Sahabat Sejati

Saturday, 31 March 2012

Motivasi pagi: Cermin diri


Apa rasanya disalah erti?

Sedih...
Kecewa...
Memberontak...

Letih mahu membetulkan tanggapan orang terhadap kita, sedangkan ruang untuk membetulkan persepsi itu terkunci kemas. Kita meraba-raba mencari sejalur harapan agar dapat dikembalikan kekuatan hati yang telah pun merudum, jatuh terhenyak.

Kita selalu merasakan bahawa kitalah yang paling baik, paling benar, paling hebat, paling bagus dan berbagai-bagai paling lagi yang mendodoi-dodoi hidup. Yang tidak benar adalah mereka, yang tidak bagus adalah mereka, yang tidak baik adalah mereka dan seribu satu kekurangan lagi adalah mereka.

Marilah melihat tembus ke dalam diri. Marilah bersikap adil. Adil kepada diri sendiri, adil kepada rakan, adil kepada kawan dan adil kepada lawan. Pastinya bukan sesuatu yang mudah saat keegoan masih lagi berbaki memayuti di dinding hati.

Sesungguhnya hidup ini penuh rahsia dan tandatanya. Masih banyak yang belum terjawab, apatah lagi untuk memahaminya. Apa yang dapat ditafsir hanyalah yang tersurat di depan mata. Namun, itulah yang sering menjadi tafsiran biarpun kebenarannya belum pasti.

Teman, marilah melihat cermin diri sendiri sebelum mengundang tanggapan terhadap diri orang lain.

Ya, saya cuba melihat cermin diri saya.

Susah, tetapi...Insya-Allah.

Tuesday, 27 March 2012

Bicara santai: Bahasa kehidupan...


Kehidupan adalah anugerah Allah SWT. Ia nikmat yang tidak terperi. Tetapi perjalanannya tidak mudah diduga kerana bahasanya bisu. Adakalanya tampak mudah, seringkali pula kelihatan sulit dan sukar. Ia tidak bisa dilihat, apalagi mahu menyentuhnya. Namun, kita dapat merasai dan menikmatinya. Kadang-kadang ia menyebabkan kita leka dan lalai tatkala langkah kaki tidak terarah.

Kehidupan adalah pergiliran di antara senyum dan ratap. Ada ketikanya ia memberikan kesedihan dan menahan kegembiraan. Begitu juga, adakalanya ia membuka lorong kebahagiaan dan menyisih duri-duri kedukaan. Adakalanya ia menetapkan sesuatu menjadi milik kita, tidak kurang juga ia menjadi milik orang lain. Setiap masa silih pergantian berlaku, ia adalah lumrah dalam sirah kehidupan.

Kehidupan sentiasa menghidangkan talam-talam ujian. Ia tidak pelik kerana kehidupan itu sendiri adalah satu ujian. Kita tidak mampu menghindari ujian. Tanpa di duga, terlalu banyak mehnah yang berkeliling memayuti, sedangkan kita bukanlah manusia yang kuat menahan asakannya. Ada yang mampu tersenyum kerana terdaya menahan lelah keperitannya dan ramai pula yang tersadung kaki jatuh berputus asa. Sesekali dirundung resah kekecewaan, sakitnya umpama melompat dari pesawat yang sedang membelah awan tanpa dibekali payung terjun, lalu jatuh terhempas hancur berkecai. Begitulah jika mahu di ibaratkan.

Kehidupan adalah bukti kasih sayang-Nya. Tanpa kehidupan entah bagaimana kita mahu menyediakan bekalan. Tanpa bekalan layakkah kita mahu berhadapan dengan-Nya nanti. Lalu kita dianugerahkan kehidupan agar dapat menyediakan bekalan sebanyaknya. Namun, tidak ramai yang melihat kehidupan adalah anugerah dari sifat kasih sayang-Nya. Mengapa begitu? Jawabnya mudah. Seringkali kita silau dengan kasih sayang sesama manusia sehingga melupakan kasih sayang-Nya. Seringkali kita terhutang budi dengan cinta kasih sesama manusia, sedangkan kasih sayang-Nya luas bagaikan lautan yang tidak bertepi tidak kita sedari.

Kehidupan adalah satu perjuangan. Tiada kejayaan yang mampu diraih tanpa perjuangan. Perjuangan memerlukan keringat dan air mata, adakalanya menumpahkan darah kesakitan. Sesungguhnya semakin kita berjuang untuk kehidupan, semakin kita menemukan erti kehidupan sebenar. Setiap dari kita perlu berjuang untuk mengecapi kebahagiaan. Tetapi berjuang untuk kebahagiaan hidup selepas kehidupan ini adalah yang utama.

Sesungguhnya perjalanan kehidupan yang jauh dan panjang ini memberikan kita selautan pengajaran dan pengalaman hidup. Ia mengajar kita erti ketabahan dan kekuatan. Jika dengan pengajaran yang terbentang luas ini kita masih lagi mematungkan diri dalam kedegilan, masih tersisa keegoan walaupun sebesar debu, maka kitalah yang akan menanggung kerugian. Seandainya jasad yang akhirnya akan menjadi tanah ini kita hiasi dengan kesombongan, kemegahan dan tidak mahu berpaling kepada ketaatan kepada-Nya, kitalah yang pasti akan menanggung bebanan di akhirat kelak. Ketika itu penyesalan tidak berguna lagi.

Nikmatilah kehidupan ini dengan sepenuh ketaatan kepada-Nya, pasti bahagia!

Sunday, 25 March 2012

Rileks sekejap...

video

Suara merdu anugerah Tuhan...

Saturday, 24 March 2012

Mengenang Syeikh Ahmad Yassin (Amir Syuhadah) 1938 - 22 Mac 2004


Namanya tidak asing lagi kepada umat Islam seluruh dunia, apatah lagi yang sering mengikuti perkembangan mutakhir di bumi Abiya` (Palestin). Ia satu nama besar yang amat digeruni oleh regim Israel yang berusaha untuk menghapuskannya, walaupun keadaan fizikalnya yang tidak normal seperti manusia lain.

Kehidupan awal

Syeikh Ahmad Yasin atau nama penuhnya Ahmed Ismail Hassan Yassin dilahirkan pada tahun 1938 di sebuah kampung bernama al Jora, daerah Majdal dalam wilayah Asqalan. Beliau dibesarkan di sana sehingga tahun 1948. Semasa pendudukan regim Zionis Israel ke atas bumi Palestin, beliau dan keluarga dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan amat disayangi oleh guru-guru semasa di sekolah. Beliau juga seorang ahli sukan yang aktif pada zaman persekolahannya. Di zaman mudanya, beliau telah ditimpa kemalangan, iaitu terjatuh semasa beriadah dan menyebabkan beliau lumpuh pada bahagian kakinya. Keadaan yang lumpuh itu tidak menghalang beliau meneruskan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan kegiatan aktiviti-aktiviti Islam.

Pada tahun 1964, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Ain Shams di Kaherah, namun pengajiannya di universiti tidak sampai ke penghujung apabila telah dipenjara oleh pihak berkuasa Mesir selama sebulan di atas penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dasyat lagi beliau telah dihantar pulang oleh pihak berkuasa Mesir ke Gaza tanpa sempat menyelesaikan kuliahnya.

Kepulangannya ke Gaza, telah menyaksikan beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai tenaga pengajar Bahasa Arab dan juga khatib di Masjid Gaza. Khutbah-khutbah beliau telah berjaya membangkitkan semangat umat Islam Palestin untuk melawan pendudukan regim Zionis pada tahun 1967. Dalam suatu khutbahnya, Syeikh Ahmad Yasin pernah berkata:

“Umat ini tidak akan pernah memiliki kemuliaan dan meraih kemenangan kecuali dengan Islam. Tanpa Islam tidak pernah ada kemenangan. Kita selamanya akan selalu berada dalam kemunduran sampai ada sekelompok orang dari umat ini yang siap menerima panji kepimpinan yang berpegang teguh kepada Islam, baik sebagai cara hidup,sahsiah, pergerakan, pengetahuan, mahupun jihad. Inilah satu-satunya jalan. Pilih Allah atau binasa!

Khutbahnya yang dengan mesej kembali kepada kemuliaan Islam telah memikat hati pendengar di kalangan penduduk tempatan, terutamanya selepas pendudukan regim Zionis ke atas Gaza.

Sekitar tahun1969 dan 1970 beliau telah menubuhkan Gerakan Ikhwan Muslimin di Gaza yang semakin berkembang pesat dan diterima oleh masyarakat di situ. Manakala pada 1973, beliau bersama sahabat-sahabatnya telah menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberi nama Mujamma Al-Islam yang bermaksud Akademi Islam. Melalui pertubuhan ini, beliau aktif membangunkan masjid-masjid, serta membina imam-iman dan para khatib muda untuk menjadi hujung tombak dalam perjuangan Palestin melawan pendudukan regim Israel.

Pertubuhan ini juga aktif menyantuni golongan yang miskin di samping mengurus pendidikan anak-anak Palestin sehingga ke peringkat universiti. Beliau aktif mendidik dan membina generasi muda Palestin untuk berjihad melawan regim Zionis.

Cita-cita untuk melihat Islam didaulatkan

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan situasi Palestin saat itu berterusan dizalimi oleh Zionis Israel sehingga menuntut mereka untuk berjihad melawan penjajah, beliau bersama anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan al-Mujahidun al-Falastiniyun pada tahun 1982.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Mahkamah Tentera Israel selama 13 tahun atas tuduhan memiliki senjata api dan cuba menggugat kerajaan Zionis Israel. Namun pada tahun 1985, hasil daripada proses pertukaran tahanan di antara PLO dan regim Israel, beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Pada tahun 1987, Syeikh Ahmad Yasin dan sahabat-sahabatnya telah menubuhkan Gerakan Pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS bagi memerdekakan Palestin dan Masjid al-Aqsa. Ruhul jihad yang telah ditanamkan oleh Syeikh Ahmad Yasin kepada generasi muda Palestin melalui proses tarbiyah yang tersusun, telah mencetuskan kebangkitan umat Palestin melawan penjajahan Zionis Israel. Pada Disember 1987, gerakan massa yang dipelopori anak muda Palestin telah mencetuskan gerakan Intifadhah yang bermodalkan batu melawan tentera regim Israel yang lengkap dengan senjata canggih.

HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak perjanjian damai sementara antara Israel dan Palestin pada tahun 1993 – 1994. Mulai tahun 1994, HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel, fenomena ini menjadi igauan ngeri kepada regim Zionis.

Pada 6 September 2003, sebuah helikopter Apache milik tentera regim Zionis membedil bangunan tempat mereka sedang bermesyuarat, namun beliau terselamat. Begitu juga serangan yang berlaku bilamana helicopter Apache milik regim Zionis telah membedil dan merobohkan rumah beliau, namun beliau hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya.

Namun pada Subuh 22 Mac 2004, tentera Israel sekali lagi melancarkan serangan ke atas beliau. Semasa dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat Subuh berjamaah, tiga buah roket dilancarkan ke atas beliau yang lumpuh itu dan mengorbankan Syeikh Ahmad Yasin serta empat yang lain, termasuk anaknya sendiri, Abdul Ghani.

Pembunuhan ini adalah rantaian konpirasi mereka untuk mengendurkan daya juang umat Islam di Palestin, dalam sejarahnya terlalu banyak siri-siri serangan yang telah dilakukan. Beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid di bunuh oleh regim Zionis.


Qudwah Ummah

Syeikh Ahmad Yasin bukan sahaja dihormati dan dikagumi oleh umat Islam Palestin dan antarabangsa, bahkan juga amat dihormati oleh penganut agama lain. Suatu ketika ada seorang penganut Kristian di kota Ramallah bernama Bassam Hana Rabbah datang menemui Syeikh Ahmad Yasin untuk mengadukan permasalahannya kerana ada seseorang di Gaza melakukan penipuan terhadap dirinya. Syeikh Ahmad Yasin yang juga pimpinan Dewan Islah (perdamaian) dengan bijaksana mampu mendamaikan antara Bassam Hana Rabbah seorang Kristian dengan seseorang yang telah melakukan penipuan. Kata Hana Rabbah: “Beliau menguruskan permasalahan aku dengan benar dan serius, bahkan mampu bersikap adil terhadapku. Hak-hak aku pun telah dikembalikan untuk aku nikmati. Sebagai tanda terima kasih, sebahagian hartaku diberikan kepada Dewan Islah.”

Sebagai seorang kepimpinan Islam dan tokoh umat, kehidupan Syeikh Ahmad Yasin cukup bersederhana. Anak perempuannya, Mariyam Ahmad Yassin telah menceritakan tentang corak kehidupan ayahnya:

“Rumah ayah terdiri dari 3 bilik dengan jendela yang sudah rapuh. Rumah ini sangat sederhana sekali. Ini fakta bahawa ayahku tidak mencintai dunia, namun cintakan akhirat. Ramai yang menawari beliau untuk memiliki sebuah rumah besar seperti para kepimpinan negara yang lain, namun ditolaknya. Bahkan pernah suatu ketika, kerajaan Berkuasa Palestin memberikan sebuah rumah besar di suatu kampung mewah di Gaza, Namun tawaran itupun di tolaknya, dan ayah tidak peduli dengan perbagai bentuk tawaran kesenangan duniawi.

Rumah kami sangat sempit. Tidak ada lantai, dapur pun ala kadarnya. Jika musim dingin, kami kedinginan. Namun jika musim panas tiba, kami pun kepanasan. Ayah sama sekali tidak memikirkan untuk menambah besar rumahnya. Ayah justeru sibuk mempersiapkan rumah di akhiratnya. Walau apapun keadaan kami, Alhamdulillah, kami cukup sabar, kerana kami percaya, Insya-Allah, kami akan melihatnya lagi di syurga-Nya nanti. Untuk itulah kami juga sangat berharap beroleh mati syahid seperti beliau.”

Syeikh Ahmad Yasin telah meninggalkan medan perjuangannya. Namun ketiadaan beliau tidak menghentikan semangat dan perjuangan para pewarisnya di bumi Palestin. Menurut Syeikh Saud Abu Mahfuz, Ketua Jawatankuasa Gabungan Antarabangsa Untuk Al Aqsa, melalui proses tarbiyah dan ruh Al-Quran yang dibangkitkan oleh Syeikh Ahmad Yassin sejak 50 tahun yang lalu, kini Gaza adalah kota Islam yang terbanyak melahirkan ribuan para penghafal Quran.

Menurutnya, tidak kurang ada 60,000 hafiz al-Quran di Jalur Gaza. Selain itu, bandar Gaza yang terus dikepung oleh regim Israel dengan dukungan Barat ini juga menjadi bandar terkecil dengan jumlah masjid yang terbanyak di Timur Tengah. Menariknya, kini hampir 100% wanita Muslimah di Gaza telah berjilbab. Semua ini terjadi, ujar Syeikh Saud, kerana berjalannya proses tarbiyah berpaksikan al-Quran.

Beliau pernah berkata:

Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah SWT, meninggalkan pelbagai sorak kehidupan dan menyingkirkannya ke tepi jalan. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh berjamaah, saatnya kalian menghiasi diri dengan akhlak mulia, mengamalkan kandungan Al Qur’an, serta meneladani Muhammad SAW.
Aku mengajak kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat waktu. Lebih dari itu, aku mengajak kalian, wahai anak-anakku, untuk mendekatkan diri kepada Nabi kalian yang agung.

Wahai para pemuda, aku ingin kalian mengenal dan menyedari makna tanggungjawab, tetap utuh menghadapi kesulitan hidup, meninggalkan keluh kesah, menghadap kepada Allah SWT, banyak meminta ampunan kepada-Nya agar Dia memberi rezeki kepada kalian, menghormati yang tua dan menyayangi yang muda. Aku ingin kalian tidak terlena oleh saluran-saluran lagu audio visual, melupakan kata-kata yang membisikan cinta nafsu, serta menggantinya dengan kata amal, kerja, dan zikir kepada Allah. Wahai anak-anakku, kuharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan terjerumus ke dalam arus syahwat.

Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada Allah mempergunakan hijab secara benar. Aku meminta kalian berjanji kepada Allah peduli dengan agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian membuatkan mata para pemuda menjadi kendur dan surut tatkala melihat aksi kalian.

Kepada semuanya, aku ingin kalian bersiap-siap menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dalam beberapa saat hidup tanpa elektrik dan tanpa kebergantungan dengan kemudahan elektronik. Latihlah diri kalian agar dalam sementara waktu merasakan kehidupan yang keras. Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. Carilah sebab-sebabnya dan tawakallah kepada Allah.”

Selamat jalan duhai Amir Syuhadah, kami tetap merinduimu dan berjanji untuk meneruskan jihad yang mulia ini. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kami sebagaimana darah yang mengalir dalam diri pejuang terdahulu.

(Adaptasi dari buku Tokoh-tokoh Gerakan ISLAM Abad Moden)

Friday, 23 March 2012

Bicara santai: Jadilah yang cerdik


Kehidupan adalah perjalanan masa. Kita telah memulakannya sejak hari pertama dilahirkan, seterusnya kita melewati perjalanan hari-hari itu. Ia terus berlalu dan tidak akan sekali-kali berpatah balik ke belakang. Masa adalah usia, ia nikmat yang tidak terperi.

Kita tidak pernah mengira berapa tarikan dan hembusan nafas, sedangkan pasti ada nafas yang terakhir. Kita tidak pernah menghitung pejam dan celik kerdipan mata, akan tetapi pasti ada kerdipan yang terakhir. Kematian akan menjengah di antara tarikan dan hembusan nafas. Begitu juga di antara pejam dan celik kerdipan mata. Seolah-olah sebentar sahaja kehidupan ini.

Benar, usia kita tidak lama. Umpama musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah rimbunan pohon dalam kembara yang jauh. Seperti itu rasanya.

Tatkala menempuhi kematian, maka bermulalah detik perpisahan dengan dunia dan bermulalah pula kehidupan baru di alam barzakh.

Berkata Saiyidina Ali kaw: “Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka terjaga.”

Sungguh dalam dan menusuk kata-kata ini. Apabila seseorang itu telah mati maka barulah tersingkap hakikat kehidupan. Ketika itu barulah tersedar nilai kehidupan sewaktu hidup di dunia dahulu.

Alangkah gelapnya tiada cahaya, alangkah sunyi tanpa hiburan dan kemeriahan. Jasad terdampar keseorangan berlantaikan tanah, berbumbungkan tanah jua. Tanpa teman, tanpa saudaranya atau sesiapa. Yang setia menemani hanyalah amal yang diusahakan di dunia dahulu. Bagaimana jika di dunia dahulu kita seringkali mencuaikan perintah beramal. Maka hadirlah sekujur lembaga yang hodoh, busuk dan menakutkan seraya berkata: “Akulah amalmu di dunia dahulu!”

Seperti mana di dunia masa tidak boleh diundurkan kembali, maka sama juga di alam kubur. Oleh itu, tanggunglah kesakitan akibat dari kesombongan dan kelekaan di dunia dahulu.

Segala-galanya sudah terlambat, jika di alam kubur baru tersedar dan menyesal. Semuanya sudah tidak berguna lagi. Maka bertaubatlah sementara masih diberi kesempatan. Oleh itu, marilah kita menjadi orang-orang yang cerdik sebagaimana yang disebut oleh junjungan mulia Nabi Muhammad saw di dalam hadisnya.

Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma berkata, bahawa ketika dia sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah saw lalu datang seorang lelaki Ansar memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah: “Siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?” Jawab Rasulullah saw: “Orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia.”

Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?” Jawab Nabi saw: “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Muhasabah terhadap kematian pasti akan menghantar kepada kita jiwa seorang hamba yang merasakan kehadiran Tuhannya. Menghadirkan bayang bagaimanakah nasib diri di sana nanti. Sentiasa mengingati mati akan merasakan diri tidak pernah cukup dengan amal kebaikan, maka ia akan sentiasa berlumba-lumba memenuhkan kantung amalan dengan kebajikan. Ia juga akan sentiasa berhati-hati dalam segala tindak-tanduk agar tidak tersasar dari landasan keredhaan-Nya.

Teruskan perjalanan hidup, luruskan jalan menuju Tuhan. Percayalah, masih ada pintu taubat yang terbuka. Masih ada rahmat dan keampunan-Nya yang dijanjikan andai diri bersungguh-sungguh mahu menggapainya.

Semoga Allah sentiasa memimpin hati kita untuk bersedia menghadapi saat kematian itu.

Wednesday, 21 March 2012

JOM G KULIAH!!!


PAKAT DATANG RAMAI-RAMAI!!!

Tuesday, 20 March 2012

Limpahan rezeki dari kasih sayang-NYA


Hampir satu jam saya mengadap skrin komputer untuk menyiapkan beberapa tugasan berkaitan dengan program pelajar. Sudah beberapa hari ia tertangguh dek kesibukan saya di luar kawasan. Semalam sehari suntuk saya berada di Jerantut. Dua hari sebelumnya saya berada di daerah Pekan, jam dua pagi baru sampai ke rumah. Manakala sebelum pada itu saya berada di negeri Terengganu bersama sahabat dalam program kebajikan. Letih tetapi menggembirakan, kerana dapat menginfaqkan sedikit kudrat yang ada di dalam medan dakwah. Walaupun sebenarnya ia amatlah kecil jika mahu dibandingkan dengan mereka yang diberi keluasan dalam medan amal islami.

Ketika jari-jemari sedang galak menekan butang-butang huruf di papan pemuka, tiba-tiba konsentrasi terganggu dengan decitan suara sang cicak yang berkejaran di dinding. Terhenti sebentar saya menaip, lalu saya sorotkan sepasang anak memerhati dua ekor cicak yang sedang melata memburu serangga terbang buat mengisi habuan tembolok.

Jika semasa kecil dahulu sudah tentu cicak tersebut akan menjadi sasaran lastik getah saya. Entahlah sudah berapa banyak yang telah menjadi mangsa. Kemudian cicak-cicak yang ‘terkorban’ akibat penangan lastik getah saya itu, saya jadikannya untuk mengusik kakak-kakak saya. Lalu bergema jeritan kegelian bersama derai tawa saya. Itu cerita lama zaman kanak-kanak.

Limpahan rezeki-Nya

Bercerita tentang cicak, ada sesuatu yang menarik menujah di fikiran. Hati kecil dan jiwa membawa saya merenung pesanan seorang guru mengenai rezeki.

Subhanallah!

Cicak yang dunianya hanyalah melata pada dinding tetapi makanannya adalah serangga yang terbang bersayap. Cicak yang hanya menempel di dinding mahu menangkap serangga yang berterbangan, tidak logikkan? Tetapi tidak pernah kita dengar ada cicak yang mati kelaparan, tidak pernah. Siapakah yang merencanakan supaya serangga itu terbang mendekati cicak itu sedangkan dunia ini luas terbentang untuk mereka terbang. Itulah kasih sayang Allah, sentiasa memberikan rezeki kepada makhluk-Nya.

Firman Allah SWT:

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh).” (Hud: 6)

Ayat di atas menjelaskan bahawa yang melata di atas bumi tidak perlu khuatir akan kekurangan rezeki kerana Allah telah menyediakannya. Dia yang melimpahkan pemberian-Nya kepada sekecil-kecil makhluk hingga kepada ciptaan-nya yang terindah iaitu manusia. Sesungguhnya khazanah perbendaharaan Allah tidak pernah berkurang dan tidak pernah habis.

Namun, sesetengah orang ada yang salah faham dalam memahami ayat ini. Katanya, kita tidak perlu mencari rezeki, cukuplah berehat dan bermalas-malasan kerana Allah telah menentukannya.

Ada juga yang tersilap dalam memahamkan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi:

“Seandainya kamu semua bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki sebagaimana Dia memberi kepada burung yang keluar dengan perut kosong pada pagi hari dan kembali dengan perut kenyang pada petang hari.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Mereka berkata cukup dengan hanya bertawakal maka Allah akan memberikan rezeki. Pemahaman sebeginilah yang menyebabkan mundurnya kaum Muslimin sehingga mereka hidup melarat. Memang ada disebut yang rezekinya ditanggung oleh Allah SWT.

Lihatlah, burung itu tidak tinggal diam di dalam sarangnya sahaja, tetapi ia keluar terbang mencari rezeki. Kemudian, pulang pada petang hari dengan perut yang kenyang. Ternyata burung itu keluar mencari makanan, bukannya tinggal di dalam sarangnya sahaja. Begitulah akan halnya manusia, perlu berusaha mencari rezeki, sehingga kembali ke rumah dengan membawa keperluan hidupnya.

Jelaslah hadis ini menyuruh kita berusaha dan bekerja, bukan hanya memangku tangan dan duduk bermalasan sambil menunggu rezeki datang bergolek.


Saya termenung panjang dalam fikir yang dalam, cukup luar biasa pengajarannya. Penuh dengan hikmah dan pengajaran yang mengetuk hati dan sanubari.

Jangan bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki, tetapi bertawakallah kepada Allah dengan sepenuh harapan. Namun, dalam masa yang sama tawakal mestilah disertai dengan ikhtiar menurut keupayaan sendiri. Ikhtiar juga mestilah di dalam batas-batas yang dibenarkan syarak. Kekuatan tawakal dan kegigihan ikhtiar, insya-Allah kita tidak akan kecewa.

Cit..cit..cit..

Cicak berbunyi lagi!

Sunday, 18 March 2012

Bolehkah anak tak sah taraf tuntut hak?

Soalan:

Saya baru pulang dari Jakarta setelah bertugas di sana selama tiga tahun. Di sana baru-baru ini timbul isu anak luar nikah. Jika benar-benar disabitkan, maka anak luar nikah itu boleh menuntut haknya ke atas kedua-dua ibu bapanya, dengan hak syarak, seperti juga anak yang sebenar. Hal sebegini pernah diputuskan oleh mahkamah berpelembagaan Indonesia dan kebanyakan ulama di sana menerimanya. Saya ingin tahu pandangan, betulkah pendirian ulama Indonesia itu dan bolehkah diterimapakai, bahawa anak luar nikah jika disabitkan dengan sabitan yang sebenar, maka ia juga seperti anak yang sebenar. Terima kasih.

Jawapan:

SABITNYA keturunan di dalam Islam, berlaku setelah sabit perkahwinan yang sah. Perkahwinan dihukum sah apabila rukun-rukun nikah disempurnakan mengikut syarak. Jika berlaku perhubungan atau persetubuhan di luar perkahwinan yang sah, atau dengan lain perkataan melalu zina, maka anak yang dilahirkan itu adalah anak luar nikah.

Dengan bahasa lain ia ‘anak haram’. Maksud haram di sini ialah, dia haram di’bin’kan dengan nama orang yang melakukan maksiat itu, haram menjadi wali atau mempusakai harta bapanya yang tidak sah taraf tersebut.

Anak itu adalah orang asing dalam keluarga, walaupun benih sebenar daripada bapanya.

Sekiranya anak itu dipelihara ibu yang melahirkannya menerusi perhubungan luar nikah, maka anak itu adalah anak angkat.

Islam amat mementingkan nasab ‘keturunan yang benar-benar betul dan sah’. Ia hanya boleh berlaku apabila keturunan itu datangnya daripada pernikahan yang sah.

Anak zina, meskipun dibuktikan ia keturunan daripada bapa yang melakukan zina melalui DNA (Deoxyribonucleic Acid), namun syarak tetap tidak menerimanya sebagai keturunan syarie yang boleh disabitkan hak-hak syarak sebagai keturunan sebenar yang diiktiraf.

Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): “Aku dijadikan Allah daripada pernikahan ayah dan ibuku yang sah dan bukan daripada persundalan (saffah), sejak dari Adam as. sehinggalah aku dilahirkan oleh ayah dan ibuku.”

Maka kerana itu, jika tidak sabit nikah yang sah dan berlaku melalui nikah yang tidak sah atau zina, maka lahirlah anak haram, maka syarak tidak memberi sebarang hak syarie kepada mereka, seperti kepada anak yang sah taraf.

Anak keturunan sebenar yang sah tarafnya, ia boleh menjadi wali kepada keturunannya, mempusakai harta warisnya, tidak boleh menerima wasiat warisnya dan wajib dijaga hak-hak yang tersebut itu.

Hal-hal sebegini telah menjadi perkara yang disemuafakati semua ulama dari dahulu sehingga sekarang.

Apa yang anda sebutkan seperti yang berlaku di mahkamah luar negara kita, yang memberi hak kepada anak luar nikah, sama seperti anak nikah yang sebenar, maka itu menjadi tanggungjawab ulama di sana memperbetulkannya, agar hukum syarat yang sah dan jelas tidak dilanggari sewenang-wenangnya.

Adapun dari segi pemilikan harta, anak luar nikah, pada dasarnya tidak boleh menerima pusaka di bawah peruntukan faraid. Akan tetapi mereka boleh diberikan harta tersebut melalui hibah.

Pemberian hibah ini adalah salah satu dari jalan terbaik bagi insan yang memiliki anak luar nikah atau anak angkat, untuk diperuntukkan harta kepada mereka, semasa hidup bapa tersebut, dengan menukarkan nama harta kepada nama mereka, atau mewasiatkan hartanya kepada mereka, melalui dokumen pemilikan harta yang sah mengikut undang-undang negara. Jika berlaku demikian, maka berlakulah pemindahan harta daripada bapa kepada mereka, tidak melalui pemberian faraid, tetapi melalui hibah yang disebutkan tadi.

Saya berharap janganlah perkara-perkara sebegini berlaku di Malaysia dan patut dicari jalan membendung daripada awal, agar ianya tidak menular. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Saturday, 17 March 2012

Bersyukur kerana kita memang perlu bersyukur


Assalamualaikum warahmatullah...

Teman-teman sekelian, perhatikanlah di sekeliling kita. Lihatlah betapa besarnya kurniaan Allah SWT kepada kita. Dunia dan segala macam isinya dibentangkan di hadapan mata kita malahan nikmat-Nya yang kita kutip dan rangkul setiap hari tidak pernah berkurang. Usahlah kita membuang masa dengan menghitungnya, tetapi bermuhasabahlah dengan sedalamnya, sebanyak manakah rasa bersyukur telah dipanjatkan kepada-Nya?

Akal fikiran, usia, masa, kesihatan, anak, isteri, pancaindera, rezeki yang melimpah, pangkat, kekayaan dan sebagainya adalah di antara anugerah-Nya, yang menyebabkan kita perlu bersyukur. Bukalah mata seluas-luasnya, bukalah fikiran sedalam-dalamnya, jadilah hamba yang bersyukur bukannya hamba yang kufur akan nikmat yang telah diberi.

أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً
"Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu ni'mat-Nya lahir dan batin." (Luqman: 20)

Bersyukur kerana kita memang perlu bersyukur


Ketika sedang melayari internet, tiba-tiba tersua dengan gambar-gambar di atas. Tidak semena-mena jiwa diruntun perasaan yang mencarik-carik.

Sebak, sayu dan sedih. Semuanya tergaul sebati, melengkapkan rasa hati seorang manusia yang masih punya jiwa insani.

Rasa amat bertuah berada di negara ini. Tanahair yang tercinta ini sentiasa dilimpahi makanan. Kita tidak pernah ditimpa kebuluran. Sebaliknya kita sering membuang makanan terutamanya di bulan Ramadan. Tanpa rasa bersalah, tanpa rasa belas, burrrr... kita mencampakkan makanan ke tanah. Mujurlah jika ada ayam dan itik serta penghuni tanah yang lain bertolongan menghabiskannya.

Justeru, ketika kita menyuapkan makanan ke mulut, sama ada enak atau tidak, sedikit atau banyak, luangkanlah seketika untuk mengenang nasib saudara-saudara kita yang miskin dan kebuluran di mana sahaja di celahan pelosok dunia.

Marilah kita memperbanyakkan kesyukuran di atas limpahan rezeki-Nya yang dilimpahkan. Ingatlah, setiap kali kita dihidangkan makanan yang enak, tetapi di satu sudut dunia ada yang kelaparan menadah tangan mengharap sesuap makanan dan seteguk air.

Syukurlah...

وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
"Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih." (Saba`: 13)

Wednesday, 14 March 2012

Pilih redha-Nya, engkau pasti tidak akan kecewa


“Hari ini jika ada sepuluh orang yang memuji, seramai itulah yang akan mengeji. Demikianlah juga hari ini jika ada sepuluh orang yang menyakiti, seramai itulah juga yang akan bersimpati.”

Teringat kata-kata seorang pakcik tua suatu masa dahulu. Ketika itu diri masih mentah dengan pengalaman hidup. Masih banyak yang perlu dipelajari, sedangkan hanya sekelumit sahaja yang diketahui.

Hari ini saya melihat ada benarnya kata-kata itu. Tiba-tiba ia menerjah kembali ke benak setelah saya melalui pahit manis, asam rencah kehidupan.

Benar, kita tidak ada daya untuk memuaskan hati semua orang. Kita tidak ada kuasa. Adakalanya kita merasakan sudah melakukan segala-galanya yang terbaik, tetapi masih ada lagi yang tidak senang. Itulah lumrah kehidupan. Kita tidak hidup sendirian, kita bergelandangan di tengah-tengah kelompok manusia. Jadi, tidak pelik jika ada yang redha dan ada yang membenci.

Ramai orang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan orang lain suka kepadanya. Tidak kurang pula yang sanggup berkorban dan menderita kerana mengharap sanjungan dan pujian manusia. Ada pula yang sanggup melakukan perkara terlarang demi untuk meraih cinta manusia. Sedangkan semua itu adalah tipuan nafsu semata. Kita sering terperangkap demi mencari cinta dan redha manusia.

Abi Abbas ra. telah berkata, Rasulullah saw telah bersabda: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mencari keredhaan manusia, Allah akan memurkainya dan akan menjadikan setiap yang diredhainya itu benci terhadapnya. Orang yang mencari keredhaan Allah, walaupun dibenci oleh manusia nescaya Allah akan meredhainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu redha terhadapnya sehingga keredhaan Allah itu menghiasi diri, percakapan dan amalannya, pasti ia mendapat perhatian Allah.” (Riwayat al-Thabrani)

Panduannya cukup mudah.

Apa yang dipandang baik oleh manusia tidak semestinya baik pada pandangan Allah SWT. Manakala apa yang dipandang buruk oleh Allah SWT pasti buruk akibatnya pada manusia. Begitu juga apa yang terpandang buruk oleh manusia, tidak selalu buruk dalam pandangan Allah SWT. Sebaliknya apa yang dipandang baik oleh Allah SWT pasti baik untuk manusia. Baik dalam pandangan Allah bermakna di situ ada keredhaan-Nya, buruk dalam pandangan-Nya, maka di situ terselit kemurkaan-Nya. Itulah hakikat yang mesti dipelajari dan difahami.


Sesungguhnya keredhaan Allah adalah nikmat terbesar yang menjadi tujuan utama bagi orang-orang yang beriman. Namun, ujian sentiasa berkeliling dalam mencari redha Ilahi. Ia berterusan tiap saat dan ketika.

Oleh itu, pilihlah redha Allah SWT biarpun semua manusia tidak bersetuju dengannya. Sesungguhnya DIA pasti tidak pernah mengecewakan...

Kini pakcik itu telah pun tiada, sedangkan usia saya juga bagaikan tersisa dihujung jari. Namun, bait-bait sendu nasihatnya itu tidak pernah saya lemparkan ke tepi-tepi jalan atau saya sisihkan jauh-jauh, saya kutip dan simpan kemas di lipatan memori sebagai mutiara berharga buat pedoman hari-hari mendatang.

Saya tidak lupa...

Monday, 12 March 2012

FORUM Al-Hidayah "JOM BERUBAH"

Jom ke Masjid, bawa keluarga dan anak-anak



Saturday, 10 March 2012

Gerimis pagi ini...


Gerimis pagi ini berkabus membasahi bumi.

Saya bangun awal pagi, anak-anak masih tidur nyenyak berteman sejuk malam yang menyelimuti.

Saya mencapai telefon bimbit yang berbunyi.

Tersentak saya, segera mengucap panjang.

Innalillah...

Saya menerima sms daripada kakak di kampung, memaklumkan Mak Long Dah, jiran terdekat kami telah kembali ke rahmatullah. Rumahnya terletak di belakang rumah arwah ayah, hanya dipisahkan pagar yang merintangi. Bagi kami sekeluarga terlalu banyak kenangan bersama arwah sekeluarga.

Pergi tak kembali

Ketentuan yang pasti menemui setiap yang hidup.

Mati tidak pernah mengenal sesiapa, tidak juga mengenal usia. Mati tidak pernah menetapkan siapa yang perlu dahulu dan siapa yang perlu kemudian. Kematian adalah milik mutlak Allah SWT. Dia yang menetapkan ajal maut seseorang. Diri kita hanyalah pinjaman sementara. Apabila dikatakan pinjaman sementara, maka Dia berhak mengambilnya pada bila-bila masa yang dikehendaki.

Ujian kematian benar-benar memedihkan. Ramai yang tenggelam punca dan tidak keruan kerananya, sewaktu lebih ramai lagi yang redha dengannya. Namun, tidaklah bererti kita harus rebah dalam kehidupan atau kita merasakan segala-galanya telah berakhir.

Tatkala diri diuji dengan pemergian insan-insan tersayang, percayalah di dalamnya pasti ada hikmah yang besar. Ada di antaranya yang dapat kita tafsir hikmahnya, tetapi lebih banyak pula yang tidak kita ketahui. Sedangkan kematian itu tetap mendatangi setiap waktu.

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
“Dan tidaklah Kami jadikan kekal manusia yang diciptakan sebelum kamu, apakah jika kamu dimatikan maka mereka itu tetap kekal? Setiap jiwa pasti akan merasai kematian, dan Kami akan timpakan fitnah bagimu berupa keburukan dan kebaikan. Dan kepada Kamilah nanti kamu semua dikembalikan.” (Al-Anbiya`: 34-35).


Tiada ungkapan yang sebaiknya untuk dilafazkan melainkan sekalung doa dalam munajat agar Allah SWT mengurniakan keampunan kepadanya. Mudah-mudahan segala amal kebaikannya menjadi peneman dalam kembara pergi tak kembali itu. Saya mengharapkan juga agar Allah SWT mengurniakan segunung ketabahan dan kekuatan jiwa buat sahabatku sekeluarga atas pemergian ibunya yang dikasihi.

Sesungguhnya setiap dari kita pasti akan bertemu dengan hari yang dijanjikan itu...

Friday, 9 March 2012

Apakah hukuman, balasan qazaf?

Soalan:

Saya jahil dalam persoalan qazaf. Mohon jelaskan mengenainya. Adakah lelaki sama lelaki boleh berlaku qazaf? Tidakkah qazaf itu hanya lelaki dengan perempuan sahaja? Dan jika sabit qazaf, apakah hukuman dan balasannya dalam Islam. Terima kasih.

Jawapan:

QAZAF mafhumnya seorang Muslim menuduh seorang Muslim yang lain, melakukan perbuatan zina, tanpa membuktikannya dengan empat orang saksi yang benar-benar boleh diterima sebagai saksi, iaitu melihat perbuatan itu benar-benar berlaku.

Demikian juga dengan tuduhan atau dakwaan seseorang itu melakukan liwat (homoseksual) tanpa empat orang saksi yang sah, maka itulah yang dinamakan qazaf juga.

Dengan bahasa lain, qazaf boleh berlaku dengan tuduhan zina (lelaki dan perempuan) dan boleh berlaku di antara lelaki dengan lelaki dengan perbuatan liwat. Ini pun juga dinamakan qazaf.

Dalam Mazhab as-Syafie, seperti yang disebutkan dalam Kitab al-Muhazzab juzuk dua halaman 272, mafhumnya: "Sekiranya orang berkata atau menuduh dengan terang, seseorang tentu melakukan liwat, maka itu adalah qazaf. Malah dengan memanggil seseorang itu dengan panggilan 'wahai kaum Lut' maka boleh dikatakan itu adalah qazaf."

Di sisi jumhur ulama, mengqazaf seseorang dengan tuduhan liwat, jika sabit ke atas orang yang menuduh itu hukuman qazaf.

Menuduh seseorang berzina atau liwat adalah dosa besar. Amat dilarang oleh Islam.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah saw bersabda mafhumnya: " Jauhilah kamu tujuh dosa besar yang akan membinasakan kamu. Salah satu daripada tujuh perkara tersebut adalah qazaf (menuduh zina)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Firman Allah (mafhumnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik." (an-Nur: 4)

Ulama menjelaskan bahawa, sebab diwajibkan hukuman tersebut, kerana tuduhan itu mengaibkan yang kena tuduh. Maka untuk membersihkannya, hukuman itu adalah yang menjadi pembersih ke atas yang dituduh, dan menjadi sebesar-besar pengajaran kepada ummah, jangan mudah-mudah membuat tuduhan zina atau liwat tanpa keterangan yang sah.

Maka daripada keterangan ayat al-Quran dan hadis yang saya paparkan di atas, jelaslah kepada kita bahawa ada dua jenis hukuman ke atas orang yang sabit qazaf.

Pertama, sebatan 80 rotan dengan sebatan syarak.

Kedua, ditolak mereka menjadi saksi selama-lamanya. Kecuali jika orang yang berkenaan itu bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah SWT, maka ianya boleh dijadikan asas untuk menerima semula penyaksiannya. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Thursday, 8 March 2012

Saat hidayah mula menjengah

Hakikat perjalanan sebuah kehidupan, tiada siapa yang mampu menduga apa yang akan berlaku di masa hadapan. Apa jua perancangan kita hanyalah satu perancangan, sedangkan ketentuan pasti kembali kepada Allah SWT. Kadang-kadang kita mahukan sesuatu, tetapi Dia kurniakan sebaliknya. Kerana Dialah Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sesungguhnya hati nurani kita sentiasa mahu menghubungi Allah dengan cinta, beribadat dan taat, kerana ia mengetahui bahawa Dialah yang mentadbir urusan-Nya dan urusan tiap-tiap sesuatu di sekeliling-Nya menurut hikmah dan tadbir-Nya. Itu adalah fitrah. Tiada siapa yang dapat membantah. Namun sampaikah kita kepada-Nya, andai diri masih seronok dalam gelumang dunia yang tiada sudahnya.

Teman, sambutlah hidayah itu andai ia datang bertamu...

“Maka tetaplah kamu di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) kepada orang yang telah bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Hud: 112).

video

Saat hidayah mula menjengah, suara hati merintih penuh keinsafan,
Sendu tangisan lontaran iman, meraba-raba di mana jalan pulang,
Sesungguhnya di dalam jasad ini ada fitrah yang sering memanggil-manggil,
Ayuh! Bersegera kembali memaut cinta-Nya...

Wednesday, 7 March 2012

Kalaulah dapatku bayangkan...

`Selamat tinggal Pulau Mutiara`

“Kalaulah manusia dapat membayangkan betapa ngeri dan azabnya seksaan api neraka, pasti mereka tidak akan berani melakukan dosa seperti mencuri, menipu, membunuh, berlaku zalim dan sebagainya. Tetapi hakikatnya semua itu tidak ternampak di hadapan mata, maka seringkali manusia lalai dan terlupa sehingga melakukan dosa dan maksiat.”

Tersentap seketika, telinga saya menangkap bait-bait bahasa yang disampaikan oleh sang murabbi. Ketika itu saya singgah di sebuah masjid dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuantan.

Selepas sembahyang saya bergegas bangun untuk keluar kerana perjalanan masih lagi jauh, tetapi ulas kata yang terpacul itu menyebabkan saya ‘terperangkap’ sekaligus mematikan langkah yang diatur. Hati rasa tertahan, lalu saya kembali memperkemaskan sila meminjamkan telinga untuk mendengar seketika.

Berani kerana tidak nampak?


Hakikatnya manusia berani melakukan dosa kerana mereka sentiasa disibukkan dengan perkara keduniaan. Semakin dunia menginjak kemodenan, akal pula semakin dilemaskan dalam lautan nafsu. Hinggalah keyakinan semakin kabur dan luntur kepada perkara-perkara yang ghaib dan ajaib milik Allah SWT. Iman menjadi sepi, taqwa pula terkapai lesu.

Akhirnya, dosa yang menumpuk di atas bahu tidak terasa beratnya. Seksa kubur sekadar cerita di dalam buku kerana tidak nampak, malahan tidak terdengar suara mereka yang diazab di dalam kubur. Neraka yang menjulang-julang api yang mahu meratah tubuh yang bersalah juga tidak nampak. Bagaimana mahu percaya jika semuanya tidak tergambar di depan mata atau terngiang di telinga?

Sesungguhnya dari kelalaian inilah kemudiannya membawa kepada kesesatan di dalam kembara ke alam fana. Tiadalah tempat yang selayaknya melainkan dibakar di dalam neraka Allah SWT. (Na`uzubillah)

Satu hadis daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata: Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah saw, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu baginda bersabda: “Tahukah kamu suara apakah ini?” Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu Nabi saw bersabda: “Ini adalah (suara) sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu, maka batu itu terus saja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka dari itu kamu mendengar suara jatuhnya.” (Riwayat Muslim)

Tidak terjangkau rasa jika mahu menghitung berapa dalamnya jurang api neraka, sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah saw. Dapatkah kita membayangkan batu yang dilempar mengambil masa selama tujuh puluh tahun untuk sampai ke dasarnya. Maknanya jika kita dilempar (na`uzubilah) ketika berumur dua puluh tahun, maka saat kita mencecah dasarnya pada usia sembilan puluh tahun. Bayangkan!

Yang lebih mengerikan ia bukan hanya sekadar jurang, tetapi penuh dengan siksaan yang tidak tertanggung. Bahkan seksaannya berterusan selama mana ia dikehendaki oleh Allah SWT.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan bagaimana keadaan orang-orang kafir tatkala melihat api neraka yang menjulang-julang.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepada kamu akan (terjadinya) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya. Dan orang kafir berkata, “Aduhai! Alangkah baiknya kalau dulu aku hanya menjadi tanah!” (an-Naba’: 40)

Sesalan dan keluhan! Di saat ianya tidak berguna lagi. “Kalau dahulu aku hanya menjadi tanah, kalau dulu aku tidak menjadi manusia. Tidak tercatat dalam diari kehidupan, tentu tidak begini azab yang aku rasakan.

Sesalan yang tiada gunanya.

Justeru marilah kita menginsafi diri dengan meratap kehinaan diri di sisi-Nya dengan sifat taqwa. Sesungguhnya pendakian kita ke puncak tertinggi adalah syurga-Nya yang penuh kenikmatan...


Coretan ini sebenarnya lebih utama buat diri saya!

Tuesday, 6 March 2012

100 Tokoh Dalam Dakapan Rasulullah s.a.w


Perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini penuh dengan liku-liku yang mencabar. Sepanjang perjalanan ini, pastinya ada tulang belakang yang membantu Rasulullah saw menempuh segala dugaan dan cabaran. Mereka ini pastinya orang yang istimewa dipilih Allah untuk mendampingi Rasulullah saw setiap masa dan detik. Mereka juga pastilah orang yang teguh iman, kuat pendirian dan mulia peribadi. Mereka adalah 100 orang sahabat Rasulullah yang diceritakan secara terperinci dalam buku berjudul "100 TOKOH DALAM DAKAPAN RASULULLAH saw"

Pinjamkan roh jihad mereka ke dalam roh kita. Pinjamkan juga ketakwaan dan keimanan mereka ke dalam diri kita. Walau tidak sama, biar usaha kita mendekatkan diri kepada sirah Rasulullah saw ini mendatangkan hikmah yang tidak terperi.

Bawakan diri kita menerawang jauh ke zaman Rasulullah saw. Kenali nama-nama hebat seperti Abu Bakar as-Siddiq (Penghulu Para Sahabat), Umar bin Khattab (Khalifah Kedua Kaum Muslimin), Usman bin Affan (Pemilik Dua Cahaya), Ali bin Abi Talib (Menantu yang Gagah Berani), Abdullah bin Ummi Maktum (Pahlawan Buta Pembawa Panji Islam), Abu Darda (Budiman yang Ahli Hikmah), Abdullah bin Rawahah (Penyair Rasulullah) dan ramai lagi.

Mengintai sejarah Rasulullah saw pastinya mengundang semangat jihad bagi mereka yang benar-benar menghayatinya. Bersama-samalah kita menghirup ilmu sirah yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu daripada kita, justeru memantapkan keimanan yang ada dalam diri kita.

Tajuk : 100 Tokoh Dalam Dakapan Rasulullah saw
Penulis : Hepi Andi Bastoni
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Muka Surat : 608
Harga : SM 35.00 / SS 35.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Monday, 5 March 2012

Jakim: Kad kahwin bercetak ayat suci tak boleh dibuang

Perbuatan mencetak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW pada kad jemputan kahwin boleh menjejaskan kesucian Islam jika kad itu dibuang merata-rata.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha, berkata tindakan tersebut juga mungkin boleh dikategorikan sebagai menghina ayat al-Quran.

"Istilah suci dalam Islam seperti bismillah, assalamualaikum dan sebagainya tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana dikuatiri akan disalah guna dan diletak di tempat yang tidak sewajarnya," katanya.

Othman berkata, pihak yang terbabit meletakkan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis pada kad jemputan kahwin mungkin berniat baik iaitu ingin memberi peringatan dan berdakwah kepada orang lain.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan sedemikian patut dielakkan.

"Jika bertujuan untuk memberi pengingatan hanya memadai dengan menulis maksudnya sahaja," katanya.

Beliau juga berkata, pihak yang menerima kad jemput kahwin yang tertulis ayat al-Quran sepatutnya lebih prihatin dan menjaga kesucian ayat-ayat tersebut dengan tidak membuang bahan yang mengandunginya di merata-rata tempat.

Katanya, mengikut Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dikeluarkan Jakim, perbuatan membuang bahan-bahan yang mengandungi ayat al-Quran boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyentuh kesucian Islam.

Beliau berkata, pelupusan bahan penerbitan yang mengandungi ayat al-Quran sepatutnya dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan kementerian dalam negeri.

Sementara itu, seorang pembuat kad perkahwinan, Mohd Natasha Md Nasir, berkata pihaknya sentiasa menasihatkan pelanggan yang ingin mencetak istilah suci termasuk bismillah supaya tidak berbuat demikian.

"Kalau ada pelanggan yang hendak cetak assalamualaikum dalam tulisan jawi pun kita tak galakkan, sebaliknya kita cadang supaya ditulis dalam tulisan rumi sahaja," katanya.

Seorang lagi pembuat, Nor Azli Masrudin berkata pihaknya akan turut menerangkan kepada pelanggan mengenai pro dan kontra mencetak kalimah suci pada kad jemputan kahwin.

"Kita akan sediakan format standard, tapi kalau pelanggan nak juga cetak kalimah suci kita kena ikutlah," katanya.

Sumber: Bernama

Saturday, 3 March 2012

Ujian, itulah didikan dari-Nya...


Ada masanya kita perlu merasai saat-saat kegagalan dan kekecewaan. Bahkan hanya mereka yang pernah diterjah badai kesusahan, kesukaran dan penderitaan sahaja yang dapat menikmati kemanisan erti kejayaan dan kemenangan. Jujur bahasa ini.

Kehidupan adalah satu ujian, sebagaimana kematian juga adalah satu ujian. Ia melingkari dan merintangi di setiap takah perjalanan yang lewati. Ia adalah adat hidup dan perjuangan, ujian tidak pernah diam menghinggapi diri manusia. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan kezaliman, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan serta palitan dosa-dosa. Demikianlah, semua orang pernah dan akan diuji.

Ujian nyata berbeza, namun ia tetap bernama ujian. Memang benar, adakalanya kita rasakan seperti mahu rebah dengan asakan ujian-ujian yang menimpa. Apa yang penting bagaimanakah kita menghadapi ujian tersebut. Kecewa? Marah? Putus asa? Serik dan perit? Tidak mampu meneruskan hidup?

Ahh, jangan begitu...

Marilah kita melihat ujian dengan akal yang sihat, jangan sesekali menilai ujian itu dengan pandangan nafsu yang menipu. Mengapa tidak kita pasakkan ke dalam hati bahawa ujian adalah guru yang mahu mendidik jiwa supaya sentiasa bermuhasabah akan kelemahan diri. Kita tidak pernah belajar daripada kesenangan dan kemewahan. Tidak juga dari kemudahan dan kegembiraan. Kita banyak belajar dari kesusahan dan kesukaran. Kita juga banyak belajar ketika di dalam penderitaan. Walaupun tiada sesiapa yang mahukan kesusahan, tetapi dengan ujian kita banyak belajar sesuatu. Kita dapat menimba pengalaman dan memperbaiki kesilapan dalam melayari liku-liku kehidupan yang serba mencabar ini.


Justeru, lihatlah ujian itu adalah didikan Allah yang Maha Penyayang. Sesungguhnya di sebalik ujian itu, ada lorong yang terbentang untuk kita susuri buat menghampiri kasih sayang-Nya...andai diri mampu bersabar dengan ujian itu.

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ فَإِذَا أُوذِيَ فِي اللَّهِ جَعَلَ فِتْنَةَ النَّاسِ كَعَذَابِ اللَّهِ وَلَئِن جَاء نَصْرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقُولُنَّ إِنَّا كُنَّا مَعَكُمْ أَوَلَيْسَ اللَّهُ بِأَعْلَمَ بِمَا فِي صُدُورِ الْعَالَمِينَ
وَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْمُنَافِقِينَ
"Dan antara manusia ada yang berkata: "Kami beriman kepada Allah." Tetapi apabila mendapat gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang pertolongan daripada Allah, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya kami berserta dengan kamu (kaum mukmin)." Sesungguhnya bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia? Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beriman dan benar-benar mengetahui orang yang munafik." (al-Ankabut: 10-11).

Gapailah kasih sayang-Nya yang tidak bertepi itu...

Thursday, 1 March 2012

Bayar yuran guaman guna asnaf fisabilillah?

Soalan:

Apakah sebenarnya tarif fisabilillah pada pemberian asnaf zakat? Adakah ia luas sampai boleh digunakan untuk apa sahaja dengan menggunakan fisabilillah, hatta untuk membayar yuran guaman orang kaya-kaya pun boleh diambil wang zakat, bolehkah begitu? Saya amat ragu kerana saya adalah antara pembayar zakat agak banyak juga di Wilayah Persekutuan.

Jawapan:

FISABILILLAH adalah salah satu asnaf yang boleh menerima zakat. Tetapi kedudukan istilah itu dalam ayat yang berkaitan dengannya, adalah agak penghujung dan terkemudian.

Ertinya ianya bukan prioriti.

Istilah itu, ramai orang mengenalinya dengan makna 'di jalan Allah'. Makna asalnya bermaksud berjihad di jalan Allah, seperti berperang menentang musuh demi menegakkan agama Allah SWT, umum mengetahui sebagai perang fisabilillah.

Sabilillah membawa maksud berperang menentang musuh untuk menyebarkan Islam serta mempertahankannya, itulah makna yang disemuafakati ulama dengannya. Atau dengan lain bahasa, ulama berijmak mengharuskannya.

Seperti yang disebut oleh al-`Allamah Dr Yusof al-Qardhawi dalam kitabnya Fiqhuzzakaah, juzuk dua halaman 636 yang bermaksud: "Adapun memaknakan sabilillah itu dengan makna umum, yang bukan sahaja berjihad atau berperang di jalan Allah, masuk segala hal yang berkaitan dengan dakwah dan amalan kebaikan, seperti menunaikan haji, menuntut ilmu, menolong orang yang kena zalim dan sebagainya, ini tidak disemuafakati ulama. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak. Banyaknya yang mengatakan tidak diharuskan demikian itu.

"Apapun khilaf mereka, namun mereka bersetuju secara ijmak bahawa penerima zakat fisabilillah, mestilah orang faqir dan amat memerlukan bagi tujuan makruf dan bertaqarrub kepada Allah SWT."

Di dalam Mazhab as-Syafie, jelas di dalam Kitab al-Umm juzuk dua halaman 60, al-Imam as-Syafie sendiri menyebut maksudnya: "Dan diberi saham sabilillah kepada orang-orang yang berjihad (perang sabil) sama ada miskin atau kaya dan tidak diberi selain daripada mereka."

Imam an-Nawawi rah. menyebut dalam Kitab ar-Raudhah juzuk dua halaman 326 bermaksud: "Dan diberi kepada orang yang berperang, perbelanjaan daripada saham fisabilillah untuk keperluannya, termasuk keluarga yang akan ditinggalkannya sepanjang ketiadaannya."

Para fuqaha, secara keseluruhannya mengkhususkan fisabilillah itu, pada jihad di jalan Allah, sebagai jalan bertaqarrub kepada-Nya dengan hati yang ikhlas.

Adapun sama ada dibolehkan atau tidak wang zakat itu digunakan untuk membayar yuran guaman, jawapannya boleh, tidak salah, dengan syarat penerimanya faqir atau miskin.

Sekiranya orang itu kaya, maka mengapa diambil daripada wang zakat? Roh zakat, seperti yang disabdakan Rasulullah saw dalam hadis sahih baginda (mafhumnya): "Diambil zakat itu daripada golongan kaya dan diagihkannya kepada golongan miskin."

Oleh itu maka jelas, fisabilillah tidaklah begitu luas sampai digunakan pada apa sahaja perkara yang tidak disemuafakati ulama.

Lebih-lebih lagi dipergunakannya, bukan untuk menegakkan agama Allah. Malah kadang-kadang ia digunakan untuk menentang pelaksanaan hukum Allah SWT. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din