Sahabat Sejati

Saturday 29 November 2014

Bila usia semakin menginjak...


Semakin jasad rakus dimamah usia, semakin berkurang keinginan untuk menelaah dan membaca. Sedangkan itulah yang menjadi makanan harian ketika bergulat di medan tempur menuntut ilmu suatu ketika dahulu. 

Deretan majmu` yang beraneka warna tersusun rapi di dalam rak bagaikan hanya bernafsu menjadi santapan anak mata. Namun sulit mahu mengundang rasa 'iman' membelek-belek helaiannya. Apatah lagi mahu diam sebentar duduk menghadam isi kandungannya.

Masa semakin pantas bergulir. Apakah aku mula dihinggapi penyakit malas membaca di saat usia mula menginjak senja? Allahu rabbi, hamba-Mu berlindung daripada sesuatu yang demikian...
 
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan bakhil, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (Riwayat Abu Dawud)

Friday 28 November 2014

Rehat Minda: Pesan Murabbi 3

Salam Jumaat...


Ya Allah...
Kami berlindung dengan-Mu daripada 
ditimpa kematian yang mengejut dalam
keadaan lalai daripada mengingati-Mu.

#Mood: Insaf...

Thursday 27 November 2014

Alhamdulillah, tahniah achik!

foto hiasan (sumber)

Tuhan sahajalah yang tahu perasaan saya ketika ini. 

Saya bersujud syukur tatkala mendapat tahu keputusan UPSR anak ke-3 saya itu. Tiadalah ucapan sebaik-baiknya yang mampu saya panjatkan melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT. Sukar untuk saya gambarkan kegembiraan ini. Ya, hati bapa mana yang tidak gembira apabila melihat kejayaan anak-anak. 

Saya melihat kejayaan ini membuka ruang baginya untuk memasuki Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang sangat diidam-idamkan. Terasa penat lelahnya sejak dua tahun lepas terbalas sudah. Seingat saya dia mula memasang cita-citanya untuk memasuki MTNP ketika usia 10 tahun. Itulah menjadi sandaran motivasinya belajar. Insya-Allah dengan izin-Nya, achik akan dapat menyambung pengajian seterusnya di MTNP nanti. Aminn… 

Jadikanlah kejayaan ini sebagai galakan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan seterusnya. Dalam pada itu, janganlah sekali-kali lupa bahawa kejayaan ini hanyalah satu permulaan. Perjalanan untuk mengukir kejayaan masih jauh dan panjang. Banyak onak dan ranjau yang perlu ditempuhi dalam perjalanan tersebut. 

Ingatlah, kejayaan sebenar bukanlah pada bilangan A yang tertera pada slip peperiksaan, bukan huruf A pada akademik. Tetapi yang lebih penting ialah A pada akhlaq dan peribadi. Itulah kejayaan dan kebanggaan yang sepatutnya diraikan. Bahkan itulah yang membanggakan dan menyejukkan hati abi dan ummi pada hakikatnya. 

Selamat maju jaya duhai anakandaku, Wan Nur Adawiyah. Abi dan ummi tidak pernah terlupa memanjatkan di dalam doa agar dirimu dan anak-anak yang lain sentiasa mendapat kebaikan, dan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Insya-Allah…

#Alhamdulillah, petang tadi menerima mesej daripada MTNP untuk menghadiri temuduga kemasukan. Mohon doa daripada sahabat-sahabat sekelian agar anakanda saya berjaya dalam temuduga tersebut.

Apakah hukumnya ilmu Pelalau iaitu ilmu menghalang daripada bertemu jodoh?

Soalan :

Ada suatu ilmu yang dipanggil pelalau, iaitu ilmu yang digunakan atas seseorang untuk menghalang dari bertemu jodoh. Dilakukan ini kadang-kadang ke atas seorang perempuan sehingga tidak bertemu jodoh atau pun ke atas lelaki. Bolehkah dan benarkan adanya ilmu ini? Mampukah manusia melakukannya? Apakah hukumnya mempercayai perkara sebegini? 

Jawapan :

Jodoh pertemuan, hidup mati, bertemu dan berpisah termasuk dalam Qada' dan Qadar Allah SWT. Insan hanya mampu berusaha dan Allah akan menentukan segala-galanya. 

Memang berlaku dalam masyarakat Islam, khasnya Melayu, ada beberapa kejadian di mana orang perempuan sukar hendak bertemu jodoh atau bertemu pasangan yang berakhir dengan perkahwinan. Ada yang langsung tidak pernah bertemu. Ada yang bertemu, berkawan, berbaik-baik tetapi bila sampai hendak berkelamin, ada sahaja halangan. 

Inilah kejadian yang diistilahkan dengan ilmu pelalau. Saya khusus saya tidak mengetahui ilmu ini, tetapi itulah yang disebut ramai sebagai pelalau. 

Memang berlaku dalam masyarakat kita, ada orang perempuan yang tiada sebarang cacat cela akhlak serta tubuh badannya, akhlaknya, tetapi ada orang yang menghampirinya. Hal sedemikian memang berlaku. Tambahan pula akhir-akhir ini disebutkan bilangan orang lelaki dan perempuan yang sudah berusia tidak berkahwin, begitu ramai. 

Pada saya perkahwinan adalah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Ianya rezeki, kadang-kadang ada orang rezekinya murah, usaha sedikit tetapi mendapat pulangan yang lumayan, ada orang usahanya banyak, pulangan sedikit dan ada orang yang usahanya begitu banyak, tiada apa-apa pulangan, sebaliknya mengalami kerugian. 

Itu adalah sebagai satu contoh, bagi seorang perempuan atau lelaki yang mendapatkan suami atau isteri, perlulah dia berusaha untuk mendapatkannya. Bagaimana pun usaha itu perlu mendapat kesesuaian keadaan masing-masing. 

Walaupun pada asasnya perempuan menanti pinangan, manakala lelaki perlu mencari bakal isteri. Tetapi jangan lupa dalam Islam, perkahwinan agung yang berlaku kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw dengan Khadijah bt Khuwailid. 

Ia dimulakan oleh Khadijah sendiri, menghantar utusannya pada Muhammad pada ketika itu, Ummu Kalsum, dan berlakulah rundingan yang ikhlas seolah-olahnya Khadijah meminang Muhammad, pinangan diterima, maka berlakulah perkahwinan. 

Ini bererti, Khadijah memulakan suatu usaha walaupun beliau berumur 40 tahun dan Muhammad bin Abdullah berusia 25 tahun. Jika dicongak pada akalnya, barangkali sukar untuk ditemukan jodoh antara seorang perempuan yang 15 tahun lebih tua dari lelaki, dari hasil usaha dari perempuan sendiri. 

Inilah rezeki yang menemukan jodoh mereka, menjadikan mereka sebuah keluarga yang aman damai serta bahagia hingga ke akhir hayat Khadijah. 

Demikian hari ini, rezeki untuk mendapatkan seorang teman hidup, perempuan inginkan mendapat seorang lelaki yang bertanggungjawab membahagiakannya, tidak selama-lamanya datang bergolek. Maka perlu berusaha. 

Usaha itulah yang menentukan kadang-kadang cepat berjaya, kadang-kadang tidak. Ada pun satu kemungkinan yang boleh berlaku dalam masyarakat, seorang perempuan yang cantik, kaya, keturunan, akhlak dan agamanya baik, mungkin telah dilamar seorang yang sepadan dengannya tetapi ditolak. 

Kadang-kadang penolakan dibuat dengan kata-kata yang menyebabkan si peminang berasa terhina. Atau ditolak dengan alasan yang dibuat-buat, atau tidak boleh menerima lamaran kerana ingin menyambung pelajaran, atau kerana sudah dimiliki orang lain sedangkan semuanya itu tidak benar. 

Mungkin orang yang ditolak pinangannya itu berasa amat berkecil hati dan berasa terhina, barangkali ada sebutan yang menjatuhkan maruahnya. 

Jika dia dizalimi, sebagai orang yang kena hina, maka dia berdoa kepada Allah SWT agar Allah bertindak balas kerana penghinaan yang dilakukan, maka mungkin doa itu dimakbulkan. 

Ada hadis yang menyebutkan, "Takutlah kamu kepada doa orang kerana zalim, kerana doa orang yang kena zalim ini, tiada sekatan di antaranya dengan Allah SWT." 

Takut orang itu merasakan perempuan yang diinginkan, telah melukakan hatinya, diminta Allah supaya jangan memberikan hingga akhir atau atau biarkan perempuan itu menemui jodoh dalam usia yang lanjut. Itulah yang mungkin berlaku sebagai doa. 

Apa yang dinamakan pelalau, mungkin wujud ada dalam bentuk sihir, persoalan sihir ini, pernah saya jawab dalam siri-siri terdahulu. Ada sihir pengasih dipanggil attiwalah, ada yang lain disebut sihir pembenci yang lebih hampir kepada pelalau. 

Dalam Surah al-Baqarah, disebutkan bahawa, sihir diusahakan sehingga ia dapat memecahkan antara suami dengan isteri. Tidak berlaku perpecahan dan perceraian melainkan berlakunya benci membenci. 

Jika ini berlaku (sihir pembenci), ia akan menyebabkan orang melihat seseorang itu, ia tidak mengundang kebaikan kepada hati, tetapi mengundang kebencian kepada hati. Inilah yang dinamakan pelalau. 

Sama ada akidah kita rosak atau tidak, ia bergantung kepada pegangan kita. Jika kita kuat berpegang kepada aqidah, kita meyakini bahawa apa sahaja yang berlaku atas takdir dan kehendak Allah Yang Maha Mengkehendaki. 

Jika Allah SWT mengkehendaki seseorang itu tidak mendapat jodoh atau hanya mendapat jodoh pada usia yang lewat, maka itulah kehendak Allah, bukan atas usaha manusia. 

Jangan meletakkannya sebagai usaha manusia untuk menghalang rezeki seseorang, walhal rezeki dan jodoh adalah ditangan Allah SWT, bukan manusia yang menentukannya. Wallahua'lam. 

(Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din)

Tuesday 25 November 2014

Masih ada rindu...

 Foto hiasan: Sebahagian daripada kerinduan (sumber: Google)

Kenangan demi kenangan
Tidak mampu untuk ku lupakan
Tali air, paya, sawah dan ladang
Kujelajahi kuteroka bersama teman

Namun kini semua itu tinggal kenangan
Satu demi satu hilang dari kehidupan
Semakin jauh jarak masa perjalanan
Semakin jauh nostalgia ditinggalkan
Kelam dek usia yang membatas ingatan

Ingin rasanya jika dapat ku ulang
Buat pengubat rindu hati dan perasaan
Walau kutahu mustahil untuk dikotakan
Kerana tidak mungkin masa akan mengundur ke belakang

Jika detik dan waktu itu mampu bercerita
Pasti setiap lembarannya ada ceria dan nostalgia
Biarpun dicelahannya ada juga pahit berduka 
Namun kenangan datang mengundang manis lagi bahagia

 Foto hiasan: Sebahagian daripada kerinduan (sumber: Google)
 
 #mood: Jika masa mampu kuundurkan...
abuikhwan: 25 Nov 2014/2300 - Ruang tamu rumahku)

Sunday 23 November 2014

Kena diet nampak gayanya...


Seawal pagi, saya menyusuri aspal jalan raya. Turut bersama mengiringi awan mendung dan rintik-rintik hujan yang menimpa bumi. Insya-Allah hujan rahmat. Tidak banyak kenderaan di jalan raya. Mungkin kerana cuti hujung minggu dan juga hujan yang turun, maka ramai yang lebih selesa berehat di rumah bersama keluarga. Saya membuat telahan. 

Hari ini, selama 3 hari bermula hari Jumaat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan mengadakan program yang dikendalikan oleh para pelajarnya. Saya telah lupa nama program itu. Ada booth pameran, pemeriksaan kesihatan, gerai jualan, gerai permainan dan sebagainya. Hari ini adalah hari yang terahir sebelum ia melabuhkan tirai. Hari ini juga merupakan giliran saya menjaga booth Yayasan Amal Malaysia yang telah diundang untuk pameran dan sesi penerangan. 

 'Tuan Haji Jamaluddin sedang memberikan penerangan kepada para pelajar mengenai Yayasan Amal Malaysia'

Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah NGO yang banyak terlibat dalam misi kemanusian, kebajikan dan pembangunan di dalam negara dan di wilayah-wilayah umat Islam. Setiap kali berlaku bencana alam di tempat-tempat tersebut, Yayasan Amal Malaysia akan segera menghantar sukarelawannya untuk membantu. Termasuk misi kemanusian dan pembangunan sepanjang masa iaitu di Gaza. 

Selain daripada booth kami, terdapat juga booth pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh para pelajar UIA. Apa lagi, saya tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Percuma! Mula-mula saya membuat pemeriksaan telinga. Alhamdulillah, luar telinga, tengah telinga dan telinga disebelah dalam masih dalam keadaan baik. Maknanya saya belum lagi termasuk mereka yang kurang pendengaran, apa lagi kategori tidak mendengar. Teringat cerita “Keluarga 69” lakonan allahyarham P. Ramlee dan A. R Tompel. Al-Fatihah. 

Kemudian saya menjengah pula ke booth pemeriksaan mata. Banyak yang diperiksa termasuk tahap kerabunan, silau, jarak membaca, juling. Buat masa ini, saya tidak perlu memakai cermin mata. Sekali lagi Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik. 

'Salah satu booth pelajar'
 
Selepas itu saya beralih ke booth di sebelah untuk pemeriksaan diet. Ada pemeriksaan BMI, Kolesterol, muscle dan sebagainya. Allah, bermacam-macam masalah rupanya badan saya ini. Tak periksa rasa nak periksa. Dah periksa rasa menyesal pula. Kalau tidak taklah rasa takut begini. Senyum. 

Macam-macam benda yang perlu dikawal, ini tak boleh makan, itu kena kurang. Yang itu kena tiga sudu sahaja, yang itu kena seminggu sekali. Maklumlah umur pun sudah menghampiri ke angka 40. Aduhai, nampaknya saya kena berdiet untuk mendapatkan semula berat badan unggul. Tak apalah untuk kebaikan. Tetapi saranan menjaga makan bukan sahaja ketika usia memasuki angka 40. Tidak kira usia berapa makan mesti dijaga. Jika tidak pasti akan menimbulkan masalah dan keburukan. 

Firman Allah SWT:
“...makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang berlebih-lebihan.” (al-A`raaf: 31) 

Sabda Rasulullah saw: 
“Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan.” (Riwayat ad-Dailami) 

Keprihatinan hidup merupakan saranan untuk mengekang diri dari sikap yang rakus dan seterusnya menjaga kesihatan diri. Islam tidak melarang umatnya menikmati kebaikan dunia. Apa sahaja yang baik adalah kurnia Allah SWT termasuklah makan dan minum. Tetapi agama mengatur dan mengawal agar tidak memudaratkan. 

Makan dan minum sekadar untuk mencukupi keperluan kehidupan. Hikmah berlapar yakni tidak berlebih-lebihan dalam makan dan minum bagi kesihatan manusia amat banyak. Perut yang sarat dengan makan dan minum akan membuatkan badan menjadi berat dan malas. Badan yang terlalu gemuk akan mendatangkan pelbagai penyakit. Tentunya ubat yang tanpa biaya ialah menjaga makan dan minum. 

Sabda Rasulullah saw: 
“Cukuplah bagi anak Adam, suapan kecil-kecilan untuk mengisi perutnya; dan kalau mungkin maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmidzi) 

#Nasihat buat saya...

Friday 21 November 2014

Husnudh-dzon pada DIA

'Pintu masuk ke PPTI Kemaman'

Anak kedua saya telah pun berada di rumah. Petang semalam saya menjemput beliau di asramanya di PPTI Kemaman. Keadaan sekolah agak lengang kerana sudah ramai pelajar yang pulang terutama yang tinggal berdekatan. Bagi pelajar yang tinggal jauh seperti Kuala Terengganu, Besut dan Johor, biasanya mereka akan pulang pada hari Jumaat atau Sabtu. 

Saya tidak berani membenarkan anak saya pulang sendiri dengan bas, maklumlah anak perempuan. Jika anak lelaki ada juga sedikit rasa yakin dan berani untuk berbuat demikian. Bila difikir-fikir suasana kegawatan akhlaq manusia hari ini, kebimbangan itu tidak pernah hilang. Ada kes yang berlaku kadang-kadang tidak masuk dek akal. Kata orang kampung saya, “tak sempat nok mikir”. Berlaku kejadian anak bunuh ibu bapa, anak bakar rumah kerana RM2. Kes rogol, samun, rompak ragut dan macam-macam lagi, itu tak payah nak cakap kerana berlaku hampir setiap hari. Takut sangat-sangat. 

Alhamdulillah, cuaca cerah dengan sang matahari memancarkan cahayanya mengiringi perjalanan ke Kemaman. Dua tiga hari sebelum ini hujan turun berpanjangan sehingga membawa ke malam hari. Kalau reda pun sekadar 20 minit, selepas itu turn balik. Bimbang juga kalau-kalau berlaku banjir sepertimana tahun lepas. Tidak pernah air naik selama saya tinggal di sini, melainkan pertama kali pada tahun lepas. Mujurlah rumah saya dua tingkat, sempat juga menyelamatkan barang-barang ke tingkat atas. Kalau tidak senasib dengan sahabat-sahabat saya yang lain. Banyak perabot dan barangan lain yang rosak kerana tidak dapat diselamatkan. Simpati kepada mereka semua. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan sebaik-baik ganjaran serta disematkan segenap kesabaran di atas musibah yang menimpa. 

Opss.. sahabat jangan salah faham pula. Bukan saya maksudkan cuaca cerah itu baik, manakala terjahan hujan ke bumi di musim tengkujuh tidak baik. Bukan begitu. Cuaca cerah baik, hujan pun baik. Semuanya alhamdulillah. Memang, adakalanya kita merasakan musim hujan kurang menyenangkan kerana banyak aktiviti yang akan tergendala. Mahu menjemur pakaian tidak boleh, mahu ke kebun tidak boleh, mahu bersiar-siar dengan keluarga pun tidak boleh, lalu tidak semena-mena kita menganggap hujan menyusahkan dan membenci hujan. 

Ya, keupayaan akal kita terhad, tidak mampu menafsir apa yang tersirat daripada apa yang berlaku. Kita menafsir apa yang ada di depan mata. Jika bersalahan dengan kehendakdan kemahuan kita, pastinya ia terlihat tidak baik dan tidak menyenangkan. Itu fitrah. Sedangkan Allah SWT mengingatkan kita dengan firman-Nya: 

“...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216) 

Firman Allah SWT lagi:
“...Mungkin kerana kamu enggan (bencikan sesuatu,) sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) (an-Nisaa’: 19). 

Sebenarnya apa sahaja yang dijadikan oleh Allah SWT semuanya baik. Tidak ada sesuatu pun dijadikan sia-sia tanpa sebarang manfaat. Ada yang dapat kita tafsirkan hikmah disebaliknya, dan lebih banyak pula yang tidak mampu kita meneka. Ada yang berlalu sekian lama kemudian Allah singkapkan hikmahnya, ketika itu barulah kita menyedari akan kebaikannya itu. 

Syeikh Ibnu Athai`llah menyebut di dalam al-Hikam: 
“Jika engkau tidak bersangka baik (husnudh-dhan), terhadap Allah Taala kerana sifat-sifat Allah yang baik itu, sangka baiklah kepada Allah kerana kurnia pemberian-Nya kepadamu. Tidakkah selalu ia memberi nikmat dan kurnia-Nya kepadamu?” 

Satu analogi, sebaik-baik husnudh-dhan (baik sangka) terhadap Allah, di waktu menerima nikmat Allah yang berupa ujian dan musibah, bagaikan seorang ayah yang merotan anaknya yang amat disayangi demi untuk kebaikan anaknya itu sendiri. Demikianlah jika kita mahu memahami. 

#Insya-Allah, esok ke Jerantut mengambil anak sulong.

Rehat Minda: Pesan Murabbi 2

Salam Jumaat..


Hatta jika aku berjalan keseorangan dan semua manusia meninggalkanku...
Cukuplah Tuhan bersamaku...
Pencipta semua manusia.

#mood: semangat...

Wednesday 19 November 2014

Bulan buat 'bubur sughe'


Kelmarin surau di tempat saya telah mengadakan gotong-royong membuat bubur asyura, atau di kampung saya dulu dipanggil ‘bubur sughe’. Maklumlah kita masih lagi berada di dalam bulan Muharam. Sebagaimana yang kita tahu bulan Muharam memang sangat sinonim dengan bubur asyura. Boleh dikatakan kebanyakan masjid dan surau akan bergotong-royong membuatnya. 

Sedari awal lagi saya telah memohon maaf kepada sahabat saya yang menjadi AJK membuat bubur asyura, keuzuran saya untuk sama-sama dalam gotong-royong tersebut. Bukan kerana saya tidak bersetuju sebab tiada nas atau dalil yang sahih mengenai membuat bubur asyura pada hari asyura. Eh tidak, bukan begitu. Saya tidak ambil kisah dengan itu. Sebenarnya pada hari yang sama saya mempunyai program lain di UIAM Kuantan yang penting juga untuk dihadiri. Kalau tidak, saya pun akan bersama-sama mengacau kawah bubur asyura. 

Saya berpandangan ia amat bagus kerana merupakan salah satu aktiviti masyarakat harmoni. Secara tidak langsung dapat memupuk semangat bekerjasama dan bergotong-royong, malahan boleh merapatkan hubungan silaturrahim penduduk setempat. Mana-mana yang tidak kenal, boleh kenal, yang tidak pernah berjumpa boleh berjumpa. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas dan kerja. Ada sesetengah tempat, jiran sebelah-menyebelah pun tidak pernah kenal. Akhirnya kenal dan bertegur sapa sewaktu mengangkat barang untuk berpindah ketika banjir. Bukankah teruk sangat begitu. 

Apa pun, membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Tidak ada apa-apa dosa untuk menyediakan bubur asyura. Tetapi elakkan kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh as. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda di atas Bukit Juudi pada hari asyura. 

Diceritakan bahawa tatkala bahtera baginda terdampar di atas Bukit Juudi, maka berkatalah baginda kepada umatnya: “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. 

Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. 

Maka berkatalah Nabi Nuh as: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang.” 

Wallahua`lam, saya tidak pasti mengenai sumber kisah ini. 

Apa pun, janganlah pula kita bertegas mengatakan bulan Muharam mesti buat bubur asyura. Salah jika tidak buat. Ataupun kita berkata, tak boleh buat bubur asyura dalam bulan Muharam kerana bukan sunnah. Jangan begitu. Betullah tidak ada dalam sunnah membuat bubur asyura. 

Namun, ia ada kebaikan dari sudut keharmonian masyarakat. Senang sahaja, mana-mana tempat yang mahu buat silakan tetapi jangan menyalahkan kepada yang tidak mahu membuatnya. Manakala yang tidak buat jangan pula menyalahkan kepada yang mahu membuatnya. Habis cerita.

Saturday 15 November 2014

DIA yang menghilangkan keresahan

 foto hiasan (sumber)

Saya menjalani kehidupan yang agak sukar dalam minggu ini. Ada beberapa perkara yang menerjah, sedikit meresahkan perjalanan hidup. Ada ketikanya ia merencatkan ruangan lena tidur. 

Ujian dan musibah seringkali datang tanpa diundang, seringkali datang tanpa sebarang perkataan. Hadirnya menyimbah resah, munculnya mengundang gundah. 

Ujian dan musibah tidak dipinta, namun kita perlu sentiasa tahu bahawa ujian adalah rukun dalam kehidupan. Maknanya setiap daripada kita akan melalui bicara atau didikan Allah yang dinamakan ujian dan musibah. Tentunya kita mengharapkan setiap ujian itu membawa kita kepada satu tahap yang lebih baik. 

Kita telah lama menghadam: “Ujian dan musibah datangnya daripada Allah.” 

Benar, tiada siapa yang dapat menafikannya. Baik dan buruk semuanya di dalam ilmu-Nya yang Maha Luas. Tetapi di sana ada sesuatu yang perlu digigit sekuatnya bahawa Allah sangat kasih kepada hamba-Nya. DIA tidak menimpakan sesuatu ujian melainkan dengan kesanggupannya. 

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya...” (al-Baqarah: 286) 

Tidakkah ungkapan kalam yang mulia ini menghilang resah yang merobek ketenangan. Maka menjauhlah rasa gelisah, kecewa dan putus asa. Fitrahnya, dalam setiap kesusahan dan kesedihan insan akan memanggil dan merayu ke pada Allah SWT. Bahkan yang pernah kufur pun memanggil Allah dengan penuh keikhlasan apabila terdesak ditimpa musibah. Allah berfirman di dalam surah al-Ankabut ayat 65: 

“Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya.” 

Jika demikian seorang yang kufur, sudah tentu seorang Muslim yang beriman lebih-lebih lagi pergantungan harapnya kepada Allah ketika ditimpa musibah. Jarak langit dan bumi tersangat jauh sehingga ke hari ini tiada pakar yang dapat mengukurnya. Namun ianya menjadi dekat dengan doa yang dilafazkan. 

“Ya Allah, bantulah aku, kasihanilah aku...” Lalu ungkapan doa makhluk di bumi ini dengan pantas naik ke langit. Maka turunlah pertolongan Tuhan yang Maha Pengasih kepada hamba-Nya. 

Allahu al-Musta`an...

Thursday 13 November 2014

Rehat Minda : Pesan Murabbi 1


Ya Allah,
Rehatkan daku selepas kepenatan...
Bahagiakan daku selepas kedukaan...
Ganjarkan daku selepas kesabaran..

#mood: Penat...

Wednesday 12 November 2014

Bicara santai : Bila larut malam...

Foto hiasan (sumber)

Terkuap-kuap saya menahan mengantuk di hadapan komputer riba. Sesekali terlelap, menyebabkan entah ke mana-mana jari saya menekan butang-butang huruf. Akibatnya lain yang mahu ditaip, lain pula huruf yang ditekan. Lucu saya melihat perkataan yang tertera di muka skrin. Itulah hebatnya kuasa mengantuk. Siapa yang dapat melawannya. Segagah ‘Undertaker’ pun boleh kalah dengannya. Inikan pula saya. Oppss..anda kenal siapa dia Undertaker? Cuba Tanya professor google, tentu ada jawapannya. 

Saya sedang menyiapkan ‘artwork backdrop’ untuk majlis graduasi salah sebuah PASTI di dalam DUN Beserah. Ia mesti disiapkan malam ini juga. Sebabnya tengahari esok perlu dihantar ke ‘printing’ pula setelah pihak pengurusan bersetuju dengan ‘design’ tersebut. Maknanya semuanya perlu diselesaikan pada malam ini, ia perlu diemailkan sejurus dilakukan sentuhan terakhir. 

Biasanya tiada apa-apa masalah. Sekali email sahaja terus mereka bersetuju tanpa perlu diedit. Jika ada pun hanya sedikit sahaja. Namun, berbeza dengan ‘artwork‘ yang ditempah oleh syarikat korporat. Setiap sentuhan memerlukan ketelitian dari segenap aspek. Saya pernah membuat ‘artwork’ yang ditempah oleh sebuah badan kebajikan Islam milik syarikat korporat tersebut. Sebenarnya tempahan tersebut melalui sahabat saya yang bekerja di syarikat korporat yang sangat dikenali dalam negara itu. Tidak perlulah saya sebutkan nama syarikat tersebut. 

Apa yang mahu saya ceritakan, sebelum ia lulus untuk diprint, terlebih dahulu ia dibawa ke dalam mesyuarat pengurusan. Beberapa kali kami berbalas whatsapp untuk membaiki dan menukar apa-apa yang patut. Akhirnya setelah beberapa kali diedit termasuk susun atur, warna barulah ia boleh diprint. Baru saya tahu, rupa-rupanya setiap syarikat korporat mempunyai warna logo yang rasmi. Tidak boleh ‘hentam keromo’ sahaja. Contohnya jika warna merah, mesti merah dengan kod warna yang tepat, kerana warna merah ada bermacam-macam jenis. Sama juga dengan warna-warna yang lain. Memang setiap syarikat korporat mempunyai etika dan standard yang perlu dipatuhi. Walaupun agak cerewet tetapi ia tidak menyebabkan saya ‘giveup’, saya mengambil sudut pandang yang positif dan aktif. Ia adalah satu proses pembelajaran untuk membina kemahiran. 

Tetapi ini tidaklah bermakna saya membuat sambil lewa atau ‘cincai’ jika bukan untuk syarikat korporat. Tidak begitu. Walau siapa yang menempahnya, saya akan pastikan ia dibuat dengan sehabis baik. Tidak kira siapa yang meminta saya membuatnya. Bukankah Allah menyukai orang yang tekun dan bersungguh-sungguh? 

Di dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda:
"Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang melakukan sesuatu pekerjaan, dia itqan (tekun,teliti,buat yang terbaik)." (Riwayat at-Thabrani) 

Apa pun, yang paling penting semuanya foc. Jika ada yang bertanya berapa bayarannya, maka dengan yakin saya menjawab: “Minta tolong doa sudahlah...” Yalah, lagi pun semuanya kawan-kawan, bukannya orang lain. 

Eh, jauh pula mengelamun. Saya menggeliat menghilang lenguh-lenguh sendi. Jam dinding berdetak sekali menandakan telah pun pukul satu pagi. Keluarga telah lama belayar di alam mimpi. Sambil menghirup air kopi yang masih berbaki di cawan, saya meneruskan kerja-kerja yang belum selesai. Insya-Allah, malam ini email akan dihantar

Tuesday 11 November 2014

NUSAIBAH Srikandi Besi


Semangat juang dalam diri Nusaibah terus mengalir deras, sederas jantungnya yang berdegup kencang. Perisai pada tangan beliau bersedia bagi menepis setiap libasan pedang yang dihayun ke arahnya.

Dalam situasi genting itu, kakinya pantas melangkah ke tempat Rasulullah berada.

Kata-kata Rasulullah pada ketika Perjanjian Aqabah Kedua terus segar dalam ingatan. Nusaibah mahu mengotakan ikrar yang dilafazkannya pada tempoh hari. Akhirnya, perjalanan menongkah arus tiba ke destinasi yang dituju. Nusaibah berjaya berdiri di hadapan Rasulullah, bersama beberapa orang tentera Muslimin yang masih teguh berdiri. Mereka membentuk barisan benteng dan perisai. Darah segar mengalir pada leher, lengan, dan sekujur tubuh setiap orang yang menjadi perisai, demi melindungi Rasulullah.

Sambil menjeritkan kesanggupannya, tanpa berbelah bahagi, Nusaibah turut menghunus pedang dengan genggaman yang semakin kemas. Kekasih Allah itu perlu dilindungi! Nusaibah lansung tidak memikirkan keselamatan diri sendiri, sehingga beliau turut mendapat luka parah akibat tusukan, terjahan, dan serangan musuh daripada setiap sudut dan penjuru.

Ini adalah kisah Nusaibah, Nusaibah Srikandi Besi.

Tajuk : Nusaibah Srikandi Besi
Penulis : Ezee Rahmani
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Harga : RM14.00
Mukasurat : 192

Isi Kandungan:

Siapakah Srikandi Itu?
Agama Baharu
Islam berkembang ke bumi Yathrib
Cahaya Menerangi Hati
Limpahan Cahaya Iman
Buta Tetapi Celik
Dakwah Mus'ab
Menuju Cahaya Rindu

 Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!

Monday 10 November 2014

Cetusan rasa: Kehidupan yang dilewati...

(foto hiasan)

Sesungguhnya semalam telah pun berlalu menjadi sejarah kenang-kenangan, hari ini untuk kita corakkan bahagia atau sengsara dan esok belum tentu kepunyaan kita. Mungkin telah tersurat untuk kita tidak sempat menjengah matahari hari esok. 

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti. Namun, kenangan semalam yang menjenguk dijiwa selepas perjalanan masa, itulah yang mematangkan fikiran. Nostalgia itulah yang mengajar erti kehidupan, pengalaman suka duka dan pahit jerih, ukhuwah dan nilai kasih sayang. 

Kehidupan mesti diteruskan. Laluilah ia dengan penuh ketabahan. Sama ada gembira ataupun berduka, hadapilah dengan penuh kesabaran. Semuanya adalah ujian dari Allah SWT untuk melihat penerimaan hamba-Nya. Apakah redha atau tidak. Bukankah ujian Allah SWT adalah dari sifat kasih sayang-Nya?

"Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari siksa neraka." (al-Baqarah: 201)

Sunday 9 November 2014

Allahu rabbi, lemahnya aku...


Terjemahan:
Seorang lelaki Amerika telah solat di masjid. Kemudian dia berdiri dan memegang mikrofon. Dia membaca Al-Fatihah dengan bacaan yang lemah, yang tidak difahami kecuali oleh mereka yang faham surah tersebut. Lantas dia menangis dan keluar daripada masjid. 

Tuan Imam mengekorinya seraya bertanya mengapakah dia berbuat demikian. Lalu dia menjawab bahawa dia baru sahaja memeluk Islam dua hari lepas. Dia telah membaca sebuah kitab terjemahan mengenai Islam, dan mendapati di dalamnya dinyatakan sebuah hadis Rasulullah sollallahu alaihi wasallam "SAMPAIKAN DARIKU WALAU SATU AYAT". Dia berkata: "Saya telah pun menghafaz 7 ayat (surah ini mengandungi 7 ayat) maka saya sampaikannya." (Sumber FB)

Subhanallah, Allahu akbar.. 

Terpana seketika. Tiba-tiba terasa bagaikan sebutir batu besar jatuh menghenyak. Sakitnya tidak terkira. Insaf, benar-benar insaf. Beliau baru sahaja dua hari memeluk Islam, namun telah mula memahami tanggungjawabnya sebagai daie. 

"Bagaimana pula saya? Bagaimana pula saya?"

Tidak semena-mena pertanyaan ini menerjah pintu hati. Mengasak-mengasak sanubari sehingga saya kehilangan kata-kata. Sukar untuk saya memberikan jawapan kepada pertanyaan rakan halusinasi dalam diri. Saya tertunduk lesu. Merenung kembali hari-hari yang telah dilalui. Lemahnya jasad, lemahnya jiwa.

"Ya Allah, sesungguhnya aku lemah, aku tak berdaya. Hanya kepada-Mu ku pohon pertolongan.." 

Semoga menjadi muhasabah untuk kita bersama..

Awasi unsur syirik jika guna kayu koka

Soalan: 

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka? 

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Jawapan:

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan. 

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka. 

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka. 

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras. 

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul. 

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam. 

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah saw dalam sabdanya (mafhumnya): "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih) 

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan. Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan. 

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya. 

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah. Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja. Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya. 

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit. 

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi saw yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat. 

Nabi saw pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan. 

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu. 

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain. 

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan. 

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya. 

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT. 

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah saw pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab ra. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang. 

Keesokan harinya Nabi saw bertemu Umar dan berkata kepadanya: "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian." 

Umar menjawab: "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit." 

Wallahua'lam. 

(Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din)

Saturday 8 November 2014

Bicara santai: Takde api pulak!


Tup! 

Alamak bekalan elektrik terputus pula malam-malam begini. Tengah ‘syok’ menonton kuliah agama di youtube, masa inilah pula ia buat hal. Sementelah lagi bateri laptop saya telah pun lama 'kong'. Mahu tidak mahu terpaksalah tawaquf dulu menontonnya. Harap-harap tidak lama, bolehlah saya sambung kembali. Atau janganlah sampai pagi esok baru ada semula bekalan letrik. Kalau tidak sampai ke pagilah saya tidur di luar. Sebabnya.. 

Saya bergegas mencari lampu suluh. Anak-anak pula mencari lilin untuk dinyalakan. Memang saya sentiasa menyimpan beberapa kotak lilin untuk menghadapi saat-saat begini. Tetapi aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan, sudah banyak kes kebakaran yang melibatkan api lilin. Mohon dijauhkan, Allahu al-musta`an. 

Sebenarnya bukan masalah saya tidak dapat menggunakan laptop, walaupun ada juga sedikit ‘bengang’. Tetapi apabila bekalan elektrik terputus, bukan setakat lampu yang terpadam bahkan kipas angin juga tidak berfungsi. Tinggal di rumah batu faham-fahamlah, panasnya bukan main jika tiada kipas. Berpeluh lencun jawabnya. Sebab itulah saya memilih untuk tidur di luar setiap kali ‘tiada api’. Maksud di luar ialah di atas sofa di ruang anjung. 

Tetapi seronok juga apabila tiada letrik, bolehlah sembang-menyembang dengan jiran sebelah-menyebelah di depan pintu pagar, sambil melayan angin luar yang bertiup. 

Teringat ketika zaman budak-budak dahulu. Terputus bekalan elektrik menjadi suatu yang menyeronokkan. Yalah bukannya mudah jika saja-saja mahu duduk bergelap melainkan apabila terputus bekalan elektrik. Istilah bahasa orang kampung saya ‘tiada api’. Apa yang saya perasan, tatkala 'tiada api' bagaikan serentak jeritan berkumandang, WHOOO...!!! Saya rasa bukan setakat tiga empat buah rumah, malah di setiap rumah dalam kampung bergema jeritan tersebut. Bukannya budak-budak sahaja yang menjerit, malah yang dewasa pun sama. 

Bagaikan masih tergambar di ruang mata suasana tersebut. Tersenyum sendirian saya mengingatkannya. 

Sambil-sambil menanti bekalan eletrik disambung semula, bermacam-macam ‘kerja’ yang dilakukan. Biasanya ayah dan abang duduk berkumpul di beranda sambil berborak kosong ditemani cahaya pelita atau lilin. Yalah, lemas dan rimas duduk bergelap di dalam rumah. Manakala emak dan kakak saya meneruskan kembali kerja di dapur yang tergendala sebentar berbekalkan cahaya api pelita. 

Selalu saya melihat, semacam kebiasaan pula jika tiada letrik, ada dua tiga orang jiran berhampiran datang bertandang menumpang berborak di beranda. Sementelah lagi rumah arwah ayah memiliki beranda yang agak luas. Saya pun tumpang sekaki mendengar orang tua bercerita. Seronok. Malah lebih seronok lagi rakan-rakan saya turut datang menuruti orang tua mereka. Mulalah kami mencipta permainan sendiri halaman rumah. 

Saya teringat, adakalanya saya bermain bayang-bayang dengan cahaya lilin atau pelita. Membuat bayang-bayang objek yang terpantul melalui cahaya tersebut. Seronok. Bermacam objek yang dihasilkan. Pernah suatu hari kakak saya melarang berbuat demikian. Katanya nanti disorok oleh bayang-bayang. Menggaru-garu kepala mendengarnya .Tidak terfikir dek akal saya ketika itu bagaimana pula disorok oleh bayang-bayang, tetapi cerita itu memang sudah berapa kali saya mendengarnya melalui orang tua-tua serta sahabat yang lain. 

“Seorang budak yang bermain dengan bayang-bayangnya, tiba-tiba hilang begitu sahaja. seluruh ahli keluarganya kelam-kabut dengan kehilangannya. Yang peliknya, dia boleh mendengar suara dan melihat ahli keluarga yang sedang mencarinya, tetapi keluarganya pula sebaliknya. Namun dia tidak boleh berbuat apa-apa. Bagaikan ada tembok ghaib di hadapan yang menghalang. Akhirnya dengan bantuan orang kampung dia ditemui semula sedang bersandar di tepi dinding rumahnya dalam keadaan terpinga-pinga.” Demikianlah versi yang pernah saya dengar. 

Wallahua`lam, saya tidak pasti samada cerita tersebut benar atau pun tidak. Tetapi pada masa itu memang betul-betul percaya. Naik takut pula saya mendengarnya. Phew, nasib baik kakak cepat memberitahu, kalau tidak mungkin saya pula yang akan disorok oleh bayang-bayang sendiri. (..??) 

Bekalan letrik masih lagi tiada. Saya masih lagi berkipas di luar. Anak-anak pula asyik bermain bayang-bayang yang terpantul daripada cahaya lilin. Hmm, biarkanlah. Saya cuma memerhatikan sahaja sambil mengimbau kenangan yang sama. Insya-Allah, tak disoroknya oleh bayang-bayang sendiri, getus hati kecil. Saya tidak mahu terlalu berpegang dengannya biar pun mungkin ada juga sedikit kebenarannya, mungkin. 

Biarkanlah..

Thursday 6 November 2014

Taman Syurga: Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus & Kutipan Dana Pembangunan PASTI as-Salam


Assalamualaikum warahmatullah.

Buat pencinta majlis ilmu, insya-Allah kuliah pengajian kitab Jam`ul Jawami` yang akan disampaikan oleh pendakwah tersohor, al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Kuliah ini akan diadakan di masjid yang sangat tersohor dalam daerah Kuantan dengan majlis ilmu iaitu Masjid Qaryah Balok, Kuantan pada tarikh 08 November 2014. Dalam majlis ini turut dilancarkan kutipan dana pembangunan PASTI as-Salam, Kampung Sungai Karang Darat. 

Jom, pakat datang beramai-ramai, ilmu dapat infaq pun dapat...  

Kesombongan, ia membinasakan

Foto hiasan (sumber)

Allah SWT berfirman: 
“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu)...” (al-A`raaf: 146) 

Apa punca penyakit sombong? 

Puncanya lebih pada manusia. 

Harta, lebih sedikit. 

Pangkat, lebih sedikit. Pengaruh, lebih sedikit. 

Ilmu, lebih sedikit. 

Kesempurnaan bentuk, lebih sedikit. 

Apa sahaja, bila lebih sedikit, kita mudah rasa sombong. 

Firman Allah SWT: “…sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kesombongan.” (an-Nahl: 23) 

Bagaimana meleraikan kesombongan? 

Pesan guruku... 

Banyakkan bergaul dengan orang miskin, kurangkan bergaul dengan orang kaya. 

Banyak bergaul dengan orang alim, kurangkan bergaul dengan orang jahil. 

Kembali kepada asal diri. Bukankah pertama kali diciptakan daripada tanah yang hitam. Tidakkah ini sebagai lambang kerendahan. Lihatlah tanah yang setiap hari diinjak-injak oleh sepasang kaki, iatulah asal permulaan. Apakah ada sesuatu yang lebih hina daripada benda yang menjadi sasaran telapak kaki itu. Demikianlah jika kita memahami dan merenungi hakikatnya. 

Namun, sudah begitu kebiasaannya. Orang yang rendah dan hina, tatkala terlepas daripada kehinaan dan tiba-tiba sahaja berada di atas, boleh sahaja dia mendabik dadanya dan meninggikan hidungnya. Tanpa segan-silu dia berbuat kederhakaan dan kecurangan. Lantas tanpa sedar dia menjemput kemurkaan dan kebencian Tuhan. 

Firman Allah SWT: 
“...Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (al-Ghafir: 60) 

Rasulullah saw bersabda: 
“Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat seberat debu dari sifat takabbur.” (Riwayat Muslim) 

Demikianlah peringatan dan ancaman kepada mereka yang memiliki sifat ini. Maka, apakah kita sanggup mencelakakan diri sendiri kerana sifat buruk ini. Fikir-fikir, tidak rugi untuk merendah diri kerana ia disayangi manusia dan dikasihi Allah. Apakah yang paling besar selain daripada kasih sayang Allah SWT. 

Rasulullah saw bersabda: 
“Barangsiapa tawadhuk kepada Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barangsiapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barangsiapa bersikap sedang (tidak bakhil dan tidak boros), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barangsiapa membelanjakan hartanya tanpa faedah, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barangsiapa memperbanyakkan ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah.” (Riwayat oleh Bazzar, Thabrani dan lain-lain) 

Fudlail rah., sewaktu beliau ditanya: “Bagaimanakah ertinya tawadhuk atau merendahkan diri itu?” Beliau menjawab Iaitu supaya engkau tunduk pada apa-apa yang hak dan benar, engkau ikuti itu, sekalipun engkau hanya mendengarnya dari seorang budak kecil haruslah engkau terima, juga sekalipun engkau dengar dari sebodoh-bodoh manusia, haruslah engkau perhatikan sebaik-baiknya.” 

Semoga menjadi peringatan bersama, tentunya buat diriku...

Sunday 2 November 2014

Kome cuti pulok!

Asalamualaikum warahmatullah kepada semua tetamu pondok kecil abuikhwan.  Mudah-mudahan semuanya sentiasa di dalam rahmat dan redha Allah SWT.

Alhamdulillah, tahniah kepada pasukan bolasepak Pahang di atas kemenangan malam tadi seterusnya mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Apa pun, satu sahaja yang mahu sampaikan dalam posting pendek ini, Kome cuti pulok!

Hogoh Pahang Hogoh! 

t

Saturday 1 November 2014

Cetusan rasa: Perbanyakkanlah mengingatinya...

'Foto hiasan: Kenangan bersama allahyarham sahabat karibku, saudara Zamilan' (baca disini)

Kita sudah pun memasuki tahun baru Hijrah. Masa yang berlalu bagaikan tidak terasa laju silih berganti. Angka usia semakin bertambah sedangkan ia semakin berkurang dari sudut lainnya. Kematian pula sering mengintai tiap ketika tanpa leka. Beruntunglah bagi sesiapa sentiasa mengingati hakikat yang pasti ini, sebaliknya kerugian yang mutlak bagi sesiapa yang melalaikannya. 

Rasulullah saw bersabda: 
“Al kayyisu (orang yang bijak/cerdik) ialah siapa yang menghisab dirinya dan beramal dengan untuk bekalan selepas mati Sedangkan al ‘aajizu (orang yang gagal) adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada (pemberian) Allah.” (Sunan Ibn Majah: 4260; Musnan Imam Ahmad: 124). 

Dalam satu hadis yang lain disebutkan: 
“Aku bersama Rasulullah, kemudian datang seorang lelaki dari Ansar, memberi salam ke atas Nabi saw kemudian berkata: siapakah mukmin yang paling baik. Jawab baginda: Yang paling bagus akhlaknya. Dia bertanya lagi: Siapa pula yang paling cerdik? Baginda menjawab: Mereka paling banyak mengingati mati dan melakukan persediaan selepas itu, itulah orang yang paling bijak.” (Sunan Ibn Majah:4259) 

Nabi saw mengingatkan umatnya kesempatan hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal selamanya. Dunia adalah tempat persinggahan mengumpul bekalan untuk menuju kehidupan abadi. Masa yang singkat adalah suatu kesempatan yang mesti dihargai. Jika ia dibiarkan atau disia-siakan, maka kesempatan yang kedua tidak akan diperolehi. Apa yang ada hanyalah sesalan yang tiada kesudahan. 

Suatu ketika Abdullah bin Mas`ud melihat Rasulullah sedang berbaring, apabila baginda bangun dari tempat perbaringannya, Abdullah bin Mas`ud terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang Nabi, ini disebabkan tikar alas tidur Nabi diperbuat dari daun kurma yang kasar, maka kesan tikar itu amatlah ketara. Timbullah rasa belas kasihan di hati Abdullah bin Mas`ud. 

Berkata Ibnu Mas`ud: "Ya Rasulullah, sekiranya kamu memerintahkan aku untuk mencari hamparan yang lembut untukmu nescaya aku akan berusaha mendapatkannya." 

Tetapi Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan." 

Di dalam hadis yang lain, kata Abdullah bin Umar ra: 
“Rasulullah saw memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir.” Dan semenjak itu Ibnu Umar selalu berkata: “Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu petang dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu dan peluang masa hidupmu berbekal untuk matimu.” (Riwayat al-Bukhari). 

Manakala al-Quran menegaskan: 
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu).” (al-Ankabut: 64). 

Hidup dan mati adalah milik-Nya. Dia yang Maha Mengetahui segala rahsia sedangkan kita tidak akan dapat menelah dengan tepat. Tiada siapa yang dapat menjamin apakah dia sempat menjengah sinar matahari esok. Bahkan seminit dari saat ini pun kita tidak mampu meneka, semuanya tidak jelas dan nyata. Apatah lagi mahu memikirkan hari esok. 

Allah SWT berfirman:
"Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (an-Naml: 65) 

Usia saya, ketika ini sudah pun hampir menjengah ke angka 40. Sekiranya saya dipanggil mengadap Allah dalam usia Rasulullah saw, maknanya lebih kurang 23 tahun lagi masa yang ada. Ia bukanlah jangkamasa yang panjang. Bahkan ketika kita mengerdipkan mata, pejam dan celik, ketika itulah roda masa berputar. Lalu di antara keduanya terselit taqdir kematian. 

Pesan guruku: “Usah tertipu dengan badan yang sihat kerana mati tidak syarat sakit, dan usah tertipu dengan usia yang muda kerana mati tidak syarat tua.” 

Allahu rabbi...