Sahabat Sejati

Sunday 17 August 2014

Kenangan masih basah: Catatan 20 Syawal 1432H


“Emak apa khabar, sihat tak? Raya ni kami balik kampung.” Saya memberitahu emak melalui telefon. Suasana hening, alunan lagu raya yang berkumandang keluar dari corong radio menambah rasa syahdu. Malam ini telah pun masuk 25 Ramadhan. Tinggal beberapa hari lagi umat Islam akan meraikan kedatangan aidilfitri. 

“Alhamdulillah mak sihat, kamu pula apa khabar?” Kedengaran suara emak di hujung talian, ceria. “Kak De dan Abang Ngah kamu pun nak balik beraya di sini juga. Kak Cik kamu pula raya pertama baru sampai, tentu meriah raya tahun ni semua berkumpul,” sambungnya lagi panjang lebar. 

“Alhamdulillah saya sihat. Wah, baguslah, tentu meriah. Ingat tahun ini saya nak buat lemang, ” saya menyampaikan hajat hati kepada emak. Saya memang benar-benar maksudkannya. Boleh dikatakan setiap tahun saya membeli lemang sebagai juadah wajib di hari lebaran. Sepanjang perjalanan menuju ke kampung memang banyak gerai yang menjual lemang. Kalau nasib tidak baik ‘terbeli’ lemang rebus... cara biasa orang menipu berniaga. Tetapi tidak semua, ada yang jujur. 

“Pandai ke kamu buat? Kalau macam tu bolehlah mak rasa lemang yang kamu buat tu.” Jawab emak lagi menyambung bicara. 

Mungkin emak menyangka saya bergurau kerana setiap tahun tibanya aidilfitri saya sering membayangkan untuk membuat lemang. Acapkali juga saya berpakat dengan adik-beradik yang lain untuk bergotong-royong membuatnya tetapi tidak pernah menjadi kerana ada sahaja perkara membantutkannya. Ada yang balik kampung mertua, buluh lemang tidak dicari, masalah itu dan ini, sehingga menyebabkan ia sentiasa tertangguh. 

“Saya cubalah, buluh lemang pun dah tempah dengan kawan. Bukannya apa, setiap kali raya asyik beli je, tahun ni rasa nak makan lemang buat sendiri pulak.” Saya memberitahu emak sambil ketawa kecil. 

“Kalau begitu baguslah, nanti emak belikan ayam untuk buat rendang,” jawab emak sebelum mengakhiri perbualan. 

Buluh lemang tidak susah kerana sahabat saya mempunyai banyak rumpun buluh lemang di kebunnya. Itupun setelah bercerita dengannya, barulah saya tahu dia setiap tahun berniaga buluh lemang setiba hampirnya hari raya. Hmm, dalam diam-diam ‘businessman’ rupa-rupanya sahabatku ini. Saya mahu yang besar dan panjang saiz ruasnya, pesan saya kepada sahabat tersebut sebelum beliau ke kebun memotong buluh. Hmm, biasalah ‘kroni’. Kalau untuk orang lain, biasanya sudah ada saiz ‘standard’ sama seperti penjual buluh lemang yang lain. Begitulah mudah jika ramai kawan. 

Teringat azimat murabbi: “Tidak perlu mencari sahabat yang ramai, tetapi jadikan diri kita mudah bersahabat. Nescaya sahabat akan datang dengan sendiri.” 

Keinginan mahu berukhuwah dan bersahabat adalah soal hati. Jika hati mahu bersahabat, tanpa bahasa, tanpa ikatan bangsa, malahan biarpun sempadan geografi yang merentang sekalipun, kemesraan boleh berlaku. Tetapi, andai hati tidak mahu bersahabat, walaupun berkongsi bahasa dan minat yang sama, pasti tiada persaudaraan yang akan berputik. 

Aidilfitri 1432H 


Entahlah, saya sendiri tidak tahu mengapa raya tahun ini tergerak hati saya untuk membuat lemang. Pelik ada, lucu pun ada. Saya bukannya pandai membuat lemang. Seingat saya, cuma sekali sahaja saya membuatnya sewaktu mahu mengadakan majlis hari raya surau perumahan kami. Itupun sekadar menjaga api bersama sahabat yang lain. Kalau saya seorang yang menjaga api, alamat berkerak padatlah lemang jadinya.Tetapi tahun ini saya nekad untuk cuba membuatnya sendiri. Bermula daripada proses menyediakan buluh sehinggalah siap membakarnya. Saya nekad. Kalau kita yakin, insyaAllah menjadi. Saya berpegang pada kalimat ini. 

Saya cuba bertanya kepada rakan-rakan yang biasa membuat lemang. Bukannya apa, sebagai persediaan. Mujurlah mereka semua pemurah dengan pengetahuan yang dimiliki. 

“Buluh tu kena basuh dulu, manalah tahu kalau-kalau ‘ada’ yang bersarang di dalamnya.”

“Kalau daun tebrau tak ada, daun pisang pun boleh juga, tapi kena layur dulu kalau tidak mudah pecah.” Sahabat saya memberi panduan. 

Tidak cukup dengan itu, setiap blog dan youtube berkaitan dengan cara penyediaan lemang saya selongkar untuk menambah pengetahuan yang ada. Alhamdulillah, banyak input yang saya perolehi. Walaupun ada juga sedikit sebanyak perbezaan di antara satu sama lain. 

Saya mengambil cuti awal. 2 hari sebelum raya saya sudah pun berada di kampung. Seronok tidak terkira. Bermacam-macam persiapan telah dibuat. Tentu meriah raya tahun ini. Sesekali saya juga terfikir, betul ke aku nak membuat lemang ni? Menjadi ke? Ahh, pedulikan. Saya ketepikan perasaan itu, yang penting lemang mesti dibuat tahun ini. Buluh, pulut, santan, daun pisang, kayu api dan sebagainya sudah pun disediakan. Tunggu untuk dimulakan sahaja. 

Alhamdulillah, saya tidak keseorangan. Ahli keluarga yang lain turut membantu menyiapkan lemang. Akhirnya setelah berpeluh dan berpanas menjaga api, lemang yang diidam terhidang di depan mata. Lemangnya cantik tidak berkerak. Diganding pula dengan rendang ayam masakan emak. Cukup lengkap. Gembira hati saya melihat emak dan ahli keluarga yang lain berselera makan lemang yang saya buat. Termasuk juga tetamu yang hadir. Alhamdulillah, janji yang sekian lama tertangguh akhirnya tertunai hari ini. 

Hari ini 20 Syawal 1435H 


Emak saya sudah tiada. Tanggal 20 Syawal hari ini genap 3 tahun pemergiannya (Bonda, semoga damai dalam rahmatnya). Saya tiada disisinya sewaktu dia menghembuskan nafas yang terakhir. Ketika itu saya berada di luar kawasan kerana terlibat dalam satu program kemasyarakatan sebagai urusetia. Sehinggalah kakak saya memaklumkan melalui telefon. Bergegas saya pulang ke kampung dalam keadaan yang seakan tidak percaya. Sehari sebelum itu emak menelefon saya. Kami berbual panjang dan suara emak sangat ceria. Tidak sangka itulah kali terakhir saya berbual dengannya. Walaupun dalam kesedihan, namun saya gembira kerana sempat juga dia merasa juadah lemang yang telah lama saya janjikan untuk membuatnya. 

Saya redha dengan ketentuan-Nya.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang...Amiin.” 

Setiap kali menjelang aidilfitri, saya akan terkenang kepada hari-hari itu. Kenangan yang bersarang sentiasa subur di hati saya. Moga syawal yang diraikan tahun ini memberikan rahmat dan kebaikan kepada kita semua.

1 comments:

Kakzakie Purvit said...

Kullunafsin zaa iqotulmaut... sesungguhnya setiap yg hidup akan menemui mati. Allahyarhamah mak telah bersemadi (moga dalam rahmat Allah - amin). Kita yg masih hidup ini diberi peluang mencari bekalan sebelum izraeil menjemput kita.

ps: sekurang-kurangnya tak ada rasa terkilan kerana hajat nak membakar lemang makan bersama mak telah tertunai.

Post a Comment