Sahabat Sejati

Saturday 4 October 2014

Entry 1000 # Alhamdulillah, seronoknya semua ada

'Foto hiasan - Terminal Sentral Kuantan'

Alhamdulillah. 

Anak-anak semua sudah pun berada di rumah sempena cuti hari raya korban. 

Semalam anak sulung yang belajar di Jerantut selamat sampai di rumah. Biarpun tiba lewat malam kerana terlepas bas akibat terlambat bergerak dari sekolahnya. Sewaktu tiba di stesen bas Jerantut, bas sudah pun bertolak kira-kira 10 minit. Mujurlah bapa kepada rakannya di Jerantut tidak keberatan mahu menghantar beliau ke stesen bas Temerloh kerana tiket di Jerantut telah habis. Terpaksalah membeli tiket sekali lagi untuk pulang ke Kuantan. Tetapi tidak mengapa, yang penting selamat sampai. 

Manakala anak perempuan yang belajar di Kemaman, terlebih dahulu balik kerana negeri Terengganu mula bercuti pada hari Jumaat. Saya mengambilnya pada petang Khamis setelah tamat waktu persekolahan. Terpaksalah (sebenarnya bukan terpaksa) pula saya bercuti separuh hari untuk urusan itu. Tidak mungkin saya membenarkan dia balik sendiri dengan bas kerana suasana sekarang tidak memberi rasa percaya untuk berbuat demikian. Saya sentiasa menaruh kebimbangan. Tentunya bimbang dengan perlakuan jenayah hari ini. Macam-macam yang berlaku sehingga kadang-kadang tidak masuk dek akal. Biarlah bersusah sedikit mengambil dan menghantarnya asalkan tidak menyesal kemudian hari. 

Sudah tentu saat yang amat gembira ialah tatkala dapat berkumpul sekeluarga. Saya tahu sahabat-sahabat turut bersetuju dengannya. Dan tidak dapat disangkal hari raya adalah waktu yang paling sesuai untuk mengiakannya. Tidak kisahlah raya aidilfitri atau raya korban, yang penting dapat berkumpul. Gembira benar Acik dan juga si ‘kecil Haikal’, dapat berjumpa abang dan kakaknya. Abi dan ummi pun turut gembira. Bermacam-macam cerita di sekolah yang di bawa balik oleh keduanya itu. Saya dan isteri terhibur mendengarnya. Alhamdulillah, penyejuk mata dan hati.. 

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” (al-Furqan: 74)

0 comments:

Post a Comment