Sahabat Sejati

Sunday, 31 March 2013

Bubar! Bubar! Bubar!


Hari ini orang ramai hangat memperkatakan mengenai pilihanraya. Tiba-tiba perkataan BUBAR menjadi perkataan yang amat ‘femes’ ketika ini. Benar, lihatlah, terutama di internet banyak perkataan bubar. Sana bertanya bila nak bubar, sini pun bertanya bila nak bubar. Saya percaya semua warga Malaysia yang prihatin berdebar-debar menunggu pengisytiharan pembubaran parlimen oleh PM Malaysia yang ke-6.

Kelmarin, pertama kali tercatat di dalam sejarah politik negara kita, DUN bagi Negeri Sembilan telah terbubar dengan sendiri. Selepas ini menyusul pula pembubaran DUN bagi negeri kelahiran saya Pahang Darul Makmur yang tercinta. Kemudian diikuti negeri-negeri lain mengikut turutannya. Demam pilihanraya lebih hangat daripada demam bola ‘world cup’ lagaknya ketika ini.

Saya juga ingin berbicara mengenai BUBAR. Opss.. nanti dulu, bukan bubar yang itu. Bubar ini tidak ada kena mengena dengan pilihanraya. Bubar yang itu saya biarkan orang yang ‘ahli dan arif’ bercakap mengenainya. Bukan bermakna saya tidak mengambil tahu berkaitan pilihanraya atau saya individu yang tidak keluar mengundi. Saya meyakini bahawa membuang undi adalah berkaitan dengan kewajipan memilih pemimpin. Persoalan memilih pemimpin adalah perkara yang besar, malahan kita akan dipertanggungjawabkan pula mengenainya.

Firman Allah SWT:

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata: “Alangkah baiknya, kalau kami dahulu mentaati Allah dan Rasul-Nya!” Dan (mereka mengeluh) mengucapkan: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). “Wahai Tuhan kami! Timpakanlah azab dua kali ganda dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-sebesarnya.” (al-Ahzab: 66-68)

Imam at-Thabari rah. berkata: “Orang-orang kafir ketika disiksa dalam neraka Jahannam pada hari kiamat akan berkata, ‘Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin kami dalam kesesatan dan kami juga telah mentaati pembesar-pembesar kami dalam kesyirikan, maka mereka menyesatkan kami dari jalan-Mu yang lurus. Yakni mereka telah menyimpangkan kami dari jalan hidayah, dan jalan keimanan kepada-Mu, menyesatkan kami dari mengakui ke Esaan-Mu, dan mengikhlaskan diri kami dalam mentaati-Mu di dunia. Karena mereka telah menyesatkan kami, maka kami memohon kepada-Mu ya Allah, untuk memberikan azab dua kali ganda kepada mereka, dan laknatlah mereka dengan sebesar-besar laknat.” (Tafsir Ath-Thabari : 5/427)

Manakala Imam Ibnu Katsir rah. Mengatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ini sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran: “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul. Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku (dulu) tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). (al-Furqan: 27-29)

Yang dimaksud dengan ‘si dia’ dalam ayat ini adalah syaitan atau para pemimpin mereka yang telah menyesatkan mereka. Yakni mereka akan berkata: “Ya Rabb kami, sesungguhnya kami lebih memilih untuk mentaati para pemimpin dan pembesar kami dalam kesesatan daripada memilih untuk mentaati para Rasul-Mu dalam jalan hidayah dan keselamatan’.” (Tafsir Ibnu Katsir, 3/427)

Ulama menyatakan ayat ini turunnya untuk orang-orang kafir. Namun begitu, walaupun turunnya untuk orang-orang kafir tetapi pengajaran dan renungannya adalah untuk umat Nabi Muhammad saw kerana al-Quran adalah kitab panduan sepanjang zaman bagi seluruh manusia terutama umat Islam. Ayat ini jelas mengingatkan agar jangan sampai keliru dalam memilih seorang pemimpin dan keliru dalam mentaatinya. Allah SWT memasukkan kaum kafir ke dalam neraka lantaran mereka telah mentaati para pemimpin dan ahli-ahli agama mereka dalam rangka mengkufuri Allah dan Rasul-Nya. Dan Allah SWT menegaskan juga bahawa tidak sekali-kali para pemimpin dan pemuka agama yang mereka taati itu dapat menyelamatkan diri mereka dari azab Allah SWT pada hari kiamat. Dan tidak ada gunanya penyesalan pada waktu itu walaupun sedikit. Demikianlah juga peringatan kepada umat Islam dalam memilih siapakah yang akan menjadi pemimpinnya.

Di dalam sebuah hadis:

Dari sahabat Ali bin Abi Thalib ra. katanya: “Sesungguhnya Rasulullah saw pernah mengirim sebuah pasukan, dan mengangkat salah seorang di antara mereka sebagai komandan. (Di pertengahan jalan) komandan pasukan tersebut menyalakan api, kemudian memerintahkan pasukannya untuk masuk ke dalam api tersebut. Maka sebahagian pasukan ingin masuk ke dalam api tersebut dalam rangka mentaati perintah sang komandan, namun sebahagian yang lain mengatakan, mari kita melarikan diri. Kemudian peristiwa tersebut diceritakan kepada Rasulullah saw, maka baginda bersabda kepada pasukan yang ingin masuk ke dalam api tersebut: “Sekiranya mereka masuk ke dalam api tersebut, maka mereka akan terus-menerus dalam kobaran api tersebut hingga hari kiamat.” Dan baginda bersabda kepada pasukan yang melarikan diri: “Tidak ada ketaatan dalam kemaksiatan, sesungguhnya ketaatan hanya pada hal-hal yang ma’ruf.” (Riwayat Bukhari: 7257)

Demikianlah peringatan Rasulullah saw kepada umatnya, bahawa mentaati pemimpin dan pembesar ada batas-batasnya. Ketaatan dalam rangka bermaksiat kepada Allah, akan menggiring mereka ke dalam neraka Allah SWT. Sehingga Rasulullah menegaskan bahwa ketaatan kepada makhluk hanya boleh dalam hal-hal yang ma’ruf.

Bubar! Bubar! Bubar!


Bukan bubar parlimen.

Biarkanlah ia diuruskan oleh mereka yang mempunyai kuasa mengenainya.

Mari kita merenung sejenak... Kita insan yang lemah dan lalai, kita tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa. Tiada siapa dikalangan kita yang boleh mengatakan bahawa dirinya suci daripada melakukan dosa. Bermula daripada usia baligh sehinggalah sekarang, entah berapa banyak dosa yang telah kita lakukan. Jika dosa dan pahala itu sesuatu yang zahir, tentu kita mengeluh sesal kerana banyaknya dosa yang dibawa dan kita tunduk kelesuan kerana kurangnya pahala yang diusahakan.

Hakikatnya kita tidak nampak dosa dan pahala, begitu juga syurga dan neraka. Maka kita masih lagi boleh bersenang-senang tanpa sebarang kegusaran. Namun, jika kita merenung jauh ke dalam diri sendiri tentu kita akan kesedihan kerana mengetahui betapa banyak dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan.

Bilakah waktunya untuk kita BUBARKAN dosa yang bertumpuk-tumpuk itu?

Bubarkanlah dosa-dosa itu...bertaubatlah...

Bukankah seluas-luas pintu di dalam Islam adalah pintu taubat? Pintu taubat luasnya timur dan barat, luas yang tiada tara jika mahu diukur. Ia sentiasa dibuka sehinggalah Allah SWT menutupinya saat tiba hari kiamat kelak. Selagi kiamat belum terjadi atau maut belum menjemput, maka sesiapa berhak untuk memasuki pintu taubat-Nya.

Taubat adalah rahmat yang agung dan nikmat yang besar. Taubat adalah kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Sesiapa yang ingin kembali kepada Allah, maka tiada halangan buatnya. Walau siapapun dia, besar mana atau banyak mana dosanya, tua atau muda, tiada sekali-kali ada halangan. Pintu penerimaan-Nya tidak pernah dikhususkan kepada orang tertentu semata-mata. Syaratnya dia mestilah bersungguh-sungguh menyesali kesilapannya serta berazam tidak mahu mengulangi semula.

Kita dilarang kecewa dalam hidup kerana dosa-dosa yang lalu. Sebaliknya, kita disuruh agar sentiasa mengharap kepada rahmat Allah.
 
Allah SWT berfirman:

“Katakanlah! Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (az-Zumar: 53)

Kata Imam Ibnu Katsir: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa daripada kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuanAllah Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan bagaikan buih di lautan.” (Tafsir al-Quran al-`Azim 4/74)

Nah! Bukankah ini janji Allah kepada hamba-Nya bahawa tiada kecewa buat pendosa sebanyak mana sekalipun asalkan mereka bertaubat mahu kembali kepada-Nya. Penegasan yang memberi ketenangan kepada hati bahawa Allah tidak pernah menutup pintu rahmat-Nya buat insan yang benar-benar insaf. Sesungguhnya Islam itu agama yang memberi rahmat bukan agama yang memberi kekecewaan.


Di dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda:

Seseorang itu telah melakukan satu dosa lalu dia berkata: “Wahai Tuhanku ampunilah dosaku” Lalu Allah SWT berfirman: “Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya.” Dalam riwayat lain ditambah: “Aku ampunkan dosanya.” Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya.” Dalam riwayat yang lain ditambah: “Aku ampunkan dosanya.” Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa. Ampunilah dosaku.” Lalu Allah berfirman: “Hamba-ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginyaTuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu, Aku ampunkan engkau.” (Riwayat Bukhari dan Muslim, dan lafaz adalah lafaz Muslim)

Apa yang kita fahami dengan hadis ini. Seolah-olah ia menggalakkan insan melakukan dosa. Bukan begitu. Hadis ini mahu menggambarkan akan perihal kelunakkan Tuhan terhadap hamba-Nya yang mahu bertaubat. Seorang hamba yang mahu bertaubat bersungguh-sungguh, tetapi gagal mengawal dirinya lalu terjebak ke dalam dosa itu sekali lagi. Begitulah seterusnya, setiap kali dia terjerumus ke dalam dosa dengan ikhlas dia memohon keampunan Allah SWT. Maka Allah SWT berkenan mengampunkan dosanya. Hamba itu tahu, Allah sentiasa membuka pintu kembali, maka dia terus berusaha bangkit setiap kali tergelincir.

Hadis ini memberikan semangat kepada para pelaku dosa agar jangan sekali-kali berputus asa untuk memohon keampunan Allah. Bukannya patah hati dan berputus asa lalu berkata:

“Tuhan tidak ampunkan dosaku, maka biarlah aku terus dalam kejahatan!”

Jangan begitu, ayuh BUBARKAN dosa anda...

Thursday, 28 March 2013

Jom, MANTOP-kan diri anda!

Jangan lupa warga Kuantan sekalian, jom MANTOP-kan diri anda di dalam Ceramah Ad-Din bersama Ustaz Zamri MANTOP.

Dimana?

Tempatnya di Padang Bola Taman PSJ, Sungai Karang. Rugi sungguh kalau tak datang, bukan senang Ustaz Zamri MANTOP nak turun ke Kuantan. Jarang-jarang... sekali.



Jom, MANTOP-kan diri anda!

Tuesday, 26 March 2013

Al-Fatihah, semoga Allah redha...

"Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu." 

Kehilangan 3 permata serentak pada 13 Jamadil Awal 1434H bersamaan 25 Mac 2013


(1) Tuan Guru Haji Ali Kedah : Mengajar Tasawuf (kitab Hikam ) di Masjid-masjid di Alor Setar. Akhlaknya indah.

2) Tuan guru Hj Muhammad Abdullah : Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Kedah.

3) Dr Uthman El Muhammady : Fellow Amat Utama Akademik ISTAC IIUM

Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As r.huma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’. Apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Jadilah mereka itu sesat lagi menyesatkan orang lain.” (Hadith riwayat Muslim)

"Kami pohon perlindungan-Mu daripada fitnah akhir zaman ini..."

Friday, 22 March 2013

Perginya obor ummah...22 Mac 2013

Sesungguhnya kekuatan Islam adalah kerana adanya pasak yang menegakkannya iaitu para alim ulama`, terutama mereka yang bertungkus-lumus menyelamatkan umat ini dengan keilmuan mereka. Butiran mutiara yang keluar daripada ulas bibir mereka mampu menghidupkan hati-hati manusia yang telah mati. Mereka merupakan pewaris nabi yang menyalakan obor menerangi jalan yang dipenuhi kegelapan jahiliyah moden.

Sumber fb

 Hari ini kita merasa sedih mendengar berita pemergian tokoh ulama Syria yang banyak berjasa kepada dunia Islam. Beliau adalah Syeikh Dr Said Ramadhan al-Buti. Dikhabarkan kematiannya disebabkan serangan pengebom nekad yang di dalam Masjid Eman yang terletak di tengah-tengah ibu kota Syria awal pagi tadi (waktu Malaysia) meragut 42 nyawa termasuk ulama terkenal Sunni negara itu. Serangan pengebom nekad itu dipercayai didalangi oleh regim zalim Basyar al-Asad.

Syaikh Muaz Khatib, Presiden Pakatan Pembangkang dan Revolusi Syria dalam kenyataannya menyebut bahawa mereka mempunyai maklumat dan bukti-bukti yang menegaskan bahawa telah mula berlaku perubahan dari segi pendirian Syaikh Mohd Said Ramadhan Al-Buthi terhadap isu di Syria.

Syeikh Muaz Khatib

Perkara ini juga diakui oleh Syaikh Abul Huda Ya'koubiy bahawa beliau telah merancang untuk keluar Syria tetapi dikawal ketat oleh rejim Basyar. Selepas daripada itu, berlaku pembunuhan (bukannya pengeboman seperti yang dilaporkan media rejim) di masjid Iman, Dimasyq semalam yang membawa kepada kematian syaikh. Ternyata, ia pasti perancangan licik rejim Basyar.

Sumber fb

Kata Al-Habib Ali-Al-Jufri "Aku telah menelefonnya dua minggu lepas dan beliau (Dr Ramadhan Al-Buti) berkata pada akhir kalamnya: "Tidak tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku sedang mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku."

Sesungguhnya pemergian ulama besar ini adalah satu kehilangan besar kepada dunia Islam. Semoga Allah SWT berkenan mengampuni segala kesalahannya serta memudahkan perjalanannya dalam kembara yang tidak kembali itu.

Thursday, 21 March 2013

Aku Melayu di Kota Inggeris


Tajuk : Aku Melayu di Kota Inggeris 
Penulis : Muhaimin Sulam
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Muka surat : 277
Harga : SM 22.00 / SS 25.00 

Aku Melayu di Kota Inggeris merupakan satu catatan pengembaraan anak Melayu. Beliau bukan sahaja menetap di sana untuk menggarap ilmu, akan tetapi menyimpan seribu macam pengalaman, pengamatan dalam pelbagai dimensi, sama ada budaya, cara hidup, lingkungan serta perjalanan politik masyarakat Inggeris yang meninggalkan banyak kenangan manis dan pahit yang perlu dikongsi sama oleh masyarakat di Malaysia ini.

Ia amat berguna kepada anak bangsa Melayu khususnya yang akan menjejakkan kaki di sana sebagai panduan mudah bagi mereka untuk menyesuaikan diri ketika berada di kota Inggeris tersebut.

Ini kerana hidup merantau terlalu banyak suka duka pengalaman yang mesti dilalui terutama ketika berjauhan daripada ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai terdekat, mahu tidak mahu mendengar sesuatu daripada mereka yang lebih berpengalaman sedikit pun tidak merugikan apa-apa.

Resah rindu seorang ibu. Belajar daripada ajaran guru-guru biasa yang luar biasa. Sindiran kawan, cabaran musuh. Mengembara di bumi asing sebenarnya merupakan proses belajar bertawakal, menguji sabar diri dan mencari erti diri sendiri apatah lagi pemergian ke sana dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah dan kepulangan ke pangkuan keluarga di tanahair tercinta adalah untuk mengimplementasikan segala apa yang dipelajari.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Sunday, 17 March 2013

Lucu tapi ilmiah: Things NOT to DO in Masjid

Klip video yang amat baik untuk ditonton... 

Semoga menjadi peringatan dan manfaat kepada sahabat sekalian...

video

Kuliah Bulanan, Big Boh!

Berkata alim ulama`:

"Ilmu bermula bukan ketika kelas dimulakan atau ketika helaian buku mula diselak tetapi saat rasa hati ingin untuk belajar." (Abu Fakar)

Oleh itu, jom, Warga Kuantan sekalian! Kita pakat-pakat dengar kuliah Big Boh Ustaz Azhar Idrus pada hari Ahad 17 Mac 2013 di Masjid Kampung Padang, Kuantan. Rugi sungguh kalau tak datang. Bukan senang Big Boh nak turun Kuantan, itupun mujur boleh sebulan sekali...

Friday, 15 March 2013

Salam Jumaat: Jangan berputus asa

Pesan guruku...


Putus asa ialah jalan keluar paling mudah buat makhluk Allah bernama manusia.

Sering kali kita lupa, ujian hidup ialah cara Allah mengajar supaya tidak berputus asa dengan-Nya.

Setiap kali kita melepasi halangan, hati akan terasa Allah tersangat dekat di sanubari dan amat menyayangi hamba-Nya yang lemah ini.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (٥٣)وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ (٥٤) 
"Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)." (az-Zumar: 53-54) 

Sesungguhnya Allah, Tuhan kita yang amat penyayang...

Thursday, 14 March 2013

Cetusan rasa: Ingatan buat diri dan teman (2)

Saya terpaksa menolak ajakan beberapa orang sahabat untuk singgah minum di warung berhampiran masjid. Kebiasaannya sebilangan jemaah masjid singgah di situ untuk minum serta berborak-borak seketika. Lebih-lebih lagi pemilik warung itu juga sebahagian ahli jemaah masjid. Saya pun sering singgah minum menemani sahabat yang lain jika ada masa terluang, namun tidak untuk malam ini kerana saya mempunyai urusan yang mahu diselesaikan di Pusat Tarbiyah.

Kenderaan yang dipandu bergerak perlahan meninggalkan perkarangan masjid. Beberapa orang pakcik yang berjalan kaki mengangkat tangan seraya melemparkan senyuman kepada saya. Tanpa berlengah saya mengangkat tangan berserta senyuman membalas kembali keramahan mereka.

Saya mendongak seketika, melihat langit Ilahi yang dilatari kerlipan bintang. Bagaikan terasa dekat, mengasyikkan pandangan mata. Subhanallah! Malam yang indah dan syahdu.


Mengingati firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala-nyala.” (al-Mulk: 5)

Imam Bukhari menukilkan bahawa Imam al-Qatadah berkata: ”Allah menciptakan bintang-bintang untuk tiga kepentingan iaitu: “Sebagai perhiasan yang mengindahkan langit malam, sebagai alat perejam terhadap syaitan-syaitan dan sebagai petunjuk arah dan haluan kepada manusia.”

Manakala Kiyai Haji Quraisy Syihab menyatakan fungsi bintang adalah: “Bintang yang dekat menghiasi langit bagi orang yang melihatnya berdasarkan firman Allah SWT:

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: (Bintang-bintang yang berbagai bentuk dan keadaan) serta Kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.” (al-Hijr: 16)

Dan sebagai alat pelempar syaitan, sebagaimana di dalam surah al-Mulk ayat 5.

Demikanlah tafsiran alim ulama, namun apakah yang terlintas difikiran kita tatkala menatapi ciptaan Allah ini? Apa yang berlegar dibenak? Seringkali ciptaan-Nya direnung dan dibelek, namun Penciptanya dibuang jauh-jauh daripada perasaan. Saya maksudkan kita melihat alam ini sekadar melihat dengan perasaan yang kosong, tanpa terdetik keinsafan. Ciptaan-Nya dikagumi, tetapi Penciptanya entah kemana. Itulah yang sering berlaku. Melihat keindahan tetapi lupa kepada Pencipta keindahan itu.

Gunung-ganang, tasik, sungai, langit, lautan, hutan belantara, haiwan, mergastua dan segala panorama yang indah menyentuh rasa sehingga kita tenggelam dalam keasyikkannya, lalu kita kagumi dan takjub dengannya. Tidak henti-henti mulut memuji-muji, namun dimanakah Dia? Tidakkah hadir jiwa yang tunduk kepada-Nya, tidakkah terasa kerdilnya kita di celahan ciptaan-Nya yang hebat itu?

Sesungguhnya disebalik ciptaan-Nya, sebenarnya Dia mahukan kita mengenali dan mengabdi diri kepada-Nya. Oleh itu, cetuskankanlah rasa syukur yang tidak terhingga di atas anugerah yang besar ini.


“Ya Allah, Engkau Maha Indah! Engkau Maha Hebat!

Kenderaan masih lagi bergerak perlahan bersama deruan kenderaan lain. Agak sibuk jalan raya malam ini. Empat hari lepas berlaku kemalangan tidak jauh dari simpang masjid yang melibatkan motosikal dan kereta. Khabarnya penunggang motosikal itu meninggal di tempat kejadian. Usianya dalam lingkungan sekolah menengah, masih muda. Kematian tidak memilih sesiapa.

Kata guru saya: “Jangan tertipu dengan umur yang muda kerana mati bukan syarat tua. Jangan tertipu dengan badan yang sihat kerana mati bukan syarat sakit. Mati apabila telah sampai ajal.”

Sesungguhnya kematian adalah perpindahan dari satu alam ke alam yang lain. Alam-alam yang lain itu juga adalah milik Allah SWT. Kematian adalah perpindahan dari alam dunia ke alam penungguan untuk sampai ke kampung akhirat. Ia pasti akan mendatangi sesiapa sahaja, tanpa mengira usia pangkat, kedudukan dan sebagainya. Allah SWT telah menetapkan ketentuan ini di banyak tempat di dalam al-Quran, antaranya:

“Dan tidaklah Kami jadikan kekal manusia yang diciptakan sebelum kamu, apakah jika kamu dimatikan (wahai Muhammad) maka mereka itu akan tetap kekal? Semua yang bernyawa pasti akan mati, dan Kami akan mendatangkan kejahatan dan kebaikan kepadamu sebagai dugaan bagimu dan kepada Kamilah nanti kamu akan dikembalikan.” (al-Anbiya`: 34-35)

Manakala di dalam surah al-Ankabut ayat 56-57, Allah SWT berfirman:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku sangat luas, maka kepada Aku sahajalah kamu semua beribadat. Dan setiap yang bernyawa pasti akan mati kemudian kepada Kamilah kamu semuanya nanti akan dikembalikan.”

Apa yang penting ialah persiapan untuk menghadapi saatnya. Maka bersegeralah beramal ibadat sebelum tiba masa yang sudah tiada peluang untuknya. Apa yang didapati hanyalah kerugian dan penyesalan. Saya benar-benar mengingati diri saya sendiri!

Allah SWT berfirman:

“Dan apabila maut telah mendatangi salah seorang di antara mereka, mereka berkata: “Ya Rabb, kembalikanlah kami ke dunia! Kami akan melakukan perbuatan-perbuatan yang baik, dan sekali-kali tidak mereka akan kembali, ucapan itu adalah yang diucapkan oleh orang-orang yang berada di alam barzakh hingga sampai pada hari mereka dibangkitkan dari kuburnya.” (al-Mukminun: 99-100)

Penyesalan yang tiada penghujungnya!

Alunan lembut lagu “You came to me” dendangan penyanyi Sami Yusuf dari corong radio terasa amat mendamaikan, ditambah dengan pemanduan yang perlahan. Hati manusia mudah terusik dengan sesuatu yang indah. Termasuk dalam keindahan ialah sesuatu yang memberikan kedamaian, ketenangan, kebaikan dan kegembiraan. Memang begitu fitrahnya. Sewaktu lahir ke dunia hati manusia putih bersih umpama kain putih yang tiada lorekan sebarang warna di atasnya. Selama mana ia masih putih, maka selama itulah ia dekat dengan kebaikan.

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging, bilamana ia baik, maka baiklah seluruh anggota dan bilamana ia rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, dapatlah kita fahami bahawa kebaikan manusia (jasad) itu bergantung kepada kebaikan hatinya (rohaniah).


Terimbau kenangan

Mendengar kisah yang diceritakan oleh Ustaz Radzi di dalam kuliah tadi, tidak semena-mena saya teringat satu peristiwa yang menimpa seorang rakan. Jika boleh saya tidak mahu mengingatinya, namun ingatan yang datang secara spontan itu menyebabkan bayang wajahnya tertancap di hadapan mata. Kasihan rakan saya itu. Biarpun akhirnya terbukti hanya fitnah dan namanya telah pun bersih, namun saya pasti dia masih merasai sakitnya. Sebagaimana kekabu bantal yang telah berterbangan ditiup angin tanpa dapat dikutip kembali.

Teringat perbualan pada satu malam bersama sahabat yang lain ketika cerita mengenainya mula tersebar. Saya cuba untuk berhati-hati...

“Dah dengar cerita mengenai sahabat kita?” Tanya Khairi yang duduk di kerusi hadapan sambil berpaling kepada saya yang bersandar di kerusi belakang. Saya yang sedang terbuai di antara sedar dan tidak menahan rasa mengantuk menggagahkan diri untuk mencelikkan mata. Jam sudah pun melewati pukul 12.50 pagi.

Jalanraya agak sibuk dengan kenderaan yang bersimpang-siur biarpun waktu telah dinihari. Ahh..perkara biasa malam minggu. Macam-macam keseronokan yang boleh didapati pada malam minggu. Ada ungkapan yang mengatakan malam minggu adalah malam yang sentiasa hangat, kehidupan ada pada malam minggu dan berbagai-bagai lagi, ada kebenarannya. Namun, bagi saya ungkapan itu tidaklah memaksudkan apa-apa, yang tentunya hiburan dan keseronokan mudah didapati pada malam minggu.

Sesekali deruman enjin motosikal anak muda yang membingitkan telinga memotong laju kereta yang kami naiki sambil mempamerkan aksi yang membahayakan. ‘Mat rempit’ jolokan yang diberi, bukan hanya di tempat saya, dimana-mana bandar pun sama.

“Huhh, tak sayang nyawa ke...” Baihaqi yang sedang memandu merungut.

Kami bertiga dalam perjalanan pulang dari mesyuarat di Pusat Tarbiyyah Darul Ansar. Agak panjang mesyuarat tadi yang membincangkan berbagai-bagai program khususnya berkaitan kebajikan dan kemasyarakatan. Letih dan penat dengan kesibukan yang pelbagai, tetapi menyeronokkan dengan seribu kepuasan. Saya kira itulah sedikit amal kebaktian yang dapat saya lakukan. Sedikit kebajikan dengan niat berkongsi senyuman dan kegembiraan dengan orang lain.

Suasana sepi seketika, Baihaqi yang sedang memandu memperlahankan sedikit suara yang keluar dari corong radio. “Siapa yang anta maksudkan, Masri (bukan nama sebenar) ke? Tanya beliau.

Saya masih mendiamkan diri, mencari-cari ayat yang sesuai untuk diluahkan.

“Ada dengar tapi tak tahu pula betul salahnya,” saya menjawab pendek, kalau boleh tidak mahu bercakap soal itu. Malahan kalau boleh mahu melupakan terus kisah itu.

“Entahlah, kasihan juga kat dia. Tapi betul ke dia yang buat, rasa macam tak percaya je.” Khairi membalas, meluahkan kegusaran yang bermain di benaknya.

“Kalaulah benar cerita itu, mudah-mudahan dia insaf dan kembali memohon keampunan Allah. Sesiapapun boleh tersilap dalam hidup ini, saya, kamu dan termasuklah Masri. Benar, dia dah melakukan kesilapan, tetapi kita juga mesti berpada-pada dalam nak menghukumnya. Jangan sampai kita melampui batas, seolah-olah tiada langsung kebaikan yang pernah dilakukannya.” saya mengatur bilah-bilah perkataan, terasa payah untuk memberikan butir bicara. Bimbang apa yang diluahkan disalah tafsir dan menjadi fitnah pula.

“Tapi jika dia tidak bersalah dan cerita itu hanyalah fitnah untuk mengaibkannya, saya berharap dia tabah menghadapinya. Dan orang yang memulakan cerita itu, mudah-mudahan dia bersihkan pula apa yang telah dikotorinya, dan memohon keampunan kepada Allah atas segala perbuatannya.” Saya menyambung lagi.

Seketika masing-masing mendiamkan diri. Hanya suara nyanyian yang kedengaran dari corong radio mengganti bicara kami.

Tersentuh dengan sesuatu yang menimpa seorang rakan akibat satu kesilapan. Apakah kesilapan yang telah dilakukannya? Besar sangatkah? Biarlah saya simpan sahaja sebagai rahsia, kerana apa yang ingin saya sampaikan di dalam coretan pendek ini adalah teladan mengenainya.

Saya tidak berbuat apa-apa tatkala berita ini disampaikan oleh seorang rakan, namun saya cuba memujuk hati untuk berlaku adil dalam menilai mengenainya. Bimbang ada hati yang tambah terluka sedangkan ia telah pun lama terluka. Sebab itu saya menggunakan kalimah ‘kesilapan’ bukan ‘kesalahan’ supaya ianya tidak nampak terlalu besar dan salah yang amat sangat. Dan yang paling saya takuti jika ianya adalah satu fitnah.

Kerana sebab yang sama. Saya seorang manusia biasa, sentiasa beringat-ingat. Bersederhana dalam percakapan dan tidak songsang dalam menghukum sesiapa sahaja atas perlakuan mereka. Lebih-lebih lagi sesuatu yang boleh mengaibkannya.

“Saya bimbang akan mengaibkannya, sebab itu sewaktu cerita ini sampai ke telinga, saya tidak memberi apa-apa komen. Bukan bermakna saya bersetuju dengan kesilapannya, yang tidak benar tetap tidak benar, kita kena mengakuinya. Tetapi saya tidak mahu menambah sesuatu keaiban. Lebih-lebih lagi jika ianya belum tentu kebenarannya.” Saya menambah lagi.

Al-Quran sendiri telah mengingatkan bahaya tidak meyelidiki kesahihan sesuatu berita yang disampaikan.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik datang membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” (al-Hujurat: 6)

“Ana bersetuju dengan anta, nak membela pun biarlah kena dengan keadaannya, dan nak menghukum pula biarlah kena dengan kesalahannya. ” Khairi membalas.

“Tau takpe...” Baihaqi yang tadi diam menyambung sambil tersenyum.

“Lupakanlah perkara tu, kita singgah minum di restoran hadapan tu nanti. Rasa haus pulak tekak ni.” Khairi pula menambah.

“Yang ni ana betul-betul setuju.” Balas Baihaqi semula, kami sama-sama ketawa.


Fitnah. Sakit dan perit jika ia menerjah.

Sama-sama beringat


Tanpa disedari saya sudah pun sampai di Pusat Tarbiyah. Rakan-rakan sudah ramai yang menunggu. Serta-merta ingatan itu terbang menjauh. Untuk melupakan peristiwa itu sememangnya sukar, tetapi sebolehnya saya mahu ia hilang terus dari simpanan memori. Buat apa mengenangkannya, sedangkan ia telah terbukti tidak benar.

Buat mereka yang suka menyebarkan berita tidak benar, baik melalui kata-kata, tulisan atau bagaimana cara sekalipun, lebih-lebih lagi di era dunia tanpa sempadan ini. Memang mudahnya menyebarkan fitnah di zaman ini, hanya dengan satu klik, ke seluruh dunia boleh tersebar dengan cepat. Tetapi renungilah hadis ini, mudah-mudahan ianya mampu menyedarkan dan memberi keinsafan...

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.” Lantas baginda saw menjelaskan: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat.” “Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh) dan memukul orang. Lalu diberi segala pahala kebajikannya itu kepada orang-orang tersebut. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti, dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosa orang-orang tersebut pula akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Muslim)

Sama-sama beringat...

Wednesday, 13 March 2013

Cetusan rasa: Ingatan buat diri dan teman (1)

Saya memperkemaskan sila seusai sembahyang maghrib. Ditangan sudah pun tersedia pen dan buku nota untuk mencatat, tidak sabar mendengar butir-butir mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh Ustaz Radzi. Saya tidak pernah lupa untuk membawa pen dan kertas jika pergi ke mana-mana, sejak dari zaman belajar dahulu hinggalah sekarang.

Mendengar tanpa mencatat seumpama menulis di permukaan air. Riak bekasnya hanya sementara, tidak memberi manfaat sekadar sedikit sahaja. Itulah pesan guru saya di zaman belajar dahulu. Dan saya menyimpul erat azimat berharga itu.


Seperti biasa saya akan menyelitkan diri duduk di barisan hadapan dan itulah yang selalu saya cuba lakukan setiap kali berada di dalam majlis ilmu. Bukannya apa, untuk menjelaskan pandangan dan pendengaran. Maklumlah orang `tua`. Selebihnya, saya juga sentiasa berharap agar termasuk ke dalam golongan yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu, bahkan dituliskan pula oleh malaikat sebagai pendahulu senarai pencinta ilmu. Saya memang harapkan.

Kelebihan kepada penuntut ilmu tidak perlulah kita persoalkan. Banyak kelebihan yang disebutkan di dalam al-Quran dan juga hadis. Tidak kurang juga perkataan dari alim ulama.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Mujaadilah ayat 11:

“...Allah meninggikan orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”

Begitu juga hadis Nabi saw: “Seorang alim (berilmu)dengan ilmunya dan amal perbuatannya akan berada di dalam syurga, maka apabila seseorang yang berilmu tidak mengamalkan ilmunya maka ilmu dan amalnya akan berada di dalam syurga, sedangkan dirinya akan berada dalam neraka” (Riwayat Dailami) 

Daripada Abu Darda' ra. katanya, saya mendengar Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga. Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu itu, karena redha sekali dengan apa yang dilakukan oleh orang itu. Sesungguhnya orang berilmu dimohonkan pengampunan untuknya oleh semua penghuni di langit dan penghuni-penghuni di bumi, sampai ikan-ikan yang ada di dalam air. Keutamaan orang berilmu ke atas orang yang beribadat adalah seperti keutamaan bulan atas bintang-bintang yang lain. Sesungguhnya para alim ulama adalah pewarisnya para Nabi, sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham, hanyasanya mereka itu mewariskan ilmu. Maka barangsiapa dapat mengambil ilmu itu, maka ia telah mengambil dengan bahagian yang banyak sekali." (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi) 

Lihatlah, kelebihan mereka yang menuntut ilmu. Tidak dinafikan keutamaan manusia dari makhluk Allah lainnya terletak pada ilmunya. Allah bahkan menyuruh para malaikat agar sujud yakni memberi hormat kepada Nabi Adam as. karena kelebihan ilmu yang dimilikinya. Marilah kita bersyukur atas keutamaan yang Allah berikan kepada kita sebagai makhluk yang berupaya menuntut dan mengamalkan ilmu, maka pergunakanlah segala potensi ilmu yang ada pada diri kita untuk Allah atau di jalan Allah.

"Assalamualaikum warahmatullah..." Lembut suara Ustaz Radzi memberi salam, memulakan kuliahnya.

Saya berpaling ke kiri dan kanan, ramai yang bersila mengambil tempat, tidak kurang juga yang duduk di luar berbual-bual sambil menghisap rokok. Ada juga yang bergegas pulang tatkala imam selesai berdoa.

“Mungkin ada hal penting tu...” Saya cuba bersangka baik.

Bimbang jika hati menyangka sesuatu yang tidak betul. Fenomena buruk sangka bukanlah sesuatu yang asing pada diri manusia. Sesiapa pun boleh terdedah kepada penyakit itu. Saya tidak memaksudkan kepada orang lain tetapi lebih menjurus kepada diri sendiri. Tidak mudah untuk menjaga hati, sekejap masa boleh berubah. Bagaimana hati dan fikiran jika kita melihat seseorang yang lekeh tiba-tiba menjadi senang dan dihormati, atau seseorang yang jahat tiba-tiba bertukar menjadi baik dan kaki masjid. Mungkin ada yang bersangka baik, namun lebih ramai pula yang bersangka buruk dan mengumpat-ngumpat tanpa ada rasa bersalah.

“Eh, mana dia dapat duit beli motor baru, setau aku dia cuma kerja kampung aje. Isteri dia pun tak bekerja, entah-entah...”

Mudahnya berburuk sangka.

“Tengok tu, dia tu pergi masjid pun bukannya apa, pasal ayah baru meninggal. Percayalah cakap aku, sekejap je tu, lepas ni jangan harap nampak muka dia lagi.”

Ini pun sama.

Sepatutnya kita bersyukur di atas perubahannya, lalu bersangka baik bahawa Allah SWT telah memberikan hidayah petunjuk kepadanya. Kematian bapanya hanyalah penyebab kepada kurniaan hidayah yang telah melahirkan rasa keinsafan kepadanya. Dan itulah yang sepatutnya berada di dalam fikiran kita.

Begitulah, kadang-kadang kita cepat bersangka yang tidak baik kepada orang lain, walhal kita tidak tahu keadaan yang sebenar. Apa yang terpandang oleh mata, itulah yang cepat ditafsirkan. Sedangkan hakikat yang sebenar, pastilah empunya diri yang lebih arif dan mengerti.

Jika berburuk sangka kepada sesama manusia amat dilarang, maka apatah lagi jika berburuk sangka kepada Tuhan. Saya sebutkannya kerana ada yang begitu. Bagaimana buruk sangka kepada Tuhan boleh berlaku? Apabila kita meragui dan tidak redha dengan ketentuan taqdir-Nya. Tidak bersabar bahkan menyalah-nyalahkan Tuhan atas musibah yang ditimpakan sehingga ke peringkat mencela-Nya, na`udzubillah.

Allah SWT berfirman:

“Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu daripada orang-orang yang rugi!” (al-Fussilat: 23) 

Islam melarang keras perlakuan buruk sangka kepada Allah SWT kerana ini akan membinasakan si pelakunya. Sedangkan Allah menyatakan Dia menurut apa persangkaan kita kepada-Nya. Jika kita sangka baik, maka baiklah untuk kita. Jika kita sangka sebaliknya, maka akan dapatlah sebagaimana sangkaan itu.

Satu kisah yang terkesan

Kuliah ustaz Radzi pada malam itu seperti biasa dengan penyampaian yang mantap dan diselangi dengan jenaka yang mencuit hati. Tidak hairanlah kuliahnya sentiasa mendapat perhatian dengan kehadiran yang cukup membanggakan. Namun apa yang ingin saya sampaikan ialah, satu kisah yang telah beliau ceritakan. Kisah ini benar-benar terkesan di hati saya.

Saya menghayati kisah yang diceritakan dan merasakan ia sangat sesuai untuk dijadikan panduan dalam perjalanan hidup. Lebih-lebih lagi dalam keadaan zaman sekarang yang penuh dengan mehnah dan fitnah melampau-lampau. Ditambah pula dengan kemudahan mengakses maklumat dari langit yang terbuka. Semuanya dengan hanya satu klik dihujung jari, semudah membilang ABC lagaknya.


Begini kisahnya...

Suatu hari, seorang pemuda datang bertemu Abu Nawas bertujuan mahu memohon maaf atas fitnah yang telah dilakukannya terhadap Abu Nawas. 

Abu Nawas menyuruh pemuda itu beredar sahaja dari tempat tersebut tanpa menghiraukan perkara-perkara fitnah yang pernah dilemparkan oleh pemuda itu pada dirinya sebelum itu. 

Namun, pemuda tadi enggan beredar, sebaliknya terus mendesak agar dosanya diampunkan.

Lalu Abu Nawas pun memaafkan pemuda tersebut tetapi dengan beberapa syarat yang mesti pemuda itu patuhi. 

Apakah syaratnya? 

Dipendekkan cerita, Abu Nawas memberikan dua syarat kepada pemuda tersebut. 

Syarat pertama: Pemuda itu mestilah mengoyakkan sebiji bantal yang akan diberikan Abu Nawas kepadanya. Setelah bantal itu dikoyakrabakkan, pemuda itu perlu kembali kepada Abu Nawas untuk mendengar syarat yang kedua. 

Apakah syarat kedua? 

Abu Nawas memerintahkan pemuda itu mengambil semua isi bantal yang telah dikoyakkan tadi supaya dimasukkah dan dibentukkan semula menjadi sebuah bantal sepertimana asal. 

“Apa ini, tuan? Saya tidak mampu membaiki semula bantal yang telah rosak ini,” adu pemuda itu kepada Abu Nawas. 

Lalu Abu Nawas memberikan pesanan dan nasihat kepada pemuda itu dengan nasihat yang cukup menyentuh rohaninya serta berkesan kepada sesiapa yang mendengarnya. 

“Sekiranya kamu telah memfitnah aku, kemudian orang yang kamu sampaikan berita fitnah itu menyebarkan pula fitnah itu kepada orang lain serta memburuk-burukkan aku, adakah kamu mampu mengembalikan maruah aku seperti sediakala ketika sebelum aku difitnah? Nescaya kamu tidak akan mampu melakukannya dan pastinya ia tidak akan kembali sepertimana awalnya kerana kekabu yang kamu mahu kamu dapatkan itu telah pun berterbangan dipukul angin, sekalipun aku telah memaafkan kamu.” 

Pemuda itu tunduk diam, akur lalu melangkah pergi meninggalkan tempat tersebut tanpa sepatah bicara. 

Dari kisah ini mari kita ambil pengajaran, kita berfikir sejenak tentang apa yang berlaku di sekeliling kita. 

Kisah ini berkaitan perlakuan buruk fitnah dan akibat daripadanya. Fitnah adalah termasuk perbuatan yang amat buruk dan dibenci, ia umpama racun yang boleh membunuh jiwa. Ia menjelaskan kekejian sifat manusia yang menzalimi seseorang tanpa disedarinya. Sebab itulah Allah SWT meletakkan perlakuan fitnah lebih bahaya akibatnya daripada membunuh.


Betapa sakitnya apabila difitnah. Bukan hanya jiwa dan perasaan yang difitnah merasa sakit, malah sakitnya juga menimpa jiwa dan perasaan keluarga dan sanak saudaranya. Fitnah boleh berlaku tanpa diduga, walaupun sesama teman rapat. Tidak pelik, jika orang yang di sayangi dan dikasihi, malah orang yang dipercayai, tiba-tiba memfitnah kita. Ianya tidak mustahil. Bagai dihempuk batu yang besar lagaknya, kita menanar dek keperitannya. Kejinya budaya fitnah, hubungan yang baik boleh menjadi renggang, hatta adik-beradik sendiri sekalipun. Bukan setakat hubungan dua individu boleh terputus, boleh juga memusnahkan hubungan dua kelompok masyarakat dan bahkan boleh menyebabkan dua negara berantakan.

Orang yang menyebarkan fitnah adalah orang yang terang-terangan melakukan kezaliman. Mereka menzalimi orang lain, mereka mencabuli hak orang lain. Kezaliman mengundang kemurkaan Allah SWT dan orang yang zalim sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk-Nya. Bahkan ianya memungkinkan pintu yang terbuka untuk memasuki neraka Allah SWT yang menyala-nyala apinya andai tidak memohon keampunan dari mereka yang telah difitnah dan bertaubat kepada-Nya.

Namun dapatkah ia membetulkan semula seperti sediakala, sebagaimana pesanan Abu Nawas kepada pemuda di dalam kisah tadi. Tentu tidak!  

Bersambung...

Monday, 11 March 2013

Islam tidak boleh dipolitikkan?

Soalan: 

Dalam akhbar-akhbar arus perdana sudah diberi ruang orang menulis dan membuat cadangan kepada kerajaan, agar jangan membenarkan nama Islam digunakan dalam mana-mana pertubuhan, termasuk pertubuhan politik atas alasan, Islam tidak boleh dijadikan alat propaganda, agenda untuk kepentingan diri atau kelompok, Islam perlu diletakkan di tempat yang paling tinggi. Mohon pandangan, terima kasih.

Jawapan:

Sepintas lalu, orang yang tidak faham Islam boleh terpengaruh dengan idea ini. Kononnya hendak menjaga Islam, dan mahu Islam diletakkan di tempat yang paling atas daripada segala-galanya dan jangan sekali-kali dipolitikkan, apatah lagi hendak dijadikan alat propaganda peribadi atau kelompok.

Sebenarnya Islam tidak begitu. Hakikatnya, Islam itu sendiri adalah segala-galanya. Islam dan politik, Islam dan penghidupan, Islam dan kerjaya adalah sesuatu yang padu dan tidak boleh terpisah sama sekali.

Jika dipisahkan, maka lemahlah Islam dan rosakkan kehidupan beragama.

Cuba kita renungkan. Tidakkah kita semua umat Islam, membaca pada setiap permulaan solat, iaitu di dalam doa iftitah yang bermaksud: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, kerjaya hidupku, persediaanku menghadapi setelah mati, semuanya dilakukan kerana Allah, Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya. Dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah golongan yang terawal (terbaik) menyerah diri kepada Allah.”

Ertinya di sini, Islam itu adalah segala-galanya dalam konteks kehidupan seorang Muslim yang sejati. Tidak ada batas pemisah antara penghidupan dengan Islam.

Itulah yang selalu diungkap oleh ilmuan Islam yang sebenar, bahawa Islam itu adalah agama dan pemerintahan, aqidah dan syariat bersatu atas nama Islam. Tidak sesekali boleh terpisah dan dipisahkan.

Itulah juga yang disebut-sebut bahawa Islam itu syamil dan kamil, iaitu sempurna dan lengkap segala-galanya.

Secara logik, jika diikut dan dilaksanakan mengikut persoalan di atas, bahawa Islam diletakkan di tempat yang tinggi dan tidak boleh dicampur dalam penghidupan, tidak boleh dimasukkan sebagai nama pertubuhan, maka peranan Islam dalam penghidupan Muslim terasing dan terpisah.

Idea ini akan menyebabkan Islam akan dikurung dalam penjaranya, Islam akan lesu dan terpisah daripada penghidupan. Sesiapa pun tidak kisah kepada Islam, yang tinggal hanya lambang dan namanya sahaja.

Cadangan yang dibawa itu, nyata berniat jahat, hendak melumpuhkan Islam di saat Islam itu mula hendak dimartabatkan dalam penghidupan bernegara. Atas nama hendak membela Islam konon, Islam yang hendak kehendaki oleh kumpulan itu, adalah Islam yang tercorot dan termundur kerana tersisih daripada penghidupan ummah.

Islam pada ketika itu tidak berkembang dan tidak berperanan dalam penghidupan. Ia tidak bermaya kerana tidak menjadi tonggak kepada pemerintahan.

Islam menuntut umatnya agar terus menghayati peraturan, prinsip dan undang-undang yang telah tersedia untuk dilaksanakan oleh ummah.

Hayatilah sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad saw bahawa Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Maksudnya, apabila Islam dilaksanakan dalam penghidupan, maka ia akan dihormati dan dimartabatkan ke tempat yang tinggi.

Bukti nyata apa yang saya katakan ini benar. Cuba lihat kembali sejarah, Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw di zaman Makkatul Mukarramah iaitu zaman sebelum hijrah.

Sebelum hijrah Islam kelihatan tidak bermaya. Islam tidak boleh dihayati, malah hendak menunaikan solat pun, tidak bebas. Umat Islam diseksa kerana bersolat, hukum-hakamnya tidak dapat dilaksanakan kerana Nabi Muhammad saw tidak memegang kuasa pemerintahan.

Apabila tidak boleh dilaksanakan tuntutan beragama, maka Islam kelihatan seperti malap.

Apabila berhijrah ke Madinatul Munawwarah, Islam menjadi wadah pemerintahan. Kuasa berada di tangan Rasulullah saw, maka Islam dilaksanakan dalam penghidupan, maka cemerlang dan hiduplah Islam dan berperananlah ia sebagai suatu cara penghidupan yang sempurna.

Apakah orang-orang yang membuat cadangan persoalan di atas berani menuduh bahawa Rasulullah saw menggunakan nama Islam untuk kepentingan dirinya?

Apakah Nabi saw dan sahabat-sahabatnya, melaksanakan Islam untuk kepentingan kelompoknya? Tidak sama sekali. Mereka melaksanakan semua itu, di atas arahan Allah SWT iaitu Islam sebagai A complete way of life, bimbingan untuk hidup sempurna sepenuhnya. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday, 10 March 2013

Bicara santai: Selamat Hari Wanita. Anda tinggi jangan rendahkan


Diriwayatkan seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw lalu berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?” Baginda menjawab: “Ibumu!” Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w menjawab: “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w menjawab: “Ibumu!” Sekali lagi dia bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w menjawab: “Bapamu!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Dalam satu hadis yang lain, Nabi saw bersabda: “Sesiapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya daripada api neraka.” (Riwayat al-Bukhari) 

08 Mac adalah Hari Wanita Sedunia. Ini bermaksud satu pengiktirafan kepada wanita, suara, hak dan peranan. Berbagai-bagai acara sambutan diadakan termasuk juga di negara kita.

Dalam sejarah kemanusiaan, Adam sebagai manusia pertama di dunia didampingkan dengan Hawa, seorang wanita. Tidak mungkin seorang lelaki tidak memerlukan seorang wanita, begitulah sebaliknya. Masing-masing memerlukan di antara satu sama lain dan saling lengkap-melengkapi. Bagaimana jika di dunia ini hanya dipenuhi oleh lelaki sahaja, atau wanita sahaja. Tentu ia akan rosak. Siapakah yang akan melakukan kerja-kerja yang sesuai sifat lelaki dan siapa pula boleh melakukan kerja-kerja yang sesuai dengan sifat kewanitaan. Lelaki mempunyai peranannya, manakala wanita juga mempunyai peranan yang sesuai dengannya.

Firman Allah SWT:

"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa') dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (an-Nisaa': 1) 

Seringkali kita menatap berita-berita di dada akhbar, majalah atau melihat di media elektronik mengenai dakwaan agama Islam mendiskriminasi golongan wanita. Status wanita sering dijadikan sasaran serangan media sekular. Ia dibangkitkan oleh golongan yang mendakwa memperjuangkan hak kesamarataan gender, atau menuntut hak yang sama di antara lelaki dan wanita.

Banyak isu-isu yang dibangkitkan seperti mengapa isteri wajib taat kepada suami tetapi suami tidak perlu taat kepada isteri, wanita mendapat kurang harta pusaka berbanding lelaki, mengapa kuasa talak terletak di tangan lelaki tetapi seorang wanita tidak boleh menceraikan suaminya. Ada juga yang mendakwa al-Quran menindas kaum wanita kerana para pentafsir al-Quran terdiri dari kalangan lelaki, maka mereka menafsir menurut kepentingan lelaki. Bahkan terdapat banyak lagi pertikaian yang kadang-kadang membuatkan kita rasa pelik dan beristighfar kepada-Nya.

Bagi saya perbezaan jantina tidak meletakkan atau menetapkan mana-mana pihak lebih baik daripada pihak yang lain. Lelaki dan wanita memang banyak perbezaannya tetapi masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Dengan keistimewaan itulah mereka memainkan peranan yang sesuai dengan sifat dan tabiat mereka.

Saya merasa hairan mengapa ada golongan wanita yang mahu menuntut hak kesamarataan sedangkan Islam meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan mulia. Ya, Islam memuliakan mereka. Setelah Islam memulia dan meninggikan mereka, mengapa mereka mahu menurunkannya pula? Alasannya ialah mahukan keadilan. Saya katakan keadilan dalam Islam bukan bermaksud sama rata atau tidak berat sebelah, tetapi adil membawa maksud “meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya”. Sifirnya cukup mudah, kita ada dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Untuk anak lelaki kita belikan songkok manakala untuk anak perempuan kita belikan selendang, bukankah iai sesuatu yang adil? Atau atas dasar keadilan dan sama rata kedua-duanya kita belikan songkok.

“Pakcik, kenapa dua-dua beli songkok?”

Jawab pakcik: “Adil....”

Itu bukan adil namanya, itu .........

Untuk persoalan di atas, wanita wajib taat kepada suami tetapi lelaki pula wajib taat kepada ibunya tiga kali lebih utama dari bapanya, sebagaimana hadis yang telah saya nukilkan di atas. Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi sesuatu yang harus kita ketahui bahawa harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak wajib menyara suami dan anak-anaknya, manakala lelaki menerima pusaka yang lebih, tetapi ia perlu pula menanggung perbelanjaan sekeluarga. Begitu juga dengan soal perceraian. Memang kuasa talak di tangan lelaki, kerana mengikut kajian saintifik, dari sudut biologi umumnya wanita lebih beremosi berbanding kaum lelaki. Maka, Allah meletakkan kuasa talak di tangan lelaki, tetapi mengizinkan kaum wanita menuntut fasakh dengan sebab-sebab yang dibenarkan.

Sejarah lalu

Jika kita meneliti di dalam sejarah, di zaman jahiliah dahulu amat menyedihkan. Golongan wanita sentiasa tertindas dan teraniaya. Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw, wanita hanya menjadi alat memuaskan nafsu. Kalau berkahwin, lelaki boleh berkahwin seramai mungkin namun hak dan tanggungjawab diabaikan. Jika tidak mahu boleh dibuang sesuka hati atau dibiarkan tanpa bertali. Manakala anak perempuan ditanam hidup-hidup demi mencari kemuliaan atau menutup rasa aib.

Bahkan terlalu banyak fakta yang menunjukkan bahawa status wanita pada tamadun awal adalah amat rendah sehingga martabat kemanusiaan yang asas pun dinafikan.

Tamadun Babylon, di bawah undang-undang Babylon martabat wanita amat rendah. Contohnya jika seorang lelaki membunuh seorang lelaki atau wanita, maka bukan lelaki tersebut yang dihukum sebaliknya isterinya yang akan menerima hukuman.

Tamadun Yunani dianggap tamadun yang paling lama dan agung. Di bawah sistem yang dikatakan ‘agung’ ini, hak wanita dilucutkan dan dipandang rendah. Menurut mitologi Yunani, seorang ‘wanita khayalan’ yang dipanggil ‘Pandora’ merupakan penyebab nasib malang yang menimpa manusia. Kaum Yunani menganggap kaum wanita seperti binatang dan jauh lebih rendah martabatnya daripada lelaki.

Tamadun Rom ketika zaman kegemilangannya, seorang lelaki berhak mengambil nyawa isterinya. Pelacuran dan pembogelan menjadi kebiasaan di kalangan kaum Rom.

Orang Mesir (pra-Islam) menganggap wanita sebagai jahat dan sebagai petanda syaitan.

Orang Arab sebelum Islam berkembang memandang rendah terhadap wanita. Seringkali anak-anak perempuan di tanam hidup-hidup. Apabila kedatangan haid, mereka akan ditinggalkan di padang pasir kerana boleh membawa nasib buruk. Tetapi setelah kedatangan Islam, maka Islam telah mengangkat status wanita ke tempat yang mulia dan memberikan mereka hak-hak yang sesuai untuk mereka. Islam berharap mereka memelihara status dan kemuliaan mereka. Ini berlaku lebih 1400 tahun dahulu.

Umar al-Khattab ra berkata: “Pada zaman jahiliah, kami tidak menghargai wanita walau sedikit pun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

Penutup

Lihatlah, betapa Islam menyanjungi wanita. Sebelum ada sambutan hari wanita, Islam terlebih dahulu membicarakan tentang hak-hak dan kemuliaan wanita. Selaklah lembaran al-Quran dan hadis, banyak menukilkan perihal wanita sepanjang masa. Sebagai contoh,Surah an-Nisa’ sendiri menggambarkan keprihatinan Islam terhadap martabat wanita. Alhamdulillah, zaman kini berubah dan nasib wanita semakin terbela. Wanita semakin mendapat tempat di dalam masyarakat dan banyak sumbangan yang diberikan di dalam konteks kesesuaiannya bersama golongan lelaki. Bahkan sekarang ini banyak pertubuhan dan persatuan yang membela nasib kaum wanita.

Oleh itu, duhai wanita sekelian, janganlah anda merendahkan kembali ketinggian dan kemuliaan martabat yang telah diberikan Islam kepada anda. Janganlah kembali ke zaman lampau atas nama jahiliah moden sedangkan ianya jauh merendahkan keperibadian anda. Tidakkah anda sudah berada di landasan terbaik kini? Tepuk dada tanya iman di dalam dada!

“Selamat Hari Wanita 2013, anda terlalu tinggi di mata saya kerana taatkan Allah dan Rasul”

Friday, 8 March 2013

Perginya sebutir permata ilmu


Innalillah...

Saya mendapat berita petang tadi daripada sahabat, Ustaz Mohd Azli al-Hafiz yang memaklum bahawa al-fadhil Ustaz Rujhan Mohd Razali telah kembali ke rahmatullah pada jam 1 petang hari ini.

Tidak mampu menuturkan apa-apa bicara, hanya lafaz yang mulia: “Dari Allah kita datang, dan kepada Allah jua kita akan kembali...”

Rasanya belum puas mendengar bicara ilmu yang terungkap dari bibirnya, terutama di dalam rancangan Tanyalah Ustaz TV9 dan juga slot tazkirah di IKIM.FM dan juga kuliah-kuliah online di youtube.

Saya kira bukan hanya saya yang bersedih dengan pemergian allahyarham, tentunya kesedihan ini turut dikongsi bersama para pencinta ilmu di seluruh negara. Pemergian allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada dunia dakwah. Selepas ini saya pasti tidak berpeluang mendengar kuliah dan tazkirahnya serta tidak lagi dapat menatap tulisannya di dalam beberapa majalah seperti majalah Q&A.

Pemergian seseorang, lebih-lebih lagi orang yang tersayang pasti akan membuatkan kita bersedih. Namun, percayalah disebaliknya pasti ada hikmah yang besar. Ada yang dapat kita singkap hikmahnya, dan lebih banyak lagi yang tidak kita ketahui. Sesungguhnya, kepada Allah jua dikembalikan segala urusan kerana Dia jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat para hamba-Nya.

Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan rahmat kebaikan, mengampunkan dosanya, menyantuninya dalam perjalanan yang seterusnya dan memaafkan segala kekurangannya, serta memuliakan rohnya sebagaimana pemergiannya pada hari Jumaat yang mulia ini. Ameen.

Namun di sisi yang lain saya termenung sejenak, teringat satu hadis junjungan mulia:

Daripada Abdullah bin 'Amr ra, Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu daripada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mencabut roh (mematikan) para ulama. Sehinggalah tiada lagi orang yang alim (ulama) yang tinggal. Ketika itu, manusia akan melantik ketua mereka yang jahil. Apabila orang menanyakan sesuatu, mereka mengeluarkan fatwa tanpa asas ilmu. Maka, sesatlah mereka dan menyesatkan orang lain." (Riwayat al-Bukhari)

Seorang demi seorang alim ulama telah meninggalkan kita. Jika kita melihat peribahasa melayu yang berbunyi: “Patah tumbuh, hilang berganti”, sebenarnya tidak dapat kita kaitkannya dengan kehilangan alim ulama. Mereka patah, teramat sukar untuk tumbuh dan mereka hilang tidak berganti. Malah, jika ada pengganti pun pasti tidak sama dengan yang patah atau hilang itu. Jika kita melihat dan meneliti, sebenarnya alim ulamalah yang memberikan makna dan erti tentang kehidupan ini. Mereka memberi nasihat dan panduan-panduan hidup agar kehidupan yang dilalui menepati kehendak Allah SWT.

Bagaimana agaknya apabila tiba satu masa atau zaman bumi ini telah kosong dari alim ulama. Tiada lagi para pemberi nasihat dan penunjuk jalan ke arah kebaikan. Dunia akan musnah kerana dipenuhi dengan orang-orang yang rosak akhlaknya. Tentu tidak terbayang akan dahsyatnya jika ia berlaku.

Kita mohon perlindungan-Nya daripada musibah itu.

Thursday, 7 March 2013

Ceramah Dhuha Perdana

Ayuh, teman-teman di sekitar Kuantan. Jangan lepaskan peluang untuk bersama Ustaz Haslin Bollywood dalam ceramah Dhuha Perdana. Sabtu 09 Mac 2013, bertempat di Padang Bola Taman PSJ Sungai Karang.

Rugi kalau tak datang!

  (klik imej untuk pembesaran)

Sunday, 3 March 2013

Chicken Soup for the Soul: Cipta Kebahagiaan Kita


Ada banyak jalan bagi mencapai kebahagiaan. Selepas kita membaca cerita dalam buku ini, kita akan lebih bersedia bagi menemukan jalan dan destinasi yang tepat untuk kita. - Deborah Norville

Tajuk : Chicken Soup for the Soul: Cipta Kebahagiaan Kita
Penulis : Jack Canfield, Mark Victor Hansen & Amy Newmark
Penerbit : PTS Profesional Publishing Sdn Bhd
Jumlah Muka Surat : 456
Harga : SM 24.60 / SS 27. 30
Kategori: Bantu Diri, Motivasi & Inspirasi,Pembangunan Diri

Buku ini adalah susulan kepada buku terlaris, Chicken Soup for the Soul: Berfikir Positif. Kita dapat membaca cerita sebenar yang penuh inspirasi tentang bagaimana orang menggunakan fikiran positif, sifat bersyukur, dan akal mereka bagi menemukan jalan mencipta kebahagiaan, menyuburkan semangat, mencari tujuan, dan mencapai kegembiraan dalam hidup. Kita dapat belajar bagaimana:

- Menggunakan fikiran positif bagi mengubah sikap
- Mencari kebaikan pada setiap hari dan bersyukur
- Mendengar kata hati dan menyuburkan semangat sebenar
- Menemukan tujuan kita semasa bekerja, bermain, dan menjadi sukarelawan
- Meninggalkan pekerjaan yang tidak berfaedah dan mencari pekerjaan yang lebih bermakna
- Mengalami erti indahnya memberi
- Berhenti sejenak dan menikmati harumnya bau bunga ... dan keluar mencipta kebahagiaan sendiri!

Bab 1: Mensyukuri Rahmat Tuhan
Bab 2: Kembali Pada Asas
Bab 3: Mencari Semangat yang Membara
Bab 4: Mengubah Sikap
Bab 5: Mengatasi Musibah
Bab 6: Kebahagiaan dalam Memberi
Bab 7: Mencari Tujuan Hidup Saya
Bab 8: Kebahagiaan yang Mudah
Bab 9: Melakukan yang Terbaik
Bab 10: Terjun dari Roda Kehidupan yang Berputar

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!

"Ya Allah, selamatkanlah bumi bertuah ini..."


Kita dikejutkan dengan insiden pencerobohan ke atas Lahad Datu baru-baru ini. Difahamkan kumpulan penceroboh tersebut adalah daripada keturunan Sultan Sulu, Jamalul Kiram III dari Selatan Filipina. Dalam insiden ini juga menyebabkan dua komando polis telah terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo yang menjadi kubu kumpulan penceroboh tersebut ketika sedang berkawal satu daripada pos di sekitar kampung Tandou di Lahad Datu.

Mereka yang terkorban adalah G/17984 skuad 2/2006 Inspektor Zulkifli Mamat 29 tahun dan Sarjan Sabarudin dari unit 69. Manakala 5 lagi anggota turut tercedera.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, kumpulan itu yang dianggar melebihi 100 orang bertindak menceroboh kawasan terbabit bagi membuat dua tuntutan kepada kerajaan Malaysia. "Tuntutan pertama, kumpulan itu tidak mahu dikenali sebagai kumpulan militan sebaliknya mereka mahu diiktiraf sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu. "Satu lagi tuntutan yang dibuat adalah menggesa kerajaan Malaysia agar tidak menghantar balik rakyat berketurunan Sulu yang tinggal di Sabah."

Menurut sumber yang lain, mereka belayar menaiki feri lebih dua minggu lalu untuk menuntut hak ke atas Sabah dengan alasan negeri berkenaan pernah menjadi tanah jajahan kesultanan Islam Sulu sebelum dipajakkan kepada penjajah British pada tahun 1870-an.

Namun, ada beberapa persoalan yang bermain-main di benak.

Bagaimana feri yang membawa penceroboh boleh bolos sedangkan kita mempunyai angkatan laut yang kredibiliti. Presiden Filipina, Benigno Aquino turut menyatakan rasa hairannya apabila feri yang membawa penceroboh yang menurutnya memerlukan pembiayaan yang banyak dan berjanji untuk menyiasatnya sedangkan mudahnya feri tersebut melepasi kawalan sempadan juga turut dipersoalkan.

Menurut Bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM, Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid, “Kita ada bot laju, CB90 (combat boat). Perairan negara dikawal empat agensi penguatkuasa iaitu Polis Marin, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kastam Diraja Malaysia dan TLDM. “Kita ada ‘Operasi Pasir Laut’ antara tentera dan polis.”

Ops Pasir Laut ialah operasi keselamatan perairan dan kepulauan pantai utara dan timur Sabah oleh Markas Angkatan Bersama (MAB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ops Pasir Laut dikawal selia Pusat Kawalan dan Sistem Pengawasan (JRCC) dengan kelengkapan pesawat tanpa juruterbang (UAV), bot tempur kapal peronda ATB dan helikopter Nuri.

Kenapa yang bertindak adalah polis dan bukannya pihak tentera.Sedangkan yang lebih berkuasa dan terlatih (sesuai) ketika perintah berkurung sepatutnya tentera.

Diberitakan tentera Sulu yang terbunuh 10 orang, 10 orang yang menyerah dan 4 lagi yang cedera . dianggarkan lebih 100 orang tentera Sulu yang memasuki Lahad Datu. Kemanakah yang selebihnya?

Penutup 

Persoalan utama, mengapa mudahnya keluar masuk ke negara ini?

Saya amat berharap agar pihak kerajaan memandang serius dan perlu bertindak segera menangani isu ini sebelum keadaan bertambah parah dan kronik. Jangan perjudikan keselamatan negara ini. Kelemahan dan kerapuhan sistem keselamatan negara terutama keluar masuk di sempadan negara bukan isu baru. Buktinya ratusan ribu dan mungkin lebih jutaan pendatang asing yang ada di negara ini mendedahkan kepincangan yang berlaku. Peningkatan kadar jenayah yang melibatkan warga asing menggunakan senjata api canggih semakin berleluasa akhir-akhir ini juga amat menakutkan.

Berbalik kepada isu pencerobohan Lahad Datu, Dari segi geografi memang sempadan Malaysia di pantai Sabah dengan Filipina adalah luas termasuklah dengan Indonesia di Selatan. Namun ia tidak boleh dijadikan alasan sehingga musuh dapat masuk dan mencetuskan kekacauan dalam bumi kita. Jika perlu berbelanja, maka kita perlu lakukan demi menjamin keselamatan rakyat Malaysia di Sabah.

Saya tidak sekali-kali menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Tidak hanya pihak kerajaan, bahkan setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing. Kita amat menyayangi negara Malaysia yang tercinta ini. Marilah kita sama-sama mempertahankan kedaulatan bumi Malaysia yang akan kita diwarisi kepada generasi akan datang.

Buat mereka yang telah gugur sebagai wira negara, tiada ungkapan yang sebaiknya melainkan sekalung doa dalam munajat semoga Allah SWT melimpahkan keampunan dan rahmat buat mereka. Begitu juga mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan segunung kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan. Al-fatihah...

"Ya Allah, selamatkanlah bumi bertuah ini..."