Sahabat Sejati

Sunday, 23 November 2014

Kena diet nampak gayanya...


Seawal pagi, saya menyusuri aspal jalan raya. Turut bersama mengiringi awan mendung dan rintik-rintik hujan yang menimpa bumi. Insya-Allah hujan rahmat. Tidak banyak kenderaan di jalan raya. Mungkin kerana cuti hujung minggu dan juga hujan yang turun, maka ramai yang lebih selesa berehat di rumah bersama keluarga. Saya membuat telahan. 

Hari ini, selama 3 hari bermula hari Jumaat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan mengadakan program yang dikendalikan oleh para pelajarnya. Saya telah lupa nama program itu. Ada booth pameran, pemeriksaan kesihatan, gerai jualan, gerai permainan dan sebagainya. Hari ini adalah hari yang terahir sebelum ia melabuhkan tirai. Hari ini juga merupakan giliran saya menjaga booth Yayasan Amal Malaysia yang telah diundang untuk pameran dan sesi penerangan. 

 'Tuan Haji Jamaluddin sedang memberikan penerangan kepada para pelajar mengenai Yayasan Amal Malaysia'

Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah NGO yang banyak terlibat dalam misi kemanusian, kebajikan dan pembangunan di dalam negara dan di wilayah-wilayah umat Islam. Setiap kali berlaku bencana alam di tempat-tempat tersebut, Yayasan Amal Malaysia akan segera menghantar sukarelawannya untuk membantu. Termasuk misi kemanusian dan pembangunan sepanjang masa iaitu di Gaza. 

Selain daripada booth kami, terdapat juga booth pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh para pelajar UIA. Apa lagi, saya tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Percuma! Mula-mula saya membuat pemeriksaan telinga. Alhamdulillah, luar telinga, tengah telinga dan telinga disebelah dalam masih dalam keadaan baik. Maknanya saya belum lagi termasuk mereka yang kurang pendengaran, apa lagi kategori tidak mendengar. Teringat cerita “Keluarga 69” lakonan allahyarham P. Ramlee dan A. R Tompel. Al-Fatihah. 

Kemudian saya menjengah pula ke booth pemeriksaan mata. Banyak yang diperiksa termasuk tahap kerabunan, silau, jarak membaca, juling. Buat masa ini, saya tidak perlu memakai cermin mata. Sekali lagi Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik. 

'Salah satu booth pelajar'
 
Selepas itu saya beralih ke booth di sebelah untuk pemeriksaan diet. Ada pemeriksaan BMI, Kolesterol, muscle dan sebagainya. Allah, bermacam-macam masalah rupanya badan saya ini. Tak periksa rasa nak periksa. Dah periksa rasa menyesal pula. Kalau tidak taklah rasa takut begini. Senyum. 

Macam-macam benda yang perlu dikawal, ini tak boleh makan, itu kena kurang. Yang itu kena tiga sudu sahaja, yang itu kena seminggu sekali. Maklumlah umur pun sudah menghampiri ke angka 40. Aduhai, nampaknya saya kena berdiet untuk mendapatkan semula berat badan unggul. Tak apalah untuk kebaikan. Tetapi saranan menjaga makan bukan sahaja ketika usia memasuki angka 40. Tidak kira usia berapa makan mesti dijaga. Jika tidak pasti akan menimbulkan masalah dan keburukan. 

Firman Allah SWT:
“...makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang berlebih-lebihan.” (al-A`raaf: 31) 

Sabda Rasulullah saw: 
“Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan.” (Riwayat ad-Dailami) 

Keprihatinan hidup merupakan saranan untuk mengekang diri dari sikap yang rakus dan seterusnya menjaga kesihatan diri. Islam tidak melarang umatnya menikmati kebaikan dunia. Apa sahaja yang baik adalah kurnia Allah SWT termasuklah makan dan minum. Tetapi agama mengatur dan mengawal agar tidak memudaratkan. 

Makan dan minum sekadar untuk mencukupi keperluan kehidupan. Hikmah berlapar yakni tidak berlebih-lebihan dalam makan dan minum bagi kesihatan manusia amat banyak. Perut yang sarat dengan makan dan minum akan membuatkan badan menjadi berat dan malas. Badan yang terlalu gemuk akan mendatangkan pelbagai penyakit. Tentunya ubat yang tanpa biaya ialah menjaga makan dan minum. 

Sabda Rasulullah saw: 
“Cukuplah bagi anak Adam, suapan kecil-kecilan untuk mengisi perutnya; dan kalau mungkin maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmidzi) 

#Nasihat buat saya...

2 comments:

Kakzakie said...

Alhamdulilah apa pun semua pemeriksaan foc. Ada untung banyak tu cuma bila dpt tahu kena diet menyesal pulak ye hihi... Tak apa AI. At least dah tahu awal-awal dpt nak kekang mana yg patut dan tak patut. Dah rsaulullah kata penyakit bermula kan dari perut. Kita ni kalau makan ikut kata lidah sedap hmmm makanlah kan:)

Apa pun masih boleh dikawal alhamdulillah.

ps: Mandrem tu kakak pun tak tahu perkataan dari mana tapi biasa org kata macam 'guna-guna' itulah...

paridah said...

assalam...kena makan utk kesihatan tubuh ler ni bukan makan ikut rasa jer...

Post a Comment