Sahabat Sejati

Thursday 31 July 2014

Bicara santai di 4 Syawal


Assalamualaikum warahmatullah

Alhamdulillah. Hari ini telah pun 4 Syawal, dengan kemeriahannya yang masih lagi terasa. Kuih-muih masih banyak di atas meja, manakala saudara-mara dan handai taulan masih lagi berkunjung datang. Seronok.

Menatap foto-foto sambutan hari raya di dalam blog dan FB sahabat-sahabat, menjadikan saya turut berkongsi kegembiraan tersebut. Saya sangat suka melihat suasana hari raya di desa. (terutama jika ada sawah padi) Ia benar-benar mendamaikan hati. Anak desa memang begitu lagaknya. Walau kemana jauh rantaunya, desa tetap di sanubari.

Saya sendiri, pulang ke desa untuk menziarahi pusara ayahanda dan bonda. Selebihnya berkunjung ke rumah saudara dan rakan-rakan. Generasi tua baya-baya orang tua saya ramai yang telah tiada, begitu juga di kalangan sahabat seangkatan dengan saya. Manakala generasi muda yang sedang menginjak usia, ramai yang tidak saya kenali. Ada di antaranya anak sahabat-sahabat saya. Itu pun selepas bertaaruf bagai, nama apa, tinggal dimana, anak siapa? Hmm.. kesimpulannya, sudah tua saya rupanya.

Kadang-kadang, semakin hari saya merasakan syawal sedikit demi sedikit sudah terhakis kemeriahannya. Tidak seperti ketika zaman saya kanak-kanak dahulu. Saya rasa anda boleh bersetuju dengan saya. Tidak perlu saya senaraikan apa yang kurang meriah itu. Anda sendiri boleh merasainya. Tepuk dada tanya selera, kata peribahasa melayu.

Apa pun, meriah atau tidak hari raya pada hari ini, ia mesti diraikan kerana disyariatkan untuk kita menyambutnya. Sekurang-kurangnya ia menjadi hari untuk kita kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan kerana pada hari yang lain mungkin agak janggal untuk melakukannya. Salam aidilfitri 1435H.

Monday 28 July 2014

1 Syawal 1435H


Di sinilah bersemadinya sebahagian daripada kasih sayangku,
Ayahanda dan bonda,
Serta ahli keluarga tercinta,
Mereka telah lama berkelana, di persinggahan menuju negeri abadi,

Salam sejahtera penghuni negeri orang-orang beriman,
Aku jua pasti akan menyusuli kalian,
Dan cukuplah kematian itu menjadi peringatan buat dirimu...(aku)

abuikhwan@kampungdi1syawal1435H

Salam Aidilfitri 1435H


Assalamualaikum warahmatullah, 

Allah SWT berfirman: “.....(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185) 

Dikesempatan yang terhampar ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Dengan sepuluh jari yang tersusun, saya memohon ampun dan maaf andai ada gurisan hati disebabkan perbuatan, perkataan maupun tulisan. Saya hanya manusia biasa, tentu tidak sunyi daripada sebarang kesilapan dan ketelanjuran. 

Jadikanlah Aidilfitiri ini sebagai satu ruang dan peluang untuk memperbaiki dan meningkatkan hubungan kekeluargaan serta dengan manusia lainnya. Begitu juga kekalkanlah hubungan dengan Allah SWT yang telah dibina sepanjang Ramadhan. Tidak lupa juga marilah kita sentiasa memperbanyakkan kiriman doa kepada saudara-saudara kita diseluruh pelosok dunia yang tidak bernasib baik seperti kita. Walaupun mereka juga menyambut ketibaan Aidilfitiri, namun suasananya pasti berbeza dengan kita. 

Akhir kalam, Selamat Hari Raya Aidil Fitri Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair... 

Saudara kalian,
abuikhwan@kembaramencarihamba

Saturday 26 July 2014

Bicara santai: Letihnya...


Ramadhan sudah pun menghampiri penghujungnya. Syawal pula semakin menggamit. Meraikan pemenang kembali kepada fitrah. Memang layak untuk mereka bergembira kerana telah mengharungi keletihan di bulan Ramadhan.

Ramadhan memang meletihkan. Tidak makan dan minum di siang hari. Bukan itu sahaja, mengawal mata dan telinga, kaki dan tangan daripada perkara-perkara yang boleh menipiskan pahala puasa. Membaca al-Quran dan bersedekah, letih. Malamnya pula berterawih dengan banyak rakaat. Sedang enak tidur, kena bangun untuk bersahur serta berqiamullail. Bukankah ini meletihkan? Tetapi mengapa kita mampu melakukannya, tentu ada jawapannya.

Ramadhan bukan hanya meletihkan jasad, malahan sebenarnya ia berperanan untuk meletihkan nafsu. Benar, dengan letihnya nafsu maka jasad kita menjadi kuat. Nafsu senantiasa mengajak kepada yang tidak baik. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surah Yusuf ayat 53: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”.

Maka, dengan sebab nafsu letih kita boleh sembahyang 5 waktu di masjid, sedangkan di bulan lain mungkin ia suatu yang agak berat. Dengan sebab nafsu letih kita boleh sembahyang terawih yang banyak bilangan rakaatnya, kita boleh membaca al-Quran, kita boleh bersedekah dan qiamullail.

Dalam Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali berkata: “Dia antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah.”

 (sumber: FB)

Sesungguhnya syurga adalah tempat orang-orang yang letih di dunia. Jika kita berletih di dunia maka akan berehat di syurga. Tetapi, jika kita banyak rehat di dunia, maka di akhirat nanti akan letih. Letih adalah kerja para Nabi dan Rasul.

Para utusan Allah tidak pernah berehat. Mereka bekerja untuk membasmi nafsu yang liar serta membasmi kesyirikan, kezaliman dan kejahilan. Sehingga mereka diancam, diperangi dan sebagainya. Bahkan sekiranya jasad mereka berehat, maka rohani mereka pula yang bekerja. Para Rasul juga berletih dalam beribadat. Tidakkah kita pernah membaca di dalam sirah bagaimana Rasulullah saw bersembahyang sehingga bengkak kakinya. Baginda tidak pernah menghampakan orang yang meminta. Disebutkan baginda sangat pemurah di dalam bulan Ramadhan.

Diceritakan, Ibnu Umar mengambil masa selama 3 tahun untuk menghafal surah al-Baqarah. Mengapa sampai 3 tahun? Jawab beliau: “aku menghafal dan melaksanakan isinya mengambil masa selama 3 tahun. Imam Bukhari pula berjalan sejauh 300 kilometer semata-mata untuk mendapatkan satu hadis. Tidakkah ini sesuatu yang meletihkan?

Kita bicara lagi cerita letih.

Letih adalah sifat-sifat orang yang cemerlang. Orang yang tidak pernah mencipta suatu rekod adalah orang yang tidak pernah letih. Sebaliknya orang yang berjaya mencipta sesuatu kejayaan ialah setelah mereka merasai keletihan. Kata Imam Syafie: “Bila kamu tidak tahan letihnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.”

Mari kita berfikir sejenak. Berapa banyakkah masa yang telah kita kita infaqkan untuk letih. Yakni letih dalam berjihad, amar ma’ruf nahi mungkar, menegakkan syariat Allah dan sebagainya. Jika belum peruntukkanlah untuknya.

Allah SWT berfirman:
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta dengan orang-orang yang berbuat baik." (al-Ankabut: 69)

Manusia yang paling banyak berletih untuk kita ialah Rasulullah saw. Maka perbanyakkanlah selawat untuk baginda.

Allahumma solli `ala Muhammad...

Perutusan Aidilfitri Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Perutusan daripada guruku..


Thursday 24 July 2014

Teringat-ingat, nostalgianya...

Malam ini rasanya mahu berceloteh mengenai iklan raya. Iyalah raya pun dah hampir menjelang. Opss, tentu ada yang menegur, kemaruknya mahu beraya. Sepatutnya sepuluh Ramadhan terakhir ini tumpukan pada amal ibadat, khususnya mencari lailatul Qadar. Betullah tu, tetapi saya sengaja mahu membangkitkan nostalgia yang pernah singgah dalam diri saya. Banyak iklan raya yang menarik dan mempunyai mesej yang tersendiri terutama iklan raya Petronas. Sekarang ini jika mahu menontoh iklan raya sangat mudah. Godek sahaja youtube, anda sudah dapat menontonnya walaupun hari raya setahun lagi. Kalau dulu, kena tunggu keluar dalam televisyen untuk menontonnya. 

Ketika menggodek-godek di youtube, saya tersua dengan iklan raya yang sangat klasik. Lama sungguh saya tidak melihat iklan ini. Seingat saya iklan ini ditayangkan pada tahun 80-an, iaitu ketika saya masih bersekolah rendah. Saya kira sahabat-sahabat yang sedang membesar di tahun 80-an pasti masih teringat dengan iklan ini. Tentu ada sesuatu yang menjadi kenangan. Bagi diri saya, seakan-akan tergambar di ruangan mata suasana di zaman itu...aduh nostalgianya.

Iklan raya Planta (sumber: youtube abangcantik)


Iklan raya EON (sumber: youtube sazfar3)

Sunday 20 July 2014

Tidur Meniarap

Soalan: 

Assalamualaikum ustaz, Boleh Jelaskan hukum tidur meniarap dan dalilnya. 

Jawapan: 

Bismillah, Terdapat hadis dari Abu Hurairah ra menceritakan; Nabi saw melihat seorang lelaki tidur dengan melentang atas perutnya (yakni meniarap), lantas baginda berkata; "Ini adalah tidur yg tidak disukai Allah." (Musnad Ahmad: 7862, 8041. Sunan at-Tirmizi: 2768., isnadnya hasan). Dalam riwayat lain: "Ini adalah tidur yang dibenci Allah" (Musnad Ahmad: 15543. Sunan Abi Daud; 5040. Hasan lighairihi) 

(Sumber : Ilmu dan Ulama) 

abuikhwan : InsyaAllah, tidur di bulan Ramadhan pun dapat pahala tetapi mestilah mengikut adab-adabnya. Yang paling penting jangan sampai tak sembahyang. Berat 66 kata orang Ganu...

Saturday 19 July 2014

abuikhwan : Derap langkah semakin menghampiri...

 'abuikhwan@38 tahun hari ini'

Termenung sendirian. Ada sesuatu yang mengundang sebak di dada. Kerinduan dan kesyahduan memayuti pagar hati.

Andai mampuku menerobos terowong masa, pasti akan ku kembali ke kehidupan lalu. Biarpun tanpa lorekan indah warna pelangi, namun, di sana ada secebis damai diri yang telah hilang hari ini...

"Pantasnya masa bergulir.  Usia semakin dimamah waktu. Sedar atau tidak kematian semakin menghampiri. Setiap derap langkah hanyalah bermakna memendekkan jarak menghampiri liang lahad."  

Pelik, jangan pelik


“Pheww...panasnya,” saya mengomel sendirian. Jam di tangan sudah pun menghampiri 3.30 petang. Sambil membetulkan cermin mata hitam di atas hidung, saya menoleh kiri dan kanan. Bahang panas terasa meruap, menambahkan lagi rasa haus. Cair air liur melihat air yang beraneka warna yang dijual di Bazar Ramadhan Jalan Mahkota. Perasaan mahu ditelan semua air yang dijual di situ. Ishh, sabar-sabar, nafsu.

Jalan raya sesak dengan kenderaan yang bertali arus menuju destinasi masing-masing. Banyak pula kenderaan di bandar Kuantan hari ini. Mujurlah saya bermotosikal, mudah mencelah ke kiri dan ke kanan, ‘mencilok’ bahasa anak muda hari ini. Kalau tidak tentu terperangkap sama dalam kesibukan lalu lintas.

Bersebelahan bazar Jalan Mahkota adalah Padang Majlis Perbandaran Kuantan. Cukup ‘femes’ tatkala tibanya bulan Ramadhan. Ia menjadi lokasi pilihan warga Kuantan dan sekitarnya berbuka puasa beramai-ramai. Ada juga orang dari luar daerah Kuantan yang datang untuk merasai keseronokan menikmati juadah di tengah padang yang terbuka itu. Saya pernah juga beberapa kali membawa keluarga berbuka di situ. Lepas berbuka, terus ke Masjid Negeri untuk sembahyang maghrib, yang juga terletak di sebelah padang.


Dari Jalan Mahkota berhadapan Masjid Negeri saya membelok ke Jalan Besar. Situasi yang sama, deretan kenderaan bergerak perlahan membelah aspal jalan. Setelah menongkat motosikal, saya bergegas menuju ke kedai buku yang biasa saya kunjungi. Pemiliknya berketurunan India Muslim. Hajat di hati ingin mendapatkan beberapa majalah bulanan yang masih belum dibeli. Sekurang-kurangnya sepuluh jenis majalah yang menjadi langganan tetap setiap bulan. Ketika melintasi kedai ‘Tipu Orang Tiada Otak’ atau ringkasnya TOTO, saya perasan beberapa orang yang masuk ke dalamnya.

“Eh, itu muka orang melayu...” getus saya di dalam hati. Jika disebutkan orang melayu pada umumnya tentu seorang Islam.

Ya! Tidak silap lagi, tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang, dengan selamba, dengan kulit muka tebal entah berapa inci mereka membeli nombor ekor. Langsung tiada perasaan malu serta hormat kepada bulan Ramadhan. Ada yang usia menghampiri senja. Usia yang sepatutnya bukan dihabiskan dengan perbuatan yang keji ini.

Hairan sungguh. Sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal, saya mengucap panjang. Allah, saya pula yang merasa malu dengan perbuatan mereka.

Pelik, jangan pelik

Tentu ramai yang merasa pelik. Bukankah ia telah tertambat sepanjang Ramadhan. Ini bukan cakap-cakap kosong, tetapi Rasulullah saw sendiri mengkhabarnya: Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat."(Bukhari dan Muslim)


Jadi, mengapa masih ada yang melakukan perbuatan dosa di bulan Ramadhan? Mari kita beranalogi sebentar. Bagaimana jika kita mendapati seekor anjing yang garang lagi ganas sedang tertambat. Apakah anjing itu boleh menggigit? Tentu tidak jika kita tidak mendekatinya. Tetapi bagi yang menghampirinya serta mengacah-acah pula, tidak mustahil mereka bakal menjadi mangsa terkamannya. Begitulah keadaannya jika syaitan sudah tertambat tetapi kita pula menghampiri lokasi lagha tempat syaitan berpesta. Jika syaitan sudah terikat, kita pula mencari-cari syaitan. Perbuatan keji di bulan Ramadhan adalah perbuatan pilihan manusia. Manusia yang memilih untuk menjadi jahat, sedangkan hampir tiada campur tangan syaitan pada tindak-tanduk kejahatan dirinya. 

 Demikianlah seadanya. Ramadhan sekadar mengurangkan potensi syaitan. Sedangkan kitalah yang memilih untuk melakukan kejahatan atau sebaliknya. Saya mengingati diri...

Friday 18 July 2014

Malam yang dilimpahi keberkatan, carilah


Rintik-rintik halus berdetak menimpa atap. Seakan-akan menyambut datang permulaan malam sepuluh akhir Ramadhan. 10 malam terakhir Ramadhan adalah kemuncak kerana di dalamnya terkandung lailatul Qadar. Lailatul Qadar adalah Lailatul Mubarakah. Bagi pencinta taqwa inilah masa yang dinanti untuk memaksimumkan amal ibadah.

Satu malam yang penuh berkat, penuh rahmat, penuh kebaikan dan penuh keredhaan-Nya. Lailatul Qadar adalah malam segala malam di dalam bulan segala bulan. Ia malam yang digandakan kehebatannya. Satu malam yang terlebih baik dari seribu bulan. Sejahteralah malam itu daripada sebarang kejahatan dan keburukan sehinggalah fajar menyinsing. Bukan saya yang menyatakan kehebatan itu, tetapi telah terungkap lama sedari Lauh Mahfuz dahulu.

Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (al-Qadr: 1-5) 

Teruskan istiqamah beribadat disepanjang 10 malam terakhir ini. Anda pasti akan mendapatinya biarpun tanpa melihat tanda-tanda keanehan pada malam itu, kerana ia pasti hadir pada salah satu malam tersebut.

Carilah...

Tuesday 15 July 2014

Kembara Mencari TUHAN


HIDUP kita ini penuh pengembaraan. Tidak kira apa yang dicari, cuma satu yang pasti... kebenaran mesti mendahului tanpa kompromi! Kita sendiri masih mencari-cari Islam di dalam diri... sering tertanya-tanya sedangkan ALLAH sudah sediakan jawapannya sejak sekian lama. Kita sering tertanya, apa perlunya kita kepada TUHAN? Mengapa pula kita disuruh beribadat serta mentaati-NYA sedangkan kita sendiri masih terpinga-pinga tentang keperluannya?

Kita tertanya lagi... mengapa kita perlu kepada agama? Mengapa kita mesti taat kepada agama? Malah, kadang-kadang tertanya juga... wujudkah TUHAN? Persoalan sebeginilah yang mengasak hati dan minda hingga adakala menyebabkan kita tersadung di pertengahan jalan. Sejak berlangsungnya sejarah manusia sebermula pada zaman Nabi Adam, kita ini sebenarnya tidak pernah putus asa untuk mencari al-Khaliq. Menggali apa sahaja ilmu tentang-NYA... tetapi tidak semua mampu memberi kejelasan pada akal.

Justeru, naskhah Kembara Mencari TUHAN ini mengajak kita berfikir secara logik akal dan wahyu tentang perlunya kita kepada Yang Maha Esa. Tentang... betapa bertuahnya kita menjadi hamba-NYA.

Tajuk : Kembara Mencari TUHAN
Penulis : Shahrul Ifwat
Penerbit : Karya Bestari Sdn Bhd
Mukasurat : 208
Harga : RM11.00

KANDUNGAN MENARIK

-Kembara Iman Seorang Insan
-Sejarah Manusia dan TUHAN
-Apa Erti Saya Seorang Mukmin?
-Iman dan Jati Diri Seorang Muslim
-Al-Quran dan Perbandingan Agama
-Islam dan Konsep Pluralisme
-Kesatuan yang Dibenarkan Dalam Islam
-Tuntutan Mengabdikan Diri Kepada-NYA
-Al-Quran Membicarakan Tentang TUHAN
-Mengapa Manusia Memerlukan TUHAN? 

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!

Sudah separuh ia berlalu


Tup..tup, pejam dan celik kita telah pun melepasi separuh Ramadhan. Maknanya tidak lama lagi kita akan keluar daripada madrasah tarbiyah tahunan ini. Sekadar pertanyaan, bagaimanakah agaknya kualiti puasa kita setakat ini, sempurna atau tidak, kita sendirilah yang boleh menilainya. Jika terasa semakin ringan untuk beramal ibadat, maka seharusnya kita merasa gembira kerana mendapat sesuatu daripada tarbiyah Ramadhan ini. Namun, jika sebaliknya, tentulah ada yang tidak kena. Maka perlulah kita koreksi diri, mencari-cari dimanakah silap dan kekurangannya. 

Bazar Ramadhan tetap seperti biasa, masih bertahan bilangan pengunjungnya. Tetapi sebilangan surau dan masjid telah berkurangan jemaahnya. Bukankah semakin hampir ke penghujung Ramadhan, sepatutnya semakin terisi masa dengan amal ibadat. Entahlah, kadang-kadang terasa pelik dengan apa yang berlaku. Sudah menjadi terbalik, masa yang sepatutnya bertambah hebat kualiti dan kuantiti ibadat menjadi suram dan berkurangan pula. Inilah yang boleh dilihat setiap tahun. 

Madrasah Ramadhan yang menghasilkan taqwa hendaklah digunakan sebaiknya. Hanya yang bertaqwa itu sahaja yang benar-benar mendapat petunjuk Allah dan beroleh kejayaan. Mudah-mudahan kita semua tidak dimasukkan ke dalam golongan yang diisyaratkan oleh Rasulullah saw, ketika baginda menaiki tangga-tangga mimbar masjid baginda. Lalu mengaminkan satu persatu yang disebutkan oleh Jibril as. Di antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah saw: “Jibril mendatangiku seraya berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapat ampunan, kemudian mati, maka ia masuk neraka serta dijauhkan Allah (dari Rahmat-Nya)” Jibril berkata lagi, “Ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan “Amin” 

Tidakkah peringatan ini amat menggerunkan? Maka saya mengajak sahabat sekelian dan tentu sekali kepada diri saya, marilah kita mengisi Ramadhan yang masih berbaki ini dengan sebaiknya. Rebutlah peluang ini. Mudah-mudahan tatkala kita keluar daripada madrasah Ramadhan ini nanti, kita menjadi hakikat seorang Muslim yang fitrah. Insya-Allah.

Saturday 12 July 2014

Gaza berdarah lagi


Saat mencicip juadah berbuka puasa semalam, ada sesuatu yang meresahkan jiwa. Air yang membasahi tekak terasa pahit untuk ditelan. 

Bagaimana dengan saudara-saudara kami di Gaza? Tentunya kami juga menumpang kesedihan dan kesakitan kalian. 

Harap-harap tiada lagi yang berkata tiada jihad di bumi Palestin dan usaha memboikot produk yang menyumbang kepada kewangan yahudi adalah satu pembodohan. Mudah-mudahan ‘mereka’ yang lantang menyatakan demikian memahami erti, situasi, airmata dan perasaan mereka yang memikul bebanan ini. 

Ya Allah, hancurkanlah tentera Israel laknatullah, cerai-beraikan pakatan mereka, leburkanlah pendirian mereka. Ya Allah, timpakan segala rancangan jahat mereka terhadap umat Islam di bumi Gaza ke atas kepala mereka sendiri. Ya Allah, berilah kekuatan semangat kepada saudara-saudara kami di bumi Gaza. Perkenankanlah ya Allah...
 

Thursday 10 July 2014

Bicara santai : Kurma dan solat

Bulan Ramadhan tidak lengkap rasanya tanpa kurma. Memang Ramadhan dan kurma sangat sinonim. Bukan hanya di negara kita, malahan di luar negara pun sama sahaja situasinya. Hampir masuk sahaja bulan Ramadhan, kelihatan lambakan kurma di kedai-kedai bahkan kedai bukan Islam pun ada menjual kurma. Mereka tahu, bila Ramadhan orang ramai akan mencari kurma buat berbuka puasa. Boleh anda bayangkan Ramadhan tanpa kurma? Tentu semacam ada kekurangan kerana sudah terbiasa dengannya. 

Seingat saya semasa kecil-kecil dahulu, yang ada hanya kurma timbang. Memang cukup 'femes' kurma timbang ini dahulu. Biasanya ia diletakkan di dalam balang kaca yang besar. Kemudian tuan kedai akan menimbang kurma mengikut kemahuan pembeli. Rasanya tidaklah sedap sangat, biasa sahaja. Sekarang ini berbagai-bagai jenis kurma yang terdapat di pasaran. Ada yang bernama ajwah, mariami, safawi, mabrum, kurma tangkai, kurma Mesir, kurma madu dan sebagainya. Rasanya pun agak berlainan di antara satu sama lain dan dengan bungkusan yang menarik. 

Kalau dulu agak asing untuk melihat negara kita ditumbuhi pokok kurma. Malah, ramai yang akan berkata mustahil, usah bermimpi untuk melihat pokok kurma tegak di Malaysia. Tetapi sekarang tidak lagi. Impian tersebut sudah pun menjadi kenyataan. Beberapa tempat telah pun ditanam dengan pokok kurma. Malah ada yang telah mengeluarkan hasil. Contohnya yang berlaku di negeri Kelantan. Geram juga melihat gambar tandan-tandan kurma yang bergayutan buah nan kekuningan di dalam FB. Di masjid tempat saya juga turut ditanam dengan dua pohon kurma. Tetapi masih kecil dan belum cukup umur lagi untuk berbunga. Insya-Allah, mudah-mudahan sempat untuk melihatnya mengeluarkan hasil. 

Berbuka puasa dengan kurma sememangnya sunnah Rasulullah. Daripada Anas ra berkata, "Rasulullah saw berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (tamar basah) sebelum solat, jika tiada rutab Baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air." (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Kata Tirmidzi ia hadis hasan] 

Pokok kurma yang di perkarangan masjid  berhampiran taman perumahanku

Masuk sahaja Ramadhan, berpusu-pusu kita mencari kurma. Alhamdulillah, maknanya masyarakat kita hari ini ingin mengikuti sunnah dalam berbuka. Ini satu perkembangan yang amat bagus. Tetapi apa yang harus diperhatikan, Rasulullah berbuka dengan kurma dan air kemudian mendirikan solat. Kita pula selepas sambung dengan nasi, kuih-muih dan sebagainya sehingga terdampar di sofa kerana kekenyangan. Siang hari melepek kerana kelaparan, malam hari pula melepek kerana kekenyangan. Sedangkan Rasulullah saw bersabda:

"Tidaklah anak Adam itu mengisi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Sudah cukuplah bagi anak Adam itu dengan beberapa suap (makanan) yang dapat meluruskan tulang belakangnya (sekadar memberi tenaga), jika tidak boleh, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasan." (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi. Kata al-Tirmizi: hadis hasan sahih) 

Lebih teruk lagi dek kekenyangan sampai tertinggal sembahyang maghrib. Ini juga sesuatu yang penting untuk difikir-fikirkan. Ada orang yang berpuasa tetapi tidak sembahyang. Pelik ye, menahan lapar dan dahaga lebih 12 jam, tidak mampu bangun untuk sembahyang yang hanya selama 5 minit. Ada yang lagi melucukan, sembahyang fardhu tidak buat tetapi sembahyang terawih duduk di saf hadapan sekali. Memang pelik bin ajaib. Entahlah apa makna puasa dan Ramadhan bagi mereka. 

Fikir-fikirkanlah setakat mana iman kita kepada Rasulullah saw. Adakah kita benar-benar menuruti sunnahnya, atau melakukan bidaah atau meremehkan sunnahnya? Saya menulis berdasarkan pemerhatian dalam masyarakat hari ini. Mungkin anda mengiakan atau boleh jadi menidakkannya. Tetapi itulah hakikat yang berlaku. Mudah-mudahan kita semua dilindungi daripada kecelaruan pemikiran dunia hari ini. 

Ingatan buat diriku~abuikhwan

Wednesday 9 July 2014

Celoteh tanpa tajuk

 foto hiasan (sumber)

Assalamualaikum warahmatullah dan salam Ramadhan. 

Alhamdulillah bertemu lagi di laman sesawang ini. Sudah beberapa hari saya tidak menjenguk ke pondok kecil abuikhwan. Kalau dulu saya berazam untuk sentiasa mengunjunginya dan mencoretkan sesuatu di dalamnya. Tetapi dek kesibukan yang menjadi alasan akhirnya azam tinggal azam. Sementelah pula di bulan Ramadhan, hmm.. cepatnya masa menghambat. Harap-harap jangan bersawang sudahlah. 

Dulu saya pernah menulis, saya mula memasuki dunia blog ini dengan ketakutan untuk gagal mencoretkan sesuatu di dalamnya. Saya tahu pengunjung yang datang akan merasa kecewa jika saya gagal memberikan coretan yang baru. Apatah lagi jika jarak masa di antara entry bersenggang terlalu lama. Ia benar-benar mencabar. Saya pernah membaca satu catatan tepi di dalam sebuah blog, yang mana pemiliknya mengatakan jika dia tidak meng’update’ blognya lebih daripada enam bulan, itu bermakna dia telah meninggal dunia. Rasanya perlu juga saya nukilkan sedemikian. 

Setiap hari di bulan Ramadhan adalah perjalanan masa yang amat menyeronokkan. Sememangnya ia sentiasa menyegarkan diri dengan keazaman dan rasa syukur yang diimpikan oleh setiap yang bergelar Muslim. Kita sentiasa menginginkan kekuatan untuk menutup kelemahan dan kesilapan yang bergayutan pada diri. Kita hanyalah hamba yang lemah, sangat lemah walau siapa pun kita. Lalu, Allah SWT dengan rahmat-Nya menganugerahkan Ramadhan agar kita membersihkan diri kembali kepada fitrah. Allah memuliakan Ramadhan untuk kita. Maka, dakapilah ia dan rasai manisnya. Mudah-mudahan sebulan Ramadhan yang dilalui mampu membersihkan kesilapan yang lalu. Insya-Allah 

Kehidupan adalah anugerah Tuhan yang penuh dengan ujian-abuikhwan

Sunday 6 July 2014

Aqiqah untuk anak angkat

Soalan: 

Assalamu alaikum, ustaz. Saya ada mengambil anak angkat dari kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? terima kasih 

Jawapan: 

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah. 

‘Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya. Bagi anak luar nikah, aqiqahnya dilakukan oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya). Jika hendak dilakukan oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka, aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab Syafiie. 

Ada juga ulamak berpandangan; asalkan berlaku sembelihan untuk si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi saw: “Anak kecil dipertaruhkan dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). Dalam hadis ini Nabi saw hanya menyebutkan ‘disembelih (ternakan) untuknya’ tanpa Nabi menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing (Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542). 

Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan membelanya. 

Rujukan: 
1. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912. 
2. Fathul-Bari, 9/595. 3. Subulus-Salam; 
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no; 111169, 15671. 

(Sumber : Ilmu dan Ulama)

Saturday 5 July 2014

Perang pun bermula...

gambar hiasan (sumber)

Belum pun seminggu berpuasa, perang telah pun meletus. Berdentam-dentum yang membingitkan telinga di sana-sini. Saya rasa bukan hanya di tempat saya, malahan di tempat lain pun sama. Kita serupa!

Bukannya apa, kalau mahu bermain mercun pun, biarlah kena dengan tempatnya. Bermainlah di tempat yang tiada orang, ini bermain berhampiran surau. Kasihan kepada pakcik-pakcik dan makcik-makcik. Sesekali letupan yang menggegar, hilang seketika konsentrasi dan khusyuk.

Saya teringat semasa budak-budak dahulu. Kami juga bermain mercun. Malah lebih daripada itu kami turut bermain meriam buluh yang dentumannya bisa menggegar seisi kampung. Tetapi kami pandai ‘membawa’ diri. Kami tidak bermain di tempat yang boleh mengganggu orang lain. Lazimnya lokasi ‘angkatan perang’ kami di hujung simpang kampung, di pinggir hutan dan sebagainya. Mainlah sepuasnya memang tiada yang terganggu.

Tetapi budak-budak zaman sekarang lain pe’elnya. Tempat yang ramai oranglah menjadi pilihan untuk membakar mercun. Hendak marahkan mereka, oh..sikit-sikit bolehlah. Jika lebih-lebih, nanti kita pula yang disanggah oleh ibu bapa mereka. Silap-silap bergaduh pula orang dewasa dek kerana karenah budak-budak. “Jangan nak mengajar aku, jaga anak kamu. Taulah aku nak mengajar anak aku,” mungkin ini bahasanya.

Ada masanya saya terfikir, saya di antara generasi yang bertuah kerana sempat hidup di zaman “beranak seorang tetapi anak ramai, anak aku anak kamu, anak kamu anak aku.” Anda tentu faham maksud ungkapan ini. Benar, jika di desa tiada istilah anak sendiri, tiada anak orang. Orang tua bebas menegur anak-anak desa yang kesemua mereka dianggap seperti anak sendiri. Tetapi itu dulu, sekarang sudah hilang bahasa desa itu sebagaimana hilangnya bahasa budi anak-anak desa.

Desa, rumputnya masih hijau tetapi corak kehidupan telah pun bertukar kelabu, pudar dan kelam.

Dumm!!

Perang masih meletus...perang dalam diri?

Thursday 3 July 2014

Bulan menambah amal


Saya sering menunggu-nunggu kedatangan Ramadhan untuk mengambil peluang menambah-nambah amal ibadat. Ada beberapa kualiti penting dalam hidup ini yang saya harapkan dengan kedatangan Ramadhan. Bulan Ramadhan ada roh dan jiwa yang sangat istimewa dan tersendiri. Semangat dan keinginan untuk beribadat pada bulan ini sangat terasa dan luarbiasa. Benarlah jika dikatakan Ramadhan adalah masa yang terbaik untuk mencambahkan rasa cinta untuk beribadah. Semuanya terinspirasi di bulan ini. 

Selain daripada solat terawih, membaca al-Quran adalah di antara yang saya impikan dengan kedatangan Ramadhan. Bukan saya maksudkan di bulan lain tidak dapat membaca al-Quran. Tetapi di bulan Ramadhan ini saya ingin menambah dengan membaca sebanyak dan sekerap yang mungkin. Ditambah lagi dengan adanya aktiviti tadarus selepas terawih serta tv dan radio yang menjadi ‘soleh’ dengan alunan dari para qurra’ yang mengasyikkan suaranya. Semua ini menjadi peransang untuk turut berbuat demikian. 

Saya pernah membaca mengenai perilaku al-Imam al-Zuhri yang meninggalkan aktiviti pengajian Hadith beliau di bulan Ramadhan, untuk memfokuskan kepada pembacaan al-Quran. Begitu juga perihalnya dengan Sufyan al-Thauri yang meninggalkan semua aktiviti yang lain untuk membaca al-Quran. 

Mengapakah istimewanya al-Quran di bulan Ramadhan? Al-Quran diturunkan pada malam bulan Ramadhan. Ia berlaku pada satu malam yang penuh gemilang. Allah SWT menyatakan di dalam firman-Nya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (al-Baqarah:185) 

Firman-Nya lagi: 
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (ad-Dukhaan:3) 

Allah menurunkan al-Quran untuk umat manusia sebagai petunjuk. Sesiapa yang menerima petunjuk al-Quran maka mereka itulah yang bertaqwa kepada-Nya. Sesungguhnya al-Quran akan menjemput kita segirangnya ke syurga kerana terbalutnya tubuh kita dengan cinta kepadanya. Bersyukurlah andai diri kita tergolong di kalangan yang mencintai al-Quran. Cinta yang bukan hanya dengan membacanya tetapi menerima pakai segala macam perintah yang terkandung di dalamnya. 

“Ya Allah, tunjukilah kami ke jalan taqwa-Mu. Jadikanlah kami sentiasa mencintai agama-Mu. Janganlah diseret jauh kami daripada mensyukuri rahmat belas-Mu di dalam kitab-Mu. Ya Allah kami semua mendambakan taqwa-Mu.” 

Ayuh, teman-teman!

Wednesday 2 July 2014

Bicara santai : Celoteh awal Ramadhan

foto hiasan (sumber)

Alhamdulillah, pujian kepada Allah SWT kerana masih memberikan nikmat kehidupan kepada kita. Udara yang disedut dan dihembus saban detik, bukti kasih sayang-Nya walaupun tidak pernah dipinta dalam doa. Hari ini kita telah pun memasuki hari ke-4 Ramadhan. Mudah-mudahan Allah SWT memanjangkan umur kita untuk melewati Ramadhan ini sehingga ke akhirnya, seterusnya berkenan menerima amal ibadat yang dipersembahkan. 

Sesekali terkenang juga kepada mereka yang telah berkelana ke alam ‘sana’. Ada yang pergi sebelum Ramadhan ini, dalam keadaan mereka tidak mengetahui Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka. Sekalung doa buat mereka yang telah pergi, semoga Allah SWT menempatkan mereka dalam redha-Nya. Kita pula bagaimana? Mungkin Ramadhan kali ini yang terakhir buat kita, siapa tahu? Atau mungkin kita juga tidak sempat menghabiskannya kerana ajal terlebih dahulu menjemput. 


Sepanjang Ramadhan setakat ini boleh dikatakan saban petang saya berada di bazar Ramadhan berhampiran taman perumahan saya. Bukan meninjau-ninjau juadah buat berbuka, tidak juga membuka gerai perniagaan. Tidak! Saya berada di bazar Ramadhan kerana membuka kaunter ‘Sekampit beras sekilo gula’ atau ringkasnya SBSG. Kaunter SBSG dibuka di setiap bazar Ramadhan di dalam DUN kami. Begitu juga pada setiap hari Jumaat, wakil-wakil kami akan membuka kaunter di masjid-masjid. Program ini di bawah seliaan Pusat Khidmat Masyarakat dan telah bermula beberapa tahun lepas setiap kali Ramadhan. Sumbangan dikumpul untuk diagihkan kepada yang memerlukan di dalam DUN Beserah. Dengan sumbangan yang terkumpul akan dibelikan barangan keperluan dapur dan akan diagihkan sebelum aidifitri. Alhamdulillah, terima kasih kepada para penyumbang. 

Berada di bazar Ramadhan juga merupakan sesuatu yang tidak berapa ‘selamat’. Sikap waspada dan berhati-hati perlu ada. Banyak benda yang perlu dijaga. Ada seorang teman berseloroh: “Masuk bazar Ramadhan dengan 10 juzuk, keluar tinggal 5 juzuk. Hilang separuh hafazan.” Saya tersenyum mendengar kata-katanya. Insaf, sementelah lagi saya yang memang ‘lemah’ ini. Apa yang dikatakannya ada benar. Macam-macam pe`el dan karenah yang ada di bazar Ramadhan. Jika tidak dijaga, alamat ‘kosong’lah pahala puasa rasanya. 

Hakikatnya puasa Ramadan yang akan kita hadapi ini bukan semata-mata berlapar dan berdahaga tanpa sebarang makna. Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dan keinsafan diri yang dalam, dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: " Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga." 

Apapun semuanya bergantung kepada diri kita. Tepuk dada tanya iman, jangan tanya selera sebab bulan puasa ini perut lapar, jadi semuanya nampak sedap. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna, kerana ia mungkin yang terakhir buat kita… Ameen.

Tuesday 1 July 2014

Hukum tahi cicak dan tahi anjing kering

Soalan:

Assalamualaikum. 

1. Semasa solat terkena /terpijak tahi cicak kering, bagaimana dengan solatnya. 

2. Terpijak tahi anjing kering, perlukah samak/sertu. 

Mohon penjelasan.terima kasih. 

Jawapan:

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah, 

1. Segala jenis tahi adalah najis. Apabila terkena pakaian, wajib dicuci sebelum memakainya ketika solat. Jika menyedari ada najis pada pakaian setelah solat, solat batal dan wajib diulang semula. Jika ingin memakai pakaian itu, wajib membasuh kawasan yang dikenai najis, kemudian baru memakainya untuk solat. Najis hanya dimaafkan jika terlalu sedikit, payah dijaga dan sukar dielakkan. 

Najis yang dianggap sedikit ialah yang tidak kelihatan oleh mata, contohnya; lalat yang hinggap di baju kita. Kemungkinan ada najis yang dibawanya, namun najis itu dimaafkan kerana tidak dilihat oleh mata, lagipun sukar menjaga lalat dari menghinggap kita. Adapun tahi cicak, ia dapat dilihat oleh mata, kerana itu dikira banyak dan tidak dimaafkan. Maka wajiblah diulangi semula solat. 

Itu adalah menurut mazhab Syafiie. Sebahagian ulamak (antaranya mazhab Maliki) berkata; najis dikira banyak apabila melebihi saiz satu dirham . Jika kurang dari saiz itu, dikira sedikit dan dimaafkan. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 40/114). 

2. Menurut ulamak; najis ketika kering tidak akan berpindah kepada orang/objek yang menyentuhnya. Maka apabila kita menyentuh najis ketika kita kering dan najis itu juga kering, tidak dituntut kita membasuh anggota/pakaian kita yang menyentuh najis itu kerana pemindahan najis tidak berlaku. Maka apabila pakaian kita terkena tahi cicak kering (atau kita memijaknya), memadai dengan kita membuangnya dan tidak wajib kita membasuh pakaian/pakaian kita. Hukum yang sama bagi kes terpijak tahi anjing kering. Namun jika tahi kering itu melekat pada pakaian atau anggota kita dan kita hanya menyedarinya selepas solat, solat kita dikira batal kerana kita solat dalam keadaan membawa najis. Hendaklah dibuang najis kering itu, kemudian ulang semula solat. 

Wallahu a’lam. 

(sumber : Ilmu dan Ulama)