Sahabat Sejati

Friday 31 May 2013

Jom, kita pakat gi buat amal...

Big Boh nak turun sekali lagi!

Jom warga Kuantan kita pakat datang dengar kuliah yang akan disampaikan oleh ikon anak muda masa kini, al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus di Sekolah Islam al-Irsyad Balok. Kuliah maghrib dan malam kutipan dana pembangunan sekolah.

Mendengar sambil menderma, ilmu dapat, amal jariah pun dapat.

Jangan lupa temujanji kita pada 06.06.2013!


Wednesday 29 May 2013

Entahlah takkan jadi isu jugak!!!

Bertanya itu amat bagus kerana ia adalah pintu kepada ilmu pengetahuan, tetapi bertanya biarlah kena dengan tempatnya.

Sedang melayari fb tadi terpandang post dibawah ini. Semacam ada sesuatu yang tidak kena. Berulang kali saya membaca soalan-soalan yang ditanya. Terlihat seakan-akan tidak kena gaya penulisan soalan tersebut. Saya cuba bersangka baik bahawa si penanya benar-benar  ingin mengetahui jawapan beberapa kemusykilan yang bersarang di mindanya. Tetapi nasihat saya lebih sesuai jika soalan-soalan tersebut  ditanya melalui mesej inbox. Rasanya banyak persepsi yang akan menajalar nanti.

Wallahua`lam, hanya si penanya sahaja yang mengetahui hakikat sebenarnya. Apa pun, cukup 'respect' dengan UAI kerana menjawab dengan santai dan cool...

sumber FB (klik untuk pembesaran)

Saturday 25 May 2013

Isra' wal Mikraj dan Palestin


Kita telah pun memasuki pertengahan bulan Rejab. Di antara peristiwa penting di bulan ini ialah Isra’ dan Mikraj. Boleh dikatakan banyak masjid dan surau mengadakan sambutan memperingati peristiwa Isra’ dan Mikraj ini, termasuklah dengan mengadakan kuliah, ceramah, forum dan sebagainya.

Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada bulan Rejab merupakan suatu peristiwa besar yang berlaku ke atas batang tubuh Rasulullah saw. Walaupun ada khilaf di kalangan ulamak mengenai berlakunya Isra' dan Mikraj dalam bulan Rejab, namun apa yang penting ialah banyak pengajaran yang boleh diambil darinya. Di antara perkara penting yang perlu kita ambil ialah hubung kait Isra’ da Mikraj dengan Palestin.

Dr Fadl Hasan Abas, seorang ahli akademik pakar ilmu tafsir berasal dari Palestin yang buta matanya, menulis sebuah buku berjudul Nafahat Min al-Isra’ wal Mikraj. Di antara kupasannya menyebut Isra’ Mikraj ialah hari Palestin.

Masjidil Aqsa merupakan destinasi terakhir perjalanan Rasulullah saw di bumi sebelum baginda di Mikrajkan ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT. Hal ini bukanlah kebetulan, tetapi merupakan peraturan Ilahi yang penuh hikmat. Di Masjidil Aqsa Rasulullah saw bertemu dengan para anbiya' dan menjadi imam solat. Hal ini merupakan satu isyarat tentang pemindahan agama bagi dunia dari bani Israel kepada umat yang baru, Rasul yang baru, kitab yang baru iaitu untuk seluruh alam.

Firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” (al-Anbiya’: 107)

Surah al-Isra’ turun selepas surah al-Qasas. Surah al-Isra’ juga dinamakan surah Bani Israel. Tentu ada hikmah dinamakan demikian. Disebut Bani Israel bersama peristiwa Isra’ menunjukkan sejarah yang panjang di antara keduanya. Ini mengingatkan kepada orang Islam betapa keturunan bani Israel ini akan bertembung dengan orang Islam terutama dalam isu Palestin ini. Apatah lagi apabila mereka mendakwa punya hak ke atas bumi Palestin ini. Sikap mereka dalam dakwaan hak ini tersangat sombong dan angkuh, bahkan tidak mempunyai asas yang kukuh baik dari segi agama maupun sejarah. Akan tetapi mereka hanya mengambil penguat atau dalil tersebut dari agama dan sejarah secara rekaan dan pembohongan. (lihat al-Qudsu Qadiyyatu Kulli Muslim – Dr Yusuf al-Qardhawi)

Kaum Yahudi, tabiatnya sentiasa melanggar perjanjian walau pun sudah dimeterai pada mulanya. Lihat di dalam sirah, bagaimana mereka melakukan tipu daya terhadap Rasulullah saw dan para sahabatnya ra.hum. Mereka bergabung dengan kaum musyrikin untuk memerangi Rasulullah saw, menyerang kota Madinah untuk memusnahkan kaum Muslimin di situ. Di dalam al-Quran banyak menceritakan buruknya sifat permusuhan orang Yahudi terhadap kaum Muslimin.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya kamu mendapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.” (al-Maidah: 82)

Pertembungan ini akan terus berlaku sehinggalah hari Kiamat.

Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidzi bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-orang Islam akan memerangi Yahudi. Orang-orang Islam akan memerangi (membunuh) Yahudi dan mereka akan bersembunyi di sebalik batu-batu dan pokok. (Ketika itu) Batu dan pokok akan akan bersuara 'Wahai muslim! wahai hamba Allah! di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi". (no 7523 , riwayat Muslim)


Ketika ini Masjidil Aqsa masih lagi dicengkam regim Yahudi dan sekutunya. Sesungguhnya mereka sedang merancang mahu mendirikan bandar terowong di bawah Bandar Al-Quds yang dijajah. Pembinaan tersebut bertujuan untuk menguasainya dan mendirikan Kuil Yahudi di Masjidil Aqsa. Pembinaan terowong ini akan melemahkah struktur binaan Masjidil Aqsa.

Rejim Yahudi Zionis mengambil kesempatan di atas keadaan masyarakat Palestin sekarang untuk menyiapkan kerja-kerja penggalian dan merealisasikan impian mereka. Apatah lagi satu kajian dikeluarkan kepada pihak Isarel yang menyatakan bahawa al-Quds adalah milik Yahudi semata-mata. Dengan itu, mereka menganggap amat penting menghapuskan kewujudan bangsa Arab di Al-Quds.

Justeru, sempena berada di dalam bulan Rejab yang mulia ini, marilah kita mengambil sebesar-besar iktibar mengenai Isra' dan Mikraj. Janganlah kita hanya mendengar kisahnya saban tahun tanpa ada apa-apa perubahan dan peranan yang dapat kita lakukan. Marilah kita menyumbang segenap kemampuan dalam usaha untuk membantu saudara seaqidah kita di Palestin, sekurang-kurangnya berdoa setiap kali selepas sembahyang. Mudah-mudahan segala usaha yang kita lakukan diberkati Allah SWT.

Bangkitlah umat Islam, al-Aqsa masih lagi menanti satu pembebasan!

Wednesday 22 May 2013

Membuang jari lebih

Soalan: 

Assalamualaikum, anak lelaki saya dilahirkan dengan mempunyai jari lebih di setiap tangan dan kaki. Sekarang dia berumur 14 bulan. Doktor menyarankan semua jari lebih itu dibuang, supaya besar nanti dia tak merasa rendah diri atau malu di ejek kawan-kawan. Apa pendapat ustaz tentang masalah saya ini.

Jawapan: 

Melakukan pembedahan untuk memperelokkan tubuh ada dua jenis;

1. Pembedahan yang dilakukan untuk tujuan membaiki kecacatan di badan sama ada kecacatan itu timbul kerana kekurangan suatu anggota atau kerana ada lebihan pada anggota di luar dari kebiasaan. Pembedahan sebegini diharuskan kerana ia bukan bertujuan mengubah ciptaan Allah, akan tetapi mengembalikan ciptaan Allah kepada keadaan normalnya. Namun hendaklah dipastikan pembedahan itu tidak menimbulkan mudarat lebih besar (perlu nasihat doktor). Bagi anggota lebih, jika tidak menimbulkan mudarat atau kesulitan pada diri, eloklah dibiarkan sahaja. Namun jika boleh menimbulkan mudarat atau kesukaran pada diri termasuk menyebabkan rasa rendah diri si anak bila besar nanti, eloklah dibuang.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan; “Jika pada diri seorang insan itu terdapat kecacatan yang boleh menyakitinya sama ada dirasai secara fizikal atau secara mental (iaitu menimbulkan rasa rendah diri) setiap kali berada di dalam majlis atau singgah di satu tempat, diharuskan ia membaiki kecacatan tersebut selama niatnya ialah untuk menghilangkan kepayahan yang dihadapinya. Allah tidak menjadikan di dalam agama ini sebarang kepayahan ke atas kita”. (Al-Halam Wa al-Haram Fi al-Islam)

2. Pembedahan dari jenis kedua ialah untuk tujuan menambah kecantikan semata-mata sedangkan tiada sebarang kecacatan pada tubuh. Pembedahan dari jenis ini tidak harus dengan sepakat ulamak kerana ia termasuk dalam pengertian mengubah ciptaan Allah yang dilarang.

Sabda Nabi -sallallahu alaihi wasallam-;

“Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)

Imam Nawawi semasa mensyarahkan hadis di atas, beliau menegaskan; sabda Nabi saw. “perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik” menunjukkan bahawa yang diharamkan ialah bagi orang-orang yang melakukan perkara tersebut (yakni mengubah gigi) untuk tujuan kecantikan semata-mata. Adapun kerana keperluan iaitu untuk mengubati atau untuk membaiki kecacatan pada gigi dan seumpamanya, maka diharuskan”. (Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah). Wallahu a'lam.

Rujukan;
1. al-Halal Wa al-Haram, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 87-88.
2. Soheh Muslim, Bisyarhi al-Imam an-Nawawi, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah, Bab Tahrim Fi’li al-Washilah Wa al-Mustaushilah….
3. Fatwa as-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.net), no. 1509.

Sumber: Ilmu dan Ulamak

Tuesday 21 May 2013

Fikir-fikir: Ibrah dari seekor lalat


“Apahal pulak lalat ni, asyik hinggap kat aku je, aku dah mandi la pagi tadi...” Dengus rakan saya di hadapan.

Kami sedang menikmati sarapan pagi di warung di bawah pohon ceri yang merimbun itu sebelum bertolak ke Temerloh untuk menghadiri satu program tarbawi di sana. Program ini yang membincangkan persediaan pendakwah muda dalam menghadapi cabaran masa kini. Tajuk yang menarik, serta pembentang kertas kerja seperti al-Fadhil Tuan Guru Mokhtar Senik yang sangat saya minati kupasan ilmunya, rugi pula jika tidak menghadirinya.

“Sedap juga nasi lemaknya,” kata Muaz yang pertama kali makan di situ.

“Tambahlah lagi, banyak lagi dalam periuk kat dapur tu,” saya mengsyorkan dalam nada bergurau.

Selalu juga saya dan rakan-rakan yang lain singgah di warung itu jika melalui jalan tersebut. Dek kerana terdapat beberapa batang pokok ceri yang merimbun berhampiran warung itu, para pengunjung menggelarnya ‘warung ceri’ sehingga menenggelamkan nama asalnya Warung Kak Long.

Sesekali angin yang bertiup perlahan menjadikan pagi itu amat mendamaikan.

“Ehh, ada lagi,” sekali lagi Hafiz merungut.

Terasa lucu pula dengan gelagatnya, menepis kiri dan kanan menghalau lalat yang cuba hinggap dipipinya.

“Lalat sesat ni agaknya, seekor je.” Sahut Baihaqi pula yang duduk di sebelahnya.

“Hafiz, enta ni nak bagitau kat lalat tu atau kat kitorang yang enta dah mandi pagi.” Sambungnya lagi sambil ketawa kecil. Saya yang mendengar kata-kata Baihaqi tidak dapat menahan lucu turut sama ketawa, begitu juga Muaz yang duduk di sebelah saya.

“Hafiz, enta tahu tak, kajian sains mengatakan bahawa jangka hayat seekor lalat adalah 14 hari.” Saya pula bersuara setelah ketawa reda.

“Habis tu, apa kaitan dengan lalat yang nak hinggap kat hidung aku ni?” Hafiz bertanya kembali. Sepasang anak matanya disorotkan kepada saya.

“Err...enta tak payahlah bimbang sangat mungkin hari ini hari yang ke 13 lalat tu hidup. Ataupun hari ini hari yang ke 14, kejap lagi nak sampai ajalnya. Bagilah ‘can’ kat dia puas-puas melihat dunia ni.” Saya pula mengusik.

“Mungkin juga tu, biarkanlah ‘dia’ hinggap kat hidung enta sekejap, tak rugi apa pun.” Muaz menambah usikan, mengisi perisa gurauan.
 
Kami sama-sama ketawa. Eratnya jalinan persahabatan atas dasar ukhuwah fillah.

Ibrah seekor lalat 


Lalat.

Rasanya semua orang tidak suka dengan serangga yang satu ini. Mendengar namanya sahaja sudah menjadikan mereka mencebik bibir kebencian, saya pun sama. Kalau tengok kedai makan yang banyak lalat, ‘minta maaf siang-siang’ memang takkan singgah. Lalat punya pasal, lalat memang dibenci.

Lalat biasanya dikaitkan dengan kekotoran. Suka benda-benda yang kotor dan hinggap di tempat-tempat yang kotor (walaupun sebenarnya lalat hinggap tidak kira tempat, kotor atau bersih). Lalat tergolong dalam kategori agen bawaan penyakit. Ini berpunca daripada tabiatnya yang sentiasa mencari makan dan bergelumang di tempat-tempat kotor. Kuman-kuman yang melekat pada anggota lalat akan berpindah kepada makanan manusia apabila lalat singgah di situ.

Antara penyakit yang disebabkan oleh lalat adalah seperti disentri, cirit birit, demam kepialu, keracunan makanan, taun, dan juga penyakit kulit. Pendekata, lalat memang terpandang sebagai simbol negatif bagi ramai orang.

Tahukah anda bahawa lalat juga disebutkan di dalam al-Quran?

Allah SWT berfirman:
“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain daripada Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).” (al-Hajj: 73) 

Di dalam ayat ini Allah SWT membuat satu misal perbandingan iaitu menggambarkan kebodohan orang-orang yang menyembah benda-benda yang bukan sahaja tidak dapat memberikan sebarang pertolongan bahkan juga tidak dapat membela dirinya sendiri. Lemahnya mereka itu dibandingkan lebih lemah dari seekor lalat yang kecil. Sesungguhnya ayat ini menjadi peringatan yang besar kepada mereka yang mahu mengambil pengajaran.

Diceritakan dalam satu hadis:
"Dari Tariq ibn Shihab, sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: “Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat. Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah? Baginda saw bersabda: “Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali jika melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu dikatakan kepada mereka berkorbanlah.”

Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala: “Berkorbanlah walaupun seekor lalat.” Lalu lelaki ini mengorbankan seekor lalat, lalu dia pun dibenarkan lalu. Kepada seorang lelaki yang lain, ia berkata: “Aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain kepada Allah, lalu mereka memancung kepalanya maka masuklah dia kedalam syurga.” (HR Imam Ahmad)

Jangan ikut “Iman lalat” 


Saya teringat zaman budak-budak dulu, orang tua-tua menyebut “jangan ikut iman lalat”. Saya tertanya-tanya, “lalat ada imankah? Macam mana iman lalat ni?”

Selepas itu barulah saya tahu, rupa-rupanya ia hanyalah kata-kata perumpamaan sahaja. Bahasa orang dulu-dulu penuh dengan bunga dan kiasan, menegur dengan penuh hikmah dan bijaksana. Lembut dan bersahaja tetapi menusuk jauh ke dalam.

“Iman lalat” bermaksud seseorang yang melakukan kebaikan tetapi dalam masa yang sama melakukan perbuatan yang tidak baik, baik dan buru bergandingan. Ada orang yang berpuasa tetapi tidak sembahyang, ada pula yang bersembahyang tetapi selalu bercakap bohong dan bermacam-macam lagi. Inilah yang dimaksudkan dengan “iman lalat.”

Usamah bin Syarik meriwayatkan pada satu masa kami duduk di tempat kediaman Rasulullah saw, diam dan menunduk laksana patung.

Tiba-tiba datanglah beberapa orang yang bertanya kepada baginda: “Ya Rasulullah, siapakah di antara hamba Allah yang paling dicintai Allah?” Baginda menjawab: “Yang terbaik budi akhlaknya.”

Perbuatan yang tidak baik sama sekali bukan dari ajaran Islam. Sesungguhnya orang yang terbaik keIslamannya ialah yang terbaik akhlaknya. Namun begitu, ada di antara orang Islam yang tidak mengindahkan bentuk-bentuk ibadat yang dituntut oleh Islam. Maksudnya ada orang yang memperlihatkan diri sebagai orang yang baik dalam melaksanakan perintah agama apabila berada di hadapan orang ramai, tetapi dalam masa yang sama mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak dapat diterima malahan dikeji oleh akhlak yang mulia dan iman yang benar. (Nad`uzubillah)

Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mencampur-adukkan antara yang benar dan yang salah...” (al-Baqarah: 42) 

Rasulullah saw dengan tegas memperingatkan orang-orang yang mencampur-adukkan perbuatan-perbuatan dosa dengan ibadat dan iman. Sifirnya jelas, melaksanakan ibadat dan iman kerana hanya meniru atau mengikut semberono sahaja dapat dilakukan oleh orang-orang yang tidak dapat menyelami jiwa ibadat. Ataupun orang yang tidak berhasrat atau bercita-cita meningkatkan diri setinggi tuntutan-tuntutan ajaran yang ada dalam ibadatnya.

Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (al-Ankabuut: 43) 

Oleh itu, apabila seseorang itu beribadat sedangkan daripada ibadatnya itu tidak dapat membantu dirinya untuk berubah kepada kebaikan maka tiada hasil daripada ibadatnya. Bagaimana kita dapat menggolongkan seseorang itu di kalangan yang bertaqwa dan beriman jikan ia melaksanakan beberapa bentuk ibadat namun masih lagi berbuat kejahatan dosa?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, Rasulullah saw bersabda: “Akhlak yang baik mencairkan dosa seperti air yang mencairkan gumpalan salji, sedangkan perbuatan yang buruk merosakkan amal soleh seperti cuka merosakkan madu.”

Nah! Inilah akibat daripada iman lalat. Ia akan memakan kebaikan sedikit demi sedikit sehingga kebaikan kita menjadi kosong tanpa sedar. Bagaimana agaknya jika kita datang mengadap Allah dengan perasaan bangga kerana membawa amal yang banyak, kita sangka begitu. Tetapi tanpa sedar rupanya kebaikan yang kita bawa telah habis kerana dihakis oleh keburukan yang juga kita lakukan. Tentu kita merasa kecewa dan menyesal. Sedangkan penyesalan pada hari itu tiada berguna walau sedikit pun. Marilah kita mengambil peringatan. (tentunya ia lebih mengingatkan diri saya).

Jadi, marilah kita sama-sama sentiasa mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita dan memohon keampunan kepada Allah SWT di atas setiap kesalahan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memelihara kita semua daripada keimanan yang rosak dan rapuh persis “iman lalat” itu.

Namun, janganlah kita terlalu membenci lalat, kerana ia juga ciptaan Allah SWT. Setiap ciptaan Allah tidak mungkin sia-sia. Pasti ada guna dan manfaatnya, tinggal kita sahaja yang perlu merenung dan memikirkannya.

Teringat dalam satu kem ibadah apabila ada seorang pelajar bertanya tentang hikmah penciptaan lalat.  “Apakah kegunaan lalat? Saya tidak nampak apa-apa pun yang boleh kita ambil manfaat daripada lalat,” katanya.

Saya menjawab:

“Antara hikmah penciptaan lalat ialah untuk menghina orang yang bongkak dan sombong. Perhatikan, lalat tidak mengenal manusia berpangkat raja, menteri mahupun rakyat biasa. Lalat akan hinggap dengan penuh selamba.”

Setuju?

Senyum.

Sunday 19 May 2013

Jentikan hati, fikir-fikir...

Tanpa sedar kita banyak habisi umur untuk kerja-kerja dunia...(Tuan Guru Dr Harun Din) 

kredit video: Sidiq Sigaraga TV Production

Thursday 16 May 2013

Guru, umpama mesin pencetak manusia


Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua warga pendidik walau dimana pun mereka berada. Mudah-mudahan mereka semua sentiasa dipermudahkan segala urusan dan mendapat balasan kebaikan atas ilmu yang telah disampaikan.

16 Mei adalah tarikh yang menjadi bukti pengiktirafan terhadap jasa para guru. Tidak kiralah sama ada mereka guru sekolah rendah, menengah, tadika, pusat pengajian tinggi hatta guru yang mengajar membaca al-Quran di kampung, mereka semua banyak berjasa dalam membimbing dan mendidik anak bangsa. Mereka umpama mesin pencetak manusia yang mencorakkan alam. Tentunya corakan yang mahu dilakarkan penuh warna-warni dan keindahan.

Seringkali mendengar ungkapan, “Guru umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”, “Guru adalah suluhan cahaya ilmu pengetahuan”, “Keberkatan ilmu terletak pada redha seorang guru”, dan berbagai-bagai lagi gambaran kata-kata pujian untuk guru. Saya katakan memang selayaknya mereka diberikan pujian dan penghormatan tersebut kerana peranan yang amat besar serta sukar yang dipikul di bahu mereka.

Sabda Rasulullah saw:
“Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu daripada mereka.” (Riwayat At-Thabrani) 

Diceritakan satu kisah, Imam Syafie tatkala menyelak helaian bukunya dengan cukup teratur dan berhati-hati tanpa sebarang bunyi kerana takut mengganggu gurunya yang sedang mengajar. Kata Imam Syafie: “Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut).“

Saiyidina Ali pernah berpesan: “Hak orang alim ada tujuh. Pertama, jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Kedua, jangan halangi jika guru hendak berdiri. Ketiga, jangan membuka rahsia di hadapan guru. Keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Kelima, hormatlah guru kerana Allah. Keenam, jangan duduk membelakangi guru dan ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakan keperluan guru.”

Bayangkan kehidupan kita tanpa manusia yang mengajar huruf dan angka. Dimanakah agaknya kita sekarang? Bagaimanakah perjalanan kehidupan yang akan dilalui? Tentu sukar dan banyak kekurangannya. Hidup ini memerlukan ilmu, maka daripada gurulah kita memperolehinya. Oleh itu, menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menghormati dan memuliakan guru sebagaimana ketulusan mereka menabur ilmu kepada kita tanpa jemu.

Kata Imam Al-Ghazali: “Tidak akan dapat ilmu kecuali dengan merendah diri dan mendengar dengan teliti…”

Selamat Hari Guru!

Wednesday 15 May 2013

15 Mei 1948: Peristiwa al-Nakbah

 Foto: FB Ustaz Riduan Mohd Nor

Nakbah membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera ‘The Star of David’ dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam?

Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahka
n mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.


Perang Arab-Israel 1948 , dikenali juga sebagai Perang Kemerdekaan Israel, adalah merupakan perang yang pertama di dalam satu siri peperangan antara negara Israel dan negara jiran Arabnya dalam konflik Arab-Israel. Bagi orang-orang Yahudi Israel, peperangan ini menandakan kejayaan penubuhan negara Israel, tetapi bagi orang-orang Arab Palestin, ia menandakan permulaan bagi peristiwa-peristiwa yang dirujuk sebagai "Al-Nakba" (bahasa Arab: النكبة, "Malapetaka"), perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pengusiran keluar beratus-ratus ribu penduduk Palestin tempatan dari negara Israel yang baru dibentuk, dan kemudiannya pelarangan pihak Israel kembali ke kampung halaman mereka.

Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan memisahkan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab, satu rancangan yang ditolak oleh masyarakat Arab. Mandat British ke atas Palestin sepatutnya berakhir pada 15 Mei 1948, tetapi kepemimpinan Yahudi, diketuai oleh bakal Perdana Menteri David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 14 Mei. Kemerdekaan Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.

Pada akhir Mei 1948, 6,000 tentera Syria, 4,500 Iraq, 6,000 Transjordan, 1,000 Lubnan dan 5,000 Mesir telah melancarkan serangan terhadap negara Israel yang baru lahir. Namun, mereka ditewaskan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmuqaddis Barat. Dalam perjanjian gencatan senjata, Genting Gaza diserahkan kepada Mesir, manakala Tebing Barat diserahkan kepada Jordan, dan tanah di bawah Mandat British di Palestin sebelumnya menjadi milik Israel. (Wikipedia)

Monday 13 May 2013

al-Ithaar ‘ala al-Nafs, kenangan itu di Jempol


“Datang dari mana, boleh pakcik tahu?” sapa lelaki tua itu kepada kami berdua.

Saya dan rakan sedang khusyuk menikmati pemandangan di tepi jalan. Hamparan sawah padi yang terbentang sungguh mengasyikkan menyebabkan saya meminta rakan yang memandu berhenti di tepi jalan. Tidak sedar bila pakcik itu datang dari belakang.

“Dari Kuantan,” saya menjawab sambil menyuakan tangan untuk bersalam. Cheong juga sama.

“Oo...ada hal apa datang ke Jempol pagi-pagi ni?” soalnya lagi sambil tersenyum mesra.

“Sebenarnya kami ke Seremban dua hari lepas, ada kerja di sana. Hari ini dah nak balik ke Kuantan, sengaja bertolak awal pagi cadangnya nak mengambil gambar di sepanjang perjalanan.” saya menerangkan. Pakcik itu mengangguk-angguk.

“Suka betul saya tengok sawah padi kat sini, tu yang berhenti sekejap, maklumlah kat tempat saya tak ada sawah,” saya menambah lagi. Memang di tempat saya tiada sawah padi. Kadang-kadang rasa cemburu juga dengan rakan-rakan yang bercerita keseronokan berkejaran petak sawah di kampung mereka.

Saya memang sukakan sawah padi. Seingat saya dari zaman sekolah rendah saya menyimpan impian untuk turun petak sawah. Bahkan ia menjadi impian yang terpendam sehingga hari ini. Bukan saya tidak pernah melihat sawah padi di depan mata setiap kali saya bermusafir ke pelusuk negara dalam program-program kebajikan, tetapi sekadar dari atas kenderaan. Hati kecil saya selalu berkata tiap kali melalui kawasan sawah padi, “bila agaknya dapat berlari di atas permatang sawah, berkelah di pondok tepi sawah sambil menyaksikan panorama petang atau pun menghalau burung-burung yang datang memakan padi”. Pasti menyeronokkan!

“Kamu dah sarapan pagi?” Soal pakcik tadi kepada kami.

“Err… belum lagi” saya menjawab.

“Memang cadang nak singgah sarapan dalam perjalanan nanti,” sampuk rakan saya di sebelah. Saya mengangguk mengiyakan.

Mendung di Pekan Juasseh

“Kalau begitu singgahlah dulu di kedai pakcik. Tak jauh mana seberang jalan tu aje.” Pakcik yang dikenali dengan panggilan pakcik Ramli mengajak kami.

Kami berdua berpandangan mencari keputusan. Akhirnya tanpa sebarang kata saya dan Cheong bersetuju untuk bersarapan di kedai pakcik Ramli.

Saya dan Cheong mengikut pakcik Ramli ke kedainya. Beliau menceritakan sesuatu kepada kami, saya cuba untuk menangkap butir-butir perkataannya yang sedikit bercampur dengan loghat Negeri Sembilan.

Setibanya saya dan Cheong di kedai pakcik Ramli, kami dihidangkan dengan nasi lemak sambal kerang beralaskan daun pisang bersama daging bakar yang masih panas. Aroma wangi dari nasi lemak yang terhidang membuka selera saya. Manakala dua biji telur separuh masak melengkapkan hidangan pagi. Kopi susu panas, menyegarkan mata serta menghilangkan kesejukan tubuh badan kami di pagi yang mendung berkabus itu.

Ahh...berat pula sarapan pagi ini.

Sambil menikmati sarapan kami berbual-bual, pelbagai soalan lagi ditanya dan kami menjawab dengan keramahan.

Selesai makan, saya dan Cheong bertanyakan harga untuk membayar.

“Tak apa… tak perlu bayar,” kata pakcik Ramli.

Saya terkejut. Cheong juga begitu.

“Eh, jangan begitu, pakcik kan berniaga,” rasa bersalah pula, segan pun ada.

“Tak apalah bukannya selalu, entah bila pula masanya kamu dapat singgah di kedai pakcik ni. Mungkin sekali ini sahaja,” pakcik Ramli bersuara perlahan. “Jangan lupa doakan pakcik dan keluarga sentiasa di dalam kebaikan.”

Sebelum bertolak pulang kami dibekalkan pula sedikit buah tangan berupa buah-buahan dari kebun pakcik Ramli. Walaupun berkali-kali kami cuba menolaknya, tetapi bersungguh pakcik Ramli mahu kami menerimanya.

Bagaikan terasa kehangatan ukhuwwah ketika saya memeluk pakcik Ramli sebelum berangkat meneruskan perjalanan pulang. “Semoga Allah SWT memberikan rahmat kebaikan kepada pakcik Ramli sekeluarga.”

Itulah doa yang dipanjatkan


Ukhuwwah yang terjalin erat di Jempol

al-Ithaar `ala al-Nafs

Sesungguhnya Islam mengajar kepada kita bahawa setinggi-tinggi nilai ukhuwwah adalah pada seseorang itu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri (al-ithaar ‘ala al-nafs). Manakala serendah-rendah nilai yang masih boleh dikategorikan sebagai ukhuwwah adalah pada salaamatus-sadr iaitu berlapang dada.

Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkeinginan terhadap apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”. (al-Hasyr: 9)

Diceritakan dalam satu riwayat:

Ada salah seorang sahabat yang kedatangan seorang tamu, kemudian sahabat tersebut bertanya kepada isterinya: “Apakah kamu memiliki sesuatu untuk menjamu tamu”. Isterinya pun menjawab: “Tidak ada, hanya makanan yang cukup untuk anak-anak kita”. Lalu sahabat tersebut berkata: “Sibukkanlah anak-anak kita dengan sesuatu (ajak main), kalau mereka ingin makan malam, ajak mereka tidur. Dan apabila tamu kita masuk (ke ruang makan), maka padamkanlah lampu. Dan tunjukkan kepadanya bahwa kita sedang makan bersamanya. Mereka duduk bersama, tamu tersebut makan, sedangkan mereka tidur dalam keadaan menahan lapar.

Tatkala pagi, pergilah mereka berdua (sahabat dan isterinya) menuju Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam. Lalu Rasulullah saw memberitakan (pujian Allah SWT terhadap mereka berdua), “Sungguh Allah merasa kagum dengan perbuatan kalian berdua terhadap tamu kalian). Maka Allah SWT menurunkan ayat 9 surah al-Hasyr)” (HR Bukhari dan Muslim)

Di dalam satu riwayat lain yang dinukilkan, dari Abdullah bin Mush’ab Az Zubaidi dan Hubaib bin Abi Tsabit, keduanya menceritakan, “Telah syahid pada perang Yarmuk al-Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr. Mereka ketika itu akan diberi minum, sedangkan mereka dalam keadaan tenat, namun semuanya saling menolak. Ketika salah satu dari mereka akan diberi minum dia berkata, “Berikan dahulu kepada si fulan”, demikian seterusnya sehingga semuanya meninggal dan mereka belum sempat meminum air itu.

Dalam riwayat lain, perawi menceritakan: “Ikrimah meminta air minum, kemudian ia melihat Suhail sedang memandangnya, maka Ikrimah berkata, “Berikan air itu kepadanya.” Dan ketika itu Suhail juga melihat al-Harits sedang melihatnya, maka iapun berkata, “Berikan air itu kepadanya (al Harits)”. Namun belum sampai air itu kepada al Harits, ternyata ketiganya telah meninggal tanpa sempat merasakan air tersebut (sedikitpun). (HR Ibnu Sa’ad dalam ath Thabaqat dan Ibnu Abdil Barr dalam at Tamhid, namun Ibnu Sa’ad menyebutkan Iyas bin Abi Rabi’ah sebagai ganti Suhail bin Amr)

Inilah tauladan yang terpuji iaitu keteguhan ikatan persaudaraan di antara orang-orang yang beriman. Lihatlah, pengorbanan mereka walaupun diri mereka sendiri di dalam kesukaran, namun mereka tetap mengutamakan kepentingan dan keselesaan saudara-saudara mereka. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri, kerana terlalu mendalam rasa kasih dan cinta sesama mereka berteraskan keimanan kepada Allah SWT.

Inilah nilai ukhuwwah dalam Islam sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw:

"Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya saya juga telah merasai percikan nilai ukhuwwah yang benar-benar dipuji oleh agama kita, al-ithaar ‘ala al-nafs iaitu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri.

Alhamdulillah...

Friday 10 May 2013

Petua dari Big Boh

Petua bagaimana menghilangkan bau kambing, la tanya kita pulok dah.
Ada juga soalan macam ni... lawak!


Dilema Aurat Wanita ketika Bersalin


Tajuk : Dilema Aurat Wanita ketika Bersalin
Penulis : Dr Zaharudin Muhammad 
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Harga : SM 16.00 / SS 19.00
M/S : 224

Setiap wanita dan pasangannya yang berkahwin dan mengandung pula, semestinya mahu yang terbaik untuk meraih anak yang terbaik. Bukan sahaja terbaik dari sudut mudah ketika bersalin, akan tetapi mahukan perkhidmatan terbaik agar anak yang dilahirkan itu berada dalam kondisi yang memberansangkan.

Namun apakah semua wanita memerhatikan bahawa mereka bersedia untuk bersalin yang disambut oleh bidan muslimah? Mungkin segelintir muslimah yang sensitif sahaja yang mahukan bidan perempuan bagi menjaga aurat mereka pada saat yang genting itu, sesungguhnya inilah fenomena yang berlaku terhadap kaum wanita. Mereka menghadapi saat melahirkan anak yang payah, namun ia amat menggembirakan apabila proses melahirkan anak disambut dengan keadaan yang disukai Allah SWT.

Justeru, kehadiran buku Dilema Aurat Wanita Ketika Bersalin bertepatan dengan masa dan ketika apabila isu bersalin di hospital kerajaan tidak dapat menyediakan jumlah bidan perempuan yang diinginkan oleh para ibu yang ingin bersalin menurut hukum Islam. Terdapat dari kalangan mereka yang merasa kesal dan malu apabila bayi-bayi mereka disambut oleh bidan lelaki.

Mengapa perlu memiliki buku ini?

Ia tidak lain kerana memberikan maklumat yang amat berguna mengenai penyelesaian cara bersalin yang dituntut oleh Islam.

Buku ini mengandungi 4 bab:

Bab 1: Asas-asas Pengenalan
- Definisi sakit puan dan perbidanan
- Hukum asas serta disiplin perubatan Islam
- Hukum asas perubatan antara lelaki dan perempuan serta Maqasid Syariah atau tujuan syarak disebaliknya.
- Lelaki dibolehkan mengubati wanita dengan syarat tertentu
- Darurat boleh mengharuskan perkara yang diharamkan dengan syarat perkara yang diharamkan lebih kecil berbanding darurat tersebut
- Isu perbidanan dan perbezaan dengan penyakit-penyakit lain    
- Aurat adalah simbol maruah dan bahagian sulit adalah mahkota
- Dilema antara menjaga maruah dan menjaga nyawa

Bab 2: Situasi, Realiti dan Implikasinya
- Contoh-contoh pengakuan ibu bersalin
- Implikasi berdasarkan realiti dan situasi berdasarkan pengalaman responden

Bab 3: Satu Pandangan Berasaskan Syariat
- Dari sudut pesakit
- Dari sudut suami apabila bahagian sulit isteri diperiksa oleh doktor lelaki
- Garis panduan cemburu menurut Islam
- Dari sudut doktor dan pelajar perubatan
- Dari sudut pandangan kerajaan

Bab 4: Penyelesaian
- Realiti hospital Islam Malaysia pada hari ini dan harapan
- Skop penyelesaian
- Mengambil inti pati, bukan mengambil keseluruhan
- Memberikan kesedaran kepada pelajar perubatan wanita
- Penyelesaian ketika kekurangan doktor wanita dan peranan doktor lelaki ketika ini
- Perubatan tradisional melayu perlu diformalkan dan digabungkan dengan perubatan moden
- Peranan pelajar perubatan perempuan
- Peranan kerajaan (Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan)
- Usaha penyelesaian secara menyeluruh perlu dilakukan oleh semua pihak
- Tempoh penyelesaian

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!"

Wednesday 8 May 2013

Meh dengar lagu loghat Jerantut

Saya orang Pahang. Lahir di Pahang, membesar pun di Pahang. Kiranya saya ni anak Pahang jatilah. Pahang Darul Makmur merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia yang mempunyai 11 buah daerah. Setiap daerah pula mempunyai loghat yang tersendiri. Bayangkan 11 daerah dengan 11 loghatnya. Ada pula yang kata lebih daripada itu kerana ada satu daerah yang mempunyai beberapa loghat mengikut kawasan.

Dikatakan loghat Pahang sebelah timur (Pekan dan Rompin) dan kalau turun ke Maran sudah hampir ke loghat Temerloh dan Temerloh sendiri ada loghatnya (sedikit lembut dan beralun).

Memandangkan Jerantut sebuah daerah yang terbesar di Negeri Pahang maka terdapat banyak loghat daerah mengikut sesuatu kawasan. Di sebelah perkampungan Kampung Baru sehinggalah ke perkampungan Ulu Cheka loghatnya adalah sama dengan sebelah Kuala Lipis yang agak meleret dan perlahan tetapi di sebelah Kuala Tembeling sehinggalah ke perkampungan Kampung Bantal di Ulu Tembeling merangkumi Kuala Tahan / Taman Negara loghatnya sudah berbeza yang lebih laju pertuturannya dan agak sukar untuk difahami.

Manakala Kuantan boleh dikatakan bercampur sedikit loghat Terengganu kerana hampir dengan sempadan Kemaman.

Mengambil kata-kata Pak Sako, loghat Pahang ni dituturkan ikut aliran sungai,kalau di hulu deras airnya maka cepat cakapnya jika dari bahagian hulu sungai misalnya seperti di daerah Bentong, Raub, gaya percakapan lebih laju, manakala bila melalui kawasan pertengahan Sungai Pahang seperti di Temerloh, gaya percakapan agak perlahan dan bila ke bahagian hilir sungai Pahang seperti di Chenor dan Pekan, gaya percakapan mereka juga akan lebih perlahan atau 'leweh' sedikit.  Entahlah, saya tidak pasti pula kebenarannya.

Yang istimewanya loghat Pahang ini, kata orang Pahang mereka boleh mengenali dari mana asalnya seseorang itu (daerahnya) bila sahaja terdengar mereka bercakap. Bahkan ada kajian membuktikan bahawa loghat Pahang boleh diterima tetapi hanya orang Pahang sahaja yang boleh mengajuk cakap Pahang...inilah keunikan loghat Pahang.. Wallahua`lam, rasa ada betulnya kerana saya sendiri boleh mengajuk percakapan loghat daerah-daerah lain dalam negeri Pahang. Terrerkan!
   
Meh kita dengar satu lagu dalam loghat Jerantut ciptaan sahabat saya Tuan Ikhtiman Ismail yang dinyanyikan oleh Allahyarham Cikgu Awie Lian.

Jerantet kampung kas (Jerantut kampungku)
 

Monday 6 May 2013

"Kan saya dah kata, ubat ini mujarab..."

"Ceria-ceria hari Isnin..."

Di satu sudut kaki lima sebuah bandar, terdengar suara seorang penjual ubat sedang mempromosikan ubat jualannya.

"Mari adik, mari abang, mari kakak, pakcik dan makcik! Sebentar lagi bandar ini akan dilanda gempa tepat jam 11 pagi! Kalau anda semua mahu selamat, cubalah ubat saya ini!"

Jam sudah menghampiri 11 pagi. Semakin ramai orang yang berkerumun membeli ubat tersebut kerana mempercayainya. Dalam ramai-ramai itu, seorang pakcik yang tergesa-gesa membelinya kerana waktu gempa semakin hampir.

Pakcik tersebut dan orang lain pun terus memakan ubat berkenaan untuk mengelak dari merasa gempa bumi yang bakal berlaku.

Jam sudah pun menunjukkan pukul 11 pagi. Seminit berlalu..dua minit berlalu..tiga minit berlalu..empat minit berlalu..hingga minit yang kesepuluh, pakcik tadi pun menjerit kepada penjual ubat tersebut.

Pakcik itu berkata: "Eh! Dah lama ni, dah lebih pukul sebelas. Mana gempanya? Tiada pun, awak tipu kami ye?"

Jawab penjual ubat: "Hah! Kan betul apa yang saya cakap! Pakcik tak rasa apa-apa gempakan selepas makan ubat saya tadi! Itu tandanya ubat saya mujarab!"

Pakcik: ???????? 

Hari ini...05 Mei 2013

Alhamdulillah, selesai menunaikan kewajipan sebagai warganegara Malaysia siang tadi. Saya dan isteri mengundi di kampung saya, kerana isteri saya telah pun menukar alamat mengundinya. Jadi tidaklah susah-susahkan. Kalau tidak, tentu saya terpaksa menghantar pulang ke kampungnya sehari dua sebelum tarikh pengundian.

Kata 3 hari, rupa-rupanya 3 minit pun tak sempat

Tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di pusat pengundian tadi. Pengundi hantu pun tidak ditemui, seperti di tempat-tempat lain sebagaimana yang dilihat di dalam internet. Kalau ada mungkin kecoh jadinya. Cuma saya kehairanan melihat calitan dakwat di jari. Khabarnya dakwat boleh kekal selama tiga tetapi menjadi sebaliknya pula. Sebelum ini sudah terdengar berita di dalam internet mengenai dakwat kekal yang tidak kekal dalam proses pengundian awal baru-baru ini. Tidak sangka pula saya pun dicalit dakwat yang tidak kekal. 

Apa pun seronok balik ke kampung. Tidak banyak yang berubah. Masih banyak lagi tempat yang menjadi kenang-kenangan semasa zaman budak-budak. Seronok juga dapat bertemu dengan sahabat-sahabat lama sekampung. Masing-masing 'mengupdate' perkembangan diri. Ada yang sudah anak empat, lima, enam pun ada. Tidak kurang yang sudah beruban, yang telah berkurang rambut pula lagi ramai. Apa yang tidak berubah ialah persahabatan yang terjalin tetap hijau dan mekar.

Di pusara bonda

Kesempatan pulang ke kampung juga saya gunakan untuk menziarahi pusara kedua orang tua tersayang, abang sulung serta saudara-mara yang lain. Menangis juga hati saya tatkala berteleku di pusara bonda. Benar-benar saya mengakui betapa kerinduan terhadap bonda amat berbekas sedalamnya. 

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang...Amin.” 

"Dalam mood mengikuti keputusan pilihanraya ke-13".

Sunday 5 May 2013

Selamat menunaikan kewajipan kepada negara, jom mengundi


Assalamualaikum wrm...

05 Mei 2013, Pilihanraya Umum ke-13.

Saya mengucapkan selamat mengundi kepada semua warga Malaysia yang layak. Mengundi dengan maksud untuk memilih peneraju kepada kepimpinan negara. Mengundi juga dalam erti kata menjalankan tanggungjawab 'amar ma`ruf nahi mungkar'.

Sesungguhnya Islam tidak hanya mewajibkan jihad dalam medan pertempuran dengan mengangkat senjata menghadapi pihak musuh. Menuntut ilmu juga adalah berjihad, bahkan keluar mengundi untuk memilih pemimpin yang adil dan mempunyai roh Islam juga termasuk dalam juzuk-juzuk jihad yang telah ditetapkan.

Menurut mantan Setiausaha Agung Gerakan Islam Lubnan yang juga mantan Pengerusi Majlis Fatwa Eropah, Almarhum Syeikh Faisal Molawi, penyertaan pengundi dalam memilih bakal pemimpin dalam pilihanraya adalah satu tindakan jihad. Ini kerana apabila calon yang menang daripada kalangan mereka yang berjiwa Islam, akan menggunakan peranan, pengaruh serta tanggungjawabnya bagi memberi khidmat kepada Islam.

Menurutnya lagi, mana-mana individu atau kumpulan atau kelompok Islam yang tidak mengikut serta dalam mengundi bagi memenangkan calon-calon yang berjiwa Islam pada pilihanraya, adalah dianggap berdosa kerana seolah-olah mereka bersetuju dengan tindakan negatif yang dilakukan oleh pemerintah yang sedia ada.

Tidak boleh dianggap ringan untuk membuang undi bagi mengalahkan golongan yang berorientasikan fahaman sekular, sosialis, kapitalis dan lain-lain yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Sesungguhnya hukum menyertai pilihanraya bukanlah kekal, ia boleh dimansuhkan jika yang memerintah itu kembali kepada proses pemilihan pucuk pimpinan seperti yang pernah dilakukan oleh para Khulafa` Rasyidun.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah. Buatlah pilihan yang bijak berdasarkan iman dan akal.  

Mengundilah dengan yakin.
Mengundillah dengan tenang.
Mengundilah dengan jiwa yang merdeka.

Saya akan mengundi, anda bagaimana?

Friday 3 May 2013

Salam Jumaat: Pesan murabbi, muhasabah diri

 Murabbiku, Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

"Ketika burung hidup, semut adalah makanannya. Tetapi apabila burung mati, semut memakannya pula. Sebatang pokok boleh dijadikan berjuta mancis, tetapi hanya perlu sebatang mancis untuk membakar berjuta pokok."

"Keadaan boleh berubah dalam sekelip mata. Jangan sesekali melukakan atau menyusahkan seseorang dalam hidup ini."

"Kamu mungkin berkuasa hari ini, tetapi masa adalah lebih berkuasa daripada kamu."

"Kekalkan semangat semua dan jangan sekali-kali hentikan kemaraan dan berputus asa. Senyum."
(Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man)

Wednesday 1 May 2013

Kita dihargai, Alhamdulillah


Kata orang, manusia mudah dipujuk hatinya dengan penghargaan. Ada benarnya. Hanya dengan sedikit penghargaan, kita dapat merasakan bahawa kita adalah manusia yang punya hati dan perasaan. Tidak kisah bagaimana bentuk penghargaan, samada ucapan atau pemberian berupa barangan. Yang pastinya dengan penghargaan itu akan lenyaplah penat, lelah, ketidakpuasan hati dan sebagainya.

Kita adakan sambutan hari guru, untuk ibu kita adakan hari ibu, hari polis, hari bapa, hari wanita dan banyak lagi semata-mata untuk menghargai jasa dan penat lelah mereka.

Hari ini tanggal 1 Mei, pastinya tarikh ini menjadi satu kegembiraan kepada semua yang bergelar pekerja kerana dapat menikmati cuti sehari. Siapa yang tidak seronok mendapat cuti? Saya tidak tahu pula jika ada orang yang menerima cuti dengan perasaan sedih dan membosankan. Untuk saya, jika boleh tidak cukup cuti sehari, kalau dapat ditambah menjadi dua atau tiga hari. Bermacam-macam aktiviti boleh dilakukan seperti bersantai bersama keluarga atau pun boleh tidur sepuas-puasnya.

Sejarah hari Pekerja

Mari kita selak lipatan sejarah mengenai sambutan Hari Pekerja...

Idea gembira untuk menggunakan perayaan cuti proletariat sebagai cara untuk mencapai hari bekerja lapan jam dicetuskan di Australia. Para pekerja mengambil keputusan pada tahun 1856 untuk mengajurkan sehari pemberhentian sepenuhnya bersama dengan mesyuarat-mesyuarat dan hiburan sebagai demonstrasi demi hari bekerja lapan jam. Hari bagi perayaan ini ditetapkan pada 21hb April. Pada mulanya, pekerja Australia itu mengajurkan ini hanya bagi tahun 1856. Tetapi perayaan pertama ini membawa kesan yang sangat kuat pada golongan proletariat Australia, menghidupkan mereka dan membawa pemberontakan baru, sehingga keputusan diambil untuk mengulangi perayaan tersebut setiap tahun.

Di Amerika Syarikat, perarakan Hari Buruh yang pertama telah diadakan pada 5 September, 1882 oleh Pusat Kesatuan Buruh di bandaraya New York untuk memperingati pencapaian serta sumbangan tenaga pekerja di sana. Namun banyak kesatuan pekerja yang lebih radikal mahukan tarikh 1 Mei sebagai hari buruh. Pada tahun 1886, mereka mengambil keputusan bahawa 1hb Mei patut menjadi hari berhenti bekerja antarabangsa.  (Wikipedia)

Pada hari itu, seramai 350,000 pekerja Amerika Syarikat telah mengadakan mogok. Sempena mengingati tarikh ini, 1 Mei kemudiannya diabadikan sebagai Hari Pekerja Sedunia.

Sejak 1 Mei 1886, satu prinsip umum telah ditetapkan iaitu seorang pekerja hanya bekerja lapan jam sehari dan masa tambahan selain itu dikira kerja lebih masa. Namun prinsip waktu kerja selama lapan jam sehari itu bukanlah diterima secara automatik oleh majikan di seluruh dunia, melainkan dengan perjuangan demi perjuangan yang dilakukan oleh para untuk mendapatkan hak tersebut. Sehinggalah pada tahun 1919 barulah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memberikan hak waktu kerja selama lapan jam sebagai piagam sejagat.

Di negara kita pula, pengiktirafan Hari Pekerja 1 Mei disambut lebih lewat lagi. Sambutan ini pernah ditentang keras oleh pihak pemerintah kerajaan Perikatan waktu itu. Hanya pada tahun 1972, kerajaan Malaysia bersetuju mengisytiharkan 1 Mei sebagai hari Pekerja. Bermula dari tarikh itulah ianya disambut saban tahu sehinggalah ke hari ini.

1 Mei 2013

Saya diantara mereka yang mendapat penghargaan pada hari ini, begitu juga dengan isteri saya. Buktinya, kami berdua mendapat cuti pada hari ini dan sedang berehat-rehat dirumah bersama anak-anak.

Alhamdulillah,walau apa pun kerja dan tugasan kita, baik guru, jurutera, pegawai eksekutif, ataupun pekerja kilang, peniaga kecil-kecilan atau penyapu sampah di tepi jalan, semuanya adalah pekerja. Bahkan kita lebih berbangga kerana bersusah payah sendiri memerah keringat mencari rezeki yang halal. Tentunya segenap kepuasan apabila kita mendapat upah atas usaha tersebut. Inilah yang memberikan nilai dalam melakukan pekerjaan.

Di dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda:

"Sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seseorang pekerja apabila dia melakukan sebaik-baiknya." (Riwayat Imam Ahmad)

Sebaliknya jika kita tidak menghormati pekerjaan yang dilakukan, sering merungut, curi tulang dan sebagainya, maka fikir-fikirkanlah bagaimana upah yang diperolehi. Memang kita mendapat imbuhan setiap bulan tetapi dibimbangi ia telah hilang keberkatan.

Firman Allah SWT:

"Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu'min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (at-Taubah: 105)

Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja yang taatkan Allah dan Rasul-Nya!