Sahabat Sejati

Saturday 2 February 2013

Teman, berbagai watakmu...

Jam sudah pun menunjukkan pukul 1.46 pagi ketika saya tiba di rumah, keluarga sudah pun lama melelapkan mata. Perjalanan dari Jerantut menuju ke Kuantan memakan masa lebih tiga jam melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Mata belum mengantuk. Bertemankan secawan kopi, saya memunggah kembali buku-buku lama yang berlonggok di atas meja tulis. Sebenarnya ia adalah buku-buku lama yang saya bawa balik dari kampung dua hari lepas, tetapi tidak sempat menyusunnya di dalam rak. Saya membelek satu-persatu, mencari-cari kenangan lama. Tiba-tiba saya menemui sebuah buku yang sudah hilang kulitnya.

Usang.

Ada muka suratnya yang sudah berlubang dimakan bubuk buku. Ohh...rupa-rupanya ia buku yang saya gunakan ketika belajar di peringkat i’dadiah dahulu. Perasaan rindu saya tiba-tiba bangkit semula, teringatkan zaman bergulat di medan menuntut ilmu. Hati saya terusik.

Saya menghembus habuk yang terlekat padanya, bau lapuk terserak sama. Pandangan mata saya tertancap pada satu tulisan tangan di penjuru kanan atas:

 لا تعرف الاخ الا عند الحاجة 
"Engkau tidak akan mengenal rakan yang sebenar kecuali ketika engkau kesusahan dan berhajat kepada sokongannya." 

Saya merenung dengan mendalam catatan pendek ini, ternyata ada kebenarannya. Kita tidak akan kenal rakan yang sebenar kecuali bila kita terhimpit oleh kepayahan dan saat kita memerlukan sokongan teman-teman. Waktu itu kita akan dapat melihat wajah mereka yang sebenar.

Berbagai watak teman 

Rakan atau teman ada bermacam jenis. Ada rakan yang sentiasa mencari peluang menikam kita. Awaslah! Tidak mustahil ada teman yang begini. Mereka mungkin kelihatan baik di hadapan kita, manis senyum dan lembut tutur katanya. Tetapi itu hanya lakonan semata-mata. Jika terdapat sedikit kesilapan kita maka wataknya segera berubah. Kita akan diburuk-burukkan dimana-mana. Jika tidak dilakukannya sendiri, maka akan digunakannya seseorang yang boleh diperalatkannya.

Tangannya sentiasa disembunyikan di belakang, tetapi batu yang dilemparnya sangat menyakitkan. Kadang-kadang mereka menampakkan wajah simpati, tetapi tersembunyi senyum puas atas kesusahan yang kita hadapi. Teman yang kita harapkan datang membela di saat kita terhenyak oleh kesakitan atau setidak-tidaknya memberikan kita semangat menghadapinya entah dimana. Maka tinggallah kita bersendirian menghadapi kesusahan tersebut.

Ada pula teman yang bersama kita hanya kerana ada kepentingan yang dihajatinya. Jika didapatinya kita tidak lagi dapat memberikannya apa-apa, lantas kita dipinggirkan. Jika sekadar itu sahaja tidak mengapa, tetapi lebih dahsyat lagi kita diburuk-burukkannya. Mungkin kita pernah melalui pengalaman ini. Kita hanya dijadikan batu loncatan untuk mencapai cita-citanya. Apabila berjaya kita pula dipijak dan ditekan.

Ada ramai sahabat yang baik. Tetapi sahabat yang baik juga banyak jenisnya. Kenapa saya katakan begitu? Benar, ada sahabat yang baik tetapi tidak sanggup menanggung risiko bersama kita. Lalu saat kita kepayahan, beliau akan agak renggang. Kita tidak diburukkanya atau di aibkan. Namun kita dijauhinya. Akhirnya tinggallah kita sendirian menghadapi kesusahan itu.

Teman yang baik adalah teman yang sejati. Teman yang tetap menjaga nama baik, membantu di saat yang memerlukan. Teman yang sentiasa bertanya khabar dan melahirkan sifat persaudaraan dan kasih sayang. Namun tidak mudah untuk mencari teman yang begitu, seumpama satu dalam seribu.

Carilah teman sejati 

 Teman-teman sejati, Insya-Allah...

Rasulullah saw bersabda:

"Apabila seseorang itu dikehendaki oleh Allah menjadi baik, maka Allah memberikan rezeki kepadanya berupa seorang kekasih (sahabat) yang soleh. Kalau ia lupa, kekasih itulah yang mengingatkannya. Jikalau ia ingat maka kekasih itu akan menolongnya." (Abu Daud) 

Teringat saya kepada riwayat, pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saiyidina Umar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi.

Lantas Saidina Umar bertanya, "Apakah engkau kenal lelaki itu?"

Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul mukmimin."

Saiyidina Umar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?"

Orang itu jawab, "Tidak pernah,"

Bertanya lagi Saiyidina Umar, "Apakah engkau pernah berjiran dengannya?"

Orang itu menjawab,"Tidak pernah." Lantas ditanya Saiyidina Umar lagi, "Macam mana engkau kenal dia?"

Dijawab si pemuda. "Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik."

Saiyidina Umar berkata, "Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya."

Bermusafir bersama dan bergaul rapat itu adalah di antara jalan untuk kita saling mengenal hati budi. Setelah bermusafir barulah kita mengetahui hati budi dan cerminan sebenar seorang sahabat. Baguskah dia, pemarahkah dia, bakhilkah dia dan sebagainya. Itulah khasiat di sebalik setiap kembara yang di lalui.

Itulah sebabnya Saiyidina Umar menilai bahawa selagi kita tidak pernah bermusafir bersama, atau bergaul mesra, janganlah kita mendakwa bahawa telah mengenalinya. Jangan!

Sesungguhnya perjalanan hidup ini adalah satu proses untuk mengenal hati budi sahabat dan paling utama adalah mengenal hati budi sendiri.

Alhamdulillah, Allah SWT mengurniakan kepada saya ramai teman yang sejati. Mudahan-mudahan kita bersahabat hingga ke akhirat.

0 comments:

Post a Comment