Sahabat Sejati

Friday 9 May 2014

Perpisahan terakhir, memotong keseronokan


Perpisahan terakhir.

Petang semalam saya dikejutkan dengan berita pemergian seorang sahabat sekerja. Usianya dalam lingkungan 40-an. Difahamkan allahyarham mengalami masalah jantung yang mengakibatkan kematiannya. Dalam tahun ini sudah beberapa orang sahabat sekerja saya yang meninggal dunia. Itu belum termasuk sahabat yang lain, sahabat sekampung, sepengajian serta kenalan biasa.
 
Bercerita mengenai kematian amat menakutkan. Sememangnya bicara kematian akan mengundang ketakutan. Mungkin sebab itu lagu “Selimut Putih” pernah diharamkan tidak lama dulu atas sebab yang sama. Entahlah, saya sendiri pun berasa takut, bimbang pun ada tatkala berbicara atau mengingati kematian. Bagaimana? Bila? Tiada seorang pun yang mengetahuinya. Tentunya ketakutan itu kerana merasakan persediaan belum mencukupi.

Alhamdulillah, mujur Allah SWT dengan sifat ehsan-Nya tidak mengkhabarkan tarikh kematian kita. Kalau tidak haru-biru dan kelam-kelibut jadinya. Saya pernah mendengar ada orang berkata, “Kalau tahu mati bila senang, duduk beramal tepi kubur sahaja.” Oh, pelik saya mendengarnya. Senang ke jika tahu bila waktu mati. Bayangkan situasi jika ada yang bertanya: “Bila tarikh mati.” Jawab kita: “Lusa...”

Agak-agak mudah ke mahu menjawab lusa. Tetapi takut mati pun mati, berani mati pun akan mati juga. Maka yang paling penting adalah bagaimana persiapan yang mahu dibawa. Oleh itu perbanyakkan muhasabah terhadap kematian, yang mana ia pasti akan menghantar kepada kita jiwa seorang hamba yang taat. Renungkan... 

Daripada Abi Ya’la Syaddad Bin Aus Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah S.A.W sabdanya : “Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikutinya hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat kebahagian dan pengampunan daripadanya tanpa beramal soleh) (Hadith riwayat Imam Al-Turmuzi)

#Al-Fatihah, Mohd Harun Salikan

1 comments:

paridah said...

salam pagi...salam kunjung balas..n3 terbaik..hidup mati kita kerana Allah..insya Allah.

Post a Comment