 16 August 2014

Ceramah Agama Perdana & Pelancaran Dana Pembinaan Surau


Jom warga Kuantan! Jangan lupa untuk bersama mendengar Ceramah Agama Perdana yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Harryanto Rizal Rokman yang merupakan hos rancangan Tanyalah Ustaz & Halaqah di TV9 serta rancangan al-Kuliyyah di TV3.  Ceramah akan diadakan pada 17.08.2014 (Ahad) bermula jam 9.15 malam, bertempat di Padang Bola Taman PSJ Sungai Karang, Kuantan.

Al-Fadhil Ustaz Harryanti Rizal Rokman turut di gelar 'klon Ustaz Ismail Kamus' kerana gaya penyampaian, suara dan kelucuannya juga sangat mirip dengan al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus. Jadi, sekurang-kurangnya dapatlah mengubati kerinduan pada gaya ceramah al-Fadhil Ismail Kamus sewaktu muda-muda dahulu.

Ceramah ini juga bertujuan untuk pelancaran dana pembinaan Surau Taman PSJ yang masih lagi memerlukan suntikan sumbangan orang ramai untuk menyiapkannya. Oleh itu, tidak rugi untuk hadir kerana ilmu dapat, pahala menderma pun dapat. InsyaAllah mudah-mudahan ia menjadi amal jariah yang sentiasa mengalir pahala sehingga ke hari kiamat.      

Semarakkan majlis ilmu. Jumpa di sana!

Friday, 15 August 2014

Bicara santai: Lampu isyarat dan papan tanda adalah kawalan dan panduan


Banyak sungguh lampu isyarat dan papan tanda di sepanjang perjalanan menuju ke pusat bandar Kuantan. Tidak kurang sepuluh lampu isyarat yang ditempuhi. Begitu juga papan tanda yang bermacam-macam. Pemandangan biasa, jalan raya. Kadang-kadang jika mahu cepat, saya akan melalui jalan alternatif bagi mengelakkan lampu isyarat. Samada saya melalui jalan pintasan Kuantan - Kemaman, atau pun melalui Jalan Alor Akar dan Jalan Tok Sira. 

Mungkin ada yang beranggapan lampu isyarat melambatkan dan menyusahkan. Jika difikir secara biasa memang benar anggapan itu. Di saat kita ingin cepat, lampu isyarat pula berwarna merah. Sedang kita memecut laju di jalan raya, ada pula tanda 60km/j, kawasan sekolah 30km/j, ada pula papan tanda gambar seekor lembu, mahu tidak mahu terpaksa memperlahankan kenderaan. Bukankah ini menyusahkan dan menyukarkan? Jika ya, anda tidak keseorangan kerana saya pernah juga berfikir begitu. Memang menyusahkan! Tetapi tidaklah sampai membenci lampu isyarat. 

Hmm, mari kita berfikir sejenak. 

Lampu isyarat bukan didirikan untuk menyusahkan, begitu juga papan tanda di kiri dan kanan jalan, bukan untuk mengganggu atau menyakitkan mata. Tentu ada gunanya, takkanlah ia didirikan saja-saja tanpa ada sebarang manfaat. Bersetujukah jika saya katakan bahawa lampu isyarat dan papan tanda adalah untuk memudahkan dan menyelamatkan. Juga berfungsi sebagai satu kawalan dan panduan. 

Bayangkan jika dipersimpangan tiada lampu isyarat, tentu menyulitkan. Setiap kenderaan berebut mahu bergerak dahulu. Akibatnya, boleh berlaku kemalangan. Akhirnya menjadi semakin lambat kerana kesesakan. Boleh jadi juga lampu isyarat sebagai ruang waktu untuk kita berhenti rehat sebentar, menghilangkan kebas-kebas kaki dan tangan. Sama juga seperti papan tanda, sebagai panduan penunjuk jalan. Papan tanda menunjukkan arah yang betul dan berapa jauh lagi perjalanan berbaki. Tanpanya kita mungkin boleh tersesat atau tersalah arah. Papan tanda juga berguna sebagai kawalan untuk mengelakkan daripada perkara-perkara yang boleh membahayakan diri. Contohnya kawasan kemalangan, selekoh tajam, kawasan haiwan melintas dan sebagainya. 

Ini hanya satu analogi. 

Begitulah dalam kehidupan kita di dunia ini. Kita memerlukan panduan dan kawalan kerana ada perkara-perkara yang ditegah dan dilarang sebagaimana ada perkara-perkara yang diperintahkan. Kita adalah manusia yang lemah, sentiasa terlupa dan lalai. Bahkan kalimah ‘Insan’ yang memberi makna ‘manusia’ adalah berasal daripada akar kata kalimah Arab ‘nisyan’ iaitu kelupaan. Akar kata perkataan insan yang mengaitkannya dengan ‘ lupa’ menjelaskan mengenai tabiat atau sifat manusia itu sendiri yang selalu bersifat pelupa atau lupa. Lupa yang dimaksudkan di sini boleh ditafsirkan dengan skop yang luas. 

Atas sifat lupa tersebut, kadang-kadang perkara yang kita lakukan setiap hari pun, adakalanya boleh cuai dan tersilap. Maka, dengan setiap kelalaian dan kelupaan yang ada kita sering tersilap langkah dalam membuat perhitungan. 

Allah SWT dengan rahmat dan sifat penyayang, telah menurunkan satu panduan manual untuk menjamin supaya perjalanan hidup yang dilalui oleh manusia selamat dan diberkati samada dunia maupun akhirat. Panduan manual tersebut ialah dinamakan al-Quran. Oleh itu, adanya perintah dan tegahan di dalamnya sebagai kawalan dan panduan, maka kita akan selamat daripada tersesat dan terbabas. Dengan kawalan dan panduan itu juga, kita akan sentiasa berada di atas landasan yang benar dan betul. Amat malang sekali seandainya kita masih mencari suatu panduan atau pegangan yang selain daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT. 

Allah SWT berfirman: 
“...dan Kami turunkankepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.” (an-Nahl: 89) 

Mengawal bukan mengongkong


Islam adalah agama yang sentiasa mahukan umatnya selamat dan sejahtera, baik di dunia dan lebih utama lagi di akhirat. Islam tidak pernah mengongkong tetapi mengawal. Kawalan inilah yang seringkali disalah anggap oleh sesetengah pihak. Bagi mereka kawalan tersebut adalah satu bentuk kongkongan yang menyebabkan mereka tidak maju, pasif dan lesu. Benarkah demikian? Ramai di kalangan umat Islam hari ini yang berfikiran begitu. Seolah-olah Islam langsung tidak memberi kebebasan. Sedangkan Islam melarang dan membenarkan kerana ada kebaikan dan manfaat yang akan diperolehi.

Di dalam agama Islam ada perkara yang berkaitan dengan qanun jinayat iaitu hudud, qisas dan takzir. Ia adalah kawalan yang amat berkesan agar keharmonian dan keamanan masyarakat terjaga. Sebagai contoh, di dalam hukum hudud ada hukuman potong tangan terhadap pencuri yang disabitkan kesalahan dengan bukti yang jelas. Ia sebagai satu bentuk kawalan agar sesiapa sahaja merasa gerun untuk mencuri. Dengan ini banyak perkara yang boleh diselamatkan. 

Islam melarang meminum arak kerana ia boleh merosakkan akal fikiran. Tanpa akal manusia seumpama orang tidak siuman. Tanpa akal manusia boleh bertindak seperti haiwan. Islam hanya melarang arak tetapi banyak lagi minuman lain yang dibenarkan. Islam turut melarang perzinaan kerana ia boleh merosakkan keturunan serta kehidupan masyarakat. Dalam masa yang sama Islam membenarkan pernikahan. Lihat, Islam melarang sesuatu tetapi dalam masa yang sama memberikan jalan keluar sebagai penyelesaian. Semuanya adalah sebagai kawalan dan panduan. 

Maka, tidak ada sedikit pun kerugian jika kita menerima pakai segala hukum yang terkandung di dalam al-Quran kerana ia jelas sebagai panduan dan kawalan. Semua ini akan menyelamatkan kita dan masyarakat dalam menjalani kehidupan di zaman yang serba mencabar ini. Apa pun, semua ini bergantung kepada keyakinan diri seseorang. Sesungguhnya, percayalah apa jua yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia pasti adalah yang terbaik, kerana Dialah pencipta kita semua. 

Tepuk dada tanya iman...

Wednesday, 13 August 2014

Kuliah maghrib ikon anak muda, jom gi


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua warga Kuantan! Jom beramai-ramai, jangan lepaskan peluang untuk mendengar kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh ikon anak muda masa kini, al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Kuliah maghrib akan diadakan  pada hari Khamis 14.08.2014, bertempat di Masjid Chendor, Kuantan.

Kepada yang tidak mengetahui lokasi masjid Chendor bolehlah berpandukan kepada peta yang dilampirkan. (GPS : 4.173691, 103.409429)
 
 
Jom semarakkan majlis ilmu!

Hukum tunduk untuk menghormati

Soalan:

Menghormati seseorang dengan menundukkan kepala di hadapannya, apakah dibenarkan Islam? 

Jawapan::

Bismilllah, dalam Sunan at-Tirmizi, Anas bin Malik ra menceritakan; Seorang lelaki bertanya Rasulullah saw, "Wahai Rasulullah, jika seorang dari kami bertemu sahabatnya, bolehkah dia membongkok kepadanya?" Jawab baginda; "Tidak boleh." Dia bertanya lagi; "Bagaimana jika dia memeluk dan mengucupnya?" Baginda menjawab; "Tidak boleh." Dia bertanya lagi; "Bagaimana jika dia berjabat tangan dengannya?" Baginda menjawab; "Ya, boleh." (Sunan at-Tirmizi; 2728. Berkata at-Tirmizi; hadis hasan). 

Berdasarkan hadis ini, kita boleh memahami bahawa menghormati seseorang dengan membongkok di hadapannya tidak disukai agama. Menurut ulamak; jika membongkok itu sampai ke paras yang menyamai rukuk dalam solat, hukumnya adalah haram kerana ia menyerupai sembahan kepada Allah. Jika atas dari kadar rukuk (seperti sekadar menundukkan kepala sahaja), hukumnya makruh dan sebolehnya tidak dilakukan (rujuk; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/135, perkataan; ‘ruku’’. Dalil al-Falihin, bab Istihbab al-Musafahah). 

Wallahu a’lam bis-shawab 

(Sumber: Ilmu dan Ulama)

Monday, 11 August 2014

Ia kembali, sangat mengujakan


Alhamdulillah.

Ekspo Buku Islam kembali lagi ke Kuantan. Ulat buku seperti saya, berita ini sememangnya sangat mengujakan. Tidaklah persis bulan jatuh ke riba, tetapi senyum seakan-akan sudah ke telinga. Ekspo kali ini sudah masuk yang ke 12. Ini bermakna sudah 12 kali ia diadakan di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara. Pada tahun lepas, Ekspo Buku Islam ke 8 diadakan di Kuantan. 

Objektif Ekspo Buku Islam adalah untuk menyatupadukan pemain utama dalam industri buku Islam dalam usaha menyebarkan ilmu-ilmu bermanfaat kepada masyarakat disamping mencipta peluang perniagaan yang menguntungkan. Semua buku-buku terbitan penerbit-penerbit buku Islam terkenal tanah air boleh didapati di dalam 1 bumbung. Sangat menarik dan bertepatan objektifnya. 

Pada tahun lalu saya terlepas untuk mengunjunginya atas sebab-sebab yang tertentu. Rugi, sangat rugi rasanya. Niat di hati mahu bertemu mesra dengan penulis-penulis hebat yang datang mempromosi atau melancarkan buku mereka. Tetapi tidak mengapalah, tiada rezeki. Untuk tahun ini, insya-Allah saya tidak mahu berulang semula kerugian tersebut. Walaupun saya tidak dapat mengagak berapa ratus RM yang akan dihabiskan, namun saya percaya setiap pelaburan membeli buku tetap berbaloi. Sahabat-sahabat ulat buku tentu bersetuju dengan saya. 

Ekspo Buku Islam 12 Pahang akan berlangsung dari 29/8/14 hingga 6/9/14 di Kuantan Parade, Kuantan dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Perpustakaan Negeri Pahang. Dengan kekuatan 70 booth pameran dari penerbit-penerbit tempatan seperti Telaga Biru, IKIM, Must Read, Galeri Ilmu, Karang Kraf dan banyak lagi. Temui ikon-ikon hebat seperti Dr Zulkifli Al-Bakri,Ustaz Rohidzir Rais,Ustaz Zul Ramli, Ustaz Don Daniyal, Ustazah Fatimah Syarha, Prof. Dr Muhaya dan ramai lagi. 

Semoga usaha murni pihak yang terlibat dalam ekspo ini mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah Taala 

Insya-Allah, Jumpa di sana!

Friday, 8 August 2014

Kuliah Maghrib Perdana : AWAN MENDUNG DI BUMI GAZA

Assalamualaikum warahmatullah.

Memikirkan apa yang berlaku di Gaza kini, sangat meruntun jiwa dan meninggalkan bekas yang amat mendalam. Bumi Isra` yang sedang musnah dan terbakar adalah kemuncak kepada kezaliman manusia yang bergelar pengganas Zionist. Umat Palestin pula dijeruk dengan kesakitan dan penderitaan yang panjang. Semoga Allah SWT memberikan segenap kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kegetiran ini, serta menganugerahkan kemenangan yang seringkali dipanjatkan dalam doa.

Pengumuman!

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan dijemput untuk hadir mendengar kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Alif Mahari. Beliau merupakan salah seorang AJK Yayasan Amal Terengganu yang pernah memasuki Gaza dalam misi bantuan kemanusian bersama Yayasan Amal Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar sendiri pengalaman beliau dalam menyampaikan bantuan tersebut.

Kuliah Maghrib Perdana : "AWAN MENDUNG DI BUMI GAZA"
Oleh : al-Fadhil Ustaz Alif Mahari. (Yayasan Amal Terengganu)
Tarikh : 09 Ogos 2014 (Sabtu)
Tempat : Masjid Ittifaqiah Tmn Sri Inderapura, Kuantan  
    

JOM SEMARAKKAN MAJLIS ILMU!

Thursday, 7 August 2014

Kenangan masih basah: Cerita tapai pulut

'Tapai pulut di sebuah kedai makan di bandar Kuantan'

Tapai pulut sinonim dengan hari raya. Saya tidak terfikir ada sahabat-sahabat yang tidak kenal dengannya. Ia adalah juadah turun temurun. Bahan utama membuat tapai pulut sudah semestinya pulut yang dikukus, kemudian digaul dengan ragi. Setelah itu dibungkus pula dengan daun getah sebelum diperam. Selang dua hari kita sudah boleh menikmati keenakkannya. Kalau dulu saya beranggapan daun getah sahaja yang boleh digunakan untuk membungkus tapai. Ternyata anggapan itu silap.

Pernah kira-kira 2 dekad yang lalu, saya bersama 3 lagi rakan menghadiri majlis perkahwinan abang kepada sahabat saya di felda Sungai Kemahal, Triang. Kami ke sana awal sehari dari hari kenduri, maklumlah jauh. Lagipun bolehlah menolong apa-apa yang patut. Perjalanan dengan menaiki bas ekspres dari Kuantan ke Temerloh, kemudian meneruskan perjalanan dengan bas runcit dari bandar Temerloh ke felda Sungai Kemahal. Zaman baru habis sekolah menengah, motosikal pun tidak mampu dimiliki lagi, kereta jauh sekali. Namun, kerana hati ingin bertemu sahabat, bersalin bas pun sanggup.

'Kunjungan kali kedua setelah lebih dua dekad berlalu'

Teringat azimat sang murabbi di dalam satu kursus motivasi, “Apakah alat komunikasi yang paling canggih?” Ada yang menjawab smartphone, ipad, skype, satelit dan sebagainya. Sambung sang murabbi lagi, “Alat komunikasi yang paling canggih adalah hati.”

Hati? Mengapa hati, apa kaitannya dengan alat komunikasi?

“Sebabnya jika hati tidak mahu bertemu, walau secanggih mana pun henfon, nescaya tidak akan dijawab biar berkali-kali ia berdering. Tetapi jika hati ingin bertemu, bersalin bas tiga kali kemudian bersambung menapak kaki pun sanggup pergi.” Dia menyudahkan ayatnya.

Memang ada benarnya, itulah kuasa hati yang sukar dimengertikan. Tersenyum saya mendengar perumpamaan ini.

Selebihnya pula kami ingin berjalan melihat tempat orang, bak kata pepatah, “jauh perjalanan luas pandangan dan menambah pengalaman.”

Tapai bukan nasi dagang


Ketika mahu menikmati sarapan pagi di rumah sahabat saya itu, terliur pula melihat nasi dagang yang dibungkus rapi dengan daun pisang. Hmm, bolehlah merasa nasi dagang orang Pahang. Mungkin berlainan rasa dengan nasi dagang negeri Terengganu, saya mengagak. Tetapi yang membuatkan saya teruja ialah tatkala melihat saiz nasi dagang tersebut, tentu kenyang perut dek kerana besar bungkusnya. Dengan bersemangat saya mencapai nasi dagang tersebut lalu membuka bungkusannya, alangkah terperanjatnya setelah melihat isi di dalam.

“Kenapa letak semula?” Tegur sahabat saya di sebelah.

“Ingatkan nasi dagang, rupanya tapai. Besar pula tu,” jawab saya sambil tersenyum.

Sebenarnya bungkusan daun pisang yang disangka nasi dagang itu adalah tapai pulut. Terpaksalah saya membungkus dan meletaknya kembali ke tempat asal kerana saya memang tidak berapa gemar memakan tapai, kalau makan pun dalam sebiji dua sahaja. Lagipun ‘gerun’ melihat saiznya, cukup dengan sebungkus sahaja sudah tentu kenyang. Ekoran peristiwa tersebut, barulah saya tahu tapai juga dibungkus dengan daun pisang, sementelah lagi di tempat sahabat saya itu agak sukar untuk mendapatkan daun getah, sebab itu digunakan daun pisang. Biasalah felda, kelapa sawit banyaklah sayup mata memandang. Itu cerita 2 dekad yang lalu.

Hari ini, setelah menggodek-godek ‘profesor google’,rupa-rupanya selain daun getah dan daun pisang, daun rambai, daun jambu laut, daun jambu air, daun keladi, dan daun koko turut digunakan untuk tujuan yang sama. Malahan diperam menggunakan bekas polistrin pun sudah ada sekarang. Cukup canggih. Tetapi bagi saya, tapai yang dibungkus menggunakan daun getah juga yang sangat sesuai dengan aroma baunya yang klasik dan tersendiri. Sekadar ambil bau sahaja, makannya tidak seberapa. Setakat sebiji dua bolehlah.

Boleh dikatakan juadah tradisi ini boleh didapati di mana-mana apabila tiba hari raya. Kalau di kampung-kampung, lazimnya setiap rumah ada menghidangkan tapai. Namun, sekarang tapai pulut sudah tidak menentu keberadaannya. Ini kerana ia boleh didapati sepanjang tahun tanpa perlu menunggu tibanya hari raya. Sudah banyak tumbuh perusahaan tapai pulut di merata tempat sebagai salah satu produk makanan harian. Memang menguntungkan kerana masih kurang persaingan sedangkan permintaan dari orang ramai agak menggalakkan.

Dahulu ketika emak saya masih ada, dia pasti akan membuat tapai tatkala tiba hari raya. Samada untuk makan sendiri atau tempahan daripada orang lain. Kadang-kadang bagaikan tidak menang tangan kerana banyaknya tempahan yang diterima. Saya akui tapai buatan emak antara yang enak di kampung. Bukan sengaja memuji, tetapi itulah ceritanya. Kalau tidak takkan saban tahun ada sahaja yang menempahnya. Biasanya empat hari sebelum menjelang aidifitri, emak mula sibuk menyiapkan tempahan tapai. Bermula dengan mengukus pulut, menggaul dengan ragi, kemudian membungkusnya.

Kasihan juga melihat emak yang termengah kepenatan. Lebih-lebih lagi dengan penyakit lelah yang dihidapi sejak turun-temurun. Hendak buat macamana, yang menempah pun bukannya orang lain. Saudara-mara, jiran-jiran sekampung serta kawan-kawan kakak dan abang. Hendak ditolak tidak sampai hati. Mujurlah kakak-kakak turut sama membantu. Manakala saya dan abang pula ditugaskan untuk mencari daun getah. Tidak susah kerana di hujung kampung banyak kedapatan pokok getah yang tumbuh meliar. Kalau habis daun getah, kami akan mendapatkan pula daun jambu laut yang tumbuh berderet di sepanjang pantai.

Saya pernah terbaca di dalam satu blog yang mengatakan untuk membuat tapai ini banyak pantang-larang yang perlu dipatuhi. Di antaranya, masa membuat tapai tidak boleh dalam keadaan period (untuk perempuan), nanti tapai rasa masam. Tidak boleh buat tapai dekat dengan benda-benda yang berwarna merah, nanti tapai menjadi warna merah juga. Aduii.. berat ni. Ada pula yang berkata jika mahu buat tapai, tak boleh kecoh-kecoh. Kena senyap-senyap, tidak boleh orang tahu. Kalau tidak tapai akan jadi masam. Teruklah kalau macam tu, macamana hendak berniaga tapai. Ada juga yang berkata tidak boleh peram guna bekas besi, aluminium. Kena guna daun-daun atau plastik.

Hmm, banyak betul pantang-larang hendak buat tapai ni. Banyak yang tidak boleh. Betul ke? Entahlah, saya lihat masa emak membuatnya dahulu tak ada pun pantang-larang seperti itu. Elok sahaja tapai tersebut. Tak ada pula yang masam. Cuma yang saya lihat pantang-larang utama yang emak sentiasa titikberatkan ialah kebersihan. Emak amat menjaga kebersihan ketika membuat tapai. Termasuk bekas-bekas, daun untuk membungkus serta perkakas-perkakas yang lain, terutama melibatkan tempahan orang. Yalah, benda yang akan masuk ke dalam perut takkan nak berlebih kurang pula mengenai kebersihan.

Hari ini...

'Pusara bonda'

Ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan. Segala perancangan-Nya adalah perancangan yang hakiki. Emak saya telah pun tiada. Tanggal 20 Syawal 1432H adalah tarikh pemergiannya. Hilang sudah celoteh suaranya yang bercerita itu dan ini semasa membungkus tapai. Abang sulong yang dulu sama-sama mencari daun getah, juga sudah tiada. Dia terlebih dahulu berkelana ke pangkuan Ilahi pada tarikh 21 Zulqaedah 1426, setelah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya.

Tentunya kedua-dua tarikh tersebut menjadi kenang-kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Ia tersimpan kemas di dalam lipatan memori sambil sesekali menerjah keluar di ruangan mata. Mudah-mudahan Allah SWT merahmati mereka. Al-Fatihah..

Wednesday, 6 August 2014

Memakai penutup muka ketika ihram

Soalan: 

Saya akan menunaikan umrah pada bulan May ini. Memandangkan sekarang terdapat penularan wabak penyakit Mers-Cov yang dilaporkan berasal dari Arab Saudi, pihak media telah menyarankan supaya bakal-bakal umrah memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan. Bolehkah pemakaian topeng muka apabila dalam berihram atau mohon ustaz beri pencerahan @ penjelasan berhubung perkara ini terima kasih.

Jawapan: 

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Bagi lelaki, menutup muka tidak dilarang, maksudnya; ia tidak termasuk dalam larangan-larangan ihram. 

Adapun bagi wanita, ia dilarang kerana Nabi SAW bersabda:

 وَلاَ تَنْتَقِبِ المَرْأَةُ المُحْرِمَةُ، وَلاَ تَلْبَسِ القُفَّازَيْنِ 
“Janganlah wanita yang berada di dalam ihram memakai niqab (tutup muka) dan jangan juga memakai sarung dua tangannya” (Soheh al-Bukhari; 1838, dari Ibnu ‘Umar RA). 

Oleh itu, memakai topeng muka semasa dalam ihram diharuskan bagi lelaki. Adapun bagi wanita, dilarang. 

Kecualilah jika dalam keadaan terpaksa seperti untuk menjaga jangkitan wabak penyakit, maka dibolehkan (yakni tidak berdosa melakukannya), namun wajib dikeluarkan dam, iaitu; menyembelih kambing, atau berpuasa 3 hari atau memberi makan enam fakir miskin (setiap seorang ½ cupak) (Rujuk; surah al-Baqarah, ayat 196). 

Wallahu a’lam. 

(Sumber: Ilmu dan Ulama)

Monday, 4 August 2014

Doakan mereka, saudara di Gaza


اللّهُمَّ إِنّا نَسْتَعِينُكَ وَنُؤمِنُ بِكَ ، وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْكَ ونُثْنِيْ عَلَيْكَ الخَيْرَ وَلاَ نَكْفُرُكَ ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُد ، وَلَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُدُ ، وَإِليكَ نَسْعَى وَنَحْفِد
، نَرْجُو رَحْمَتَكَ وَنَخْشَى عَذَابَك ، إِنَّ عَذَابَكَ الجَدَّ بِالكُفَّار مُلْحِق ، اللهم عَذِّبِ الكَفَرَةَ وَأهْلَ الكِتَابِ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ 
"Ya Allah sesungguhnya kami memohon pertolongan dari-Mu dan kami beriman dengan-Mu, dan kami bertawakkal kepada-Mu, dan kami memuja-Mu dengan kebaikan dan kami tidak mengkufuri-Mu. Ya Allah, hanya Engkau yang kami sembah dan kepada-Mu kami menunaikan solat dan bersujud, kepada-Mu kami berusaha, kami mengharapkan rahmatMu dan kami takutkan azab-Mu, sesungguhnya azab-Mu yang pedih akan dikenakan kepada orang-orang yang kafir. Ya Allah azablah orang-orang kafir ahli kitab yang menghalang-halangi dari jalan-Mu."

 اللّهمّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِ أَعْدَائِنَا ، ونَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ اللّهمّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اِهْزِمْ اليَهُودَ الغَاصِبِيْنَ المحُتَلِّيْنَ، وَانْصُرْناَ عَلَيْهِمْ وَزَلْزِلْهُم. اللّهُمّ بَدِّدْ شَمْلَهُم وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، و شَتِّتْ كَلِمَتَهُم , خَالِفْ بَيْنَ قُلُوبِهِم، ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُم , وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباً مِنْ كِلاَبِكَ يا قهار , يا جبار و يا مُنْتَقِمَ , اللهم أَنْزِلِ بِهِم بَأْسَكَ الَّذِيْ لايُرَدُّ عَنِ القَوْمِ المُجْرِمِين. 
"Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menjadikan-Mu sebagai pendinding (kepada musuh2) kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka. Wahai Tuhan kami, wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab (al-Quran), dan wahai yang menjalankan awan, dan wahai yang menghancurkan tentera al-Ahzab, hancurkanlah Yahudi perampas dan penjajah dan bantulah kami ke atas mereka dan goyangkanlah mereka. Wahai Tuhan kami, binasakanlah kesempurnaan mereka, dan pecah-belahkanlah jemaah/kesatuan mereka, dan gagapkanlah perkataan mereka (melalutkan kereka), pecah-belahkanlah hati-hati mereka, goyahkanlah pendirian mereka, dan hantarkanlah anjing ke atas mereka dari anjing-anjing suruhan-Mu. Wahai Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Maha Berani, wahai Tuhan Yang Maha Berdendam. Wahai Allah Tuhan kami, turunkanlah ke atas mereka kemarahan dan kesakitan dari-Mu yang tidak mampu ditolak oleh kaum yang berdosa."

اللهم اُنْصُرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُجَاهِدِينَ عَلىْ اليَهُود..اللّهم انْصُرْناَ عَلَيْهِم فِي كُلِّ مَكَانٍ..اللّهمّ أَرِناَ فِيْهِمْ عَجَائِبَ قُدْرَتِكَ .. اللّهمّ أًحْصِهِمْ عَدَداً وَاقْتُلْهُمْ بَدَداً وَلاَ تُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَداً..اللّهمّ اجْعَلْهُمْ غَنِيْمَةً لِلْمُسْلِمِيْن..اللّهمّ اجْعَلْ سِلاَحَهُمْ فِي صُدُوْرِهِمْ وَكَيْدَهِمْ فِي نُحُورِهِمْ وَتَدْبِيْرَهِمْ تَدْمِيْراً لهَمُ , اللّهمّ اْجْعَلْ الملائكةَ تُعِيْنُ المسلمين ..اللّهمّ سَدِّدْ رَمْيَهُمْ .. اللّهمّ سَدِّدْ رَصَاصَهُمْ 
"Ya Allah, bantulah muslimin dan pejuang Islam dalam petempurannya dengan Yahudi. Ya Allah, bantulah kami untuk mengalahkan mereka di mana-mana sahaja. Ya Allah, tunjukkanlah kepada mereka keajaiban kuasa-Mu. Ya Allah, jadikanlah mereka boleh dibilang, dan bunuhlah mereka sebinasanya, dan janganlah Engkau lepaskan mereka walau seorang. Ya Allah, jadikanlah senjata dan harta mereka sebagai harta rampasan di tangan kaum Muslim. Ya Allah, jadikanlah senjata mereka mengenai dada mereka sendiri, dan helah mereka mengenai tengkuk mereka, dan perancangan mereka penghancur mereka sendiri. Ya Allah, jadikanlah para Malaikat membantu kaum Muslimin. Ya Allah, tepatkanlah tembakan dan lontaran mereka."

اللّهمّ أَهْلِكْهُمْ كَمَا أَهْلَكْتَ إِرَمَ وَعَاد ... اللّهمّ صُبَّ عَلَيْهِمْ سَوْطَ عَذَابِ فَإِنَّهُمْ أَفْسَدُوْا فِي البِلاَدِ وَقَتَلُوْا العِبَادَ , اللهم انصُرْ إِخْوَانَناَ فِي فِلَسْطِين و سوريا وَافغانستان والعراق وَجَمِيْعِ بِلاَدِ المسلمين 
"Ya Allah, hancurkanlah mereka sebagaimana engkau mengahancurkan kaum Iram dan ‘Ad. Ya Allah, palulah mereka dengan paluan azab kerana mereka telah melakukan kerosakan dalam negara dan membunuh para hamba-Mu. Ya Allah, bantulah saudara kami di Lubnan, Palestin, Afghanistan, Iraq dan seluruh negara umat Islam." 

Ameen ya Allah...

Sunday, 3 August 2014

Ujian adalah pelajaran...


Ada ketikanya seakan-akan mahu rebah dengan asakan ujian kehidupan. Marah, kecewa, putus asa, pahit dan perit, semuanya melingkari segenap perjalanan. Andainya mata hati tidak menjentikkan rasa bahawa ujian adalah sang guru yang mahu mendidik jiwa, bagaimanakah mahu meneruskan kehidupan ini. 

Kita banyak belajar dari kesusahan dan kesukaran. Kita juga banyak belajar ketika di dalam penderitaan. Walaupun tiada sesiapa yang mahukan kesusahan, tetapi dengan ujian kita banyak belajar sesuatu. Lantas kita berupaya memperbaiki kesilapan dan kelemahan untuk bangkit kembali. Lihatlah ujian itu adalah didikan dan proses Allah SWT sebagai wasilah meningkatkan darjat dan keimanan kita. Yakin dan percaya, bukankah Allah, Tuhan kita yang Maha Penyayang... 

"Dan antara manusia ada yang berkata: "Kami beriman kepada Allah." Tetapi apabila mendapat gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang pertolongan daripada Allah, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya kami berserta dengan kamu (kaum mukmin)." Sesungguhnya bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia? Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beriman dan benar-benar mengetahui orang yang munafik." (al-Ankabut: 10-11). 

Allahu al-Musta`an...

Saturday, 2 August 2014

Update: Selamat hari raya, maaf kosong-kosong..


Bagaikan sudah menjadi trend kebelakangan ini. Minta maaf kosong-kosong.. selamat hari raya kosong-kosong. Kerap ia kedengaran begitu, tidak hanya budak muda tetapi budak tua pun ada yang menggunakan ayat demikian. Saya tidak kata salah atau tidak boleh, jika anda mahu menggunakannya pun silakan, tetapi saya beranggapan ia tidak berapa tepat dan sesuai. Mengapa? Sepatutnya permohonan maaf mestilah disertakan dengan keinsafan dan bersungguh. Namun, apabila diucapkan dengan demikian seakan menjadi gurauan dan sendaloka.

Saya pernah menulis berkenaan perkara ini beberapa ketika dahulu. Sengaja saya terbitkan semula sebagai ingatan bersama. Biarpun aidilfitri masuk hari ke tujuh, tetapi ia masih relevan sebagai ingatan bersama.  
 
“Selamat hari raya,...kosong, kosong ye…” 

Entahlah, semacam ada yang tidak kena tatkala mendengar ucapan-ucapan yang sedemikian. Gersang. Tawar dan hambar. 

Apakah ucapan hari raya dan permohonan maaf itu sekadar adat atau seloka yang terlafaz tanpa sebarang makna? Pernahkah kita memikirkan betapa besarnya permohonan maaf itu? Bolehkah ucapan yang seperti itu mampu meraih keampunan dan menjernihkan perhubungan? 

“Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT tidak memakbulkan doa yang datang dari hati yang lalai.” (al-Hakim dan at-Tirmidzi yang mensahihkannya) 

Kemaafan bukan sekadar perhiasan atau kosmetik yang memeriahkan Aidilfitri, tetapi permohonan yang menjadi punca kepada tautan ukhuwah dan kejernihan hati. 

Maka bersungguhlah dalam memohon kemaafan, lahirkan dari hati yang tunduk dan ikhlas. 

Semoga ia menjadi bekal untuk meraih keredhaan-Nya dan punca kejenihan fitrah di pagi lebaran nanti. 

Maafkan seadanya.