Sahabat Sejati

Sunday 23 June 2013

Jerebu, peringatan dari-Nya


Isu lama timbul kembali. Masalah jerebu kembali mewarnai ruang udara negara kita. Saya membaca di dalam akhbar yang mengatakan situasi jerebu di negara kita semakin buruk hari ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di enam kawasan mencatat bacaan melebihi 100 terutama di Muar, Johor yang berada pada tahap berbahaya dengan bacaan 383.

“Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan menyebut, Muar diikuti dengan Kota Tinggi yang berada pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 232 manakala Pasir Gudang, Larkin, Bandar Raya Melaka dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing dengan bacaan 199, 181, 137 dan 119.

Menurut kementerian, situasi jerebu tersebut dijangka berterusan sehingga September depan ekoran keadaan udara yang masih dipengaruhi pencemaran merentasi sempadan, selain musim monsun barat daya yang sedang dialami negara ketika ini.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Pakar Meteorologi ASEAN (ASMC) semalam menunjukkan pergerakan asap jerebu tebal dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa pencemaran jerebu ke kawasan Pantai Barat dan merentasi ke kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.”

Manakala di tempat saya Kuantan, dilaporkan bacaan IPU semakin meningkat, tetapi masih lagi ditahap sederhana berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar. Penduduk dilarang melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan jerebu.

Jika dilihat daripada kenyataan ASMC punca jerebu ini adalah kerana kebakaran yang berlaku di negara jiran. Benar, namun bagi saya ia hanyalah penyebab. Bukankah disebalik setiap kejadian mengandungi pelbagai rahsia dan hikmah yang perla dihayati oleh manusia sebagai peringatan yang berguna. Oleh itu, sebagai seorang Islam kita dituntut untuk berfikir dan mencari jawapan disebalik rahsia alam yang terbentang luas ini.

Bencana alam sebagai peringatan dari-Nya

 Jerebu berhampiran tempat tinggal saya

Jika kita melihat di dalam al-Quran, banyak menceritakan keadaan umat terdahulu yang dimusnahkan oleh Allah SWT dengan bencana alam. Contohnya kaum Nabi Nuh yang dimusnahkan dengan banjir besar, kaum Nabi Luth yang dimusnahkan dengan gempa bumi serta kaum `Aad yang dimusnahkan dengan ribut taufan. Firman Allah SWT:

“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri." (al-Ankabut: 40) 

Demikianlah Allah SWT menyatakan dengan jelas mengapa berlakunya bencana alam ini. Benar, akibat perlakuan yang menyimpang daripada kehendak Allah SWT menjadi penyebab datangnya musibah ini. Seharusnya kita mengambil peringatan dan kembali koreksi diri akan kelalaian dan kealpaan selama ini.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan alam ini untuk manfaat dan kebaikan kepada seluruh mahkluk. Manusia bebas memanfaatkan alam ini untuk kepentingan mereka. Namun, terdapat segelintir manusia yang rakus mengejar kemewahan dunia. Mereka tidak berhemah dan tidak langsung menghargai peranan alam sekitar kepada keseimbangan kehidupan. Lalu mereka mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekosistem yang ada. Mereka menganggap ia satu peluang kemewahan dan kebijaksanaan dalam menggunakan teknologi moden, hakikatnya mereka adalah pemusnah dan perosak alam ini. Firman Allah SWT:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (ar-Rum: 41) 

Oleh itu, marilah kita menyedari akan kelalaian selama ini. Marilah kita melihat bencana alam khususnya jerebu yang sedang berlaku ini adalah satu peringatan dari Allah kepada kita. Janganlah kita lupa tanggungjawab kita selaku khalifah yang diamanahkan untuk memakmurkan alam ini dengan sebaiknya. Mudah-mudahan ia menjadi peringatan kepada kita sebelum datangnya hari yang pasti itu.

“Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. " Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi kiamat sudah dekat pada waktunya.” (al-Ahzaab: 63) 

*Mood sakit tekak

0 comments:

Post a Comment