Sahabat Sejati

Friday 15 August 2014

Bicara santai: Lampu isyarat dan papan tanda adalah kawalan dan panduan


Banyak sungguh lampu isyarat dan papan tanda di sepanjang perjalanan menuju ke pusat bandar Kuantan. Tidak kurang sepuluh lampu isyarat yang ditempuhi. Begitu juga papan tanda yang bermacam-macam. Pemandangan biasa, jalan raya. Kadang-kadang jika mahu cepat, saya akan melalui jalan alternatif bagi mengelakkan lampu isyarat. Samada saya melalui jalan pintasan Kuantan - Kemaman, atau pun melalui Jalan Alor Akar dan Jalan Tok Sira. 

Mungkin ada yang beranggapan lampu isyarat melambatkan dan menyusahkan. Jika difikir secara biasa memang benar anggapan itu. Di saat kita ingin cepat, lampu isyarat pula berwarna merah. Sedang kita memecut laju di jalan raya, ada pula tanda 60km/j, kawasan sekolah 30km/j, ada pula papan tanda gambar seekor lembu, mahu tidak mahu terpaksa memperlahankan kenderaan. Bukankah ini menyusahkan dan menyukarkan? Jika ya, anda tidak keseorangan kerana saya pernah juga berfikir begitu. Memang menyusahkan! Tetapi tidaklah sampai membenci lampu isyarat. 

Hmm, mari kita berfikir sejenak. 

Lampu isyarat bukan didirikan untuk menyusahkan, begitu juga papan tanda di kiri dan kanan jalan, bukan untuk mengganggu atau menyakitkan mata. Tentu ada gunanya, takkanlah ia didirikan saja-saja tanpa ada sebarang manfaat. Bersetujukah jika saya katakan bahawa lampu isyarat dan papan tanda adalah untuk memudahkan dan menyelamatkan. Juga berfungsi sebagai satu kawalan dan panduan. 

Bayangkan jika dipersimpangan tiada lampu isyarat, tentu menyulitkan. Setiap kenderaan berebut mahu bergerak dahulu. Akibatnya, boleh berlaku kemalangan. Akhirnya menjadi semakin lambat kerana kesesakan. Boleh jadi juga lampu isyarat sebagai ruang waktu untuk kita berhenti rehat sebentar, menghilangkan kebas-kebas kaki dan tangan. Sama juga seperti papan tanda, sebagai panduan penunjuk jalan. Papan tanda menunjukkan arah yang betul dan berapa jauh lagi perjalanan berbaki. Tanpanya kita mungkin boleh tersesat atau tersalah arah. Papan tanda juga berguna sebagai kawalan untuk mengelakkan daripada perkara-perkara yang boleh membahayakan diri. Contohnya kawasan kemalangan, selekoh tajam, kawasan haiwan melintas dan sebagainya. 

Ini hanya satu analogi. 

Begitulah dalam kehidupan kita di dunia ini. Kita memerlukan panduan dan kawalan kerana ada perkara-perkara yang ditegah dan dilarang sebagaimana ada perkara-perkara yang diperintahkan. Kita adalah manusia yang lemah, sentiasa terlupa dan lalai. Bahkan kalimah ‘Insan’ yang memberi makna ‘manusia’ adalah berasal daripada akar kata kalimah Arab ‘nisyan’ iaitu kelupaan. Akar kata perkataan insan yang mengaitkannya dengan ‘ lupa’ menjelaskan mengenai tabiat atau sifat manusia itu sendiri yang selalu bersifat pelupa atau lupa. Lupa yang dimaksudkan di sini boleh ditafsirkan dengan skop yang luas. 

Atas sifat lupa tersebut, kadang-kadang perkara yang kita lakukan setiap hari pun, adakalanya boleh cuai dan tersilap. Maka, dengan setiap kelalaian dan kelupaan yang ada kita sering tersilap langkah dalam membuat perhitungan. 

Allah SWT dengan rahmat dan sifat penyayang, telah menurunkan satu panduan manual untuk menjamin supaya perjalanan hidup yang dilalui oleh manusia selamat dan diberkati samada dunia maupun akhirat. Panduan manual tersebut ialah dinamakan al-Quran. Oleh itu, adanya perintah dan tegahan di dalamnya sebagai kawalan dan panduan, maka kita akan selamat daripada tersesat dan terbabas. Dengan kawalan dan panduan itu juga, kita akan sentiasa berada di atas landasan yang benar dan betul. Amat malang sekali seandainya kita masih mencari suatu panduan atau pegangan yang selain daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT. 

Allah SWT berfirman: 
“...dan Kami turunkankepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.” (an-Nahl: 89) 

Mengawal bukan mengongkong


Islam adalah agama yang sentiasa mahukan umatnya selamat dan sejahtera, baik di dunia dan lebih utama lagi di akhirat. Islam tidak pernah mengongkong tetapi mengawal. Kawalan inilah yang seringkali disalah anggap oleh sesetengah pihak. Bagi mereka kawalan tersebut adalah satu bentuk kongkongan yang menyebabkan mereka tidak maju, pasif dan lesu. Benarkah demikian? Ramai di kalangan umat Islam hari ini yang berfikiran begitu. Seolah-olah Islam langsung tidak memberi kebebasan. Sedangkan Islam melarang dan membenarkan kerana ada kebaikan dan manfaat yang akan diperolehi.

Di dalam agama Islam ada perkara yang berkaitan dengan qanun jinayat iaitu hudud, qisas dan takzir. Ia adalah kawalan yang amat berkesan agar keharmonian dan keamanan masyarakat terjaga. Sebagai contoh, di dalam hukum hudud ada hukuman potong tangan terhadap pencuri yang disabitkan kesalahan dengan bukti yang jelas. Ia sebagai satu bentuk kawalan agar sesiapa sahaja merasa gerun untuk mencuri. Dengan ini banyak perkara yang boleh diselamatkan. 

Islam melarang meminum arak kerana ia boleh merosakkan akal fikiran. Tanpa akal manusia seumpama orang tidak siuman. Tanpa akal manusia boleh bertindak seperti haiwan. Islam hanya melarang arak tetapi banyak lagi minuman lain yang dibenarkan. Islam turut melarang perzinaan kerana ia boleh merosakkan keturunan serta kehidupan masyarakat. Dalam masa yang sama Islam membenarkan pernikahan. Lihat, Islam melarang sesuatu tetapi dalam masa yang sama memberikan jalan keluar sebagai penyelesaian. Semuanya adalah sebagai kawalan dan panduan. 

Maka, tidak ada sedikit pun kerugian jika kita menerima pakai segala hukum yang terkandung di dalam al-Quran kerana ia jelas sebagai panduan dan kawalan. Semua ini akan menyelamatkan kita dan masyarakat dalam menjalani kehidupan di zaman yang serba mencabar ini. Apa pun, semua ini bergantung kepada keyakinan diri seseorang. Sesungguhnya, percayalah apa jua yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia pasti adalah yang terbaik, kerana Dialah pencipta kita semua. 

Tepuk dada tanya iman...

0 comments:

Post a Comment