Sahabat Sejati

Tuesday 30 July 2013

Aku kepeningan... sabar, kan bulan Ramadhan


Apalah `nasib badan` pada malam ini berterawih di sebelah penagih candu. Berpinar-pinar kepeningan saya dibuatnya. Mujur tak tumbang sahaja. Sebenarnya saya tiada masalah dengan tabiat merokoknya, silalah merokok sampai 1 kontena pun. Saya tidak melarang. Tetapi seharusnya janganlah merokok ketika hampir mahu sembahyang, tahan-tahanlah dulu sehingga selesai terawih. Ataupun hilangkanlah bau rokok dulu sebelum sembahyang, sama ada bersugi atau berkumur-kumur dengan ‘listerine’. Kasihan orang yang di sebelah kanan dan kiri tercungap-cungap menahan nafas. Hilang ketenangan dan keasyikan mendengar lantunan bacaan kalamullah daripada imam hafiz.

Hadis Ibnu Umar ra:
Sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda ketika dalam peperangan Khaibar: “Sesiapa yang memakan dari pohon ini iaitu bawang putih maka janganlah dia memasuki masjid.” (Sahih Muslim: no. 870)

Hadis Jabir ra katanya:
Rasulullah saw melarang makan bawang merah dan bawang muda. Oleh kerana terpaksa memakannya lalu kami memakan. Kemudian baginda bersabda: “Sesiapa yang makan dari pohon yang tidak sedap ini iaitu berbau busuk maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana para Malaikat juga akan terhidu bau busuk sebagaimana manusia.” (al-Bukhari kitab Adzan 854, Muslim kitab Al-Masajid 564)

Hadis ini dan hadis-hadis lain yang semakna dengannya menunjukkan makruh seorang muslim mengikuti sembahyang berjemaah selama masih ada bau benda-benda tersebut, kerana akan mengganggu orang yang berhampirannya. Bukannya "saya tidak perlu sembahyang berjemaah, kerana saya seorang yang suka makan petai dan bawang". Jangan silap faham. Maknanya hilangkan dahulu bau yang tidak enak itu, kemudian barulah pergi ke masjid untuk bersembahyang.

Jika benda-benda seperti bawang boleh menyebab gangguan kepada jemaah yang lain, apalagi rokok tentunya lebih kuat dan busuk baunya. Mungkin orang yang merokok tidak sedar atau perasan akannya. Biasalah perokok, kalau asap rokok boleh ditelan apalah sangat dengan baunya.

Perlu diketahui, bahawa rokok itu, selain baunya yang busuk, mudharatnya juga amat banyak dan jelas. Ini termasuk dalam cakupan firman Allah SWT:

“Dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk.” (al-A’raf : 157) 

Mudah-mudahan ia memberi peringatan kepada semua.

Marah? Tidak, tetapi kasih sesama kita.

2 comments:

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abuikhwan....

Hehehe... lucu sekali membaca pengalaman bersolat bersebelahan perokok ini. Ternyata menunjukkan mereka tidak faham apa yang dimaksudkan oleh hadis Rasul.

Mudahan AbuIkhwan sudah memaklumi kerana jika tidak diberitahu, mungkin hal yang sama akan berkekalan berlaku. Tidak semua orang ambil tahun tentang apa yang kita faham dalam urusan agama ini.

Bersyukurlah kita tidak merokok seperti mereka. Tapi ada juga orang yang makan duriah dan tempoyak datang bersolat di masjid. Lagi teruk baunya.

Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak. :D
SITI FATIMAH AHMAD

abuikhwan said...

salam umi,
itulah pengalamannya...seperti yg telah saya nukilkan, mungkin mereka tidak sedar atau perasan keadaan yg berlaku.
Dan benar apa yg umi nyatakan, mungkin juga mereka tidak faham atau tahu tentag apa yang kita faham dalam urusan agama. Apa pun ianya adalah tugas kita semua utuk memahamkan mereka..

I-Allah, moga dipermudahkan...

Post a Comment