Sahabat Sejati

Friday 4 October 2013

Bicara santai: Cerita aku dan hujan


Lebat betul hujan petang ini. Rintik-rintik kasar berleluasa menerjah bumi. Deretan pokok di tepi pagar meliuk-liuk mengikut arah tiupan angin.

Saya yang usai solat asar di surau tempat kerja terperangkap untuk balik ke pejabat. Payung pula tidak dibawa. Hujan tidak ada tanda-tanda mahu berhenti. Jarak dari bangunan surau ke pejabat tidaklah sejauh mana, tetapi berjalan tanpa payung dalam keadaan hujan lebat tentu basah kuyup. Jika tidak bernasib baik ditimpa demam pula.

Saya mengambil keputusan untuk menunggu hujan reda sedikit. Tiada apa yang mahu dikejarkan, solat asar sudah ditunaikan, kerja-kerja pejabat pun sudah dibereskan. Cuma menunggu waktu pulang sambil menunggu hujan berhenti.

Imam Ibnu Kathir, seorang ulama mufassirin ada mengisahkan tentang Malaikat Mikail dan peranan tugasnya. Malaikat Mikail ditugaskan untuk menguruskan hujan dan tumbuh-tumbuhan yang daripadanya berbagai rezeki diciptakan di alam ini. Diceritakan juga, Malaikat Mikail mempunyai beberapa pembantu. Mereka melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka melalui Malaikat Mikail yang berdasarkan perintah Allah SWT. Mereka mengatur angin dan awan, menurunkan hujan, menguruskan tumbuhan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu, biarlah malaikat Mikail yang menguruskannya dengan izin Allah SWT. Saya hanya mampu menunggu dan berdoa agar hujan segera reda.

Saya mengintai-ngintai di sebalik jendela. Tempias hujan yang terpercik mengalir di cermin kaca. Sesekali kilat memancarkan cahaya kuning dan diikuti dengan dentuman guruh yang menggentarkan perasaan.

Teringat pada sebelah tengaharinya saya berbual dengan rakan sekerja. “Panas betul hari ini. Membahang...” katanya sambil mengesat muka dengan sapu tangan.

Saya mengangguk, tanda bersetuju dengan kata-katanya.

Saya turut terasa bahang panasnya. “Biasanya kalau panas macam ni, hujan nak turun. Mungkin petang ini hujan,” saya menjawab. Kebiasaannya memang begitu. Jika panas hangat waktu tengahari, maka pada waktu akan turunlah hujan. Kena gayanya berlarutan hingga ke malam hari.

Telahan saya tepat. Petang itu hujan turun dengan lebatnya, tidak cukup dengan itu diselangi pula dengan kilat dan guruh. Allahu rabbi, gerun dan cuak juga perasaan di dalam dada.

Semasa kecil dahulu saya sangat suka mandi hujan tetapi dalam masa yang sama amat takut dengan kilat dan guruh. Awal-awal lagi saya sudah berkurung di dalam rumah jika hujan berserta kilat dan guruh. Biasanya saya akan menempel di sudut dinding atau berbungkus dengan selimut sambil memejamkan mata dan menekupkan telinga. Tetapi itu semasa kecil dahulu, sekarang ini tidak sampailah sebegitu.

Sambil menyandarkan belakang ke dinding surau, saya cuba membayangkan bagaimana keadaan ribut taufan yang menghancurkan kaum `Aad. Tentu kedahsyatannya tidak dapat digambarkan dengan suasana hiruk-pikuk, kelam-kabut serta suara menjerit dan menangis.

Pengajaran kisah kaum `Aad 

 Gambar hiasan: Taufan Nesat di Manila (sumber foto)

Diceritakan di dalam kisah para Nabi, pembalasan Allah terhadap kaum `Aad yang ingkar diturunkan dalam dua tahap. Tahap pertama berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun mereka, sehingga menimbulkan kegelisahan dan keresahan. Bimbang jika mereka tidak akan memperolehi hasil daripada ladang dan kebun sebagaimana biasa.

Dalam keadaan demikian, Nabi Hud masih berusaha menyakinkan mereka bahawa kemarau itu adalah suatu permulaan seksaan Allah yang dijanjikan dan Allah masih lagi memberikan kesempatan untuk mereka sedar dan kembali beriman dengan meninggalkan segala keburukan yang mereka lakukan. Jika mereka bertaubat dan memohon ampun kepada Allah, maka Allah akan menurunkan hujan yang manyuburkan kembali tanaman mereka. Akan tetapi mereka tidak percaya dan menganggap apa yang dikatakan oleh Nabi Hud hanyalah janji kosong. Bahkan mereka pergi memohon perlindungan kepada berhala-berhala mereka agar terhindar daipada musibah itu.

Akibat keingkaran mereka, Allah mendatangkan pula tahap kedua iaitu dimulai dengan gumpalan awan hitam yang tebal menyelubungi mereka. Kaum `Aad menyambutnya dengan sorakan gembira kerana menyangka hujan akan turun membasahi tanaman mereka.

Berkata Nabi Hud kepada kaumnya: "Awan hitam itu bukanlah awan rahmat tetapi awan yang membawa kehancuran sebagai balasan Allah yang telah dijanjikan untuk membuktikan kata-kataku yang seringkali kamu semua dustakan."

Sejurus kemudian apa yang disebut oleh Nabi Hud menjadi kenyataan, maka datanglah ribut taufan yang dahsyat disertai suara guruh yang menggerunkan. Manakala tiupan angin kencang sehingga menerbangkan jauh bangunan-bangunan dan binatang ternakan. Keadaan kaum `Aad menjadi panik, berlari ke sana, ke sini untuk mencari perlindungan. Bencana ribut taufan mengganas selama tujuh malam lapan hari meranapkan apa sahaja sehingga semuanya menjadi rata dengan tanah. Demikianlah Allah SWT membalas kaum `Aad yang sombong dan ingkar dengan menghancurkan mereka dalam keadaan hina.

Allah SWT menggambarkan kisah ini di dalam al-Quran:
“Adapun `Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. Yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan)lompang. Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?” (al-Haqqah: 6-8)

Di dalam surah yang lain, Allah SWT berfirman:
“Akhirnya mereka dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, dengan benar lagi adil, lalu Kami jadikan mereka sebagai sampah-sarap (yang dihanyutkan oleh banjir). Maka kebinasaanlah kesudahannya bagi kaum yang zalim itu.” (al-Mukminun: 41)

Sesungguhnya di dalam kisah ini ada ibrah dan pengajaran bagi umat yang akan datang.

Hujan masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Nampaknya saya terpaksa juga meredahnya. Dengan lafaz Bismillah saya mengatur langkah. Mudah-mudahan hujan yang membasahi saya ini terkandung rahmat-Nya yang seringkali didamba..

Bismillah...

0 comments:

Post a Comment