Sahabat Sejati

Thursday 27 November 2014

Alhamdulillah, tahniah achik!

foto hiasan (sumber)

Tuhan sahajalah yang tahu perasaan saya ketika ini. 

Saya bersujud syukur tatkala mendapat tahu keputusan UPSR anak ke-3 saya itu. Tiadalah ucapan sebaik-baiknya yang mampu saya panjatkan melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT. Sukar untuk saya gambarkan kegembiraan ini. Ya, hati bapa mana yang tidak gembira apabila melihat kejayaan anak-anak. 

Saya melihat kejayaan ini membuka ruang baginya untuk memasuki Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang sangat diidam-idamkan. Terasa penat lelahnya sejak dua tahun lepas terbalas sudah. Seingat saya dia mula memasang cita-citanya untuk memasuki MTNP ketika usia 10 tahun. Itulah menjadi sandaran motivasinya belajar. Insya-Allah dengan izin-Nya, achik akan dapat menyambung pengajian seterusnya di MTNP nanti. Aminn… 

Jadikanlah kejayaan ini sebagai galakan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan seterusnya. Dalam pada itu, janganlah sekali-kali lupa bahawa kejayaan ini hanyalah satu permulaan. Perjalanan untuk mengukir kejayaan masih jauh dan panjang. Banyak onak dan ranjau yang perlu ditempuhi dalam perjalanan tersebut. 

Ingatlah, kejayaan sebenar bukanlah pada bilangan A yang tertera pada slip peperiksaan, bukan huruf A pada akademik. Tetapi yang lebih penting ialah A pada akhlaq dan peribadi. Itulah kejayaan dan kebanggaan yang sepatutnya diraikan. Bahkan itulah yang membanggakan dan menyejukkan hati abi dan ummi pada hakikatnya. 

Selamat maju jaya duhai anakandaku, Wan Nur Adawiyah. Abi dan ummi tidak pernah terlupa memanjatkan di dalam doa agar dirimu dan anak-anak yang lain sentiasa mendapat kebaikan, dan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Insya-Allah…

#Alhamdulillah, petang tadi menerima mesej daripada MTNP untuk menghadiri temuduga kemasukan. Mohon doa daripada sahabat-sahabat sekelian agar anakanda saya berjaya dalam temuduga tersebut.

0 comments:

Post a Comment