Sahabat Sejati

Sunday 17 February 2013

Petunjuk mimpi benar atau bohong

Soalan:

Apakah panduan-panduan syarak untuk kita boleh mempercayai bahawa mimpi kita itu adalah benar atau pun bohong. Apa petunjuk yang jelas, kita boleh percaya dan berpegang dengannya sebagai panduan. Terima kasih.

Jawapan:

Mimpi benar atau `ar-rukya assadiqah`, memang boleh berlaku ke atas manusia biasa. Hatta ke atas orang fasik, munafik dan kafir pun boleh berlaku mimpi sebegitu.

Contohnya pada zaman sebelum Islam, datuk Nabi Muhammad saw, iaitu Abdul Mutalib pernah bermimpi daripada zuriatnya akan dibangkitkan seorang rasul.

Parameswara iaitu pemerintah Melaka sebelum menganut agama Islam, dikatakan pernah bermimpi berjumpa Nabi Muhammad sawyang mengajaknya memeluk Islam dan akhirnya masuk Islam. Dan banyak lagi yang seumpama dengannya.

Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): "Tidak tinggal lagi daripada kenabian, melainkan mubasysyraat." Sahabat bertanya kepada baginda, "Apakah mubasysyraat?" Nabi menjawab, "Mimpi-mimpi kamu yang benar."

Ertinya mimpi benar itu boleh berlaku ke atas orang biasa.

Abu Hurairah ra. pernah meriwayatkan hadis Nabi (mafhumnya): "Mimpi yang baik, adalah khabar gembira daripada Allah kepada hamba-Nya." (Riwayat Imam Muslim)

Abu Hurairah juga pernah meriwayatkan hadis Rasulullah saw, yang pada suatu ketika sesudah solat malam bersama para sahabat, baginda bertanya (mafhumnya): "Adakah sesiapa daripada kalian, bermimpi perkara yang baik malam semalam? Sebenarnya tidak tinggal daripada kenabian melainkan mimpi-mimpi yang baik." (Riwayat Imam Malik dan al-Hakim - hadis sahih)

Ertinya apa sahaja mimpi yang menyeronokkan atau mimpi baik adalah petanda kebaikan kepadanya terutamanya jika bermimpi berjumpa Rasulullah saw atau bermimpi mengerjakan haji dan umrah, atau berada di hadapan Kaabah, atau mengadakan kenduri, bersolat jemaah yang diimamkan ulama besar, atau Nabi sendiri mengimamkan solatm, atau memberi sedekah atau apa sahaja kebaikan kepada manusia, semuanya adalah petanda mimpi itu benar.

Adapun mimpi buruk pun berlaku. Ada panduan hadis yang jelas, seperti hadis (mafhumnya): "Jabir bin Abdullah pernah meriwayatkan hadis perihal seorang Arab berjumpa Nabi Muhammad saw dan menceritakan kepada baginda tentang mimpinya yang menakutkan, iaitu bahawa kepalanya dipenggal orang, berpisah kepala daripada badannya dan kepala itu bergolek-golek di atas bumi. Dia sangat ketakutan. Lalu baginda berkata kepadanya, "Jangan kamu menceritakan mimpimu itu kepada mana-mana orang, itu adalah mainan syaitan dalam mimpi kamu."

Hadis sebegini, menjadi panduan kepada kita, bahawa mimpi-mimpi yang buruk atau menakutkan, adalah perbuatan daripada syaitan yang mungkin sesuatu tidak baik boleh berlaku.

Rasulullah saw memberi panduan kepada kita dalam hadis baginda (mafhumnya): "Sekiranya kamu bermimpi perkara yang menakutkan, jika kamu terjaga daripada tidur, maka mohonlah perlindungan daripada Allah, agar yang buruk itu tidak berlaku dan kamu tiup dengan kuat, dengan mengeluarkan sedikit air liur sebelah kiri, dan berubah kepada posisi tidur dan jangan cerita kepada mana-mana orang, insya-Allah yang buruk itu tidak berlaku."

Jika mimpi tadi tergolong dalam mimpi yang baik-baik dan menyeronokkan, maka ceritalah kepada orang yang dikasihi, iaitu yang dekat dengan kamu.

Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Jika seseorang kamu bermimpi yang baik-baik, maka pujilah Allah di atas nikmat mimpi yang baik itu dan berceritalah kepada orang yang dikasihi." (Riwayat Imam Bukhari) Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din 

0 comments:

Post a Comment