Sahabat Sejati

Wednesday 29 January 2014

Mudah-mudahan istiqamah hingga ke akhirnya

 

Dari Sahl bin Sa’ad, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya amalan itu bergantung dari akhirnya.” (Riwayat Bukhari)

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis yang pendek ini. Betapa gementarnya dengan peringatan yang benar-benar menusuk ke hati nurani.

Saya sentiasa bersyukur kerana Allah SWT dengan rahmat-Nya telah menetapkan saya di atas jalan ini. Membanding-membanding dengan mereka yang bersusah payah untuk menerima hidayah ini, sedangkan saya yang sedari lahir telah pun memilikinya. Justeru, ia sesuatu yang amat besar nikmatnya.

Namun di waktu yang sama, seringkali saya mengingatkan diri agar jangan merasa selesa dan selamat dengannya, biarpun telah melakukan 1001 kebaikan dan kebajikan. Kita tidak tahu apakah taqdir kehidupan kita nanti. Apakah kita masih mampu berada seperti sekarang atau sebaliknya. Bimbang jika kebaikan yang dilakukan tidak bertahan lama kerana terpadam oleh kelalaian dan burukan di penghujung usia, nad`uzubillah.

Kisah Bal’am bin Ba’ura

Allah SWT berfirman:
“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya Dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.” (al-A’raf: 76)

Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi dan Imam Ibnu Khathir, ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.

Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa as. ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah SWT telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar (Doa Bal'am bin Ba'ura mustajab). Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa as. dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai dengan negeri tempat tinggal Bal’am.

Raja negeri tersebut merasa takut jika negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar ia menggunakan ilmunya iaitu berdoa untuk mengalahkan Nabi Musa as.

Pada mulanya wali Allah ini menolak permintaan raja negeri tersebut kerana takutkan Allah SWT. Sepertimana sejarah Nabi Adam as. yang mana iblis pernah menyuruh Nabi Adam memakan buah dari pohon yang dilarang oleh Allah SWT melalui Hawa. Tetapi Nabi Adam as. terpengaruh dengan Hawa disebabkan bisikan iblis yang halus itu dan melanggari larangan Allah SWT lalu diusir dari syurga.

Begitu juga raja negeri tersebut telah menggunakan isteri Bal’am seperti mana iblis menggunakan Hawa. Raja telah memberi hadiah berupa barang-barang kemas dan perhiasan yang mahal kepada isteri Bal’am sebagai umpan supaya Bal’am mendoakan akan Nabi Musa as.

Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa, lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa lakukan. Jawab isteri Bal’am: “Berdoalah seperti yang dipinta oleh Raja”.

Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa as. Doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Tih (sekarang: semenanjung Sinai) selama 40 tahun.

Ekoran kesesatan ini, Nabi Musa bertanya Allah SWT: “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di Tih ini?”

Jawab Allah SWT: “Berpunca dari doa Bal’am.”

Nabi Musa berkata lagi kepada Allah: “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am.”

Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir seperti anjing.

Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya ada salah seorang di antara kalian beramal dengan amalan penduduk surga, hingga antara ia dan surga tinggal satu hasta, lantas catatan takdir mendahuluinya, lalu ia beramal dengan amalan penduduk neraka, lantas ia memasukinya. Dan ada pula yang pernah beramal dengan amalan penduduk neraka, hingga antara ia dan neraka tinggal satu hasta, lantas catatann takdir mendahuluinya, lalu ia beramal dengan amalan penduduk surga, lantas ia memasukinya.” (Muttafaqun ‘alaih)

Oleh itu, jangan sekali-kali kita lupa untuk memanjat doa agar Allah SWT memberikan kekuatan untuk sentiasa istiqamah dan berkekalan mengikuti petunjuk yang benar.

Sunday 26 January 2014

Bicara santai: Eee...sejuknya


Kebelakangan ini cuaca memang sejuk. Kalau nak mandi pagi, termenung panjang dulu. Fikir dulu nak mandi atau tak nak mandi. Akhirnya dua gayung cukuplah. Tak tahan, kedinginannya meresap hingga ke tulang hitam. Kalau tidak, selagi tak banjir bilik air, memang tak keluar.

Saya perasan ‘keanehan’ ini selepas banjir tempohari. Air paip terasa sejuk sekali. Memang saya menyangka ia disebabkan oleh musim banjir.

“Ini mesti empangan Sungai Kobat bercampur dengan air hujan masa banjir dahulu, sebab tulah air paip ni sejuk.” Saya membuat andaian. (Cerdiknya aku)

Dua minggu berlalu keadaan masih sama. Di luar cuaca juga terasa dingin. Tetapi bagus juga, sebab tidur malam sudah tidak perlu menghidupkan pendingin hawa. Bagi yang berkipas angin cukuplah dipasang dengan kelajuan yang amat minimum sekali, kalau tidak ‘full speed’ mencanak! Cuaca sejuk di luar sudah mencukupi. Jimat sikitlah tenaga elektrik yang katanya nak naik tarifnya.

Bila saya membelek-belek internet, rupa-rupanya fenomena ini sudah pun menjadi perbualan hangat di alam siber. Saya sahaja yang ketinggalan.

Kata Pengarah Pusat Cuaca Nasional JMM: “Catatan suhu yang agak rendah daripada kebiasaan ini sebenarnya disebabkan musim Monsun Timur Laut yang turut membawa tiupan angin sejuk dari kawasan sejuk seperti di China dan Siberia. Jadi, penurunan suhu boleh dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu tiupan angin dan juga kepulan awan,”

Kuala Krai misalnya mencatatkan suhu 17.5 darjah Celsius, Kuala Lumpur (21), Cameron Highlands (12), Lubuk Merbau (18.7), Ipoh (21.9), Temerloh (19.9), Kuantan (21), Batu Pahat (20.7) dan Sibu (21.2).

Maka ramailah dilaporkan 'berselimut' ke tempat kerja atau ke sekolah pada waktu pagi dek cuaca sejuk luar biasa ini. Sesetengahnya ambil peluang bergaya dengan baju sejuk atau sweater ke tempat kerja.

Ada pula kedengaran yang berkata: “Tidak mustahil Malaysia akan mengalami empat musim. Alasannya, negara sepanas Mesir boleh menerima salji, tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia.” Tetapi ini juga telah dinafikan oleh JMM kerana hujan salji hanya berlaku di negara beriklim sejuk dan sederhana di hemisfera utara dan hemisfera selatan yang mengalami cuaca di bawah paras 0 darjah Celsius. Malaysia terletak di garisan Khatulistiwa dan hanya ada dua musim - panas dan hujan. Cuacanya pula lembap dan panas sepanjang tahun.

Wallahua`lam, semuanya di dalam ilmu Allah yang sangat luas.

Tetapi menarik juga bunyinya, bagaimana jika Malaysia turut mengalami 4 musim seperti di Eropah. Kalau musim bunga atau musim luruh rasanya tidaklah ’excited’ sangat. Tapi, bila tiba musim sejuk, anda boleh bayangkan bagaimana? Kita bangun pagi dalam keadaan dingin yang amat sangat. Buka jendela, wah memutih di luar. Salji rupanya. Seronok, tidak perlu bersusah-susah lagi ke London bagi menikmati cuti musim sejuk atau merasai pengalaman Winter Sonata di Korea.


Saya agak ramai yang mengambil cuti pada hari tersebut kerana kenderaan tidak dapat bergerak lancar di atas jalanraya. Masa yang terluang pula diisi dengan bermain-main di luar sambil membuat ‘snow man’, ada juga yang mencuba untuk meluncur salji.

Bagaimana pula yang bekerja kampung pula seperti nelayan, penoreh getah, petani dan penternak, tentu sukar mahu menguruskan pekerjaan mereka. Entahlah, susah juga mahu menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu. Apa pun, dengan penjelasan JMM itu menjawab persoalan adakah salji boleh turun di Malaysia.

Namun, itu semua tidak mustahil, apa sahaja boleh berlaku dengan izin-Nya, setuju?

Saturday 25 January 2014

Ustaz Harun Taib kembali ke rahmatullah

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.

Sumber: Harakahdaily

"Selamat jalan sang murabbi ke negeri abadi, mudah-mudahan ia menjadi kerehatan dari kesibukan dunia ini. Sesungguhnya seluruh hidupmu telah dikau abadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata-kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami sebagai azimat buat menggalang tugas dakwah ini...al-Fatihah."

Friday 24 January 2014

Satu catatan malam ini

'Pengajian malam ini: Kitab Mastika Hadis'

Malam ini kuliah pengajian Kitab Mastika Hadis bermula lewat sedikit untuk memberi laluan kepada solat jenazah. Patutlah selepas solat maghrib tadi saya melihat ramai orang berkumpul di luar, rupa-rupanya jenazah baru sampai dari Kuala Lumpur. Saya turut menyertai solat jenazah bersama jemaah yang lain. Si mati merupakan penduduk di sini tetapi meninggal di hospital Kuala Lumpur setelah beberapa hari menerima rawatan di sana. Selepas solat jenazah, sebahagian jemaah duduk mendengar kuliah manakala sebahagian lagi pergi ke tanah perkuburan untuk menguruskan urusan pengebumian.

Di dalam buku ‘Pengembaraan Roh’ disebutkan kubur merupakan pintu gerbang akhirat, iaitu pintu masuk untuk menemui Allah bagi dipertanggungjawabkan segala amal perbuatan sepanjang hidup di dunia. Di sana juga Allah akan memperlihatkan keadilan-Nya. Alam kubur ini adalah satu hakikat yang akan ditempuhi oleh setiap insan. Ia mungkin menjadi satu taman daripada taman-taman syurga atau mungkin menjadi satu lubang daripada lubang-lubang neraka.

Abu-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Saad bin Almusayyab dari Umar ra. berkata: Nabi Muhammad saw bersabda: "Jika seorang mukmin telah masuk kedalam kubur, maka didatangi oleh dua Malaikat yang menguji dalam kubur, lalu mendudukkannya dan menanyainya, sedang ia mendengar suara langkah tapak kaki mereka telah mula pulang, lalu ditanya oleh kedua Malaikat itu: Siapa Tuhanmu, dan apakah agamamu, dan siapa Nabimu, lalu dijawab: Allah Tuhanku, dan agamaku Islam dan Nabiku Nabi Muhammad saw. Lalu Malaikat itu berkata: Allah yang menetapkan kau dalam kalimah itu, tidurlah dengan tenang hati. Itulah ertinya Allah menetapkan mereka dalam kalimah hak. Adapun orang kafir zalim maka Allah menyesatkan mereka dengan tidak memberi petunjuk taufiq pada mereka, sehingga ketika ditanya oleh Malaikat: Siapa Tuhanmu, apa agamamu dan siapa Nabimu, maka jawab orang kafir atau munafiq: Tidak tahu. Maka oleh Malaikat dikatakan: Tidak tahu, maka langsung dipukul sehingga jeritan suaranya terdengar semua yang dialam kecuali manusia dan jin. (Dan andaikan didengar oleh manusia pasti pengsan)

Mudah-mudahan Allah SWT menyelamatkan kita semua daripada kedahsyatan alam kubur ini. 

“Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah dajjal. Ameen.”

Tuesday 21 January 2014

Opocot, #&*%@?8$...!


Erkk…

Hampir tersedak saya mendengar perkataan #&*%@?8$... kemudian disusuli dengan ketawa kecil di belakang.

Saya berhenti menyuap dan berpaling seketika. Seorang perempuan muda tersipu-sipu sambil menutup mulut. Masih muda, dalam lingkungan awal 20-an. Rupa-rupanya dia melatah kerana terkejut, bahunya dipegang secara tiba-tiba dari belakang oleh sahabatnya yang baru sampai. Mujurlah makanannya belum sampai lagi, kalau tidak mungkin melayang sama apa yang ada di atas meja.

Hmm..muda-muda lagi sudah melatah. Kalau dulu tok wan-tok wan di kampung sahaja yang biasa melatah, sekarang ini budak-budak muda pun sama. Susah betul nak mengubati penyakit warisan zaman Jepun ini. Berjangkit dari satu generasi turun ke satu generasi. Tetapi kalau kita kata mereka latah, tak mengaku, mereka jawab sebab terkejut.

Bagi saya tidak kisahlah samada latah atau terkejut, namun apa yang tidak enak didengar ialah perkataan yang terkeluar dari mulutnya itu. Ada ke patut #&*%@?8$... yang disebut. Hilang sekejap selera makan.

Saya tidak menyalahkannya jika dia memang melatah atau terkejut, tetapi sebutlah benda lain macam komputer ke, kapal selam, goreng kangkung atau penyapu lidi. Sebutlah benda-benda yang seperti itu. Tidaklah sakit telinga mendengarnya.

Sebenarnya tidak pelik. Jika biasa sangat menyebut sesuatu benda tidak kiralah apa sahaja, maka benda itulah yang akan disebut jika terkejut. Jadi, biasa-biasakanlah diri menyebut sesuatu yang baik. Berselawat, istighfar, tasbih, takbir pun boleh. Bukan melatah kosong tetapi pahala pun dapat, insya-Allah.

Jika ada yang menyergah dari belakang.

“Allahumma solli `ala Muhammad!” Kita melatah.

Kan ke sedap bunyinya.

Anda mampu mengubahnya!

Monday 20 January 2014

SYAITAN MUSUH KITA (Tak kenal maka tak benci)


X-Files Syaitan Dibongkar!

Buku ini memaparkan fakta dan riwayat hidup makhluk terlaknat yang telah diberi 'lesen besar' untuk menyesatkan manusia sejak zaman Nabi Adam as. hingga hari kiamat, iaitu syaitan. Menariknya buku ini, bukan saja gaya penulisannya begitu santai, malah keseluruhan buku dihiasi ilustrasi yang memikat dan gambar foto yang relevan. Sepenuhnya dalam warna-warni, dengan jenis kertas yang berkualiti. Inilah satu-satunya buku yang membongkar rahsia kehidupan syaitan yang dipersembahkan dengan lakaran karikatur-karikatur dan ilustrasi yang menarik (tentunya karikatur syaitan berdasarkan imaginasi pelukis semata-mata).

Melihat pada senarai bahan-bahan rujukannya, buku ini mengandungi fakta, maklumat dan tip-tip dari sumber-sumber yang autentik. Ini bermakna, fakta-fakta yang dimuatkan adalah ilmiah dan boleh dipertanggungjawabkan. Salah satu sumber rujukannya adalah tulisan-tulisan Dato' Dr. Amran Kasimin, seorang penulis yang cukup dikenali dengan tulisannya berkisar tentang alam jin dan syaitan. Dr. Amran telah menulis kata pengantar untuk buku ini, malah turut menyemak dan mentashihkan isi kandungannya.

Melalui buku ini, X-files Iblis dan syaitan habis dibongkar. Antara lain, pembaca akan menemui jawapan kepada persoalan-persoalan ini:

Yang mana Iblis, yang mana syaitan?
Dari mana asal-usul Iblis dan syaitan?
Apa kaitan syaitan dengan jin?
Di mana bertapaknya empayar 'Iblis Raya'?
Siapa menteri-menteri dalam kabinet Iblis?
Apa habitat kegemaran syaitan?
Adakah syaitan beranak?
Adakah syaitan tidur?
Apa makanan syaitan?
Berapa jangka hayat syaitan?
Apa kekuatan dan kelemahan syaitan?
Bagaimana modus operandi syaitan untuk menyesatkan manusia?
Apa pintu-pintu laluan syaitan dalam tubuh manusia?

Pembaca diajak agar jangan takut kepada Iblis dan syaitan, namun jangan pula terlalu berani. Kisah-kisah para nabi dan orang soleh berdepan dengan syaitan, serta tip-tip yang diturunkan, memberi kekuatan tambahan kepada buku ini.

Tajuk : SYAITAN MUSUH KITA - TAK KENAL MAKA TAK BENCI
Penulis : Zakaria Sungib / Badrul Hisham
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : SM 21.90 / SS 23.90
Muka surat : 120

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Friday 17 January 2014

Salam Jumaat: Bicara di Kuala Tahan


“Jauh lagi ke? Tak sampai-sampai pun.” Isteri saya bersuara.

Saya hanya tersenyum mendengar sungutannya.

Agaknya dia berasa terlalu lama berada di dalam kenderaan. Malahan saya juga rasa begitu biarpun sudah 3 kali melalui jalan tersebut. Anak-anak pula entahlah, nampak ceria bergurau senda sesama mereka.

Menyusuri aspal jalan menuju ke Kuala Tahan melalui felda Padang Piol dan Sungai Retang sungguh mendamaikan. Sepanjang perjalanan mata saya dijamu dengan rimbunan pepohon hijau di kiri dan kanan jalan.

Sesekali kenderaan melambung tatkala rodanya melewati jalan yang berlubang, sekaligus membantutkan seketika anak mata menikmati panorama mengasyikkan itu. Saya kira kerajaan negeri Pahang perlu mengambil inisiatif segera memajukan tahap jaringan jalan raya di Kuala Tahan. Laluan ini merupakan perhubungan utama ke Taman Negara yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Malu pada pelancong!

Deretan pohon hijau di kiri dan kanan terus dilewati. Jiwa terasa dekat dengan alam, lantas menghadirkan rasa kekaguman kebesaran Ilahi. Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya menciptakan pepohon di seluruh alam ini dengan mengetahui jumlah bilangannya. Bahkan setiap helai daun yang menghiasi ranting-ranting serta dedaun yang berguguran semuanya di dalam pengetahuan Allah SWT. Begitu juga, Allah SWT Maha Mengetahui berapakah bilangan urat daun yang menghiasi setiap helaian daun di alam ini. Subhanallah. Lebih dari itu, sebanyak-banyak makhluk yang hidup di darat dan lautan tidak pernah ada yang kelaparan kerana tidak mendapat makanan. Semuanya mendapat kurniaan rezeki di sisi-Nya.

Dalam satu artikel yang pernah saya pernah baca mengatakan:
Seekor ikan paus biru akan memakan sebanyak 2500 kg (2.5 tan) pada setiap kali makan. Jika ikan paus ini makan tiga kali sehari, bermakna ia akan memakan sebanyak 7500 kg (7.5 tan) sehari.

Jika seorang manusia makan sebanyak 1.5 kg setiap hari, sepanjang hidupnya selama 70 tahun, jumlah makanan yang dimakan oleh manusia hanyalah menyamai jumlah makanan untuk 6 hari bagi ikan paus biru. Bayangkan betapa banyaknya makanan yang diperlukan oleh beribu-ribu ikan paus biru di lautan dan sedikitnya keperluan makanan kita di mana manusia telah menghabiskan sebahagian besar dari masa hidupnya berusaha mencari rezeki.

Betapa kerdilnya kita dan betapa berharapnya kita kepada Allah. Maha Suci Allah yang bersifat dengan sifat ar-Razzaq iaitu Maha Pemberi Rezeki.

Firman Allah SWT:
“Tidak ada sesuatu yang melata di muka bumi ini, melainkan ditanggung rezekinya oleh Allah. Dan Dia (Allah) mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya, semua itu tercatat di dalam kitab yang nyata.” (Hud: 6).

Subhanallah!

“Hebatkan Allah.” Ungkapan yang sering saya gunakan setiap kali selesai bercerita dengan anak-anak. Ketika mereka masih kecil dahulu saya sering menjadikan ruang tamu rumah sebagai tempat bercerita sebelum tidur, terutamanya pada malam minggu. Saya mengistilahkannya dengan nama ‘sleep talking’. Hamparkan tilam, lampu dipadam dan berborak di dalam gelap. Lepas satu cerita ke satu cerita sehinggalah semuanya terlelap. Tersenyum saya mengenangkannya, sekarang anak-anak sudah besar.

“Haa, ini kawasan gajah melintas.” Saya memberitahu anak-anak sambil menunjuk ke arah papan tanda yang berbentuk lelayang. Kenderaan diperlahankan untuk menjelaskan pandangan, semua menoleh serentak ke arah papan tanda itu.

Timbul juga sedikit debaran tatkala melihat papan tanda yang tertera “AWAS HAIWAN LIAR MELINTAS” dengan gambaran seekor gajah. Manalah tahu...

“Kebiasaannya gajah melintas pada waktu malam, siang hari sangat-sangat jarang,” kata seorang rakan yang tinggal di Kampung Tuit, Kuala Tahan. Benar, mamalia darat terbesar itu jarang menunjukkan diri pada waktu siang. Namun, katanya-katanya itu tidak mampu mengusir kebimbangan saya. Ahh.. kalau ia mahu melintas bukannya kira siang atau malam, getus nakal hati kecil.

Perjalanan diteruskan, papan tanda itu kami tinggalkan. Mendaki dan menuruni bukit serta melewati selekoh yang bak ular dipalu.

“Ok, dah sampai Kuala Tahan.” Kata saya kepada anak-anak.

Alhamdulillah, selamat sampai biarpun lenguh-lenguh sendi dan keras kematu terasa kulit punggung. Tidak mengapa asalkan setiap ruang inci kehidupan yang dilalui ada teladan hidup.

Thursday 16 January 2014

Taubat la bodo (Ziarah orang sakit)

Lawak berisi daripada Big Boh! 


Tuesday 14 January 2014

Satu catatan: Taman Kerang

 Taman Kerang dalam tahun 80-an (sumber foto: FB KGKP)

Orang Kuantan tentu biasa dengan Taman Kerang. Mustahil rasanya jika ada orang Kuantan yang tidak pernah mendengar namanya. 

Letaknya di Jalan Mahkota bersebelahan dengan Padang Majlis Perbandaran Kuantan. Padang ini memang ‘femes’ terutama di bulan Ramadhan kerana menjadi tumpuan orang ramai berbuka puasa. Pengunjung bukan hanya warga Kuantan, ada juga yang datang dari luar semata-mata mahu merasai kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai di bawah langit terbuka. Dulu RTM pernah membuat penggambaran suasana berbuka puasa di sini beberapa tahun dahulu, begitu juga dengan akhbar tempatan yang pernah memuatkan cerita mengenainya. 

Taman Kerang mendapat nama kerana terdapat sebuah replika kulit kerang besar di sini. Dulunya Taman Kerang ini hanya menjadi tempat duduk bersantai anak-anak muda. Saya masih ingat di tahun 80-an ketika saya masih bersekolah rendah, apabila tiba hari raya emak akan membawa saya membeli baju raya atau kain pasang di kedai kain milik India Muslim yang sederetan di seberang jalan. Ketika mahu pulang kami akan melalui Taman Kerang ini untuk menunggu bas di perhentian bas Pokok Buluh tidak jauh dari situ. 

Taman Kerang sudah banyak berubah kerana menerima sentuhan dari masa ke semasa. Terbaru sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) berlangsung di negeri Pahang pada tahun 2012. Ia dilanskap dengan lebih menarik lagi dengan hiasan pokok tiruan yang berwarna-warni daunnya. 


Sekarang, Taman Kerang dijadikan tapak perniagaan bagi para peniaga kecil. Waktu perniagaan bermula seawal jam 8 pagi sehingga 2 petang. Kesibukannya lebih terserah pada pagi Sabtu dan Ahad. Namun, ianya ditutup jika ada sambutan seperti hari Kemerdekaan, sambutan Tahun Baru serta majlis-majlis pelancaran khas. 

Ada kanopi yang menjual ubat-ubatan seperti ubat batu karang, ubat lelah, minyak urut dan lain-lain ubatan tradisional, tetapi yang paling banyak sudah semestinya ubat ‘kuat’. Bermacam-macam jenis ubat ‘kuat’ yang entah selamat atau tidak penggunaannya. Dulu pernah pihak KKM melakukan pemeriksaan kepada penjual ubat, hasilnya banyak ubat ‘kuat’ yang dirampas kerana tidak diluluskan. 

Ada yang menjual batu cincin, keris, parang dan pisau. Ada yang menjual barangan ibadah seperti buku-buku agama, CD dan VCD, kopiah, tudung dan minyak atar. Ada kanopi yang menjual barangan kegunaan seperti beg duit, cermin mata, jam tangan, lampu suluh dan bermacam-macam lagi. Ada juga yang menyediakan khidmat urutan refleksologi terutama di kalangan OKU. Duduklah menjukur kaki di kerusi malas dengan bayaran sebanyak RM5 satu sesi urutan. Anda akan diurut dengan perlahan sehingga yang tertidur pun ada. 

 Barangan antik yang dijual

Saya selalu juga singgah di Taman Kerang, jika kebetulan turun ke bandar Kuantan. Tetapi tidaklah setiap kali turun mesti singgah. Itupun jika ada kesempatan di antara masa yang terluang. Lagipun saya hanya berminat meninjau-ninjau di gerai yang menjual barangan antik. Bukannya hendak membeli pun, sekadar seronok melihatnya. Ada barangan yang dijual boleh dianggap sampah oleh sesetengah dan tidak layak dijual. Tetapi jangan pelik jika ada juga yang membelinya, terutama peminat barang-barang lama. 

 Buku-buku lama

Turut dijual ialah buku-buku lama. Biasalah sebagai seorang hantu buku, memang lama saya di situ membelek-belek susunan buku. Ada juga buku-buku yang menarik saya beli sebagai koleksi. Yalah, bukan senang mahu mendapatkan buku-buku lama yang telah pun tidak diulang cetak. 

Berhampiran Taman Kerang juga terdapat Masjid Sultan Ahmad 1 atau lebih dikenali dengan Masjid Negeri yang menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Pahang. 

 Sebuah kereta klasik berlatarkan Masjid Negeri

Kuliah Maulid ar-Rasul

Kuliah ilmu bersama Imam Muda Nuri Ali Arba`in.
Dijemput hadir kepada semua yang berdekatan...


Saturday 11 January 2014

Mengurus masa

Kita dikurniakan pusingan masa yang sama. Tetapi pelik jika ada yang mengeluh kerana tidak cukup masa, sedangkan pada masa yang sama ada orang yang dapat melakukan pekerjaan yang hebat-hebat. Apakah mereka dikurniakan masa yang lebih? Tidak! Masa tetap sama, 24 jam sehari semalam tanpa ada pengurangan dan penambahan. 


Sesungguhnya manusia akan mempunyai masa yang cukup jika dia bijak menguruskannya. Maknanya, kita perlu memiliki kebijaksanaan menguruskan dan membahagi masa. Kebijaksanaan menguruskan masa akan memberi kesan yang terbaik dalam kehidupan. 

Masa adalah emas, masa umpama pedang, ungkapan yang menggambarkan peri pentingnya masa. Hakikatnya masa adalah kehidupan. Orang yang menyia-nyiakan masa seumpama menyia-nyiakan kehidupan. Tidak ada galang gantinya masa yang telah berlalu kerana masa yang datang adalah berlainan. Ibarat kita mencelupkan kaki ke dalam aliran sungai, apabila kita mengangkat kaki dan mencelup kali kedua maka ia adalah aliran yang lain.

Kata guru saya: “Jangan tunggu masa lapang untuk melakukan sesuatu kerja kerana kita memang tidak ada masa lapang. Tetapi kitalah yang mesti melapangkan masa.” 

Benar, untuk mendapatkan masa yang cukup kita perlu menyusun kehidupan kita dengan baik. Yang utama perlu diutamakan, yang penting perlu didahulukan, manakala yang kurang penting dikemudiankan. Semua ini agar kita tidak membazirkan masa sehingga meninggalkan perkara yang penting dan utama.

Rasulullah saw adalah contoh penyusun masa yang terbaik. Baginda seorang Rasul, seorang ketua negara, seorang panglima perang, seorang imam, suami, bapa, datuk dan sahabat, namun masih sempat lagi membuat kerja-kerja rumah. Lihat pula kepada ibadah baginda, diceritakan baginda beribadah sehingga bengkak kakinya. Bagaimana baginda mampu melakukannya sedangkan baginda juga dikurniakan 24 jam sehari semalam.Kuncinya ialah baginda bijaksana dalam menguruskan masa. 

Marilah kita menghitung diri. Bukankah termasuk satu kezaliman kepada diri sendiri jika menyia-nyiakan waktu. Kita tidak boleh memendekkan atau memanjangkan masa, tetapi kita boleh menjadikan masa itu menjadi berkat. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati masa dan usia kita dan membantu segala urusan kehidupan kita. 

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian...” (al-`Asr: 1-2)

Fikir-fikir: Seorang tetamu...


Jika kita berkunjung ke rumah seseorang, tentunya kita akan menjaga adab-adab yang selayaknya sebagai tetamu. Kita akan mematuhi peraturan dan syarat-syarat yang ditentukan oleh tuan rumah. Kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh menimbukan rasa tidak senang tuan rumah. Apatah lagi untuk menjadikan rumah itu seperti rumah sendiri, biarpun tuan rumah berkata, “buatlah seperti rumah sendiri.”

Maka, apakah yang mahu dikatakan kepada tetamu seperti ini?

Demikianlah hakikat kehidupan kita di dunia ini. Kita hanyalah tetamu yang menumpang sebentar sebelum berlalu ‘pulang’. Allah SWT menjadikan alam ini lengkap dengan segala keperluannya. Diri kita pula dijadikan sempurna dengan akal dan anggota yang kita dapat bergerak bebas dengannya.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (al-Baqarah: 21-22)

Menyedari akan hakikat ini, marilah kita sama-sama menginsafi diri. Marilah kita tunduk dan patuh akan segala ketetapan dan perintah-Nya. Tidakkah kita merasa malu, takut dan segan tatkala kita makan dan minum dari rezeki-Nya, kita bernafas dengan udara-Nya, kita menumpang segala nikmat-Nya tetapi dalam masa yang sama kita engkar dan tidak mahu bersyukur.

Maka, apakah yang mahu dikatakan kepada tetamu seperti ini?

Hidup adalah kembara. Perjalanan pasti akan berakhir.

Thursday 9 January 2014

Hukum daging landak


Soalan:

Assalam. Ustaz, apakah hukum makan daging landak? Ianya juga buas dan bertaring. Terima kasih.

Jawapan:

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah. Yang dilarang oleh hadis ialah binatang buas bertaring yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya. Saya tidak pasti apakah landak mempunyai gigi taring yang berfungsi sebegitu. Adapun pandangan para ulamak tentang landak adalah seperti berikut:-

1. Mazhab Hanafi dan Hanbali: Haram memakannya kerana ia tergolong dalam binatang-binatang merayap/merangkak yang dipandang keji (khabaith), iaitu satu kelompok dengan tikus. Dalam al-Quran Allah berfirman (dengan maksud): “Dan dia (yakni Nabi Muhammad saw) mengharamkan ke atas kamu yang keji-keji.” (surah al-A’raf: 157).

2. Mazhab Maliki dan Syafiie: Harus memakannya kerana walaupun ia dari jenis merangkak, namun tidak dipandang keji oleh manusia, kerana itu ia tidak termasuk dalam ayat tadi. Dalam kitab Hayah al-Hayawan al-Kubra –kitab turas yang membincangkan tentang haiwan-haiwan-, pengarangnya (ad-Dumairi, wafat 808 hijrah) menjelaskan, Imam Syafiie berkata: “Landak halal dimakan kerana orang-orang Arab memandangnya sebagai makanan yang elok/baik” (2/361). Di antara kaedah dalam mazhab Syafiie - dalam menentukan jenis haiwan yang halal dan yang haram- “Setiap haiwan yang dipandang elok/baik oleh orang Arab maka ia adalah halal, kecuali terdapat dalil Syarak yang mengharamkannya.”[1]

Ada diriwayatkan Nabi saw bersabda: “Landak adalah dari binatang-binatang yang keji” (Musnad Imam Ahmad, 5954. Sunan Abu Daud, 3799. Dari Abu Hurairah ra). Namun ulamak-ulamak hadis menegasnya: sanad hadis ini adalah dhaif kerana terdapat beberapa rawi yang majhul[2], tidak boleh dijadikan hujjah dalam hukum-hakam. Kerana itu para ulamak masih berikhtilaf tentangnya (landak). Ulamak yang berpandangan dia binatang yang baik/elok, mereka menghalalkannya. Yang berpandangan dia binatang yang keji, mereka mengharamkannya.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144 (perkataan “at’imah”).
2. Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523.
3. Hayah al-Hayawan al-Kubra, Muhammad bin Musa ad-Dumairi, 2/361.
4. al-Fiqh al-Manhaji, 3/69.

[1] Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523. Namun orang Arab yang menjadi rujukan dalam masalah ini ialah; a) Orang-orang Arab yang hidup pada zaman Nabi SAW. b) Yang hidup/tinggal di bandar dan kawasan yang subur atau yang berhampiran dengannya. Ini kerana orang-orang Arab yang tinggal di kawasan pedalaman dan hidup berpindah-randah kebiasaan mereka memakan apa sahaja binatang yang melata dan merangkak. c) Yang mempunyai tabi’at yang bersih. d) Dirujuk ketika musim subur dan senang (yakni bukan ketika musim kebuluran dan melarat yang menyebabkan mereka terpaksa makan apa sahaja yang ada). (Lihat; Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523 dan Al-Fiqh al-Manhaji; 3/69). 

[2] Lihat; Bulughul-Maram, Imam Ibnu hajar (kitab al-At’imah; 1365) dan Tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Syu’aib al-Arnaut dan beberapa ulamak yang lain (hadis no. 8954). 

(Sumber: Ilmu dan Ulama)

Mengingati dengan kesabaran

Kita tidak menafikan bahawa setiap manusia suka kepada kebaikan dan kesempurnaan. Sebagaimana kita melihat sesuatu yang cantik, tanpa disuruh hati akan suka dan gembira. Fitrahnya memang begitu, asal penciptaan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Dan yang menciptakannya pula adalah Yang Maha Indah dan sukakan keindahan.

Walau sejelek manapun manusia itu, tetapi di satu sudut kecil di dalam hati tersimpan satu perasaan halus mahukan kebaikan. Namun, disebabkan keegoan dan kelalaian diri maka ianya menafikan kebenaran itu. Tetapi percayalah, sampai satu masa mereka akan mengakuinya. Mereka akan mengutip kembali peringatan yang suatu masa dahulu mereka pernah persiniskan.

Ada ketikanya mereka tidak tahu tentang kesilapan mereka kerana silau dengan keseronokan dunia yang mengasyikkan.

Kadang-kadang mereka tidak bertemu jalan kebenaran kerana onak dan duri yang sering mengait di kiri dan kanan lorong yang dilewati.

Kadang-kadang mereka tidak diberi peluang untuk kembali kerana sikap dan pandangan kebencian masyarakat sekeliling.

Mereka tetap perlu diajak kepada kebaikan.

Mereka semua berada di sekeliling kita

Sabar itu umpama matahari

Di dalam sepotong hadis yang panjang riwayat Muslim, Rasulullah saw pernah bersabda:

“Dan sabar itu sinar seperti mentari”

Ulama merumuskan sabar itu diibaratkan seperti matahari kerana dua perkara. Pertamanya, matahari itu sumber kehidupan. Sama seperti sabar yang menjadi sumber kepada kebaikan. Sabar dalam ibadat, sabar menahan diri daripada maksiat, sabar dalam musibah dan nikmat, semua itu menjadi sumber untuk melimpahkan pelbagai kebaikan yang lain.

Sebab kedua, untuk sabar dan menghasilkan kebaikan seperti khasiat matahari, diri kita terbakar panas!

Menahan diri untuk sabar bagi mencipta ruang dakwah adalah suatu kepedihan yang sukar untuk dibayangkan.

Dakwah adalah jalan yang penuh liku. Dari ujian kesusahan, hinggalah kepada ujian kesenangan malah kejemuan dan putus asa. Namun, kuncinya adalah sifat sabar dan merenung janji-janji-Nya kepada mereka yang menyeru kepada kebaikan.

Allah SWT berfirman-Nya:

“Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka.” (al-Qasas: 54)

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (az-Zumar: 10)

Jangan jemu teman-teman!

Sunday 5 January 2014

Cetusan rasa: Bicara usia menjengah senja


Usai sembahyang maghrib di Masjid Negeri. Para jemaah beransur-ansur keluar untuk menyambung kembali urusan yang terhenti seketika. 

Saya pula mencari-cari sudut untuk melabuhkan punggung. Tiba-tiba pula kepala terasa berdenyut-denyut. Sambil menyandarkan belakang ke tiang masjid, saya memicit perlahan-lahan dengan harapan sakitnya akan berkurang. Sepasang anak mata saya arahkan ke segenap sudut, meninjau-ninjau kelibat teman yang berjanji untuk bertemu di masjid. 

Lantunan bacaan surah dari sang imam hafiz ketika sembahyang maghrib tadi bagaikan masih terngiang-ngiang kemerduannya. Ada juga rasa cemburu yang bertandang. Ahh.. cemburu ini dibenarkan dalam Islam. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara yang boleh mendatangkan kebaikan saja. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah SWT harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredhai oleh Allah SWT) dan orang yang dikurniakan oleh Allah SWT ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan hadis) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” (Riwayat al-Bukhari) 

Kepala masih lagi berdenyut-denyut.

“Mungkin panas kepala agaknya,” saya menduga menyedapkan hati. 

Memang, kebelakangan ini saya seringkali mengalami sakit kepala. Berdenyut-denyut dan rasa sakit di sebelah kanan belakang tengkuk. Gambaran kesakitannya jika saya gerakkan kepala, maka apa yang ada di dalam kepala terasa bergoncang sama. Sakitnya bukan main. Berdiri tidak kena, duduk juga tidak kena, baring pun sama. 

Ada yang kata darah tinggi. Dulu pernah saya membuat pemeriksaan di klinik, tekanan darah baik. Lagipun saya tidak ada masalah memakan daging kambing (jika betul) yang dikatakan musuh utama darah tinggi. Jadi, saya percaya bukan darah tinggi. 

Ada juga yang kata migrain. Seingatnya, saya tidak pernah ada sejarah migrain. Lagipun tidak ada tanda-tanda migrain. Tidak, jadi bukan migrain. 

“Angin,” kata seorang sahabat yang mengalami masalah yang sama. Katanya berdenyut-denyut di sebelah kanan belakang tengkuk. Jika digoyang-goyangkan kepala terasa bergoyang sama apa yang ada di dalam kepala. Hmm.., boleh jadi, sama. 

Nampaknya kena kurangkan makanan yang berangin, lepas tu kena pergi berurut untuk membuang angin. Tetapi sekarang ini bukan senang nak mencari tukang urut. Di kampung-kampung pun sudah tiada tukang urut. Kalau dulu, mudah sebab bapa saudara saya seorang tukang urut, merangkap tok dukun serta tukang masak kenduri. Terseliuh, demam, anak-anak kecil menangis tengah malam, hendak buat kenduri, hendak sembelih lembu kerbau, panggil sahaja dia. Tetapi sudah lama dia meninggal dunia tanpa meninggalkan kepada waris kepandaiannya. Maka, segala kepandaian yang ada dibawa bersama ke liang lahad. 

Rasanya di bandar banyak rumah urut, tetapi jangan sesekali mencuba, itu hendak mencari nahas namanya. Penyakit tak hilang, bala pula yang datang. 

Ahh..jauh pula saya mengelamun. Tetapi bagus juga, terlupa sebentar pada kesakitan. 

Biasanya sakit kepala ini akan hilang dengan sendiri. Paling lama pun lebih kurang sehari atau sehari setengah. Kadang-kadang keasyikan melayan kerja yang dibuat menyebabkan saya lupa kepada kesakitan. Sedar-sedar sakit telah pun hilang. Saya menyimpulkan sakit kepala saya ini berpunca daripada cuaca yang panas atau kerana saya kurang tidur. Jika di rumah saya akan mandi dan berbaring di bawah kipas sehingga terlena. Tetapi yang pasti kerana umur semakin meningkat, maka ada-ada sahaja penyakit datang bertandang. Ya, itu yang pasti. 

Semasa zaman budak-budak dahulu, setiap kali kedatangan tahun baru adalah suatu yang menggembirakan. Masuk sahaja tahun baru bermakna umur semakin bertambah, ia juga bermakna semakin dewasa. Memang, tidak sabar untuk menjadi dewasa. Budak-budak walaupun hanya memikirkan soal bermain sahaja, tetapi banyak sangat pantang larangnya. Ini tak boleh, itu tak boleh. Tetapi jika jadi orang dewasa, bebas ke sanan ke sini, siapa yang berani melarang. Itulah yang bermain di fikiran yang menyebabkan tidak sabar menjadi dewasa. Pemikiran budak-budak! 

Namun, setelah berada di ‘alam’ sekarang, realitinya tidak begitu. Kedatangan tahun baru benar-benar menginsafkan. Bertambahnya usia bermakna peruntukan umur telah berkurang, dipotong sedikit demi sedikit. Maka ia memberikan isyarat semakin kita mendekati janji kematian. 

 'usia senja'

Kata Imam Hasan al-Basri: “Sesungguhnya kamu ini hanyalah bilangan sahaja. Jika satu hari telah berlalu, maka akan berkurang umur kamu.”

Jika Allah taqdirkan jumlah umur kita 60 tahun, sekarang umur kita telah pun 30 tahun maka telah separuh daripada umur kita. Jika umur kita telah 50 tahun maka tinggal secubit lagi baki umur kita. Ibarat sebatang kayu yang dipotong sedikit demi sedikit setiap hari, akhirnya akan habis kayu tersebut. Begitulah perumpamaannya.

Masa muda diberi percuma tetapi akan ditanya di hari akhirat kelak. Usia muda bukan sahaja satu anugerah tetapi juga satu amanah. Oleh itu usia muda ini janganlah disia-siakan. Jangan dibiarkan berlalu tanpa erti. Gunakannya untuk mencapai keluasan ilmu pengetahuan dan pengalaman hidup. Masa muda tidak akan bertahan, tiba masa usia tua akan menjengah. Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang kembali. Ia akan berlalu menjadi kenangan yang semakin jauh ditinggalkan. Jika usia muda tidak dimanfaatkan sebaiknya, maka ia akan meninggalkan kenangan pahit di usia tua. Menyesal kemudian tidak akan dapat memusingkan kembali masa. Bahkan ia hanyalah satu kesengsaraan.

Usia saya juga telah hampir menjengah angka 40. Sudah tentu ia menjadi satu peringatan yang lebih utama buat diri saya. 

Antara nasihat Rasulullah saw kepada umatnya: “Tanda Allah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan di dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur empat puluh tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka." 

Nasihat ini sudah cukup sebagai peringatan buat mereka yang menggunakan akal. 

Kelibat teman belum kelihatan. 

Saya masih menanti dengan sabar.

Friday 3 January 2014

Teringat-ingat, darjah satu


Sesi persekolahan 2014 telah pun bermula. Bagi para ibu bapa yang mempunyai anak yang memasuki darjah satu tentu lebih sedikit sibuknya. Bermula dengan persiapan persekolahan, seterusnya menghantar anak-anak ke sekolah. Bukan itu sahaja terpaksa pula menunggu, kerana bimbang ada yang menangis dan mengamuk tidak mahu masuk ke kelas, atau pun mahu mengikut pulang. Jika sehari dua tak apa, tetapi kalau tidak kena gaya mahu seminggu atau sebulan. Naya sungguh, terpaksa sambung bercuti jika yang bekerja.

Saya dulu, ketika memasuki darjah satu tidak dihantar oleh emak atau ayah. Seperti yang pernah saya coretkan dahulu, saya amat memahami kesusahan ibu dan bapa yang bekerja kampung. Seawal pagi mereka keluar menoreh getah, kemudian pada sebelah petang pula membanting tulang di kebun mencari rezeki buat kami semua. Oleh itu, saya langsung tidak terkilan atau merasa kecewa apabila melihat rakan-rakan yang lain dihantar oleh orang tua mereka.

Saya berjalan kaki ke sekolah pada hari pertama bersama abang dan kakak. Jaraknya tidak jauh mana kira-kira 2 kilometer sahaja. Memang tidak terasa jauh kerana pada masa itu boleh dikatakan ramai yang berjalan kaki, yang berbasikal atau dihantar oleh ibu bapa boleh dibilang dengan jari. Yang seronoknya kerana kami bergerak pergi dan balik sekolah dalam kumpulan yang ramai.

Kakak yang ketika itu dalam darjah empat menghantar saya memasuki kelas. Manakala abang pula yang bersekolah menengah waktu petang, menunggu sebentar di luar takut-takut saya menangis. Seingat saya dua hari sahaja abang menunggu, selepas itu saya tidak lagi melihat kelibat abang di luar melalui tingkap. Tetapi saya tidak menangis malah seronok pula bersekolah.

Teringat pada hari pertama sekolah, saya telah bergaduh dengan seorang kawan sekelas. Entah di mana silap dan mulanya. Sempat juga saya melepaskan penumbuk sulung ke mukanya, manakala dia pula menggigit lengan saya sehingga meninggalkan bekas. Akhirnya kami sama-sama menangis di rotan oleh cikgu. Tetapi selepas itu kami berbaik semula, biasalah bergaduh budak-budak bukannya lama, ahli fitrah!

Namun, sahabat saya ini tidak lama belajar di sekolah itu kerana berpindah mengikut bapanya yang bertukar tempat kerja. Bapanya seorang anggota polis. Itulah di antara kenangan yang masih saya ingati ketika darjah satu dahulu, malah wajah sahabat yang telah menerima ‘hadiah’ daripada saya itu juga masih saya ingati sehingga sekarang.

Tidak seperti lima, enam tahun yang lalu, hari ini saya rasa sudah tidak ramai malahan mungkin tidak ada bagi sesetengah sekolah, pelajar tahun satu yang menangis masuk ke kelas. Yang ada mereka gembira, bermain bersama rakan-rakan sampaikan ada yang terlekat di celah kerusi. Ada yang terlekat kepala, terlekat pinggang pun ada. Hendak tergelak saya melihatnya di FB kelmarin. Itu tentu terlebih seronok, teruja, ‘excited’ nak belajar.

Kebanyakannya sebelum memasuki darjah satu, mereka sudah pun memasuki pra sekolah yang menawarkan pembelajaran di usia seawal 4 tahun. Ini menyebabkan mereka sudah biasa dengan alam persekolahan. Bercampur gaul dan bermain bersama rakan-rakan baru.

Inilah di antara kelebihan memasukkan anak-anak ke pengajian pra sekolah sebelum sekolah kebangsaan. Tetapi ada juga yang tidak pernah masuk pra sekolah tetapi ‘steady’ je masuk darjah satu. Zaman ayah dan ibu kita pun mana ada pra sekolah, diorang tak menangis pun masuk darjah satu. Apa pun, semuanya bergantung kepada bagaimana ibu bapa memotivasikan anak-anak. Yang penting, jangan tidak bersekolah sudah.

Selamat memasuki alam persekolahan kepada semua anak-anak di tahun satu!

Wednesday 1 January 2014

Catatan di 01.01.2014

(sumber: Google homepage)

2013 melabuhkan tirainya semalam. Menutup lembaran skrip lakonan hidup manusia. 2014 pula memunculkan diri. Membuka lembaran baru untuk dicorakkan warna kehidupan samada hitam atau putih.

Bagi yang memandang jauh kehidupan ini, pasti setahun yang telah berlalu menjadi medan renungan dan muhasabah diri. Apakah setahun itu telah diisi dengan kebajikan sebagai bekal persiapan ke ‘sana’. Manakala setahun yang bakal ditempuhi ini sebagai azam dan tekad untuk memperbaiki mana-mana yang kurang dan terlalai.

Malam semalam tentu gegak-gempita dengan sorakan dan laungan. Mengucap selamat tinggal kepada 2013 dan meraikan kedatangan 2014, mungkin itulah maksudnya. Tidak salah untuk meraikan serta mahu merasa gembira dengan kedatangan tahun baru jika kena dengan adab dan akhlaqnya. Namun, kebanyakkannya tidak begitu. Entahlah berapa ramai pula anak bangsa yang lupa diri, longlai dalam gembira yang menghancurkan ini.

Renungan bersama

Jabir ra. berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda di dalam satu hadis:
“Sesungguhnya perkara yang aku amat bimbang menimpa umatku ialah menurut hawa nafsu dan angan-angan yang panjang. Adapun menurutkan hawa nafsu itu akan menutup pintu keenaran dan panjang angan-angan akan menyebabkan lupa pada akhirat. Adapun dunia ini sedang bergerak pergi, sedangkan akhirat datang dengan pantas, setiap keduanya iaitu dunia dan akhirat itu mempunyai anak-anak. Ketahuilah mereka yang menjadi anak-anak dunia, sesungguhnya dunia adalah tempat beramal atau melakukan segala kerja, manakala hari akhirat adalah hari perhitungan dan tiada amal.” (Riwayat Bukhari) 

Dalam hadis di atas, Rasulullah saw mengingatkan umatnya beberapa penyakit yang akan menular ke dalam jiwa mereka, iaitu menurut hawa nafsu dan panjang angan-angan. Kedua-dua penyakit rohani ini jika tidak dikawalselia dengan baik akan memusnahkan kebahagiaan dan kesejahteraan umatnya di dunia dan akhirat. Apabila seseorang telah dihinggapi penyakit ini, maka dia tidak lagi dapat melihat kebenaran dari Allah SWT. Ini tidaklah bermakna manusia mesti menghapuskan nafsu, kerana menghapuskan nafsu bermakna menghapuskan diri manusia itu sendiri.

Setiap manusia mempunyai nafsu yang mana ia adalah anugerah Allah SWT yang teristimewa. Ia amat berguna kerana tanpanya dunia akan sepi, mundur dan tidak membangun. Ini kerana yang mampu memakmurkan dunia ini adalah manusia yang berkembang biak melalui proses nafsu. Justeru, nafsu perlu dilapisi dengan wahyu melalui perutusan Rasul untuk membimbing danmengawalnya, lebih-lebih lagi secara semulajadi nafsu mempunyai kecenderungan ke arah yang tidak baik.

Firman Allah SWT:  
“Sesungguhnya nafsu itu mendorong ke arah kejahatan.” (Yusuf: 53) 

Di dalam al-Quran banyak menceritakan kaum yang menolak setiap kebenaran yang dibawa oleh para Rasul. Di dalam zaman moden ini apa kurangnya. Semakin ramai yang menurutkan hawa nafsu, bahkan semakin pelik keadaan itu. Ada yang terang-terang menolak hukum Allah dengan alasan logik akal. Kadang-kadang bukan kerana mereka jahil kebenaran hukum tersebut, sebaliknya mereka menurut hawa nafsu kerana mempunyai kepentingan yang tertentu. Akhirnya Allah SWT menutup mata hati mereka dari melihat kebenaran itu.

Firman Allah SWT:
“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (al-Jaathiyah: 23) 

Mudah-mudahan Allah SWT melindungi kita semua daripada penyakit menuruti hawa nafsu yang tidak baik.

Dengar cerita ada sesetengah tempat menghabiskan 15 juta untuk sambutan tahun baru pada tahun ini. Jika benar, apa yang mahu dikata.

Innalillah wainna ilaihi raji`un...