Sahabat Sejati

Thursday, 31 May 2012

Ujian, semoga aku dekat pada-Mu...


Tidak semua perkara buruk mengiringi sebuah musibah. Adakalanya Allah SWT menjadikan musibah sebagai cara untuk menunjukkan kasih sayang-Nya. Pelik mendengar ungkapan ini, termanggu-manggu saya memikirkannya. Namun, kebenarannya tidak dinafikan.

Jika seseorang melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kita bersedih atau mendatangkan kesusahan kepada diri kita, tentu kita mengatakan bahawa dia telah berlaku zalim. Tetapi tidak bagi Allah, Dia menimpakan musibah kepada seseorang sebagai tanda kasih sayang-Nya. Ujian seseorang berdasarkan iman yang dimiliki. Semakin kental iman di dada, semakin berat ujian dan musibah yang tertimpa.

Daripada Said bin Abi Waqqas ra, beliau berkata: “Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling keras cubaannya? Baginda menjawab: Para Nabi, kemudian orang pilihan, dan orang pilihan lagi. Maka, seseorang itu akan diuji menurut agamanya. Apabila agamanya merupakan yang kuat, maka cubaannya juga berat. Dan apabila dalam agamanya ada kelemahan, maka dia akan diuji menurut agamanya. Tidaklah cubaan itu menyusahkan seorang hamba sehingga dia meninggalkannya berjalan di atas bumi dan tiada satu kesalahan pun pada dirinya.” ( Riwayat Ibnu Majah)

Apabila kita ditimpa sakit fizikal, sudah pasti kita akan bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Bahkan jika lebih parah, kita akan bertemu pula dengan doktor pakar. Bagaimana jika kita ditimpa sakit batin, kerunsingan yang membusung di dalam dada. Kepada siapakah kita akan mengadu? Tentulah kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Kita akan mengadu, merintih dan kembali kepada-Nya.

Kadang-kadang kita merasa kehilangan khusyuk dalam ibadat, lalu Allah SWT jentikkan sedikit ujian, ketika itulah bulatnya hati kita kepada-Nya. Lalu kita berdoa seperti kita sudah tiada siapa lagi selain-Nya. Ketika itulah bersungguhnya kita memohon, nikmatnya ketika sujud, nikmatnya menangis di hadapan Allah ketika bangun di tengah malam, merasa manisnya kekhusyukan dalam beribadat dan merasa manisnya iman yang ikhlas. Dan semua itu sukar untuk dimiliki melainkan ketika kita diuji dengan musibah.

Ibnu Abi Dunya menyebutkan daripada Ibnu Mas`ud ra. yang berkata: “Aku pernah duduk bersama Rasulullah saw, lalu baginda tersenyum. Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa engkau tersenyum?” Baginda menjawab: “Kerana hairan dengan keluh kesah seorang Mukmin kerana sakit yang dideritainya. Jika dia mengetahui apa yang ada di dalam sakit, maka dia akan lebih suka hingga dia bertemu dengan Allah.” (Ibnu Abi Dunya)

"Tiadalah seorang Muslim menderita kelelahan, sakit, kerisauan, kesedihan, seksaan, gelisah sehinga duri yang mengenainya melainkan Allah menghapuskan dengannya dosa-dosanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Sa`id dan Abu Hurairah)

Oleh itu rasakanlah di dalam sanubari, sesungguhnya kebanyakan ujian yang kita rasakan buruk kepada kita sebenarnya ia membawa kita dekat kepada Allah SWT.

Mudah-mudahan begitu kehendaknya...

Tuesday, 29 May 2012

Menanti hadirnya pembuka Kota Konstantinople zaman ini


Selasa 29 Mei 1453.

Hari itu sungguh syahdu. Tentera Islam melaungkan takbir dan tahmid sebagai tanda syukur dan gembira kerana berjaya menawan Kota Konstantinopel. Selepas berlaku pertempuran selama 53 hari dan setelah ramai yang gugur syahid. Akhirnya hadis Rasulullah saw menjadi kenyataan, sebagaimana sabdanya:

 لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجي
"Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya." [Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335] 

Saiyidina Ali kaw. pernah cuba menawannya tetapi tidak berjaya. Begitu juga Muawiyah pernah mencuba tetapi gagal. Khalifah Harun al-Rasyid yang terkenal itu juga gagal menawan Kota Konstantinopel. Taqdir Ilahi, Sultan Muhammad al-Fateh berjaya membukanya. Sesungguhnya Allah SWT telah memilih baginda, sebagaimana yang telah dimaksudkan dalam hadis nabi-Nya yang mulia.

Pada tarikh itu, baginda melangkah masuk ke dalam Kota Konstantinopel melalui pintu Erdine. Baginda memilih pintu tersebut kerana pintu itulah yang mula-mula sekali berjaya dibuka oleh tentera Islam. Melalui pintu Erdine, Kota Konstantinopel berjaya ditawan. Sejurus menjejakkan kaki ke dalam kota itu, baginda terus bersujud syukur. Kemudian baginda menadah tangan berdoa kepada Allah SWT: "Ya Allah! Kami bersyukur kepada-Mu. Jadikanlah kota ini kota Islam seluruhnya. Ramai syuhada yang terkorban kerana merebut kota ini. Tempatkanlah mereka di syurga dan ampunkanlah dosa-dosa kami yang masih hidup." Kemudian baginda menyapu debu-debu yang melekat di wajahnya.


Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada tanggal 29 Jun 1432 dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 pada usia 49 tahun. Baginda pergi ketika berada di puncak kegemilangan. Pemergiannya diratapi oleh seluruh umat Islam di dunia. Tetapi berita tersebut amat menggembirakan penganut Kristian. Apabila berita itu sampai ke Rom, Paus amat gembira dan memerintahkan gereja-gereja dibuka supaya orang ramai boleh bergembira dan berpesta. Mereka berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya sambil menyanyikan lagu-lagu kemenangan dan ketuhanan. Mereka berpesta selama tiga hari tiga malam. Pope Besar pula mengarahkan semua gereja membunyikan loceng selama tiga hari tiga malam sebagai tanda kegembiraan.

Semoga Allah SWT memberikan keampunan dan keredhaan serta berkenan melimpahkan segenap rahmat-Nya kepada Sultan Muhammad al-Fateh di atas jasa-jasa dan pengorbanannya yang besar itu.

Mungkinkah akan lahir seorang lagi Sultan Muhammad al-Fateh, sang pembuka Kota Konstantinople itu?

Milik kita...

Sekadar mengingat mereka yang lupa, menegur mereka yang lalai, membangunkan mereka yang tertidur. Sahabatku, ketahuilah Jerusalem saat ini sedang diterpa badai yang menggila. Sekonyong-konyong datang melanggar dari bahaya dan tipu daya Zionis.

Sesungguhnya Jerusalem itu bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, walaupun mereka adalah orang yang paling berhak ke atasnya. Bukannya juga semata-mata milik orang-orang Arab, walaupun mereka adalah orang-orang yang paling dituntut membelanya. Tetapi sahabatku, Jerusalem adalah milik setiap Muslim walau di mana dia berada, walau apa jua statusnya.

Infaqkanlah apa yang termampu, hatta jangan lupa berdoa untuk Palestin di dalam setiap solat. Mudah-mudahan Jerusalem dan al-Aqsa akan kembali menjadi milik kaum Muslimin, insya-Allah.

video
(Al-Aqsa nasheed)

Wednesday, 23 May 2012

Tunjukkan Aku Jalan Ke Syurga


Tajuk : Tunjukkan Aku Jalan Ke Syurga
Penulis : PANEL PENULIS MASTIKA
Penerbit : UTUSAN KARYA Sdn Bhd
M/S : 209
Harga : RM 12.90

Dalam hidup ini, kita sering berada di persimpangan. Jalan ke kiri atau ke kanan. Semua berliku, bersimpang-siur dan tidak diketahui hujungnya. Jika boleh, kita ingin memilih jalan yang akan menuju ke arah memenuhi tuntutan dunia. Kita mahu yang nampak di mata dan boleh disentuh, yang boleh membahagiakan hati dan nafsu.

Tetapi rupa-rupanya, hidup ini tidak begitu. Biarpun di pertemukan dengan simpang demi simpang, jalan yang bercabang serta berliku, kita hanya mempunyai satu jalan sahaja. Jalan itu adalah jalan yang lurus dan cerah hujungnya. Jalan yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat, bukannya di dunia sahaja. Jalan yang menenangkan dan menggembirakan iman, bukannya menggembirakan hati dan nafsu.

Demikianlah kisah yang dipaparkan di dalam buku ini. Ia kisah manusia yang mencari-cari jalan hidupnya, kiri atau kanan. Juga kisah manusia yang berbahagia apabila menuruti jalan yang ditetapkan oleh Allah dan yang menderita apabila menderhakainya.

Memaparkan 32 kisah-kisah menarik dan setiap satunya berkisar kepada pengalaman-pengalaman aneh, menakutkan serta menginsafkan yang dilalui oleh seseorang dalam perjalanan hidupnya. Sebahagian kisah-kisah ini pernah disiarkan di dalam majalah Mastika, manakala sebahagian lagi adalah cerita-cerita baru yang dipaparkan khas untuk buku ini.

"Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah." (Riwayat Darimi)

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang menciptakan!

Sunday, 20 May 2012

Aku cinta pada...


Cinta...

Sebuah perkataan yang memaknakan kehidupan manusia. Ia suatu perasaan jiwa yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja. Di dalam cinta terkandung kegembiraan, kebahagiaan dan ketenangan. Cinta juga dimaknakan dengan tarikan, keinginan dan keterikatan, kerana ia mengikat kepada sesuatu yang dicintai.

Seringkali kalimat cinta dilafazkan oleh seiapa sahaja tanpa batasan masa. Biarpun kadang-kala ia terungkap tanpa pengertian makna yang tersirat disebaliknya. Namun ia tetap akan terucap sehinggalah akhir usia dunia ini.

Cinta tidak mungkin dipelajari, kerana ia adalah fitrah perasaan semulajadi seorang manusia. Ia hadir dengan sendiri. Sebagaimana ibu bapa yang menumpahkan perasaan kasih sayang kepada anak-anak, perlukah kedua mereka mempelajari bagaimana perasaan kasih sayang itu? Semestinya tidak kerana perasaan kasih sayang itu hadir dengan sendiri. Semuanya anugerah Allah yang Maha Kasih Sayang.

Perasaan menyintai dan ingin dicintai adalah lumrah dan keperluan semulajadi manusia. Hati memerlukan cinta sebagaimana jasad yang memerlukan makanan dan minuman. Cinta akan membawa pemiliknya berusaha dan berkorban untuk mencapai apa yang dicintai. Apabila rasa cinta telah menyelinap ke dalam diri, maka bermulalah segala keindahan dalam kehidupan dan pada yang dicintai. Cinta memang indah kerana ia adalah ciptaan Yang Maha Indah iaitu Allah SWT. Bukankah Allah itu indah dan sukakan keindahan? Sesungguhnya keindahan Allah SWT terletak pada sifat-sifat kesempurnaannya.

Allah SWT menciptakan cinta, maka Dialah yang mengetahui rahsia cinta itu. Dia yang mengurniakan rasa cinta, Dia juga yang menganugerahkan ‘hukum’ cinta. Walau dimana dan apa jua keadaan, andai mematuhi ‘hukum’ cinta, maka ianya akan indah dan terpelihara. Cinta mestilah dibina atas dasar cinta kepada Allah atau lebih tepat cinta Allah mesti mengatasi segala-gala kecintaan.

Cinta yang hakiki 


Firman Allah SWT: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang disenangi, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, namun disisi Allah tempat kembali yang paling baik.” (Ali-Imran: 14) 

Adakah manusia dilarang untuk mencintai apa yang disebutkan dalam ayat di atas. Tentu sekali tidak! Kerana semuanya adalah nikmat kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya. Namun kecintaan kepada nikmat duniawi itu mestilah tidak mengatasi cinta kepada Allah.

Allah SWT tidak zalim, bahkan Dia melimpahkan sifat kasih sayang. Dia tidak menuntut hamba-Nya mencintai-Nya sehingga mengabaikan cinta yang lain. Ini kerana perasaan cinta adalah fitrah semulajadi seperti yang disebutkan dalam ayat di atas. Allah SWT tidak menghalangi cinta kepada sesiapa pun asalkan ia mengikut syariat.

Suami tidak dilarang mencintai isteri, bahkan ianya amat dituntut. Namun cinta kepada isteri janganlah sampai melebihi cinta kepada Allah. Mencintai sesama Muslim juga dituntut tetapi mestilah didasari dengan cinta kepada Allah. Semakin besar cinta kepada Allah, maka semakin kuat tautan ukhuwah sesama saudara seagama. Begitu juga dengan perkara-perkara yang lain, cinta kepada anak-anak, harta, emas dan perak, haiwan ternakan dan sebagainya mestilah didasari dengan cinta kepada Allah. Letakkan semuanya di bawah cinta kepada Allah SWT.

Sesungguhya cinta kepada Allah adalah pergantungan hati yang mutlak kepada-Nya sehingga melahirkan kedamaian dan ketenangan tatkala terasa diri dekat kepada-Nya. Manakala timbul perasaan resahdan gelisah ketika terasa jauh dari-Nya. Inilah nilai cinta yang hakiki, iaitu rindu kepada-Nya yang sentiasa menggetarkan perasaan.

Andai memiliki cinta seperti ini maka layaklah kita menyahut panggilan-Nya:

“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (al-Fajr: 27-30) 

Insya-Allah, mudah-mudahan...

Friday, 18 May 2012

Sukarnya menjadi guru di zaman ini


Guru, cikgu, murabbi, sifu, mudarris ataupun apa sahaja yang seerti dengannya adalah kalimat yang menyerlahkan di mata maupun di hati kemuliaan dan kehormatan. Tatkala kalimat ini dituturkan, maka sekilas rasa yang terlintas di benak manusia ialah rasa terhutang budi akan jasa-jasa mereka.

Sejak dari usia kecil saya telah dilingkungi insan-insan yang bergelar guru. Saya dapat menyaksikan betapa kehormatan diberikan kepada mereka, hatta walau hanya mengajar mengenal alif ba ta kepada anak-anak kampung. Mereka bukan hanya dihormati oleh anak-anak yang datang belajar mengaji saban malam, malahan turut dihormati oleh ibu bapa anak-anak tersebut. Penghormatan itu mereka tumpahkan melalui sikap dan laku, tutur bicara dan pertolongan yang mereka hulurkan kepada guru anak-anak mereka. Sedaya upaya hati guru anak-anak mereka dijaga. Jika boleh tidak mahu sekali-kali guru anak-anak mereka terkilan sehingga menimbulkan rasa jemu dan tidak senang kepada anak-anak mereka. Bimbang ilmu yang ditadah hilang keberkatannya.

Anak-anak sering diingatkan agar sentiasa ringan tulang membantu kerja-kerja tuan guru. Tujuannya ialah agar anak-anak mereka dikasihi dan disenangi oleh guru. Dari kasih sayang itulah mengalir ilmu yang penuh berkat dan membekas ke dalam jiwa anak-anak murid.

Benarlah pesan guru saya: “Separuh dari keberkatan ilmu adalah dengan kita mengamalkan ilmu, dan separuh lagi adalah dengan kamu menghormati guru-guru kamu.”

Saya masih ingat ketika kanak-kanak dahulu, selepas mengaji al-quran kami akan membantu memenuh air di dalam tempayan, menyapu sampah, menyiram tanaman dan sebagainya. Kami lakukan adalah semata-mata perasaan kasih dan curahan bakti kepada jasa guru yang mengajar.


Begitu juga jika ingin berpindah belajar di tempat lain, maka hendaklah meminta kebenaran dan dihalalkan segala ilmu yang dipelajari. Memohon kemaafan daripada guru, kerana tanpa disedari mungkin ada perkara-perkara yang telah dilakukan mengguris hati dan perasaan seorang guru. Guru adalah ayah dan ibu seorang murid di sekolah. Alangkah indahnya jika ibu bapa sentiasa berpesan agar anak-anak mereka menghormati dan menyayangi guru sebagaimana guru sentiasa berpesan kepada anak-anak muridnya agar menghormati dan menyayangi ibu bapa mereka.

Secebis rasa simpati

Inilah secebis lakaran potret wajah masyarakat yang pernah saya saksikan dahulu. Yang pastinya zaman itu telah berlalu. Jika adapun hanyalah seperti kabus pagi yang semakin menipis disimbah sinar mentari. Taqdir Allah kita kita hidup di zaman ini dan melihat wajah masyarakatnya.

(Mungkin saya tersilap) Sekarang kita hidup di zaman manusia berlumba-lumba menempatkan diri di celahan kebendaan. Kita hidup di zaman kebanyakan hati manusia sarat dengan berbagai-bagai keinginan. Lonjakan nafsu dalam diri memburu dan terus memburu beraneka kemahuan yang tidak bertepi. Terlihat hanya sedikit sisa ruang untuk mencintai ilmu dan keberkatannya.

Seringkali saya bersimpati dengan keadaan sebilangan guru hari ini. Ada yang terpaksa bertugas di luar waktu. Kadang-kadang, jika ada sesuatu yang tidak kena, mereka akan menjadi mangsa sindiran dan tempat melampias ketidakpuasan dengan cara yang kasar. Apa yang terbuku di hati dihamburkan dengan sewenang-wenangnya. Bukan mahu disanjung tetapi menegur biarlah secara beradab dan mengikut akhlaq yang baik.

Ada sesetengah tempat guru dipukul oleh murid-murid. Kereta dicalarkan, harta benda dirosakkan, sedangkan kita diajar untuk sentiasa menghormati guru. Apakah keberkatan ilmu bagi mereka sesuatu yang tidak pernah wujud dan tidak penting dipelihara? Apakah mereka tidak pernah mengerti dan memahami bahawa hati guru yang disakitinya itu akan membawa kepada tercabutnya keberkatan ilmu dari dada-dada mereka? Persoalan keberkatan ilmu sudah semakin terluput dari kamus kehidupan.

Bagaimana boleh dikesan ilmu yang tidak berkat sedangkan ilmu itu tidak berbicara? Kata guru saya: “Lihatlah sang murid itu tidak ghairah untuk beramal dengan ilmu yang ada dan orang ramai tidak berminat untuk mengambil ilmu daripadanya walaupun sang murid itu seorang yang alim lagi pandai.”

Mungkin ada contohnya di zaman ini...

Sukarnya...

Sukarnya menjadi guru di zaman ini. Ibarat seorang pedagang yang penat memikul barang dagangan di bahu namun masih banyak yang tersisa. Kadang-kadang langsung tidak dilayan walaupun sudah jauh berjalan. Jika barang dagangan dibeli pun setelah sekian lama tawar menawar dengan harga yang amat murah.

Salam penghormatan buat guru-guru yang taatkan Allah. Izinkan saya ungkapkan sekali lagi kata-kata: “Sukarnya menjadi guru di zaman ini.”

Sukarnya...


masih seorang murid,
abuikhwan

Tuesday, 15 May 2012

Ulangtahun peristiwa Nakbah

Nakbah membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera ‘The Star of David’ dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam? Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.

Hari Nakbah 2012, lancar jihad bebaskan Palestin
Harakahdaily, 15 Mei 2012


Kami menegaskan tahun 2012 seharusnya diisytiharkan tahun dilancar jihad fisabilillah membebaskan Palestin.

Ketegasan kami beralasan. Setelah sekian lama masalah Palestin menjadi seolah barah yang tidak boleh dirawat, maka tidak ada lagi pendekatan yang boleh dipilih selain dari jihad.

Ketika kami melihat pelbagai kenyataan dan sejumlah resolusi diluncurkan PBB sejak Perjanjian Oslo 1993 dimeterai sehingga sekarang, Israel tidak pernah tunduk kepada sebarang bahasa diplomatik.

Malah yang dilakukan oleh Israel lebih ganas dari sebelumnya. Dari pembesaran kawasan kediaman Yahudi di tanah Palestin yang hanya tinggal 22% dari asal sehingga melancarkan serangan militeri berterusan ke atas Tebing Barat dan Gaza, membunuh, memusnah dan merampas hak rakyat Palestin. Israel tidak sedikitpun gugur cirinya sebagai negara teroris.

Kami menegaskan Zionisme tidak mengenal erti taat kepada sebarang perjanjian. Sejarah jelas memperlihatkan Yahudi Zionis bukan sahaja melanggar perintah Allah malah sanggup membunuh Nabi-nabi Allah.

Inilah hakikat yang perlu diterima oleh pejuang pembebasan Palestin dan Masjid Al Aqsa bila berdepan dengan Zionis Yahudi.

Sejak tanah Palestin dirampas pada tahun 1948, baki kawasan yang tersisa untuk rakyat Palestin hanya tinggal tidak sampai 22% sahaja, itupun kawasan ini terdedah kapada pencerobohan dan bedilan bom dari jet pejuang.

Perjuangan Yasser Arafat untuk menuntut sempadan tanah sebelum 1967 seluas 44% dari kawasan Palestin yang asal tidak kesampaian, kini Mahmud Abbas menagihkan kawasan yang jauh lebih kecil untuk Palestin.

Tuntutan ini juga tidak dilayan malah sehingga bulan September 2011, proposal untuk Palestin diterima sebagai anggota penuh dalam PBB masih tergantung kerana 126 negara yang menyokong, kurang dua lagi undi untuk diluluskan dalam Sidang Umum PBB.

Malah Majlis Keselamatan sendiri tidak dapat menjaminkan kemasukan penuh Palestin sebagai anggota penuh PBB. Sehingga ini sebahagian anggota-anggota yang ada sekarang dalam Majlis Keselamatan ialah Bosnia dan Herzegovina , Inggeris, Perancis, Gabon, German, India, Nigeria dan Portugal yang masih belum menentukan sikap.

Jelas umat Islam tidak dapat berharap kepada PBB. Resolusi 181 yang dikeluarkan pada 29hb September 1947 yang mengisytiharkan kewujudan Israel adalah titik bermulanya musibah yang sambung-menyambung ke atas rakyat Palestin. Tanah Palestin dibahagi dua: untuk Yahudi 53% dan untuk Arab 43%. Pokoknya PBB telah menerima penjajahan.

Kejahatan global yang diterajui oleh Israel dan didukung oleh US tidak dapat dicabar dengan efektif oleh bahasa diplomatik. PBB yang lebih merupakan pertubuhan pengumpul resolusi paling maksima hanya mampu mengeluarkan kecaman, kritikan, dan kata-kata ultimatum yang tidak pernah dihiraukan oleh Israel.

Resolusi 106 dikeluarkan pada 29hb Mac 1955 yang mengutuk serangan Israel ke atas Gaza, Resolusi 111 dikeluarkan kerana mengutuk serangan Israel yang menyerang Syria, Resolusi 162 yang mendesak Israel mematuhi keputusan PBB, Resolusi 237 yang mendesak Israel membenarkan pelarian Palestin kembali ke tanah air mereka seperti sebelum 1967 dan banyak lagi.

Kami menyeru agar semua Persidangan Khas yang diadakan saban tahun oleh pelbagai pihak mengenai Palestin dan Al Quds menghantar suatu semboyan jelas iaitu Jihad Membebaskan Palestin dan Al Aqsa.

Peredaran masa 64 tahun sudah terlalu lama. Israel yang merupakan proksi US dalam merekayasa hegemoni kuasa Barat ke atas politik Asia Barat sangat terang dan jelas. Untuk mengharapkan negara-negara Barat mengembalikan hak Palestin adalah suatu kemustahilan. Malah untuk bergantung kepada pemimpin negara umat Islam yang terikat dengan kuasa Barat juga tidak menjanjikan harapan.

Kuasa sebenar berada dalam tangan umat Islam sendiri. Umat Islam yang tersusun dalam pelbagai organisasi massa dan NGO harus menggembleng seluruh tenaga dan sumber untuk melancarkan jihad dalam semua bidang untuk mengembalikan bumi Palestin dan Al Quds kepada kaum Muslimin.

Jihad ekonomi dengan melancar boikot kepada semua produk dan perkhidmatan yang secara langsung berkait dengan Israel. Ini termasuk seluruh syarikat yang berpengkalan di Israel. Tindakan memutuskan sebarang hubungan perdagangan dalam apa bentuk sekalipun hendaklah dilancarkan secara efektif.

Jihad sosial dengan memboikot seluruh acara sosial dan institusi sosial seperti universiti dan sebarang institusi yang yang berkait dengan pembangunan sosial. Ini termasuk dalam acara sukan dan industri hiburan.

Jihad politik iaitu melumpuhkan seluruh perjanjian yang dimeterai oleh negara dengan Israel dalam apa sahaja bidang perhubungan politik dan diplomatik.

Jihad ketenteraan dengan mendesak pemerintah negara-negara umat Islam menghantar tentera Islam ke Palestin untuk merampas kembali bumi Palestin yang ditakluki Yahudi Zionis.

Jihad teknologi iaitu dengan memastikan segala teknologi maklumat yang ada diguna untuk melancarkan serangan maklumat terhadap Israel. Teknologi maklumat perlu digunakan semaksimanya untuk mendedahkan persekongkolan antara US , British dan Israel.

Untuk semua medan jihad ini kami menegaskan bahawa sudah sampai masanya seluruh NGO dan gerakan Islam antarabangsa menumpukan seluruh tenaga dan sumber ke arah pembebas Palestin. Kekuataan kepakaran dan jaringan organisasi sosial, ekonomi, politik, gerakan alam sekitar, hak asasi manusia, undang-undang hendaklah dipusatkan sehingga realisasi pembebasan Palestin dapat dicapai.

Sempena peringatan Hari Nakbah 2012 ini kami mengesa bahawa mesej jihad sebagai satu- satunya jawapan kepada penaklukan Israel terhadap Palestin akan tercapai. Sindrom meluncurkan resolusi dan kata- kata tidak lagi boleh diharap lagi untuk membebaskan Palestin melainkan hanya dengan aksi jihad.

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agung MAPIM

Datin Aminah Zakaria
Yang Dipertua SALIMAH

Pandanglah sahabatmu...

Pesan guruku...


 Fikir-fikir dalam diri...

Thursday, 10 May 2012

Berhibur sebentar...

video

'Cinta Kristal' nyanyian oleh ustaz Zulkifli Ahmad seorang pendakwah, sambil diiringi petikan gitar oleh Sham Kamikaze. Program hiburan Islam ini telah diadakan di KIPSAS, Kuantan.

"Suara merdu anugerah Tuhan"

Kredit video: ONE UMMAH STUDIO

Wednesday, 9 May 2012

Diuji? Jadilah seumpama sungai itu...


Matahari hampir tegak di atas kepala sambil menebarkan cahaya kuningnya ke serata penjuru. Namun tidak terasa terik panasnya kerana terlindung dek pohon-pohon yang merimbun di atas tebing.

Dari tebing sebelah sini, saya melempar pandangan jauh ke tengah sungai. Keruh berkeladak warnanya menyimpan seribu rahsia alam. Arusnya yang berhanyut tenang perlahan-lahan, beriak-riak kecil dipupuk angin yang sekali-sekala berhembus. Di tepi kedua-dua tebing, pepohon dan rumpun-rumpun buluh subur menghijau, melengkapkan kedamaian yang hening.

Saya mahu mendekati hasil kerja Tuhan. Menghampirkan diri dengan alam yang indah ini. Sungai hutan hijau, tasik, rimba raya maupun laut yang terbentang. Semuanya adalah pencetus kedamaian dan keharmonian. Paling utama untuk menghadirkan rasa kekaguman kepada kebesaran Allah yang bersifat dengan Maha Bijaksana. Semua ini tidak mampu dirasa andai tidak dicelikkan mata hati, yang sentiasa menafsirkan apa yang tersirat.

Saya masih berdiri di atas tebing. Masih memerhati, masih berfikir.

Aliran sungai yang menghilir benar-benar memberikan ketenangan, terasa sejuk mata memandang. Begitulah Allah SWT menyebut syurga itu terdapat sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. Sungai menjadi metafora atau lambang kedamaian dan ketenangan.

Suasana yang hening tiba-tiba menghadirkan seribu mainan rasa. Lantas saya buka ruang untuk menghitung diri, menilai setiap episod kehidupan yang telah dilalui.

Sedikit demi sedikit fikiran saya menerawang ke langit lepas. Ingatan tertampar pada satu coretan seorang sahabat di alam maya. Mengapa hidupnya seringkali ditimpa musibah. Tidak sedikit ujian yang menjentik, sehingga mengundang rasa kecewa.

 Buntu.

Realiti kehidupan

Kata hukama:  
"Hidup manusia berada di dalam suatu pusingan roda yang di lalui oleh kemiskinan dan kekayaan, kelemahan dan kekuatan, kesedihan da kegembiraan. Oleh itu janganlah terpesona kerana bernasib baik dan janganlah berputus asa sekiranya bernasib buruk."

Benar sekali ungkapan mutiara hikmah ini.

Dalam perjalanan kehidupan ini kita tidak selalu memperolehi yang manis. Tidak juga selalu bertemu dengan orang-orang yang ramah dan baik hati. Bahkan jika kita menghitung, merenungi, tidak mustahil apabila yang pahit lebih banyak menjadi perisa hidup. Begitu juga yang jelek dan buruk, malah yang dibenci lebih banyak menghadang di sekeliling berbanding kemurahan dan kasih sayang.

Benar, hidup tidak sentiasa indah. Ada ketika berada di atas, seringkali pula tersungkur ke bawah. Umpama langit biru yang terbentang, ada ketikanya diselubungi awan mendung yang menghitam. Begitu juga tenangnya lautan, seringkali pula berkocak dek badai yang melanda. Itulah yang dinamakan roda kehidupan.

Kadang-kadang ujian datang tidak terduga. Di sebalik riang gembira, tiba-tiba terselit duka nestapa. Seketika kita bergelak ketawa, mencelah pula sendu tangisan yang tidak semena-mena. Semuanya jauh dari jangkaan, sedangkan ia telah pun tergenggam dalam aturan taqdir-Nya yang azali.

Perhatikan bagaimana orang yang ditimpa ujian. Sebahagiannya masih kuat berdada menongkah arus pancaroba dunia. Manakala ada sebahagian lagi yang kecewa dan tidak kuat menerimanya. Mereka menyangka tidak sepatutnya mereka dijentik ujian. Kenapa mesti mereka? Mengapa tidak orang lain? Itulah persoalan yang berlegar menyelinap di benak fikiran. Hematnya, mereka telah melakukan segenap kebaikan, taat dan patuh pada perintah-Nya. Lalu tidak sepatutnya mereka diuji. Akhirnya mereka ditimpa seburuk-buruk penyakit iaitu putus asa. Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan dengan firman-Nya:

"Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf: 87).

Setelah mereka mula berputus asa, mereka akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya iaitu berdendam dengan kehidupan. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang boleh memberi mudarat kepada diri mereka sendiri. Yang amat malang sekali apabila mereka mula merasakan telah dizalimi dan teraniaya oleh Tuhan. Taqdir hidupnya telah ditentukan oleh Tuhan yang zalim (na`udzubillah). Tidak mustahil, semua ini boleh berlaku tanpa sedar.

Menafsir ujian


Kita sentiasa diuji. Kita sendiri yang memandang apakah makna sebuah ujian. Menafsirkan ia satu kebaikan ataupun satu ketidakadilan. Dan kita tetap akan diuji selama mana nyawa masih di dalam jasad.

Ujian yang datang, umpama tiupan angin yang tidak boleh ditentu arahnya. Kiri atau kanan, dari hadapan, mungkin juga arah belakang. Namun bagaimanakah kita menyambut ujian itu, bagaimana kita menafsirkannya. Bagaimana kita menghadapi ujian adalah seperti layar perahu yang kita kemudi. Sudah tentu kita tidak boleh mengawal arah angin, namun layar perahu boleh dipandu. Ia yang akan menghalakan perahu arah mana yang dikawal. Oleh itu, mahu memandang ujian di atas realiti kehidupan secara positif atau sebaliknya adalah pilihan sendiri.

Namun demikian, sebagai Muslim yang beriman kepada Allah SWT, kita mempunyai pegangan yang kukuh bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Tidak lain dan tidak bukan kita menafsirkan kesusahan, kesedihan dan semua yang dipanggil musibah adalah pelajaran dari Allah SWT. Sesungguhnya ia adalah bahasa Tuhan untuk mengajar insan tentang sabar, redha, berlapang dada dan sebagainya.

Rasulullah saw bersabda: “Demi yang diriku ada ditangan-Nya, tidaklah Allah menetapkan suatu taqdir bagi orang Mukmin, melainkan taqdir itulah yang terbaik baginya. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur dan jika ditimpa mudharat dia bersabar dan itu merupakan kebaikan baginya, dan yang demikian itu tidak terjadi kecuali bagi orang Mukmin.” (Muslim dan Ahmad)


Belajar dari aliran sungai

Plopp...!

Tiba-tiba sebiji buah ara yang telah masak kekuningan gugur ke dalam sungai.

Lamunan terhenti, kembali ke alam hari ini.

Sehingga kini saya melihat sungai ini masih menghilir tanpa ada saat berhenti. Ia terus mengalir mengikut arah haluannya. Sudah lama benar ia mengalir.

Ya, saya mula belajar dari aliran sebatang sungai. Maju ke hadapan, mengalir dan terus mengalir. Biarpun ada bongkahan batu besar yang tegak ditengah-tengahnya, ia tidak akan berhenti mengalir. Jauh sekali untuk berpatah balik ke hulu. 

Itulah gambarannya. Kesabaran, kecekalan dan kegigihan. Berani berhadapan dengan ujian dan halangan. Mana mungkin dapat lari dari ujian kerana kehidupan itu sendiri adalah ujian.

Oleh itu, pandanglah ujian itu sebagai bahasa kasih Tuhan serta hadapilah ia dengan sabar dan tabah seperti aliran sungai itu. Insya-Allah.

Sungai Pahang masih mengalir.

Tuesday, 8 May 2012

Terkedu seketika, hmm...


Terkedu seketika...entahlah apa yang mahu dicoretkan.

Apa komen TG Nik Aziz sendiri dalam hal ini..

Dipetik dari FB TG Nik Aziz... “Saya ditunjukkan keratan akhbar muka enam NST hari ini. Saya tidak mahu memberikan apa-apa komen.”

Sabda Rasulullah saw:
“Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula dia menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh tidak demikian.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 6045)

Dan sabdanya lagi:
“Apabila seseorang mengatakan kepada saudaranya, “Wahai Kafir!”, maka hal ini akan kembali kepada salah seorang daripada kedua-duanya.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 6103)

 *Semoga yang mengeluarkan kenyataan ini memohon maaf kepada empunya diri serta memohon keampunan kepada Allah SWT...

Monday, 7 May 2012

HAI DARLING!


Suami umpama ‘menteri luar’, isteri pula umpama ‘menteri dalam negeri’. Suami dan isteri ibarat tangan kanan dan tangan kiri, ibarat malam dan siang. Saling melengkapi. Tempatnya tetap di ruang khas (di sisi), bukan di atas dan di bawah! 

Ada ke patut, kita sungguh-sungguh nak pertahankan nilai-nilai romantis yang semakin pupus dan menipis ni dikatakan bikin jenaka murahan? Ada ke patut, kita berjuang bermati-matian nak menyebut perkataan keramat I LOVE YOU dan Hai Darling! kepada pasangan setiap hari dan berkali-kali ni dikatakan sudah buang tabiat? Leceh betul. Kot ya pun support la sikit usia mulia ni.....

Sesekali anak-anak yang enak ‘dirasuk’ hantu ini ‘melawan’ juga apabila pelbagai peraturan dan undang-undang saya buat tidak menepati ‘selera’ mereka. Namun saya memahamkan mereka, tugas saya ini bukan saja-saja seronok tapi AMANAH yang akan ditanya di akhirat kelak.

Betapa tidak seriusnya kita dengan solat. Betapa cuai dan main-mainnya kita terhadap ibadat solat. Bayangkan, usia kita sudah semakin sampai ke penghujung, tapi kualiti solat kita masih macam budak tadika. (Petikan kulit belakang)

Tajuk : HAI DARLING!
Penulis : Badrul Hisham Shari
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
M/S : 183
Harga : SM 19.00 / SS 21.00

HAI, DARLING! adalah koleksi artikel sketsa rumah tangga yang mencuit hati dan menjentik minda. Dengan gaya bahasa yang bersahaja dan bersulamkan kartun yang bermesej, buku ini amat sesuai dan dekat dengan semua golongan – suami isteri, ibu bapa dan anak-anak.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Saturday, 5 May 2012

Seorang hamba


Tuhan...

Dalam letih aku merintih 
Dalam gundah aku menadah 
Dalam sendu aku merayu 
Selautan kelalaianku 
Segunung dosaku 

Betapa jeleknya seraut amalku 
Bersama serpihan ego kesombonganku 
Betapa dhaifnya munajat sembahanku 
Seringkali pula tercalar keikhlasanku 

Tuhan... 

Engkau yang berfirman dengan ar-Rahman dan ar-Rahim 
Tidak terhitung limpahan kasih yang dicurah 
Tidak terjangkau luasnya keampunan yang dianugerah 
Dalam suram dan kelam masih jua terselit hidayah 
Berapa pula nilai syukurku mahu ditadah 

Tuhan... 

Akan kuterus mendaki kasih-Mu nan tinggi 
Mengemis simpati cinta-Mu yang hakiki 
Merengkuh kasih sayang-Mu yang sejati 
Biarpun ukiran taubat seringkali kuruntuhkan 
Biarpun janji-Mu sering kupinggirkan 
Tidak pernah pula ku berputus asa 
Tidak pernah pula aku berbisik kecewa 
Gelombang mujahadah yang membadai kulayari 
Lautan rahmat-Mu luas tiada bertepi 

Tuhan...
Syukur, Alhamdulillah 

Seorang hamba, 
abuikhwan
05 Mei 2012/6.45ptg

Al-Fatihah, kematian itu pasti


Semalam kita dikejutkan dengan pemergian pelakon dan pelawak iaitu Husni bin Mohd Rawi atau lebih dikenali dengan Bob Kuman. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.38 petang semalam.

Kematian artis komedi ini yang berusia 40 tahun disahkan jururawat yang menjaganya sejak 15 April lalu, Mohd Farid Hamzah.

Bob dilaporkan pernah berkata tahap kesihatannya menurun sejak terjatuh di set penggambaran drama “Jangan Pandang Belakang Congkak” di Hulu Langat tahun lalu.

Jenazah beliau dimandi dan disembahyangkan di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor sebelum dibawa ke rumah keluarga arwah di 1763 Kampung Sega Tengah, 71200 Rantau Negeri Sembilan untuk dikebumikan di sana.


Hari ini pula saya dikejutkan dengan berita kedua, pemergian sahabat sekampung yang juga teman sepermainan semasa kecil. Difahamkan beliau mati lemas kerana terjatuh ke dalam sungai semasa memancing. Benar-benar terkejut, semacam sukar untuk mempercayai berita ini tatkala ia singgah di telinga.

Saya tidak banyak kenangan dengannya kerana hanya sempat bersekolah di peringkat rendah. Selepas itu kami terputus hubungan setelah saya berhijrah ke tempat lain. Namun begitu persahabatan kami tidak terputus, seringkali saya berbual dengannya tatkala bertemu sewaktu pulang ke kampung.

Al-Fatihah buat Bob dan sahabat saya...

Saya bermuhasabah diri, yakin dan percaya semua ini mengingatkan saya bahawa kita boleh mati bila-bila masa sahaja. Esok? Lusa? Beberapa minit lagi? Mati tidak mengenal usia tua atau muda, miskin atau kaya. Yang sihat atau sakit. Yang bekerja atau sedang belajar. Bila tiba masa kita, Malaikat Maut pasti menjelma dan merentap nyawa kita. Tatkala itu, tiada apa yang berguna. Mahu menjerit minta ditangguhkah saat kematian kita?

Sahabat-sahabatku, sementara masih diberikan masa, sementara badan masih bernyawa, marilah kita sama-sama menyemai seberapa banyak amalan yang akan dibawa. Taat dan patuh pada perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya.

Insya-Allah, mudah-mudahan kita semua menjadi insan yang terpilih untuk menerima rahmat-Nya di akhirat nanti, di saat tiada sebarang pertolongan melainkan dengan izin-Nya.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan di masukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali-Imran: 185)

Thursday, 3 May 2012

Malasnya...

Pesan guruku: “Bisikan syaitan yang paling mudarat pada seseorang itu ialah perasaan malas. Apabila terasa malas pada waktu ketika kita sepatutnya mengerjakan sesuatu, sedarlah kita sedang melayan bisikan syaitan. Apabila kita melayan bisikan syaitan, pelbagai khayalan akan bermain di minda. Tangguh dahulu, tidur sebentar, bancuh kopi dulu, layar internet dulu, tunggu rancangan televisyen tamat dahulu, rasa nak ke tandas, telefon berbunyi dan sebagainya. Petua mengatasinya mudah, SENYUM dan kuncikan minda dan teruskan dengan kerja yang sepatutnya dilakukan. Selepas 5 minit, insya-Allah bisikan syaitan akan menghilang, dan kita akan mendapat momentum untuk menghabiskan tugas yang ada di tangan.”

Malas sebenarnya berpunca dari syaitan. Syaitan melatih nafsu manusia agar menjadi malas sama ada malas beribadat atau malas menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

يعقد الشيطان على قافية رأس أحدكم إذا هو نام ثلاث عقد يضرب مكان كل عقدة عليك ليل طويل فارقد فإن استيقظ فذكر الله انحلت عقدة فإن توضأ انحلت عقدة فإن صلى انحلت عقدة فأصبح نشيطا طيب النفس وإلا أصبح خبيث النفس كسلان 
“Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan. Sambil syaitan berkata pada setiap ikatan, ‘malam masih panjang maka tidurlah’. Apabila seseorang kamu terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan sekiranya ia solat nescaya terlerailah semua ikatan. Maka ia bangun waktu pagi dalam keadaan rajin cergas serta baik hatinya. Jika ia tidak (melakukan begitu), nescaya ia bangun pagi dalam keadaan buruk jiwanya sambil rasa malas.”

Marilah kita saling-mengingatkan orang di sekeliling kita yang kelihatan malas, berkata malas untuk mengerjakan sesuatu, terlalu santai sehingga lalai bahawa mereka sedang melayan bisikan syaitan yang dahsyat.

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (HR Abu Dawud)

“Malasnya nak menulis kebelakangan ini. Mungkin saya juga sedang melayan bisikan syaitan, nad`uzubillah...”