Sahabat Sejati

Tuesday, 30 July 2013

Aku kepeningan... sabar, kan bulan Ramadhan


Apalah `nasib badan` pada malam ini berterawih di sebelah penagih candu. Berpinar-pinar kepeningan saya dibuatnya. Mujur tak tumbang sahaja. Sebenarnya saya tiada masalah dengan tabiat merokoknya, silalah merokok sampai 1 kontena pun. Saya tidak melarang. Tetapi seharusnya janganlah merokok ketika hampir mahu sembahyang, tahan-tahanlah dulu sehingga selesai terawih. Ataupun hilangkanlah bau rokok dulu sebelum sembahyang, sama ada bersugi atau berkumur-kumur dengan ‘listerine’. Kasihan orang yang di sebelah kanan dan kiri tercungap-cungap menahan nafas. Hilang ketenangan dan keasyikan mendengar lantunan bacaan kalamullah daripada imam hafiz.

Hadis Ibnu Umar ra:
Sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda ketika dalam peperangan Khaibar: “Sesiapa yang memakan dari pohon ini iaitu bawang putih maka janganlah dia memasuki masjid.” (Sahih Muslim: no. 870)

Hadis Jabir ra katanya:
Rasulullah saw melarang makan bawang merah dan bawang muda. Oleh kerana terpaksa memakannya lalu kami memakan. Kemudian baginda bersabda: “Sesiapa yang makan dari pohon yang tidak sedap ini iaitu berbau busuk maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana para Malaikat juga akan terhidu bau busuk sebagaimana manusia.” (al-Bukhari kitab Adzan 854, Muslim kitab Al-Masajid 564)

Hadis ini dan hadis-hadis lain yang semakna dengannya menunjukkan makruh seorang muslim mengikuti sembahyang berjemaah selama masih ada bau benda-benda tersebut, kerana akan mengganggu orang yang berhampirannya. Bukannya "saya tidak perlu sembahyang berjemaah, kerana saya seorang yang suka makan petai dan bawang". Jangan silap faham. Maknanya hilangkan dahulu bau yang tidak enak itu, kemudian barulah pergi ke masjid untuk bersembahyang.

Jika benda-benda seperti bawang boleh menyebab gangguan kepada jemaah yang lain, apalagi rokok tentunya lebih kuat dan busuk baunya. Mungkin orang yang merokok tidak sedar atau perasan akannya. Biasalah perokok, kalau asap rokok boleh ditelan apalah sangat dengan baunya.

Perlu diketahui, bahawa rokok itu, selain baunya yang busuk, mudharatnya juga amat banyak dan jelas. Ini termasuk dalam cakupan firman Allah SWT:

“Dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk.” (al-A’raf : 157) 

Mudah-mudahan ia memberi peringatan kepada semua.

Marah? Tidak, tetapi kasih sesama kita.

Monday, 29 July 2013

Anak 8 tahun masih tidur bersama ibu bapa

Soalan:
Assalamualaikum, saya ingin bertanya kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama ibu bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu, saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.

Jawapan:

Tidak digalakkan oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri berlaku pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud):

“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (an-Nuur: 58). 

Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu:

a) Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b) Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c) Waktu tengahari (ketika matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur seketika sebelum solat zohor.

Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut: “Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu”.

Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur: “Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila mereka besar nanti.” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).

Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh).

Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur: perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178).

Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa. Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan.

Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain.

Oleh demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).

Rujukan:
1. az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2. al-Muqtataf Min 'Uyun at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178

Sumber: Ilmu dan Uama'

Sunday, 28 July 2013

Celoteh iklan raya


Saban tahun menjelang hari raya, di antara sesuatu yang menjadi penyeri ialah iklan raya. Seolah-olah jika tiada iklan raya seperti sesuatu yang asing dan tidak terasa hari raya. Kebelakangan ini memang begitu keadaannya.

Bermacam-macam iklan raya yang keluar di kaca televisyen. Bahkan ia bagaikan pelengkap hari raya selain mercun, bunga api dan duit raya. Ada iklan raya lucu, sedih, gembira dan ada yang biasa-biasa sahaja sekadar mempromosikan barangan. Iklan-iklan raya seperti TNB, TV3, KFC, TM, Astro, dan tentunya iklan raya Petronas yang ditunggu-tunggu kerana sentiasa menyajikan kreativiti yang tersendiri.

Tetapi saya mula perasan, iklan raya gedung-gedung tekstil semakin berkurangan atau telah pun tiada. Kalau dulu seminggu sebelum raya sudah berkumandang iklan memanggil supaya membeli pakaian, kain dan langsir yang dipelopori oleh Kamdar, Globe Silk Store, Gulati`s Sik Store, Super Kinta serta Yaohan. Mana tidak menjulingkan mata kanak-kanak melihat jenama pakaian ketika itu seperti Villa, Ladybird dan Kiki Lala. Tetapi iklan-iklan yang melibatkan gedung tekstil biasanya hanya gambar dan suara, jarang dalam bentuk klip video. Masa durasinya pun tidak lama seminit pun tak sampai.

Saya sendiri pun sebenarnya suka menonton iklan raya dan sentiasa tidak sabar-sabar menanti ia keluar di peti televisyen. Tetapi itu dulu, dengan teknologi internet yang ada sekarang ini, segalanya menjadi lebih mudah. Cari sahaja di youtube untuk menontonnya. Lagipun di internet masih dalam bentuk versi penuh, tidak seperti di dalam televisyen yang telah pun dipotong-potong mengikut masa dan kesesuaian seperti sesetengah iklan raya.

Apa pun, setiap penerbit mempunyai kreativiti yang berbeza dalam menyampaikan mesej, namun maksud yang disampaikan itu biasanya hampir sama iaitu konsep bersyukur, melahirkan keinsafan, menyemai keikhlasan, saranan agar balik kampung untuk bertemu dengan orang tua dan sebagainya. Semua nilai ini diterapkan biarpun sekadar iklan ayam goreng dan air berkarbonat.

Saya tidak nafikan ada iklan raya yang benar-benar memberi kesan sehingga mampu meruntun perasaan, malahan ada yang berjaya menumpahkan airmata penonton sehingga teresak-esak kesayuan, sekaligus lupa bahawa ia hanyalah satu iklan.


Begitu juga dengan diri saya, ada banyak iklan raya tetapi saya cukup tersentuh tatkala menonton iklan raya BERNAS. Iklan raya tahun lalu yang menampilkan dua anak yatim yang juga OKU, Fizi dan Ahmad, berpakat untuk pulang beraya di Segamat untuk menemui ibu Ahmad. Pada malam itu mereka berdua keluar dari Pusat Jagaan dan berusaha untuk ke Segamat dengan berbagai cara. Setelah melalui berbagai kesulitan akhirnya mereka sampai juga di Segamat dengan menumpang sebuah lori barang yang dipandu oleh seorang lelaki berbangsa India.

Saat yang men’touching’kan perasaan ialah apabila Ahmad menggamit Fizi ke pusara ibunya. Sambil memegang batu nesan ibunya lalu berkata: “Fizi, mak Ahmad. Mak Ahmad mak Fizi juga...” Turut ditonjolkan ialah semangat setiakawan yang saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.

Remuk-rendam jiwa saya hingga bersulam airmata setelah menonton iklan tersebut. Untuk iklan ini saya mengangkat ibu jari. Inilah di antara iklan yang amat baik dari segi idea dan jalan ceritanya. Mudah-mudahan lebih banyak lagi iklan yang sebegini dihasilkan. Sekurang-kurangnya boleh membuatkan penonton berfikir sesuatu.

Taqdir kehidupan seseorang dengan yang lain tidak sama. Allah SWT yang telah mentaqdirkan perjalanan hidup seseorang. Bukanlah Allah SWT berlaku zalim terhadap para hamba-Nya. Tidak sesekali! Tetapi setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Ada yang boleh kita tafsirkan tetapi lebih banyak yang terkandung rahsia di dalamnya.

Dan seharusnya kita melihat dan meneguhkan di hati bahawa semua yang berlaku adalah kebaikan daripada-Nya. Diberikan kesenangan kita bersyukur, ditimpa ujian dan musibah kita bersabar kerana semuanya adalah kebaikan.

Bersangka baiklah kepada-Nya, kerana DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Tiadalah balasan bagi kebaikan melainkan kebaikan jua.

Semuanya SOAL HATI


Kebahagiaan ini apabila memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah dalam al-Quran. Firman Allah, bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah ar-Ra’du: 28).

Rasulullah SAW juga bersabda, bermaksud: "Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan berasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada. 

Oleh sebab itu, hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, redha, pemaaf dan dijaga daripada penyakit-penyakitnya seperti takbur, hasad, takut mati, bakhil dan sebagainya.

Kemuncak kebahagiaan adalah apabila hati seseorang mampu mendorongnya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”. Yakni tanpa mujahadah dan bersusah payah serta perlu difikir-fikirkan lagi. Dan kata Imam al-Ghazali, “Inilah hakikat akhlak mulia.”

Sesungguhnya, itulah inti pati mesej buku “Semuanya Soal Hati” ini!

Tajuk : Semuanya SOAL HATI
Penulis : Pahrol Mohd Juoi
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
M/s : 464
Harga : RM 36.00 (di Malaysia)

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Saturday, 27 July 2013

Tidak mahu GAGAL lagi


"Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
 *****
“Makin surut jemaah, belum pun masuk separuh Ramadhan,” kata sahabat saya beberapa hari lepas sewaktu kami beriringan usai sembahyang terawih.

Saya hanya tersenyum mendengarnya. Memang benar semakin kurang jemaah yang hadir. Semakin menghampiri penghujung Ramadhan semakin susut, malah ia bukanlah sesuatu yang aneh kerana pada pemerhatian saya memang begitu senario yang berlaku setiap tahun. Saya rasa di mana-mana tempat pun lebih kurang sama, tetapi tidaklah semua. Banyak lagi masjid dan surau yang masih subur dengan hadirin bersolat terawih.

Saya teringat satu dialog di dalam cerita Nujum Pak Belalang. Tatkala ahli nujum Negara Masai bertanyakan soalan:

Satu, banyak-banyak.

Dua, sikit-sikit.
Tiga, jarang-jarang.
Empat, kadang-kadang.

Apakah jawapannya?

“Kahwin!” Tingkah ahli nujum Negara Beringin Rendang memberi jawapan.

“Betul!”

Bersorak hamba rakyat kegembiraan.

Saya rasa ramai yang mengingati cerita ini. Filem lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang amat diminati oleh lapisan generasi. Kebanyakan filem-filemnya mengandungi mesej serta sindiran yang tertentu. Namun, saya beranggapan jawapan yang paling sesuai dan kena dengan suasana ketika bulan Ramadhan ini ialah, terawih!

Mengapa?

Minggu pertama, saf masih banyak, minggu kedua dah tinggal sikit. Masuk minggu ketiga jarang-jarang pula saf itu dan masuk minggu keempat kadang-kadang sahaja yang datang terawih kerana semuanya sibuk dengan persiapan hari raya. Mungkin menjelang hari-hari terakhir Ramadhan saf ‘semakin maju ke hadapan’. Mungkin yang masih istiqamah ialah tuan Imam kerana mahu mengimamkan sembahyang terawih, kemudian bilal kerana mahu mengalunkan selawat dan seterusnya beberapa orang makmum yang masih setia.

Inilah senarionya.

Malam keberkatan


Bukankah kita semua telah maklum akan 10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Kita disarankan agar menghidupkan malam –malam ini dengan menambah-nambahkan lagi amal ibadat lebih daripada biasa. Istimewanya malam ini, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam al-Qadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu malam al-Qadar. Malam al-Qadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar". (al-Qadr: 1-5) 

Mujahid meriwayatkan sebab turunnya ayat ini ialah Nabi saw telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah saw telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah saw bahawa ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan. Ini menjadikan Rasulullah saw dan para sahabat merasa amat gembira.

Ya, lailatulqadar juga menjadikan kita sebagai umat baginda turut merasa gembira, iaitu ganjaran yang lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Jadi, mengapa harus disia-siakan kelebihan dan keistimewaannya.

Disebutkan di dalam satu hadis: 
"Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramadhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175) 

Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda:
"Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)." ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Nah! Banyaknya kelebihan dan keistimewaan malam-malam akhir Ramadhan, bahkan kita semua telah mengetahui akan kebenarannya. Sejak aqil baligh sehingga sekarang berapa kalikah Ramadhan sudah kita lalui. Bagaimanakah potensi Ramadhan yang telah kita lalui itu? Sukses atau sekadarnya? Maka, tetapkanlah keazaman dan usaha. Sebolehnya tahun ini kita tidak mahu gagal lagi. Ya, kita tidak mahu GAGAL lagi!

Saya sekadar mahu mengingatkan kembali agar kita tidak terlepas peluang meraih ganjaran bersama Ramadhan ini. Saya benar-benar maksudkannya, terutamanya kepada diri saya sendiri.

Kepada Allah jua dikembalikan segala urusan...

Thursday, 25 July 2013

Kita peduli...


Konflik di Mesir belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Semua sudah maklum apa yang telah berlaku di Mesir, iaitu rampasan kuasa tentera di mana seorang pemimpin yang dilantik secara sah menerusi pilihan raya digulingkan.

Walau apapun alasan tentera berbuat demikian, ia tidak boleh diterima dalam sistem demokrasi. Kalaupun ada yang tidak sukakan pemimpin atau kerajaan dipilih secara demokratik, mereka harus menunggu sehingga tiba waktunya peluang untuk membuat perubahan pada pilihan raya akan datang. Inilah asas demokrasi.   

Presiden Morsi merupakan presiden pertama dipilih melalui pilihan raya yang bebas. Oleh kerana beliau seorang yang Islamik dan di antara pimpinan lkhwanul Muslimin. Kemenangan beliau amat digusari oleh barat terutama USA dan Israel. Mereka jelas bersikap double standard walaupun kemenangan Morsi melalui demokrasi pilihanraya dan suara majoriti rakyat. Kemenangan Morsi amat mengancam kepentingan USA dan Isrsel sebagai contoh pembukaan sempadan Rafah oleh Morsi.

Penduduk Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza bergantung kehidupan dengan Mesir dalam aktiviti seharian mereka, dalam mendapatkan pelbagai sumber kehidupan. Namun, sejak rampasan kuasa di Mesir 3 Julai lalu, tentera Mesir telah mengarahkan agar satu-satunya pintu keluar dari Palestin di Rafah, Mesir ditutup.

Tentunya kita yang diikat dengan aqidah yang sama merasa sangat simpati dan perlu mengambil sikap cakna atau peduli apa yang berlaku. Entahlah tidak sempat untuk saya berfikir jika ada juga yang boleh berkata: "Isu Mesir adalah tanggungjawab Mesir, isu Palestin biar orang Palestin selesaikan dengan Israel, isu Syria biar mereka orang Syria urus dengan pemerintah mereka sendiri, isu Pattani biar mereka bincang dengan kerajaan Thailand, kerajaan mereka sendiri. Kita tak perlu sibuk urusan orang lain sebab kita kena jaga anak bini kita dulu."

Sikap cakna atau peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak-balas terhadap pelbagai hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli, ambil berat atau ‘caring’ adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.Sekiranya rasa ambil peduli ini subur pada setiap masyarakat kita, ia akan memupuk rasa persaudaraan sesama Islam dan bersifat kemanusiaan sesama mausia tanpa mengira asal keturunan, agama dan bangsa. Allah SWT berfirman:
 
“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”. (al-Maidah: 2)

Rasulullah saw juga memberi peringatan melalui sabdanya yang bermaksud: “Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangan mereka” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan peringatan hadis ini. Usahakanlah segenap keprihatinan sekadar yang termampu. Sebenarnya terlalu banyak yang mampu kita lakukan, sekurang-kurangnya dengan menghulurkan doa dalam setiap munajat yang dilakukan. Bahkan di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, janganlah sesekali lupa untuk sentiasa menitipkan kalimah-kalimah doa untuk keselamatan dan kesejahteraan dalam meneruskan kesinambungan hidup, buat saudara kita di Mesir, Palestin, Syria, Selatan Thai dan seluruh umat Islam di atas muka dunia ini. 

Rasulullah saw bersabda: ”Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doa orang yang berpuasa ketika berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi” (Riwayat Tirmidzi no.2528, Ibnu Majah no.1752, Ibnu Hibban no.2405, disahihkan Al Albani di Shahih At Tirmidzi)

Oleh itu, jangan siakan kesempatan ini. Teruskan berdoa pada Allah SWT semoga perancangan musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan Islam gagal. Seterusnya Islam kembali mentadbir memerintah dengan keadilan. Insya-Allah.

Himpunan kutuk rampasan kuasa Mesir 26 Julai KUALA LUMPUR:


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan Himpunan Solidariti Ummat bersama Rakyat Mesir mengutuk rampasan kuasa terhadap Presiden Dr Mohammad Morsi 26 Julai ini.

 “Himpunan ini dianjurkan bersama antara DPPM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa,” ujar Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Himpunan itu, katanya akan diadakan pada hari Jumaat, 26 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan 1434, selepas solat Jumaat bermula dari Masjid Tabung Haji, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan akan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat yang terletak di lokasi berhampiran.

Kenyatan beliau seterusnya.

Himpunan Solidariti ini akan dipimpin oleh Ustaz Nasrudin Hassan – Ketua DPPM, Ustaz Nik Mohamad Abduh (timbalan), Dr Raja Ahamd Al Hiss (naib) dan lain-lain lagi. Selain mereka, turut akan hadir adalah pemimpin-pemimpin tertinggi NGO.

Himpunan ini bertujuan menyatakan sokongan terhadap Presiden Mesir yang sah Dr Mohammad Morsi yang digulingkan secara kudeta oleh tentera negara tersebut.

Ia juga bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan biadap tenter Mesir melakukan rampasan kuasa dengan bertindak kasar terhadap penunjuk perasaan.

Dilaporkan beratus umat Islam menemui syahid akibat ditembak dengan peluru hidup oleh rejim tentera Mesir ketika mereka mengadakan bantahan.

Sesungguhnya mesej jelas yang ingin disampaikan adalah umat Islam di Malaysia bahkan rakyat seluruhnya menolak tindakan biadap anti demokrasi yang dijalankan oleh rejim tentera Mesir.

Kerajaan kudeta Mesir mesti berdamai dan berundur dengan segera dengan kepemimpinan negara tersebut dipulangkan kembali ke pangkuan Presiden Dr Mohammad Morsi yang sah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya di negara itu.

Rakyat Malaysia juga menolak campurtangan secara langsung atau tidak langsung dari kerajaan Ameriksa Syarikat, Israel, Arab Saudi dan lain-lain negara dalam konflik di Mesir. Sebarang campurtangan akan mengeruhkan keadaan dan boleh menyebabkan krisis ini menjadi semakin parah.

Himpunan Solidariti sejuta ummah ini diadakan bersempena dengan semarak Ramadhan, ketika umat Islam menyambut hari Nuzul Qur’an pada 17 Ramadhan, mengenang kembali peristiwa penurunan Al-Qur’an.

Ia menjadi simbolik pemangkin semangat umat Islam berkorban dan berjihad bagi mengembalikan izzah umat Islam yang tercalar.

Umat Islam menangisi kesyahidan sejumlah aktivis dan pemimpin ikhwan yang terkorban dalam aksi luar kemanusiaan yang dilakukan oleh junta tentera Mesir.

DPPM mengharapkan seluruh umat Islam yang prihatin akan turun hadir berhimpun bagi menyatakan sokongan dan bantahan ini dan dijangkakan jutaan umat Islam seluruh dunia akan turut berhimpun bagi melaungkan slogan dan kalimah yang sama.

Hanya Allah yang membantu dan memenangkan umat Islam.

Sumber: Harakahdaily

Wednesday, 24 July 2013

Pekakkan sahaja telinga!

 (Sumber foto: FB)

Tertarik dengan poster ini, sangat memotivasikan.

Sama seperti kisah dongeng yang pernah saya baca.

Iaitu kisah pertandingan memanjat pokok pinang dikalangan haiwan.

Begini kisahnya...

Pokok pinang tegak di hadapan. Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang. Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang, tinggi kepalang.

Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang. Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang keras hati, terus mara tidak peduli. Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.

“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak. Benda mustahil jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.

“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku, akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.

“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang” panggil sang itik, terkedek-kedek.

Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas. Batang pinang tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.

“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si beruk bermuka buruk.

“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.

Cicak terus mencanak. Batang pinang dipanjat tak kira orang. Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli. Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri. Kutuk tidak didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan disesiakan. Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.

Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.

Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK YANG PEKAK.

Itulah di antara rahsia kejayaan: Pekakkan sahaja telinga!

Tuesday, 23 July 2013

Ramadhan - Satu bacaan semula


Assalamualaikum wrm,

Ramadhan ada keistimewaannya. Bagaimana kita memandang Ramadhan, begitulah apa yang akan kita perolehi daripadanya.

Kita dan masyarakat berubah kepada menjadi baik dan mencintai amalan di dalamnya. Solat lima waktu lebih terjaga, solat sunat juga mudah sahaja disempurnakan. Membaca al-Quran dan mendengar tazkirah menjadi budaya yang sentiasa menyegarkan. Infaq dan sedekah menjadi ringan. Berkumpul bersama keluarga menjadi amalan manakala hidup berjiran semakin diraikan. itulah nikmat dan berkat Ramadhan.

Semoga artikel-artikel yang lalu ini menjadi satu suntikan dalam perjalanan menempuhi Ramadhan yang masih separuh berbaki lagi.    

# Selamat Mencari Taqwa

# Berpuasalah Wahai Si Muslim

# Solat Terawih Yang Istimewa

# Puasa Bukan Untuk Bermalasan

# Puasa Dan Sabar

abuikhwan@ramadhan1434H

Saturday, 20 July 2013

Bicara masa di 37

Naik lenguh tangan saya menulis serta penat mengulangkaji pelajaran sejak seminggu yang lalu.

Hari ini peperiksaan semester akhir telah pun selesai dengan meletakkan noktah pada kertas jawapan subjek Ekonomi Islam. Alhamdulillah, terasa beban yang tergalas di atas belakang sejak tiga tahun lalu telah pun terungkai. Yang tinggal hanya tiga assignment sahaja lagi yang belum dihantar. Tetapi semuanya perlu dihantar kepada pensyarah melalui e-mel. Mudahnya teknologi zaman sekarang.

Ramadhan sudah pun memasuki hari yang ke 11 hari ini. Bagaimana agaknya penghayatan puasa kita semua, semakin meningkat? Bagaimana pula dengan misi memburu taqwa yang telah kita tekadkan seawal Ramadhan lalu, masih di atas jalannya? Atau masih di takuk lama dan kita masih lagi terbuai oleh angan-angan yang tidak sudah?


Allah SWT berfirman: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” (al-`Ash: 1-3)

Kehidupan manusia amat bergantung kepada penggunaan masanya. Oleh itu, Islam amat menitikberatkan tentang masa dan mengingatkan manusia akan peri pentingnya masa. Firman Allah SWT di atas sudah cukup menggambar akan nilai masa. Sesungguhnya manusia yang menempa kejayaan adalah ialah mereka yang memanfaatkan masanya di dunia iaitu dengan beriman, beramal soleh dan menyampaikan kebenaran kepada manusia lain sebagai bekalan untuk akhirat.

Berkata Imam Syafie: “Jika manusia memerhati dan mengambil pengajaran daripada surah ini, maka memadailah bagi mereka.”

Di dalam hadis Rasulullah saw menyebut tentang memanfaat masa sebaik mungkin. Rasulullah saw bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Abbas ra)

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat di hadapan ALLAH sehingga disoal tentang lima perkara; tentang umurnya, waktu mudanya,dan hartanya daripada mana ia dapat dan bagaimana membelanjakannya, dan apa yang dia amalkan daripada ilmunya).” (Riwayat Ibnu Hibban & at-Tirmidzi)

Berkata Imam Sya`rani ketika mengulas hadis ini dalam kitabnya al-`Uhud al-Muhammadiah: Inilah empat perkara utama yang akan ditanya setiap hamba mengenainya (di akhirat). Adapun yang selainnya adalah perkara-perkara sampingan sahaja.”

Benar, betapa pentingnya masa, maka seharusnya setiap Muslim hendaklah memberi perhatian dan menjaga masa dan memanfaatkan sepenuhnya masa kepada perkara yang bermanfaat baginya. Tidak lain dan bukan untuk mencapai matlamat dan cita-cita sebagai Mukmin yang memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Namun tidak mudah untuk kita memanfaatkan masa sebaik mungkin kerana sentiasa kita berdepan dengan musuh yang tidak jemu meleka dan mengalpakan kita. Itulah nafsu yang berada di dalam diri. Hawa nafsu adalah teman setia yang sentiasa mendampingi ke mana sahaja kita pergi. Jika sekiranya kita tidak mengawalnya dengan sifat mujahadah, maka akan diruntun diri kita ke arah kehancuran.

Sengaja saya berceloteh mengenai masa.

Sebenarnya semalam adalah hari ulangtahun kelahiran saya. Maka banyaklah ucapan yang saya terima daripada rakan-rakan FB. Keluarga saya terlebih dahulu meraikannya. Dari satu sudut saya merasa amat gembira. Terharu pun ada.

Namun, dari satu sudut yang lain saya tertanya-tanya apakah perasaan sebenar saya. Apakah benar-benar saya merasa gembira?

Sedangkan setiap kali menjelang tarikh seperti ini ia hanyalah mengingatkan bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk menghampiri kematian. Ucapan demi ucapan selamat hari lahir rupanya seumpama memendekkan masa lalu mendekatkan langkah kaki menghampiri liang lahad.

Lupakan sebentar kegembiraan, kerana kelahiran hanya bermakna pada kejayaan memandu kehidupan.


Imam Hasan al-Basri pernah berkata: "Apabila terbit sahaja fajar pada hari baru, ia akan menyeru manusia: "Wahai anak Adam! Aku adalah makhluk yang baru. Aku akan menjadi saksi ke atas apa yang kamu lakukan. Gunakanlah aku untuk berbekal dengan beramal soleh. Sesungguhnya aku (apabila berlalu) tidak akan kembali lagi hingga menjelangnya kiamat."

Saya mengingatinya...

Tuesday, 16 July 2013

Puasa Melatih Keikhlasan - Dato Dr Maza

Selamat mengikhlaskan diri...

video


Mood: Minggu exam...

Saturday, 13 July 2013

Ramadhan, meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah

Teruja.

Seronok dan gembira.

Sejuk hati melihat bilangan jemaah yang hadir ke surau sejak tiga malam yang lalu. Saf penuh sampai ke belakang. kanak-kanak pun sama, sehingga baru saya perasan yang ramainya kanak-kanak termasuk budak-budak muda di tempat saya.

Alhamdulillah, semuanya mahu mengambil kesempatan beribadat di bulan yang mulia ini yang dijanjikan ganjaran yang besar. Yang tidak pernah datang ke surau mula menunjukkan muka, yang sakit dan sibuk sebelum ini tidak dapat ke surau pun berusaha untuk datang sama-sama menunaikan solat isyak seterusnya berterawih. Bukan sahaja di tempat saya, malahan di-mana-mana masjid dan surau kelihatan suasana yang sama. Setiap orang dipermudahkan dan diringankan untuk beribadat.  Saya berharap suasana ini akan berlanjutan sehingga akhir Ramadhan seterusnya berkekalan selepas Ramadhan. Inilah kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan iaitu meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.” (Bukhari dan Muslim) 

Syaikh ‘Utsaimin rahimahullah menjelaskan:
”Pintu-pintu syurga dibuka pada bulan ini oleh kerana banyaknya amal soleh yang dikerjakan, dan sekaligus untuk memotivasi umat Islam agar melakukan kebaikan. Manakala pintu-pintu neraka ditutup kerana berkurangnya bahkan sangat sedikit maksiat yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman. Syaitan-syaitan diikat dan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti di bulan-bulan selain Ramadhan.” [Majaalisu Syahri Ramadhan, Syaikh ‘Utsaimin)

Jaga-jaga


Mungkin ada yang ingin berkata: "Bulan Ramadhan baru nak datang ke masjid..."

Atau: "Baru nampak muka, lepas ni Ramadhan tahun depan la pulak..."

Memang mereka boleh berkata demikian dan betul apa yang dikatakannya, tetapi saya rasa lebih baik jika kita cuba meraikan mereka dengan menghulurkan 'tali'. Mudah-mudahan dengannya terbuka hati untuk istiqamah datang ke surau lagi selepas ini. Jika kita bersikap seumpama menghulurkan 'cambuk api' rasanya itulah kali terakhir mereka datang. Selepas ini 'kirim salam la...'

Marilah kita bersikap menerang bukan menyerang. Kita bukan mencari salah tetapi menyampaikan dakwah. Jika tidak rugilah kita, rugilah mereka.

Oleh itu, marilah kita berusaha mencari jalan kebaikan agar keberkatan dan kehangatan rahmat Ramadhan dapat dikongsi bersama. Berlumba-lumbalah meraih apa sahaja kebaikannya selagi diberi kesempatan. Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan Ramadhan ini yang terbaik dan menerima segala amal yang dilakukan, Insya-Allah.

Wednesday, 10 July 2013

Salam Ramadhan 1434H


Ramadhan dinanti
Taqwa dicari 
Syurga menanti.


Ramadhan kembali berulang masa. Sinarnya terang menyambut sesiapa yang mahu kembali kepada fitrah insan. Di kesempatan ruang yang masih berbaki ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kepada semua sahabat pengunjung pondok kecil abuikhwan.

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan amal ibadat di dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Sebagai manusia biasa tentu kita banyak terkhilaf dalam perkataan, perbuatan maupun tulisan, oleh itu jadikanlah Ramadhan yang penuh rahmat ini sebagai destinasi untuk mencuci kekhilafan tersebut. Mohonlah keampunan dan taubat kepada-Nya, mudah-mudahan DIA berkenan untuk mengampuni dan menjadikan kita semua hamba-Nya yang bertaqwa.

Mungkin Ramadhan ini adalah yang terakhir buat kita, siapa tahu?   

Catatan hari ini sebelum Ramadhan 1434H


Saya tiba di rumah beberapa minit sebelum azan maghrib berkumandang setelah dua hari berada di Kuala Lipis. Saya ke sana kerana atas utusan kerja. Turut menemani saya ialah seorang sahabat yang bernama Fazil. Kebetulan pula dia berasal dari Kuala Lipis. Mudahlah sedikit perjalanan ke sana. Saya bukanlah biasa sangat ke sana, seingat saya baru empat kali saya ke Kuala Lipis. Itupun sudah bertahun lamanya, kali terakhir lebih kurang lima tahun dahulu. Tentu banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Kami ke sana seawal jam 9 pagi melalui jalan Jerantut Feri – Kerambit. Jalannya yang bengkang-bengkok serta naik bukit turun bukit, tidak memberi keselesaan kepada saya. Terasa pening dan mual. Mujur tidak terhambur isi perut, kalau tidak malu juga rasanya. Entah mengapa, sekarang ini saya sering kepeningan ‘mabuk perjalanan’ jika bermusafir jauh. Lebih-lebih lagi jika jalan yang dilalui seumpama ular kena palu. Maka lebih pantas pening dan mual yang menyerang. Pelik juga sebelum ini saya tidak begitu, melainkan semasa zaman kanak-kanak dahulu.


Sebelum sampai ke destinasi yang dituju, Fazil mengajak saya makan tengahari di sebuah kedai makan yang sering disinggahinya setiap kali ke Kuala Lipis. Sangat istimewa katanya. Teruja juga saya untuk mengetahui apakah keistimewaan yang dikatakannya itu. Kedai makan Kampung Melaka itulah tempatnya. Terletak di tepi jalan antara Kechau Tui dan Merapoh. Semasa kami sampai kelihatan susunan kenderaan di luar kedai.

Ramai sungguh pelanggan yang sedang menikmati makan tengahari sehingga tidak cukup tangan pekerja kedai melayan. Kedainya ‘simple’ sahaja. Dinding depannya menggunakan susunan papan sebagai dinding yang boleh dibuka sekeping, sekeping. Memang ‘design’ kedai lama di kampung-kampung. Manakala tiang luar dan alangnya diperbuat daripada batang kayu hutan, memang istimewa. Tetapi apa yang menakjubkan saya ialah bagaikan bersambung kenderaan yang berhenti untuk makan dan minum.


Namun, rupa-rupanya keistimewaan utama ialah menu yang disediakan iaitu daging bakar dan ikan tilapia bakar, dicicah dengan kicap bersama hirisan bawang dan lada serta titisan limau nipis. Memang mengecurkan air liur. Cukup makan nasi putih dengan ikan bakar sahaja tanpa mengambil lauk sayur. Menurut pekedai tersebut bekalan ikan tilapia diperolehi daripada penternak ikan sangkar yang banyak kedapatan di sekitar daerah Kuala Lipis. Maknanya ikan segar yang dipelihara dalam air mengalir, patut tidak berbau dan berlemak.

Alhamdulillah, kami mencicip rezeki yang Allah SWT kurniakan hari ini dengan nikmat puji dan syukur. Sehingga bersih tulang-temulang daripada daging ikan yang terlekat. Insya-Allah, mungkin tengahari esok kami kembali lagi untuk menikmati sekali lagi sebelum pulang ke Kuantan.

"Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kepada kepada kami makan dan minum, dan jadikanlah kami ini termasuk ke dalam golongan orang-orang yang tunduk patuh kepada-Mu."  

Sunday, 7 July 2013

Meninggal tanpa sempat ganti puasa


Soalan:

Kalau arwah ayah saya ada puasa yang tidak sempat diganti, apa tindakan yang harus dilakukan oleh waris?

Jawapan:

Seseorang yang mati sebelum sempat menggantikan puasanya yang tertinggal, maka hukumnya tertakluk kepada perincian di bawah:

a) Jika sebelum kematiannya ia tidak berkesempatan langsung atau tidak berkemampuan sepanjang hayatnya untuk menggantikan puasa yang tertinggal kerana ditimpa sakit yang berterusan atau keuzuran lain, maka ia tidaklah berdosa dan gugurlah tuntutan ganti itu darinya kerana kegagalan mengganti itu bukanlah dari kelalaiannya.

 b) Namun jika sebelum kematiannya ia mempunyai cukup masa dan kemampuan untuk mengganti puasa yang tertinggal, tetapi ia tidak menggantinya –kerana lalai atau menangguh-nangguh, maka dalam hal ini disunatkan ahli keluarganya berpuasa bagi pihaknya. Sabda Nabi saw (bermaksud): “Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qadha puasa, maka walinya (ahli keluarganya) hendaklah berpuasa untuknya.” (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Abu Daud dari Aisyah r.ha).

Dan harus orang lain (yang bukan ahli keluarganya) seperti kawannya untuk berpuasa bagi pihaknya dengan syarat mendapat izin dari ahli keluarganya atau dengan wasiat darinya sebelum kematiannya. Jika kawannya itu berpuasa bagi pihaknya tanpa izin dari ahli keluarganya atau tanpa wasiat darinya, maka tidak diterima oleh Syara’ puasa tersebut sebagai gantian baginya.

c) Jika tidak ada yang berpuasa bagi pihaknya, hendaklah dikeluarkan fidyah (iaitu dengan memberi makan orang miskin dengan kadar secupak beras) bagi setiap hari yang ia tinggalkan. Fidyah ini wajib dikeluarkan dari harta peninggalannya dan merupakan hutang Allah yang tertanggung ke atasnya selagi belum dikeluarkan. Jika ia tidak meninggalkan harta, harus dikeluarkan oleh orang lain yang bersimpati dengannya. Sabda Rasulullah saw (bermaksud): “Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qadha puasa bulan Ramadhan maka hendaklah diberi makan bagi pihaknya seorang miskin bagi setiap hari (yang ditinggalkannya)” (Riwayat Imam Tirmizi dari Ibnu Umar ra.).

Berkata Ibnu 'Abbas ra.: “Jika seorang lelaki sakit dalam bulan Ramadhan, kemudian mati tanpa sempat menggantikan puasanya, maka hendaklah diberi makan (kepada orang miskin) bagi pihaknya dan tidak wajib qadha atasnya. Jika tertanggung atasnya nazar, maka hendaklah nazar itu dibayar/ditunaikan oleh wali (keluarganya)” (Riwayat Imam Abu Daud). Wallahu a’lam.

Tambahan:

1. Hukum bagi puasa nazar dan kaffarah adalah sama dengan puasa Ramadhan. Jadi seorang yang mati meninggalkan puasa nazar atau puasa kaffarah, walinya boleh memilih sama ada membayar fidyah atau berpuasa bagi pihaknya. (Lihat: al-Majmu’, jil. 6, hlm. 394)

2. Jika seorang itu meninggalkan puasa selama sebulan Ramadhan (yakni 30 hari) dan ia mati tanpa sempat mengqadha’nya, lalu walinya memberi keizinan kepada 30 orang untuk berpuasa bagi pihaknya dan mereka berpuasa serentak pada satu hari, adakah ia dikira? Menurut Imam al-Hasan al-Basri –sebagaimana yang disebut oleh Imam Bukhari dalam sohehnya: ia adalah dikira. Pendapat ini dipersetujui oleh Imam Nawawi. (Lihat: al-Majmu’, jil. 6, hlm. 394)

3. Orang yang masih hidup tidak harus sesiapa pun berpuasa untuknya sama ada ia lemah (tidak berdaya berpuasa) atau kuat (yakni mampu berpuasa) (Lihat: al-Majmu’, jil. 6, hlm. 394)

4. Orang yang mati dengan menanggung solat atau iktikaf, tidak boleh walinya melakukan solat atau iktikaf itu bagi pihaknya. Begitu juga, fidyah tidak akan menggugurkan solat atau iktikaf yang tertanggung atas dirinya itu. Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi’ie. (Lihat: al-Majmu’, jil. 6, hlm. 394)

Rujukan:
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 6, hlm. 389-395.

Sumber: Ilmu dan Ulama`

Cetusan rasa: Ujian, pandangan kita, pandangan DIA...

'Imamuddin Haikal'

Sememangnya kehidupan manusia dan ujian sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Adalah mustahil seorang manusia hidup tanpa menempuhi ujian dan dugaan. Apabila ia bergelar manusia, maka ia tidak dapat lari daripadanya. Dunia ini sendiri juga adalah tempat ujian dan dugaan.

Allah memberi ujian kepada manusia dengan ujian yang berbagai-bagai sifatnya. Bukan hanya kesusahan, kesakitan, maupun penderitaan dianggap ujian. Malahan kesenangan, kekayaan harta benda, kesihatan yang baik juga adalah ujian.

Ujian, walau apa jua keadaannya, besar atau kecil, ringan atau berat, bukanlah menjadi persoalan. Apa yang penting ialah cara kita memandang ujian tersebut. Lain orang berbeza cara pandang dan letaknya. Ada orang yang diuji dengan sesuatu ujian tetapi ia melihat ujian yang dihadapinya kecil sahaja, sedangkan ujian yang sama boleh menjadi besar dan berat bagi sesetengah yang lain.

Sesuatu yang harus kita lihat bahawa ujian Allah adalah untuk menguji sejauh mana ketaatan dan kesabaran manusia dalam menjalani kehidupan ini. Ujian sekaligus mendidik manusia agar sentiasa bertenang dan bersabar serta mengenali kemampuan diri. Apatah seorang yang mengaku benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka ia perlu mengakui dan menerimanya dengan sikap beriman kepada qada dan qadar yang telah ditentukan.

Berkata Ibnu Mas'ud: "Demi Allah tiada seorang yang baik sangka terhadap Allah, melainkan pasti Allah akan memberikan kepadanya apa yang ia sangka, sebab kebaikan itu semuanya di tangan Allah. Maka, apabila Allah telah memberi husnu-dzan, bererti Allah akan memberi apa yang disangkanya itu. Maka Allah yang memberi husnu-dzan bererti akan melaksanakannya."

Firman Allah SWT:

"Mungkin kamu enggan (tidak menyukai) sesuatu, sedang Allah telah menjadikan pada apa yang tidak engkau sukai itu kebaikan yang sebanyak-banyaknya." (an-Nisaa`: 19)  

Sentiasa bersangka baik pada-Nya.

Thursday, 4 July 2013

Duhai Rasulullah...


Duhai Rasulullah...
Tiada lukisan yang dapat melukis akhlaqmu,
Tiada kata yang seindah dan selembut bicaramu.

Engkaulah tauladan dan ikutan,
Engkaulah keistimewaan di mata sahabatmu,
Demikian keistimewaan di hati kami,
Meskipun dikau terlihat seumpama insan biasa,
Namun sesungguhnya engkau terlalu luar biasa.

Engkau menunjuki jalan yang terbentang lurus,
Yang memisahi antara kegelapan dan cahaya benderang,
Agar umatmu mengenal antara noda dan kebenaran,
Selama kehidupan menjadi ingatan dan panduan.

Duhai Rasulullah...
DIA yang telah menganugerahimu segenap keutamaan,
Dari sekelian makhluk-Nya yang menjadi ciptaan,
Dengan sifat taqwa penuh kemuliaan,
Demikianlah sebaik-baik qudwah ikutan.

Selawat dan salam ke atasmu ya Rasulallah, syafaatkan kami di hari pertemuan kita.
Dengan ikhtiar perjuangan yang tidak seberapa ini, ibarat tenggelam timbul di lautan kefasiqan.
Moga terenjis jua belas ehsanmu duhai Rasulullah, agar mengakui kami ini umatmu.

Cetusan rasa,
abuikhwan@KembaraMencariHamba

Tuesday, 2 July 2013

Ramadhan, bersediakah kita?


Kurang dua minggu lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Bukan hanya keberkatan tetapi di dalamnya ada kebaikan dan kelebihan.

Memasuki bulan Ramadhan bererti kita akan menjalani ibadat puasa yang merupakan ibadat istimewa kepada umat Muhammad. Menahan lapar dan dahaga melalui puasa ini adalah taqwa yang diburu pencinta akhirat sepanjang zaman. Erti taqwa amat terserlah di bulan Ramadhan. Kemanisan dan kedamaiannya dapat dirasai kerana taqwa yang terkandung di dalamnya. Ramadhan benar-benar menjanjikan sebuah taqwa.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.” (al-Baqarah: 183)

Ramadhan bulan yang besar dan agung kerana di dalam telah diturunkan al-Quran yang menjadi panduan selama kehidupan umat manusia di atas muka bumi ini. Ramadhan bulan yang amat istimewa kerana di dalamnya terkandung kebaikan, kehangatan rahmat, keberkatan, keampunan, keredhaan-Nya, bahkan kelebihan yang terlalu banyak. Oleh itu, untuk memasuki bulan yang agung dan istimewa ini, tentunya memerlukan juga persiapan istimewa dan sebaiknya.

Saya berikan sifirnya. Jika kita memiliki sebuah kenderaan, tentu kita mahu menggunakannya atau memandunya. Untuk itu, kita mesti memerlukan lesen dan kemahiran untuk mengendalikannya serta mengetahui apa-apa berkaitan dengannya. Jika tidak sia-sialah kenderaan itu. Kita hanya mampu melihat tanpa dapat menggunakannya ataupun mengambil sebarang manfaat. Tentulah rugi dan sia-sia.

Demikianlah dengan puasa dan Ramadhan. Banyak yang perlu kita siapkan. Jika kita memasuki tanpa membuat apa-apa persediaan tentu ianya tidak sempurna dan banyak kecacatan. Maka kitalah yang akan menanggung kerugian. Oleh itu, marilah sebelum memasuki Ramadhan kita mengulangkaji apa sahaja yang berkaitan dengan puasa. Perkara-perkara yang sah dan membatalkan, halal-haram, syarat, wajib, sunat dan sebagainya. Bacalah bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengan puasa dan Ramadhan agar terisi ilmu-ilmu berkaitan dengannya.

Sesungguhnya Allah SWT memuliakan kita semua umat Muhammad dengan Ramadhan. Syukurilah kedatangannya. Rebutlah hidangan ibadat yang terhidang padanya. Jauhilah segala perkara-perkara yang melekakannya. Bersama kita meraikan Ramadhan dengan penuh rasa syukur dan azam yang tinggi untuk beribadah dengan sebanyaknya.

Pada puasa dan Ramadhan ada hikmah yang agung, rebutlah ia...

Monday, 1 July 2013

Memasukkan alat scan ke dalam faraj, adakah membatalkan puasa

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan. Insya-Allah saya dan suami merancang untuk menjalani prosedur IVF (in vitro fertilization) atau lebih dikenali sebagai bayi tabung uji. keputusan menjalani IVF ini dibuat setelah gagal mendapat zuriat dengan kaedah-kaedah perubatan yang lain. Walau bagaimanapun, prosedur ini memerlukan pemeriksaan ovari yang dijalankan melalui kaedah transvaginal ultrasound (alat scan yang dimasukkan ke dalam faraj untuk mendapatkan imej ovari) pada hari-hari tertentu.Keseluruhan kaedah ini memerlukan tempoh rawatan selama 2 bulan setengah. Doktor telah menyusun jadual pemeriksaan dan suntikan hormon untuk saya yang kebanyakannya jatuh pada hari-hari tertentu dalam bulan Ramadhan (biasanya, rawatan kesuburan seperti ini memerlukan penjadualan teratur untuk memastikan matlamat IVF itu sendiri tercapai). Adakah alat scan yang dimasukkan ke dalam faraj itu akan membatalkan puasa saya? Terima kasih.

Jawapan:

Menurut mazhab Syafi'ie, antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu melalui kemaluan hadapan dan belakang (dubur, zakar dan faraj).(1) Oleh demikian, berdasarkan pandangan mazhab ini, puan hendaklah menangguhkan prosedur tersebut ke bulan lain kerana ia akan membatalkan puasa. Jika tidak dapat dielakkan, harus puan melakukannya, namun puan wajib menggantikan puasa yang terbatal itu di hari lain selepas Ramadhan.

Ada ulamak berpandangan: perkara tersebut tidaklah membatalkan puasa kerana tiada dalil yang menegaskannya. Antara mereka ialah; Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan asy-Syaukani. Mengikut pandangan kedua ini, tiada sebarang halangan untuk puan melakukan prosedur tersebut dalam bulan Ramadhan kerana ia tidak membatalkan puasa. Pandangan kedua ini ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh as-Shiyam.

Dalam mengemukakan perkara-perkara yang membatalkan puasa (malah juga ibadah-ibadah yang lain), di kalangan ulamak ada yang mengambil pendekatan ihtiyat (berhati-hati) dan ada yang mengambil pendekatan berpada dengan sekadar yang disebut di dalam nas. Mazhab-mazhab Fiqh yang masyhur (Hanafi, Syafi’ie, Maliki dan Hanbali) kelihatannya mengambil pendekatan pertama, kerana itu huraian tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam kitab-kitab mazhab cukup panjang berjela walaupun nas-nas yang berkaitan dengannya sedikit sahaja.

Beberapa ulamak terkenal – seperti Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Syaukani dan sebagainya- cenderung mengambil pendekatan kedua. Menurut Imam Ibnu Hazm: Memasukkan ubat melalui lubang dubur, menitik air/ubat melalui saluran kencing atau telinga, menyedut ubat melalui hidung, bercelak, merawati luka yang menembus ke perut dan luka yang sampai ke dalam kepala, semuanya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak tergolong dalam pengertian makan dan minum.

Kata beliau: “Sesungguhnya kita ditegah Allah ketika sedang berpuasa dari makan, minum, jimak, sengaja muntah dan melakukan maksiat. Tidak pernah kita mengetahui bahawa makan dan minum boleh melalui dubur atau saluran kencing atau telinga atau mata atau hidung atau luka yang menembusi ke perut dan ke kepala. Kita tidak ditegah sekali-kali dari memasukkan sesuatu ke rongga dalam –selain dari makan dan minum- selama ia tidak diharamkan (oleh nas Syarak) ke atas kita”. (al-Muhalla, 4/348).

Pada khilaf ulamak ada keluasan bagi umat Islam. Berkata Umar bin Abdul-‘Aziz: “Aku tidak gembira jika sahabat-sahabat Nabi tidak berbeza pandangan, kerana jika mereka semua sepakat atas satu pandangan, sesiapa menyalahinya, ia akan sesat. Namun jika mereka berbeza pandangan, lalu seorang memakai satu pandangan dan seorang yang lain memakai satu pandangan lain, maka terdapat keluasan/kelonggaran bagi urusan tersebut”. Wallahu a’lam.

Nota hujung:
(1) Lihat: al-Majmu', Imam an-Nawawi, 6/322.

Sumber: Ilmu dan Ulama'