Sahabat Sejati

Thursday 5 September 2013

Kenangan masih basah: Cerita telaga

Gambar hiasan (sumber)

Telaga.

Saya hampir terlupa mengenainya. Rasanya sudah lama saya tidak menyebut kalimah itu. Mungkin seiring dengan banyaknya telah tertimbus telaga di kampung-kampung, maka saya turut melupainya. Sejak meluasnya paip air mengambil tempat di rumah-rumah, maka dengan sendirinya telaga atau perigi mulai tersisih.

Masa yang lama...

Sehinggalah suatu hari ketika saya sedang bersantai-santai mendengar radio. Sebenarnya saya bukanlah selalu mendengar radio. Ada masa-masanya sahaja. Mendengar pun melalui telefon bimbit. Tiba-tiba perkataan telaga muncul kembali menerjah ke rongga telinga. Tersenyum saya sendirian, benak memunggah kembali kenangan mandi di telaga. Saya cukup sinonim dengan telaga semasa kecil dahulu.

Tercuit hati saya mendengar celoteh DJ bertugas melayani pendengar. Ramai pula pendengar yang menelefon untuk berkongsi pengalaman mengenai telaga. Macam-macam cerita yang dapat didengar. Ada yang bercerita pengalaman menggali telaga, pengalaman zaman budak-budak mandi di telaga dan yang paling menarik pengalaman jatuh ke dalam telaga.

Zaman kanak-kanak...

Keluarga saya tinggal di sebuah kampung yang cukup harmoni. Rumah saya terletak di hujung baruh jauh daripada rumah penduduk yang lain. Di situ hanya ada dua buah rumah iaitu rumah kami dan rumah nenek. Rumah kami tidak ada bekalan air dan elektrik. Kami sudah biasa dengan terang malap cahaya pelita dan mencedok air perigi.

Arwah ayah menggali satu telaga di hujung dapur berbentuk empat segi, letaknya berhampiran pokok bacang yang batangnya sebesar pemeluk. Dinding telaga dibuat dari susunan batang kayu untuk mengelakkannya runtuh. Tetapi kebanyakan telaga hari ni telah menggunakan simen berbentuk bulat sebagai dindingnya. Orang memanggilnya kerek telaga, tetapi di tempat saya lebih dikenali dengan panggilan belindan telaga. Manakala di sekeliling telaga pula arwah ayah pagari dengan susunan pelepah kelapa yang dianyam cantik.

Disitulah kami sekeluarga mandi, membasuh pakaian dan juga untuk kegunaan lain. Saya masih ingat, tatkala selesai mandi masing-masing akan membimbit sebaldi seorang air untuk dibawa pulang. Besar atau kecil baldi bergantung pada usia. Air yang dibawa pulang untuk memenuhkan tempayan guna untuk memasak dan lain-lain keperluan. Kebiasaan saya hanya melenggang tidak membawa apa-apa, cuma sekali-sekala membawa pulang kain basahan.

Masih segar diingatan, tatkala keletihan bermain sesama adik-beradik, kami akan meneguk air telaga untuk menghilangkan haus. Semuanya gara-gara malas naik ke rumah mengambil air. Yang peliknya tidak pernah kami semua merasa sakit perut akibat minum air yang tidak dimasak. Entahlah, mungkin zaman itu alam belum lagi tercemar seperti hari ini. Demikianlah, saya hanya membuat andaian.

Kini saya mula berfikir betapa telaga yang ayah gali adalah lambang pengorbanan dan kasih sayang yang mahu membesarkan anak-anaknya. Saya bersyukur kerana pernah merasai sejuknya air telaga. Ia kenangan sepanjang zaman.

0 comments:

Post a Comment