Sahabat Sejati

Monday 18 November 2013

Hijrah yang kecil tetapi besar


Assalamualaikum warahmatullah.
Alhamdulillah kita masih lagi diberikan kesempatan untuk berada di dalam bulan Muharam 1435H ini.

Di antara bulan yang mempunyai pengertian yang besar kepada umat Islam. Bulan yang dijadikan permulaan kiraan kalendar Islam yang telah memberi implikasi yang amat besar di sisi kedudukan dan penyebaran Islam. Berada di dalam bulan ini bermakna berada di dalam dakapan suasana hijrah ar-Rasul. Saban tahun umat Islam menyambut ulangtahun ini dengan berbagai-bagai acara.

Hijrah dari segi bahasa bermaksud keluar atau berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Hijrah berasal dari kalimah ‘hajara’ yang bermaksud menjauhi, meninggalkan atau berpisah. Dalam sejarah Islam, hijrah secara khusus merujuk kepada perpindahan Rasulullah saw dan para sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang dahulunya dikenali dengan nama Yathrib.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran mengenai hijrah:
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapatkan kemenangan. Tuhan mereka mengembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar.” (at-Taubah: 20-22)

Terlalu banyak pengajaran dan teladan yang terkandung di dalam peristiwa ini. Di antaranya hijrah membuka dimensi baru kehidupan dan ketamadunan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah SWT.

Saya tidaklah bermaksud untuk menceritakan kronologi dan pengajaran daripada peristiwa ini, kerana saban tahun kita telah mendengarnya. Bahkan dalam bulan ini kebanyakan kuliah dan tazkirah berkisar mengenai hijrah. Khutbah Jumaat juga begitu.

Saya ada kisah lain mengenai hijrah ini.

Hijrah yang kecil tetapi besar 

Saya teringat kepada seorang sahabat lama. Sahabat sekampung, berkawan dari sekolah rendah sehingga sekarang. Kami sama-sama ‘keluar’ dari kampung setelah mendirikan rumah tangga. Beliau ke utara semenanjung kerana mendapat pekerjaan di sana. Saya pula bertapak di negeri sebelah Pantai Timur. Sesekali kami bertemu apabila kebetulan pulang ke kampung khususnya pada hari raya.

Apa yang menarik mengenai dirinya ialah berkaitan satu hijrah yang telah dilakukan 14 tahun yang lalu. Bukannya apa, tidaklah sehebat mana, sekadar berhenti menjadi penagih rokok. Mungkin ada yang tersenyum sinis, mungkin juga ada yang tergelak sakan mendengarnya. Apalah sangat dengan berhenti merokok, soal kecil dan picisan sahaja. Tiada apa yang besar padanya.

Namun, saya tidak memandang begitu. Ianya satu hijrah yang besar buat dirinya. Mengapa saya berkata demikian? Saya melihat berapa ramai yang berazam untuk berhenti merokok tatkala tiba tahun baru tetapi tidak berjaya malahan semakin kuat pula mengulum asap rokok. Berapa ramai pula yang telah berhenti merokok tetapi akhirnya kembali menjadi penagih candu tersebut. Azam akhirnya tinggal azam.

Tetapi tidak kepada sahabat saya ini. Dia nekad.

Sahabat saya tergolong di antara orang yang kuat merokok. Melalui perbualan kami, saya mendapat tahu yang dia memang telah lama berhenti merokok. Jadi, tentu ada sesuatu yang ‘istimewa’ menyebabkan dia berjaya meninggalkan tabiat buruk itu. Saya teruja untuk mengetahuinya.


“Apa petuanya, ada makan ubat menghilangkan ketagihan merokok ke?” Saya cuba mengorek rahsia ketika kami bertemu di kampung pada hari raya beberapa tahun yang lalu. Terkejut sedikit dengan keadaan dirinya, nampak betul berisi.

Katanya, tidak ada apa-apa rahsia yang penting kemahuan diri serta azam yang sungguh-sungguh.

“Selain itu?, Bukannya apa nanti saya boleh berkongsi dengan rakan-rakan lain yang nak berhenti merokok.” Saya bertanya kembali.

Angin petang di bawah pokok jambu berhampiran rumahnya terasa nyaman sekali. Masih terasa suasana aidilfitri.

“Kata ustaz dalam satu kuliah, Imam al-Ghazali berpesan di antara cara untuk mengawal hawa nafsu ada tiga iaitu duduk di dalam majlis ilmu, merapati para alim ulama dan berpakaian cara Islam.” Ujarnya perlahan.

Saya hanya mendiamkan diri. Memberi peluang kepadanya meneruskan percakapan.

“Saya sentiasa berusaha melakukan ketiga-tiga perkara tersebut untuk meninggalkan nafsu merokok.”

“Ya, saya masih ingat bermula bulan Ramadhan tahun 1999 saya nekad meninggalkan tabiat merokok. Mula-mula memang susah, menggigil-gigil badan menahan ketagihan, buat apa pun serba tak kena. Serabut, marah dan macam-macam lagi. Itu baru ketagihan merokok kalau ketagih dadah macamana agaknya...” Tiba-tiba dia mengeluh sendirian. Dia bagaikan menyesali diri sendiri dan marah-marah dengan zaman lampaunya. Saya hanya melihat saja telatahnya yang agak melucukan itu. Suasana terasa agak sunyi seketika. Bayu petang yang bertiup menyentuh kulit muka membuat badan terasa segar.

Dia menyedut nafas dalam-dalam lalu menyambung semula: “Dan dalam masa yang sama saya sentiasa mencari-cari majlis ilmu walau sesibuk mana pun, serta bersahabat dengan orang-orang alim. Begitu juga saya sentiasa berkopiah, bukannya nak menunjuk apa-apa, tapi bila terasa nak merokok teringat kopiah di atas kepala, malu datang dengan sendiri. Bukan itu sahaja, nak buang plastik gula-gula pun saya malu kalau kopiah ada di atas kepala.”

“Itukah petuanya? Hmm.. menarik.”

Mendengar katanya ‘malu merokok jika kopiah ada di atas kepala’ mengingatkan saya kepada satu peristiwa. Ketika saya dan rakan-rakan bermusafir ke sebuah negeri. Kami singgah di sebuah warung untuk mengisi perut. Di sebelah meja kami kelihatan tiga orang dalam umur lingkungan 35 hingga 50 tahun, lengkap dengan berjubah dan berserban. Melihat daripada pakaiannya saya fikir mungkin mereka singgah minum selepas balik sembahyang isyak. Tetapi apa yang tidak cantik, dengan selamba berkepul-kepul asap rokok berhembusan.

Saya tidak kisah mereka mahu merokok, tetapi dengan pakaian yang sedemikian saya pula yang terasa malu. Entahlah saya tidak terfikir pula perasaan mereka ketika itu.

“Alhamdulillah, saya berjaya. Mula-mula sehari, tiga hari , semingu, sebulan, dua bulan, setahun, akhirnya rasa macam tak percaya dah 14 tahun tak merokok.” Dia memberitahu. Terukir di raut wajahnya tanda kepuasan. “Sekarang saya tengok kamu dah tak pakai kopiah lagi, kenapa. Nak merokok semula ke?” Saya sengaja mengusiknya sambil meletakkan tangan di atas bahunya. “Sekarang saya rasa sudah mampu bertahan. Bahkan bau asap rokok pun saya dah mula rasa pening.” Katanya sambil tersenyum.

“Bagus kisahnya, bolehlah saya kongsi dengan kawan-kawan yang lain. Satu lagi, saya tengok kamu semakin montel...”

Ha..ha..ha..

Kami sama-sama ketawa.

Mengapa sukar berhijrah?


Satu pertanyaan yang jujur.

Hijrah adalah satu tuntutan yang besar nilainya di sisi Islam. Allah sendiri memerintahkan Rasulullah saw berhijrah pada saat sukar bagi baginda mendirikan negara Islam pertama.

Benar, memang sukar untuk berhijrah. Namun, tiada alasan untuk kita berkata tidak mampu melakukan yang terbaik. Keinginan dan keyakinan antara faktor kejayaan disamping doa dan tawakkal kepada Allah. Penghijrahan bukan membabitkan soal perubahan semata-mata, tetapi soal jati diri dalam kehidupan. Kepayahan yang dihadapi adalah kemanisan dan kebahagiaan di masa hadapan. Alangkah bahagianya mereka yang dapat mengecapinya.

“Pesan Imam al-Ghazali di antara cara untuk mengawal hawa nafsu ada tiga iaitu duduk di dalam majlis ilmu, merapati para alim ulama dan berpakaian cara Islam”.

Jom hijrah!

2 comments:

Siti Asiah said...

Jom hijrah...moga diberkati ...;)

abuikhwan said...

Alhamdulillah, Insya-Allah

Post a Comment