Sahabat Sejati

Saturday, 31 August 2013

Merdeka?


Masing-masing sedang menanti. Lalu bergema kiraan 10, 9, 8.....3, 2, 1 kemudian diikuti jeritan merdeka bersama dentuman bunga api yang bertalu-talu.

Mungkin inilah yang berlaku di beberapa tempat pada malam tadi. Dan ia berlaku pada setiap tahun ketika sebaik jarum jam melepasi angka 12 pada malam kemerdekaan. Inilah wajah sambutan kemerdekaan negara kita.

31 Ogos menjelma, tarikh bersejarah ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang tercinta untuk kali yang ke-56. Kita bebas mentadbir sendiri negara tanpa campurtangan pihak lain. Kita bebas menentukan halatuju dan mencorakkan dasar negara ini. Saya percaya semua rakyat Malaysia merasa gembira dengan nikmat kemerdekaan ini.

Jika ditanya apakah erti kemerdekaan? Boleh jadi ramai yang menjawab, merdeka ialah bebas daripada penjajahan. Dalam konteks negara kita ialah bebas daripada penjajah British dengan menghalau mereka keluar dari negara ini. Benar, itulah jawapan yang sering kita dengar. Saya tidak mengatakan ianya salah tetapi ia tidak habis di situ, ada lagi sambungannya.

Saya beranggapan merdeka dalam ertikata yang sebenar ialah kita bukan sahaja bebas daripada penjajah iaitu dari sudut fizikal, tetapi kebebasan yang menyeluruh. Bukan hanya fizikal tetapi dalam masa yang sama bebas daripada cengkaman pemikiran penjajah. Kita ‘melepaskan’ diri daripada terikat dengan fahaman penjajah yang pastinya tidak mengikut cara Islam yang sebenar. Sedangkan sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, sudah tentu tanpa alasan kita seharusnya menjadikan syariat Islam sebagai teras dalam pemerintahan negara.

Saban tahun kita mengadakan sambut hari kemerdekaan. Apa yang bermain di minda? Jeritan merdeka? Pertunjukan bunga api? Perarakan?  Itu sahaja?

Saya melihat menyambut kemerdekaan itu bukanlah hanya sebagai rutin tahunan tetapi yang paling utama adalah bagi mengingatkan rakyat untuk sentiasa memuhasabah diri agar terus berusaha memerdekakan diri secara menyeluruh. Dengan rakyat yang berbilang kaum , maka sebaiknya kita membuang elemen-elemen yang boleh membangkitkan sentimen perkauman, melahirkan rasa sedar dengan berganding bahu mewujudkan sebuah negara yang makmur dan harmoni serta saling bermasyarakat. Jika tidak, kemerdekaan yang kita raikan setiap tahun hanyalah sekadar sehari cuti yang penuh dengan acara warna-warni tetapi kosong dari pengertian dan pemahaman yang sebenarnya.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

“Salam kemerdekaan buat jiwa yang merdeka”

Thursday, 29 August 2013

Bicara santai: Bijak dan jujur, hmmm...


"Bijak tetapi tidak jujur menipu, jujur tetapi tidak bijak ditipu..."

Sebaris ungkapan yang meluncur keluar dari corong radio mengetuk minda saya. Termenung saya seketika pada petang itu, berfikir dan mencari-cari hikmah yang terselit disebaliknya. 

Bijak dan jujur adalah dua sifat yang amat penting dan berkait rapat. Semestinya ia perlu wujud di dalam jiwa orang-orang mukmin. Tidak keterlaluan dikatakan keduanya merupakan gandingan penyatuan yang saling lengkap-melengkapi.

Orang yang jujur tetapi tidak bijak, maka nilai manfaatnya tidak seberapa. Malahan tidak mustahil ia senang ditipu dan diperdaya. Dia juga tidak mampu menjadi pemimpin, kerana banyak kesulitan yang akan timbul nanti. Bagaimana ia mahu memimpin jika hanya berbekalkan kejujuran sedangkan akalnya lemah. tentu ia senang ditipu, diperdaya, dipengaruhi atau diambil kesempatan oleh orang lain yang mempunyai kepentingan sendiri.

Sebaliknya, orang yang bijak tetapi tidak jujur pasti akan memudaratkan dunia. Boleh sahaja dengan kebijakannya akan diguna untuk menipu, memusnahkan, merosakkan dan memporak-perandakan sesuatu keadaan. Tentunya bermacam-macam masalah yang akan timbul hasil dari bijak tetapi tiada kejujuran di dalam dirinya.  Tidak kira sesiapa sahaja yang mempunyai sifat ini pasti akan memudaratkan orang lain.

Kita boleh melihat senario yang berlaku pada hari ini. Dunia yang sarat dengan peperangan, permusuhan, penindasan, pertelingkahan dan sebagainya.  Tidakkah boleh kita katakan ia berlaku hasil daripada tangan-tangan manusia yang bijak pandai tetapi tidak benar jiwa dan fikirannya serta kosong kejujurannya dalam nurani kemanusiaan.

Saya terfikirkan sesuatu...

Mungkin apa yang berlaku di Mesir ketika ini adalah hasil daripada kerakusan tangan-tangan yang bijak dan cerdik pandai  tetapi tidak jujur?

Mungkinkah...   

Monday, 26 August 2013

Dalam yang tersurat ada yang tersirat


Aku melihat sungai, langit, hutan dan gunung,
Apa yang tersurat adalah keindahan.

Sungai dan aliran,
Langit yang terbentang,
Gunung tegak tersergam,
Hutan nan kehijauan.

Mencetuskan takjub memukau pandangan,
Terdetik rasa kagum bahasa Tuhan.

Aku melihat sungai, langit, hutan dan gunung,
Apa yang tersirat adalah kekuasaan.

Kukuh dijiwa, sang Pencipta penuh kebijaksanaan,
Menembusi hati kerdil hamba Tuhan,
Lantas meraut erat tadahan dua tangan,
Syukur tak lekang bukan kepalang.

Aku melihat sungai, langit, hutan dan gunung,
Cukuplah menjadi pelajaran buat insan,
Agar ada ketenangan dalam keteduhan,
Agar bertambah teguh dalam suluhan iman.

Aku melihat sungai, langit, hutan dan gunung,
Dalam yang tersurat ada yang tersirat,
Dalam keindahan ada kekuasaan dan kebijaksanaan.

abuikhwan,
26/8/2013
22:05

Friday, 23 August 2013

Salam Jumaat: Lawak harimau!

Terbaik daripada Big Boh!

video

Thursday, 22 August 2013

Bertaqwalah, anda mulia


Siapa pun kita pada pandangan manusia tidaklah terlalu penting. Fikiran manusia sentiasa berubah-ubah. Mereka boleh menggambarkan kita apa sahaja yang mereka mahu dan suka. Hari ini mereka memuji, esok mungkin mengeji. Boleh jadi ketika ini kita disanjung, mungkin juga di waktu yang lain kita disinggung pula.

Apatah lagi jika kita tidak sependapat atau pun kita berselisih faham dengannya, maka semakin lebat kejian yang diterima, semakin banyak pula kecacatan dan kekurangan yang tersingkap. Semua ini bukanlah sesuatu yang pelik, kerana manusia hanya memandang dan menafsir apa yang terzahir di pandangan mata.

Seringkali kelemahan dan kekurangan dijadikan penanda ukuran seseorang itu terpandang hina, manakala kekayaan dan kedudukan menjadi syarat dia dianggap mulia. Itulah nilai yang menaikkan taraf manusia. Lihat sahaja kepada orang kaya, orang yang berpangkat dan terpandang di sisi masyarakat, mereka diagung-agungkan ke mana sahaja mereka pergi. Jika di atas jalan raya, kereta-kereta mewah mereka sering diberi laluan. Kereta golongan marhaen biar ke tepi sahaja.

Begitulah kuasa pangkat dan darjat hari ini. Sedangkan kita terlupa pangkat dan darjat yang terbentang hanyalah sempadan ciptaan manusia. Itulah garisan yang menjadi ukuran sering memisahkan.

Di antara matlamat utama perutusan Rasulullah saw ialah membuang pandangan yang meletakkan kemuliaan seseorang itu pada zahir semata. Islam tidak meletakkan mulia seseorang itu pada bangsa, warna kulit, keturunan, pangkat atau pada longgokkan harta. Jika itu semua dijadikan ukuran maka kita telah tidak berlaku adil. Bahkan secara tidak langsung kita mengatakan bahawa Allah itu zalim (na'uzubillah), kerana semua itu bukan pilihan kita tetapi taqdir yang telah ditentukan oleh-Nya.

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya atau sebagainya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil.


Contohnya, kita katakan bangsa arab mulia, maka seolah-olah kita berkata zalimlah Allah kerana melayu pun tidak mahu menjadi melayu, cina pun tidak mahu menjadi cina, india pun tidak mahu menjadi india. Bangsa bukan pilihan kita, tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Allah yang menetapkan seseorang itu lahir sebagai arab, melayu, cina, india dan sebagainya.

Begitu juga jika kita letakkan orang yang berkulit putih mulia, maka kita juga telah berkata zalimlah Allah kerana menjadikan orang yang berkulit putih mulia sedangkan warna kulit bukanlah pilihan kita. Ada yang Allah jadikan berkulit sawo matang, ada yang berkulit kemerahan dan ada yang berkulit hitam. Semuanya adalah ketetapan Allah SWT.

Dimanakah letak duduknya kemuliaan seseorang atau sesuatu bangsa? Mungkin ada yang bertanya bagaimana mahu mengukurnya, bolehkah kita mengukurnya? Islam menetapkan konsep mulianya seseorang itu dengan cukup mudah.

Bagaimana mengukur mulia


Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (al-Hujuraat: 13) 

Allah SWT meletakkan kemuliaan seseorang itu pada tahap ketaqwaan yang dimiliki. Semakin tinggi ketaqwaannya, maka semakin terpandang mulia ia di sisi Allah. Apabila Allah SWT memandang mulia, secara tidak langsung, ia mulia di sisi manusia.

Mungkin kita terfikir mengapa nilai ketaqwaan yang Allah SWT letakkan sebagai penanda aras kemuliaan. Dimanakah rasionalnya? Apakah hikmah dan istimewanya disebalik sifat taqwa yang dijadikan ukuran kemuliaan itu.

Sesungguhnya taqwa adalah satu konsep yang terbuka. Sesiapa pun boleh mengambil dan memilikinya. Tidak kira bangsa apa sekalipun dia, warna apa kulitnya, keturunan mana, orang miskin atau kaya, raja atau rakyat biasa, tua atau pun muda, yang berpelajaran atau tidak, dia menjadi mulia jika dia orang yang bertaqwa. Dan di dalam sifat taqwa itu terkandung berbagai-bagai sifat yang terpuji seperti jujur, berkata benar, pemurah, amanah, menuntut ilmu, suka beribadat dan sebagainya.

Mungkin dia hanya rakyat biasa tetapi lebih mulia daripada seorang raja jika dia bertaqwa. Mungkin juga dia seorang yang faqir tetapi lebih mulia dariada seorang yang berharta jika dia bertaqwa. Ataupun mungkin dia seorang yang biasa tetapi lebih mulia daripada seorang yang berpendidikan tinggi jika dia bertaqwa.

Pendekata, siapapun dia, bagaimana keadaannya, dia boleh menjadi seorang yang mulia jika dia bertaqwa. Demikianlah besarnya nilai taqwa. Sirah telah membuktikan, para sahabat walaupun mereka bukan berketurunan Arab bahkan miskin tidak memiliki apa-apa tetapi mereka menggenggam kemuliaan.

Lihatlah sahabat yang bernama Bilal bin Rabah al-Habsyi, asalnya seorang hamba berkulit hitam, tetapi dengan iman dan taqwa dia menjadi seorang yang mulia. Rasulullah sangat sayang keadanya, bahkan Rasulullah saw melantik beliau sebagai muazzin yang pertama. Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, Rasulullah saw menyuruh Bilal naik ke atas Kaabah untuk melaungkan azan. Sehingga ada di kalangan Musyrikin Mekah yang masih ada nilai perkauman berkata: “Tidak sangka kita hidup sehingga kita lihat gagak hitam (Bilal) ini naik di atas Kaabah.”

Rasulullah saw menghapuskan kesombongan Quraisy dengan menaikkan seorang lelaki hitam ke atas Kaabah untuk melaungkan kebesaran Allah SWT lebih daripada diri kaum Musyrikin yang membesarkan diri dan keturunan. Sebelum Nelson Mandela berjuang untuk kaumnya menghapuskan dasar apartheid, Islam terlebih dahulu berjuang menghapuskannya. Betapa hebatnya orang membaca isi buku Mandela, “Long Walk to Freedom” tetapi hadis-hadis Nabi saw terlebih dahulu melenyapkan kesombongan yang membezakan manusia kerana keturunan, warna kulit, pangkat dan sebagainya.

Rasulullah saw bersabda:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). 

Begitu juga dengan Saad bin Abi Waqqas, seorang yang juga berkulit hitam. Bahkan diceritakan betapa hitamnya Saad, apabila bersama dengan Bilal, ternampak putih Bilal. Saad memeluk Islam ketika berusia 31 tahun, dan meninggal pada usia 37 tahun. Hanya 6 tahun di dalam Islam tetapi sangat mulia. Dikatakan pada hari kematiannya bergegar Arasy Allah, menangis para malaikat di langit dan di bumi kerana bersedih dengan kematiannya.

Justeru, mahu dipandang mulia? Buktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.

Bertaqwa, kamu mulia...

Bicara santai: Merenung sejenak


Menanti hari-hari mendatang adalah keinsafan, kerana tidak pasti adakah sempat menyelak tibanya hari yang baru. Meninggalkan hari-hari yang dilewati, menerbitkan gusar dan kebimbangan. Helaian demi helaian amalan yang dipersembahkan, apakah ia diterima untuk membuahkan ganjaran kebaikan atau jauh tersisih berterbangan. Persis debu yang ringan ditiup angin nan lalu.

Dunia semakin menuju akhir usia. Namun dunia juga semakin terlihat cantik dan mengecurkan. Gamitnya melambai-lambai sang pencinta agar datang merangkul erat penuh cinta.

Semua kita semakin tua. Suka? Benci? Tidak mampu diingkar. Kematian pula mengintai-ngintai di celah detik dan waktu. Ada yang ingat dan ada yang alpa.

Seorang ahli akhirat, akan semakin terungkai tali-tali duniawi daripada tubuhnya manakala tali-tali akhirat akan mengikat kemas memegangnya. Dia semakin lunak dengan kebaikan, lembut menerima peringatan. Balasan untuknya adalah nikmat kesenangan, sedang ia termasuk golongan yang beruntung.

Allah SWT berfirman:

“Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berbondong-bondong, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya." (az-Zumar: 73)

Seorang ahli dunia pula, tali-tali duniawi sentiasa merantai dan membelenggunya. Ketika akhirat memanggilnya, dia berlari menjengah pada dunia yang akan lebur. Akhirnya tiada apa yang didapati melainkan sesuatu yang hilang. Maka, akhirnya jadilah ia golongan yang sebenar-benarnya menyesal.

Allah SWT berfirman:

“Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berbondong-bondong, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?" Mereka menjawab: "Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas  orang-orang yang kafir.” (az-Zumar: 71) 

Merenung sejenak...

Tuesday, 20 August 2013

Bicara Santai: Doakan Mesir!

Alhamdulillah, puji-pujian yang sebanyaknya untuk tuan empunya dunia atas segala nikmat yang diberi.

Demam yang saya hidapi sudah menunjukkan tanda-tanda mahu sembuh. Cuma badan sahaja terasa sedikit letih dan lesu, maklumlah lama sangat berehat, makan dan tidur sahaja dalam masa cuti sakit. Di tempat kerja pun tidak banyak tugas yang saya lakukan, kalau ada pun kerja-kerja yang ringan sahaja. Itupun Ketua Jabatan saya meminta supaya menyambung lagi cuti sehingga betul-betul sihat.

Rata-rata ketika ini ramai orang bercakap mengenai pembunuhan kejam regim tentera ke atas rakyat Mesir. Di tempat kerja saya, rakan-rakan pun sama rancak bercakap mengenainya. Tidak tahulah jika ada yang tidak mahu ambil tahu dengan alasan yang berbagai-bagai. Paling ‘koman’ pun alasan, “alahh kat Mesir bukan di sini, tak payah nak sibuk-sibuk la...”

Memang hati terlalu kering!

Rabu, 14 Ogos 2013 bersamaan 7 Syawal 1434H, menjadi tarikh yang mencatat sejarah Mesir, bukan kerana ia menghadapi musuh Islam dari luar tetapi dilakukan oleh anak didik musuh Islam yang sanggup menumpahkan darah warganya semata-mata mahu mencapai impiannya.


Jeneral Abdel Fattah as-Sisi (semoga Allah membalas kejahatannya) adalah individu yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan mencetuskan tragedi pembantaian terhadap penyokong mantan Presiden yang sah, Dr Mohamad Morsi di Medan Raba`ah Adawiyah dan an-Nadhah.

Tindakan gila!

Mana tidak gila, pihak keselamatan iaitu polis dan tentera saling bergabung untuk membunuh para penyokong Dr Morsi. Selain itu, mereka memutuskan kemudahan elektrik, mengebom masjid dan membakar hospital yang mana terdapat ramai pesakit serta jenazah di dalamnya. Ini bertujuan untuk melupuskan bukti pembunuhan.

Tentera juga turut menggunakan jentolak dan kereta perisai merobohkan khemah-khemah penyokong Dr Morsi yang didirkan di medan Raba`ah. Malah ada di antara khemah yang dibakar oleh pihak tentera dalam keadaan ada dikalangan penyokong khususnya kanak-kanak dan wanita masih berlindung di dalamnya. Langsung tiada perikemanusiaan. Kalau sudah tidak bertamadun maka selayaknya digelar binatang!

Siapa pula yang untung dengan keadaan yang berlaku ini? Sudah tentu jawapannya ialah Israel dan sekutunya. Benar, mereka tidak perlu menggunakan senjata mereka untuk memerangi umat Islam kerana ianya telah dilakukan oleh mereka yang mengaku Islam. Bahkan ketika dunia sibuk dengan apa yang berlaku di Mesir, mereka membantai pula umat Islam di Gaza. Seolah-olah ia adalah perancangan untuk memalingkan pandangan umat Islam daripada isu Palestin yang tidak pernah selesai.

**Marilah kita terus bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya kezaliman dihancurkan dan keamanan dikembalikan dalam konflik di Mesir ini...

Saturday, 17 August 2013

Seminggu dalam debar, melihat dengan hikmah


 “Kalau begitu, kena ‘cucuklah’ boleh?” Kata doktor berkulit hitam manis dan bertudung labuh itu setelah saya menceritakan keadaan demam yang saya hidapi.

Sebenarnya ini adalah kali kedua saya ke klinik dalam masa dua hari kerana tiada apa-apa perubahan setelah memakan ubat yang dibekalkan oleh pihak klinik. Malahan doktor tersebut juga merasa hairan kerana setelah memakan ubat biasanya demam akan berkurang kepanasannya. Ekoran daripada itu tiga hari saya diberikan cuti sakit.

“Bolehlah, mana-mana yang terbaik doktor,” saya memberi persetujuan untuk disuntik. Apalagi yang mahu diharapkan, melainkan mengikut sahaja saranan sang doktor kerana dia yang lebih arif.

Setelah disuntik di atas pinggul, badan saya mula berpeluh. Terasa lega sedikit.

“Saya nak ambil darah untuk pemeriksaan, bimbang kalau-kalau denggi,” sambungnya lagi.

Denggi!!

Terpana saya seketika mendengar perkataan itu. Jantung saya berdebar kencang. Sudah dua kali saya terlantar di hospital akibat dijangkiti virus denggi sebelum ini. Jika diberi pilihan saya tidak mahu untuk kali yang ketiga. Serik! Betul-betul tidak mahu, bergema jeritan di dalam batin.

“Dalam masa satu minggu encik Wan boleh datang untuk mengambil keputusan ujian darah ini. Tetapi jika dalam masa seminggu ini keadaan tidak berubah atau ada tanda-tanda denggi, encik Wan datang ke klinik untuk mengambil surat rujukan ke hospital.” Ujarnya panjang lebar.

“Baik doktor, terima kasih.”

Penantian satu penyeksaan. Seminggu dalam debaran.

Melihat dengan hikmah

'Terpulang kepada empunya diri'

Seandainya ditanya, sihat atau sakit, susah atau senang, yang manakah menjadi pilihan. Saya rasa kita sudah mempunyai jawapannya walaupun belum lagi dibuat undian.

Fitrah sifat manusia memandang kesakitan, kesusahan, kesedihan adalah sesuatu yang tidak baik dan dibenci. Mana ada orang yang mahu kepada kesusahan. Jika ada, maka bermacam-macam label dan tohmahan yang diberikan.

“Kamu ni betul ke tak betul, mana ada orang mahu hidup susah!” Kata si A.

“Gila kamu ni, agak-agak kamu ni dah tersampuk kut,” ujar si B pula.

Itu hanya contoh sahaja, tetapi realitinya memang ada.

Tetapi jika kita memandang dengan mata hati, sakit atau sihat, sedih atau gembira, susah atau senang semuanya adalah ujian daripada Allah. Mungkin kita terlupa apa sahaja yang datang daripada Allah semuanya adalah kebaikan. Cuma dangkalnya akal kita untuk menafsir hikmah disebaliknya. Ya, baik dan buruknya bergantung kepada cara kita melihatnya. Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam hadis Qudsi:

Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw, bersabda:
"Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman: "Aku bersama hamba-Ku apabila ia ingat kepada-Ku dan kedua bibirnya bergerak (mengucapkan dzikir) kepada-Ku". (hadis ditakhrij oleh Ibnu Majah).

Di dalam riwayat yang lain: Dari Abu Hurairah ra, ia berkata: Rasulullah saw bersabda:
"Sesungguhnya Allah berfirman: "Aku menurut dugaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepada-Ku. (hadits ditakhrij oleh at-Tirmidzi).

Ada masa-masanya manusia perlu sakit. Inilah masanya tubuh perlu berehat. Sakit adalah tanda bahawa kita sudah mengabaikan mana-mana anggota tubuh badan. Maknanya kita juga sakit akibat daripada sikap lalai. Contohnya kita luka tersepak bucu longkang, mungkin kita berjalan terburu-buru sedangkan sudah mengetahui di situ ada longkang. Ataupun jari kita luka terkena pisau ketika memotong sayur, mungkin kita tidak berhati-hati atau asyik mengelamun sehingga tidak sedar terhiris jari. Mahu menyalahkan sesiapa? Tidak perlu, kerana kaki kita yang melangkah dan tangan kita yang memegang pisau. Ambil ubat dan balut luka tersebut, mudah. Tidak akan habis jika kita merungut-rungut dan marah-marah. Mudah-mudahan kesakitan dan luka yang menitiskan darah itu menjadi kaffarah penghapusan sebahagian dosa-dosa kita.

Dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda: Daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah r.huma, Rasulullah saw bersabda:
“Keletihan (kerana kerja keras), penyakit, kesedihan, kepiluan, luka dan musibah yang menimpa seseorang Muslim dan dia menerimanya dengan penuh kesabaran adalah kaffarah Allah yang menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nah! Tidakkah kita merasa tenang dan terhibur tatkala membaca hadis yang mulia ini. Ternyata apa sahaja kesakitan, ujian atau musibah yang menimpa sekiranya kita redha dan mampu bersabar, rupa-rupanya adalah batu loncatan untuk kita meraih keampunan dan seterusnya menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Lihatlah, ambillah setiap ujian yang menimpa diri sebagai satu tingkat untuk meraih redha Ilahi. Mudah-mudahan dengan ujian itu semakin mendekatkan diri kepada-Nya.

Sesungguhnya peringatan ini lebih utama buat diri saya.

“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya beroleh kebaikan, nescaya diujinya dengan kesusahan” (Riwayat al-Bukhari)

Allahu al-Musta'an...

Friday, 16 August 2013

Himpunan Aman mengutuk kekejaman kudeta Mesir

Ayuh warga Kuantan! Kita turun untuk menyatakan pendirian kita kepada kudeta Mesir atas kekejaman yang dilakukan.


Thursday, 15 August 2013

Bersediakah? Cerita Syawal...

Hari ini sudah pun melewati hari yang ke 8 bulan Syawal. Kehidupan sudah pun berjalan seperti biasa. Yang bekerja sudah pun mula bekerja. Budak-budak juga sudah tidak berjalan beraya dari rumah ke rumah. Saya juga sudah beberapa memulakan tugas di pejabat. Pendekata, mood raya sudah beransur hilang sedikit demi sedikit, kecuali beberapa jemputan rumah terbuka yang diterima.

Syawal ini, saya menerima dua berita pemergian dua orang yang dikenali. Pertama, pemergian anak sulong jiran saya akibat kemalangan. Diceritakan Allahyarham yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar paip JBA di kiri jalan sebelum tercampak ke dalam parit dan meninggal di tempat kejadian. Usianya masih muda, kira-kira 15 tahun. Allahyarham mempunyai ramai kawan kerana sifatya yang sentiasa ceria dan senang bergurau.

'Allahyarham (dalam bulatan) pernah mengikuti kem ibadat yang kami anjurkan suatu masa dahulu'

Allahyarham pernah mengikuti perkhemahan kem ibadat yang saya dan rakan-rakan anjurkan tidak lama dulu.

Keduanya, saya dimakumkan oleh adik sahabat sekampung saya yang abangnya telah meninggal dunia. Asalnya saya sedang menungu-nunggu muazzin melaungkan iqamah untuk memulakan sembahyang maghrib. Tiba-tiba bahu saya disentuh dari belakang.

“Abang Aidi saya dah tiada,” katanya perlahan. “Meninggal pukul 6 tadi.” Sambungnya lagi.

“Innalillah... Apa sakitnya?” Saya meminta penjelasan.

“Rebah di luar rumah kawannya sewaktu beraya, selepas itu bawa ke hospital dan disahkan telah meninggal. Sekarang jenazahnya masih di hospital untuk bedah siasat, esok baru nak ‘disimpan’.” Ujar beliau lagi.

Kami bersahabat baik sewaktu di kampung dahulu dan selalu bersama menyertai kem-kem motivasi anjuran Persatuan Belia sehingga peringkat negeri. Selepas saya berkahwin dan berpindah ke luar kami terputus hubungan dan hanya sesekali bertemu setiap kali saya pulang ke kampung. Namun setiap kali bertemu kami masih mesra bertegur sapa seperti dulu-dulu.

Perbualan itu terhenti apabila muazzin melaungkan iqamah.

Kedua-dua peristiwa itu berlaku pada 12 Ogos iaitu pada hari raya ke 5.

Bersediakah?


“...setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. (Kemudian) hanyalah kepada Kami kamu akan dikembalikan.” (al-Ankabut: 57) 

Kehidupan dan kematian menjadi bukti bahawa adanya Allah SWT selaku Pencipta yang Maha berkuasa. Apabila tiba masa yang dijanjikan maka keluarlah roh daripada jasad. Kaya atau miskin, tua atau muda, sihat atau sakit pasti akan menemui kematian. Tiada seorang pun dapat mengelakkannya. Walau dirayu dan dirintih hanyalah satu perbuatan yang sia-sia. Berani mati akan mati, takut mati juga akan mati.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)."  (al-Jumuah: 8)

Oleh itu, tugas kita sebagai hamba Allah ialah mempersiapkan seberapa banyak amalan yang akan dibawa ke sana. Benar, modal yang dapat dibawa ketika mati, hanyalah kredit amal soleh sahaja ketika hidup di dunia. Setiap kesalahan dosa yang dilakukan dalam penghidupan ini, hanya boleh ditebus selagi diberi kesempatan iaitu selama roh masih di dalam jasad. Namun, setelah tamat masa yang diberi, maka tiadalah peluang kedua atau ketiga. Oleh itu, rebutlah peluang pertama yang masih ada ini.

Seandainya kita berjaya merebut peluang yang pertama ini, bererti akan dianugerahkan tempat yang mulia iaitu syurga yang abadi. Begitu juga jika gagal, bererti ia akan sesal dengan sesal yang tiada kesudahan.

Maka, buatlah persediaan untuk menuju negeri abadi itu.

Bersediakah?

*Tiada ungkapan yang sebaiknya untuk dilafazkan melainkan sekalung doa dalam munajat agar Allah SWT mengurniakan keampunan kepada mereka yang telah pergi. Mudah-mudahan segala amal kebaikannya menjadi peneman dalam kembara pergi tak kembali itu. Saya juga mengharapkan agar Allah SWT mengurniakan segunung ketabahan dan kekuatan jiwa buat kedua keluarga mereka atas ujian yang dihadapi ini.

Monday, 12 August 2013

Berdentam-dentum perang di sini...


Berdentam-dentum bunyi mercun ketika jemaah sedang sembahyang isyak tadi. Kuatnya membingitkan telinga sehingga hampir-hampir mengganggu ‘konsentrasi’. Bukan sahaja kuat, malahan lama pula. Berhenti sekejap kemudian bersambung pula, berkali-kali. Mujurlah tuan imam masih ‘steady’ tidak tersasul bacaannya. Manakala para jemaah pula tidak ada yang melatah, kalau tidak tentu haru-biru jadinya.

Saya tidaklah melarang kerana tidak ada kuasa, tetapi jika hendak bermain pun janganlah bermain berhampiran masjid, carilah tempat yang jauh sedikit daripada orang ramai. Ataupun bermainlah selepas sembahyang habis isyak. Takkan tidak tahu anggaran sembahyang isyak habis dalam pukul berapa. Tidak salah untuk gembira, tetapi pandai-pandailah melihat situasi dan menilai apa yang boleh, apa yang tidak boleh. Sepatutnya ibu bapa mesti memantau anak-anak yang bermain mercun agar tidak mengganggu keselesaan orang ramai.

Saya semasa budak-budak dahulu pun bermain mercun juga, bahkan siap main meriam buluh lagi. Kami bermain dalam kumpulan yang besar, tetapi kami tahu menghormati keselesaan orang lain. Biasanya kami bermain meriam buluh di tempat yang agak jauh daripada orang ramai. Lokasinya di hujung kampung atau di pinggir-pinggir hutan. Kami sedia maklum jika ada penduduk kampung atau jemaah masjid yang mengadu kepada ibu bapa kami dek kerana terganggu dengan bunyi meriam kami, alamat balik nanti makan ‘roti panjanglah’ jawabnya. Di antara perkara baik yang sudah tidak boleh diamalkan pada zaman ini iaitu mengadu kepada ibu bapa akan kenakalan anak-anak mereka, silap-silap kita pula yang dimarah atau disergah oleh ibu bapa budak-budak itu.

Sebetulnya saya juga merasa hairan, apabila tiba musim perayaan khususnya hari raya berlambak-lambak mercun dijual. Jika pergi ke bazar Ramadhan, di celah-celah peniaga menjual juadah ada juga pihak yang menyelit mengambil kesempatan menjual mercun. Terdapat banyak jenis mercun di pasaran dan ada pula mercun baharu dengan pelbagai nama seperti mercun aiskrim, langsuir, osama bunga api sate dan bermacam-macam lagi yang tidak pernah saya dengar namanya.

Di Malaysia, pembakaran mercun diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991. Pengharaman mercun di Malaysia adalah susulan kejadian tragedi letupan kilang mercun Bright Sparkles, Sungai Buloh pada tahun 1991 yang mengorbankan seramai 26 orang. Namun, saban waktu pada setiap kali perayaan menjelang, kelihatan mercun dimainkan dengan sewenang-wenangnya tanpa kawalan, seolah-olah undang-undang yang melarang bahan letupan tersebut tidak wujud. Makin diharamkan makin berleluasa pula yang dilambakkan. Betullah kata guru saya, benda-benda yang ‘haram’ ni memang orang suka sangat.

Kita memahami mercun sinonim dengan perayaan kerana dikatakan tidak meriah kalau tidak mendengar bunyi dentumannya. Mercun dipercayai berasal dari negara China yang mempunyai sumbu dan dibalut dengan kelongsong kertas yang sangat tebal untuk menampung letupan besar. Namun akibat dan kosnya terlalu tinggi untuk ditanggung. Lihatlah, setiap kali tiba musim perayaan pasti ada terdengar mangsa yang cedera akibat letupan mercun. Lebih daripada itu ada yang sampai meragut nyawa seperti yang kita lihat di dada-dada akhbar.

Peranan ibu bapa sangat penting untuk memberikan peringatan tentang bahayanya mercun. Sebolehnya ibu bapa jangan memberi peluang langsung anak-anak mahu bermain mercun walaupun anak-anak merayu dan menangis sekalipun. Peliknya, segelintir ibu bapa pula yang lebih bersemangat bermain mercun seperti menggalakkan dan menimbulkan tanya tanya kepada anak-anak kenapa yang lebih dewasa boleh bermain. Orang dewasa juga patut menunjukkan contoh teladan dengan tidak bermain mercun.

Mercun adalah budaya dan tradisi orang Cina yang percaya mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baharu untuk menghalau puaka dan nasib malang. Itu adalah kepercayaan mereka dan kita amat menghormatinya. Tetapi tidak tahulah jika ada juga orang melayu yang berfikiran begitu, membakar mercun kerana mahu menghalau hantu. Maklumlah habis sahaja Ramadhan semua hantu-hantu dibebaskan daripada ikatan.

Entahlah,hantu mana yang takut dengan letupan mercun...

Friday, 9 August 2013

Raya alaf ini...

Hakikatnya...

(sumber FB)

Thursday, 8 August 2013

Salam Aidilfitri 1434H


Assalamualaikum wrm,

Allah SWT berfirman: “.....(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185)

Pejam dan celik, Ramadhan berlalu mengundurkan diri. Kini tibanya aidilfitri yang disyariatkan untuk kita menyambutnya.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Dengan hamparan sepuluh jari, saya memohon ampun dan maaf andai ada gurisan hati disebabkan perbuatan, perkataan maupun tulisan. Saya hanya manusia biasa, tentu tidak dapat lari daripada sebarang kesilapan.

Syawal adalah satu anugerah.

Manusia dijadikan tidak sama dengan bermacam-macam tabiat dan pekerti. Oleh yang demikian, sudah pasti timbul berbagai-bagai khilaf dan berbeza kata serta fikiran. Tidak sedikit kelainan itu menyebabkan tercetusnya bibit-bibit pertelingkahan. Namun, Allah SWT Maha Mengetahui apakah yang terbaik buat para hamba-Nya. Maka, dengan kesantunan-Nya, telah dianugerahkan aidilfitri untuk kita melupakan kekhilafan tersebut. Maka jadikanlah Syawal ini sebagai ruang dan peluang untuk kita kunjung-mengunjung serta bermaaf-mafan bagi memutikkan kembali jalinan kemesraan. Tentunya ini sesuatu yang amat sukar untuk kita lakukan di bulan-bulan yang lain.

Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan syurga yang penuh kenikmatan pada hamba yang sentiasa memperbaiki hubungan sesama insan. Apakah kita tidak tertawan dengan janji Allah itu. Bukankah Allah tidak sekali-kali memungkiri janji-Nya. Oleh itu, ambillah kesempatan dengan kedatangan aidilfitri ini dengan sebaik-baiknya...


Akhir kata, Salam Aidil Fitri Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair...

Saudara kalian,
abuikhwan&famili

Tuesday, 6 August 2013

Ramadhan, datang dan pergi...


Awal Ramadhan dahulu...

Ada yang kata: “Pesta ibadah telah bermula.”

Ada pula yang kata: “Pesta makan telah pun tiba.”

Ada pula yang berkira-kira melihatnya sebagai peluang untuk menambah belanja.

Ada pula yang rasa tak ada apa-apa, selepas bulan puasa tiba pula hari raya.

Perkiraannya sama, iaitu puasa tetapi maksudnya berbeza-beza.

Orang pertama akan sentiasa melazimi masjid dan musolla untuk menambah-nambah amal ibadah lebih dari kebiasaan, sebagaimana yang telah dijanjikan di dalam hadis yang mulia.

Seorang lagi, mungkin akan ke bazaar Ramadhan untuk menjenguk juadah-juadah yang tidak kedapatan di hari biasa.

Seorang lagi mungkin akan beriktiqaf sepanjang masa di gerainya yang didirikan di tepi jalan atau di mana sahaja.

Yang keempat saya tidak pasti bagaimana...

Inilah yang dikatakan, “Siapa kamu menentukan cara kamu melihat.” Manakala natijahnya yang pasti ialah “cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat.”

Kita telah pun memasuki bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, kebaikan dan kelebihan. Memasuki Ramadhan bererti kita memulakan ibadat besar yang disyariatkan kepada manusia iaitu berpuasa. Sesungguhnya puasa di bulan Ramadhan adalah anugerah istimewa dan ibadat khas untuk umat Muhammad dan tidak disyariatkan kepada umat-umat terdahulu.

Lihatlah, Allah SWT dengan kesantunan-Nya mempelbagaikan ibadat kita dan cara melutut dan bersujud agar kita gembira, seronok dan tidak jemu-jemu dengan kepelbagaian itu. Jika hanya solat, mungkin kejemuan, mungkin kesempitan dan kemalasan akan kita rasai.

Namun, Allah SWT mengetahui hakikat jiwa manusia, lalu dijadikan bangkit di tengah malam sunyi satu ibadat, melangkah kaki ke masjid satu ibadat, melayani si faqir dan si yatim dengan penuh ehsan juga ibadat, menyebarkan salam serta bermanis muka menjadi ibadat dan sebagainya. Manakala di bulan keberkatan ini menahan lapar dan dahaga menjadi ibadat. Lihatlah, berlapar juga satu ibadah. Kita tidak makan dan kita tidak minum, juga bererti kita sedang mendekati Allah SWT. Maha Suci Allah yang mengetahui akan kelemahan dan kesukaan hamba-Nya.

Berpisah dengan Ramadhan


Hari ini kita telah pun berada di penghujung Ramadhan. Dalam beberapa hari lagi Ramadhan akan berlalu meninggalkan kita semua. Suka atau tidak, gembira atau sebaliknya ia tetap akan pergi dan akan kembali semula pada tahun hadapan. Adakah kita masih sempat untuk bersua dengan Ramadhan seterusnya, hanya Allah SWT jua yang lebih mengetahui.

Oleh itu, dikesempatan Ramadhan yang berbaki ini pergunakanlah dengan sebaiknya. Perbanyakkanlah amal ibadat dan berjuang melawan hawa nafsu yang sering mengajak kepada kebinasaan. Amat wajar sekali mereka yang berjuang melawan hawa nafsu diberikan ganjaran Lailatul-qadar. Malam yang penuh keberkatan dengan kebaikan melebihi 1000 bulan. Maka, amat beruntunglah mereka yang dapat menghidupkan malam-malam terakhir ini dan berjaya mendapat Lailatul-qadar.

Sebagaimana orang yang menyambut Ramadhan dengan hati yang amat gembira dianugerahkan rahmat dan keberkatan serta pengampunan, begitulah juga keadaan orang yang sangat berat hatinya meninggalkan Ramadhan. Lantaran itu, ramai di antara orang-orang soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh keberkatan ini. Mereka menyedari bahawa tidak ada bulan selain Ramadhan yang di dalamnya dijanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.

Bertanya pada diri. Adakah kita termasuk golongan yang berdukacita dengan pemergian Ramadhan atau sebaliknya. Atau kita lebih gembira kerana akan memasuki bulan syawal yang kita anggap telah merungkai semua lilitan rantai yang membelenggu. Kita terasa bebas melakukan apa sahaja setelah sebulan dikekang. Jika ini yang kita lebih terasa, maka celakalah nasib diri.

Terkenang kita kepada peristiwa bagaimana Nabi saw ketika menaiki tangga-tangga mimbar masjid baginda saw, mengaminkan satu persatu yang disebutkan oleh Jibril Alaihi as-Salam. Di antaranya ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi saw: “Jibril mendatangiku seraya berkata; “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadan, lantas tidak mendapat ampunan, kemudian mati, maka ia masuk Neraka serta dijauhkan Allah (dari RahmatNya)” Jibril berkata lagi, “Ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan ”Amin.”

Tidakkan amaran ini cukup menggerunkan dan menakutkan kita. Sejauh mana kita telah mengisi Ramadan ini dengan sembahan ibadah yang cukup untuk menagih keampunan Allah yang sememangnya ‘mahal’ itu? Berhasilkah kita untuk mendapat nilai Taqwa yang dijanjikan di dalam ibadah puasa yang dilakukan? Hanya hati kecil di dalam diri masing-masing yang mampu menyebut kadar usaha yang telah dilakukan sepanjang bulan ini.

Pujilah Allah bagi mereka yang telah berpenat lelah dan dukacitalah sedalam-dalamnya bagi mereka yang lalai dan leka. Jika Ramadan tidak mampu memperbaiki diri, maka pada hari, minggu dan bulan manakah lagi yang boleh menjadi penyelamat?

Tepuk dada tanya iman!

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami ke arah ini, yang tidaklah kami ini beroleh panduan hidayat jika tidak diberi petunjuk oleh Allah” (Al-A’raaf: 43)

Monday, 5 August 2013

Lawak UAI, serban besar punya pasal!

video

Lawak sangat-sangat. Hilang serabut di dalam kepala!

Sunday, 4 August 2013

Nikmat puasa Ramadhan


3 hari saya sekeluarga pulang ke kampung isteri bersempena dengan cuti sambutan nuzul Quran. Alhamdulillah, berbuka dan bersahur bersama ipar-duai serta anak-anak buah. Keseronokan tentulah kepada anak-anak kerana suasana desa yang permai. Masih ada halaman untuk berkejaran, ayam dan itik di bawah rumah dan pokok-pokok hijau yang merimbun di sekeliling. Saya turut menumpang gembira sambil cuba-cuba mengimbau nostalgia ketika zaman membesar di kampung dahulu.

Rumah mertua saya halamannya dikelilingi pepohon kelapa yang tersusun. Biasalah kawasan tepi pantai. Untuk berbuka air kelapa muda tentulah menjadi pilihan utama. Ianya satu kebiasaan apabila saya pulang ke kampung isteri. Untuk mengambil kelapa muda tidak susah kerana adik ipar saya seorang ‘pakar’ dalam memanjat pokok kelapa. Mudah sahaja dia memanjat pokok kelapa yang tegak berdiri itu.

Mertua saya pula jika anak dan cucu balik tidak duduk diam dibuatnya. Ada-ada sahaja sesuatu yang nak dilakukan. Hari ini berbagai juadah disediakan untuk menyambut anak dan cucu. Pulut panggang, satar dan otok-otok siap terhidang. Bukannya mudah untuk menyediakan juadah tersebut, lebih-lebih lagi dengan kesihatan yang tidak berapa baik. Namun, dek kerana gembira dengan kepulangan anak cucu semua itu bagaikan tidak terasa.

Nikmat puasa Ramadhan. Saya tidak melihat ianya terletak kepada juadah serta lauk-pauk yang banyak terhidang menghiasi meja. Tidak padanya. Nikmat sebenar ialah apabila dapat berkumpul bersama keluarga tersayang biarpun menu berbukanya hanya sebutir kurma dan segelas air.

Dahulu ketika emak saya masih ada, setibanya Ramadhan seringkali emak mengungkapkan kata-kata di hujung telefon ketika menghubungi saya: “Bila nak balik kampung berbuka puasa sama-sama?”

Ketika itu saya tidak memahami apa yang tersirat di sebalik pengertian yang diungkapkan. Bagi saya ia sesuatu yang biasa. Namun, setelah saya sendiri mempunyai keluarga, saya mula memahaminya hakikatnya. Sebenarnya, tiada yang lebih menggembirakan hati ibu dan bapa selain dapat berkumpul untuk berbuka puasa bersama anak-anak. Sekiranya anak-anak pulang sudah pasti ibu bapa menyediakan berbagai juadah, tanpa mengira penat lelah berpuasa.

Saya mengakui akan kebenaran ini. Dua orang anak saya tinggal di asrama. Saya melihat tatkala anak-anak kami pulang dari asrama, isteri saya tanpa menghiraukan kepenatan menyediakan berbagai-bagai juadah untuk anak-anak. Terbayang kepuasan dan kegembiraan apabila melihat anak-anak mencicit air tangannya. Biarpun hanya pulang sekadar tiga hari, tetapi detik keemasan bersama sekeluarga berbuka puasa, ke surau berterawih, bersahur, berceloteh dengan anak cucu amat menyentuh kesyahduan.


Inilah perasaan yang mungkin turut dirasai oleh arwah ibu saya dahulu dan juga mertua saya tatkala menyambut kepulangan anak-anak. Jiwa orang tua, bukan memerlukan material wang ringgit dan sebagainya tetapi perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak. Demikianlah saya turut merasainya kerana saya juga sedang menuruti “jalan” itu.