Sahabat Sejati

Wednesday 15 October 2014

Jadikan mereka penyejuk mata


Anak-anak adalah kurniaan dan nikmat yang tidak terperi. Ia bagaikan nyawa yang disambung-sambung untuk merentasi masa di dunia ini. Anak-anak yang soleh adalah dambaan setiap ibu bapa. Ibu bapa mana yang tidak gembira melihat anak-anak yang berjaya menjadi ‘insan’ sebagaimana yang sering dipinta dalam doa setiap kali selepas solat. 

Allah SWT berfirman: 
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh daripada isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenang hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa." (al-Furqan: 74) 

Anak-anak adalah amanah. Ia menjadi beban yang tergalas di kedua bahu. Kita terikat dengan amanah ini. Oleh itu, mendidik anak-anak merupakan satu kewajipan yang sangat besar. Kita menentukan corak untuk mereka, jika baik maka baiklah kedapatannya. Jika sebaliknya maka pasti ia mengundang sesal yang tiada kesudahan. 

Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw bersabda: 
“Setiap anak yang dilahirkan itu telah membawa fitrah beragama (perasaan percaya kepada Allah). Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan anak tersebut beragama Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” (Riwayat Bukhari) 

Daripada Saiyidina Ali ra; Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: 
"Didiklah anak kalian tiga perkara! Kasih kepada nabi mereka, kasih kepada ahli keluarga Rasulullah dan membaca al-Quran. Sesungguhnya mereka yang memikul al-Quran berada di bawah lindungan Allah ketika tiada lindungan melainkan lindungan-Nya bersama para nabi dan mereka yang suci." (Riwayat at-Thabrani) 

Bukan mudah mahu mendidik agar mereka menjadi ‘insan’ di dunia ini. Namun, di dalam kepayahan itu kita ada panduan yang berdiri di hadapan. Tidak lain ianya adalah qudwah dan contoh ikutan daripada Rasulullah saw. Kita akan mendapati petunjuk yang benar jika meneliti di dalam sirah hidupnya. Seandainya kita mengabaikan qudwah dan panduan ini, lalu mencari jalan yang entah apanya, maka tidak mustahil kita menempah kesudahan yang mencelakakan. Maka ambillah apa yang telah digariskan oleh junjungan besar Rasulullah saw, di sana telah tersedia panduan dan petunjuk yang tidak mengecewakan.

Firman Allah SWT: 
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (al-Ahzab: 21). 

Buku Tarbiyatu al-Aulad fi al-Islam oleh Syeikh Dr Abdullah Nashih Ulwan amat baik sebagai rujukan.

2 comments:

paridah said...

assalam...perkongsian yg sangat bagus...suka kata2mu anak2 itu adalah nyawa kita yg bersambung-sambung..

abuikhwan said...

kak paridah: semoga bermanfaat..

Post a Comment