Sahabat Sejati

Thursday, 28 June 2012

Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji


Oleh: Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)

Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut :-

Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara. Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah:

 وأشهدوا ذوى عدل منكم 
Mafhum: “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2) 

Juga Firman Allah:
  
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا 
Ertinya: "Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil." (Al-Baqarah : 282) 

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala:

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ 
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283) 

Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami,

1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman

Wednesday, 27 June 2012

Beberapa golongan manusia

Pesan guruku...


مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللّهَ قَرْضاً حَسَناً فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافاً كَثِيرَةً وَاللّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
"Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan memperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan." (al-Baqarah: 245) 

Fikir-fikir dalam diri...

Monday, 25 June 2012

Morsi diisytihar menang Presiden Mesir


KAHERAH: Calon Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi telah diisytiharkan secara rasmi memenangi pilihan raya Presiden negara itu.

Pengisytiharan itu disambut jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tahrir dan bergemalah sahutan Allahu Akhbar.

Morsi mendapat 13.2 juta undi dari 26 juta rakyat Mesir yang keluar mengundi iaitu 51.7 peratus dari jumlah undi. Lawannya, Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri di era Hosni Mubarak mendapat 12.3 million undi. Lebih 800,000 undi diisytiharkan tidak sah.

Keputusan diumumkan oleh Farouq Sultan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir dalam satu ucapannya yang panjang sebelum memberikan keputusan.

Beliau mempertahankan intergriti suruhanjaya yang dipengerusikannya.

Ketidaktentuan

Pengumuman kemenangan Morsi dibuat seminggu selepas pilihan raya umum pusingan akhir pemilihan Presiden Mesir antara Mohamed Morsi dari FJP dengan Ahmad Shafiq selesai.

Sejak seminggu lalu, jutaan rakyat Mesir khasnya penyokong Ikhwanul Muslimin berhimpun di Dataran Tahrir pada setiap hari.

 Bilangan mereka bertambah hari ke hari sehinggalah pengumuman rasmi dibuat hari ini. Ikhwan telah mengumumkan kemenangan Morsi sejak Ahad lalu selepas semua kertas undi selesai dikira.

Ia dibuat berdasarkan keputusan yang mereka kumpulkan dari pusat-pusat pengundian kerana semua undi telah selesai dikira di pusat-pusat pengundian itu.

Dalam pilihan raya kali ini, semua kiraan undi dibuat dipusat pengundian yang diketuai oleh seprang hakim dan keputusannya diumumkan sebaik sahaja undi selesai dikira.

Namun, hanya hari ini iaitu kira jam 10.40 malam waktu Malaysia ia diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir.

Sehingga kini tidak diketahui setakat mana Morsi akan berkuasa selaku Presiden Mesir kerana SCAF telah mengumumkan beberapa perkara sebelum pilihan raya pusingan terakhir baru-baru ini.

Antaranya, Presiden tidak mempunyai kuasa penuh dalam soal pertahanan dan keselamatan dalam negeri. Antaranya mereka didakwa cuba mempertahankan Perjanjian Camp David yang dibuat antara kerajaan Mesir sebelum ini dengan Israel yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.

Penolong Setiausaha Agung PAS, DR Syed Azman Syed Ahmad yang kini berada di Kaherah akan membuat laporan lanjut perkembangan yang berlaku di Mesir.

Sumber: Harakahdaily

Thursday, 21 June 2012

Pasti binasa diri ini...


Hargailah kasih sayang Allah yang menutupi kejelekan serta keaiban kita. Setelah apa yang Allah lindungi daripada sekian banyak keaiban kita, apakah tidak wajar untuk kita bersyukur dan bertaubat?

Diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A ia berkata:

"Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, "Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu". Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justeru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah." [Muttafaqun 'alaih HR Bukhari dan Muslim]

Benar sekali tinta alim ulama, jika dosa itu berbau , nescaya ku tak mampu keluar rumah kerana malu busuk tubuhku dikesani orang kerana dosa-dosaku...

Fikir-fikir dalam diri...

Tuesday, 19 June 2012

Hari yang memberi erti


Multaqa Guru Agama Indera Mahkota, itulah program yang perlu saya hadiri pada 16 Jun yang lalu. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyatakan persetujuan setelah mendapati nama saya turut berada dalam senarai mereka yang mesti hadir. Memandangkan multaqa pada tahun lepas saya tidak dapat menghadirinya kerana terpaksa menyelesaikan urusan keluarga, jadi kali ini saya bertekad untuk tidak mahu tercicir daripada menyertainya.

Program yang akan diadakan di Dewan Sekolah Islam al-Irsyad ini bermula jam 9 pagi dan kertas kerjanya pula akan dibentangkan oleh dua ilmuan yang amat saya kagumi iaitu al-Fadhil Ustaz Mokhtar Senik dan al-Fadhil Ustaz Nafiri Toazi. Wahh, tentu berbaloi! Bahkan Ustaz Mokhtar adalah guru tafsir saya yang saya ikuti setiap kuliah pengajiannya.

Multaqa adalah dari ungkapan Arab yang membawa maksud pertemuan beberapa pihak. Contohnya anak-anak sungai yang bercantum di antara satu sama lain lalu menghasilkan satu sungai yang besar. Oleh itu, multaqa menggambarkan pertemuan beberapa pihak yang membentuk satu kumpulan besar dan menghasilkan percambahan pemikiran yang disertai oleh para ilmuan dan ulama'. Ia bagaikan kalimah keramat yang menggambarkan kematangan, keilmuan dan hikmah.

Pagi Sabtu, saya berkira-kira mahu turun awal pagi, tetapi disebabkan saya telah berjanji dengan tukang rumah yang mahu datang untuk berbincang mengenai kerja-kerja renovation rumah saya, menyebabkan saya terlewat sedikit untuk ke sana.

Lima belas minit hampir pukul sembilan, saya mula menyusuri aspal jalan. Alhamdulillah, Perjalanan cukup selesa dan teratur kerana tidak banyak kenderaan yang lalu lalang. Mudah-mudahan saya tidak terlalu lewat.

Bicara masa

Di sepanjang perjalanan menuju ke Sekolah Islam al-Irsyad, fikiran saya melayang mengingati tazkirah yang saya telah sampaikan pada pertemuan Pemuda Islam di Sekolah PASTI pada malam sebelumnya. Saya menghuraikan berkenaan ayat 1 dan 2 dari surah al-`Asr:

وَالْعَصْرِ * إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian.”

Dalam ayat pertama Allah SWT melafazkan kalimah sumpah iaitu ‘demi masa’ atau boleh juga diertikan dengan ‘demi waktu asar’.

Waktu asar, waktu petang hari seketika bayang-bayang badan sudah mulai lebih panjang daripada badan kita sendiri. Waktu asar adalah waktu yang hampir menuju waktu senja. Boleh kita umpamakan waktu asar seperti usia yang sedang menghampiri usia senja.

Maka jika dengan usia yang kian menghampiri usia senja, kita masih lagi berdegil, mematungkan diri dari menambah amal kebajikan maka kitalah yang akan menanggung kerugian buat selama-lamanya.

Antara nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya:

"Tanda ALlah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan di dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur 40 tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka."

Nasihat ini sudah cukup bagi mereka yang berakal dan mahu berfikir tentang kehidupan ini.

Kita yang sentiasa dalam kesibukan, terbuai dengan nikmat dan keseronokan dunia, kadang-kadang terlupa dengan anugerah masa yang diperolehi. Sesungguhnya masa akan terus bergerak dan terus bergerak, bahkan ia tidak akan pulang kembali setelah ia berlalu.

Apabila masa mengucapkan selamat tinggal, maka ia benar-benar memaksudkannya. Ia adalah ucapan selamat tinggal yang benar-benar hakiki. Walau sekaya manapun manusia, dia tidak akan dapat membeli kembali masa yang telah berlalu.

Kerugian masa ialah kerugian mutlak. Kerugian yang tidak mungkin digantirugi dan tidak mungkin dituntut kembali. Fikir sejenak, jika jam 9 hingga 10 pagi ialah waktu membaca lalu ditangguhkan dan dibiarkan waktu itu kosong sehingga ke jam 10, sebenarnya satu jam yang telah berlalu itu tidak terganti dengan sejam selepasnya. Walaupun kita benar-benar membaca bermula jam 10 dan selesai pada jam 11. Mungkin kita berfikir kita telah menggantikan sejam yang telah berlalu. Tetapi secara hakikatnya, jam 10 hingga jam 11 juga sememangnya telah ditetapkan untuk kita membaca. Ini bererti, di antara jam 9 hingga 10 adalah sejam yang berlalu kosong tanpa gantian! Kerana setiap waktu itu punya kerja yang mengisinya.

Maka awaslah, supaya kita tidak termasuk ke dalam golongan yang dikatakan benar-benar di dalam kerugian!

Program di al-Irsyad

Tanpa sedar, saya sudah tiba di Sekolah Islam a-Irsyad. Dua orang sahabat saya berada di pintu pagar menyambut para peserta yang hadir. Sejurus meletakkan kenderaan, saya menemui mereka berdua. Ingatkan saya sudah terlewat, rupa-rupanya penceramah juga belum sampai lagi.

“Enta tolong ganti ana tunggu penceramah, ana nak ke dewan, nak pastikan semuanya sudah siap.” Kata sahabat saya, Ustaz Zaki yang bertindak sebagai pengarah program.

“Ok, tak ada masalah.” balas saya sambil menunjukkan ibu jari ke atas.  Kami berbalas senyuman, kemesraan yang berputik di atas jalan dakwah.

Secara ringkasnya multaqa ini bertujuan membincangkan keterlibatan ilmuan Islam dalam meletakkan batu asas gerakan dakwah di negara kita, memberi motivasi kepada para pendakwah atau guru agama agar melibatkan diri dalam amal Islami, membuka ruang untuk berperanan walaupun dalam ruang yang mengongkong, mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh guru agama dalam menyampaikan ilmu serta kerterlibatan atau peranan yang harus dimainkan oleh guru agama dalam masyarakat kerana guru agama adalah individu yang amat rapat dengan masyarakat.

Tiada individu yang paling senang mendekati masyarakat selain para guru agama atau ulama`. Kita boleh melihat, masyarakat sentiasa memerlukan guru agama. Mereka bersolat di belakang ulama`, bersila kukuh menadah telinga dengan tekun mendengar kuliah dan ilmu yang disampaikan oleh guru agama. Ternyata sebahagian besar urusan kehidupan masyarakat berurusan dengan guru agama atau ulama`. Kesempatan ini sewajarnya diambil oleh mereka yang bergelar guru agama untuk menyalurkan nasihat, bimbingan dan sebagainya.

Oleh itu, multaqa ini seharusnya dimanfaatkan oleh guru-guru agama untuk bermuhasabah, berbincang pelbagai perkara berkaitan pendidikan. Terlalu banyak isu-isu dalam Pendidikan Islam yang perlu diselesaikan. Ia juga satu medan untuk membincangkan masalah ribuan pelajar sekolah menengah yang tidak tahu membaca Al Quran, yang tidak solat dan terlibat dengan pelbagai masalah sosial yang kian membimbangkan hari ini.

Alhamdulillah, saya merasa cukup terisi hari ini.

Usai program, saya terus pulang rumah. Tiba di rumah sekitar jam 3 petang. Insya-Allah malam ini saya mahu ke Masjid Balok Makmur untuk mendengar kuliah al-Fadhil ustaz Azhar Idrus, ikon anak muda dan contoh pendakwah yang kreatif dalam menyampaikan ilmu. Banyak perkara yang saya boleh belajar daripadanyamengenai uslub dakwah yang berkesan.

Semoga Allah menerima amal kami semua di hujung minggu ini sebagai amal soleh yang diredhai-Nya, ameen.

Friday, 15 June 2012

Andai diri dijalan dakwah...


Dakwah adalah sabar dan hikmah. Sabar tiada hikmah adalah sia-sia, manakala hikmah tanpa sabar adalah kecewa. Akhirnya dakwah menjadi hambar, semangat menjadi tawar. Lalu engkau akan mengeluh lemah tidak berupaya kerana putus asa telah membelit jiwa.

Berlapang dadalah di medan dakwah.

Memang begitu jalannya.

Kita bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan.

فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنتَ مُذَكِّرٌ لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِرٍ 
“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (al-Ghasyiah: 21-22)

Perginya seorang Murabbi


Hari ini mendapat berita tentang pemergian seorang murabbi dan juga tokoh dakwah yang amat disegani, al-Fadhil Ustaz Yahya Othman. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat  dirasakan, disaat ummah masih memerlukan curahan ilmu dari ulas bibirnya.

Ucapan takziah kepada keluarga beliau, sahabat handai dan seluruh kenalan serta muridnya diatas pemergian tersebut.

Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang besar kepada almarhum dan kegigihannya menjadi ikutan kepada pendokong-pendokong gerakan Islam dan ditempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh. Kepada keluarga dan sahabat handai, kita doakan diberi kesabaran oleh Allah SWT.


MACHANG: PAS hari ini kehilangan murabbi dan juga tokoh dakwah yang disegani, Datuk Ustaz Yahya Othman yang meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang tadi di kediamannya di sini.

Ustaz Yahya Othman merupakan kawan dan guru yang berjasa besar di dalam memperkasakan tarbiah ahli-ahli PAS dan mendambakan diri sejak sekian lama kepada tugas-tugas tersebut kata Presiden PAS dalam satu kenyataan hari ini.

"Samada ketika berjawatan didalam parti, daripada Dewan Ulama kepada Ahli Majlis Syura Ulama dan juga sebagai exco kerajaaan negeri Kelantan diawal pemerintahan PAS ataupun setelah tiada jawatan didalam jemaah, beliau meneruskan tugasnya dengan penuh gigih".

"Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang besar kepada almarhum dan kegigihannya menjadi ikutan kepada pendokong-pendokong PAS dan ditempatkan beliau bersama orang yang soleh".

Menyorot latar belakang beliau, ketika dalam parti, Allahyarham merupakan bekas ahli Majlis Syura Ulama’ (pernah jadi setiausahanya yang pertama) selain pernah menjadi AJK PAS Pusat dan AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat.

Beliau juga pernah menjawat jawatan YDP PAS Machang selama tempoh lebih kurang 20 tahun.

Bekas pensyarah dan Timbalan Pengetua Nilam Puri Kelantan bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1978. Pada pilihan raya 1990 beliau menang bertanding dan diamanahkan menjawat jawatan EXCO DUN Negeri Kelantan. PAS sebelum ini menobatkan beliau sebagai Murabbi PAS sepanjang zaman.

Difahamkan solat jenazah akan diadakan di kediaman beliau jam 9 pagi esok.

Sumber: Harakahdaily

Thursday, 14 June 2012

Jom ke kuliah!

Kuliah maghrib oleh Ustaz Azhar Idrus, ikon anak muda masa kini... Jom pakat gi ramai-ramai!!!

Monday, 11 June 2012

Ketenangan itu pada sekeping hati...

Ketenangan bukanlah bererti kita harus berada di suatu tempat yang tiada kesibukan, tanpa keributan atau jauh dari kesulitan. Ketenangan adalah hati yang damai, jauh dari resah, biarpun kita berada di tengah-tengah keributan yang luarbiasa. Ketenangan sejati adalah kedamaian di dalam hati, bukanlah semata-mata kerana kedamaian di sekeliling...

Carilah ketenangan yang sejati itu. Tentunya ia milik pada sekeping hati. Maka gapailah ia dengan zikrullah. Mendaki puncak ketenangan dengan zikrullah.

Lihatlah betapa adil dan bijaksananya Allah, Dia meletakkan punca ketenangan pada zikrullah. Maka, walau siapa pun dia, orang kaya atau susah, tua atau muda, rakyat biasa atau raja yang berkuasa, masing-masing berhak mendapat ketenangan, dan Allah meletakkannya pada sesuatu yang terbuka konsepnya iaitu zikrullah.Jadi sesiapa pun boleh mengambilnya. Demikianlah keadilan Allah SWT.

Sesungguhnya zikrullah itu akan melapangkan biarpun hidupmu di dalam gubuk yang sempit. Biarpun makan dan minum sekadarnya, biarpun pakaian penuh tampalan. Namun kuntuman senyuman masih mampu kau simpulkan kerana ketenangan bertahta dihatimu bukan pada alam persekitaran di sekelilingmu.

 Terimalah zikir munajat...


video
Zikir Munajat 1


video
Zikir Munajat 2

Sunday, 10 June 2012

Lemahnya kita, bukankah ia juga satu nikmat?


Betapa hina dan kerdil di sisi Allah SWT. Hina dan kerdil kerana merasakan lemahnya diri ini.

Terkena hujan pasti demam begitu juga jika lama berpanas, sekiranya tidak demam, mungkin kepala pula berdenyut-denyut kesakitan. Terhiris luka berdarah. Jatuh terhempas pasti menanggung kesakitan. Hati pula mudah goyah tatkala ditimpa musibah. Resah dan gelisah tidak mampu direda.

Mahu menyuap makanan dengan pertolongan-Nya. Hatta mahu mengerdip mata pun dengan pertolongan-Nya jua.

Dimana kekuatan yang kubanggakan...tiada.

Tanpa pemeliharaan dan pertolongan-Nya, sudah tentu aku tidak dapat bertahan menghadapi gelombang kehidupan ini.

Sedangkan DIA Maha Gagah lagi Maha Perkasa.

Betapa hina dan kerdil di sisi Allah SWT. Hina dan kerdil kerana merasakan faqirnya diri ini.

Apa yang ada disisiku bukanlah milikku. Walaupun seringkali aku melaungkan hartaku, milikku, kepunyaanku, hakikatnya hanyalah pinjaman semata. Hatta apa yang ada pada diriku pendengaran, penglihatan, akal, kesihatan malah nyawa juga bukan milikku? Malahan DIA berkuasa mengambilnya pada bila-bila masa tanpa perlu meminta izin mahupun memberitahu kepadaku.

Sekian lama aku menggunakannya tanpa perlu membayar harganya walau sedikit pun.

Rasa berterima kasih???

Entah berapa pula nilainya jika mahu dihitung-hitung.

Sedangkan DIA Maha Kaya lagi Maha Memiliki.

Betapa hina dan kerdil di sisi Allah SWT. Hina dan kerdil kerana merasa jahilnya diri ini.

Walau setinggi manapun aku menuntut ilmu, walau berapa banyak aku mengunjungi guru, walau segudang penuh aku menghimpun buku, namun semakin banyak pula yang tidak mengerti.

Jahil tentang diri...

Jahil tentang alam...

Jahil tentang kehidupan...

Dan bermacam-macam kejahilan lagi.

Apakah yang mahu dibangga pada segulung ijazah, sedangkan ilmu yang mengisi dada tidak sampai separuh debu berbanding alam yang luas ini. Itupun semata-mata kurniaan-Nya.

Sedangkan DIA Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Lemahnya manusia kerana kasih sayang-Nya


Mengapa kita diselimuti dengan bermacam-macam kelemahan, sedangkan kita diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Mengapa ya?  Pernahkah kita memikirkan sebabnya? Mari kita lihat firman Allah SWT ini:

يُرِيدُ اللّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً 
“Allah (sentiasa) hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia dijadikan bersifat lemah.”(an-Nisa’: 28) 

Benar, Allah mahu memberi keringanan kepada kita, maka diciptakan kita dengan banyak kelemahan.

Hayati satu kisah dari peristiwa Isra` dan Mikraj di bulan rejab ini.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW. Di dalam peristiwa itu Rasulullah saw telah menerima perintah menunaikan solat daripada Allah SWT. Namun, dalam perjalanan turun, telah berlaku satu dialog di antara baginda saw dengan Nabi Musa as.

Berkata Nabi Musa as. kepada Nabi Muhammad saw pada malam Isra’ sekembalinya dari Sidratul Muntaha apabila melaluinya: “Apakah yang diwajibkan oleh Tuhan ke atas kamu.” Nabi Muhammad saw menjawab: “Allah SWT telah mewajibkan ke atas kami melakukan solat lima puluh kali sehari semalam.” Maka Nabi Musa berkata kepada baginda saw: “Kembalilah kepada Tuhanmu memohon keringanan, kerana umatmu tidak akan berdaya melakukan hal yang seumpama itu.”

“Aku telah cuba mengenali orang-orang sebelum engkau memerintahkan sesuatu yang lebih ringan dari itu dan ternyata mereka tidak dapat melakukannya, sedangkan umatmu adalah lebih pendengarannya, lebih lemah penglihatannya dan lebih lemah hatinya. Kemudian kembalilah Nabi Muhammad saw kepada Tuhan memohon keringanan sehingga dikurangkan menjadi lima waktu sehari semalam.”

Sebuah hadis dari Anas ra, beliau mengatakan, "Diwajibkan sembahyang ke atas Rasulullah pada malam Isra' dengan 50 waktu, kemudian ia dikurangkan lagi sehingga menjadi 5 waktu. Setelah itu Rasulullah diseru, "Wahai Muhammad, sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Sesungguhnya bagimu 5 waktu ini sama pahalanya dengan 50 waktu sembahyang". (Riwayat Ahmad dan an-Nasa'ie)

Allah SWT Maha Mengetahui bahawa kita makhluk-Nya yang lemah, jika tidak tentu kita akan diperintahkan bersolat sebanyak 50 waktu sehari semalam. Namun kerana lemahnya kita, Allah SWT memberikan 5 waktu sahaja, tetapi pahalanya menyamai 50 waktu. Bukankah ini tanda kasih sayang-Nya.

Merenung dan berfikir


Bahkan banyak lagi jika kita fikirkan, setiap kelemahan yang ada pada kita kerana Allah SWT mahu memberikan keringanan dan memudahkan kita dalam menjalani kehidupan ini.

Begitu juga seorang hamba yang tahu dirinya serba lemah dan kerdil, maka dia akan sentiasa memohon dan merintih kepada-Nya. Dia akan sentiasa meletakkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah SWT. Bukankah ini juga satu nikmat yang terbesar, bersungguh dengan penuh keikhlasan mengharap kepada-Nya. Sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan apabila merasa diri cukup dan sempurna. Maka janganlah kita bersedih dan kecewa dengan kelemahan yang dimiliki. Ingatlah setiap apa yang Allah SWT jadikan atau taqdirkan tidak akan ada yang sia-sia, melainkan ada nilainya yang mungkin tidak kita sedari.. 

Betapa sayangnya Allah SWT kepada kita. Oleh itu marilah kita menghargai dan membalas kebaikan Allah SWT kepada kita dengan mengabdi diri hanya kepada-Nya, iaitu dengan melakukan dengan segala yang diperintah dan meninggalkan segala tegahan-Nya.

يُرِيدُ اللّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً

“Allah (sentiasa) hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia dijadikan bersifat lemah.”(an-Nisa’: 28)

Saturday, 9 June 2012

Sabar dan ikhlas

Pesan guruku...


Fikir-fikir dalam diri!

Thursday, 7 June 2012

Bersegera kepada keampunan-Nya


Abu Said al-Khudri ra berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Ada seorang yang masuk syurga tanpa amal kebaikan, hanya ketika ia akan mati, berpesanlah ia kepada keluarganya: “Jika saya meninggal dunia, bakarlah mayatku dan tumbuklah tulang-tulangku sampai halus, kemudian abunya taburlah separuh di darat dan separuh di laut.” Maka ketika mati, dilaksanakan wasiatnya. Maka Allah menyuruh darat dan laut supaya mengumpulkan abunya. Kemudian ketika ditanya: “Mengapa kamu berbuat demikian itu?” Jawabnya: “Kerana aku takut kepada-Mu Tuhan.” Maka Allah mengampunkan baginya kerana takutnya kepada Tuhan itu.”

Allah...

Alangkah ngerinya. Namun disebalik itu terselit rasa takjub kekaguman, betapa hebatnya doa ini. tetapi balasan yang diterima amat berbaloi, walaupun dia tidak pernah melakukan sebarang kebaikan.

Hari ini, ramai orang yang tidak takut melakukan dosa. Buktinya, lihat senario yang berlaku. Betapa perlakuan jenayah yang berleluasa mengundang seribu kerisauan. Bunuh, rogol, samun, rompak, judi, rasuah, anak-anak muda merempit, terlibat dalam penyalahgunaan dadah, menjadi keldai dadah dan sebagainya.

Malahan apa yang berlaku hari ini di luar jangkauan pemikiran kita. Sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh akal kita. Bapa merogol anak kandung, anak pula memukul ibu bapa, malah ada yang sampai tahap meragut nyawa, suami main kayu tiga, isteri curang, hubungan kelamin sejenis dan banyak lagi.

Ada pula yang bukan sahaja tidak takut melakukan maksiat, malahan tidak malu atau segan melakukannya, mereka senang dengan palitan dosa. Mereka tidak bimbang kejahatannya diketahui orang lain. Bahkan ada yang berbangga dengan kejahatannya dan menayangkan dosa yang dilakukan. Bagi golongan ini dosa yang dilakukan seumpama lalat yang hinggap di atas hidung sahaja, ditepis, hinggap lagi lalu ditepis lagi. Sedangkan para sahabat terdahulu apabila mereka melakukan dosa, mereka merasakan seolah-olah Gunung Uhud mahu menghempap kepala mereka. Betapa jauhnya rasa prihatin antara mereka dengan kita.

Mengapa ini berlaku?

Apakah masyarakat hari ini telah dihinggapi penyakit keliru dalam pemikiran, sehingga tidak dapat berfikir dengan waras? Perbuatan yang baik dilihat tidak baik. Manakala maksiat dan dosa bagai tiada apa-apa, hanya sesuatu yang biasa-biasa sahaja.

Dosa pasti mengundang resah

Kejahatan mengundang dosa, sedangkan dosa adalah satu kejahatan. Apakah dosa? Dosa adalah getaran dalam jiwa dan takut perbuatannya dilihat atau diketahui orang lain.

“Daripada al-Nawwas bin Sam`aan ra, Rasulullah saw telah bersabda: “Kebajikan itu pada keelokan akhlaq. Manakala dosa kejahatan pula adalah pada apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat dan mengetahuinya.” (Riwayat Muslim)

Inilah panduan Rasulullah saw. Cukup mudah. Jika sesuatu yang kita mahu lakukan itu mendatangkan resah kepada diri, dan kita tidak mahu orang lain mengetahuinya. Insya-Allah, DOSA jua namanya perbuatan itu.

Sesungguhnya perkara dosa bukanlah suatu hal yang boleh dipandang ringan atau acuh tak acuh. Sebaliknya memerlukan kita sentiasa berwaspada dalam setiap tindak-tanduk, maka awaslah dalam gerak laku dan tutur bicara. Jangan sampai apa yang dilakukan menjadi dosa dan maksiat yang akan menempah azab Allah di akhirat.

Jalan kebaikan terlalu banyak. Maka isilah seluruh masa kehidupan dunia yang singkat ini untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin sebelum ajal menjengah. Janganlah sesekali merasa aman kerana terlepas hukuman di dunia lantaran berbuat dosa, kerana hukuman itu tetap menanti dan akan diterimanya di akhirat kelak.


Marilah kita menginsafi kehidupan ini. Segeralah bertaubat dan memohon keampunan-Nya setiap masa dan ketika. Mudah-mudahan pada hari kebangkitan nanti kita akan bertemu-Nya dengan membawa sekeping hati yang hening dan sejahtera. Seterusnya diperintahkan memasuki syurga-Nya yang dirindui itu.

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُواْ أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ اللّهُ وَلَمْ يُصِرُّواْ عَلَى مَا فَعَلُواْ وَهُمْ يَعْلَمُونَ أُوْلَـئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغْفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ 
“Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Ali Imran: 135-136).

Wednesday, 6 June 2012

Terima kasih Tuhan atas nikmat ini...


Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang berkuasa menghidup dan mematikan. Tuhan yang mencurahkan bermacam-macam nikmat, maka dengan nikmat-nikmat itu para hamba-Nya dapat mengecapi kemanisan hidup ini.

Allah, Dia yang sentiasa menebarkan kasih sayang kepada seluruh makhluk-Nya tanpa berkira-kita. Udara yang disedut dan dihembus, makanan yang dijamah, air yang diteguk bahkan segala macam keperluan hidup tetap dikurniakan walaupun tidak pernah dirintih dalam doa dan munajat.

Biarpun hamba itu taat dan patuh, ataupun hamba itu banyak berbuat keingkaran kepada-Nya, namun Dia sentiasa Maha Tahu cara untuk ‘berbuat baik’ terhadap hamba itu. Bahkan nikmat-Nya tetap dapat dicecah dan dicicip sedikit atau banyak, tidak pula Dia menahannya.

Marilah kita merenung dan sejenak, melihat menginsafi kehidupan ini. Menghitung setiap detik yang telah dilalui, betapa dosa sahaja yang banyak berbekas. Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat kepada amalan. Melainkan rahmat Allah jua yang menerbitkan keampunan. Dengan kasih sayang-Nya.

Seringkali kita melihat kesedihan dan kesusahan adalah musibah hidup, dan ianya adalah termasuk perkara yang amat tidak disukai. Mengapa? Mungkin kita silau dengan kelalaian hidup lantas kita tidak dapat menafsirkannya dengan pandangan mata hati. Sedangkan suka dan duka, kesusahan dan kepayahan itu jua adalah dari limpahan rahmat-Nya.

Berkata Syeikh Ibnu Atho`illah as-Iskandary : “Allah melapangkan bagimu, supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu, supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Ahh...Bukankah ini juga termasuk dalam nikmat-Nya yang besar!

Sesungguhnya Allah mengubah-ubah keadaan kita dari satu situasi ke situasi yang lain adalah dengan sifat kasih sayang-Nya. Seumpama dari sedih kepada gembira, dari sihat kepada sakit, dari kaya kepada miskin, agar kita sentiasa beringat bahawa kita adalah hamba-Nya yang lemah dan tidak berdaya, dan mengerti bahawa kita sentiasa berada di dalam ketentuan-Nya. Oleh itu, tidak dapat tidak kita akan sentiasa ingat bahawa kita berdiri di atas landasan LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH. (Tiada daya untuk mengelak sesuatu dan tidak ada kekuatan untuk melaksanakan sesuatu, kecuali dengan pertolongan Allah SWT)

Bagaimana keadaan seorang hamba yang tidak merasakan ini semua, dia merasakan dirinya bebas dari hukum ketentuan Tuhan. Tentu dia akan merasa sombong dan bebas melakukan dosa. Tidakkah akan binasa hamba ini?


“Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin. Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa pasangan kami, dosa zuriat kami, dosa kaum keluarga kami dan dosa umat Islam seluruhnya baik yang masih hidup dan yang telah mati.”

“Wahai Tuhan kami, kami pohonkan apa yang telah dipohonkan oleh Rasulullah saw dan kami meminta perlindungan dari apa yang telah diminta perlindungan oleh Rasullah saw.” 

“Ya Allah ya Tuhan kami, kami pohonkan syurga tanpa hisab dan berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan segala perkara yang boleh membawa kami ke arahnya, selamatkan kami ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.” 

LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH 

“Tuhan kami, berilah kejayaan kepada kami pada hari pertemuan dengan-Mu. Terimalah sembahan amal ibadat kami walaupun ia jauh dari kesempurnaan.” 

“Tuhan kami, bebaskanlah kekusutan yang melingkari benak kami, sebagaimana Engkau melepaskan burung-burung bebas di ruang-Mu. Tuhan kami, sematkan kesabaran didada kami sebagaimana Engkau memberikan kesabaran kepada kekasih-Mu.” 

“Tuhan kami, lapangkan hati nurani kami, sebagaimana Engkau melapangkan bumi ini kepada hamba-Mu yang berhijrah. Tuhan kami, kurniakanlah keluasan rezeki-Mu, sebagaimana Engkau meluaskan rezeki kepada makhluk-Mu yang terbang dan melata.” 

“Wahai Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami ini, mustajabkanlah doa kami ini dengan berkat nabi kami Nabi Muhammad saw dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas.”

“Ameen ya Rabbal `alameen...”

Sunday, 3 June 2012

Siapakah 'mereka' itu?


Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, ad-Darimi, al-Baqawardi dan Ibnu Qarni di dalam Majma`ush Sahabah, juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Tarikhnya, dan at-Thabarani dan al-Hakim, mereka meriwayatkan daripada Abi Jum`ah al-Anshari: “Berkata dia (Abu Jum`ah al-Anshari): “Aku bertanya; ya Rasulullah! Adakah suatu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami, padahal kami beriman kepada engkau dan kami mengikut akan engkau? Berkata baginda: “Apakah akan halangannya bagi kamu (buat beriman kepadaku), sedang Rasulullah ada di hadapan kamu, dan datang kepada kamu wahyu (langsung) dari langit. Tetapi akan ada lagi suatu kaum yang akan datang sesudah kamu, datang kepada mereka Kitab Allah yang ditulis di antara dua Louh, maka mereka pun beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang tersebut di dalamnya. Mereka itu adalah lebih besar pahalanya daripada kamu.”

Dikeluarkan oleh at-Thayalisi, Imam Ahmad dan Bukhari di dalam Tarikhnya, at-Thabarani dan al-Hakim, mereka meriwayatkan dari Abu Umamah al-Bahili: “Berkata dia (Abu Umamah al-Bahili), sabda Rasulullah saw: “Bahagialah bagi siapa yang melihat aku dan beriman kepadaku; dan bahagia (pulalah) bagi siapa yang beriman kepada, sedangkan dia tidak melihat aku (tujuh kali).”

Diriwayatkan pula oleh Imam Ahmad, Ibnu Hibban, dari Abu Sa`id al-Khudri: “Bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw; Bahagialah bagi siapa yang melihat engkau dan beriman kepada engkau.” Baginda pula menjawab: “Bahagialah siapa yang melihat aku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah bagi siapa yang beriman kepadaku, padahal dia tidak melihatku.”

Mereka itu adalah KITA, duhai sahabat-sahabat sekelian!

Kita tidak pernah bertemu dengan baginda, tidak pernah melihat wajah baginda. Kita hanya mendengar berita dan kisah baginda hanya melalui sirah-sirah baginda yang dikarang oleh para ulama. Kita hanya dapat melihat bekas-bekas sejarah di tempat tinggal baginda di Haramain. Sesungguhnya baginda telahpun meninggalkan kita lebih 14 abad yang lalu.

Namun, kita disebut sebagai sang bahagia semata-mata kerana cintanya kepada kita. Oleh itu, marilah kita buktikan pula rasa cinta kepada baginda. Rasailah dalam diri seolah-olah baginda masih ada dan kita adalah ‘mereka’ yang akan mempertahankan baginda.

Gugurkanlah titisan airmata tatkala mengenang cintanya. Tetapkanlah janji untuk melaksanakan sunnahnya dan menjadi umatnya yang terbaik.

Semoga kita dapat bertemu dengannya di hari akhirat nanti... I-Allah.

Peringatan buat jiwa saat fajar menyinsing


"Aku tidak memiliki sesuatu pun yang berharga yang merupakan modal untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat ini.Satu-satunya yang ada hanyalah umurku yang masih tertinggal dan tentunya tidak lama lagi. Jikalau umur ini telah habis, tentunya habis jugalah modal yang aku miliki. Yang ada hanyalah putus asa dan tidak mungkin memperolehi keuntungan sedikit pun.

Hari ini amat baru bagiku. Untung Allah SWT masih memberikan kelonggaran waktu padaku, memberikan nikmat yang besar padaku, bahkan ditambahkan pula nikmat itu dengan mengurniakan bekal untuk hidupku. Andaikata Allah SWT sudah mematikan aku, pasti aku berharap semoga aku dikembalikan lagi ke dunia sekalipun hanya untuk sehari sahaja, agar dapat beramal soleh dan menambah kebajikan sebanyak-banyaknya.

Hai jiwa, anggaplah seolah-olah engkau ini telah mati dan engkau kini baru dikembalikan ke dunia. Ingatlah dan berhati-hatilah, jangan sampai hari tambahan ini engkau sia-siakan, sebab setiap pernafasan yang engkau keluarkan ini adalah mutiara yang amat mahal sekali, tinggi nilainya dan tidak ada suatu benda pun yang cukup besar untuk dijadikan harganya.

Maka dari itu awaslah, hai jiwa! Jangan sekali-kali engkau bermalas, jangan leka, jangan sewenang-wenangnya, jangan sesuka hati, sebab jika itu engkau lakukan, pasti terlambat untuk engkau mencapai darjat kaum `illiyyin yag tinggi-tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT, Tingkatan yang tertinggi itu dapat dicapai oleh orang lain dan sekiranya engkau tidak menyusulnya, pastilah engkau akan merasa rugi untuk selama-lamanya, sekalipun engkau dapat masuk syurga. Perasaan rugi itu tidak akan berpisah dari dirimu, maka kesakitan kerana menyesal tadi tidak terhingga besarnya."

Dengarlah apa yang diucapkan oleh orang salaf: "Anggaplah bahawa orang yang berbuat jahat itu dimaafkan, tetapi bukankah ia telah terlambat sehingga tidak dapat memperolehi pahala besar yang dicapai oleh orang-orang yang baik kelakuannya."

Bukankah kata-kata ini menyatakan betapa ruginya dan betapa pula besarnya penyesalan bagi orang yang tidak berkesempatan berbuat kebaikan kerana umurnya hanya dilalaikan begitu sahaja.

Firman Allah SWT:

يَوْمَ يَجْمَعُكُمْ لِيَوْمِ الْجَمْعِ ذَلِكَ يَوْمُ التَّغَابُنِ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ وَيَعْمَلْ صَالِحاً يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ 
"(Ingatlah) hari (dimana) Allah mengumpulkan kamu pada hari pengumpulan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing dinampakkan kesalahan-kesalahan. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, niscaya Allah akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar." (At-Taghaabun: 9)

Hai jiwa, berhati-hatilah untuk selama-lamanya...

(Adaptasi dari Maud`izah al-Mukminin min Ihya` 'Ulumiddin)