Sahabat Sejati

Saturday 28 September 2013

ORANG YANG INGIN MELAKUKAN KORBAN, DILARANG MEMBUANG RAMBUT DAN KUKU

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM USTAZ. SAYA ADA BACA MENGENAI ORANG YANG NAK BUAT KORBAN MAKA JANGAN POTONG RAMBUT DAN KUKU. BILA MULA ORANG ITU TIDAK BOLEH BERBUAT DEMIKIAN DAN SAMPAI BILA. MOHON PENJELASAN.TERIMA KASIH.

Jawapan:

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.

Disunatkan orang yang ingin melaksanakan korban untuk tidak memotong kukunya, mencukur/memotong rambut dan juga mencukur/mencabut bulu pada badannya sama ada bulu ketiak, bulu ari-ari, misai, janggut dan sebagainya apabila masuk bulan Zulhijjah dari hari pertamanya hinggalah setelah korbannya dilaksanakan. Jika dilakukan hukumnya adalah makruh.

Ini berdalilkan sabda Nabi saw: “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah (yakni mengetahui masuknya bulan Zulhijjah), sesiapa dari kamu yang ingin melakukan ibadah korban hendaklah dia menahan (menangguh) dari (membuang/memotong) bulu/rambut dan kuku-kuku di badannya hingga ia melaksanakan korbannya.” (Soheh Muslim; 1977/41, dari Ummu Salamah RA).

Menurut Syeikh Ibrahim al-Marwaruzi; hukum anggota-anggota badan yang lain sama seperti hukum rambut/bulu dan kuku (yakni makruh dibuang sebelum dilaksana korban).

Menurut ulamak; hikmah tegahan ini ialah supaya keampunan Allah yang datang melalui ibadah korban itu akan meliputi seluruh tubuhnya termasuklah rambut, bulu-bulu badan, kuku dan sebagainya.

Menurut Syeikh Mansur Ali Nashif; ia juga dituntut dari ahli keluarga orang yang melakukan korban supaya keampunan Allah yang sempurna itu turut merangkumi mereka (at-Taj al-Jami’, 3/115).

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 8/284.
2. Sabilal-Muhtadin, hlm. 908.
3. At-Taj al-Jami’, Syeikh Mansur Ali Nashif; 3/115.
4. Mirqaat al-Mafatih, bab al-Udhiyah.

Sumber: Ilmu dan Ulama`

Friday 27 September 2013

Al-Fatihah, Ustaz Azizan Razak kembali ke rahmatullah

Takziah kepada keluarga dan saudara-mara mantan Menteri Besar Kedah (2008 - 2013), al-Fadhil Ustaz Azizan Razak. Allahyarham meninggal dunia pada 26 September 2013 jam 11.10 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, pada usia 69 tahun akibat kompilasi jantung.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan beroleh maghfirah. Al-Fatihah.

Thursday 26 September 2013

Pecal mempelam, nikmat rezeki daripada-Nya


Mempelam muda.

Mendengar namanya sudah tentu ramai yang dapat membayangkan rupa dan rasanya. Masam bukan kepalang. Sesetengah orang memanggilnya buah mangga. Saya tidak tahu jika ada yang sanggup memakannya. Kecuali jika dimakan dengan kicap bercampur gula dan hirisan lada, ditempat saya dipanggil makan ‘colek’. Atau setidaknya dicecah dengan garam halus.

Tetapi zaman budak-budak dahulu, saya dan rakan-rakan boleh pula ‘membahamnya’ begitu saja tanpa menghiraukan masamnya yang mampu mengembangkan pipi dan mengenyitkan mata.

Teringat seloroh seorang rakan: “Makanan yang paling enak dimakan ialah ketika zaman kanak-kanak.” Benar, saya masih mengingati dan mengecapi zaman itu. Apa yang terhidang, dinikmati tanpa karenah dan sungutan. Semuanya terasa sedap dan enak. Saya masih ingat, buah senduduk masak yang rasanya pahit-pahit kelat yang menjadi makanan burung merbuk pun boleh dikunyah sehingga gigi menjadi kebiruan. Tersenyum saya sendirian mengingati zaman itu.

Pecal mempelam


Hari ini mertua berserta keluarga adik ipar saya datang bertandang ke rumah. Ibu mertua saya jika datang tidak pernah dengan tangan kosong. Ada sahaja buah tangan yang dibawa dari kampung untuk anak cucu. Jagung, durian, duku, ubi kayu, sayuran dan sebagainya. Paling tidak pun buah kelapa yang tidak bermusim itu.

Memanglah satu rahmat apabila mertua sentiasa membawa kelapa atau mengirimnya kepada ipar saya setiap kali datang ke rumah. Maklumlah di taman perumahan saya tidak ada pokok kelapa. Tetapi untuk mendapatkan santan segar sebenarnya tidak sesukar mana, boleh sahaja membeli di pasar basah berhampiran taman, itupun sebelum pasar ditutup pada pukul 2 petang. Jika tidak terpaksa pula membeli kelapa di pasaraya atau santan di dalam kotak. Semuanya perlu dibeli.

Sesekali terfikir juga beruntung jika dapat duduk di kampung. Sayur-sayuran boleh di tanam belakang rumah, ayam dan itik boleh dipelihara, kelapa pula boleh dikait atau dipanjat dan sekali-sekala boleh memancing di sungai belakang rumah. Pendekata, amat mudah berbanding tinggal di bandar yang serba-serbi perlu dibayar. Tetapi mungkin ada orang kampung pula yang berkata, mudahnya tinggal di bandar. Serba-serbi mudah, semua kerja dilakukan oleh jentera dan mesin.

Apapun, kedua-duanya ada pro dan kontra, ada kelebihan dan kekurangan. Kampung atau bandar terpulang kepada citarasa empunya diri, yang penting bagaimana kita mengisi kehidupan itu. Namun, jika ditanya kepada saya, manakah pilihan hati? Maka dengan fasihnya saya menjawab, kampung!  Mengapa? "Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."

Balik semula kepada cerita mempelam muda tadi. Banyak pula mertua saya membawa mempelam muda hari ini. Tidak terlarat mahu makan ‘colek’, banyak sangat nanti boleh berulang ke tandas.

Nak buat apa ya? Rupa-rupanya mertua saya mempunyai ‘plan’ tersendiri. Ada sesuatu yang boleh dimanfaat dengan mempelam muda ini. Menjadi resepi masakan yang dimakan bersama nasi dan lauk-pauk yang lain. Saya perasan ketika sedang menikmati makan tengahari. Hairan saya melihat juadah yang satu ini. Nampak seperti hirisan isi buah mempelam yang digaul dengan kuah seperti kuah laksa putih.

“Apa ni, macam buah mempelam je.” Saya bertanya kepada isteri.

“Cubalah rasa, sedap...” Isteri saya menjawab sambil menceduk sedikit ke dalam pinggan tanpa memberikan jawapan kepada pertanyaan saya.

“Hmm..sedap juga, apa namanya?” saya bertanya buat kali kedua.

“Ohh..inilah ‘pecal’, dibuat daripada buah mempelam muda.” Sahut ibu mertua saya pula dengan loghat Terengganu.

“Pecal...?”

Tidak pernah saya mendengar namanya, malah inilah kali pertama saya mendengar dan merasai masakan yang dipanggil pecal itu. Mungkin ditempat lain dipanggil dengan nama yang berbeza.

Syukur dengan nikmat-Nya

Sesungguhnya makanan bagi orang yang beriman itu boleh mengingatkan kepada Allah SWT. Semua makanan enak dan sedap di hujung lidah. Tetapi yang paling penting ialah sentiasa bersyukur dengan apa yang dimakan. Pernahkah tatkala kita menyuapkan makanan kita sertakan dengan kesyukuran di atas nikmat yang diperolehi daripada Allah SWT? Dengan kasih sayang-Nya diberikan kita berbagai-bagai rezeki yang kadang-kadang tidak pernah kita pinta di dalam doa.

Atau kita hanya pantas menyuapkan ke mulut tanpa berfikir siapakah yang memudahkan aku menyuapkan makanan ini. Bahkan, pernahkah kita terfikir siapakah yang memberikan rezeki dalam kehidupan ini dengan tanpa berkira-kira. Amat malanglah jika semua ini tidak pernah kita fikir dan rasai.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

Cara membuat pecal:

Mempelam muda dikupas dan di racik kecil-kecil. Kemudian dibasuh serta diramas-ramas untuk membuang air masamnya. Selepas itu isi mempelam tadi direndam dengan air garam dan sedikit kapur.


Bahan untuk kuah: 

Isi ikan kukus - ditumbuk
Lada hitam - ditumbuk
Bawang merah - ditumbuk
Bawang putih - ditumbuk
Santan pekat

Kesemua bahan yang telah ditumbuk tadi dicampur dengan santan pekat. Masukkan garam dan perasa secukup rasa. Kemudian kacau sehingga sebati. Toskan mempelam muda yang telah direndam tadi dan masukkan ke dalam bahan kuah. Gaul sehingga sebati. Siap dan sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba.

*Untuk mengelakknya cepat basi, pecal perlu disimpan di dalam peti ais kerana ia menggunakan santan mentah.

Monday 23 September 2013

Ia kembali, pengubat rindu hati


Alhamdulillah..alhamdulillah..

Yang sentiasa ditunggu-tunggu telah pun menjengah. Bagaimana mahu digambarkan perasaan hati, yang pasti gembira dan berbunga-bunga. Teruja sangat-sangat!

Berita baik buat peminat buku di negeri Pahang, khususnya warga Kuantan!

Ekspo Buku Islam Pahang kali ke 8 kembali lagi dengan himpunan buku-buku yang pasti memukau pandangan mata. Saya percaya ekspo ini sememangnya dinanti-nanti dan disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat Islam, malahan mungkin juga masyarakat bukan Islam pun turut datang untuk mencari-cari bahan bacaan yang dapat memberi kefahaman mengenai Islam. Siapa tahu?

Walaupun tidak sebesar dan se’gah’ KLIBF tetapi sekurang-kurangnya ekspo ini dapat menampung hasrat dan harapan warga Kuantan yang telah lama menantikan “Book Fair” di sini, termasuk saya. Bukan itu sahaja, secara tidak langsung membantu menerapkan budaya membaca dalam kalangan rakyat tempatan.

Nampaknya terpaksalah saya memperuntukkan sedikit wang untuk berbelanja di ekspo buku ini. Entahlah, berapa pula RM yang akan mengalir keluar. Jika tidak beringat jadilah seperti yang sebelum ini. Saya teringat ketika berpeluang ke KLIBF 2012 yang telah diadakan di PWTC, dari satu booth ke satu booth saya jelajahi. Boleh dikatakan setiap booth dikunjungi berulang kali kerana bimbang ada buku yang menarik tetapi terlepas pandang. Gelap mata melihat lambakan buku-buku sehinggakan tidak tahu mana satu yang hendak dibeli. Dalam beringat pun hampir RM200 telah saya habiskan, sungguh mengasyikkan.

Mujur juga rakan-rakan menegur: “tak nak balik ke?”. Kalau tidak...

Begitulah saya, sentiasa lemah di hadapan kedai buku, lupa diri seketika dengan buku. Bukan mahu memuji diri atau mahu mengatakan saya seorang ulat buku atau kuat membaca. Tidak sekali-kali, tetapi itulah hakikatnya, saya memang suka membaca.

Namun, saya tidak kisah berbelanja lebih sedikit untuk membeli buku. Bagi saya ianya umpama satu pelaburan yang berbaloi. Bukankah ini juga termasuk di antara ruang untuk menambah ilmu pengetahuan selain mendengar kuliah dan ceramah? Selain daripada itu, adalah juga sesuatu yang bermanfaat yang dapat saya wariskan kepada anak-anak nanti. Insya-Allah.

Ada orang yang sanggup berhabis ribu-ribu kerana hobi dan minat. Ada yang sanggup berbelanja banyak RM kerana minat memelihara ikan peliharaan seperti arowana, flower horn dan sebagainya. Ada yang suka ‘make up’ kereta, ada yang suka mengumpul barang-barang antik, ada yang mengumpul set permainan remote control dan bermacam-macam hobi lagi. Semua itu juga perlu mengeluarkan belanja yang banyak. Tetapi saya tidak kata semua itu salah, hobi masing-masing. Silakan selagi tidak menyalahi peraturan dan undang-undang.

Jadi, setakat saya menghabiskan dua, tiga ratus untuk membeli buku tidaklah pelik, normal, sama sahaja seperti orang lain. Apalah salahnya saya berjoli sedikit kerana minat.

Lagipun bukannya selalu, hanya setiap kali “Book Fair” setahun sekali.

Mood: Sedang tersenyum

Sunday 22 September 2013

Haji yang mabrur, Insya-Allah...

Musim haji kembali lagi. Bagi mereka yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menjadi tetamu-Nya, bersyukurlah dengan peluang dan kesempatan yang diperolehi. Bukan itu sahaja perlunya persiapan yang sebaiknya, agar tidak menghadapi kesulitan sejurus berada di sana. Persiapan dari segi fizikal dan mental serta yang paling penting ialah persiapan dari segi ilmu pengetahuan.

Apa sahaja kegiatan harian memerlukan ilmu, apatah lagi dalam perkara ibadat seperti solat, puasa serta ibadat haji. Ilmu diangkat ke tahap yang paling tinggi di antara urusan hidup manusia, tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan tersebut akan menemui kegagalan dan tidak akan sampai kepada matlamatnya yang sebenar, iaitu keredhaan Allah. Ilmu juga berfungsi sebagai alat atau kayu ukur sah atau batal serta kualiti sesuatu ibadat.

Haji dari sudut bahasa bermaksud menuju (ke suatu tempat). Al-Khalil berkata: Maksud haji ialah banyak menuju kepada orang yang diagungkan.

Dari sudut syarak ia bermaksud pergi menuju ke Baitullah al-Haram untuk menunaikan ibadah yang khusus dengan syarat-syarat yang khusus.


Pagi semalam saya sempat mengucapkan selamat jalan kepada sahabat-sahabat yang akan berangkat menunaikan ibadat haji. Kami mengiringi perjalanan mereka ke Lapangan Terbang Kuantan. Dalam suasana ceria, entah mengapa tiba-tiba dada menjadi sebak saat bersalam dan berpelukan. Saya tidak tahu adakah orang lain juga begitu atau hanya saya yang berperasaan begitu.

Terasa ia seperti satu perpisahan yang panjang.

Jika mahu dibandingkan menunaikan haji dulu dan sekarang jauh berbeza. Maksud saya bukan berbeza dari sudut kaifiat tetapi masa perjalanannya. Dulu perjalanan haji memakan masa berbulan-bulan lamanya dengan menaiki kapal laut. Perjalanan yang boleh diibaratkan perpisahan yang berkemungkinan hidup atau mati.

Arwah nenek saya sempat menunaikan haji dengan kapal laut, saya teringat beliau pernah berkata:
“Dulu jika ada orang kampung yang nak pergi haji, kami akan bergotong-royong menyediakan makan kenduri, sangat meriah macam nak buat kenduri kahwin.” Saya mendengar dengan penuh minat.

“Pergi dengan kapal, berbulan-bulan belayar baru sampai. Kena bawa bekalan makanan seperti beras, ikan kering, kicap, gula, sardin, kopi dan bermacam-macam rempah-ratus serta kain baju dan perkakas memasak. Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam kotak kayu yang besar.” Sambungnya lagi.

“Yang pergi haji tu belum tentu sampai, yang sampai pula belum tentu baliknya.”

Ada sanak saudara yang menangis sewaktu menghantar jemaah haji menaiki kapal kerana belum tentu dapat bertemu semula. Apabila ada jemaah haji yang meninggal dunia di ats kapal, jenazahnya akan dikebumikan ke dalam laut.

Sepanjang perjalanan yang panjang itu berbagai kemungkinan boleh berlaku.  

“Ada nak kirim apa-apa, Insya-Allah saya cuba carikan.” Kata sahabat saya sebelum kami berpisah, mengejutkan saya dari lamunan.

“Tak ada apa-apa, saya tak nak kamu terganggu, tumpukan kepada ibadat yang dikerjakan. Cuma jangan lupakan saya di dalam setiap doa kamu.” Saya menjawab sambil tersenyum.

“Insya-Allah.” Jawabnya sambil menyuakan untuk tangan berjabat salam.


Sebak itu semakin menebal tatkala tangan melambai kepada mereka yang sedang melangkah anak tangga memasuki perut pesawat. Mungkin sebak itu hadir kerana terharu dapat merangkul erat sesusuk tubuh yang diberi kemuliaan untuk menjadi tetamu-Nya. Mudah-mudahan mendapat ‘pingat’ haji yang mabrur. Insya-Allah.

Thursday 19 September 2013

Selamat jalan guru j-qaf

 'Selamat jalan guru j-qaf'

Pada Jun lepas seorang sahabat saya telah berangkat ke Sandakan untuk menyambung bakti sebagai pendakwah. Berberapa kali tulisannya terbit di dalam majalah genre agama, majalah Q&A. Hari ini seorang lagi sahabat saya terbang merentasi lautan menuju ke negeri Sabah untuk mengorak langkah yang sama tetapi di dalam lapangan yang berbeza. Alhamdulillah, sahabat saya ini baru sahaja 'dinobatkan' sebagai guru j-qaf. 

Teringat saya beberapa hari lepas sewaktu bersarapan pagi bersamanya di warung, katanya: "Tolonglah doa supaya 'posting' kat semenanjung, kalau dapat di Kuantan lagi bagus." 

Saya hanya tersenyum tanpa memberikan sebarang jawapan. Saya tahu dia hanya bergurau. Akhirnya setelah keluar keputusan, beliau ditempatkan di daerah Sipitang. Dengan wajah yang ceria dan bersahaja, beliau memberitahu saya berita ini. 

Petang tadi beliau menghantar berita melalui sistem wassap mengatakan telah pun berada di Sipitang. Saya membalas dengan memberikan kata-kata motivasi. Tugas mendidik anak bangsa dengan ilmu agama satu tugas yang amat mulia dan besar ganjarannya. Mudah-mudahan semangatnya tidak luntur walaupun berdepan dengan apa jua kesukaran di ceruk pedalaman. Untuk berhubung bukan lagi suatu yang memberi masalah pada abad ini. 

Zaman ini semuanya serba mudah, tidak seperti zaman dulu. Kalau zaman ayah dan emak kita dahulu sekiranya hendak berhubung terpaksa mengutus surat, lambat. Hendak cepat guna telefon awam serta telegram, itupun sukar juga. Tetapi kini sistem telegram telah pun tiada. 

Hari ini walaupun berada jauh di mata tetapi dengan adanya teknologi moden terasa seperti dekat. Teknologi seperti E-mail, Sms, Fb, Wassap, Wechat dan sebagainya amat membantu dalam jaringan perhubungan. Cukup mudah dan senang untuk berhubung. Teknologi moden jika digunakan dengan betul pasti akan memberikan manfaat dan kebaikan. Semuanya terpulang kepada kita. Guna untuk kebaikan hasilnya adalah kebaikan, jika diguna untuk sesuatu yang tidak baik maka hasilnya tentu tidak baik.

Fikir-fikir...

Sunday 15 September 2013

30 Hari Bersama Umar al-Khattab


Sesungguhnya untuk menjadi insan Muslim yang berjaya, berwawasan, beramal secara praktikal dengan amalan-amalan Islam, tidak ada cara yang lebih praktikal melainkan merujuk kepada gaya dan cara hidup individu Muslim di zaman lampau yang telah berjaya membuktikan betapa mereka mampu menjadi Muslim yang dituntut Allah dalam al-Quran.

Ciri-ciri contoh positif ada di dalam al-Quran yang ditunjukkan oleh para anbiya dalam menjalani proses kehidupan sebagai Muslim terbaik dalam menjalankan perintah Allah, meliputi semua nabi termasuk Nabi Muhammad saw, begitu juga isyarat Allah mengenai para sahabat baginda melalui ayat 110 surah Ali Imran yang bemaksud: "Kamu adalah sebaik-baik ummah..."

Justeru, buku 30 Hari Bersama Umar al-Khattab yang sudah mula berada di pasaran pada awal Ogos lalu adalah antara buku yang menceritakan mengenai keperibadian Khalifah Islam kedua iaitu Umar al-Khattab dalam jadual hariannya selama 30 hari untuk dinilai sebagai satu program agenda yang praktikal walaupun sibuk dalam mengurus tadbir urusan pemerintahan.

Buku ini mengisahkan kehidupan Saiyidina Umar al-Khattab ra, antara sahabat yang paling rapat dengan Rasulullah saw. Sebanyak 30 kisah tentang beliau dimuatkan dalam buku ini. Setiap kisah ditulis secara ringkas, mudah serta tidak terlalu panjang sesuai untuk bacaan kanak-kanak dan pendidik di kelas-kelas pra sekolah dan sekolah rendah.

Setiap akhir kisah pula diselitkan mutiara hikmah yang boleh diteladani oleh anak-anak yang gemar membaca kisah sejarah Islam dan mampu membantu ibu bapa memetik pengajaran bagi anak-anak mereka, kerana itu ia amat mudah diamalkan dengan harapan agar anak-anak terbiasa dengan kisah-kisah membabitkan individu Muslim yang berjaya.

Turut disertakan beberapa pertanyaan sebagai bahan diskusi dengan anak-anak. Ibu bapa disaran agar membacakan kisah ini pada setiap malam menjelang tidur anak-anak mereka. Jika dilakukan setiap malam selama sebulan (sekitar 30 hari), maka ibu bapa dapat menghabiskan bacaan buku ini. Alangkah indah jika anak-anak kita dapat mengenali secara dekat peribadi Saiyidina Umar al-Khattab yang mulia ini.

Tajuk :  30 Hari Bersama Umar al-Khattab
Penulis : Hepi Andi Bastoni
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
M/s : 227
Harga : SM 16.00 / SS 19.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Nikmat kesihatan tidak terperi

' Lawatan oleh YB Adun Beserah'

Tengahari semalam saya mendapat berita yang agak mengejutkan. Seorang sahabat yang selalu bersama di dalam program-program kemasyarakatan telah dimasukkan ke hospital akibat demam denggi. Saya segera menghubunginya menerusi sistem Wassap untuk mendapat maklumat yang lebih terperinci. Asalnya beliau menyangka cuma demam biasa, namun setelah 3 hari memakan ubat yang dibekalkan oleh pihak klinik, demamnya tidak kebah-kebah.

Menurutnya lagi, pada malam sebelum dimasukkan ke hospital, beliau merasa tidak sedap badan dan mula menggigil, akhirnya kerana tidak tahan beliau memandu sendirian di tengah malam menuju ke hospital. Setelah dilakukan pemeriksaan, beliau disahkan menghidap demam denggi! Malam itu juga beliau dimasukkan ke wad.

Saya sendiri mempunyai pengalaman dijangkiti virus denggi dan dimasukkan ke hospital. Bukan hanya sekali malah dua kali! Oleh yang demikian, saya memahami bagaimana rasanya kepayahan serta ketidakselesaan yang dihadapi.

Namun, apa yang lebih saya simpati kepada sahabat saya ini ialah isterinya baru sahaja 2 hari keluar daripada hospital kerana melahirkan anak yang ke 4. Kini beliau pula terlantar di hospital.

Nikmat kesihatan


Kesihatan adalah sesuatu yang amat bernilai. Lantaran itu, ia mestilah dihargai iaitu dengan menjaga serta mengawasinya daripada sebarang perkara yang boleh menjejaskannya. Ia termasuk nikmat Allah SWT yang sangat penting utama dan wajib disyukuri. Menghargai dan mensyukuri kesihatan ialah dengan menggunakan semaksima mungkin masa sihat bagi melaksanakan ibadah dan tugas selaku hamba Allah SWT.

Pentingnya nikmat kesihatan ini ialah apabila kita ditimpa sakit. Hampir seluruh kebahagiaan dan kenikmatan hidup bergantung kepada kesihatan. Kesihatan yang terganggu bukan sahaja menyebabkan daya mengecap nikmat terencat, malah ia suatu kesengsaraan. Makanan yang lazat menjadi sebaliknya, tilam yang empuk memberikan kerehatan semasa tidur tidak lagi menjadi selesa. Bahkan seluruh kegiatan hidup menjadi terhalang dengan ujian sakit.

Saya suka membaca kisah-kisah golongan solehin yang adakalanya ujian kesakitan itu merupakan suatu yang menggembirakan. Bagi mereka ujian sakit adalah saat-saat yang paling subur untuk melakukan ibadah. Tatkala ditimpa kesakitan, ketika itulah Allah SWT amat hampir dengan mereka dan Allah SWT sedang mengambil tahu dan menguruskan hal diri mereka, lalu merasakan Allah amat menyayangi mereka. Saat itu mereka tidak mempedulikan kesakitan yang dialami, yang penting melakukan ibadah sekusyuk dan berdoa sebanyak-banyaknya.

Berbeza pula dengan orang awam. Jika dalam keadaan sihat pun boleh menculaskan ibadat, apatah lagi jika tubuh dalam keadan sakit. Pastinya kemalasan mula menguasai diri dan meninggalkan ibadah yang difardhukan. Kesakitan yang dialami menjadi alasan untuk tidak beribadat. “Allah Maha Mengetahui akan keadaan hamba-Nya,” itulah alasan yang dicipta dan diulang-ulang. Maka amat rugilah orang ini kerana sepatutnya ujian sakit itu menjadi penghubung dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tetapi apa yang berlaku, sakit yang menimpa semakin menjauhkannya daripada Allah bahkan menambahkan pula murka-Nya. Na`udzubillah.

Oleh itu, hargailah kesihatan ini. Gunakanlah kesempatan sepenuhnya masa sihat yang ada untuk memperbanyakkan apa sahaja amal ibadah yang boleh memberikan kebaikan di dunia dan semestinya kebaikan di akhirat.

Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
"Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara : Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu, Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, Hidupmu sebelum datang kematianmu.” (HR. Al Hakim dalam Al Mustadroknya, dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat Bukhari-Muslim. Hadits ini dikatakan shohih oleh Syaikh Al Albani dalam Al Jami’ Ash Shogir)

*Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada sahabatku...

Thursday 12 September 2013

Hukum makan daging gajah dan kuda

Soalan:

Apakah hukum makan daging gajah dan kuda?

Jawapan:

1. Daging gajah

Menurut jumhur ulama (mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali); daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring. Abu Tsa’labah al-Khusyani ra menceritakan; “Nabi saw telah melarang kami dari memakan daging haiwan yang bertaring daripada binatang-binatang buas.” (Soheh al-Bukhari; 5530, 5780. Soheh Muslim; 1932).

Maksud bertaring ialah haiwan yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya (an-Nihayah. Al-Majmu’). Di antara contoh yang disebut ulama bagi binatang-binatang jenis ini ialah; anjing, kucing, singa, harimau, serigala, gajah, kera dan seumpamanya (lihat; Nailul-Autar, as-Syaukani; 1/131. Al-Majmu’, an-Nawawi; 9/14. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; perkataan “At’imah”).

Menurut mazhab Maliki; haiwan yang haram dimakan hanyalah yang disebut keharamannya di dalam al-Quran (antaranya surah al-An’am, ayat 145), iaitu; “bangkai, darah dan daging babi”. Binatang yang tidak disebut dalam ayat ini tidaklah haram memakannya. Adapun binatang yang bertaring tadi; makruh memakannya kerana dilarang oleh hadis. Jadi, menurut mazhab Maliki; larangan Nabi SAW dalam hadis tadi adalah larangan makruh, bukan larangan haram (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

2. Daging kuda

Daging kuda halal memakannya kerana kehalalannya telah sabit daripada hadis Nabi SAW. Asma binti Abu Bakar RA menceritakan; “Kami pernah menyembelih seekor kuda pada zaman Nabi SAW dan memakannya” (Soheh al-Bukhari; 5510, 5519). Jabir bin Abdullah RA menceritakan; “Nabi SAW menegah kami dari memakan daging keldai pada hari Khaibar dan membenarkan kami memakan daging kuda” (Soheh al-Bukhari; 5520. Muslim; 1941).

Sumber: Ilmu dan Ulamak

Tuesday 10 September 2013

Bicara santai: Tahniah sahabat, takziah sahabat

Hari ini saya mengambil cuti, sengaja mahu duduk di rumah untuk merehatkan badan. Sambil-sambil itu bolehlah juga saya menyiapkan laporan Mesyuarat Agung DPPIM yang telah diadakan pada hari Ahad yang lalu.

Tahun ini adalah sesi pemilihan AJK yang baru, jadi kesibukannya lebih daripada biasa. Banyak benda yang mahu dibereskan agar tiada kesulitan dan kesukaran. Apa pun semuanya berjalan dengan lancar dan mensyuarat berlangsung dalam suasana ceria dan penuh ukhuwwah.


Rasanya masih belum terlewat untuk saya merakamkan ucapan tahniah dan takziah kepada sahabat-sahabat saya yang telah terpilih untuk menyandang jawatan yang telah dipertandingkan. Mungkin ada yang merasa pelik. Mengapa selepas ucapan tahniah, ada pula ucapan takziah?

Tahniah sahabat-sahabat

Pertamanya, ucapan tahniah kerana mereka memenangi undian dan mengisi kekosongan jawatan yang dipertandingkan. Walaupun sebenarnya saya tahu mereka tidak mahu merebut jawatan itu. Dan jika diberi pilihan, awal-awal lagi mereka akan menolaknya tetapi apakan daya, mereka terpaksa akur dengan pilihan ahli perwakilan.

Mereka yang terpilih akan merangka program-program kebajikan yang akan diadakan. Memanglah mereka akan dibantu oleh sahabat-sahabat yang lain, tetapi mereka yang akan berada di hadapan atau pun memulainya. Maksud saya, mereka kena berbincang, menghadiri mesyuarat, memerah idea, bersengkang mata dan berbagai-bagai lagi gerak kerja.

Tentu tidak sedikit masa, tenaga, keringat dan idea yang mesti diinfaqkan bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan program. Tentu besar ganjaran pahala yang diperolehi jika mereka ikhlas dan sabar dalam melakukannya. Inilah sebabnya saya ucapkan tahniah.

Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas. Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (az-Zumar: 10) 

Takziah pula kepada sahabat-sahabat

Saya juga mengucapkan takziah kerana apabila terpilih mereka akan diberi jawatan untuk memimpin. Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif). Kepimpinan dan jawatan adalah amanah. Tidak semua orang mampu memikul amanah kerana amat berat tanggungannya. Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.

Di dalam satu hadis yang masyhur, Rasulullah saw bersabda: Daripada Abu Zar ra. katanya:
Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?” Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim) 

Amanah bererti melaksanakan suatu tugas-tugas syariat dengan penuh ketaatan dan tanggungjawab. Amanah juga membawa makna sifat atau keperibadian yang dipercayai. Kebanyakan orang suka menyempitkan pengertian amanah hanya menjaga urusan yang melibatkan kewangan sahaja, bahkan pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat tanggungjawabnya.

Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (al-Ahzab:72) 

Tugas manusia di bumi meliputi khilafah, amanah dan ibadah. Amanah tidak sanggup dipikul oleh makhluk selain manusia walaupun mereka lebih besar dari segi fizikalnya dari manusia. Manusia sanggup memikul amanah dalam keadaan ia tidak tahu betapa besarnya amanah itu. Manusia juga berlaku zalim apabila ia mensia-siakan amanah.

Pensia-siaan amanah amat buruk kesannya. Ia mempunyai tiga pengertian iaitu:

1. Tidak melaksanakan atau melalaikan tugas-tugas keimanan dan syariat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (al-Anfaal: 27) 

2. Penyerahan suatu urusan negara kepada bukan ahlinya atau orang yang layak untuk memikulnya seperti pemerintah, pengadilan, fatwa dan sebagainya.

Imam Bukhari rah. meriwayatkan dari Abu Hurairah ra, ia berkata: Bersabda Rasulullah saw:
“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”. Salah seorang bertanya: “Bagaimana bentuk menyia-nyiakan amanah itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apabila urusan itu diserahkan (dipercayakan) kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”. 

Al-Karmani berkata: “Maksud dari kata al-amr (urusan), yaitu semua jenis perkara yang terkait dengan agama, seperti Khilafah, kepemimpinan (al-imarah), peradilan (al-qadha’), jabatan mufti dan lainnya”.

3. Bersifat khianat, iaitu sifat yang buruk dan sangat tercela.

Sabda Rasulullah saw:
“Demi Allah, janganlah sekali-kali seorang daripada kamu mengambil yang bukan haknya, apabila ia melakukannya maka ia akan menemui Allah dalam keadaan memikulnya pada hari kiamat, saya tidak mengenali kamu yang menemui Allah dalam keadaan sedang membawa unta yang meraung atau sapi yang menguak atau kambing yang mengembek.” (Disepakati kesahihannya dari riwayat Abu Hamid Abdurrahman bin Saad as-Saidi) 

 'Sang pencatit: juga satu amanah, akan dipersoalkan apa yang dicatit'

Oleh itu, sifat amanah merupakan satu elemen penting yang perlu ada dalam diri setiap individu muslim agar setiap amanah dapat ditunai dengan sebaiknya. Amanah tersebut tidak boleh dipandang remeh dan enteng begitu sahaja. Setiap amanah merupakan satu kewajipan agama yang telah dipikulkan kepada setiap manusia.

Hilang amanah maka binasalah kehidupan ini.

*Peringatan buat diri...

Monday 9 September 2013

Pilihan ditanganmu...


Sahabat...

Kita hanya manusia biasa yang sedang merentasi sebuah perjalanan. Dalam derapan langkah yang diatur, sedar atau tidak kita sebenarnya sedang menunggu giliran untuk dipanggil bertemu Allah SWT. Itulah pertemuan yang pasti, suka atau benci tiada siapa pun yang dapat mengelaknya. Kita akan meninggalkan hidup ini apabila tiba saat janji-Nya. Namun apa yang perlu difikirkan ialah bagaimana kita datang kepada-Nya, sebagai hamba yang diredhai atau hamba yang dimurkai.

Sahabat...

Diredhai bermakna beroleh rahmat Allah SWT untuk mengecap nikmat syurga-Nya bersama golongan solehin dan muttaqin. Manakala dimurkai bermaksud terhumban ke dalam neraka yang tidak terbayang azab siksanya. Apakah destinasi akhir kita, pilihan ditangan kita. Kita akan dibalas dengan apa yang kita lakukan.

Sahabat...

Keimanan dan ketaqwaan semata-mata hanya berpegang dengan janji-janji Allah. Percaya pada pahala dan dosa serta syurga dan neraka. Sedangkan semua itu tidak dapat dilihat dan dirasa sebagaimana untung rugi di dunia. Dengan keyakinan kepada janji-janji Allah, mendorong seseorang melakukan segala perintah Allah SWT. Samada perintah yang mudah maupun yang sukar.

Sahabat... 

Pilihlah jalan hidup yang tepat. Jalan yang dapat memberikan kebahagiaan yang hakiki. Jalan yang tiada penyesalan selepas pertemuan yang pasti. Oleh itu, jadikanlah hari semalam sebagai medan untuk renungan dan muhasabah. Hari ini terpulang pada tangan yang mencorak dan kaki yang menderap.

 وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ۙ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ 
"Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar." (al-Maidah:9)

Thursday 5 September 2013

Kenangan masih basah: Cerita telaga

Gambar hiasan (sumber)

Telaga.

Saya hampir terlupa mengenainya. Rasanya sudah lama saya tidak menyebut kalimah itu. Mungkin seiring dengan banyaknya telah tertimbus telaga di kampung-kampung, maka saya turut melupainya. Sejak meluasnya paip air mengambil tempat di rumah-rumah, maka dengan sendirinya telaga atau perigi mulai tersisih.

Masa yang lama...

Sehinggalah suatu hari ketika saya sedang bersantai-santai mendengar radio. Sebenarnya saya bukanlah selalu mendengar radio. Ada masa-masanya sahaja. Mendengar pun melalui telefon bimbit. Tiba-tiba perkataan telaga muncul kembali menerjah ke rongga telinga. Tersenyum saya sendirian, benak memunggah kembali kenangan mandi di telaga. Saya cukup sinonim dengan telaga semasa kecil dahulu.

Tercuit hati saya mendengar celoteh DJ bertugas melayani pendengar. Ramai pula pendengar yang menelefon untuk berkongsi pengalaman mengenai telaga. Macam-macam cerita yang dapat didengar. Ada yang bercerita pengalaman menggali telaga, pengalaman zaman budak-budak mandi di telaga dan yang paling menarik pengalaman jatuh ke dalam telaga.

Zaman kanak-kanak...

Keluarga saya tinggal di sebuah kampung yang cukup harmoni. Rumah saya terletak di hujung baruh jauh daripada rumah penduduk yang lain. Di situ hanya ada dua buah rumah iaitu rumah kami dan rumah nenek. Rumah kami tidak ada bekalan air dan elektrik. Kami sudah biasa dengan terang malap cahaya pelita dan mencedok air perigi.

Arwah ayah menggali satu telaga di hujung dapur berbentuk empat segi, letaknya berhampiran pokok bacang yang batangnya sebesar pemeluk. Dinding telaga dibuat dari susunan batang kayu untuk mengelakkannya runtuh. Tetapi kebanyakan telaga hari ni telah menggunakan simen berbentuk bulat sebagai dindingnya. Orang memanggilnya kerek telaga, tetapi di tempat saya lebih dikenali dengan panggilan belindan telaga. Manakala di sekeliling telaga pula arwah ayah pagari dengan susunan pelepah kelapa yang dianyam cantik.

Disitulah kami sekeluarga mandi, membasuh pakaian dan juga untuk kegunaan lain. Saya masih ingat, tatkala selesai mandi masing-masing akan membimbit sebaldi seorang air untuk dibawa pulang. Besar atau kecil baldi bergantung pada usia. Air yang dibawa pulang untuk memenuhkan tempayan guna untuk memasak dan lain-lain keperluan. Kebiasaan saya hanya melenggang tidak membawa apa-apa, cuma sekali-sekala membawa pulang kain basahan.

Masih segar diingatan, tatkala keletihan bermain sesama adik-beradik, kami akan meneguk air telaga untuk menghilangkan haus. Semuanya gara-gara malas naik ke rumah mengambil air. Yang peliknya tidak pernah kami semua merasa sakit perut akibat minum air yang tidak dimasak. Entahlah, mungkin zaman itu alam belum lagi tercemar seperti hari ini. Demikianlah, saya hanya membuat andaian.

Kini saya mula berfikir betapa telaga yang ayah gali adalah lambang pengorbanan dan kasih sayang yang mahu membesarkan anak-anaknya. Saya bersyukur kerana pernah merasai sejuknya air telaga. Ia kenangan sepanjang zaman.

TAHI LALAT DAN ALAMAT UNTUNG/SIAL

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan tentang tahi lalat. Pertengahan tahun lalu saya ada berjumpa seorang tukang ubat tradisional dekat kampung tempat saya tinggal. Saya cuba ikhtiar untuk berubat cara tradisional. Semasa pada hari pertama Tok itu cuma tengok sahaja dia dah tau yang saya ada terkena makhluk halus, Tok pun bagitau saya kena dimandikan air bunga dan kena buat sikit urutan badan, semasa buat urutan badan Tok nampak dekat atas bahu kiri saya ada tahi lalat dia bagitau tahi lalat tu kena buang sebab maksud tahi lalat dekat bahu sebelah kiri tu baik 'membawa beban' dia juga minta saya buangkan tahi lalat tu, tapi sampai sekarang saya masih belum berbuat demikian. Jadi apakah pandangan ustaz dengan makna yang tersirat pada tahi lalat yang tumbuh pada atas bahu sebelah kiri saya itu. Sehingga hari ini saya masih mencari-cari jawapan samada mempercayainya atau tidak.

Jawapan: 

Jika tahi lalat itu mendatangkan mudarat atau kecacatan kepada badan, haruslah ia dibuang (lihat hukum membuang tahi lalat dalam nota kaki di bawah). [1] Jika tidak mendatangkan mudarat dan kecacatan, biarkanlah ia di situ. Untung atau rugi kita pada masa depan bukan bergantung kepada tahi lalat atau sebarang benda atau sempena tertentu, tetapi bergantung kepada takdir Allah dan undang-undang/peraturan alam yang ditetapkan-Nya. Lakukanlah mengikut yang diperintah oleh Allah iaitu dengan beriman, menuntut ilmu, beramal dengan ilmu serta bersungguh-sungguh dalam apa saja bidang yang diceburi dan disusuli dengan tawakkal kepada-Nya, insya Allah hidup kita akan berjaya. Tidak perlu terpengaruh dengan sebarang dakwaan dan ramalan yang tiada dalil dan asas.

Akhir-akhir ini kita melihat dalam masyarakat Melayu telah mula meriah kembali amalan-amalan tilikan, ramalan dan kepercayaan kepada khurafat sedangkan dahulunya amalan-amalan dan kepercayaan-kepercayaan sebegini telah menyepi. Mungkin puncanya kerana berleluasanya cerita-cerita hantu dan karut- marut dalam televisyen dan juga golongan agama yang terlibat sama dalam amalan serta kepercayaan seumpama itu hingga menjadi ikutan orang lain.

Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa mendatangani tukang tilik dan bertanyakan sesuatu kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Riwayat Imam Muslim dari beberapa orang isteri Nabi).

Sabda baginda juga: “Sesiapa mendatangi tukang tilik atau pawang, lalu ia membenarkan/mempercayai apa yang dikatanya, sesungguhnya ia telah kufur terhadap wahyu yang turun kepada Muhammad.” (Riwayat Imam at-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat dari Abdullah bin Mas’ud).

Dari sahabat bernama Zaid bin Khalid al-Juhani r.a. beliau menceritakan: Rasulullah saw mengerjakan solat subuh mengimami kami di Hudaibiyah pada ketika selepas hujan di malam hari. Selesai solat, baginda mengadap ke arah kami lalu bertanya, Tahukah kamu apa yang Tuhan kamu telah katakan? Mereka menjawab, Allah dan Rasul-Nya yang paling tahu. Baginda berkata, Tuhanmu telah berkata: “Di kalangan hamba-Ku ada yang berpagi dengan beriman kepada-Ku dan ia kufur. Adapun sesiapa yang berkata: kita dituruni hujan adalah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka orang itu adalah beriman dengan-Ku dan kufur dengan bintang (yakni ia tidak mempercayai sempena-sempena atau ramalan-ramalan bintang). Adapun orang yang berkata, kita dituruni hujan kerana muncul atau hilang/tenggelam bintang sekian sekian, maka ia telah mengkufuri-Ku dan ia beriman dengan bintang”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim. Lihat; Syarh as-Sunnah).

Perhatikan, jika bintang-bintang yang begitu besar telah dinafikan kesan atau pengaruhnya oleh Nabi terhadap peristiwa yang berlaku di alam ini (sama ada turun hujan atau sebagainya) dan orang yang mempercayai hal itu dikata oleh baginda sebagai kufur kepada Allah, apakah kita ingin percaya tahi lalat di badan kita boleh memberi kesan itu dan ini?

Allah apabila melarang sesuatu, Ia menggantikan untuk hamba-Nya amalan yang lebih baik dari yang dilarang itu. Apabila Ia melarang kita dari tilikan, sebagai gantinya Ia mensyariatkan untuk kita istikharah iaitu memohon petunjuk dari-Nya untuk membuat pilihan terbaik sama ada dengan terus berdoa kepada-Nya atau dengan melakukan solat Istikharah dua rakaat dan disusuli dengan berdoa kepada-Nya.

Wallahu a’lam.

Nota hujung:

[1] Harus hukumnya membuang dari badan benda-benda yang dilihat mencacatkan atau memburukkan rupa wajah dan tubuh seperti jerawat, bintil-bintil, ketumbuhan, tahi lalat, tanda-tanda/kesan-kesan hitam atau sebagainya dengan syarat proses membuangnya tidak membawa kepada mudarat yang lebih besar atau setara dengan kecacatan benda itu pada tubuh. Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu menceritakan; Aku telah mendengar Rasulullah–sallallahu ‘alaihi wasallam- melarang wanita yang mencukur alisnya, wanita yang menipiskan giginya, yang menyambung rambutnya dan yang membuat tatu pada badannya, dikecualikan kerana suatu penyakit”. (Riwayat Imam Ahmad. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, juz 6, kitab al-Walimah…, bab Ma Yukrahu Min Tazayyun an-Nisa’ bihi Wa Ma La Yukrahu).

Berkata Imam as-Syaukani mengulas hadis ini: ungkapan dalam hadis tadi “..dikecualikan kerana suatu penyakit..” Menunjukkan bahawa yang diharamkan dari perbuatan-perbuatan tersebut ialah yang semata-mata untuk tujuan perhiasan, bukan kerana penyakit atau suatu kecacatan. Jika dilakukan untuk menghilangkan suatu penyakit atau suatu kecacatan tidaklah ia diharamkan” (Nailul-Authar). Berkata Imam Ibnu Jauzi: “Adapun ubat-ubat untuk mengilangkan bintil-bintil pada wajah (jerawat) dan memperelokkan wajah untuk suami, aku berpandangan ia tidaklah dilarang” (Dinaqalkan oleh as-Safarini dalam Ghaza’ al-Albab).

Rujukan; Syeikh Munajjid dalam laman as-Su-al wa al-Jawab (al-Maktabah as-Syamilah, 5/8245, fatwa no. 104920).

Wallahu a'lam.

Sumber: Ilmu dan Ulama

Sunday 1 September 2013

Fikir-fikir: Kita tidak hidup sendiri


Hampir jam 2 pagi saya dan isteri pulang ke rumah kerana membantu persiapan perkahwinan anak jiran kami. Beliau di antara jiran terdekat saya kerana rumahnya betul-betul berhadapan dengan rumah saya, yang hanya dipisahkan jalan tar. Jika melaung pun boleh terdengar suara.

Cukup seronok bergotong-royong menyiapkan kerja-kerja yang ada. Memotong dan mencuci daging, mendirikan khemah serta memasak air gula. Manakala kaum wanita pula mengupas bawang, sayur labu, menyiang ikan dan sebagainya. Walaupun penat dengan kerja-kerja yang dilakukan tetapi seronok dan meriah kerana dilakukan beramai-ramai. Bak kata pepatah berzaman: yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Apa sahaja kerja jika dilakukan dengan muafakat dan bekerjasama akan terasa mudah dan ringan.

Sahabat saya ini tidak mahu menggunakan khidmat katering sebagaimana kebiasaan hari ini, sebaliknya beliau mahukan majlis kenduri kahwin anaknya dilakukan secara bergotong-royong. Jika kita perhatikan, kebanyakan majlis perkahwinan sekarang telah pun berubah dari sudut persiapannya. Khidmat katering telah pun mengambil alih dengan begitu meluas. Bahkan bukan hanya majlis perkahwinan, malahan sambutan doa selamat, hari lahir serta keraian-keraian tertentu juga turut menggunakan khidmat katering.

Bukan membuat perbandingan 


Saya tidaklah mengatakan bahawa khidmat katering itu tidak baik, ada kelebihannya. Dari satu sudut ia amat memudahkan tuan rumah. Tidak perlu pening kepala atau memenatkan badan. Hanya sediakan duit dan selesai, manakala tuan rumah boleh bersandar rehat di kerusi atau menunggu di pintu pagar ‘meraikan’ tetamu yang datang dan pulang.

Tetapi saya melihat kerja-kerja menyiapkan majlis perkawinan secara bergotong-royong seperti zaman dulu tidak kurang kebaikannya. Silaturrahim dan muafakat adalah kunci utama. Mengapa saya mengatakan demikian? Fikirkan, bagaimana seorang penduduk kampung atau taman perumahan mahu meminta bantuan daripada penduduk komunitinya jika sebelum ini dia tidak pernah bercampur-gaul atau melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti setempat. Tentu sulitkan?

Contohnya, seseorang yang mahu menjemput jemaah masjid bertahlil atau kenduri doa selamat di rumahnya, sedangkan dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke masjid. Tentu ada perasaan malu dan segan, lainlah jika kulit mukanya ‘tebal berlapis’. Oleh itu, mahu tidak mahu dia terpaksa juga ke masjid atau surau untuk bercampur-gaul dengan orang masjid. Tetapi ada juga yang datang ke masjid pada hari itu sahaja semata-mata untuk menjemput jemaah masjid ke rumahnya. Setelah selesai majlis tahlil, maka hilanglah kelibatnya. Kelibatnya akan kelihatan semula tatkala mahu mengadakan doa selamat atau tahlil kematian ahli keluarganya.

Namun ada juga yang ‘cerdik’ sedikit, iaitu dengan mewakilkan sahaja kepada tuan imam untuk menjemput kepada ahli jemaah. Tuan imam yang baik hati dan amanah itu pun terpaksa memaklumkan kepada semua walaupun dengan hati yang berat.

Oleh itu, peringatan buat diri saya. Lenyapkan keegoan diri, jinak-jinakkanlah hati untuk hadir ke masjid atau surau, bersuaikenallah dengan jiran sebelah menyebelah, kerana satu masa nanti kita pasti akan memerlukan mereka dalam hal-hal yang tertentu. Saya mengatakan demikian kerana ada di antara ‘mereka’ yang tidak peka dengan perkara ini. Berjiran sebelah menyebelah tetapi masing-masing membuat hal sendiri, tidak bertegur-sapa. Jika sekarang ini kita merasa kita ada duit, kita tidak memerlukan sesiapa, tetapi sayugia ingatlah wang tidak mampu untuk membeli segala-galanya. Tiba masanya kita akan menyesal kerana mengabaikan tanggungjawab ini.

Tulisan ini bukanlah mahu membandingkan mana yang lebih baik, katering atau gotong-royong. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Setiap orang ada pandangan dan pilihannya yang tersendiri. Mereka bebas memilih apa yang mereka mahu. Terserah, mahu katering silakan, mahu bergotong-royong silakan. Semuanya bergantung kepada keadaan, kepentingan dan kemampuan masing-masing. Yang lebih utama biarlah majlis yang diadakan itu ‘selamat’ daripada perkara-perkara yang ditegah oleh syarak. Selain daripada itu, apa yang saya mahu celikkan ialah tanggungjawab kejiranan serta bergaul dengan harmoni di dalam masyarakat agar mewujudkan rasa kasih sayang di dalam kehidupan.

Itulah yang terbaik!