Sahabat Sejati

Wednesday 20 August 2014

Bicara santai: VCD kuliah agama ustaz Azhar Idrus


Alhamdulillah, sempat menghabiskan sedikit masa pagi ini dengan menonton VCD kuliah al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Yalah waktu untuk pergi kerja lambat lagi. Kebetulan pula hari ini tiada kuliah subuh di tempat saya, jadi alternatifnya ialah pasang VCD, duduk menyandar di sofa sambil mencatat isi kuliah. 

Saya mahu beranalogi. Harap sahabat-sahabat memahami. 

Mendengar kuliah kalau boleh saya umpamakan seperti kita mengecas bateri. Tidak kiralah kuliah secara langsung, seperti di masjid dan surau atau hanya dengan mendengar VCD. Saya rasa sahabat-sahabat boleh bersetuju. Bateri yang lemah hendaklah sentiasa dicas untuk ‘topup’ kembali ‘powernya’. Jika tidak, lama-kelamaan bateri tersebut akan rosak atau tidak berfungsi. Jika sudah sampai tahap ini, tiada jalan lain melainkan bateri tersebut hendaklah ditukar dengan yang baru. 

Demikianlah, fitrah manusia, tidak kuat setiap masa. Ada hari-hari yang dilalui dengan perasaan lemah, kecewa, sedih, buntu, putus asa dan sebagainya. Kadang-kadang pelik, kita sendiri tidak tahu apakah punca yang menyebabkan kita merasa demikian. Oleh itu, kita sentiasa menginginkan kekuatan demi kekuatan untuk menampal kelemahan yang tidak lekang daripada diri yang amat lemah ini. Ohh, saya tidak maksudkan kuat atau lemah dari sudut fizikal. Itu cerita nombor lima. Saya maksudkannya dari sudut dalaman. Kekuatan untuk menghadapi saat-saat ‘down’ begini amatlah didambakan. 

VCD kuliah dan era Youtube 

Kembali semula kepada cerita VCD. 

Saya memiliki banyak koleksi VCD kuliah agama ustaz Azhar Idrus, termasuk juga VCD kuliah ustaz-ustaz yang lain. Di antaranya al-Fadhil Ustaz Dr Haron Din, al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus, al-Fadhil Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man,al-Fadhil Ustaz Shahril Long dan ramai lagi. Tetapi VCD kuliah Ustaz Azhar Idrus yang paling mendominasi. Seingat saya VCD kuliah ustaz Azhar Idrus lebih dari seratus keping telah saya beli. Itu belum termasuk VCD ustaz-ustaz yang lain. 

Dulu setiap bulan saya mesti membelinya, samada di toko agama, di dalam kuliah-kuliah serta tempat ceramah. Biasanya sekali beli dalam 10 keping. Maka, setiap bulan saya akan memperuntukkan bajet untuk membeli VCD kuliah. Tak apalah, pelaburan yang berbaloi. Sekurang-kurangnya boleh menonton kembali tatkala telah pencen nanti (insyaAllah). 

Namun, sejak 3, 4 tahun yang kebelakangan ini saya sudah tidak lagi membeli VCD kuliah. Bukan saya telah berhenti mendengarnya, tetapi sekarang ini untuk menonton kuliah agama sangat mudah. Aplikasi seperti youtube telah mengambil alih tempat VCD. Buka sahaja youtube dan, nah! Boleh pilih mahu mendengar ustaz mana, kuliah secara online pun banyak. Sangat mudah, pilih sahaja yang masa satu idaman kalbu. 

Fenomena Ustaz Azhar Idrus 


Tidak keterlaluan jika saya katakan ustaz Azhar Idrus sesuai mendapat jolokan ikon anak muda dan daie sejuta ummah kerana berjaya menarik minat orang ramai datang ke majlis ilmu. Lihat sendiri di dalam internet, betapa ramai audien yang datang ke kuliahnya. Di tempat saya sendiri demikian juga, yang mana beliau datang berkuliah pada setiap bulan, audien sehingga melimpah keluar masjid. 

Penyampaiannya yang bersahaja tetapi jelas dengan contoh-contoh yang mudah difahami, di selang-seli juga dengan jenaka yang menghiburkan. Cuma, bagi yang kurang memahami loghat Terengganu agak susah sedikit. Mungkin mengambil masa untuk memahaminya. Saya rasa sudah berapa ramai yang kembali ke masjid dan menjadi baik (insyaAllah) kerana mendengar kuliah ustaz Azhar Idrus. Benarlah hidayah milik Allah. Tanpa keizinan-Nya tidak akan bertemu hidayah itu. Namun, saya bercerita tentang penyebab. Ada orang berubah kerana dengar ustaz ini, ada orang dengar ustaz itu, ada yang baca buku ini, ada yang ikut-ikut orang lain dan sebagainya. Itu adalah penyebab dengan keizinan Allah SWT. 

Namun, dalam ramai-ramai yang meminati kuliah ustaz Azhar Idrus, tidak kurang juga yang ‘memusuhinya’. Cubalah buka youtube dan lihat di ruangan komen. Bermacam-macam bahasa ‘sampah’ yang boleh dilihat. Saya tidaklah kata ustaz Azhar Idrus betul semua. Beliau pun ada salah dan silap kerana namanya pun manusia biasa. Bagi saya, kita boleh tidak bersetuju atau berbeza pendapat, itu tidak sedikit pun menjadi masalah. Tetapi gunalah bahasa yang sesuai kerana menunjukkan siapa diri kita. 

Tidak rugi pun!

2 comments:

paridah said...

assalam dik mendengar ceramah r kuliah agama umpama merangsang semangat keimanan..benar kata dik ada masa tahap iman kita low juga so kena dirangsang selalu..

abuikhwan said...

betul kak...sokong sangat2

Post a Comment