Sahabat Sejati

Saturday 30 November 2013

Hidayah milik-Nya


Hidayah pastinya milik Allah SWT. Dia berkuasa memberikan kepada sesiapa yang dikehendaki. Asbabnya mungkin susah untuk perolehi jika kita tidak memulainya dengan mencari dan mengkaji. Mana mungkin hidayah akan diperolehi jika kita hanya duduk menupang dagu beralas lutut, harap-harap hidayah akan turun dari langit sebentar lagi.

Allah SWT berfirman:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A`raaf: 179)

 Alhamdulillah, malam ini masjid Qaryah Balok menerima kunjungan sebuah NGO yang bertanggungjawab menjalankan misi dakwah di Filipina. Turut bersama dalam rombongan mereka, seorang saudara baru dari wilayah Mindanao Filipina. Beliau turut menyampaikan tazkirah berkisar pengalaman pengislamannya.

Beliau berbahasa Tagalog. Namun kuliahnya disampaikan di dalam bahasa Inggeris. Mujur beliau boleh berbahasa Inggeris walaupun sedikit pelat. Penterjemahannya pula oleh salah seorang ahli rombongan tersebut.

Menurutnya, sebelum memeluk Islam beliau merupakan seorang pelajar universiti di bidang pengajian teologi dakwah kristian. Setelah menamat pengajian, dia menjadi ketua paderi sebuah gereja di Mindanao. Tugas utamanya menyusup masuk ke dalam komuniti umat Islam di sana dan memurtadkan mereka. Pendapatannya amat lumayan kira-kira USD5000 sebulan. Ini tidak termasuk pendapatan lain seperti membaptis dan mengampunkan dosa. Tetapi semua itu ditinggalkan tatkala hidayah menyapa kemas dalam jiwa.

Lucu juga mendengar selorohnya: "Dulu saya mengampunkan dosa orang lain, sekarang saya pula yang meminta ampun."

Di antara sebab pengislamannya apabila dia mula sangsi dengan konsep triniti, konsep pengampunan dosa oleh paderi, persoalan mengapa Islam mengharamkan khinzir. Dia berperang dengan perasaan sendiri kerana banyak keraguannya tidak dapat dirungkai. Beberapa persoalan yang bermain di minda tidak mampu dijawab oleh paderi besar ditempatnya.

Setelah memeluk Islam melalui NGO tersebut, dia mengambil tanggungjawab untuk menyebarkan Islam di tempatnya. Menggantikan kerja-kerja dakyahnya dulu dengan kerja-kerja dakwah Islam. Apa yang menarik, dakwah dijalankan dengan mengetuk pintu setiap rumah di tempatnya dan menerangkan kebenaran Islam. Tidak terlalu lama, dalam jangkamasa 4 hingga 5 minit. Dakwah juga dijalankan di pondok-pondok polis dan dewan perbandaran. Ini satu strategi yang baik kerana dengan kefahaman Islam yang diperolehi, mereka dapat menjalankan dakwah dengan selamat tanpa sebarang gangguan. Setakat ini katanya, 6 orang pegawai polis telah memeluk Islam hasil kaedah dakwahnya itu.

Cita-citanya untuk mewujudkan sebuah pusat Islam untuk menjaga kebajikan umat Islam di tempatnya. Sekarang di tapak itu telah pun berdiri sebuah masjid hasil sumbangan umat Islam.

Insaf saya mendengar kata-katanya. Tentunya bagi dia yang pernah merasai kehidupan di alam 'jahiliah',  setelah berada di dalam suasana keimanan dan merasai perbezaan dua kehidupan itu,  menambahkan lagi keyakinan terhadap kebenaran Islam. Sebab itu apabila memeluk agama Islam, kita kebanyakan daripada mereka berpegang sekuatnya dengan agama ini. Mungkin kita yang telah mendapat Islam dengan mudah ini tidak merasai demikian. Namun demikian, kita bersyukur dengan nikmat Islam ini kerana jika tidak dilahirkan dalam Islam belum pasti kita dapat menerima hidayah ini. Mungkin kita pula menjadi penentang Islam yang kuat pula. Nad`uzubillah. 

“Kita semua adalah bersaudara di atas kalimah Laa Ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah...”katanya mengakhiri kuliah malam itu.

Alhamdulillah...

Wednesday 27 November 2013

Forum Maal Hijrah - Halal Pilihan Kami

Halal semestinya pilihan kami. Tentunya yang halal itu berkat, yang halal itu rahmat dan yang halal itu berpahala. Ayuh sahabat-sahabat yang berdekatan, kita meriahkan forum "Halal Pilihan Kami" bersama pendakwah yang cukup dikenali dan diminati...

Forum Maal Hijrah - HALAL PILIHAN KAMI
Tarikh : 27 November 2013 (Rabu)
Tempat : Masjid Qaryah Balok, Kuantan

Moderator :
 Ustaz Suhaimi Saad

Panel : 
Ustaz Roslan Mohamed
Ustaz Firdaus Jaafar


Tuesday 26 November 2013

Alhamdulillah-alhamdulillah

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberikan kepada kita semua berbagai-bagai nikmat dalam kehidupan ini. Maka, dengan anugerah nikmat ini kita dapat menjalani kehidupan dengan sempurna sebagai makhluk yang terbaik ciptaan-Nya.

Kadang-kala kita seakan terlupa akan nikmat-nikmat yang telah kita kecapi. Seringkali kita melihat nikmat yang mendatang tetapi kita terlupa akan nikmat yang telah ada pada diri kita. Sedangkan nikmat yang ada pada diri kita sudah tidak mampu untuk kita syukuri.

Firman Allah AWT:
“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”  (az-Zaariyat: 21)

Benar, lihatlah pada diri kita. Biarpun ianya sekecil nikmat mengerdipkan mata tetap hadirkanlah rasa syukur yang sebanyaknya. Bayangkanlah jika Allah SWT menahan nikmat ini sebentar, tidakkah ia memberikan kesulitan kepada kita? Tetapi Allah, Tuhan yang senantiasa bersifat dengan Maha Kasih Sayang tidak pernah memberati akan hamba-Nya. Maka, tetaplah ditebarkan rahmat dan kasih sayang itu  kepada sesiapa sahaja biarpun hamba itu taat maupun engkar. Allahu Rabbi!

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Setelah selesai menciptakan makhluk-Nya, Allah menulis dalam kitab-Nya mewajibkan atas Diri-Nya sendiri: ‘Sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan (mengatasi) kemurkaan-Ku.” (Sahih Muslim, ni. 2751/jilid 4)

Alhamdulillah-alhamdulillah.

(Ahmed Bukhatir/Forgive Me)

Monday 25 November 2013

Jom gi kuliah bersama Big Boh!

Pengajian kitab Jam`ul Jawami` oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus
Tarikh : 25 November 2013
Tempat : Masjid Bukit Goh, Kuantan


Pakat datang ramai-ramai!

Friday 22 November 2013

Hari Jumaat, jadilah ahlinya

Sembahyang Jumaat merupakan sembahyang yang disyariatkan oleh Allah dan dituntut ke atas setiap mukmin. Ia dikerjakan pada hari Jumaat yang juga merupakan hari yang dimuliakan oleh Allah SWT. Inilah di antara kelebihan yang diberikan secara khusus kepada umat Nabi Muhammad saw. yang mana ia tidak diberikan kepada mana-mana umat terdahulu.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa dia telah mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Kita adalah umat yang akhir wujud di dunia ini dan umat yang pertama (mendapat kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat, sekalipun mereka lebih dahulu diberikan al-Kitab (syariat samawi) daripada kita. Kemudiannya, hari ini (Jumaat) adalah hari yang ditetapkan (diberi pilihan) kepada mereka (untuk mendekatkan diri kepada Allah), tetapi mereka berselisih padanya (tidak mahu menerimanya) lalu Allah memberi petunjuk kepada kita (agar menerima hari tersebut). Hari bagi Yahudi adalah esok (Sabtu) dan bagi Nasrani pada hari selepas esok (Ahad).” (al-Bukhari: 836, Muslim: 855)

Sembahyang Jumaat telah difardhukan di Mekah sejurus sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Walau bagaimanapun ia tidak dapat didirikan di Mekah disebabkan orang-orang Islam masih lemah dan ketidakmampuan mereka untuk berhimpun bagi mendirikannya pada ketika itu. Orang pertama yang telah menghimpunkan orang ramai untuk menunaikan sembahyang Jumaat di Madinah, sebelum Nabi berhijrah ialah As`ad bin Zurarah ra. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud (1069) dan lainnya daripada Ka`ab bin Malik.

Di antara dalil yang menunjukkan bahawa sembahyang Jumaat disyariatkan dan diwajibkan ialah berdasarkan firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkan berjual beli, yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Jumuah: 9)

Menjadi ahli Jumaat 

Pada hari kebangkitan semula di mahsyar kelak, bukan manusia sahaja yang akan dibangkitkan malah hari-hari yang wujud di dunia juga akan dibangkitkan semula. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari ra. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan semula hari-hari di akhirat kelak mengikut keadaan hari di dunia, dalam kebanyakan hari hanya hari Jumaat yang paling istimewa. Ia akan dibangkitkan dalam suasana warna-warni dan berseri-seri, adapun orang-orang yang menjadi ahli Jumaat, di akhirat kelak akan memeriahkan hari tersebut.”

Islam telah mengiktiraf hari Jumaat sebagai penghulu kepada sekelian hari. Hari Jumaat mempunyai berbagai-bagai keistimewaan dan menjadi keutamaan kepada orang-orang yang beriman. Mereka akan mengambil peluang dengan keistimewaannya dan mengisi dengan amal dan perkara-perkara yang dikehendaki Allah SWT.

Ahli Jumaat ialah mereka yang membesarkan hari tersebut lebih daripada hari-hari lain. Mereka membuat persiapan seawal pagi untuk menunaikan sembahyang Jumaat dengan mandi sunat, memotong kuku, memakai pakaian yang sesuai serta bau-bauan yang harum, banyak bersedekah serta berselawat kepada Rasulullah saw.

Dari Salman Al-Farisi ra. mengatakan bahawa Nabi saw. bersabda:
“Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau mengoleskan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia mendirikan solat yang sesuai dengan tuntunannya, lalu diam mendengarkan (dengan saksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (dosa-dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya.” (Riwayat Bukhari)

Kita dituntut memperbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah saw, terutama pada hari Jumaat. Ini kerana pada hari tersebut Allah SWT telah mengutuskan para malaikat khusus bagi menghimpunkan amalan selawat itu.

Berselawat adalah di antara bukti kasih kepada Rasulullah saw. Malahan Allah SWT dan para malaikat-Nya juga turut berselawat ke atas Nabi saw. Orang yang tidak mahu berselawat ke atas Nabi dianggap orang yang bakhil. Berselawat bukanlah sesuatu yang sukar, tidak perlu mengeluarkan tenaga yang banyak, memadai dengan hanya menggerakkan kedua-dua bibir. Jika ini pun payah hendak dilakukan maka tiadalah sebarang bukti kasih seorang yang mengaku umat Nabi Muhammad saw.

Walau bagaimanapun, berselawat sahaja tidak memadai. Mereka perlu membuktikannya pula dengan perbuatan, iaitu dengan melaksana dan memperjuangkan sunnah dan segala ajarannya. Sesungguhnya orang-orang yang bergelar ahli Jumaat akan mendapat keistimewaan di akhirat kelak. Apabila hari Jumaat dibangkit semula, ia dalam keadaan suasana yang berseri, bercahaya. Ketika itu ahli Jumaat akan keriangan di perhimpunan hari Jumaat yang dibangkitkan semula itu.

Ada juga orang yang tidak merasakan sesuatu kelebihan terhadap hari Jumaat. Mereka membuat persiapan untuk menyambutnya. Ada yang pergi sembahyang Jumaat di penghujung waktu, masih meneruskan kegiatan jual beli meskipun azan Jumaat telah pun berkumandang. Berborak di luar masjid sambil merokok ketika khatib sedang berkhutbah. Ada pula yang langsung tidak menunaikan sembahyang Jumaat. Malahan lebih teruk lagi jika ada yang tidak bersetuju atau membantah sekerasnya cuti minggu ditukar dari hari Ahad kepada hari Jumaat. Mereka menganggap sama sahaja hari Jumaat dengan hari yang lain.

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir ra. berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Idhul Fitri dan Idul Adha di sisi Allah, pada hari jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selama tidak memohon yang haram, dan di hari jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Monday 18 November 2013

Hijrah yang kecil tetapi besar


Assalamualaikum warahmatullah.
Alhamdulillah kita masih lagi diberikan kesempatan untuk berada di dalam bulan Muharam 1435H ini.

Di antara bulan yang mempunyai pengertian yang besar kepada umat Islam. Bulan yang dijadikan permulaan kiraan kalendar Islam yang telah memberi implikasi yang amat besar di sisi kedudukan dan penyebaran Islam. Berada di dalam bulan ini bermakna berada di dalam dakapan suasana hijrah ar-Rasul. Saban tahun umat Islam menyambut ulangtahun ini dengan berbagai-bagai acara.

Hijrah dari segi bahasa bermaksud keluar atau berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Hijrah berasal dari kalimah ‘hajara’ yang bermaksud menjauhi, meninggalkan atau berpisah. Dalam sejarah Islam, hijrah secara khusus merujuk kepada perpindahan Rasulullah saw dan para sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang dahulunya dikenali dengan nama Yathrib.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran mengenai hijrah:
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapatkan kemenangan. Tuhan mereka mengembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar.” (at-Taubah: 20-22)

Terlalu banyak pengajaran dan teladan yang terkandung di dalam peristiwa ini. Di antaranya hijrah membuka dimensi baru kehidupan dan ketamadunan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah SWT.

Saya tidaklah bermaksud untuk menceritakan kronologi dan pengajaran daripada peristiwa ini, kerana saban tahun kita telah mendengarnya. Bahkan dalam bulan ini kebanyakan kuliah dan tazkirah berkisar mengenai hijrah. Khutbah Jumaat juga begitu.

Saya ada kisah lain mengenai hijrah ini.

Hijrah yang kecil tetapi besar 

Saya teringat kepada seorang sahabat lama. Sahabat sekampung, berkawan dari sekolah rendah sehingga sekarang. Kami sama-sama ‘keluar’ dari kampung setelah mendirikan rumah tangga. Beliau ke utara semenanjung kerana mendapat pekerjaan di sana. Saya pula bertapak di negeri sebelah Pantai Timur. Sesekali kami bertemu apabila kebetulan pulang ke kampung khususnya pada hari raya.

Apa yang menarik mengenai dirinya ialah berkaitan satu hijrah yang telah dilakukan 14 tahun yang lalu. Bukannya apa, tidaklah sehebat mana, sekadar berhenti menjadi penagih rokok. Mungkin ada yang tersenyum sinis, mungkin juga ada yang tergelak sakan mendengarnya. Apalah sangat dengan berhenti merokok, soal kecil dan picisan sahaja. Tiada apa yang besar padanya.

Namun, saya tidak memandang begitu. Ianya satu hijrah yang besar buat dirinya. Mengapa saya berkata demikian? Saya melihat berapa ramai yang berazam untuk berhenti merokok tatkala tiba tahun baru tetapi tidak berjaya malahan semakin kuat pula mengulum asap rokok. Berapa ramai pula yang telah berhenti merokok tetapi akhirnya kembali menjadi penagih candu tersebut. Azam akhirnya tinggal azam.

Tetapi tidak kepada sahabat saya ini. Dia nekad.

Sahabat saya tergolong di antara orang yang kuat merokok. Melalui perbualan kami, saya mendapat tahu yang dia memang telah lama berhenti merokok. Jadi, tentu ada sesuatu yang ‘istimewa’ menyebabkan dia berjaya meninggalkan tabiat buruk itu. Saya teruja untuk mengetahuinya.


“Apa petuanya, ada makan ubat menghilangkan ketagihan merokok ke?” Saya cuba mengorek rahsia ketika kami bertemu di kampung pada hari raya beberapa tahun yang lalu. Terkejut sedikit dengan keadaan dirinya, nampak betul berisi.

Katanya, tidak ada apa-apa rahsia yang penting kemahuan diri serta azam yang sungguh-sungguh.

“Selain itu?, Bukannya apa nanti saya boleh berkongsi dengan rakan-rakan lain yang nak berhenti merokok.” Saya bertanya kembali.

Angin petang di bawah pokok jambu berhampiran rumahnya terasa nyaman sekali. Masih terasa suasana aidilfitri.

“Kata ustaz dalam satu kuliah, Imam al-Ghazali berpesan di antara cara untuk mengawal hawa nafsu ada tiga iaitu duduk di dalam majlis ilmu, merapati para alim ulama dan berpakaian cara Islam.” Ujarnya perlahan.

Saya hanya mendiamkan diri. Memberi peluang kepadanya meneruskan percakapan.

“Saya sentiasa berusaha melakukan ketiga-tiga perkara tersebut untuk meninggalkan nafsu merokok.”

“Ya, saya masih ingat bermula bulan Ramadhan tahun 1999 saya nekad meninggalkan tabiat merokok. Mula-mula memang susah, menggigil-gigil badan menahan ketagihan, buat apa pun serba tak kena. Serabut, marah dan macam-macam lagi. Itu baru ketagihan merokok kalau ketagih dadah macamana agaknya...” Tiba-tiba dia mengeluh sendirian. Dia bagaikan menyesali diri sendiri dan marah-marah dengan zaman lampaunya. Saya hanya melihat saja telatahnya yang agak melucukan itu. Suasana terasa agak sunyi seketika. Bayu petang yang bertiup menyentuh kulit muka membuat badan terasa segar.

Dia menyedut nafas dalam-dalam lalu menyambung semula: “Dan dalam masa yang sama saya sentiasa mencari-cari majlis ilmu walau sesibuk mana pun, serta bersahabat dengan orang-orang alim. Begitu juga saya sentiasa berkopiah, bukannya nak menunjuk apa-apa, tapi bila terasa nak merokok teringat kopiah di atas kepala, malu datang dengan sendiri. Bukan itu sahaja, nak buang plastik gula-gula pun saya malu kalau kopiah ada di atas kepala.”

“Itukah petuanya? Hmm.. menarik.”

Mendengar katanya ‘malu merokok jika kopiah ada di atas kepala’ mengingatkan saya kepada satu peristiwa. Ketika saya dan rakan-rakan bermusafir ke sebuah negeri. Kami singgah di sebuah warung untuk mengisi perut. Di sebelah meja kami kelihatan tiga orang dalam umur lingkungan 35 hingga 50 tahun, lengkap dengan berjubah dan berserban. Melihat daripada pakaiannya saya fikir mungkin mereka singgah minum selepas balik sembahyang isyak. Tetapi apa yang tidak cantik, dengan selamba berkepul-kepul asap rokok berhembusan.

Saya tidak kisah mereka mahu merokok, tetapi dengan pakaian yang sedemikian saya pula yang terasa malu. Entahlah saya tidak terfikir pula perasaan mereka ketika itu.

“Alhamdulillah, saya berjaya. Mula-mula sehari, tiga hari , semingu, sebulan, dua bulan, setahun, akhirnya rasa macam tak percaya dah 14 tahun tak merokok.” Dia memberitahu. Terukir di raut wajahnya tanda kepuasan. “Sekarang saya tengok kamu dah tak pakai kopiah lagi, kenapa. Nak merokok semula ke?” Saya sengaja mengusiknya sambil meletakkan tangan di atas bahunya. “Sekarang saya rasa sudah mampu bertahan. Bahkan bau asap rokok pun saya dah mula rasa pening.” Katanya sambil tersenyum.

“Bagus kisahnya, bolehlah saya kongsi dengan kawan-kawan yang lain. Satu lagi, saya tengok kamu semakin montel...”

Ha..ha..ha..

Kami sama-sama ketawa.

Mengapa sukar berhijrah?


Satu pertanyaan yang jujur.

Hijrah adalah satu tuntutan yang besar nilainya di sisi Islam. Allah sendiri memerintahkan Rasulullah saw berhijrah pada saat sukar bagi baginda mendirikan negara Islam pertama.

Benar, memang sukar untuk berhijrah. Namun, tiada alasan untuk kita berkata tidak mampu melakukan yang terbaik. Keinginan dan keyakinan antara faktor kejayaan disamping doa dan tawakkal kepada Allah. Penghijrahan bukan membabitkan soal perubahan semata-mata, tetapi soal jati diri dalam kehidupan. Kepayahan yang dihadapi adalah kemanisan dan kebahagiaan di masa hadapan. Alangkah bahagianya mereka yang dapat mengecapinya.

“Pesan Imam al-Ghazali di antara cara untuk mengawal hawa nafsu ada tiga iaitu duduk di dalam majlis ilmu, merapati para alim ulama dan berpakaian cara Islam”.

Jom hijrah!

Sunday 17 November 2013

Lawak: Hantu yang kacau budak kecil...

Oleh Big Boh ustaz Azhar Idrus


Friday 15 November 2013

Hukum membatalkan puasa sunat

Soalan:

Saya ada beberapa persoalan berkenaan dengan puasa sunat kerana jarang kita dengar ulasan berkenaan puasa ini.
1. Apakah hukum membatalkan puasa sunat dengan sengaja sama ada makan atau minum atau jimak?
2. Adakah perlu mengantikannya semula?
3. Jika melakukan jimak, adakah wajib kaffarah?
Secara keseluruhannya adakah hukum membatalkan puasa sama ada puasa sunat atau puasa di bulan ramadhan adalah sama? Harap ustaz dapat menjelaskan pertanyaan ini.

Jawapan:

Terdapat hadis di mana Rasulullah –sallalahu ‘alaihi wasallam- bersabda: “Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya sendiri. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ummu Hani r.a.. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5122. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh).

Berdasarkan hadis ini, jumhur ulama (Imam Syafiie, Imam Ahmad, Sufyan as-Sauri, Ishaq dan sebagainya) berpandangan; puasa sunat tidak wajib disempurnakan sebagaimana puasa fardhu (sama ada puasa Ramadhan, puasa Qadha atau Nazar), yakni seorang yang berpuasa sunat harus ia membatalkannya mengikut kehendaknya. Namun jika ia membatalkannya tanpa sebarang keuzuran, hukumnya makruh dan tidaklah haram. Tidaklah wajib menggantikan/mengqadha puasa sunat yang dibatalkan itu, hanya disunatkan sahaja menggantinya.

Dari Abi Sa’id menceritakan: "Aku telah memasak makanan untuk Nabi. Apabila aku menghidangnya, seorang lelaki (yang datang bersama Nabi) berkata; ‘Aku berpuasa’. Nabi lantas berkata kepadanya; “Saudaramu telah menjemputmu dan bersusah payah (memasak) untukmu. Berbukalah dan gantilah puasamu itu pada hari lain jika kamu mahu.” (HR Imam al-Baihaqi. Menurut Imam Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari; sanadnya hasan. Dinaqalkan dari Tuhfah al-Ahwazi, juz. 2, bab Ja-a Fi Iftar as-Saim al-Mutatawwi’).

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berbeza pandangan dengan jumhur di mana menurut mereka; puasa sunat wajib disempurnakan apabila seseorang telah mula berpuasa berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu” (Surah Muhammad, ayat 33). Dan sesiapa membatalkannya, wajiblah ia mengganti/mengqadhanya. Namun jumhur ulama menjawab; larangan ayat tersebut ialah khusus bagi ibadah-ibadah fardhu sahaja, yakni ditegah seseorang membatalkan pahala ibadah fardhunya. Adapun ibadah sunat tidaklah ditegah membatalkannya kerana ia tidaklah diwajibkan. Lagipun, terdapat hadis yang mengharuskannya. (Tafsir al-Qurtubi, surah Muhammad, ayat 33).

Sumber: Ilmu dan ulamak

Bicara santai: Cuti-cuti


Alhamdulillah, selamat sampai di rumah.

Malam ini saya sekeluarga menuju ke Kemaman untuk mengambil anak kedua kami di asrama. Esok sekolahnya sudah mula bercuti. Negeri Terengganu bercuti pada hari Jumaat. Dengar cerita negeri Johor juga akan menukar kembali cuti hujung minggunya kepada hari Jumaat dan Sabtu. Satu perkembangan yang menarik. Mudah-mudahan negeri-negeri lain yang masih menetapkan cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad akan mengikutinya. Harap-harap negeri saya begitu juga.

Islam telah mengiktiraf hari Jumaat sebagai penghulu kepada sekelian hari. Hari Jumaat mempunyai berbagai-bagai keistimewaan dan menjadi keutamaan kepada orang-orang yang beriman.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa dia telah mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Kita adalah umat yang akhir wujud di dunia ini dan umat yang pertama (mendapat kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat, sekalipun mereka lebih dahulu diberikan al-Kitab (syariat samawi) daripada kita. Kemudiannya, hari ini (Jumaat) adalah hari yang ditetapkan (diberi pilihan) kepada mereka (untuk mendekatkan diri kepada Allah), tetapi mereka berselisih padanya (tidak mahu menerimanya) lalu Allah memberi petunjuk kepada kita (agar menerima hari tersebut). Hari bagi Yahudi adalah esok (Sabtu) dan bagi Nasrani pada hari selepas esok (Ahad).” (al-Bukhari: 836, Muslim: 855) 

Pada hari kebangkitan semula di mahsyar kelak, bukan manusia sahaja yang akan dibangkitkan malah hari-hari yang wujud di dunia juga akan dibangkitkan semula. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari ra. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan semula hari-hari di akhirat kelak mengikut keadaan hari di dunia, dalam kebanyakan hari hanya hari Jumaat yang paling istimewa. Ia akan dibangkitkan dalam suasana warna-warni dan berseri-seri, adapun orang-orang yang menjadi ahli Jumaat, di akhirat kelak akan memeriahkan hari tersebut.” 

Maka beruntunglah orang-orang yang menjadi ahli Jumaat. Mereka membuat persiapan seawal pagi untuk menunaikan sembahyang Jumaat dengan mandi sunat, memotong kuku, memakai pakaian yang sesuai serta bau-bauan yang harum, banyak bersedekah serta banyak berselawat kepada Rasulullah saw. Tetapi bagi yang bekerja pada hari Jumaat termasuk saya tentu ia sesuatu yang agak sukar. Namun, setakat mana yang termampu dilakukan untuk mengambil keberkatan Jumaat, jika tidak buat mampu semua, jangan tinggal semua.

Buat masa ini, saya masih tidak berani ‘melepaskan’ anak perempuan saya ini balik menaiki bas. Bukannya apa, bimbang dengan dengan perlakuan jenayah hari ini. Setiap hari ada sahaja terdengar kes-kes jenayah yang tidak terduga oleh akal. Rompak, ragut dan samun itu biasa. Trend jenayah sekarang ialah tembak menggunakan senjata api. Setelah suspek yang menembak pegawai Ambank ditangkap, berlaku pula tembakan ke atas penolong pengarah penguatkuasa Jabatan Agama Pahang. Tidak jauh dari tempat saya. Kejadian tembakan itu berlaku di hadapan rumahnya. Aneh, jika ada yang masih berkata, “syukurlah Malaysia masih aman!” Bukan mahu berpolitik, tetapi itulah hakikatnya.

Insya-Allah, esok saya akan ke Jerantut pula untuk mengambil anak sulong saya. Anak lelaki saya ini biasanya pulang dengan menaiki bas. Tetapi disebabkan cuti akhir tahun, maka banyak barang yang perlu di bawa pulang. Selain itu bolehlah membawa keluarga berjalan-jalan  di sekitar daerah Jerantut.

Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT.

Monday 11 November 2013

Khatam al-Quran bukan khatam selama-lamanya, ingatan buat diri


“Tahniah acik sebab dah khatam al-Quran,” saya mengucapkan tahniah usai majlis penyerahan sijil khatam al-Quran siang tadi. Kafa at-Taqwa dipenuhi dengan ibu bapa dan para pelajar.

Hari ini saya mengosongkan jadual semata-mata mahu meraikan majlis ini. Sama seperti tahun-tahun yang sudah meraikan majlis khatam al-Quran abang dan kakaknya. Saya sendiri sudah berazam untuk tidak gagal menghadiri apa sahaja acara sekolah anak-anak. Saya tahu betapa besarnya majlis ini kepada mereka. Saya mencuba semampu yang mungkin.

Kadang-kadang ada juga rasa terkilan kerana memikirkan betapa saya kurang dapat memberikan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak dek sibuk dengan tugasan yang bertali arus. Saya membaca, Stephen Covey yang beranak sembilan itu pun tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab dalam hal ini. Tinggal di negara sepesat dan sesibuk US tentu ia bukanlah suatu yang mudah dilakukan. Namun beliau berjaya melakukannya.

“Khatam maknanya tamat. Jadi, acik dah tamat baca dari muka surat pertama sampai muka surat terakhir. Tapi khatam bukan bermakna dah tak payah baca, al-Quran kena baca selalu.” Uminya pula menambah.

Anak ketiga saya itu tersenyum menampakkan lesung pipitnya.

“Betul tu, tiap-tiap hari kena baca al-Quran. Bukannya dah tamat baca, maka tamatlah untuk selama-lamanya.” Saya menyambung, menjelaskan agar tidak tersilap pemahamannya.

Tidak maksudkan sesiapa  tetapi ingatan buat diri

Allah SWT telah mengurniakan nikmat kepada para hamba-Nya dengan menurunkan satu kitab yang tiada sebarang kebatilan baik dahulu maupun sekarang. Di dalamnya terkandung panduan-panduan pemisah di antara yang halal dan yang haram. Fungsinya sebagai cahaya petunjuk, maka barangsiapa yang berpegang teguh dengannya, akan selamatlah di dunia dan akhirat.

Salah satu sebab terjaganya al-Quran di dalam hati dan mushaf, ialah dengan melazimi dan mengekalkan pembacaannya.

Al-Quran bererti “baca”. Qurani bererti “baca”, qoro-a baca, “yaqro-u” bererti baca terus-menerus, “Quraanan” bererti bacaan. Apabila Allah SWT menurunkan sebuah kitab namanya “Quran” yang bererti baca, tiba-tiba ia terbiar di dalam almari tanpa dibaca, seolah-olah “Quran” yang tidak “Quran” (bacaan yang tidak dibaca).

Seolah-olah, setelah khatam maka ia adalah khatam yang selama-lamanya. Al-quran tersimpan rapi di dalam almari. Jika dibuka pun apabila tiba bulan Ramadhan, selepas itu disimpan kembali. Ataupun al-Quran menjadi warisan apabila ada anak-anaknya yang akan mula belajar mengaji. Inilah penyakit yang tidak diketahui sejak bilakah ia bermula.

Saya suka membaca kisah orang-orang yang bertaubat kembali ke pangkal jalan. Saya mengambilnya sebagai satu teladan hidup. Seringkali mereka berkata di akhir penyesalan mereka:

“Sudah lama saya tidak membaca al-Quran..."

“Dulu semasa kecil saya sering berulang-alik ke rumah tuan guru belajar mengaji tetapi...”

Saya tidak maksudkan kepada sesiapa, jauh sekali menuding jari kepada mana-mana individu. Perkataan saya secara umum. Peringatannya lebih menjurus kepada diri saya. Realitinya ada yang begitu. Moga dilindungkan daripada penyakit yang sebegini.

Tahniah acik kerana dapat tafsir al-Quran dan kain telekung sebagai hadiah.

Saturday 9 November 2013

Ada Syurga Di Rumahku


Ada ungkapan yang menyebut: "Jika ada syurga di dunia, itulah keluarga yang bahagia. Dan jikalau ada neraka di dunia, itulah keluarga yang jauh daripada kedamaian." Justeru dengan penampilan buku ini, penulis ingin menghadirkan syurga itu untuk masuk ke dalam rumah-rumah kita dan mengusir semampu mungkin panasnya bahang api neraka daripada rumah-rumah kita.

Sesungguhnya jalan ke syurga begitu mudah jika benar-benar menuruti perintah Allah, tetapi ramai manusia gagal menemui jalan yang telah ditunjukkannya, malah tidak tahu jalan untuk arah ke sana. Adakalanya tersesat dalam perjalanan oleh tipu daya syaitan yang tidak berhenti menyanyikan irama dan lagu pengkhianatan.

Maka, untuk membantu setiap para ibu bapa serta anak-anak agar terselamat daripada kesesatan yang diperkenalkan oleh musuh manusia yang bernama syaitan, maka buku "Ada Syurga Di Rumahku" ini berusaha memacakkan tiang-tiang petunjuk arah jalan ke syurga dunia dalam buku yang padat ini.

Dengan gaya bahasanya yang mudah dan menarik, penulis yang berstatus pendakwah berpengaruh terkenal ini meracik tip-tipnya yang praktikal bagi setiap Muslim untuk dapat membangun syurga di dalam rumah tangga masing-masing.

Antaranya mencakup ibadah berjemaah, berbakti kepada ibu bapa, mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan menjauhi akhlaq buruk. Ini kerana cinta dan kasih sayang adalah kunci daripada semua yang disebut tadi. Penulis telah menyediakan tapak untuk membina syurga dalam rumah tangga keluarga Muslim menerusi 16 bab secara praktikal, agar ia dirasakan satu pendekatan yang sempurna dalam segenap perbahasan yang dibicarakan. Penulis memulakan perbincangan mengenai kenikmatan nilai sebuah keluarga yang dibangunkan atas dasar kebenaran agama.

Kasih sayang menjadi alat yang digunakan untuk berinteraksi sesama anggota keluarga. Segenap anggota seperti ayah, ibu dan anak-anak mempunyai peranan dan tanggungjawab.

Tajuk : Ada Syurga Di Rumahku
Penulis : `Amru Khalid
Penerbit : Alam Raya Enterprise Sdn Bhd
Harga : SM 25.00 / SS 27.50
M/s : 305

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Thursday 7 November 2013

Buku Iqra`, betulkan segera!

Assalamualaikum warahmatullah.

Ketika sedang melayari dari satu blog ke satu blog, saya terbaca satu artikel yang saya rasa wajarnya dikongsi bersama sahabat-sahabat sekelian.  Meneliti laporan yang dibuat, saya rasa tidak seharusnya perkara ini boleh berlaku.

Laporan yang bertajuk Buku Iqra`: 447 kesalahan, 18 tahun tiada pembetulan", ternyata ianya amat mendukacitakan. Berita ini juga telah disiarkan di dalam sebuah akhbar tempatan pada tahun lepas, namun tidak terdengar apa-apa tindakan susulan.(lihat disini)

Oleh itu, saya amat berharap pihak yang berwajib mengambil tindakan dengan segera kerana ini pasti akan mengelirukan para pengguna khususnya pelajar. Jika ini tidak diambil cakna maka tidak mustahil akan lebih ramai pelajar yang tidak pandai membaca al-Quran, ataupun membaca dalam keadaan tidak betul.

Pihak berwajib juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau isu ini dan mencari satu kaedah serta formula baru yang lebih berkesan untuk menangani masalah murid buta al-Quran. Jika perlu, pengedaran buku tersebut juga harus diberhentikan segera dan buku dengan kaedah yang lebih dinamik serta berwibawa perlu dihasilkan.

Harap-harap...

Buku Iqra': 447 kesalahan, 18 tahun tiada pembetulan


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary, mempersoal tindakan kerajaan yang sehingga kini masih belum membetulkan sejumlah 477 kesalahan dalam buku Iqra' yang diajar kepada pelajar sekolah kebangsaan dalam mata pelajaran pengajian al-Quran di seluruh negara.

Bercakap sewaktu membahaskan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat hari ni, beliau berkata, tindakan itu memperlihatkan sikap tidak serius kerajaan, yang memandang remeh terhadap pendidikan Islam khususnya dalam pengajian al-Quran.

Beliau merujuk kepada satu kajian oleh aktivis pendidikan terhadap Buku Iqra' (cara cepat membaca Al-Quran) Rasm Uthmani, karangan Ustaz Haji As'ad Humam daripada Indonesia, yang didapati mengandungi 447 kesalahan dan kekeliruan.

"Kita kesal dengan sikap kerajaan yang seolah-olah memandang remeh soal pengajian Al-Quran.

"Kenapa buku Interlok ditarik balik hanya kerana ada perkataan 'paria', sedangkan dalam Buku Iqra' ada 447 kesalahan tapi terus dibiar untuk digunakan," katanya pada sidang media selepas itu.

Menurutnya, isu ini pernah dibangkit oleh ahli parlimen PAS ketika penggal lalu, namun sehingga kini, kesalahan dalam buku yang diguna sejak 18 tahun itu, tidak dibetulkan.

"Saya mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya membekukan pengagihan ini bagi mengkaji semula buku modul ini dengan diganti buku modul baru," katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan dengan kuasa Menteri Pendidikan melalui KPM menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan Khas di bawah Seksyen 127 dan 144, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Peruntukan kewangan KPM bagi tahun 2014 sebanyak RM54,600,593,800 juga katanya diharap boleh dimanfaatkan untuk mengatasi masalah itu. Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan menggesa kerajaan bertindak segera membuat semakan dan pembetulan terhadap dakwaan kesilapan itu.

"Kalau kerajaan gagal tangani isu ini dan memandang remeh, ini satu pengkhianatan besar kepada rakyat negara ini.

"Kita sedia gerakkan bantahan rakyat secara besar-besaran. Ini soal masa depan anak-anak kita khususnya orang Islam," katanya. (Harakahdaily: 07 November 2013)

Tuesday 5 November 2013

Salam Ma`al Hijrah 1435H


Assalamualaikum warahmatullah.

Salam ma`al hijrah kepada semua pengunjung pondok kecil abuihwan. Mudah-mudahan permulaan tahun baru ini memberikan harapan dan kebaikan dalam menjalani kehidupan seterusnya.

Sungguh tidak terasa, putaran waktu begitu cepat berlalu. Pergantian hari menggenapkan hitungan minggu, bulan dan tahun. Pergantian ini bukanlah tanpa sebarang makna. Pergantian ini adalah sebahagian dari kekuasaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal.” (Ali `Imran: 191)

Masa yang berlalu memberikan makna bahawa telah bertambah usia kita, maka secara automatiknya semakin berkurangan baki umur kita. Maka ia memberikan isyarat semakin kita mendekati janji kematian.

Kata Imam Hasan al-Basri rah:
“Sesungguhnya kamu ini hanyalah bilangan sahaja. Jika satu hari telah berlalu, maka akan berkurang umur kamu.” 

Jika Allah taqdirkan jumlah umur kita 60 tahun, sekarang umur kita telah 30 tahun maka telah separuh daripada umur kita. Jika umur kita telah 50 tahun maka tinggal secubit lagi baki umur kita. Ibarat sebatang kayu yang dipotong sedikit demi sedikit setiap hari, akhirnya akan habis kayu tersebut.

Demikianlah ibarat. Semoga dengan permulaan tahun hijrah 1435 dan dengan baki usia yang masih tersisa dihujung jari ini, marilah kita menjadikan kehidupan hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari seterusnya. Bukankah kita adalah umat yang terbaik?

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran serta beriman kepada Allah." (Ali `Imran: 110)

Sunday 3 November 2013

Meraikan hari anak-anak


“Nanti masa terima sijil tengok kat abi ye, abi nak ambil gambar,” saya memberitahu kepada acik.

Hari ini saya sekeluarga menghadiri majlis Khatam al-Quran dan anugerah kecemerlangan Kafa at-Taqwa yang ke-19. Kalau begitu anak saya adalah generasi ke-19 Kafa at-Taqwa mengkhatam al-Quran. Tahun-tahun yang lalu anak sulong dan kedua saya juga mengkhatam al-Quran di kafa ini.

Seronok saya melihat gelagat anak-anak ini. Majlis ini adalah hari meraikan mereka.

Saya dulu mengaji al-Quran di rumah tuan guru di kampung. Walaupun beberapa kali tamat membaca al-Quran, tetapi tidak pernah diadakan majlis khatam al-Quran seperti hari ini, melainkan sekadar memperdengarkan bacaan kepada tuan guru. Kemudian ditutup dengan doa oleh tuan guru. Tiada perasmian dan ucapan oleh orang besar, tiada persembahan pelajar di atas pentas dan tiada makan besar melainkan sedikit jamuan ringan.

Sijil juga tiada.

Meraikan anak-anak 

Apa sahaja, majlis khatam al-Quran, hari graduasi, hari anugerah kecemerlangan atau majlis penyampaian hadiah, ia adalah hari untuk meraikan anak-anak kita. Saya sentiasa cuba memastikan dapat hadir apa sahaja program atau majlis untuk anak-anak. Saya tahu betapa besarnya makna majlis ini kepada mereka. Namun, kadang-kadang saya terlepas juga untuk meraikannya apabila bertembung dengan beberapa program kebajikan atau saya terpaksa keluar kawasan.

Semasa di sekolah rendah, seringkali saya naik ke pentas untuk menerima hadiah kecemerlangan. Bermula dari darjah satu hinggalah darjah enam. Namun,ibu dan bapa saya tidak pernah datang ke sekolah meraikannya. Biasanya abang atau kakak yang datang sebagai pengganti. Tetapi saya tidak pernah berkecil hati atau menyalahkan mereka, saya benar-benar memahami akan kesusahan mereka pada waktu itu. Kesungguhan mereka menanggung persekolahan saya biarpun sekadar bekerja kampung amat saya hargai. Bahkan ianya satu jasa yang terlalu besar nilainya yang tidak akan mampu saya balas.

"Mudah-mudahan Allah SWT merahmati kedua ibu bapaku di atas kebaikan mereka..."

Apapun, hari ini adalah hari anak-anak kesayanganku. Saya akan cuba meraikan mereka biarpun tubuh dan minda bersimpang kepenatannya. Kerana hari ini adalah hari mereka.

Friday 1 November 2013

Terima kasih MB


Siang tadi Yang Berhormat Menteri Besar Pahang telah mengumumkan bahawa hari Isnin depan adalah cuti peristiwa. Ini berikutan perlawanan akhir Piala Malaysia di antara pasukan Pahang dan Kelantan. Terdahulu Menteri Besar Kelantan juga telah membuat pengumuman yang sama.

Saya percaya, berita ini tentunya disambut dengan gembira oleh rakyat jelata kedua-dua negeri. Seharusnya begitu. Perlawanan akan diadakan di Stadium Shah Alam pada hari Ahad. Bagi yang telah bercuti keesokannya pasti tiada masalah. Tetapi bagi yang bekerja tentu amat menyulitkan kerana terpaksa bergegas pulang. Dengan badan yang letih dan mata yang mengantuk, memandu dalam keadaan begini akan membahayakan. Perjalanan bukannya dekat. Dari Shah Alam menuju ke Pahang dan Kelantan.

Apa pun pengumuman ini amat baik dan sesuai. Saya turut meraikannya. 4 hari cuti bermula Sabtu hingga Selasa. Benak ligat berfikir ke mana 4 hari itu mahu dihabiskan.

Terima kasih MB...