Sahabat Sejati

Sunday 25 May 2014

Balut buah, balut hati...

"Masih banyak yang belum dibalut..."

"Sayang juga jika tak dibalut, lebat buah tu," kata isteri saya, merujuk kepada pokok mangga yang sedang berbuah di hadapan rumah kami. Saya pernah menulis beberapa entry berkenaan pokok mangga ini beberapa ketika dahulu. 

Saya perasaan buahnya kali ini agak lebat berbanding yang lepas-lepas. Beberapa orang jiran setaman yang lalu di hadapan rumah kami turut menegur pokok mangga nan sebatang ini. Geram dengan buahnya yang bulat bergayutan di tangkai kata mereka. Saya dan isteri hanya tersenyum mendengarnya. 

Hari ini saya tidak bekerja. Jadi dapatlah saya meluangkan masa bersama isteri melakukan operasi membalut buah mangga yang bergayutan itu. Memang betul, sayang jika buahnya yang besar bulat itu dibiarkan rosak oleh penangan lalat buah. Tetapi, jika difikirkan semula yang lepas-lepas tiada sebiji pun kami balut. Tak ada pula yang dirosakkan oleh pemangsa buah tersebut. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya ada juga usaha untuk menjaga buah-buah tersebut daripada membiarkannya begitu sahaja. Tetapi saya tahu bukanlah balutan kertas itu yang dapat menjaga buah-buah tersebut. Ia hanyalah satu usaha dan penyebab, semuanya dengan izin-Nya. 

Saya dan isteri tidak dapat menghabiskan membalut semua buah yang ada. Memadai dulu mana yang tercapai oleh tangan. Yang tinggi-tinggi di hujung tangkai kami biarkan dahulu. Nantilah saya habiskan membalutnya dengan menggunakan tangga. Tetapi, entahlah bila. Saya pun tidak tahu. 

Balut buah, balut hati

 Balut hati (sumber foto)

Petang itu... 

Leka saya memerhatikan balutan kertas yang bergayutan terbuai-buai mengikut arah tiupan angin petang. Deruan angin menyejukkan sedikit kepanasan musim kemarau. Sudah lama hujan tidak turun di tempat saya. Bagaimana agaknya jika kemarau ini kerana kemurkaan Allah SWT kepada umat manusia hasil kelalaian yang telah dilakukan. Hmm..takut sangat sekiranya begitu. 

"Ya Allah, janganlah ditahan air hujan kerana dosa dan kesalahan kami. Sesungguhnya kami hamba-Mu yang teramat lemah." 

Melihat balutan buah tersebut mengingatkan saya pada sesuatu. Merenung sedalamnya menembusi pandangan anak mata. Ada sesuatu yang terdetik. Jika buah-buahan perlu dibalut untuk memastikan kualitinya dalam keadaan baik dan elok, serta agar selamat daripada habuan pemangsanya, maka ada sesuatu yang sangat penting yang perlu juga dibalut supaya selamat. Ya, sebagaimana buah perlu dibalut, apatah lagi hati manusia. Hati manusia perlu juga dibalut agar ia selamat daripada pemangsanya. Tetapi hati bukanlah boleh dibalut dengan kertas sama seperti buah. Jika demikian apa susahnya. Tetapi tidak! Hati perlu dibalut dengan sesuatu yang sangat berharga yang digelar iman. Dengan balutan iman maka hati akan sentiasa terpelihara daripada dosa dan keburukan. 

Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda: ” Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis ini menyebut mengenai hati. Apakah yang dimaksudkan dengan hati tersebut? Ia bukanlah bermaksud hati yang berupa seketul daging berwarna merah gelap, bukan sesuatu objek fizikal, bukan! 

Jika dilihat dalam Kamus Dewan Bahasa, maksud perkataan hati adalah pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1 - organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan di dalam perut di bahagian sebelah kanan. 2 – jantung. 3 - batin (tempat perasaan, pengertian)”. (ibid, 445). 

Demikianlah hati yang dimaksudkan ialah sesuatu yang bersifat abstrak. Ia tidak dapat dilihat dan tidak mampu dipegang. Namun, ia boleh dirasa kewujudannya, boleh menghayati, tahu menampilkan perasaan dalaman seperti gembira, sedih, kecewa, kasihan, marah, sayang dan sebagainya. Itulah hati, sangat unik dan simbolik untuk digambarkan. 

Jika kita merenung, hadis ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya kewujudan hati sebagai asas kehidupan insan. Hati adalah wadah yang menempatkan dua pilihan insan iaitu kebaikan dan dan keburukan. Hati yang diisi dengan pilihan untuk menyandarkan kehidupannya dengan nilai kebaikan, akan berusaha memastikan segala-galanya itu menurut neraca keimanan. Sebaliknya, jika hati diisi dengan kepuasan nafsu maka ia akan senang menjurus ke arah keburukan. 

Disebutkan hati itu ada 4 jenis: 

1. Hati yang tidak berselaput, didalamnya terdapat pelita yang menerangi. Ini hati orang mukmin. 
2. Hati yang hitam tak tentu tempatnya. Ini hati orang kafir. 
3. Hati yang terbelenggu diatas kulitnya. Ini hati orang munafik. 
4. Hati yang mendatar, padanya terdapat iman dan nifaq (kemunafikan). Perumpamaan iman yang meliputinya seperti batang tumbuhan yang disirami air tawar.Sedangkan perumpamaan nifaq seperti setumpuk kudis yang diselaputi nanah dan darah busuk. Maka yang mana diantara keduanya berkuasa,ke situlah hati tertarik. Hati yang ke-4 inilah yang terdapat pada kebanyakan kaum muslimin. Amalnya bercampur aduk sehingga keburukannya lebih banyak daripada kesempurnaannya. 

Oleh itu, koreksi diri. Dimanakah hati kita berada?

3 comments:

paridah said...

mewahnya rezeki syukur alhamdulillah...hati patut dibalut kemas2 agar ia xbolak balek...

paridah said...

salam pagi singgah klik2 menabung.

Unknown said...

berarti kebanyakan kaum muslimini memiliki hati yang datar-datar saja.. tapi bukan mustahil jika ingin mendapatkan hati yang tak berselaput, sedikit demi sedikit menuju ke jalan itu.

Post a Comment