Sahabat Sejati

Saturday 1 March 2014

Jangan berhenti menuntut ilmu

Al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus tekun mendengar dan mencatat kuliah yang sedang disampaikan oleh al-Fadhil Tuan Guru Dato' Dr Harun Din. (sumber: FB)

Sedang melayari laman FB tadi, tiba-tiba mata terpaku pada sekeping gambar. Mata tidak berkelip, terkedu beberapa ketika.

Subhanallah!

Sungguh terharu.

Lantas saya merenung jauh ke dalam diri saya. Ada sesuatu yang saya rasakan. Saya tidak pasti apakah perasaan itu, tetapi ia sesuatu yang amat menginsafkan. Lihatlah bagaimana seorang yang bergelar tuan guru masih lagi bersila di hadapan mendengar kuliah, bukan setakat mendengar malahan tekun pula mencatat isi kuliah.

Itulah sifat tawadhuk yang dimiliki oleh Al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus. Saya benar-benar terharu. Saya mula mengenali dan mendengar kuliah Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus di akhir tahun 80-an, seingat saya. Ketika itu beliau sentiasa diundang dalam rancangan Ehwal Islam di TV1. Turut bersamanya sebagai ahli panel ialah Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din dan Tuan Guru Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Dek kerana ramainya peminat rancangan ini ketika itu, sampai ada yang berkata jika buat kenduri malam Jumaat, tentu tak ramai orang yang datang.

Forum Perdana Ehwal Islam, dulu-dulu. (sumber foto)

Ketika itu setiap hari Khamis malam Jumaat saya dan keluarga akan menunggu di depan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. Penyampaiannya yang bersahaja dan diselang-selikan dengan lawak jenaka mula menambat hati saya. Sejak dari itu saya mula ‘jatuh cinta’ dengan kuliah dan ceramahnya.

Saya masih ingat di antara jenakanya: “Tuan-tuan kalau nak tahu kena buka kamus. Saya tak payah buka kerana bapa saya pun dah kamus.”

Saya mula membeli kaset ceramah beliau semasa di sekolah menengah. Ketika itu kuliah ataupun ceramah dalam bentuk CD atau VCD belum wujud lagi. Saya akan berjimat (baca: mengikat perut) mengumpul duit belanja sekolah untuk membeli kaset Ustaz Ismail Kamus yang pada masa itu berharga sekitar RM8 sekeping. Kalau yang ‘pirate’ harganya dalam RM4 atau RM5 sekeping, tetapi jangan salah faham kerana saya tidak pernah membelinya.

Setiap kali membeli kaset baru saya akan memainkannya berkali-kali. Sehingga kini kaset-kaset itu telah mencecah hampir 100 keping termasuk kaset-kaset penceramah yang lain. Alhamdulillah, semuanya masih lagi dalam keadaan baik. Cuma, sekarang ia jarang dimainkan kerana sudah banyak alternatif lain yang lebih mudah seperti mp3, youtube dan sebagainya. Namun demikian, saya menganggap ia harta yang tidak ternilai harganya, kerana agak sukar untuk dicari di kedai atau toko dakwah pada masa ini. Tentulah, kerana CD dan VCD sudah pun mengambil alih tempatnya. Mungkin 20 atau 30 tahun lagi ia dianggap barangan antik, siapa tahu?

Mudah-mudahan al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus dianugerahkan kesihatan yang baik untuk meneruskan dakwah Islam di Malaysia ini. 

Biodata al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus

(Sumber foto: Wikipedia)

Beliau dilahirkan pada 2 Disember 1948 di kampung Batang Rening , Ulu Selangor, Malaysia. Pendidikan awal secara rasmi bermula di Sekolah Arab Batang Kali dan berlangsung selama 6 tahun sebelum ke Ma’ahad Hisyamuddin, Kelang dimana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada tahun 1976. Beliau juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvenia, Amerika Syarikat.

Al-Fadhil Dato Ismail Kamus pernah menjadi guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Beliau juga pernah menjadi ADUN Gombak Setia apabila memenangi dalam Pilihanraya di kawasan tersebut pada tahun 1999. Kini beliau merupakan seorang Perunding Motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, negara-negara Timur Tengah dan lain-lain. Selain itu beliau juga menjadi pengasas dan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam.

Beliau juga sangat aktif dan banyak menghasilkan buku-buku keagamaan dan perubatan.

Nyaris jadi budak pejabat

Dalam satu temuramah Ustaz Ismail Kamus dengan sebuah akhbar tempatan, beliau mengatakan: “Saya memang suka bersyarah. Semasa belajar di Kolej Islam Kelang (KIK), bila masa cuti di kampung, saya bersyarah seorang-seorang di padang. Bila ada orang lalu, saya senyap. Memang masa itu tengah gila-gila, suka bersyarah.” Mengimbas kenangan itu, Ustaz Ismail berkata, penglibatannya dalam syarahan atau menyampaikan ceramah agama bermula seawal usianya 18 tahun. Ketika itu, beliau menuntut di KIK dan berjinak-jinak dengan bidang tersebut dengan mengajar dari rumah ke rumah di kawasan sekitar kolej.

“Saya mula mengajar kitab fikah dan juga dijemput memberi syarahan tentang Israk Mikraj. Selepas tamat pengajian di UKM, saya terlibat secara langsung sebagai penceramah di kampung. Kemudian kuliah banyak diadakan di pejabat-pejabat, surau dan masjid serta institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya yang kini berusia 65 tahun. (ketika itu)

Pendek kata, kalau dihitung jumlah anak murid beliau di seluruh negara sejak beliau mula mengajar 46 tahun lalu angkanya mencecah ratusan ribu orang.

Anak pasangan Kamus Ahmad dan Siah Leman itu sebenarnya pernah berhenti sekolah semasa usia remajanya apabila sekolah agama tempat beliau belajar ditutup kerana ketiadaan pelajar.

“Masa itu umur saya dalam 13 tahun. Saya seronok saja. Maklumlah fikiran ketika itu suka main. Selepas berhenti sekolah, saya minta kerja sebagai budak pejabat tetapi tak dapat sebab tidak cukup umur. Nasib baik tak dapat. Kalau tidak, tak jadi ustaz lah saya,” katanya sambil ketawa. Ismail berkata, beliau adalah anak keempat daripada 10 adik-beradik dan yang paling disayangi oleh bapa.

“Ke mana saja ayah pergi, dia mesti bawa saya. Baik ke kebun, ambil gaji, mengaji dan sebagainya,” kata beliau. Alhamdulillah, ibu bapanya sempat melihat Ismail menjadi ulama yang disegani di tanah air sebelum meninggal dunia. Kata Ismail, bapa dan ibunya bukanlah terdiri daripada golongan ulama tetapi mereka kuat beramal.

“Berkat doa merekalah, saya menjadi ustaz hari ini,” tambahnya. Ismail berkata, bapanya meninggal dunia semasa beliau membawa rombongan haji melalui syarikatnya ketika itu pada tahun 1992.

“Arwah macam tahu dia nak meninggal. Sehari sebelum itu, dia menebang pokok dan menggali kubur serta berpesan kepada cucunya, kalau dia meninggal tanamlah di situ dekat pokok jambu. Esoknya, dia pun meninggal dunia semasa tidur. Arwah emak pula meninggal kira-kira 10 tahun selepas itu,” kata beliau mengakhiri perbualan. (sumber: Utusan Malaysia)

0 comments:

Post a Comment