Sahabat Sejati

Monday 13 October 2014

Cetusan rasa: Cerita kosong tatkala rahmat mencurah dari langit Ilahi

 'Menunggu-nunggu ilham dari langit Ilahi'

Entah apa yang mahu dicoretkan. Buntu seketika, seumpama menunggu-nunggu ilham dari langit. Adakalanya punya masa tetapi ketandusan ilham. Adakalanya punya ilham tetapi kesempitan masa pula. Seringkali keduanya silih bergantian mencacatkan ‘mahu’. Demikianlah masa lapang dan ilham bukan milik kita. Ia milik hakiki Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki. 

 “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku masa yang lapang serta sesuatu yang bermanfaat agar dapat aku kongsikan bersama hamba-Mu yang lain.” 

Ketika sedang mencoret artikel ini, hujan berguguran dari langit Ilahi. Tidaklah lebat, sekadar renyai-renyai berdetak menimpa bumbung. Jika di desa hujan yang menimpa bumi turut diselangi dengan suara sang katak. Biarpun bising tujahan air hujan menimpa atap zink dan suara katak yang membingitkan, saya tidak pula terganggu dengannya malahan bagaikan melodi yang menghiburkan. Ahh, anak desa... 

Semalam sewaktu menghantar anak kedua saya ke asramanya di PPTI Kemaman, hujan lebat mengiringi di sepanjang perjalanan. Terpaksalah memperlahankan kenderaan kerana penglihatan yang agak kabur. Jika diikutkan sekarang ini memang sudah pun masuk permulaan musim tengkujuh di tempat saya, pantai timur. Mudah-mudahan tidak terjadi seperti tahun lepas. Pertama kali kawasan perumahan saya dinaiki air menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir.

 'Kenangan 'berbulan madu' di Pusat Pemindahan Banjir, menjadi sukarelawan team tukang masak untuk mangsa banjir. Alhamdulillah'

Teringat pada malam tersebut, dalam keadaan gelap-gelita kerana bekalan elektrik telah dipotong atas faktor keselamatan, ditambah dengan hujan yang lebat mencurah, kami sekeluarga meranduk air banjir menuju ke pusat pemindahan. Berbekalkan lampu suluh sambil mendukung ‘si kecil Haikal’ saya melangkah perlahan, manakala isteri dan anak-anak membawa beg plastik berisi pakaian. Gerun dan cuak juga perasaan menghadapi suasana gawat ketika itu. Mujurlah beberapa keluarga lain turut sama berpindah, menambah sedikit rasa berani. Terdetik di fikiran saya, kalau suasana begini sudah menimbulkan kegerunan, bagaimana agaknya keadaan hari Kiamat yang dahsyat itu. Tentu tidak tergambar akan kedahsyatannya.

Di dalam satu hadis, Abdullah bin Umar ra. Berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang ingin melihat gambaran hari Kiamat hendaklah dia melihat surah at-Takwir, surah al-Insyiqaq dan surah al-Infithar, pada surah-surah tersebut tergambar dengan terang tentang hari Kiamat.” (at-Tirmidzi) 

Segala gambaran mengenai Kiamat tergambar dengan jelas melalui tiga surah tersebut. Ia seolah-olah suatu jendela bagi umat manusia memandang ke akhirat. Tentu sekali gambaran Kiamat tidak mungkin dilihat dengan mata, tetapi melalui ayat-ayat di dalam surah ini akan membukakan mata hati orang-orang yang beriman. Buka dan bacalah makna ayat-ayat di dalam surah ini, mudah-mudahan ia dapat memberikan kebaikan dan keinsafan dalam kehidupan ini. 

Tentunya peringatan ini lebih utama buat diriku...

0 comments:

Post a Comment