Sahabat Sejati

Thursday 3 January 2013

2013, azam dan tekad


2012 telah pun melabuhkan tirainya. Kini mentari 1 Januari membuka jendela 2013 yang pastinya akan diisi dengan berbagai episod kehidupan, cerita duka atau gembira.

Tahun baru amat sinonim dengan satu perkara iaitu memperbaharui azam dan tekad. Azam bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan diri sendiri untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria.

Maka ramailah yang berazam mahu melakukan itu dan ini, ada yang nak tambah ini, mahu kurang ini. Tidak salah untuk berazam kerana ia menunjukkan kita mempunyai keinginan untuk berusaha melakukan sesuatu. Namun, bimbang kalau-kalau ia menjadi satu resam atau budaya iaitu tibanya tahun baru, maka berazamlah dengan seribu satu azam. Sedangkan ianya tidak pernah tertunai. Yang merokok semakin banyak bilangan batangnya walaupun saban tahun berazam “aku nak berhenti merokok, membazir”.

Tetapi saya tidak melarang untuk anda semua berazam atau memasang tekad. Bahkan azam juga semuanya yang baik-baik. Tidak pernah kita mendengar ada orang yang berazam dengan azam yang pelik atau tidak baik. Jadi, jika anda bercita-cita untuk berbuat kebaikan atau ada keinginan berubah kepada kebaikan, mengapa perlu disekat. Ayuh, jadikan azam anda satu kenyataan!

Kata pepatah Arab: “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”

Oleh itu, untuk menjadi orang yang beruntung, kita mestilah sentiasa menjadi yang terbaik. Tafsiran terbaik boleh diukur sendiri dengan menilai setiap apa yang dilakukan. Bertambahkah amal atau semakin berkurang, suka kepada majlis ilmu serta perkara-perkara kebaikan atau sebaliknya. Jika ini berlaku, maka kita dapat menilai sendiri graf iman yang dimiliki samada menaik, menurun atau mendatar.

Tekadkan seperti mereka

Sesungguhnya setiap denyut nadi dan hembusan nafas adalah anugerah Allah SWT yang diberi percuma. Bagi yang menggunakan akalnya, pasti mengerti bahawa anugerah ini adalah amanah yang perlu dijaga dan digunakan dengan sebaik mungkin. Ia pasti akan dipersoalkan tatkala tiba masanya.

Perbezaan orang yang menggunakan akal dengan orang yang menurut hawa nafsu ialah dari sudut bagaimana mereka melihat dunia ini. Ada orang yang melihat dunia ini adalah satu persinggahan sebentar dalam perjalanan menuju destinasi yang abadi. Manakala ada pula yang melihat dunia merupakan tempat untuk memburu dan meraih keseronokan, kemewahan dan kesenangan.

Tidak salah untuk mencari kesenangan dan kemewahan, kerana ia adalah naluri keinginan manusia dan di antara salah satu perkara-perkara yang dapat mengundang kebahagiaan. Islam tidak menyekat atau melarang untuk mencari harta kemewahan. Tetapi biarlah kemewahan itu menjadi penyebab untuk meraih rahmat dan ganjaran pahala daripada Allah SWT. Bukan seperti penghimpun kekayaan persis Qarun yang dilaknat oleh Allah, tidak juga seperti kapitalis yang memonopoli kekayaan sehingga menindas orang lain.

Islam amat indah. Di dalamnya terkandung sifat kasih sayang sesama manusia. Islam mengemukakan sistem zakat, menggalakkan sedekah, infaq, derma dan sebagainya supaya manusia menjadi pemurah, prihatin dan bertanggungjawab terhadap orang lain. Bahkan Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang membantu meringankan kesusahan orang lain dengan bersedekah.

Sirah membuktikan Rasulullah saw tidak melarang para sahabat berniaga dan memiliki harta. Kita melihat berdirinya pasar Uqaz yang menjadi tempat para sahabat memperlihatkan kepakaran dalam bidang perniagaan. Mereka memiliki harta kemewahan tetapi ianya itu tidak mengongkong hati mereka. Abdul Rahman bin Aus ra. misalnya, dengan mudah menyerahkan 100 ekor unta beserta barang dagangannya yang ada di belakang unta tersebut. Beliau dengan senang hati menyerahkannya kepada Rasulullah untuk dimanfaatkan kepada kepentingan akhirat iaitu untuk meninggikan kalimah Allah SWT.

Kita?

Kita tidaklah seperti Abdul Rahman bin Aus ra, sekadar mana iman dan keyakinan kita di akhir zaman ini, tetapi ianya boleh dijadikan peringatan dan peransang. Mudah-mudahan ada azam dan tekad untuk menginfaqkan kesenangan yang termampu yang telah Allah limpahkan kepada kita. Insya-Allah, moh berazam!

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud ra. katanya: "Nabi Muhammad saw pernah bersabda :" Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain." (Riwayat al-Bukhari)

1 comments:

||aLeaSaRa|| said...

slm sahabat ^^

rata2 semua kwn,ofcemate,family dan juga blogger mpunyai azam yg berbeza dan seiring dgn tahun yg bertukar ganti.

sama2lah semua berazam utk perbaiki diri,mengeratkan silaturrahim dan menampal sgla kkrgn ibadah,sbg persiapan mghadap Ilahi.

Post a Comment