Sahabat Sejati

Monday, 21 January 2013

Penzina tidak boleh kahwini bukan penzina?

Soalan:

Betulkah bahawa orang yang berzina (penzina) tidak boleh berkahwin atau dikahwini, melainkan orang yang berzina juga? Bagaimana jika seorang perempuan yang pernah berzina, dipinang oleh lelaki yang bukan penzina, sedangkan lelaki itu tahu perempuan itu pernah melakukan zina, dia tetap mahu mengahwini perempuan tersebut. Boleh kahwinkah atau tidak, kerana saya dengar ada yang mengatakan tidak boleh. Mohon penjelasan.

Jawapan: 

Apa yang anda ajukan, adalah permasalahan yang sering berlaku dalam masyarakat Islam, terutama pada hari ini. Sekarang berlakunya zina dengan hebatnya, persundalan sudah menjadi profesyen yang ramai menggemarinya, tanpa tindakan pencegahan yang berkesan. Anak luar nikah hasil penzinaan seperti yang dilaporkan oleh jabatan Pendaftaran Negara, sejak tahun 2000 hingga Julai 2008, terdapat lebih daripada 257,000 sijil kelahiran didaftarkan oleh JPN, tanpa catatan nama bapa (anak luar nikah).

Secara puratanya, kelahiran anak luar nikah 2,880 kes setiap bulan, atau 96 kes setiap hari, atau 1 kes pendaftaran setiap 15 minit. Bayangkan, itu yang berdaftar, bagaimana yang tidak berdaftar, yang membunuh dan mencampakkan anak-anak mereka di merata-rata tempat. Sungguh memilukan.

Persoalan yang anda ajukan, seolah-olah mudah dijawab. Firman Allah SWT (mafhumnya): “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.” (an-Nur: 3)

Akan tetapi, tidak semudah itu membuat hukum. Ayat yang tersebut di atas, sebenarnya telah ‘mansukh’ atau hukumnya dibuang dan ditiadakan. Ia ditukar dengan hukum baru. Ertinya, maksud ayat tersebut tidak dipakai lagi.

Di dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk 12, halaman 169, ada disebut, bahawa ayat itu dibuang hukumnya (mansukh), digantikan dengan firman Allah (mafhumnya): “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (an-Nur: 32)

Ayat ini, jelas tidak menyebut perihal zina atau tidak, asalkan mereka layak berkahwin, maka kahwinilah mereka.

Ayat akhir (ayat 32, surah an-Nur) ini kata mufassirun (ahli tafsir) menjadi ‘nasikh’ dan ayat 3, surah an-Nur menjadi ‘mansukh’. Jumhur ulama mengatakan ayat ini dibuang hukumnya dan ahli fatwa mengatakan bahawa penzina boleh berkahwin dengan orang yang berzina dengannya dan orang lain yang bukan penzina pun, boleh berkahwin dengannya.

Itulah juga pendapat Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie.

Maka hukum yang diterima pakai, bukan ayat 3, surah an-Nur tetapi ayat 32 dari surah yang sama. Oleh kerana itu tidak timbul masalah penzina dengan yang tidak.

Jika sudah jodoh dan masing-masing memahami keadaan pasangannya dan mereka hendak berkahwin seperti mana yang anda sebutkan dalam soalan anda, maka jawapan saya, ia adalah harus, walaupun perbuatan itu (zina) harus dikutuk dan dihukum dengan hukum Allah SWT. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato’ Dr Harun Din

2 comments:

||Sis aLeaSaRa|| said...
This comment has been removed by the author.
||Sis aLeaSaRa|| said...

slm shbt AI.owh ofcemate lelaki sy sllu kata lelaki baik utk ppuan yg baik.ye mmg bnr tp sy kata jgn cpt mhukum ppuan di luar sana,yg kdg2 nmpk sosial sbnrnya rjn jg solat.dan x mustahil yg ttp aurat krg mjaga solat dan adabnya.

slgi kita bgelar manusia,slgi syaitan tgsnya x henti2 mnarik manusia ke arah kjhtn,slgi itulah lelaki n ppuan sm2 perlu mnjaga khormatan.caranya?kenalah jg solat sbb slt itu tiang agama dan perisai sgla kejatan.

ada knln sy yg pnh melalui liku2 htm dlm khdpn sbb mdh tunduk pd nafsu,juga pgrh rakan n lelaki yg ditemui semua cinta bpaksikan nafsu duniawi.alhamdulillah berkat doa,ikhtiar utk berubah,dia dh mjauhi perkara terlarang cuma sy blm bjaya memujuknya menutup aurat :(

Post a Comment