Sahabat Sejati

Saturday, 14 June 2014

Cetusan rasa : Dukacita antara jalan mendekati-Nya...

Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Tidak sekali-kali Allah mahu menzalimi hamba-Nya, kerana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Kita insan yang lemah serta tiada daya dan upaya, tentunya kita tidak dapat meneka apa yang tersirat disebalik kejadian yang tersurat. Benar, lemahnya akal kita untuk menafsir apakah kebaikan disebalik ‘kepahitan’ yang berlaku.

Seringkali kita mempersoalkan, mengapa ia harus terjadi kepadaku? Mengapa aku ditimpa ujian ini? Mengapa begini perjalanan hidupku? Mengapa? Mengapa? Seolah-olah tidak patut kita yang menerima ujian tersebut. Perlakuan kita seolah-olah menyalahkan Allah SWT di atas perancangan-Nya. Ya, seakan kita terlupa kita adalah hamba, maka sifat hamba adalah berhak untuk diuji. Namun, Allah tidak akan menguji seseorang hamba di luar batas kemampuannya.

Tiada siapa yang senang dengan dukacita dan kesedihan. Benar-benar perasaan ini membayangkan erti kesakitan, kesusahan, kepahitan dan segala macam yang dibenci. Kita juga tidak dipinta mencari kesedihan. Nabi saw mengajar kita supaya memohon perlindungan daripada dukacita dan keluh-kesah. Namun Allah berkuasa menimpakan kedukaan dan kesedihan itu kepada sesiapa yang dikehendaki, tanpa mereka dapat berbuat apa-apa.

Tidakkah kita mahu bersangka baik, bahawa tidak mudah untuk seseorang insan kembali mencari dan menemui Allah ketika ia gembira dan bersenang hati. Maka ketahuilah, kesedihan dan dukacita adalah jalan yang Allah bentangkan untuk berhubung dengan-Nya. Ramai insan yang menjadi hamba yang patuh kerana ada perkara yang mendukacitakan menimpanya. Ada insan yang menjadi ahli ibadah kerana ada sesuatu yang menyedihkan telah Allah timpakan kepadanya. Demikianlah hakikatnya nilai kesedihan andai kita melihat dan menafsir dari mata hati.

Firman Allah SWT:

"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Ali-Imran: 191)

2 comments:

ANAK KUALA said...

As Salam...kadang kadang kita merasakan hidup ini tidak adil...sebab kita tak pernah nak melihat sekeliling...Tapi mungkin kedukaan dan kesedihanlah kita dapat mendampinggi Allah kerana dlm kesedihanlah kita memohon darinya untuk dapatkan kegembiraan...

abuikhwan said...

benar, dengan melihat sekeliling, melihat mereka yang 'kurang' bernasib baik seperti kita akan menambahkan rasa keinsafan.

Post a Comment