Sahabat Sejati

Tuesday, 29 October 2013

Cetusan rasa: Bonda

Mencium tangan bonda sudah mampu memutikkan damai rasa. Apatah lagi dapat mendakap dan memeluknya, bagaikan hilang segala rontaan jiwa yang bersarang. Resah dan gelisah seakan terbang menjauh entah ke mana.

Itulah nikmatnya dapat kembali ke dalam sebahagian diri kita.

Sebahagian daripada diri saya adalah diri bonda. Dalam denyut nadi bonda ada denyutan nadi saya. Dalam hela nafas bonda ada hela nafas saya. Saya pernah berkongsi nyawa dengan bonda. Saya datang dari DIA melalui dia. Bonda yang berlipat kesabaran mengandungkan saya, bonda yang berbagi nyawa melahirkan saya, bonda yang menyingkirkan penat lelah membesarkan saya dan bonda juga yang menelan kesusahan semata-mata mahu melihat saya menjadi ‘manusia’.

Sesungguhnya adalah suatu yang sangat indah dan apabila kita dapat bersama seorang ibu yang membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya seumpama aliran air yang tiada hentinya. Mengalir dan terus mengalir. Sebagai anak kita adalah bekas tadahan kasih sayangnya. Kemanakah tumpahnya kasih sayang seorang ibu, jika bukan kepada anaknya.

Oleh itu, jangan dibiarkan ianya mengalir ke lembah yang sia-sia, binalah tadahan yang dapat memberikan manfaat kepadanya. Jadilah takungan yang sentiasa menyuburkan kehidupan yang baik baginya di akhirat nanti.

Tebarkanlah nilai kasih sayang kepadanya sehingga ia tidak melihat kita melainkan kebaikan semata-mata.

Bondaku...al-Fatihah. (24.09.1947 - 18.09.2011)

Sunday, 27 October 2013

Hujan dan ubi kayu

'Gerimis pagi'

Sejak dari pagi tadi hujan turun membasahi bumi. Dari pagi tadi jugalah saya berkurung di dalam rumah. Cuti hujung minggu begini malas rasanya nak bergerak ke mana-mana. Hujan tidaklah selebat mana sekadar renyai-renyai sahaja, namun saya mengiranya sebagai permulaan musim tengkujuh.

Hujan mengingatkan saya pada sesuatu. Tentunya mengimbas kembali zaman kanak-kanak yang seolah sentiasa ceria dan menggembirakan. Hujan juga mengingatkan saya sajian enak di musim tengkujuh, ubi kayu!

Dulu arwah nenek sering bercerita mengenai makanan ruji di zaman Jepun. Ubi kayu dicampur dengan sedikit beras. Ia juga dimakan dengan kelapa kulit hijau yang diparut. Itupun sudah cukup mewah, jika tidak makan ubi kayu sahaja sehingga badan naik sembab.

Jarang kami membeli ubi kayu. Arwah emak menanam banyak rumpun di belakang rumah. Bukan itu sahaja, emak juga menanam cili, halia, lengkuas, kunyit, serai dan sebagainya. Pendekata, bahan asas masakan itu tidak perlu dibeli, jenguk sahaja di belakang rumah. Selalunya emak merebus ubi kayu dengan agak banyak. Sesiapa yang bertamu di rumah, maka dihidang untuk dinikmati bersama kopi ‘O’ panas. Sejak dulu lagi beranda rumah pusaka ayah menjadi tumpuan jiran-jiran berhimpun di waktu petang.

Jika tidak habis emak akan membuat pula pindang ubi kayu. Ubi kayu rebus itu dimasak dengan air manisan gula melaka sehingga pekat. Saya memang menggemari pindang ubi kayu hasil air tangan emak. Selalunya saya makan tidak bertangguh, dan emak dengan wajah kasihnya setiasa tersenyum melihat gelagat itu.

Itulah nikmat Allah. Setiap satunya ada kisah yang sentiasa disyukuri.

Anakku seorang HAFIZ


Bagaimanakah cara memotivasikan anak untuk menghafaz al-Quran? Bagaimanakah untuk merancang? Apakah formula dan kaedah yang sesuai untuk anak-anak menghafaz al-Quran? Bagaimanakah cara berhadapan dengan permasalahan anak ketika menghafaz al-Quran?

Setiap persoalan ini diperjelaskan dalam buku “Anakku Seorang Hafiz” ini agar dapat membantu dan menyuluh jalan dalam mendidik dan mentarbiah, seterusnya merealisasikan impian kita untuk melihat anak kita berjaya menghafaz al-Quran.

Buku “ANAKKU SEORANG HAFIZ” ini sesuai untuk dijadikan salah satu bahan panduan dalam mendidik anak-anak kita menghafaz al-Quran sama ada di rumah atau di sekolah. Panduan yang dibariskan oleh penulis begitu jelas mampu membantu dan memudahkan usaha yang murni ini. Panduan yang dibentangkan juga, bukan sekadar melalui pengalaman sahaja, malah dikuatkan oleh pengalaman-pengalaman para ulama dan diteguhkan lagi oleh fakta serta formula yang diyakini kemampuannya.

Tajuk : Anakku seorang HAFIZ
Penulis : Mohd Solleh Ab. Razak
Penerbit : Telaga Biru  Sdn Bhd
Muka surat : 208
Harga : RM20.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!

Saturday, 26 October 2013

"Allah sayang kamu"

Alhamdulillah, syukur pada-Mu.

Hari ini saya terlewat ke masjid untuk bersembahyang Jumaat. Sampai sahaja di masjid, khutbah sedang rancak berkumadang di corong pembesar suara. Saya mengagak hampir 20 minit khatib telah berkhutbah. Ekoran daripada itu terpaksalah saya bersila di luar, tidak seperti kebiasaan di dalam masjid.

Saya sentiasa memilih untuk duduk di dalam masjid kerana banyak sebab. Di antaranya memang gajaran pahala yang besar, tetapi yang menjadi sebab utama ialah untuk melihat muka khatib yang sedang berkhutbah. Bukannya apa, itu petua saya untuk mengelakkan rasa mengantuk, tetapi untuk orang lain saya tidak tahu menjadi atau tidak. Kalau tidak menjadi jangan marahkan saya.

Syukur saya tadi bukan kerana lewat tiba di masjid, tetapi ada alasan lain yang menyebabkan saya memanjatkan pujian itu.

Kebiasaannya saya akan ke masjid untuk bersembahyang Jumaat dari tempat kerja dengan menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami dua lagi rakan untuk mencukupkan muatan penumpang sebuah kereta. Apa yang mahu saya ceritakan ialah sewaktu mahu memasuki simpang ke masjid, sebuah kereta keluar dengan tiba-tiba lalu melanggar sebelah kanan pintu penumpang kereta sahabat saya. Mujur tidak terlalu kuat tetapi kemek juga pintu sebelah kanan itu. Mengeluh kecil juga sahabat saya, katanya dia baru sahaja menukarkan keempat-empat pintu. Terpaksalah menukarkan pintu yang ini pula.


Saya pula bersyukur panjang kerana sayalah yang duduk di sebelah kanan itu. Kalaulah kuat hentamannya, saya tidak tahu bagaimana nasib saya. Yang pasti hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

“Allah sayangkan kamu”

Kita sering mendengar kata-kata “Allah sayangkan kamu” terutama bila terselamat daripada sesuatu bahaya atau musibah.

“Allah sayangkan kamu”, kalimah ini diucapkan juga tatkala kita tertunduk ditimpa ujian.

Mungkin lebih pelik jika kita mendengar ungkapan “Allah sayangkan dia” apabila mendengar seseorang yang meninggal dunia dengan berbagai-bagai sebab.

Siapa yang Allah sayang sebenarnya? Orang yang sihat? Orang yang sakit? Atau orang yang telah meninggal?

Sebenarnya semua Allah sayang. Bukankah sifat Allah yang pertama disebut di dalam al-Quran ialah “ar-Rahman, ar-Rahim”? Justeru, Allah SWT melayani makhluk-Nya dengan lembut dan penuh kasih sayang.

Di dalam satu hadis, Umar bin al-Khattab ra. meriwayatkan bahwa satu ketika dibawa ke hadapan Rasulullah saw satu kumpulan tawanan perang. Ternyata terdapat seorang perempuan di kalangan rombongan itu sedang mencari-cari sesuatu ( anaknya ). Setiap kali dia menjumpai bayi di kalangan rombongan tawanan itu maka dia pun terus mengambil dan memeluknya dan menyusuinya.

Maka Rasulullah saw pun berkata kepada kami,“Apakah menurut kamu perempuan ini akan tergamak melemparkan anaknya ke dalam julangan api?”. Maka kamipun menjawab, “Tentu saja dia tidak akan sanggup melakukannya, demi Allah. Walaupun dia sanggup, pasti dia tidak ingin melemparkan anaknya.”

Maka Rasulullah saw pun bersabda : “Sesungguhnya Allah jauh lebih menyayangi hamba-hamba-Nya dibandingkan kasih sayang ibu ini kepada anaknya.” ( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, luasnya kasih sayang Allah SWT dengan memberikan seseorang sihat agar dengan kesihatan itu dia dapat beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya. Meluasnya kasih sayang Allah dengan menimpakan ujian dan musibah kepada seseorang agar dengan ujian itu ia menjadi orang banyak bersabar dan Allah kurniakan ganjaran yang besar kerana kesabarannya. Meluasnya kasih sayang Allah dengan mendatangkan kematian kepada seseorang, yang mana jika dia orang jahat maka orang disekeliling terselamat daripada kejahatannya. Tetapi jika dia orang baik, maka ia adalah satu kerehatan baginya daripada musibah dan kesibukan dunia.

Lihat! Semuanya adalah kasih sayang.

Di dalam Hadis Qudsi, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya rahmatKu mengatasi kemurkaan-Ku.” (HR Muslim)

Sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik pemberi kasih sayang!

Wednesday, 23 October 2013

Kemuliaan umat Islam terletak pada kemuliaan akhlaqnya


Berkata Tuan Guruku:

Ancaman terbesar pada Islam sebenarnya adalah daripada dalaman iaitu pemimpin dan pengikut Islam sendiri yang mengajar fahaman yang tidak betul, serta tidak menunjukkan tauladan yang baik daripada ajaran Allah kepada mereka yang ingin belajar dan masih mentah.

Ia pula ditambah dengan pemimpin Islam yang suka memesong ajaran Allah dengan fahaman asabiyah yang tebal dan menyebabkan pengikut-pengikut terikut-ikut dengan fahaman tersebut tanpa memikirkan soal keadilan.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al Maidah:8)

Sekiranya ini dapat diperbaiki, tiada ancaman luar yang akan dilihat sebagai ancaman kepada Islam kerana jamaah kukuh, rajin, berdisiplin, berkelakuan baik dan tinggi taqwanya kepada Allah.

Bak kata cerdik pandai, untuk menjaga kesihatan diri sendiri, usah bimbang dan jangan membazir masa dengan memikirkan tentang kuman, virus, bakteria yang ada di luar sana. Berusahalah dan fokuskan untuk menguatkan badan dengan gaya hidup dan makanan yang sihat.

Itulah benteng kekuatan manusia sebenar bukannya menjadikan virus, kuman, bakteria sebagai musuh yang digeruni seti-ap masa. Ingatlah Allah tidak pernah mengajar kita bermusuh dan mencari musuh. Lebih-lebih lagi dalam hal menjaga Islam.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat:34)

Ingatlah kata-kata ini:
“Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.”
“Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa.”
“Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim.”
“Tetapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.”

Menjaga Islam bermula daripada diri sendiri – praktikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian bermula dari membuka mata iaitu ketika bangun dari tidur di waktu pagi sehinggalah menutup mata untuk tidur di waktu malam. Jagalah perangai dan kata-kata kita sebagai umat Islam sentiasa untuk menjaga maruah Islam dan kehebatan ajaran-Nya.

Ketika baginda Rasulullah s.a.w bersabda, (mafhumnya) bahawa baginda diutuskan demi kesempurnaan akhlak, di sana ada rasionaliti yg tinggi kerana jatuh bangun sebuah bangsa, tamadun dan negara adalah bermula dari akhlak.

Perjuangan baginda Rasulullah bermodelkan akhlak, berprinsipkan Islam, adalah suatu formua mengapa kita dapati pelapis-pelapis baginda terdiri di kalangan para sahabat yang mulia bahkan di antaranya terdiri daripada khulafa’ ar rasyidin.

Apalah guna anda mendabik sebagai pejuang Islam tetapi punah akhlak.

Apalah guna anda mendabik sebagai pelapis generasi anbiya’ tetapi tiris akhlak.

-Al Fadhil Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Sunday, 20 October 2013

Hogoh Pahang Hogoh!


Syukur.

Tahniah kepada pasukan Pahang di atas kemenangan 3 - 1 dengan Sarawak pada malam tadi. Kemenangan ini pastinya menjadi pembakar semangat untuk pertemuan kedua pada 26 Oktober di Kuching nanti.

Adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Yang penting kita tunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan belajar menerima kemenangan dan kekalahan secara positif. Kitakan sama-sama rakyat Malaysia! 

Harap-harap pasukan pahang dapat mengekalkan prestasi kemenangan ini.

Saturday, 19 October 2013

Rileks sekejap: Nah, ini tiketnya!

 Tak pasal-pasal saya menjadi tumpuan hari ini. Apa tidaknya, datang seorang berjumpa saya, datang dua bertanyakan saya, datang tiga pun mencari saya.

Wah, 'glamer' pula rasanya! Mujur yang datang tu tidak minta sain autograf, jika tidak serupa artislah pulak.

Sebenarnya yang datang berjumpa saya itu adalah sahabat-sahabat sejabatan. Mereka datang bertanyakan tiket untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Malaysia di antara pasukan Pahang dan Sarawak. Masing-masing keluh-kesah kerana belum ada tiket lagi. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, saya memberitahu mereka bahawa saya mempunyai tiket lebih.


Diberitakan semalam dan hari ini suasana di perkarangan Stadium Darul Makmur sudah hiruk-pikuk dengan ribuan peminat menyerbu untuk mendapatkan tiket. Ada yang dapat, tetapi ramai pula yang hampa kerana tiket dikeluarkan berdasarkan kuota yang dibenarkan. Tahun ini peminat-peminat pasukan Pahang sangat teruja, maklumlah dapat melangkah ke separuh akhir. Kalau ikut tahun-tahun yang sudah 'balik awal'.

Sebab itulah sahabat-sahabat saya yang tidak dapat tiket kelam-kabut mencari saya. Masing-masing menyendeng menyampaikan hasrat untuk membelinya daripada saya. Pasti mereka merasa hairan, bagaimana saya yang jarang-jarang mengambil tahu perkembangan bola sepak tempatan, tiba-tiba boleh ada tiket. Bukan setakat satu, tetapi empat keping tiket.

"Biasalah orang baik-baik, mudah...." jawab saya dengan nada berseloroh setelah ditanya bagaimana saya mendapat tiket.

"Jual kat saya satu, lima belas ringgit pun saya bayar," kata sahabat saya, bersungguh pula dia. Naik kasihan dibuatnya.

"Ishhh, saya tak sekejam itu. Tak apa saya jual separuh harga, enam ringgit sahaja, boleh? Saya membuat tawaran. Saya percaya jika saya menjualnya denga harga dua puluh ringgit pun mereka sanggup membayarnya.

"Eh, dah tentu mahu." Jawabnya dengan ceria. Sinar-sinar kegembiraan mula mewarnai rona wajahnya.

"Nah, ini tiketnya!"

 Inilah tiketnya! (Snap daripada Harian Metro 18 Okt 2013)

"Laa, gambar rupanya..."

Sekali dah terkena, orang yang kelima...

Maaf ye sahabat-sahabat, saya sekadar bergurau.

Thursday, 17 October 2013

Semakin hilang seri??


Tengahari semalam saya menghantar anak sulong ke Terminal bas untuk pulang ke asramanya. Hari ini beliau akan memulakan semula persekolahan setelah bercuti sempena hari raya aidiladha. Manakala anak kedua saya pula akan pulang ke asramanya pada hari Sabtu kerana negeri Terengganu memulakan persekolahan pada hari Ahad.

Urusan seharian berjalan seperti biasa, bagaikan tiada perbezaan biarpun baru hari kedua `aidiladha. Saya seperti terlupa sesuatu, sepatutnya kita semua masih di dalam ‘suasana’ raya. Namun saya mula menyedari, saya merintih kerana semakin kehilangan ‘suasana’ itu.

Dari tahun ke tahun saya merasakan sambutan hari raya semakin hilang serinya. Saya melihat realiti itu di tempat saya. Samada hari raya aidilfitri ataupun hari raya aidiladha. Yang paling ketara ialah hari raya aidiladha. Kalaulah tidak kerana ada sembelihan korban serta alunan takbir selama 4 hari termasuk 3 hari Tasyrik, mungkin hilang terus kemeriahannya dan tidak nampak seperti hari raya.

Saya teringat semasa budak-budak dahulu. Hari raya aidilfitri dan aidiladha lebih kurang sama sahaja meriahnya. Di saat orang dewasa menguruskan sembelihan binatang korban, kami pula menjelajah dari rumah ke rumah untuk mengutip duit raya. Penduduk kampung masih lagi menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung. Rasanya jika zaman ini dibuat begitu mungkin nampak pelik dan aneh. Biasanya selepas proses menyembelih dan mengagihkan daging korban, maka selesailah rutin `aidiladha. Masing-masing akan pulang ke rumah dan menjalani kehidupan seperti hari-hari yang lain.

Di sesetengah negara Arab hari raya aidiladha disebut `aidul kabiir (hari raya besar) manakala hari raya aidilfitri disebut `aidul soghiir (hari raya kecil). Untuk solat sunat hari raya aidiladha, jemaah akan datang ke masjid sebelum subuh lagi. Selepas solat subuh di pagi `aidul kabiir, mereka tidak akan pulang ke rumah. Mereka akan menunggu sehingga masuk waktu dhuha, kemudian barulah solat hari raya dikerjakan. Selepas itu barulah menyembelih binatang korban dengan suasana yang sangat meriah.

“Negeri Kelantan cuti hari raya haji 2 hari...” kata sahabat saya sewaktu kami berbual-bual seminggu sebelum `aidiladha.

Di Malaysia, sambutan hari raya `aidiladha lebih terasa kemeriahannya di negeri Kelantan. Saya mempunyai ramai sahabat dari negeri yang mendapat jolokan negeri serambi mekah itu. Tidak hairanlah jika menjelang `aidiladha mereka akan mengambil cuti 3, 4 hari untuk pulang ke sana. Apa yang istimewa hari raya `aidiladha di sana berbanding di tempat lain?

Kata mereka, jangan terkejut kalau melihat raya korban lebih meriah berbanding raya puasa. Ada juadah seperti raya puasa, ada tradisi kunjung-mengunjung dan ada juga sebilangan yang menghulur duit raya kepada kanak-kanak.

Di Kelantan juga, binatang korban agak banyak memandangkan majoriti penduduknya adalah Melayu Islam. Kata sahabat saya lagi, kalau boleh setiap keluarga akan cuba berkongsi bahagian untuk melaksanakan ibadat korban dan menguruskan sendiri kerja-kerja seperti menyembelih, melapah kemudian membahagi-bahagi kepada penduduk kampung.

Pada malam atau keesokan hari pula, biasanya akan ada tuan rumah yang akan membuat kenduri. Pendekata, di sana sini meriah dengan makan kenduri.

“Wah, kalau macam tu memang meriah!” saya mengiakan cerita sahabat tadi. Dia tersenyum.

Namun jauh di sudut hati, saya melihat realitinya di tempat saya bukan sahaja `aidiladha, bahkan aidilfitri pun sudah semakin hilang serinya.

Wednesday, 16 October 2013

Sunday, 13 October 2013

“Jantan dayus!”, sekilas di sisi yang lain

Kecoh dan heboh seketika tempohari isu perang mulut yang melibat isteri seorang pemain bola sepak negara dengan seorang pengawal keselamatan.

Kalimah “Jantan dayus!”, pakcik ni bodohlah!” menjadi popular kerananya. Malahan, ia menjadi bahan sindiran dan gurauan di alam maya.

Saya tidak bermaksud untuk berbicara dengan panjang lebar peristiwa itu, lagipun telah ramai yang memberikan pendapat masing-masing. Saya tidak juga berniat untuk mengadili siapa yang benar, siapa yang salah. Sudah ramai yang menjadi hakim dan membuat keputusan di dalam laman sesawang. Pada umumnya, saya memang tidak bersetuju dengan apa yang telah dilakukan oleh si isteri yang mengakui dirinya adalah ‘kerabat’ itu. Wallahu ta`ala a`lam, bagi pihak si isteri maupun pengawal keselamatan, masing-masing ada hujah dan alasan. Dengar cerita laporan polis pun sudah dibuat. Jadi, saya biarkan ianya ditentukan oleh pihak yang telah diamanahkan untuk menyiasatnya.

Cukup setakat itu.

‘Jangan memaki ibu dan bapa sendiri’


Pelik dengan ungkapan di atas? Ada ke orang yang memaki ibu dan bapa sendiri, mungkin itu yang menjadi pertanyaan. Saya sekadar mahu mengajak sahabat-sahabat melihat sesuatu.

Mungkin seorang anak boleh bersenang hati bertindak mengikut hawa nafsunya di mana-mana. Berlagak tidak tentu hala, jalan bersepah, bermulut lancang atau bahasa hari ini ‘mulut laser’. Sekali tutur kata yang dihambur tajamnya sehingga menghiris telinga dan hati yang mendengar. Mereka bebas berperangai seperti pelesit, mereka boleh bermegah dengan kegarangan yang menggerunkan, boleh ke sana ke sini dengan watak samseng yang menakutkan sesiapa sahaja.

Tetapi mereka terlupa sesuatu, segala kebencian masyarakat bukannya terpalit sekadar ke muka dan tubuh mereka. Ya, jika sekadar ke batang tubuh mereka apalah yang mahu dirisaukan. Berani buat, berani tanggung akibat, itu prinsip mudah. Tetapi rasa kasihan dan sayu saya lebih kepada ibu dan bapa si ‘pelaku’ itu. Penangannya terbang hinggap ke muka ibu dan bapanya.

Siapa sangka, semasa ibu dan bapa yang sedang bermalasan menyandarkan badan ke dinding rumah di kampung, orang lain pula sedang menyumpah seranah anaknya hingga terpalit kepada mereka. Lebih-lebih lagi di era dunia di hujung jari ini. Macam-macam yang boleh dilakukan. Kasihan. Anak-anak yang membuat pesona, ibu bapanya yang tidak tahu apa-apa pula disiniskan.

Marilah kita menjadikan hadis Rasulullah saw ini sebagai panduan.

Dari Abdullah bin Amru ra. beliau berkata, Rasulullah saw telah bersabda, “Sesungguhnya salah satu dosa besar yang sangat besar adalah seseorang mengutuk kedua ibu bapanya.” Seseorang bertanya, “wahai Rasulullah, bagaimana mungkin seseorang mengutuk kedua ibu bapanya?” Baginda saw bersabda, “Seseorang mencela ayah orang lain kemudian orang itu mencela ayahnya dan mencela ibu orang lain dan kemudian orang itu mencela ibunya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Astaghfirullah!”

Saya memohon perlindungan-Nya.

**Tidak melibatkan yang hidup dan yang mati.

BUAT KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH

Soalan: 

Boleh atau tidak ibu bapa membuat ibadah qurban untuk anak yang belum baligh. Ada terbaca syarat untuk korban hendaklah mencapai akil baligh dan berakal.

Jawapan:

Menurut mazhab Syafiie, wali (penjaga)[1] dibolehkan untuk melakukan korban bagi anak jagaannya yang masih kecil (belum baligh), dengan syarat binatang korban datang dari hartanya (yakni dibeli dengan wangnya, bukan wang si anak).

Dia seolah menghadiahkan binatang itu kepada si anak, kemudian melakukan korban bagi pihaknya, maka untuknya pahala hadiah dan untuk si anak pula pahala korban. Adapun melakukan korban dengan mengambil dari harta si anak, tidak dibolehkan.

Secara umum, hukum melakukan ibadah korban untuk orang lain menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut:

1. Melakukan korban untuk orang yang telah meninggal; terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam mazhab Syafiie sendiri. Sebahagian ulamak berpendapat; dibolehkan kerana ia sebahagian dari sedekah dan telah ijmak para ulamak bahawa sedekah bagi pihak si mati adalah sah, berguna untuknya dan sampai pahala kepadanya. Sebahagian ulamak berpendapat; berkorban untuk si mati hanya sah jika dengan pesanan/wasiat darinya. Jika tanpa pesanan/wasiatnya, tidak sah korban untuknya.

2. Melakukan korban untuk orang yang masih hidup yang telah baligh (termasuk anak); tidak sah korban untuknya melainkan dengan keizinannya.

3. Melakukan korban untuk anak yang belum baligh; hukumnya seperti di atas tadi.

4. Melakukan korban untuk diri sendiri, tetapi menyertakan orang lain dalam pahalanya (yakni meniatkan pahalanya untuk orang lain sama), juga dibolehkan.

Rujukan;
1. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 8/299.
2. Mughni al-Muhtaj, 6/137.
3. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/80 (perkataan ‘udhiyah’), 45/197 (perkataan ‘walad’).

[1] Iaitu bapa atau datuknya (al-mausu’ah).

Sumber: Ilmu dan Ulama

Thursday, 10 October 2013

Hidup Sederhana Penuh Berkah


"Aaaaaahhh"

Bagun pagi setelah selesai tidur nyenyak di atas katil yang empuk. Hari yang berlalu dengan 'hebat' dengan kehadiran peralatan dan barang-barang mewah di sekeliling. Hati terasa bangga dan puas.

Tapi, bahagiakah hati yang begitu ? Adakah hidup seperti ini penuh berkat ?

Cukupkah dengan barang-barang mewah dapat membahagiakan hati seseorang? Dan adakah dengan tidak mempunyai kemewahan sebegitu, hidup tidak boleh bahagia?

Menyingkap kisah kehidupan pemimpin terunggul, Muhammad Rasulullah saw yang menangguhkan kemewahan dunia untuk kemewahan di akhirat.

Saidina Umar al-Khatab mencontohi sunnah Rasulullah yang mengutamakan kesederhanaan dalam kehidupan.

Dia bercerita, "Aku pernah minta izin untuk menemui Rasulullah. Aku mendapati baginda sedang berbaring di atas tikar yang sangat kasar. Sebahagian tubuh baginda berada di atas tanah. Baginda hanya berbantalkan pelepah kurma yang keras. Aku ucapkan salam lantas duduk di sisinya. Aku tidak sanggup menahan tangisanku. "Mengapakah engkau menagis, hai putera Khattab?" Rasulullah bertanya. Aku berkata, "Bagaimana aku tidak menangis. Tikar ini telah menimbulkan bekas pada tubuhmu. Engkau ini Nabi Allah, kekasihNya. Kekayaanmu hanya yang aku lihat sekarang ini. Padahal di tempat sana, Kisra dan Kaisar duduk di atas katil emas, berbantalkan sutera." Nabi yang mulia berkata, "Mereka telah menyegerakan kesenangannya sekarang juga; kesenangan yang akan segera berakhir. Kita adalah kaum yang menangguhkan kesenangan kita untuk hari akhirat. Perumpamaanku dengan dunia seperti seorang yang bermusafir pada musim panas. Ia berteduh sejenak di bawah sebatang pokok, kemudian berangkat dan meninggalkannya." (Hayat al-Sahabah 2:352).

Kekasih Allah pun mengutamakan kesederhanaan dalam kehidupan seharian baginda. Tapi kita? Kemewahan dunia yang kita cari sehinggakan terlupa untuk menjaga kesejahteraan akhirat. Kita mencintai dan mengagungkan dunia. Hal ini diterangkan oleh Al-Harits Al-Muhasibi sebagai tipu daya syaitan untuk menghancurkan akhlak dan peraturan agama. Sebab kerana mencari harta, ramai yang tegar untuk mengabaikan hak Allah sehingga tidak melaksanakan rukun-rukun Islam.

Apakah kita tergolong dalam mereka yang sibuk mencari kemewahan dunia sehinggakan lupa akhirat? Atau kita sedang berusaha untuk mendekatiNya ? Al-Harits Al-Muhasibi mempunyai panduan yang jelas dalam memimpin kita menjalani kehidupan sederhana yang penuh berkah.

Buku terbitan baru Pelima Media 'Hidup Sederhana Penuh Berkah' karya Al-Harits Al-Muhasibi, ahli psikologi unggul zaman klasik Islam boleh dijadikan panduan serta inspirasi dalam menjalani kehidupan yang penuh berkah.

Tajuk : Hidup Sederhana Penuh Berkah
Penulis : Al-Harits al-Muhasibi (Ulama sufi dengan gelaran "Guru Besar para ulama di zamannya)
Penerbit : Pelima Media
Harga : RM18.00
M/s : 128

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!"

Monday, 7 October 2013

Sabar dan syukur dalam ujian


Melodi kehidupan tidak selalu mengalunkan irama yang indah. Adakalanya nada-nada sumbang pula muncul berkeliling pada setiap takah kehidupan.

Betapa hebat dan kuatnya manusia, pada ketika tertentu ia tidak mampu menghadapi asakan hidup. Ketika hati dan jiwa tertunduk lemah, maka gelora hidup terasa amat menakutkan. Ia menerjah dan memukul dari segenap arah. Jika hanya mahu bergantung dengan kekuatan usaha sendiri pastinya tidak mampu, bahkan tidak berdaya dan akhirnya terkorban lesu.

Islam sentiasa memberikan harapan di kala menghadapi kesukaran hidup. Islam bukanlah semata-mata tempat luahan kecewa dan putus asa, tetapi Islam memberikan semangat untuk menghadapi kecewa dan putus asa, seterusnya bangkit semula. Islam menanamkan kesedaran bahawa “Apa yang menjadi pilihan Allah sudah pasti baik buat para hamba-Nya”, biarpun mata manusia melihat apa yang ditaqdirkan-Nya tidak baik. Sedangkan apa yang menjadi pilhan manusia belum tentu baik biarpun sekelian manusia mengatakan ianya baik. Lihatlah betapa banyak sesuatu yang dianggap baik dan menguntungkan manusia tetapi ianya merosakkan dan menghancurkan diri manusia sendiri.

Firman Allah SWT:
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216)

Jiwa yang ditanam dengan keimanan memiliki kesedaran bahawa hidup ini adalah medan ujian. Apabila disebut ujian, maka ia mesti berada di antara dua jalan, boleh jadi kejayaan atau mungkin juga kegagalan. Di sebalik kejayaan, kemewahan, kekayaan dan segala kehormatan hidup adalah ujian. Semua ini mampu menjadikan manusia sombong, megah dan lupa daratan. Begitu juga di sebalik kegagalan, kemiskinan, kesusahan dan kemelaratan hidup juga adalah ujian. Ia boleh membuatkan manusia merasa kecewa, malu dan berputus asa.

Tetapi, buat si jiwa besar yang dipatri dengan keimanan, pasti tahu erti perjalanan hidup ini. Apa sahaja yang menimpanya, nescaya tetap tenang dan redha dalam taqdir Ilahi. Tatkala beroleh kejayaan ia bersyukur, manakala bila gagal lantas ia bersabar.

Allah SWT berfirman:
“Dialah (Allah) yang telah mentaqdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (al-Mulk: 2)

Mudah-mudahan sabar dan syukur sentiasa mendasari hati kita semua...

Sunday, 6 October 2013

Program Cintai Sungai 2013

Alhamdulillah, puji-pujian yang sebenarnya milik Allah SWT. Dialah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki dengan ilmu-Nya yang Maha Luas.

Malam ini dapat juga saya menjengah sebentar ke pondok kecil abuikhwan setelah seharian siang tadi terisi dengan sedikit kesibukan. Hari ini di tempat saya telah diadakan program “Cintai Sungai 2013” anjuran PETRONAS Chemicals MTBE Sdn Bhd. Program ini bertujuan untuk menanamkan sikap bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan sungai serta mengeratkan ukhuwah di antara kakitangan Petronas, penduduk sekitar dan wakil-wakil agensi kerajaan di daerah Kuantan.

Cukup meriah dengan berbagai-bagai aktiviti yang teah diatur oleh pihak penganjur. Ada aktiviti untuk kanak-kanak dan ada juga aktiviti untuk orang dewasa. Rata-rata pengunjung amat berpuasa hati dengan penganjuran ini dan berharap ianya termasuk dalam aktiviti tahunan penganjur. Saya sokong!

Cintai sungai kita

Sungai merupakan sejenis saluran air tabii yang besar. Sumber sungai boleh jadi dari tasik, mata air ataupun anak-anak sungai. Dari sumbernya semua sungai menuruni bukit. Sungai juga merupakan satu laluan untuk proses pembersihan. Namun, tidak semestinya ia menjadi tempat melontar apa saja yang tidak dikehendaki . Sungai merupakan lambang kehidupan dan ketamadunan manusia di bumi ciptaan Allah SWT.

Di dalam al-Quran, ada disebutkan mengenai sungai, diantaranya firman Allah SWT:

“Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.” (an-Nahl: 15)

“Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir) dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan padanya pasangan: Dua-dua. Dia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir..” (ar-Ra’d: 3)

“Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam Neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama).” (Muhammad: 15)

Antara foto program Cintai Sungai 2013...



 Senam pagi yang sentiasa mendapat sambutan daripada pengunjung.


Acara mewarna bagi kanak-kanak


 Antara tetamu kehormat yang hadir.


Bersiap sedia untuk menuju ke lokasi yang telah ditetapkan untuk acara melepaskan anak ikan ke dalam sungai.


Seorang peserta sedang melepaskan anak ikan. Mudah-mudahan dapat membesar dengan selamat.


Cintailah sungai kita... (sumber foto)

Friday, 4 October 2013

Bicara santai: Cerita aku dan hujan


Lebat betul hujan petang ini. Rintik-rintik kasar berleluasa menerjah bumi. Deretan pokok di tepi pagar meliuk-liuk mengikut arah tiupan angin.

Saya yang usai solat asar di surau tempat kerja terperangkap untuk balik ke pejabat. Payung pula tidak dibawa. Hujan tidak ada tanda-tanda mahu berhenti. Jarak dari bangunan surau ke pejabat tidaklah sejauh mana, tetapi berjalan tanpa payung dalam keadaan hujan lebat tentu basah kuyup. Jika tidak bernasib baik ditimpa demam pula.

Saya mengambil keputusan untuk menunggu hujan reda sedikit. Tiada apa yang mahu dikejarkan, solat asar sudah ditunaikan, kerja-kerja pejabat pun sudah dibereskan. Cuma menunggu waktu pulang sambil menunggu hujan berhenti.

Imam Ibnu Kathir, seorang ulama mufassirin ada mengisahkan tentang Malaikat Mikail dan peranan tugasnya. Malaikat Mikail ditugaskan untuk menguruskan hujan dan tumbuh-tumbuhan yang daripadanya berbagai rezeki diciptakan di alam ini. Diceritakan juga, Malaikat Mikail mempunyai beberapa pembantu. Mereka melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka melalui Malaikat Mikail yang berdasarkan perintah Allah SWT. Mereka mengatur angin dan awan, menurunkan hujan, menguruskan tumbuhan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu, biarlah malaikat Mikail yang menguruskannya dengan izin Allah SWT. Saya hanya mampu menunggu dan berdoa agar hujan segera reda.

Saya mengintai-ngintai di sebalik jendela. Tempias hujan yang terpercik mengalir di cermin kaca. Sesekali kilat memancarkan cahaya kuning dan diikuti dengan dentuman guruh yang menggentarkan perasaan.

Teringat pada sebelah tengaharinya saya berbual dengan rakan sekerja. “Panas betul hari ini. Membahang...” katanya sambil mengesat muka dengan sapu tangan.

Saya mengangguk, tanda bersetuju dengan kata-katanya.

Saya turut terasa bahang panasnya. “Biasanya kalau panas macam ni, hujan nak turun. Mungkin petang ini hujan,” saya menjawab. Kebiasaannya memang begitu. Jika panas hangat waktu tengahari, maka pada waktu akan turunlah hujan. Kena gayanya berlarutan hingga ke malam hari.

Telahan saya tepat. Petang itu hujan turun dengan lebatnya, tidak cukup dengan itu diselangi pula dengan kilat dan guruh. Allahu rabbi, gerun dan cuak juga perasaan di dalam dada.

Semasa kecil dahulu saya sangat suka mandi hujan tetapi dalam masa yang sama amat takut dengan kilat dan guruh. Awal-awal lagi saya sudah berkurung di dalam rumah jika hujan berserta kilat dan guruh. Biasanya saya akan menempel di sudut dinding atau berbungkus dengan selimut sambil memejamkan mata dan menekupkan telinga. Tetapi itu semasa kecil dahulu, sekarang ini tidak sampailah sebegitu.

Sambil menyandarkan belakang ke dinding surau, saya cuba membayangkan bagaimana keadaan ribut taufan yang menghancurkan kaum `Aad. Tentu kedahsyatannya tidak dapat digambarkan dengan suasana hiruk-pikuk, kelam-kabut serta suara menjerit dan menangis.

Pengajaran kisah kaum `Aad 

 Gambar hiasan: Taufan Nesat di Manila (sumber foto)

Diceritakan di dalam kisah para Nabi, pembalasan Allah terhadap kaum `Aad yang ingkar diturunkan dalam dua tahap. Tahap pertama berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun mereka, sehingga menimbulkan kegelisahan dan keresahan. Bimbang jika mereka tidak akan memperolehi hasil daripada ladang dan kebun sebagaimana biasa.

Dalam keadaan demikian, Nabi Hud masih berusaha menyakinkan mereka bahawa kemarau itu adalah suatu permulaan seksaan Allah yang dijanjikan dan Allah masih lagi memberikan kesempatan untuk mereka sedar dan kembali beriman dengan meninggalkan segala keburukan yang mereka lakukan. Jika mereka bertaubat dan memohon ampun kepada Allah, maka Allah akan menurunkan hujan yang manyuburkan kembali tanaman mereka. Akan tetapi mereka tidak percaya dan menganggap apa yang dikatakan oleh Nabi Hud hanyalah janji kosong. Bahkan mereka pergi memohon perlindungan kepada berhala-berhala mereka agar terhindar daipada musibah itu.

Akibat keingkaran mereka, Allah mendatangkan pula tahap kedua iaitu dimulai dengan gumpalan awan hitam yang tebal menyelubungi mereka. Kaum `Aad menyambutnya dengan sorakan gembira kerana menyangka hujan akan turun membasahi tanaman mereka.

Berkata Nabi Hud kepada kaumnya: "Awan hitam itu bukanlah awan rahmat tetapi awan yang membawa kehancuran sebagai balasan Allah yang telah dijanjikan untuk membuktikan kata-kataku yang seringkali kamu semua dustakan."

Sejurus kemudian apa yang disebut oleh Nabi Hud menjadi kenyataan, maka datanglah ribut taufan yang dahsyat disertai suara guruh yang menggerunkan. Manakala tiupan angin kencang sehingga menerbangkan jauh bangunan-bangunan dan binatang ternakan. Keadaan kaum `Aad menjadi panik, berlari ke sana, ke sini untuk mencari perlindungan. Bencana ribut taufan mengganas selama tujuh malam lapan hari meranapkan apa sahaja sehingga semuanya menjadi rata dengan tanah. Demikianlah Allah SWT membalas kaum `Aad yang sombong dan ingkar dengan menghancurkan mereka dalam keadaan hina.

Allah SWT menggambarkan kisah ini di dalam al-Quran:
“Adapun `Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. Yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan)lompang. Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?” (al-Haqqah: 6-8)

Di dalam surah yang lain, Allah SWT berfirman:
“Akhirnya mereka dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, dengan benar lagi adil, lalu Kami jadikan mereka sebagai sampah-sarap (yang dihanyutkan oleh banjir). Maka kebinasaanlah kesudahannya bagi kaum yang zalim itu.” (al-Mukminun: 41)

Sesungguhnya di dalam kisah ini ada ibrah dan pengajaran bagi umat yang akan datang.

Hujan masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Nampaknya saya terpaksa juga meredahnya. Dengan lafaz Bismillah saya mengatur langkah. Mudah-mudahan hujan yang membasahi saya ini terkandung rahmat-Nya yang seringkali didamba..

Bismillah...

Wednesday, 2 October 2013

Perahu kebahagiaan


Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi mengatakan di dalam bukunya:
“Yang mesti dimiliki oleh umat ini ialah sebuah perahu yang sama seperti perahu Nabi Nuh. Dengan perahu ini, Allah akan menyelamatkan umat manusia daripada kebinasaan total.” (Tamadun Islam Alternatif Masa Depan)

Apakah yang dimaksudkan dengan perahu penyelamat itu?

Perahu penyelamat itu adalah mengikut risalah Islam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dengan kata lain, melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya.

Berkata Luqman al-Hakim:
“Dunia ini adalah lautan yang dalam dan telah banyak manusia yang tenggelam di dalamnya, oleh kerana itu sediakanlah perahu untuk belayar di atasnya, perahu tersebut ialah taqwa kepada Allah.”

Taqwa adalah tingkat tertinggi bagi orang yang beriman. Ia bukan sekadar keperluan, bukan juga sekadar kelengkapan, tetapi ia adalah keharusan bagi mereka yang mahu meraih kebahagiaan dan ketenangan. Itulah kunci sejati yang membuka pintu keduanya. Bukan hanya kebahagiaan di dunia yang sementara ini malahan memberikan kebahagiaan yang abadi di akhirat kelak.

Rebutlah kebahagiaan yang sejati...

"Dan barang siapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (at-Thalaq: 2-3)