Sahabat Sejati

Tuesday 2 July 2013

Ramadhan, bersediakah kita?


Kurang dua minggu lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Bukan hanya keberkatan tetapi di dalamnya ada kebaikan dan kelebihan.

Memasuki bulan Ramadhan bererti kita akan menjalani ibadat puasa yang merupakan ibadat istimewa kepada umat Muhammad. Menahan lapar dan dahaga melalui puasa ini adalah taqwa yang diburu pencinta akhirat sepanjang zaman. Erti taqwa amat terserlah di bulan Ramadhan. Kemanisan dan kedamaiannya dapat dirasai kerana taqwa yang terkandung di dalamnya. Ramadhan benar-benar menjanjikan sebuah taqwa.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.” (al-Baqarah: 183)

Ramadhan bulan yang besar dan agung kerana di dalam telah diturunkan al-Quran yang menjadi panduan selama kehidupan umat manusia di atas muka bumi ini. Ramadhan bulan yang amat istimewa kerana di dalamnya terkandung kebaikan, kehangatan rahmat, keberkatan, keampunan, keredhaan-Nya, bahkan kelebihan yang terlalu banyak. Oleh itu, untuk memasuki bulan yang agung dan istimewa ini, tentunya memerlukan juga persiapan istimewa dan sebaiknya.

Saya berikan sifirnya. Jika kita memiliki sebuah kenderaan, tentu kita mahu menggunakannya atau memandunya. Untuk itu, kita mesti memerlukan lesen dan kemahiran untuk mengendalikannya serta mengetahui apa-apa berkaitan dengannya. Jika tidak sia-sialah kenderaan itu. Kita hanya mampu melihat tanpa dapat menggunakannya ataupun mengambil sebarang manfaat. Tentulah rugi dan sia-sia.

Demikianlah dengan puasa dan Ramadhan. Banyak yang perlu kita siapkan. Jika kita memasuki tanpa membuat apa-apa persediaan tentu ianya tidak sempurna dan banyak kecacatan. Maka kitalah yang akan menanggung kerugian. Oleh itu, marilah sebelum memasuki Ramadhan kita mengulangkaji apa sahaja yang berkaitan dengan puasa. Perkara-perkara yang sah dan membatalkan, halal-haram, syarat, wajib, sunat dan sebagainya. Bacalah bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengan puasa dan Ramadhan agar terisi ilmu-ilmu berkaitan dengannya.

Sesungguhnya Allah SWT memuliakan kita semua umat Muhammad dengan Ramadhan. Syukurilah kedatangannya. Rebutlah hidangan ibadat yang terhidang padanya. Jauhilah segala perkara-perkara yang melekakannya. Bersama kita meraikan Ramadhan dengan penuh rasa syukur dan azam yang tinggi untuk beribadah dengan sebanyaknya.

Pada puasa dan Ramadhan ada hikmah yang agung, rebutlah ia...

2 comments:

Kak iman said...

insha allah..ready2 gak ni

abuikhwan said...

semoga dipermudahkan dalam menjalani ibadat di bulan ramadhan ini...

Post a Comment