Sahabat Sejati

Friday 21 November 2014

Husnudh-dzon pada DIA

'Pintu masuk ke PPTI Kemaman'

Anak kedua saya telah pun berada di rumah. Petang semalam saya menjemput beliau di asramanya di PPTI Kemaman. Keadaan sekolah agak lengang kerana sudah ramai pelajar yang pulang terutama yang tinggal berdekatan. Bagi pelajar yang tinggal jauh seperti Kuala Terengganu, Besut dan Johor, biasanya mereka akan pulang pada hari Jumaat atau Sabtu. 

Saya tidak berani membenarkan anak saya pulang sendiri dengan bas, maklumlah anak perempuan. Jika anak lelaki ada juga sedikit rasa yakin dan berani untuk berbuat demikian. Bila difikir-fikir suasana kegawatan akhlaq manusia hari ini, kebimbangan itu tidak pernah hilang. Ada kes yang berlaku kadang-kadang tidak masuk dek akal. Kata orang kampung saya, “tak sempat nok mikir”. Berlaku kejadian anak bunuh ibu bapa, anak bakar rumah kerana RM2. Kes rogol, samun, rompak ragut dan macam-macam lagi, itu tak payah nak cakap kerana berlaku hampir setiap hari. Takut sangat-sangat. 

Alhamdulillah, cuaca cerah dengan sang matahari memancarkan cahayanya mengiringi perjalanan ke Kemaman. Dua tiga hari sebelum ini hujan turun berpanjangan sehingga membawa ke malam hari. Kalau reda pun sekadar 20 minit, selepas itu turn balik. Bimbang juga kalau-kalau berlaku banjir sepertimana tahun lepas. Tidak pernah air naik selama saya tinggal di sini, melainkan pertama kali pada tahun lepas. Mujurlah rumah saya dua tingkat, sempat juga menyelamatkan barang-barang ke tingkat atas. Kalau tidak senasib dengan sahabat-sahabat saya yang lain. Banyak perabot dan barangan lain yang rosak kerana tidak dapat diselamatkan. Simpati kepada mereka semua. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan sebaik-baik ganjaran serta disematkan segenap kesabaran di atas musibah yang menimpa. 

Opss.. sahabat jangan salah faham pula. Bukan saya maksudkan cuaca cerah itu baik, manakala terjahan hujan ke bumi di musim tengkujuh tidak baik. Bukan begitu. Cuaca cerah baik, hujan pun baik. Semuanya alhamdulillah. Memang, adakalanya kita merasakan musim hujan kurang menyenangkan kerana banyak aktiviti yang akan tergendala. Mahu menjemur pakaian tidak boleh, mahu ke kebun tidak boleh, mahu bersiar-siar dengan keluarga pun tidak boleh, lalu tidak semena-mena kita menganggap hujan menyusahkan dan membenci hujan. 

Ya, keupayaan akal kita terhad, tidak mampu menafsir apa yang tersirat daripada apa yang berlaku. Kita menafsir apa yang ada di depan mata. Jika bersalahan dengan kehendakdan kemahuan kita, pastinya ia terlihat tidak baik dan tidak menyenangkan. Itu fitrah. Sedangkan Allah SWT mengingatkan kita dengan firman-Nya: 

“...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216) 

Firman Allah SWT lagi:
“...Mungkin kerana kamu enggan (bencikan sesuatu,) sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) (an-Nisaa’: 19). 

Sebenarnya apa sahaja yang dijadikan oleh Allah SWT semuanya baik. Tidak ada sesuatu pun dijadikan sia-sia tanpa sebarang manfaat. Ada yang dapat kita tafsirkan hikmah disebaliknya, dan lebih banyak pula yang tidak mampu kita meneka. Ada yang berlalu sekian lama kemudian Allah singkapkan hikmahnya, ketika itu barulah kita menyedari akan kebaikannya itu. 

Syeikh Ibnu Athai`llah menyebut di dalam al-Hikam: 
“Jika engkau tidak bersangka baik (husnudh-dhan), terhadap Allah Taala kerana sifat-sifat Allah yang baik itu, sangka baiklah kepada Allah kerana kurnia pemberian-Nya kepadamu. Tidakkah selalu ia memberi nikmat dan kurnia-Nya kepadamu?” 

Satu analogi, sebaik-baik husnudh-dhan (baik sangka) terhadap Allah, di waktu menerima nikmat Allah yang berupa ujian dan musibah, bagaikan seorang ayah yang merotan anaknya yang amat disayangi demi untuk kebaikan anaknya itu sendiri. Demikianlah jika kita mahu memahami. 

#Insya-Allah, esok ke Jerantut mengambil anak sulong.

1 comments:

paridah said...

assalam dik...cuaca xcerah selalu ada tikanya pasti mendung n hujan...reda saja dgn putaran alam..rumah kak setiap tahun dilanda banjir...penat membersihkannya tapi hanya itu saja rumah yg ada pun...

Post a Comment