Sahabat Sejati

Tuesday, 31 December 2013

Bolehkah Bercouple?


Dunia hari ini menyaksikan hubungan antara lelaki dengan wanita semakin menuju ke arah kebebasan. Dalam kebanyakan masyarakat, hubungan lelaki dengan wanita sudah sampai ke tahap yang amat tidak wajar dan jelas keharamannya dalam hukum Islam.

Antaranya wujud hubungan intim, teman rapat, teman untuk berbual, teman seks, hubungan tanpa ikatan, seks bebas dan sebagainya. Semuanya ini merupakan jalan ke arah zina yang diharamkan. Mungkin inilah suatu petanda akhir zaman yang mana disebut dalam riwayat hadis bahawa zina kian berleluasa.

Buku ‘Bolehkah Bercouple’ yang diterbitkan ini adalah sebagai anak kunci pembuka minda kepada umat Islam di luar sana sebagai muhasabah dan renungan demi memurnikan ikatan perhubungan sesama kaum adam dan hawa.

Buku ini mesti dimiliki kerana memberikan jalan penyelesaian kepada isu couple, memberikan tip dan panduan untuk berkasih sayang kerana Allah, menyentuh realiti remaja Muslim kini secara santai dan mudah, dan menyuntik semangat beramal melalui agama dengan dorongan motivasi Islam.

Tajuk : Bolehkah Bercouple?
Penulis : Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Penerbit : Telaga Biru
Harga : RM18.00
Mukasurat : 184

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Monday, 30 December 2013

Cetusan rasa: Cerita pada 26 Disember 2013 di Pulau Tawar, Jerantut


26 Disember yang lalu, saya ke Pulau Tawar Jerantut kerana mendaftar sekaligus membayar yuran anak sulung di sekolahnya. Entahlah sudah berapa kali saya ke sini sejak anak yang sulung belajar di SMA Pulau Tawar. Daripada sekadar tahu Pulau Tawar terletak di dalam daerah Jerantut, sehinggalah mampu menghafal nama-nama jalan dan tempat di sekitarnya.

Alhamdulillah urusan pendaftaran dan bayaran yuran sekolah berjalan dengan lancar, walaupun agak sibuk dengan ibu bapa lain yang turut datang dengan maksud yang sama. Dapatlah juga saya beramah mesra dengan ibu bapa rakan-rakan anak saya. Ada yang datang dari Kuala Tahan, Kota Gelanggi, Kuala Mai, Sungai Jan dan sebagainya.

Seronok dapat menghubungkan tali persahabatan dengan sahabat-sahabat lama, serta mengikat tali persahabatan dan perkenalan dengan sahabat-sahabat yang baru. Pertemuan mengeratkan lagi tali persahabatan. Sesungguhnya tali persahabatan itu adalah "rahmat" daripada Allah yang sewajarnya dijaga dan dihangatkan sentiasa. Teringat resepi bersahabat oleh Ustaz Hasrizal Jamil: “Tidak perlu mencari sahabat, tetapi jadikan diri kita mudah bersahabat maka sahabat akan datang kepada kita.”

Hmm..menggeletar juga tangan saya sewaktu membayar yuran persekolahannya. Itu baru seorang anak, selepas ini beberapa orang lagi pula sedang menunggu. Yang bersekolah di Kemaman, di Kuantan. Agak-agak berapa pula yang harus dikeluarkan RM-nya. Akan tetapi, memahami keadaan yang semuanya serba naik sekarang ini, serta ia adalah pilihan saya ketika mendaftarkan mereka mula-mula dahulu, saya yakin ini adalah keputusan yang terbaik. Insya-Allah.

Banyak mana pun bayarannya, sedikit atau banyak, seluk poket dan bayar, tak perlu nak komplen apa-apa. Bimbang juga nanti disuruh cari sekolah lain jika tidak bersetuju dengan yuran sekolah ini. Itu tidak apa lagi, jika disuruh berpindah ke negara lain, macamana? Tentu tambah haru-biru jadinya. Bukankah sekarang ini amat 'femes' ayat "kalau tak setuju..." Ada yang kata, "kalau tak setuju harga ayam naik, jangan makan ayam, makan ikan", "kalau tak setuju tol naik, lalu jalan biasa", "kalau tak setuju pilihanraya negara ini, sila berpindah ke negara lain".

Saya melihat di dalam FB ada yang menjawab, "Kalau tak mahu menjalankan hukum Tuhan, jangan duduk di bumi-Nya, pergi buat bumi sendiri." Ada pula yang nakal membalas, " Dia ingat Malaysia ni milik mak bapak diorang ke..." Tergelak saya membacanya. Macam-macam...

Ziarah sebelum pulang 

 'Tanah Perkuburan Besar Pulau Tawar, tempat jasad Pahlawan Mat Kilau disemadikan'

Sebelum bergerak pulang, saya mengajak anak sulung menziarahi pusara pahlawan Mat Kilau yang terletak di Tanah Perkuburan Besar Pulau Tawar. Sejurus tiba di sana, kami menghadiahkan al-Fatihah dan memanjatkan doa agar Allah SWT berkenan mencucuri rahmat ke atas rohnya. Terbayang bagaimana kisah perjuangannya menentang penjajahan di Negeri Pahang seperti yang pernah saya baca di dalam buku-buku sejarah.

Selepas itu kami bergerak pula ke Masjid Lama Pulau Tawar. Yalah, alang-alang sudah sampai ke sini, baik singgah dahulu mana yang patut. Bila pula mahu berkunjung ke sini, wallahua`lam jika panjang umur.

Masjid ini pernah digemparkan dengan pengisytiharan diri oleh Pahlawan Mat Kilau pada hari Jumaat, 26 Disember 1969 selepas sembahyang Jumaat. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyiasat bagi melakukan siasatan terperinci bagi mengesahkan dakwaan ini. Selepas siasatan dan penyelidikan berbulan-bulan, kerajaan negeri Pahang akhirnya mengesahkan identiti itu. Pengisytiharan telah dibuat oleh YAB Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mohd Seth pada 6 Ogos 1970.

Namun, 10 hari selepas pengesahan itu, Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 di kediamannya di Kampung Batu 5. Beliau dikatakan meninggal dunia pada usia hampir 122 tahun berdasarkan maklumat bahawa beliau dilahirkan pada 1847. Jenazahnya dikebumikan dengan penuh penghormatan seorang pahlawan di bumi kelahirannya di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut.

Saya pernah menulis mengenainya beberapa ketika dahulu sewaktu lawatan pertama ke sini (menyoroti sejarah pahlawan pahang). Saya juga telah menulis menyatakan sedikit kekesalan kerana tiada inisiatif daripada pihak yang berwajib untuk memuliharanya. (Pulau Tawar, harapanku melihatnya dengan suasana yang berbeza)

 'Masjid Lama Pulau Tawar yang menjadi tempat pengisytiharan Pahlawan Mat Kilau pada 26 Disember 1969, berwajah baru menyambut kedatangan kami pada 26 Disember 2013'

Hari ini saya melihat semuanya telah berubah. Masjid lama yang dahulunya kelihatan uzur tanpa penjagaan telah diubahsuai dengan cantik. Saya sendiri merasa terkejut sewaktu melihatnya. Jalan masuk telah ditar cantik, manakala kawasan sekeliling yang dahulunya dilingkungi semak samun, sudah menjadi lapang dan bersih.

Alhamdulillah, sejuk mata dan tenang hati melihatnya. Saya yakin dan percaya ia bukanlah kerana tulisan saya yang tidak seberapa itu. Tidak sekali-kali. Sebenarnya di situ telah didirikan sebuah pusat pengajian yang diberi nama Madrasatul Mu`allim Yunus al-`Arabiyyah, manakala Masjid Lama Pulau Tawar telah menjadi sebahagian madrasah tersebut. Saya adalah di antara orang yang merasa teruja dan gembira dengan perubahan ini.

 'Papan tanda madrasah '

Meneruskan perjalanan sebelum pulang, kami singgah sebentar di lokasi rumah kelahiran Pahlawan Mat Kilau. Hajat di hati ingin melihat ia turut menerima perubahan sepertimana masjid lama tadi. Saya teringat ketika pertama kali mengunjunginya pada tahun 2010. Melalui panduan seorang penduduk kampung saya berhasil menemui rumah tersebut yang telah pun di kelilingi semak-samun. Susah-payah saya meranduknya untuk merakam foto. Saya tidak berani menghampiri lebih dekat kerana keadaan rumah tersebut yang agak uzur serta bimbang jika terdapat haiwan berbisa yang turut menumpang berteduh.
 
Sewaktu sampai, kelihatan telah ada papan tanda lokasi rumah tersebut, tetapi saya merasa hampa apabila melihat rumah itu telah rebah menyembah bumi. Hendak mendekati sebagaimana yang saya lakukan 3 tahun yang lalu pun sudah tidak boleh. Semuanya telah terhalang oleh semak-samun yang merimbun. Saya kecewa dengan apa yang berlaku.

 'Papan tanda lokasi rumah Pahlawan Mat Kilau, tetapi rumahnya telah pun rebah menyembah bumi'

Saya sering tertanya-tanya mengapa pihak yang berwajib tidak mengambil inisiatif untuk memulihara khazanah ini. Bagi saya ia satu nilai sejarah yang tidak ternilai harganya. Malah generasi baru tentu dapat mempelajari dan membuat kajian sejarah mengenainya. Jika rumah kelahiran Hang Tuah dan P. Ramlee mendapat pembelaan dan pemuliharaan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan negeri Melaka dan Pulau Pinang. Mengapa tidak dengan rumah kelahiran Pahlawan Mat Kilau. Ya, mengapa tidak?

Saya merintih tanpa suara dalam perjalanan pulang ke Kuantan...

Sunday, 29 December 2013

Kemuliaan di dalam agama ini

(foto hiasan)
 
Telah dikeluarkan oleh at-Thabrani dan Abu Nu`aim di dalam kitab al-Hilyah dan al-Hakim dari Abu Sa`labah al-Khusaini bahawa Rasulullah saw telah kembali dari satu ghuzwah kemudian baginda saw memasuki masjid dan bersolat dua rakaat di dalamnya. Ini adalah amalan yang disukai oleh baginda saw apabila kembali dari safar. Baginda saw akan singgah terlebih dahulu di rumah Fatimah rha. kemudian rumah isteri-isterinya.

Pada suatu hari, baginda saw telah kembali dari berdakwah dan singgah di rumah anaknya Fatimah rha. dan disambut oleh Fatimah sambil menangis. Rasulullah saw bertanya kepada beliau: “Apakah yang menyebabkan engkau menangis?” Jawab Fatimah: “Aku melihat wajah ayahanda, telah bertukar warna kulitmu (akibat susah payah berdakwah kepada agama) dan kotor pakaianmu, apakah yang menyebabkan ayahanda berbuat demikian?”

Rasulullah saw menjawab: “Sesungguhnya aku telah diutus oleh Allah SWT dengan tugas ini, di mana tidak akan tinggal sebuah rumah di bandar mahu pun di desa melainkan Allah SWT memasukkan ke dalamnya kemuliaan ataupun kehinaan sehingga tersebar (agama ini) sebagaimana malam itu tersebar sehinggalah tabir malam itu tersingkap.”

Maksud ucapan baginda saw ialah setiap ahli rumah yang menerima agama ini dan mengamalkannya, maka Allah SWT akan memuliakan mereka. Sebaliknya sesiapa yang menolaknya maka mereka akan ditimpa kehinaan di dunia dan akhirat.

Allah SWT mengingatkan dengan firman-Nya:
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi." (Ali-Imran: 85)

Alhamdulillah, sesungguhnya Allah SWT dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, telah menganugerahkan kemuliaan dengan meletakkan kalimah Laa ilaha illallah ke dalam hati-hati kita. Bahkan ianya diperolehi tanpa menempuh sebarang kesukaran dengan diwarisi daripada ibu bapa. Tidak seperti sesetengah mereka yang terpaksa menelusuri jalan kesusahan dan kepayahan, kadang-kadang terpaksa bergadai nyawa demi sebuah hidayah.

Mari kita susuri sirah para sahabat generasi pertama, seumpama kisah Bilal bin Rabah al-Habsyi yang mana sebiji batu besar telah diletakkan di atas dadanya dan beliau telah dibaring di bawah kepanasan padang pasir yang membakar. Beliau dipaksa oleh tuannya supaya kembali kepada kekafiran. Lihat pula pengorbanan Khabab al-Arat yang diheret di atas bara api yang menyala sehingga darah dan nanahnya memadamkan bara api tersebut. Sumaiyyah wanita pertama yang syahid dalam sejarah Islam telah dilontari kemaluannya dengan tombak, serta banyak lagi kisah pengorbanan para sahabat. Walaupun mereka diseksa dengan berbagai seksaan namun tetap teguh mempertahankan aqidah yang benar ini.

Kesakitan dan kepayahan hidup tidak sedikit pun menggugat iman dan kepercayaan mereka terhadap kebenaran agama ini. Lihatlah, Allah SWT telah memuliakan mereka semua dengan ganjaran syurga, kerana keteguhan mereka mempertahankan kalimah yang mulia ini di dalam hati-hati mereka. Kisah-kisah mereka dibaca sepanjang zaman. Pengorbanan mereka menjadi teladan dan motivasi yang sering diulang-ulang dalam kuliah dan ceramah. Benar, Allah SWT memuliakan mereka.

Kata Saiyidina Umar ra: "Kita adalah kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam maka kita akan dihina oleh Allah."

Sesungguhnya kemuliaan hanya di dalam agama Islam, setuju?

Friday, 27 December 2013

Cetusan rasa: Harap anak-anak faham dan ingat

Sukar juga menulis dengan upaya yang terbatas. Saya mahu mencoret sesuatu di dalam blog abuikhwan setelah 2 hari tidak membukanya. Banyak yang ingin dicatatkan setelah siang tadi seharian berada di Jerantut. Namun, sukar rasanya mahu bertahan di hadapan laptop yang banyak berjasa ini. Saya gagahi juga untuk menaip, kelopak mata bagaikan dijahit-jahit, manakala bantal pula seolah-olah melambai supaya melabuhkan kepala di atasnya.

Saya cuba bertahan. Menggagahkan diri menatah sebaris demi sebaris ayat.


Seawal jam 7 pagi saya keluar bersama anak sulung untuk mendaftar sesi persekolahannya. Hari ini cuma mendaftar dan membayar yuran persekolahan, tetapi tarikh masuk asrama pada 1 Januari 2014. Nampaknya saya terpaksa ke Pulau Tawar sekali lagi pada minggu hadapan untuk menghantar beliau. Saya berpendapat jika disekalikan daftar dan masuk asrama, bukankah ini memudahkan? Tidak perlu dua kali datang. Kalau yang tinggal berhampiran tidak apa, tetapi bagi yang jauh tentu menyulitkan. Insya-Allah pada 4 Januari 2014 pula, saya perlu ke Kemaman untuk mendaftarkan anak kedua saya yang menyambung sekolah di peringkat Thani E`dadi di Pusat Pengajian Taman Islam Kemaman.

Hari ini saya melihat keriuhan dan kesibukan ibu bapa yang mendaftar anak-anak di SMA Pulau Tawar. Hari pendaftaran ini bukan sahaja menyenarai dan mengesahkan kemasukan anak-anak ke sekolah, tetapi ibu bapa juga perlu mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar berbagai-bagai yuran. Duit terasa seperti air pula, laju bercucuran mengalir. Alangkah baik jika yuran persekolahan diberi percuma, dapatlah wang itu dibelanjakan untuk kegunaan yang lain pula.

Namun, berapa jumlah pun yang terpaksa dibayar, tiada ungkapan yang boleh disebut. Tentunya sebagai ibu bapa yang mahukan anak-anak mendapat pelajaran yang terbaik sanggup menelan apa sahaja kesusahan dan kepayahan. Keluarkan sahaja wang dan bayar tanpa ada kompromi.

Menghadapi kos pada hari pendaftaran memang sedikit tertekan, tetapi apa pilihan yang ada. Begitu juga saya, apa pilihan yang ada. Saya bukanlah dari golongan yang berada, tetapi tidaklah susah berbanding dengan orang yang lebih susah. Dengan kenaikan yang bermacam-macam ini, saya terfikir bagaimana agaknya ibu bapa yang berpendapatan rendah mahu menghadapi semua ini?

Mudah-mudahan, anak-anak memahami serta tidak sekali-kali melupakan akan kesusahan dan kepayahan ibu bapa mereka.

Tuesday, 24 December 2013

Bicara santai: Jika banjir lagi...

Malam ini tidak ada apa-apa program, jadi dapatlah saya duduk di rumah berehat bersama keluarga. Semalam hampir jam dua belas malam saya pulang ke rumah, kerana menghadiri mesyuarat penerbitan buletin PAS Parlimen Indera Mahkota di Pusat Tarbiah. Perancangannya ia akan diterbitkan lebih awal lagi sekira di dalam bulan November, namun kita hanya mampu membuat perancangan tetapi Allah jua yang berkuasa menentukan.

Ekoran musibah banjir yang melanda negeri Pahang baru-baru ini, kerja-kerja penerbitan terpaksa ditangguhkan sementara. Semua petugas dikerah untuk membantu mangsa banjir termasuk panel penerbitan, bahkan ada di antara panel penerbitan rumahnya turut ditenggelami air. Sehubungan dengan itu, draf buletin terpaksa diedit semula untuk memberi laluan kepada cerita banjir terlebih dahulu.

Insya-Allah, dalam masa yang terdekat, buletin berkala ini ia akan menemui rakyat di sekitar Parlimen Indera Mahkota dengan berbagai-bagai maklumat.

Sambil-sambil berehat saya melayari internet, tersua dengan berita ini "Amaran gelombang kedua banjir di Pahang." Harap-harap tidak berulang kembali musibah ini. Bimbang juga kena berpindah lagi. Penat dan letih, memunggah barang ke tingkat atas kemudian membasuh rumah selepas banjir surut, tidak termasuk tinggal berhari-hari di pusat pemindahan. Memang letih. Namun, jika Allah SWT menghendakinya berlaku, kita sebagai hamba yang beriman dengan qada` dan qadar berlapang dada menerimanya. Redha dan sabar, kerana kita yakin dan percaya disebaliknya pasti ada hikmah kebaikan.   

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." (al-Baqarah: 155-157)

Amaran gelombang kedua banjir di Pahang


KUANTAN: Jabatan Meteorologi Pahang hari ini memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di Pahang bermula 30 Dis.

Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Azemi Daud, taburan hujan lebat diramalkan berlaku bermula 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan terutama di tiga daerah - Kuantan, Pekan dan Rompin.

"Dalam tempoh yang sama juga air pasang turut akan berlaku, manakala kelajuan angin diramalkan 50 hingga 60 kilometer sejam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat persiapan banjir untuk gelombang kedua di sini, hari ini.

Turut hadir dalam sesi taklimat banjir itu ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Azemi berkata mengikut ramalan awal, taburan hujan lebat berlaku dalam empat peringkat iaitu pertama pada 2 Dis hingga 6 Dis lepas, yang mengakibatkan banjir buruk di Pahang.

"Sesi kedua diramalkan berlaku pada 18 Dis hingga 22 Dis lepas, bagaimanapun ia tidak berlaku.

"Jadi, peringkat kedua itu diramalkan berlaku pada 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan, dan akan disusuli dengan dua lagi peringkat yang dijangka berlaku sebelum awal Mac," katanya.

Banjir buruk di Pahang baru-baru ini mengakibatkan lebih 40,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Sebanyak sembilan daerah terbabit banjir iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut, Temerloh, Raub, Bera, Lipis dan Maran.

Berdasarkan laporan sebelum ini, lebih RM65 juta kerugian harta benda akibat banjir itu, dan turut mengorbankan tiga nyawa akibat lemas. - Bernama

Sumber: Harakahdaily

Kuliah maghrib Big Boh


Kuliah Maghrib kitab Jam`ul Jawami` yang akan disampaikan oleh al-Fadhil ustaz Azhar Idrus.
Tarikh : 28 Disember 2013
Tempat : Masjid Qaryah Balok, Kuantan

Semua dijemput hadir untuk memeriahkan majlis ilmu ini.

Sunday, 22 December 2013

Bicara santai: Hati-hati teman



"Ishh...betul ke? Macam tak percaya je.” Saya menjelaskan pandangan.

Tidak masuk akal. Takkan semurah itu. Jika di kedai tak dapat harga seperti yang tertera itu.

Semalam saya ke pasar tani di tempat saya. Hajat untuk membeli sedikit keperluan dapur. Pasar tani di tempat saya setiap petang Sabtu dan agak sibuk penjual dan pengunjung. Itu belum lagi pasar malam yang di antara tersibuk di daerah Kuantan.

Di antara gerai yang menjadi ‘wajib’ singgah setiap kali ke pasar tani ialah gerai milik sepasang suami isteri. Gerainya menjual sayuran tetapi tidaklah sebanyak mana lebih kurang lima atau enam jenis sayuran sahaja, yang banyak ialah daun ulam seperti pucuk pegaga, pucuk serai kayu, pucuk tenggek burung, pucuk mata ayam dan bermacam-macam lagi. Harganya pun murah, Cuma RM1 seikat. Kebiasaannya saya membeli pucuk tenggek burung dan pucuk pegaga.

Sedang saya menapak dari gerai ke gerai, tiba-tiba sampai di satu gerai (sekadar meja tanpa kanopi) yang menjual Thumbdrive dan SD card. Terkejut. Tidak logik melihat harganya. Cukup murah hingga tidak masuk akal. Bayangkan Thumbdrive yang berkapasiti 64GB hanya 10 dan yang cukup menakjubkan lagi Thumbdrive yang berkapasiti 128GB dijual dengan harga RM20. Ishh, memang betul tak masuk akal. Saya lihat terdapat tiga gerai yang menjual barangan yang sama tetapi kedudukannya berjauhan dia antara satu sama lain.

Saya membelek-belek juga tetapi merasa sangsi dengannya. Yalah, kalau di kedai takkan dapat harga sedemikian. Saya tidak membelinya kerana lebih beranggapan ianya tiruan. Memang, dari pandangan kasar nampak sama sahaja. Jenama pun sama dengan yang berada di pasaran sekarang.

(Foto: Tranungkite.net)

Ketika melayari internet saya terbaca satu artikel yang ditulis berkaitan perkara ini. Rupa-rupanya ia dijual juga di pasar malam tempat lain. Macam ada sindiket pula???

Dalam artikel itu tertulis:
“Awas kesemua itu adalah Thumb Drive tiruan. Daripada pandangan kasar, ia seolah-olah Thumb Drive original. Sebenarnya Thumb Drive tersebut mempunyai kapasiti yang mungkin tak sampai pun 1 GB, tetapi ianya telah digodam. Jadi ia boleh menunjukkan jumlah kapasiti yang lebih besar daripada kapasiti sebenar Thumb Drive tersebut. Cara untuk mengujinya cukup mudah. Katakanlah anda membeli Thumb Drive yang berkapasiti 16 GB. Cuba anda salin apa-apa saja bahan bagi memenuhi 25% atau 50% ruangan kapasiti Thumb Drive tersebut. Jika file di dalamnya ada yang corrupt dan tidak boleh dibaca oleh komputer maka sahlah Thumb Drive tersebut adalah tiruan.” (Tranungkite.net)

Oleh itu, berhati-hati. Yang penting jangan beli SD card atau Thumbdrive di pasar malam, bimbang jika tertipu. lainlah jika si penjual itu rakan-rakan kita. Mudah sikit nak tahu tiruan atau tidak. Apa pun untuk selamat beli terus di kedai-kedai telekomunikasi. Tapi kalau di kedai berkenaan pun menyusup masuk juga yang tiruan, bagaimana pula? Insya-Allah, selamat, ada gerenti.

Saturday, 21 December 2013

Hatu pitih!

Jom pakat dengar. Terbaik daripada UAI...

Hatu pocong, hatu raya, hatu jerangkung, toyol....tapi yang paling bahaya hatu pitih!


Friday, 20 December 2013

Lulus atau gagal, perjalanan masih panjang di hadapan...


Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah diumumkan di seluruh negara. Seperti biasa dan memang dijangka ia akan mengundang reaksi yang berbagai, samada daripada pelajar, ibu bapa maupun guru-guru.

Gelagat yang biasa, ada yang gembira dan ada yang bersedih. Yang mendapat keputusan yang baik tentu sangat gembira, adakalanya sampai menangis. Inilah yang disebut menangis kegembiraan. Manakala yang tidak lulus pula tentu duduk berduka, tetapi tidak ada yang sampai ketawa. Kalau ada yang bersedih sampai ketawa, tentu ada sesuatu yang tidak kena. Ada juga yang tidak lulus tetapi biasa sahaja, tidak nampak pun riak-riak sedih ‘buat muka selamba’, kata orang.

Kepada yang berjaya, saya ucapkan tahniah. Sesungguhnya perjalanan masih jauh. Mudah-mudahan dengan kejayaan ini, disertai dengan pedoman akhlaq yang baik hasil didikan guru yang ikhlas, akan menjadikan anda generasi yang berpegang teguh dan istiqamah dengan ajaran Islam dan dapat memberikan manfaat dan kebaikan yang maksimum kepada ummah.

Kepada yang kurang cemerlang dalam keputusan, jangan terlalu bersedih. Kegagalan ini tidak bermakna anda gagal sampai bila-bila. Peluang sentiasa terbuka di hadapan. Yang penting tanamkan azam yang teguh dan jangan sesekali berputus asa. Terus berusaha berserta tawakkal yang tinggi, terus berlari dan mendaki untuk mendapatkan ilmu Allah yang Maha Luas ini.

Saya tidak pernah berpeluang mengambil PMR, namun saya langsung tidak bersedih. Betullah kerana ia tidak ada di zaman saya, yang ada ialah SRP. Saya adalah diantara mereka yang tidak cemerlang dalam peperiksaan SRP. Sama juga, saya tidak pernah bersedih dengannya kerana saya telah berusaha semampu dan seadanya. (atau buat muka selamba, walaupun ada rasa sedih he..he..)

Bersedih tidak salah kerana ia adalah fitrah dan naluri manusia. Yang dilarang ialah bersedih dengan berlebihan seolah-olah tidak dapat menerimanya. Lebih tragic lagi apabila pernah tersiar di akhbar, ada yang membunuh diri kerana kecewa dengan keputusan peperiksaan. Allah meletakkan qada` dan qadar di dalam rukun iman. Maknanya jika kita tidak dapat menerima ketentuan qada` dan qadar seperti kita tidak mempunyai iman, seolah-olah ia begitu. Nad`uzubillah.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita semua untuk menghadapi apa jua ujian dan musibah yang menimpa. Juga buat mangsa banjir baru-baru ini, termasuk saya.

Allahu musta`an...

Thursday, 19 December 2013

Jom berhimpun esok

Kepada warga Kuantan, jangan lupa esok kita bersama dalam Himpunan Aman membantah Pembunuhan Terhadap Syeikh Abdul Kader Moulla. Himpunan ini akan diketuai oleh al-Fadhil Ustaz Khalil Abdul Hadi (Timbalan Ketua DPP Malaysia)

Tempat : Masjid al-Fatah, Batu 3 Kuantan
Masa : Selepas solat Jumaat


Jumpa di sana!

Mohon doa...

Pagi semalam menerima berita yang mengejutkan. Salah seorang rakan sekerja dimasukkan ke hospital kerana diserang strok. Dikhabarkan beliau telah rebah sewaktu menunggu-nunggu masa untuk keluar ke tempat kerja. Saya benar-benar tidak menyangka kerana beliau nampak sihat ketika kami sama-sama minum petang di kantin kelmarin. Seorang yang suka bergurau dan menyenangkan semua orang, tidak tahu pula dia ada menghidap penyakit darah tinggi yang agak serius. Sekarang ini beliau masih dalam keadaan koma di wad ICU HTAA.

Saya mengambil apa yang berlaku ke atasnya sebagai peringatan kepada diri saya. Sakit umpama guru yang bisu tetapi didikannya sangat berkesan. Sakit adalah satu petanda dan ingatan. Petanda bahawa kita adalah manusia yang lemah. Allah Maha Berkuasa menimpakan ujian kesakitan kepada sesiapa yang dikehendaki.

Hakikatnya, inilah rencah kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sesungguhnya ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Sebagai hamba-Nya, harus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan dan musibah perlu dihadapi dengan sabar, tenang. Renungilah kisah Nabi Ayub as, mudah-mudahan ia dapat menjadi motivasi dalam menghadapi ujian dan dugaan ini. Allahu musta`an.

"Sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah: 155-157) 

Mohon doakan sahabat ini...

Tuesday, 17 December 2013

Bila nak naik?

Assalamualaikum warahmatullah.
Sekadar gurau-gurau di pagi hari...

(Sumber: FB)

Sunday, 15 December 2013

Manisnya hidayah yang menyapa

'Pertemuan ketika menziarahinya di Perkim Kelantan 4 tahun yang lalu - sengaja saya kaburkan gambar'

“Taufiq?” (bukan nama sebenar) Saya menegur pemuda India yang berbaju melayu kuning dan berkopiah hitam. Janggut tebal menghiasi dagunya. Beliau ditemani seorang rakan melayu.

Dalam keadaan terpinga-pinga dia menyambut huluran tangan saya. Teman di sebelahnya juga menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Kamu belajar di Perkim Kelantankan?” Saya menyoalnya lagi.

“Err..ya, macamana abang tahu?” Dia menyoal saya pula. Masih kelihatan rona-rona terkejut di wajahnya. Saya tersenyum menenangkan anak muda di hadapan.

“Syukur kepada Allah, saya tak sangka dapat berjumpa kamu lagi. Jom ke sudut sana, banyak yang nak saya tanyakan kepada kamu.” Saya menarik beliau ke satu sudut surau. Tidak selesa berbual di depan pintu surau kerana menghalang jemaah yang mahu keluar. Beberapa orang ahli jemaah melewati kami seraya melemparkan senyuman.

“Sebenarnya saya ada bersama pada malam `melarikan` kamu empat tahun lepas.” Saya membuka cerita. “Oh, ye ke, abang masih ingat saya?”

“Alhamdulillah, saya masih mengingatinya dengan baik.”

Terimbau kisah


Bagaikan di hadapan mata peristiwa pada malam itu. Dia datang ke rumah sahabat saya, abang Majid (bukan nama sebenar) yang juga satu taman dengannya dalam keadaan cemas. Dia menceritakan yang keluarganya sedang mencari dan mahu `mengganyangnya` ekoran keputusannya mahu memeluk agama Islam.

Pada malam itu juga abang Majid `melarikan` pula dia ke taman perumahan saya. Sahabat setaman saya yang ketika itu masih bujang membenarkan Taufiq disembunyikan di rumahnya. Keesokan pagi setelah menghubungi seorang lagi sahabat di Kelantan, kami bergegas membawanya menuju ke negeri yang mendapat jolokan Serambi Mekah itu. Alhamdulillah, dengan bantuan sahabat-sahabat di sana, Taufiq kami daftarkan di Perkim Kelantan untuk menjalani kehidupan sebagai saudara baru. Di Perkim Kelantan beliau memperolehi nama barunya ‘Taufiq’.

“Kamu mesti belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat mengajarkan kepada orang lain pula.” Pesan sahabat saya yang sama-sama menghantar beliau sebelum kami berangkat pulang.

Kisah pengislamannya unik. Dia tinggal di taman perumahan yang majoritinya adalah beragama Islam. Setiap hari pergaulannya berkisar dengan orang melayu. Rumah ibu bapanya juga berhampiran dengan masjid. Katanya setiap kali mendengar azan perasaan terusik. Jiwanya tersentuh dan menjadi sangat tenang. Segala keluh-kesah seolah-olah hilang begitu sahaja. Dia sentiasa menunggu-nunggu laungan azan dari bilal masjid.

Dari hari ke hari perasaan untuk mengetahui berkenaan agama Islam semakin mendalam. Tanpa pengetahuan keluarganya dia membeli beberapa buku pengetahuan Islam dan membacanya. Semua ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi kerana dia tahu apa akibatnya jika diketahui oleh keluarganya terutama abang iparnya yang amat garang.

Teringat pula saya kisah yang diceritakan oleh Ustaz Mohd Farhan al-Hafiz, sebelum memeluk Islam beliau digelar Paster Yohanes. Bagaimana dia diacukan senapang oleh ayahnya setelah mengetahui keIslamannya. Mujurlah ibunya sempat menepis senapang tersebut lalu meletup di udara. Ustaz Farhan, akhirnya dihalau keluar dari rumah.

 “Habis, sekarang ni kamu nak ke mana.?” Saya menyoalnya kembali.

“Sebenarnya saya nak menziarahi abang yang saya tidur di rumahnya dulu, tapi saya tengok orang lain yang tinggal di rumah itu. Malu juga lepas bagi salam, orang lain yang keluar.” Katanya sambil ketawa kecil.

Saya turut ketawa, lucu melihat dia bersungguh bercerita.

“Abang Nordin tu dah pindah dah. Dua tahun yang lalu. Dah kahwin pun dia, sekarang ada dua orang anak.” Saya memberitahu Taufiq.

“Oh begitu, nampaknya tak dapatlah saya nak berjumpa dengannya.” Taufiq menjawab perlahan.

“Tak apa jangan bimbang, nanti saya bagi nombor telefonnya. Tentu dia terkejut bila mendapat tahu keadaan kamu sekarang.” Saya menyambung lagi.

“Boleh saya tahu, bagaimana keadaan kamu sekarang Taufiq?” Saya berhasrat mahu mengetahui perkembangan hidupnya sekarang. Tentu banyak perbezaan yang dirasai setelah bergelar Muslim.

“Alhamdulillah bang, hidup saya sangat tenang dan teratur, saya sudah mampu bersembahyang dan membaca al-Quran.” Taufiq memberitahu. Saya melihat garis-garis ketenangan terpamer di wajahnya.

Saya tersenyum. “Kamu ingat tak apa jawapan kamu semasa kami bertanya keadaan kamu sewaktu menziarahi di Perkim dulu? Saya masih ingat lagi, kamu kata, susahlah bang nak baca quran. Lidah saya tak boleh sebut betul, ingat lagi?” “Tengok sekarang, kamu dah berjaya mengatasinya.” Saya menepuk-nepuk bahunya. Bangga dengan kesungguhan dan kecekalannya.

Manisnya hidayah


Kisah Taufiq serta kisah insan-insan yang mencari kebenaran benar-benar memberi keinsafan kepada saya. Sememangnya saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia amat bermanfaat untuk renungan dan muhasabah diri. Tidak lupa ia sebagai satu motivasi dalam kerja-kerja dakwah yang dilakukan.

Betapa beruntungnya kita yang dilahirkan di dalam Islam. Kita menerima Islam tanpa apa-apa dugaan dan kesusahan. Berbeza dengan mereka yang dilahirkan di luar agama Islam. Sungguh berat ujian yang diterima setelah menerima cahaya petunjuk agama ini. Sebab itu setelah mereka menerima Islam, mereka komited berpegang teguh dengannya. Tidak pelik jika kita melihat, kadang-kadang saudara baru ini lebih Islam daripada kita yang sedari lahir menganut Islam.

Benarlah ungkapan yang mengatakan, jika sesuatu itu didapati dengan mudah maka hilangnya juga amat mudah. Tetapi jika sesuatu itu diambil dengan keletihan dan kepayahan maka tentunya ia dijaga dengan sebaiknya.

Demikianlah juga kisah para sahabat di awal kedatangan Islam. Mereka diseksa oleh kafir Quraisy dengan berbagai-bagai seksaan. Namun, mereka tetap teguh mempertahankan aqidah tanpa goyah sedikit pun. Nama-nama seperti Bilal bin Rabah, Khabbab bin Arat, keluarga Yasir serta lain-lain yang terpahat dengan goresan emas di dalam tinta sejarah.

Pastinya kisah Taufiq tidaklah setanding dengan kisah para sahabat. Namun, kita boleh mengambil teladan. Sesuatu yang diterima dengan susah-payah dan pahit jerih maka untuk melepaskannya turut susah. Inilah yang menginsafkan saya.

“Keluarga kamu macamana, macam dulu lagi ke?” Saya bertanya lagi, kerana sedia maklum reaksi keluarganya setelah mengetahui dia mula menunjukkan minat kepada agama Islam.

“Alhamdulillah, mereka sudah boleh menerima saya. Walaupun dulu sampai tidak cukup tanah saya melarikan diri.” Katanya dengan ketawa kecil.

“Benar... Tunjukkan akhlaq yang baik kepada mereka. Jangan jadikan perbezaan agama sebagai penghalang untuk kita melakukan kebaikan kepada mereka.Mudah-mudahan dengan kebaikan yang kita tunjukkan dapat menarik mereka untuk sama-sama berada di dalam agama yang suci ini, Insya-Allah. Satu lagi jangan lupakan saya dalam doa kamu.” Saya mengakhiri perbualan sebelum kami berpisah.

Saya melangkah perlahan menuju ke kenderaan. Perasaan bercampur aduk antara gembira dan terharu. Tanpa sedar air mata saya mengalir. Terlalu mahal harga hidayah ini bagi mereka yang mencari dan menghargainya. Ya, hidayah perlu dicari. Sama ada dengan membaca, melihat atau mengkaji. Jika sekadar duduk bertindih lutut bagaimana hidayah akan diperolehi.

“Segala puji bagi-Mu ya Allah” saya mengangkat tangan menadah puji untuk-Nya.

Taufiq, Kembaramu dan kembara insan-insan sepertimu adalah kembara mencari makna dan tujuan sebuah kehidupan. Allah dengan sifat Penyayang mencampakkan keresahan ke dalam jiwamu. Demikianlah asbab yang memaksa agar kamu semua keluar dari sisi kehidupan yang gelap kepada kecerahan Iman. Akhirnya kamu berhasil menemukan ketenangan itu.

Benarlah ungkapan, resah yang disambut dengan pencarian… berakhir dengan sebuah damai yang lebih mahal harganya dari langit dan bumi serta segala isinya.

“Sesungguhnya telah datang kepada kalian cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan dan mengeluarkan mereka daripada gelap-gelita kepada cahaya terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (al-Maidah: 15-16) 

Alhamdulillah.

Saturday, 14 December 2013

Selepas Abdul Quader Molla, ada lagi akan dibunuh - Abim

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam sekeras-kerasnya pelaksanaan hukuman gantung sampai mati oleh kerajaan Bangladesh ke atas Abdul Quader Mulla.

Beliau adalah Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e Islami Bangladesh. Beliau yang berumur 65 tahun sewaktu hukuman dilaksanakan telah disahkan meninggal dunia setelah menjalani hukuman gantung tersebut di Penjara Dhaka pada 11 Disember 2013, jam 10:01 malam waktu tempatan.

Abdul Quader merupakan mangsa pertama Tribunal Perang Antarabangsa yang ditubuhkan oleh kerajaan Bangladesh pada Mac 2010 bagi membicarakan tragedi pembunuhan sewaktu perang kemerdekaan Bangladesh dari Pakistan pada tahun 1971.

'Tribunal Antarabangsa’ tersebut telah mendapat kecaman yang keras daripada pemimpin dunia, institusi kehakiman dan perundangan antarabangsa serta badan hak asasi manusia kerana secara jelas telah melanggar syarat dan prosedur pelaksanaan tribunal jenayah yang adil dan saksama.

Pada 5 Februari 2013, beliau telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh tribunal tersebut atas tuduhan membunuh 344 orang awam, merancang dan bersekongkol dengan keganasan dan jenayah rogol.

Disebabkan protes dan bantahan dalaman dan masyarakat antarabangsa, rayuan terhadap keputusan tersebut telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan Bangladesh – di mana keputusan tribunal telah ditingkatkan dari hukuman penjara seumur hidup ke hukuman mati di tali gantung, suatu perkara yang sangat jarang berlaku dalam sejarah rayuan mahkamah.

Sesungguhnya amat nyata bahawa peristiwa hitam dalam sejarah Bangladesh ini merupakan satu rencana politik yang menjijikkan oleh parti pemerintah Awami League Bangladesh pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina sepertimana yang digambarkan oleh laporan Odhikar (2013) melalui Human Rights Report 2012 m.s 5-6) ; “To rule by terror, the government resorted to some techniques…the repression of the opposition political parties, workers and social organisations…the use and abuse of Judiciary to punish opponents and the dissenters who criticise the government. The appointment of Judges on political consederation…abducting and killing people, particularly political leaders, mainly through ‘enforced disappearance’…The present regime promised to observed zero tolerance to extrajudicial killings”

“Abim dengan ini mendesak kerajaan Bangladesh di bawah rejim Sheikh Hasina agar segera membubarkan dan memansuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa yang pincang tersebut serta merta,” ujar Naib Presiden Abim, Mohamad Raimi Abdul Rahim dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tribunal tersebut sehingga hari ini telah dan akan menjatuhkan hukuman mati dan penjara seumur hidup kepada pimpinan utama parti pembangkang termasuklah pimpinan kanan Jamaat-e Islami seperti Matiur Rahman Nizami, Delwar Hossein Sayeedi Ali Ahsan Mohammad Mojahid, dan Muhammad Kamaruzzaman.

Katanya, dua pimpinan utama parti Bangladesh National Party (BNP) pimpinan mantan Perdana Menteri Khalida Zia juga dibicarakan di bawah tribunal tersebut.

Menurutnya, dengan terlaksananya hukuman ke atas Abdul Quader Mulla itu, Abim yakin bahawa kerajaan Bangladesh akan terus menggunakan pembunuhan melalui sistem kehakiman, atau apa yang diistilahkan oleh Toby Cadman, peguambela British yang mewakili tahanan-tahanan politik tersebut sebagai ‘judicial murder’.

Justeru, tegasnya Abim mendesak agar parti-parti politik, NGO dan badan hak asasi dalam di Malaysia agar mengambil serius isu ini dengan mengutarakan bantahan dan memorandum keprihatinan terhadap kerajaan Bangladesh.

“Bagi tujuan tersebut, Abim memohon agar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Datuk Anifah Aman agar mengambil tindakan yang segera dan tegas dengan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia untuk memberikan penjelasan terhadap pencabulan yang amat nyata ke atas hak asasi manusia ini,” ujarnya.

Beliau menambah, sudah tiba masanya Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan OIC yang berpengaruh menyatakan bantahan yang amat jelas dan menilai semula hubungan diplomatik dan perdagangannya dengan Bangladesh.

Semalam, katanya Perdana Menteri Turki telah mengulangi keprihatinan Presiden Abdullah Gul sebelumnya dengan menggesa agar kerajaan Bangladesh menangguhkan keputusan gantung tersebut.

Beliau berkata, bantahan yang keras terhadap Bangladesh sebelum ini telah disuarakan oleh wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, House of Lords Britain dan banyak lagi pemimpin berpengaruh dunia.

Tambahnya, Abim juga bersama-sama di dalam Malaysian Task Force for Bangladesh, sebuah gabungan NGO-NGO yang prihatin mengenai isu ini juga akan terus memantau situasi ini dan mengharapkan lebih banyak penyertaan daripada NGO-NGO dan rakyat Malaysia.

“Abim berharap bantahan keras daripada rakyat dan kerajaan Malaysia boleh meredakan situasi Bangladesh yang boleh berlarutan sehingga menjadi perang saudara,” ujarnya

Sumber: harakahdaily - 13 Disember 2013

'Suasana solat jenazah as-Syahid Syeikh Abdul Quader, penolong Setiausaha Jamaat el-Islami Bangladesh'

 **Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni segala dosa-dosanya dan menerima segala amal kebaikannya serta menganugerahkan darjat syahid sebagaimana diberikan kepada pejuang-pejuang agama terdahulu. Allahu maghfirlahu warhamhu, ameen.

Friday, 13 December 2013

Kembara Mencari Hamba@4


Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, seluruh pujian buat Allah SWT yang dengan limpah kasih-Nya, kita masih lagi memberikan kesempatan untuk bernafas di atas muka bumi ini.

Cepatnya masa berlalu. Sedar tak sedar hari ini telah pun 4 tahun usia pondok kecil abuikhwan. Jika dikira dari sudut bilangan masa memang cukup lama. Tetapi jika dilihat dari bilangan usia, 4 tahun apalah sangat usia sebanyak itu. Ibarat seorang kanak-kanak yang baru belajar mengenal sesuatu. Tapak kaki pun masih lembut, banyak jatuh daripada mengatur langkah

Setelah dalam jangka masa tersebut menulis di lapangan ini, apa hasilnya? Adakah saya telah berjaya memperolehi sesuatu?. Duit, pengunjung, glamer, sahabat, atau apa.

Soalan-soalan itu bukan baru. Ia soalan biasa yang mencuit di hujung telinga. Saya tidak tertekan dengan soalan-soalan demikian. Saya sentiasa mempositifkan tujuan berblog. Saya menulis dengan matlamat iaitu menyumbangkan kebaikan dan nasihat serta panduan. Kata kuncinya adalah dakwah.

Allah SWT berfirman mengenai dakwah:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali-`Imran: 104)

Firman-Nya lagi:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka ta’at pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 71)

Berdakwah itu luas pengertiannya. Berdakwah tidak tertakluk hanya kepada berkuliah atau berceramah. Apa sahaja elemen mengajak kepada kebaikan dan adalah dakwah, termasuk menulis dan menunjuk akhlaq yang mulia adalah dakwah. Sesuai dengan maknanya iaitu mengajak atau menyeru.

Biarpun Kembara Mencari Hamba jarang sekali mendapat sebarang komentar, tidak mengapa. Saya tidak pernah putus semangat. Harapan saya, asalkan tulisan yang tersaji dihadam hingga ke noktah yang terakhir.

Lebih menggembirakan lagi jika ada tulisan-tulisan di dalam pondok kecil abuikhwan ini dapat memberikan kebaikan dan motivasi kepada para pembaca. Mudah-mudahan dengan kebaikan yang diperolehi menjadi amal jariah buat saya pada suatu ‘hari’ nanti. Tentunya saya harapkan demikian.

saudara kalian,
abuikhwan@KembaraMencariHamba

Thursday, 12 December 2013

Cetusan rasa: Selepas banjir (bukan leteran)

 'Operasi membersih Musolla ar-Raudhah'

Alhamdulillah, cuaca semakin baik. Sang matahari sudah pun memunculkan wajahnya, biarpun sekali-sekala hujan turun, tetapi tidaklah selebat ketika banjir tempohari. Dapatlah sekadar untuk mengeringkan kain baju di ampaian. Dua tiga hari lepas berlegar berita mengenai banjir gelombang kedua yang di katakan akan melanda, harap-harap tidak menjadi kenyataan. Bimbang juga. Allahu musta'an.

Kehidupan seharian juga telah pun berjalan seperti biasa. Yang bekerja telah mula menjalankan tugas, saya juga demikian. Rumah yang dicemari lumpur banjir pun sudah selesai dicuci. Barang-barang yang berada di tingkat atas telah pun diturunkan, manakala yang rosak pula dikumpul dan telah diangkut oleh pihak perbandaran. Tidak banyak barang-barang saya yang rosak kerana ada yang sempat dinaikkan ke tingkat atas. Yang pertama saya selamatkan ialah buku-buku yang sederetan di dalam rak. Penat naik turun tangga mengangkut buku-buku dan juga barang-barang lain. Mujur anak-anak boleh diharap membantu sama, termasuk si kecil Haikal sama naik.

'Wassap dari sahabat, menjemur buku'

Saya menerima wassap dari seorang sahabat menunjukkan gambar buku-bukunya sedang dijemur di perkarangan rumah. Sebahagian yang lain pula rosak teruk dan tidak dapat diselamatkan. Rumah sahabat saya ini di antara yang teruk terjejas. Kebanyakan buku-bukunya itu digunakan semasa menuntut di universiti al-Azhar. Mudah-mudahan sahabat saya ini diberikan ketabahan dan kesabaran untuk menghadapi musibah ini. Saya percaya beliau seorang yang tabah.

Imbas kembali

Saya teringat, pada pagi sebelum air bah saya telah menulis: Secara logik, melihat kepada keadaan taman perumahan saya, tidak mungkin ia dinaiki air. Saya bukan bercakap takbur, jauh sekali menidakkan kuasa-Nya. Saya bercakap berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas. Memang, selama saya tinggal di sini banjir tidak pernah berlaku.

Namun, apa yg berlaku pada hari itu adalah sebaliknya. Kawasan perumahan saya telah dinaiki. Beberapa rumah jiran teruk dilanda banjir. Ada yang di dalam rumah air separas pingggang. Tiada mustahil apa yang dikehendaki Allah SWT. Cukuplah bagi-Nya berkata "kun", maka terjadilah ia sebagaimana yang dikehendaki.

Pada malam air bah, saya membawa keluarga menuju ke pusat pemindahan. Tinggal di pusat pemindahan adalah suatu pengalaman yang menarik dan sentiasa diingati. Sebelum ini saya hanya melihat di kaca tv atau membaca di dada akhbar suasana di pusat pemindahan. Akhirnya saya sendiri diberi peluang untuk merasai tinggal di situ. Selesa?? Namun, saya tetap bersyukur tinggal di pusat pemindahan itu. 

Ada seorang menteri yang berkata bahawa pengurusan banjir di Malaysia adalah yang terbaik berbanding negara lain. Mahu tergelak saya mendengarnya. Saya sendiri tinggal di pusat pemindahan, merasai sendiri keadaan itu. Tidak tahu di mana rasionalnya kenyataan menteri tersebut. Ada pula sesetengah pusat pemindahan banjir yang turut ditenggelami banjir. Benar, ia berlaku di daerah saya.


Saya melihat di internet keadaan pusat pemindahan di luar negara dan membandingkan dengan negara kita. Negara bukan Islam seperti Jepun dan Thailand saya kira sangat terbaik dalam menguruskan mangsa bencana alam. Penggunaan partition atau khemah persendirian lebih praktikal. Mangsa pemindahan bebas untuk membuka aurat, menukar pakaian serta para ibu lebih selesa untuk menyusukan anak-anak.

Ada pula yang berkata, bencana di tempat kita tidak lama jadi tidak sesuai penggunaan khemah tersebut. Bagi saya, ia bukan masalah lama atau sebentar tetapi keselesaan mangsa di hadapan ramai yang bukan mahram.

Saya amat berharap mereka yang bertanggungjawab dalam masalah ini mengambil iktibar dan pendekatan yang lebih Islamik dalam menanganinya. Fikir-fikirkanlah.

Kesedihan dan kekesalan

Terbit kekesalan melihat keadaan di pusat pemindahan. Saya melihat ada sebahagian yang tidak mengambil peduli tentang aurat. Manakala yang bersembahyang pula hanya beberapa kerat sahaja. Mungkin ada yang berkata sukar kerana dengan air yang terhad dan keadaan tempat yang tidak sesuai. Mungkin juga ada yang memberikan alasan tahap melampau iaitu darurat. jadi, tak perlu solat. Boleh ke begitu?

Jika golongan wanita, tentunya tidak mengapa kerana mereka mempunyai alasan yang kita sedia maklum. Benar atau tidak terpulang kepada mereka. Tetapi saya lihat kaum lelaki pun sama kecil besar, tua muda, ramai yang tidak mendirikannya. Namun, saya tidak mengatakan semuanya tidak sembahyang.

'Gambar hiasan: Banjir di Kuantan'

Sedih. Kita telah ditimpa musibah, sepatutnya ini menjadikan kita lebih banyak bermunajat dan memohon keampunan Allah. Mudah-mudahan dengan musibah yang melanda ini memberikan keinsafan dan mendekatkan lagi hubungan dengan Allah. Tetapi bagaimana Allah mahu mencurahkan belas kasihan jika perintah-Nya kita engkar. Ketika di timpa musibah pun kita masih lagi berani melanggar perintah-Nya, agaknya jika dalam keadaan selesa bagaimana pula?

Islam adalah agama yang mudah dan memudahkan. Islam mengatur dari sekecil-kecil urusan kepada sebesar-besar urusan. Islam mengajar bagaimana cara memotong kuku sehingga bagaimana cara mentadbir negara. Islam sentiasa ada jawapan kepada apa sahaja permasalahan.

Dalam keadaan biasa memang kita perlu bersolat dalam keadaan sempurna. Namun, dalam keadaan tertentu kita dibenarkan mempermudahkannya. Contohnya, kita boleh melakukan jamak dan qasar apabila di dalam musafir. Boleh sembahyang dalam keadaan duduk, baring, mengiring, sehingga dengan isyarat mata jika sudah habis upaya. Untuk berwudhuk tidak memerlukan air yang banyak, secawan air pun sudah mencukupi. Malahan jika tiada air boleh bertayamum atau sembahyang menghormati waktu tanpa berwudhuk.

Pendekata, tiada alasan untuk meninggalkannya. Bahkan semua ini terletak pada keinginan diri sendiri.

Semoga Allah SWT berkenan mengampunkan kita semua.

“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” (al-Ankabut: 2)

Wednesday, 11 December 2013

Solat jamak musim banjir

SOALAN:

Sahabat saya (perempuan) mintak tolong tanya pada ustaz. Kalau badan dan pakaian kotor kena lumpur banjir, tempat solat pun kotor, adakah itu dikira darurat ke? Boleh buat jamak? Ketika di pusat penempatan mangsa banjir ada tempat solat, tetapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak ustaz tolong jelaskan.

JAWAPAN:

Solat fardhu sentiasa wajib dalam apa jua keadaan selagi beraqal dan waras. Ia juga wajib fardhu 'ain ke atas setiap individu Muslim dan muslimah walau dalam keadaan banjir.

Ulama mengharuskan jamak solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jamak bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan (biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jamak ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas, ertinya:
“Rasululllah telah menjamakkan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab: Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.

Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jamak solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jamak TIDAK DIBENARKAN.

KESIMPULAN:

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi (Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jamak dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad.

Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhuk dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. Tetapi jika batal diantara dua solat jamak itu, wudhu tetap WAJIB diambil.

Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu.

Cuma para ulama bersepakat jika solat jamak tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah.

Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir

BERCAMPUR LELAKI WANITA

Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di tempat wudhuk, wudhuk masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu:

1.Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhuk.

2.Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhuk.

3.Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil wudhu. Sekian, semoga dapat beramal dalam apa jua keadaan.

Sumber: (https://www.zaharuddin.net)

Bicara lewat jiwa hamba


Malam yang lewat diserkup kegelapan.

Bumi yang terbentang becah disirami hujan yang berguguran dari awan musim tengkujuh.

Aku berbicara seketika.

"Sabarnya bumi menahan terjahan hujan. Tiada keluhan walaupun sekian lama hujan melanda. Begitu juga sabarnya bumi tatkala dadanya diinjak insan yang murka, perutnya pula dimuat jasad dan roh yang berdosa."

Malam kian tua. Sesekali burung jampuk bersuara mendayu.  Burung tukang pula masih setia mengukir di pohon kayu.

Bani insan sekian lama beradu diulit mimpi, dibungkus selimut kedinginan.

Aku pula masih lagi terpaku di jendela.

Melayan resah hati yang bersarang, rimas diamuk gelombang kabut yang datang waktu demi waktu.

Riang-riang tidak jemu menuturkan lagu, suara cengkerik juga beralun merdu.

Kokokan ayam bersahutan bagaikan turut sama berkongsi rasa

Ahh...munajat tasbih buat Yang Esa.

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Al-Israa` : 44)

Teringat lembut sang murabbi menutur bicara...
“Di saat kita sering dilimpahi kegembiraan dan kesenangan, kita lupa untuk bersyukur. Terkadang orang soleh pun mula menjauhi Tuhannya di saat dilimpahi dan dipenuhi keinginan hidupnya. Mengapa begitu, bukankah ia hanya menunjukkan kesombongan kita di hadapan Tuhan? Kesombongan inilah yang menjerumuskan iblis ke dalam murka Yang Maha Kuasa.”

Berpesan lagi sang murabbi...
“Nabi saw bersembahyang malam sehingga bengkak kakinya, kerana lamanya Nabi qiyam, ruku' dan sujud. Lalu ketika di tanya oleh Siti A'isyah r.ha, baginda menjawab : “Apakah tidak selayaknya, aku menjadi hamba yang paling bersyukur.”

Lantas hati berdetik sejenak. “Ya Rabb, dimana syukurku dalam lautan rahmat-Mu.”

Muhasabah adalah cermin ajaib menginsafi diri, bicara sufi pengingat diri.

Lantas penutup bicara jiwa hamba.

Tuesday, 10 December 2013

Maafkan saya

"Rumah di mana?" Saya bertanya kepadanya semasa kami sama-sama menyarungkan selipar seusai sembahyang isyak. Saya kira usianya dalam lingkungan 15 tahun.

Dia memandang kepada saya seraya menjawab pendek: "Lorong 5."

Lorong 5. Terbayang di mata saya akan kesukaran kepadanya melangkah kaki dari lorong 5 ke surau. Bagi orang biasa mungkin sesuatu yang tidak menjadi masalah.

"Abang pula tinggal di mana?" Dia menyoal saya pula. Beberapa orang jemaah berlalu mendahului kami.

"Oh...abang di lorong 2, dekat je." Saya membalas sambil menuding jari ke arah lorong berhadapan pagar surau. Agak sukar baginya menyarung selipar. Terkial-kial sambil tangan kanannya menupang pada dinding surau. Saya memerhati, terbit rasa kasihan.

"Baru lagikan tinggal di taman ni." saya bertanya lagi mengagak, cuba untuk bermesra.

Sejak tiga empat hari yang lalu dia sering sembahyang berjemaah di surau. Bukan hanya sembahyang maghrib dan isya', tetapi subuh pun ada. Sering berada di saf yang pertama. Sekali- sekala dia juga melaungkan azan.

"A'ah. Dulu saya tinggal dengan nenek, lepas nenek meninggal kakak bawa saya tinggal dengannya." Jawabnya sambil berlalu.

Jika dilihat dia seorang yang biasa sahaja, sama dengan orang lain. Tiada yang pelik dan istimewa, tetapi ada sesuatu yang dimilikinya yang amat menyentuh hati saya. Ketika mula-mula melihatnya, saya tidak perasan akan kecacatan pada kedua kakinya.

Petang itu ketika saya sedang bermotosikal untuk ke masjid. Sebenarnya saya menetapkan giliran sembahyang di surau taman dan masjid, bergantung kepada jadual kuliah keduanya. Malam ini adalah jadual kuliah bulanan Tuan Guru Mohd Baqi daripada Chenor. Terasa sayang jika tertinggal syarah kepada kitab ‘Manhaj Ilm al-Fiqh’ yang telah lama saya ikuti.

Ketika sampai disimpang keluar dari taman perumahan saya, di hadapan sebuah basikal yang terhoyong-hayang ke kiri dan kanan. Saya yang agak laju kerana kelewatan hampir-hampir melanggarnya, mujur sempat memberhentikan motosikal. Kalau tidak tentu sesuatu yang buruk berlaku.

“Maaf bang, maaf bang. Saya tak sengaja,” berkali-kali dia meminta maaf.

“Awak bawa basikal macam mana ni, mujur tak kena langgar tadi,” saya memarahinya. “Lain kali bawa basikal tu elok-elok sikit.”

“Baik bang, saya minta maaf bang,” ulangnya lagi.

Saya tergesa-gesa meneruskan perjalanan kerana azan maghrib sudah pun sayup-sayup berkumandang.

Selepas itu hampir setiap petang saya melihatnya melintasi hadapan rumah saya untuk ke surau. Dalam keadaan terhencot-hencot dia gagahi berjalan untuk ke surau. Dia mengalami kecacatan pada kakinya. Kedua kakinya bengkok dan nampak tempang tatkala melangkah. Barulah saya menyedari akan kecacatan yang dialaminya. Tiba-tiba perasaan menyesal mula menguasai diri kerana agak berkasar dengannya tempoh hari.

“Dah tak bawa basikal, mungkin kerana takut kena marah kut,” saya menduga nakal.

Saya bukan bermaksud untuk menceritakan kecacatannya, tetapi ada sesuatu pada dirinya yang amat mengkagumkan saya. Ya, kegigihannya ke surau untuk sama-sama sembahyang berjemaah menjadikan dia amat istimewa dan mengkagumkan saya. Saya rasa orang yang sempurna pun mungkin tidak sekuat itu semangatnya. Terhencot-hencot berjalan untuk sama berjemaah.

Tiba- tiba saya merasa malu sendiri. Kalaulah saya berada di tempatnya, mungkin saya tiada kekuatan seperti itu. Kalaulah saya mempunyai kecacatan sepertinya, mungkin sesal dan kesal seringkali terpacul dari mulut, lebih-lebih lagi apabila melihat orang yang sempurna. Atau mungkin saya sudah tidak ke surau seperti hari ini, memadai dengan alasan kecacatan yang dialami. Nak buat macam mana, darurat. Mudahnya mencari alasan.

Kisah sahabat


Saya teringat kisah seorang sahabat Nabi saw bernama Abdullah bin Mas’ud. Digelar sebagai Ahli Qiraat Kufah, yang merupakan seorang yang alim, faqih dan menjadi rujukan orang-orang di Kufah dan Iraq secara amnya. Beliau merupakan orang yang ke-6 masuk Islam.

Kisah beliau masuk Islam sangat menarik: Pada satu hari, sedang Abdullah bin Mas’ud mengembala kambing, datang Rasulullah saw bersama Saiyidina Abu Bakar yang cuba mengelak daripada kejaran kaum musyrikin. Oleh kerana mereka berjalan tanpa membawa bekal, maka ketika berjumpa Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah saw bertanya kepadanya jika boleh diberikan sedikit susu kambing?

Abdullah bin Mas’ud pun menjawab: “Saya ini diamanahkan menjaga kambing, dan bukannya pemilik kambing ini”.

Walaupun belum menjadi seorang Islam, Abdullah bin Mas’ud merupakan seorang yang amanah. Lalu baginda Rasulullah saw pun bertanya sekiranya ada kambing yg berusia setahun ke atas, yang masih belum mempunyai susu (kambing dara). Abdullah bin Mas’ud pun berkata ada dan dibawa kambing itu kepada Rasulullah saw. Baginda saw pun menepuk pada kambing lalu keluarlah susu dengan deras daripada kambing itu. Maka, terkejutlah Abdullah bin Mas’ud melihat kejadian itu.

Rasulullah saw dan Saiyidina. Abu Bakar pun minum dan diberi juga Abdullah bin Mas’ud meminumnya. Setelah puas meminumnya, Rasulullah saw pun mengarahkan agar susu kambing itu pun kembali kepada bentuk asalnya (yang tiada susu).

Setelah melihat apa yang berlaku, Abdullah bin Mas’ud berkata kepada Rasulullah saw: “Ajarkan kepadaku apa yang kamu baca tadi ketika menepuk kambing itu”. Lalu kata baginda Rasulullah saw: “Kamu itu sudah terpelajar”. Rasulullah saw merujuk kepada sifat amanahnya. Lalu Abdullah bin Mas’ud pun beriman dan memeluk Islam.

Abdullah bin Mas’ud agak rendah orangnya berbanding sahabat Nabi yang lain. Ali ra. berkata: Suatu ketika Nabi saw duduk bersama sahabat, dan Abdullah bin Mas’ud memanjat sebatang pokok, lalu kainnya dihembus angin sehingga ternampak betis beliau yang kecil. Sahabat pun secara tidak sengaja tertawa melihat kejadian itu.

Nabi saw pun bertanya, “Adakah kamu ketawa kerana kecilnya betis Abdullah bin Mas’ud?” Sahabat menjawab: “Na’am (Ya)”. Kemudian Rasulullah saw berkata: Sesungguh kaki Abdullah bin Mas’ud lebih berat timbangannya pada hari kiamat daripada gunung Uhud.” (Riwayat Ahmad, no. 922)

Kisah ini benar-benar menginsafkan. Sesungguhnya Allah SWT tidak mengukur keimanan seseorang berdasarkan rupa fizikalnya sahaja.

Menjadi sahabat.


Sejak daripada hari saya menegurnya di surau, saya sentiasa menegurnya apabila bersua. Cuba untuk bermesra dan berbaik dengannya. Perasaan kasihan dan bersalah kerana memarahinya tempohari belum reda lagi. Walaupun mungkin ada rasional dan kebaikan saya memarahinya, namun saya agak terkasar sedikit.

“Mana basikalnya? Kenapa tak bawa?” Saya bertanya pada suatu petang.

“Ada kat rumah. Kadang-kadang bawa, kadang-kadang tak.” Katanya sambil tersenyum mesra.

Saya tidak membandingkannya dengan sahabat Nabi saw yang mulia itu, tetapi saya juga terfikir, mungkin kedua kakinya yang terhencot-hencot melangkah ke surau itu lebih berat pahalanya berbanding kami semua yang sempurna ini. Siapa tahu, semuanya di dalam rahsia Allah SWT.

Maafkan saya...

Monday, 9 December 2013

Yahudi, Syiah, dan Dajal Penyebar Fitnah, Pemesong Akidah


Tajuk : Yahudi, Syiah dan Dajal Penyebar Fitnah, Pemesong Akidah
Penulis : Sabaruddin hussein
Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd
Harga : SM 20.00 / SS 22.00
Muka surat : 344

Termaktub dalam Al-Quran dan hadith, bangsa Yahudi adalah bangsa yang banyak melakukan kerosakan di bumi. Bangsa berketurunan Nabi Yaaqub a.s. ini seringkali dikaitkan dengan pemalsuan, pemesongan akidah. Malah, mereka juga membunuh nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka.

Sejarah juga membuktikan, bangsa ini memainkan peranan yang begitu penting sebagai mastermind dalam pertembungan antara timur dan barat seperti kejatuhan Empayar Uthmaniah, peperangan dan penjajahan era Perang Dunia Pertama dan Kedua, dan yang terkini penyembelihan umat Islam di Palestin, Syria, dan Mesir. Malah, isu ini tidak akan lengkap perbincangan ia sekiranya tidak mengaitkan dengan peranan Syiah di rantau Asia Tengah.

Siapakah Yahudi dan syiah yang sebenar? Apakah perkaitan antara kedua-dua golongan ini dengan Dajal? Apakah kesesatan dan keburukan yang dibawa oleh mereka?

Buku ini akan memperkenalkan kelompok manusia yang suka melakukan kerosakan di atas muka bumi Allah SWT ini, sehingga menjadi fitnah kepada orang yang beriman.

Antara kandungan menarik buku ini adalah:
  • Saint Paul: Pendusta Terhebat Dunia 
  • Konspirasi Yahudi-Eropah Bermula di Palestin 
  • Asal-Usul Zionis: Empayar Khazar 
  • Abdullah bin Saba’ dan Perpecahan Terserlah 
  • Pendapat Ulama tentang Syiah
  • Nusairiyah: Cabang Fahaman Syiah yang Paling Memusuhi Islam
  • Iran dan Hizbullah
  • Khabar tentang Dajal dipetik daripada Hadith Nabi s.a.w.
  • Dajal dalam Bible
  • Bukti Kedatangan Dajal
  • Pertentangan dengan Dajal
  • Nabi Isa a.s. dengan Yakjuj dan Makjuj
  • Manusia Selepas Nabi Isa a.s. 

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan"

    Saturday, 7 December 2013

    Didik jiwa dengan sabar

    'Gambar hiasan: Banjir di bandar Kuantan'

    Sungguh halus didikan Allah kepada diri saya.

    Minggu lepas, dalam satu usrah saya membicarakan berkaitan hakikat sabar. Rupa-rupanya Allah ingin memahamkan saya apa ertinya sabar, sebagaimana apa yang saya syarahkan itu.

    Jiwa saya diketuk lembut. Sakitnya tidak terasa tetapi kesannya sangat mendalam. Seringkali saya mengingatkan diri, sabar itu teramat mudah dilafaz. Tetapi untuk mendidik hati agar bersabar tatkala ditimpa musibah dan ujian itulah cabarannya bahkan tidak sedikit yang tertewas. Benar, sabar bukan hanya sebutan fasih yang terselit di celahan dua bibir. Malah sabar itu perlu mendasari pada hati dan perbuatan.

    Siang dan malam datang dan pergi kemudian datang kembali. Suka dan duka, bahagia dan derita seringkali datang bersamaan, menjamah sesiapa sahaja. itulah irama dan melodi kehidupan.

    Ujian ada di mana-mana. Insan sentiasa diuji. Apa yang membezakan ialah takat mana kesabaran yang dipupuk untuk menghadapinya. Jika kita bersikap pesimis, mustahil mampu bangkit untuk meneruskan kehidupan di celahan ujian hidup.

    Percaya kita pernah menempuh kegagalan. Kegagalan dalam banyak keadaan yang mungkin menyebabkan kita tertewas dengan emosi sendiri. Resah, remuk rendam, musnah dan longlai tergaul sebati. Kegagalan yang datang sekaligus menenggelamkan kita dalam kekecewaan. Kita tidak ada resepi lain dalam menghadapi kesukaran hidup ini, kecuali dengan perjuangan moral yang didasari iman yang mantap.

    Kita tidak perlu menentang ujian, kerana ujian itu adakalanya jika ditentang semakin menusuk seumpama belati yang tajam. Kita cuma memerlukan satu kekuatan iaitu sabar. Dan dalam masa yang sama berusaha dan berdoa. Namun tanpa kesabaran kita tidak akan dapat berusaha dan berdoa kerana jiwa seawalnya sudah pun tewas kepada hawa nafsu.

    Marilah kita mendidik jiwa agar sentiasa bersabar dengan segala musibah yang menimpa. Namun, dalam masa yang sama jangan lupa untuk berusaha dan berikhtiar serta sentiasa memanjatkan doa kepada Allah agar memberikan jalan keluar. Selepas itu serahkan kepada Allah dengan sifat tawakkal kerana Dia yang berkuasa memberi taqdir-Nya.

    "Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 153)

    Friday, 6 December 2013

    'Percutian keluarga' 4 hari 3 malam...


    Assalamualaikum warahmatullah.

    Alhamdulillah, puji-pujian buat pemilik semesta alam atas nikmatnya yang tidak pernah berkurang kepada hamba-Nya. Semalam saya sekeluarga selamat pulang ke rumah setelah menghabiskan ‘percutian keluarga’ selama 4 hari 3 malam di pusat pemindahan banjir.

    Badan pun masih letih dan sakit-sakit lagi kerana tidur dalam keadaan sempit dan hanya beralaskan tikar tanpa selimut, makan pula sekadarnya, sungguh tidak selesa. Memanglah jika mahu selesa tidurlah di hotel. Tetapi bukan hanya saya sekeluarga, malahan keluarga-keluarga yang lain pun begitu. Tentunya ianya menjadi satu pengalaman yang sangat menarik bagi yang pertama kali mengalaminya, tetapi bagi yang tiap-tiap tahun berpindah entahlah apa yang ada di dalam fikiran mereka. "Sudah biasa..."mungkin begitu katanya.

    Saya suka melihat gelagat kanak-kanak semasa pusat pemindahan banjir itu. Mereka gembira bermain, berkejaran tanpa merasa sedikit pun ketidakselesaan. Masa makan mereka makan tanpa merungut sedap atau tidak, tidur pun begitu. Saya berseloroh kepada isteri: “Tengok budak-budak tu, rilek sahaja. Tinggi taraf iman dan taqwa tu...”

    Mengimbas kembali pada tengahari hari pertama, air mulai surut sedikit setelah hujan berhenti turun. Namun saya bersama ahli keluarga memindahkan juga barang-barang ke tingkat atas, ekoran cuaca yang masih mendung dan diberitakan pada malam ini akan berlaku air pasang besar. Mujur rumah dua tingkat, jadi adalah tempat untuk menyelamatkan barang-barang. Manakala barang-barang yang besar dan berat saya hanya melapik batu-bata untuk meninggikan kakinya. Itu sahaja yang termampu, selebihnya diserahkan kepada Allah SWT. Segala rahsia adalah milik-Nya atas sifat-Nya yang Maha Mengetahui.

    'Masak apa hari ini...'

    Menjelang petang hujan turun dengan lebat dan air mula naik dengan cepat. Selepas maghrib dalam hujan lebat yang mencurah-curah kami sekeluarga keluar daripada rumah untuk berpindah ke pusat pemindahan. Seronok juga mengharung air beramai-ramai bersama dengan sahabat-sahabat yang lain. Saya melihat sifat bertanggungjawab dan bantu-membantu amat terserlah pada waktu-waktu begini. Tanpa mengira siapa masing-masing membantu apa yang perlu dan terdaya. Namun, apa yang menarik juga pada waktu-waktu begini juga barulah saya dapat melihat penduduk taman ini. Ada yang saya tidak pernah lihat dan tertanya-tanya, penduduk taman ini ke, tak pernah nampak pun. Saya kongsikan pertanyaan ini dengan sahabat sahabat yang lain dan mereka mengiakannya.

    Keadaaan hari pertama di pusat pemindahan agak tidak terkawal. Suasana hiruk-pikuk dengan bilangan mangsa yang ramai. Kedudukan pun tidak teratur dengan lantai yang basah. Selepas itu sedikit demi sedikit mangsa dikurangkan dengan memindahkan mereka ke satu lagi pusat pemindahan yang terletak di sebuah sekolah kira-kira 6 kilometer dari sini. Saya pula tidak menghadapi masalah kerana sudah pun mendaftar pada petang itu sebelum berpindah lagi, cuma masalahnya untuk mencari ruang menghamparkan tikar sahaja. Akhirnya kami mendapat sedikit ruang sebelah pintu berhampiran ruangan memasak.

    Agaknya kerana tikar kami yang paling hampir dengan tempat memasak, saya turut dilantik dalam kumpulan memasak bersama beberapa orang anggota RELA. Saya tiada masalah untuk itu, walaupun saya bukan anggta RELA tetapi saya rela, sekurang-kurangnya ada juga aktiviti yang mahu dibuat. Takkan asyik duduk dan baring sahaja, sekejap tak apalah, tapi 3 atau 4 hari, boleh dilanda kejemuan tahap gaban (baca boring). Lagi pun saya sudah biasa dengan aktiviti-aktiviti kebajikan bersama Jabatan Amal.Bukan niat mahu memuji diri sendiri, tetapi mahu memuji Jabatan Amal yang sentiasa prihatin dalam misi-misi kebajikan.

    Hari ini kami sekeluarga telah pulang dari 'percutian' tersebut. Walaupun masing-masing kepenatan tetapi misi mencuci rumah telah pun bermula. Barang-barang dari tingkat atas juga sudah pun dibawa turun sedikit demi sedikit. Ketika saya sedang menaip ini, di luar hujan sedang lebat mencurah dari langit. Ada juga terdetik kebimbangan kalau-kalau air naik lagi. Namun, saya berdoa agar semuanya dalam keadaan baik, tetapi jika terjadi lagi apalah kuasa kita. Redha dan tawakkal sentiasa saya pasakkan sekemasnya. Allah SWT tidak pernah menzalimi para hamba-Nya, Biarpun ternampak perit dan sakit musibah yang ditimpakan, namun Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat para hamba-Nya.

    Allahu musta`an...     

    Tuesday, 3 December 2013

    Musim hujan sudah tiba


    Hari ini seharian hujan turun di tempat saya. Turun pula dengan lebat sekali. Semalam juga hujan tetapi ada juga masa-masa berhenti dalam 15 hingga 20 minit. Tetapi hari ini berterusan turun dari pagi tadi. Dikhabarkan sudah ada beberapa tempat yang ditenggelami air. Melihat keadaan hujan yang berterusan begini, memang tidak mustahil ada tempat yang dinaiki air terutama kawasan yang rendah.

    Di kawasan perumahan saya secara logiknya tidak akan banjir kerana bukan kawasan yang mudah dinaiki air. Di saat ini juga masih belum dinaiki air, buktinya saya masih boleh menaip walaupun hujan mencurah di luar. Namun saya mengambil langkah berjaga-jaga, manalah tahu kemungkinan. Jika Allah mahu taqdirkan berlaku banjir, tidak kira kawasan tinggi atau rendah. Tempat yang tidak pernah banjir boleh berlaku banjir, tiada siapa yang mampu menduga kerana itu semua di bawah kekuasaan-Nya.

    Pagi tadi sahabat saya yang juga ketua skuad banjir Parlimen Indera Mahkota, telah menghantar peringatan kepada para petugas agar bersiap-sedia untuk turun menghadapi kemungkinan banjir. In syaa Allah saya akan bersedia sebagaimana tahun-tahun yang sudah.

    'Bencana alam' pertama

    Di dalam sejarah dunia, banjir merupakan ‘bencana alam’ yang pertama berlaku. Al-Quran menceritakan kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s. Banyak ayat yang menerangkan kedegilan kaum Nabi Nuh a.s. terhadap amaran dan peringatan yang disampaikan kepada mereka.

    Mereka membelakangi dan mendustakan seruan ayat-ayat Allah SWT dan mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Walaupun baginda berusaha bersungguh-sungguh berdakwah kepada mereka tetapi mereka menuduh Nabi Nuh a.s. melakukannya demi kepentingan diri seperti kepimpinan, kekayaan dan sebagainya. Mereka juga menuduh Nabi Nuh a.s. seorang yang gila.

    Allah SWT memberitahu kepada Nabi Nuh a.s. bahawa kaumnya yang menentang kebenaran dan berbuat kezaliman akan ditimpakan azab dan yang beriman akan selamat.

    Tiba masanya air dari mata air keluar dengan membuak-buak manakala hujan turun dengan selebatnya sehingga menenggelamkan gunung-gunung yang tinggi. Semua manusia telah mati termasuk anak lelaki Nabi Nuh a.s. kecuali yang menaiki bahtera bersama-sama Nabi Nuh a.s.

    Apabila banjir telah surut, bahtera tersebut terdampar di Judi iaitu pada sebuah tempat yang tinggi, menurut al-Quran.

    Di antara firman Allah SWT:

    “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka dibinasakan oleh banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim (dengan kufur derhaka).” (al-Ankabut: 41) “Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran).” (al-A`raaf: 64) 

    “Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku. Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar.” (al-Qamar: 11-14) 

    “Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.” (al-Mukminun: 27) 

    “Sesungguhnya Kami, - ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), - telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya). (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.” (al-Haqqah: 11-12)

    Ambil pengajaran

    Kisah-kisah umat terdahulu banyak dimuatkan di dalam al-Quran. Seharusnya ia menjadi perkara yang perlu direnungi. Allah SWT menurunkan seksaan-Nya kepada umat terdahulu lantaran keingkaran dan pendustaan mereka terhadap ayat-ayat Allah. Marilah kita menginsafi diri kerana di dalam kisah-kisah yang sebegini ada peringatan dan pegajaran bagi mereka yang mahu berfikir dan menggunakan akal.

    Allah SWT berfirman:

    "Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap). Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka." (Hud: 100-101) 

    Hujan masih mencurah di luar dengan lebatnya. Hujan juga ada peringatan dan pengajarannya, tentu sekali bagi mereka yang mahu berfikir.

    “Ya Allah, jadikanlah hujan yang turun ini membawa rahmat dan memberi manfaat kepada kami semua, ameen ya Rabb.

    Sunday, 1 December 2013

    Al-Fatihah, salam takziah


    SELAYANG: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari, 63, telah kembali ke rahmatullah jam 8.17 malam ini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

    Jenazah allahyarham dibawa balik ke rumah No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.

    Semoga Allah SWT berkenan mengampuni semua kesalahannya dan menerima segala amal kebaikannya. Al-fatihah.

    Saturday, 30 November 2013

    Hidayah milik-Nya


    Hidayah pastinya milik Allah SWT. Dia berkuasa memberikan kepada sesiapa yang dikehendaki. Asbabnya mungkin susah untuk perolehi jika kita tidak memulainya dengan mencari dan mengkaji. Mana mungkin hidayah akan diperolehi jika kita hanya duduk menupang dagu beralas lutut, harap-harap hidayah akan turun dari langit sebentar lagi.

    Allah SWT berfirman:
    “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A`raaf: 179)

     Alhamdulillah, malam ini masjid Qaryah Balok menerima kunjungan sebuah NGO yang bertanggungjawab menjalankan misi dakwah di Filipina. Turut bersama dalam rombongan mereka, seorang saudara baru dari wilayah Mindanao Filipina. Beliau turut menyampaikan tazkirah berkisar pengalaman pengislamannya.

    Beliau berbahasa Tagalog. Namun kuliahnya disampaikan di dalam bahasa Inggeris. Mujur beliau boleh berbahasa Inggeris walaupun sedikit pelat. Penterjemahannya pula oleh salah seorang ahli rombongan tersebut.

    Menurutnya, sebelum memeluk Islam beliau merupakan seorang pelajar universiti di bidang pengajian teologi dakwah kristian. Setelah menamat pengajian, dia menjadi ketua paderi sebuah gereja di Mindanao. Tugas utamanya menyusup masuk ke dalam komuniti umat Islam di sana dan memurtadkan mereka. Pendapatannya amat lumayan kira-kira USD5000 sebulan. Ini tidak termasuk pendapatan lain seperti membaptis dan mengampunkan dosa. Tetapi semua itu ditinggalkan tatkala hidayah menyapa kemas dalam jiwa.

    Lucu juga mendengar selorohnya: "Dulu saya mengampunkan dosa orang lain, sekarang saya pula yang meminta ampun."

    Di antara sebab pengislamannya apabila dia mula sangsi dengan konsep triniti, konsep pengampunan dosa oleh paderi, persoalan mengapa Islam mengharamkan khinzir. Dia berperang dengan perasaan sendiri kerana banyak keraguannya tidak dapat dirungkai. Beberapa persoalan yang bermain di minda tidak mampu dijawab oleh paderi besar ditempatnya.

    Setelah memeluk Islam melalui NGO tersebut, dia mengambil tanggungjawab untuk menyebarkan Islam di tempatnya. Menggantikan kerja-kerja dakyahnya dulu dengan kerja-kerja dakwah Islam. Apa yang menarik, dakwah dijalankan dengan mengetuk pintu setiap rumah di tempatnya dan menerangkan kebenaran Islam. Tidak terlalu lama, dalam jangkamasa 4 hingga 5 minit. Dakwah juga dijalankan di pondok-pondok polis dan dewan perbandaran. Ini satu strategi yang baik kerana dengan kefahaman Islam yang diperolehi, mereka dapat menjalankan dakwah dengan selamat tanpa sebarang gangguan. Setakat ini katanya, 6 orang pegawai polis telah memeluk Islam hasil kaedah dakwahnya itu.

    Cita-citanya untuk mewujudkan sebuah pusat Islam untuk menjaga kebajikan umat Islam di tempatnya. Sekarang di tapak itu telah pun berdiri sebuah masjid hasil sumbangan umat Islam.

    Insaf saya mendengar kata-katanya. Tentunya bagi dia yang pernah merasai kehidupan di alam 'jahiliah',  setelah berada di dalam suasana keimanan dan merasai perbezaan dua kehidupan itu,  menambahkan lagi keyakinan terhadap kebenaran Islam. Sebab itu apabila memeluk agama Islam, kita kebanyakan daripada mereka berpegang sekuatnya dengan agama ini. Mungkin kita yang telah mendapat Islam dengan mudah ini tidak merasai demikian. Namun demikian, kita bersyukur dengan nikmat Islam ini kerana jika tidak dilahirkan dalam Islam belum pasti kita dapat menerima hidayah ini. Mungkin kita pula menjadi penentang Islam yang kuat pula. Nad`uzubillah. 

    “Kita semua adalah bersaudara di atas kalimah Laa Ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah...”katanya mengakhiri kuliah malam itu.

    Alhamdulillah...