Sahabat Sejati

Friday, 19 December 2014

Hujan mengingatkan saya pada sesuatu...


Hujan lebat seusai kuliah maghrib di surau perumahan saya. Langit menghitam menyelubungi sehingga tiada kelihatan cahaya seri bulan.

Musim hujan menyelimuti Pantai Timur waktu ini. Banyak tempat yang telah dinaiki air ekoran hujan yang tiada henti. Musim hujan juga dengan irama sang cengkerik dan sahutan katak menjadi paluan ingatan yang menjadi kenang-kenangan. Semua ini menghantar saya ke gerbang perasaan kerinduan. Benar, hujan mengingatkan saya pada sesuatu. Tentunya ‘sesuatu’ itu sering menjadikan hati ini berdetik lalu saya tersenyum sendirian.

Zaman kanak-kanak. Hujan umpama ‘anugerah’ istimewa. Titisannya yang gugur ke bumi sentiasa dinanti-nanti. Mandi hujan tidak pernah padam daripada kamus kehidupan ketika itu. Menyeronokkan. Berkejaran, menggelongsor dan bergelak ketawa di halaman rumah pusaka ayahanda. Biarpun telah kecut jari-jemari, menggigil berlaga gigi, selagi tidak dijerit emak dari beranda rumah pusaka.

Hujan yang ‘mengganas’ di luar juga membangkitkan selera makan. Selesai mengeringkan badan setelah puas ‘beraya’ di tengah halaman, nasi putih bersama ikan kering serta berkuahkan kicap manis menjadi santapan. Biarpun itu sahaja yang ada, namun rezeki Tuhan dicicip tanpa bersisa. Kadang-kadang emak menghidang ubi kayu rebus dicicah dengan kelapa yang digaul dengan sedikit garam dan gula. Ubi kayu emak tidak pernah berbayar. Emak menanamnya di belakang dapur empat, lima perdu. Alhamdulillah ia sentiasa cukup untuk kami sekeluarga. Adakalanya emak menanak pulut yang bersanding dengan ikan kering yang pastinya membuka selera.Oh, alangkah indahnya mengingati waktu itu.

Hujan masih galak menerjah bumi. Bumbung rumah saya menyambutnya dengan irama yang membingitkan tetapi menghiburkan. Termasuk juga sahutan katak dan cengkerik malam. Semuanya bagaikan hiburan yang menyerap masuk saya ke dalam nostalgia lama. Ia umpama suatu perjalanan terowong masa untuk mencari hari-hari semalam yang semakin terluput diingatan dan kabur oleh perjalanan masa. Sedangkan jiwa memendam rasa sambil merintih merindukannya. 

Namun, bagi anak kota mungkin ia bukan alunan muzik yang menggiur dan memberahikan. 

Hujan mengingatkan saya pada sesuatu... 

Mandi hujan 

Ubi kayu rebus dan kelapa yang digaul dengan sedikit garam dan gula 

Nasi putih dan ikan kering 

Dan semestinya... 

Arwah ayahanda dan bonda yang tidak pernah berkurang kasih sayangnya...

2 comments:

CikAnie said...

masa kanak-kanak kalau hujan lah yang paling best,, merasa main hujan dengan anak-anak jiran, pantang di pelawa hihihi,, mengelongor di atas jalan (tanah kapur) memang menyeronokkan tanpa hirau baju bertanah,,pastu kena marah hihihi,,hari-hari berkubang kat tali air depan rumah,,

ANAK KUALA said...

As Salam.....Dizaman kanak kanak dulu hujan ini seolah olah ianya satu anugerah yang Tuhan turunkan kepada kita dan sememangnya hujan itu satu anugerah. Kita tak pernah kenal erti takut sakit dan deman bermain hujan.... Bagi anak kampong seperti saya terlalu banyak kenangan yang boleh diimbau takkala musim hujan datang bertandang ...pelbagai yang yg dilakukan dikala hujan begini.... semua nya tersimpan didiary anak kampong

Post a Comment