Sahabat Sejati

Tuesday, 31 January 2012

Cetusan rasa: Seorang hamba...


Memerhati hakikat kehidupan ini, umpama lautan yang luas. Sedangkan kita hanyalah perahu kecil yang belayar di permukaannya. Kadang-kadang berhanyut tenang, seketika pula terumbang-ambing diterjah gelombang membadai.

Kita belayar dan mengawal kemudi menuju destinasi persinggahan. Apakah ada pilihan buat diri, kerana pelabuhan yang dituju pasti di hadapan menanti. Akhirnya berlabuhlah di pelabuhan akhir kehidupan.

Hidup tidak mungkin tanpa ujian, kerana ia adalah sebahagian proses kehidupan. Ia berkeliling pada setiap insan. Di mana-mana sahaja dalam setiap episod perjalanan kehidupan pasti ada ujian. Kita melihat ujian adalah tapisan Allah, siapa di kalangan hamba-Nya yang terbaik keyakinan di sebalik taqdir yang menjelma.

Kesedihan dan kegembiraan adalah ujian Allah. Kesedihan bertandang selepas kegembiraan berundur. Ia berundur apabila kegembiraan menjelma semula.

Begitu juga kegagalan dan kegembiraan, ia juga adalah ujian. Tiada siapa yang mahukan kegagalan kerana kegagalan bererti kesedihan, manakala kejayaan adalah suatu kegembiraan. Bahkan tidak ramai yang memandang kegembiraan juga suatu ujian.

Kadang-kadang kita terlupa, kegagalan adalah lebih manis dari kejayaan. Kegagalan yang menjenguk menyedarkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya yang lemah dan serba kekurangan. Kita mengakui kita adalah hamba, Dia adalah Tuan. Kegagalan menyebabkan kita mengadu kepada-Nya. Disitulah letak manisnya kegagalan, dan ini tidak dirasai andai tidak ditilik melalui mata hati. Dapatkah kita berbangga, andai kejayaan yang diperolehi menyebabkan kita hanyut dalam pujian. Kita sering terlupa pada DIA yang menganugerahkan kejayaan tatkala meraikan kejayaan.

Kita hamba-Nya yang lemah. Kesilapan dan kesalahan seringkali mengekori. Besar atau kecil kesilapan, banyak atau sedikit kesalahan, ianya memutik tiap waktu dan ketika. Tanpa petunjuk-Nya bergelumanglah insan dalam dosa yang bertitik hitam.

Allah, Tuhan kita yang Maha Penyayang, dengan rahmat-Nya ditutupi kesilapan dan kesalahan kita. Maka tampillah kita di hadapan manusia dengan wajah yang suci dan bersih. Sedangkan DIA menutupi kesilapan kita kerana memberi peluang untuk kita bertaubat dan kembali menginsafi diri. Binasalah diri andai ini juga tidak dimengertikan. Pasti binasa...

Dalam letih aku merintih
Dalam gundah aku menadah
Dalam sendu aku merayu
Selautan kelalaianku
Segunung dosaku
Namun tidak terhitung limpahan rahmat-Mu
Tidak terjangkau luasnya keampunan-Mu
Berapa pula nilai syukurku...

Seorang hamba,
abuikhwan

Monday, 30 January 2012

Batas pergaulan wanita iddah

Soalan:

Saya ingin penjelasan perkara-perkara berikut. Semasa dalam iddah, apakah batasan aurat bagi wanita terhadap suaminya? Perlukah isteri menyediakan makan minum kepada suaminya dan rumah yang menjadi milik isteri, bolehkah suami tinggal bersama di dalamnya? Terima kasih.

Jawapan:

ISTERI yang telah ditalakkan suami ada dua jenis.

Pertama, talak bain iaitu talak penghabisan yang tidak boleh rujuk. Kedua, talak rajie, iaitu talak yang boleh dirujuk semula.

Apabila termasuk dalam kategori talak bain, maka hubungan suami isteri terputus dengan talak tersebut, maka mereka sudah menjadi orang asing, yang hukum pergaulannya sama seperti hukum perempuan ajnabi dalam semua hal, termasuklah suami itu tidak lagi menjadi kewajipan untuk dia menyediakan makan minum, kerana sudah menjadi bekas suaminya.

Adapun talak rajie, maka isteri yang ditalakkan itu berada di tengah-tengah keadaannya. Menjadi isteri sebenar pun tidak, kerana telah diceraikan dan hanya menunggu tamat iddahnya, maka tamatlah perkahwinan mereka. Hendak dikatakan bukan isteri pun tidak, kerana hanya dengan menyebut “aku rujuk denganmu semula”, maka jadilah mereka suami isteri semula.

Namun begitu, hukum ke atas perempuan yang diceraikan suaminya, ada hak-hak tertentu dari segi syarak untuknya, khususnya hak nafkah dan tempat tinggal, sehingga tamat iddahnya.

Setelah bercerai, maka suami hendaklah memisahkan diri daripada isterinya dan tidak tinggal sebilik lagi. Semasa dalam iddah, boleh tinggal dalam sebuah rumah, tetapi diasingkan.

Firman Allah (mafhumnya): “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani iddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.: (at-Talaq: 6)

Maksud ayat di atas, suami wajib menyediakan temps tinggasl untuk isteri yang ditinggalkannya, sekadar kemampuannya, seperti tempat kediaman yang mereka tinggal bersama sebelum mereka bercerai.

Bukan isteri yang menyediakan tempat tinggal untuk suaminya. Jika suami menyediakan tempat tinggal yang baru, maka hendaklah kediaman itu sesuai dengan isteri tersebut.

Adapun batas aurat, mereka hendaklah bergaul seperti orang ajnabi. Iaitu si isteri hendaklah menutup auratnya.

Dalam perbahasan talak sindiran (kinayah), ulama fikah menerima perkataan suami terhadap isterinya, yang menggunakan bahasa talak sindiran, seperti katanya: “tutupilah diri kamu daripada pandangan aku, dengan menutup aurat sepenuhnya” atau seperti kata-kata: “berhijablah kamu daripada aku.”

Apakah itu talak kinayah atau tidak, ulama mengatakan itu adalah talak sindiran, jika dengan perkataan itu ada diniatkan bercerai, maka akan tercerailah isteri.

Ertinya, isteri hendaklah menutup auratnya. Oleh kerana itu isteri yang diceraikan hendaklah menjaga auratnya daripada si suami yang menceraikannya.

Isteri tidak perlu menyediakan makan minum kepada suaminya, kerana mereka dari satu segi sudah menjadi orang asing dan tempat tinggal pun sudah terpisah, walaupun masih sebumbung.

Sekiranya rumah itu rumah isteri, maka suami boleh tinggal dalam rumah tersebut jika diizinkan isteri, dengan syarat dipisahkan bilik. Seelok-eloknya mereka berasingan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Cerita Kapten Hook

Seorang kelasi bertemu dengan Kapten Hook di sebuah bar. Mereka berbual mengenai pengembaraan mereka di lautan. Kelasi itu melihat Kapten Hook mempuyai kaki kayu, cangkuk ditangannya dan menutup sebelah matanya.

Lalu si kelasi bertanya, "bagaimana dengan kaki kamu boleh tempang dan terpaksa memakai kaki kayu?"

Kapten Hook membalas, "masa tu di Lautan Atlantik, kami dilanda ribut taufan yang amat dahsyat. Kapal hampir terbalik dan saya tercampak ke dalam laut, rupa-rupanya saya jatuh ke atas sekumpulan jerung. Ketika saya ditarik ke atas, kaki saya telah dibaham oleh salah seekor jerung."

"Woww!!! Kata si kelasi itu dengan takjub.

"Bagaimana pula dengan tangan tu?" Kelasi itu bertanya lagi.

"Masa tu kami sedang berperang dengan musuh. Musuh memakai pedang dan parang panjang. Salah seorang musuh telah menetak tangan saya, zassssss... putus!!"

"Wahh, hebat!!! Bagaimana pula dengan mata tu?" Soal si kelasi kagum.

"Ohh...mata ni terkena tahi burung..." jawab Kapten Hook mudah dan bersahaja.

Si kelasi merasa hairan sambil menggaru-garu kepala...

"Kapten hilang sebelah mata sebab terkena tahi burung?"

Lantas dengan ringkasnya Kapten Hook membalas: "Ya, sebab hari tu hari pertama saya memakai tangan bercangkuk ni!"

Ceria di pagi hari...

Sunday, 29 January 2012

Jangan dilupa 'kontrak' itu...


“Kita semua telah membuat perjanjian. Saya, kamu dan sesiapa sahaja, baik Muslim atau tidak, perjanjian yang telah dilafazkan di alam roh dahulu. Namun, setelah kita hadir ke dunia, kita kenal dunia, lalu kita leka dengan keindahan dan kemanisannya, tanpa sedar sedikit demi sedikit kita mula melupakan perjanjian tersebut.” Bicara diatur, perlahan menembusi gegendang telinga mereka.

Sepi...

“Masih ingatkah lagi perjanjiannya?” soalan dilontar buat mengetuk minda yang asalnya fitrah.

“Bukankah Aku ini Tuhanmu?"
“Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi."

Angin malam yang bertiup lembut terasa dinginnya menyentuh kulit.

“Kita sentiasa terleka dengan kesibukan mengejar dunia, sedangkan ‘kontraknya’ tetap tertulis sehingga akhir umur dunia. Maka binasalah mereka yang melupakan ‘kontrak’ ini,” kata bersambung lagi mengisi minda mereka dengan peringatan.

“Apakah dunia ini tidak berguna dan sia-sia? Tidak mungkin kerana setiap apa yang dijadikan ada manfaatnya. Bukankah dunia ini ladang akhirat? Maka layarilah dunia ini dengan panduan Islam dan Iman.”

Saya menyudahkan perbincangan.

Kefahaman tentang erti kehidupan cuba dipahat di minda anak-anak muda di hadapan.

Dari mana kita datang?
Mengapa kita datang?
Ke mana kita akan kembali?

Persoalan-persoalan ini cuba saya jentikkan ke benak mereka, agar mereka sentiasa berfikir bahawa kehidupan ini bukan sekadar hidup, sama seperti makhluk-makhluk yang lain.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepada-Ku.” (adz-Zariyat: 56)

Kita punya matlamat, kita bukan hanya hidup untuk hari ini, tetapi ada kehidupan lain pula yang abadi selepas ini.

Betapa besarnya makna sebuah kehidupan apabila persoalan ini dijernihkan.

3 hari 2 malam yang amat memberi makna.

Saturday, 28 January 2012

NOORAH (kisah benar)


Saat dia mula mengenal Islam,
kisah silam hanya tinggal sejarah,
walaupun ujian datang dengan seribu wajah.

Sama sahaja bagi Kathryn Bennet sama ada dia tinggal di rumah atau menghuni penjara juvana di Yorkshire. Kedua-duanya ‘dahsyat’ dan ‘teruk’. Namun segalanya berubah selepas dia berhijrah ke Bahrain, seterusnya ke London untuk bergelar Muslimah. Itulah saatnya dia sentiasa dapat menghirup sisa manis dalam wadah ujian Allah. Maka dia boleh tenang melalui kepahitan hidup berumah tangga. Dia pasrah meredah ribuan kilometer untuk menjejaki tiga anak yang dilarikan bekas suami. Dia redha bergelar ibu tunggal kali kedua dan sekali gus mengambil peranan ayah untuk menyara enam orang anak di kota London. Dia mampu sabar diuji penyakit digeruni. Kerana dia yakin besarnya hikmah di sebalik musibah.
--------------------------------
Peristiwa penculikan anak-anaknya menjadi mimpi ngeri.

Empat tahun dia nanar tanpa anak-anak. Suatu ketika, dia ingin membuang resah yang mengulit jiwa, lalu dia mengadu pada-Nya: “Jika anak-anak memang ditakdirkan tidak bersamaku lagi, aku redha ya Allah. Aku serahkan segalanya pada-Mu. Engkaulah Maha Mengetahui yang terbaik untuk anak-anakku dan juga diriku.”

Hanya setelah lafaz redha itu diucapkan, barulah berita mengenai anak-anaknya muncul satu persatu hingga akhbar The Irish Mirror di Ireland membantunya. Pertemuan kembali dengan anak-anaknya bagai hadiah Allah yang besar selepas dia mengucap kalimah syahadah.

Selamilah KISAH BENAR isi hati insan tabah bernama Noorah yang mampu menjadi pencetus motivasi buat semua.

Tajuk : NOORAH
Penulis : Ummu Hani Abu Hassan
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
M/S : 293
Harga : SM 20.00 / SS 22.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Friday, 27 January 2012

Bicara soal hati


Mari sejenak kita berbicara soal hati.

Sabda Rasulullah saw:

“Sesungguhnya di dalam jasad ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh diri manusia. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh diri manusia. Ketahuilah itulah hati.” (Bukhari dan Muslim)

Hati adalah cerminan diri, yang memungkinkan manusia menerima pengertian siapa sebenar dirinya. Cermin yang jernih akan memantulkan hakikat sebenarnya. Dia akan dapat melihat dan meneliti dirinya, apakah kecacatan dan kejelekan yang ada. Sebaliknya, cermin yang kelabu akan memantulkan imej yang kabur dan samar. Maka ia akan menyembunyikan kecacatan yang ada, bimbang jika ini berterusan akan menyebabkan dia merasa cukup sempurna. Lalu menjadikannya sombong dan bermegah diri. Na’udzubillah.

Hati yang jernih hanya dimiliki oleh mereka yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia sentiasa berharap agar hatinya dibersihkan dari segala noda-noda yang menutupinya.

Hati yang kotor, tak lain hanya dimiliki oleh mereka yang sering melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Ia meninggalkan segala perintah-Nya serta tidak mempedulikan segala larangan-Nya.

Memiliki hati yang bersih seumpama pelita yang bercahaya adalah harapan semua hamba Allah yang beriman. Hati yang sentiasa terpelihara dari perasaan was-was, angan-angan kosong serta lintasan-lintasan yang kotor. Namun tidak semua bertuah memperolehi hati yang sedemikian, yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi kita sebagai manusia biasa yang setiap waktu dan ketika berada di dalam kelalaian. Kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar

Bagaimanakah mahu memiliki hati yang bercahaya?

Sesungguhnya Rasulullah saw telah pun memberi panduan kepada kita semua. Di antara perkara yang dapat menjadikan hati bersih dan bercahaya adalah dengan melazimi membaca al-Quran.

Cahayakan hati dengan al-Quran


Al-Quran merupakan sumber petunjuk yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia. Di dalamnya terkandung peraturan dan hukum yang menjadi panduan untuk manusia seluruhnya menjalani kehidupan di dunia ini.

Allah SWT berfirman:

وَهَـذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Dan al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertaqwalah kamu agar kamu diberi rahmat.” (al-An`am: 155)

Generasi awal adalah contoh generasi yang terbaik kerana mereka berpegang teguh dengan al-Quran. Mereka membaca, mengambil panduan serta melaksanakan segala perintah-perintah yang terkandung di dalamnya. Bahkan, Rasulullah saw cara hidup baginda terus menjurus kepada al-Quran. Ummul mukminin, ‘Aisyah rha. pernah ditanya mengenai kelakuan dan perjalanan hidup Rasulullah saw, maka beliau berkata:

“Sesungguhnya kelakuan dan cara hidup baginda (Rasulullah saw) adalah al-Quran.” (Riwayat an-Nasaei)

Justeru, duhai sahabat-sahabatku! Luangkanlah sedikit masa untuk membaca al-Quran walaupun kadar yang sedikit. Jangan biarkan hari yang berlalu tanpa lidah kita basah dengan alunan al-Quran.

Mudah-mudahan al-Quran yang sering dibaca menyerap ke dalam hati nurani seterusnya memandu pemiliknya ke jalan redha Allah SWT, dan akhirnya menjadi penolong di akhirat kelak. Kita harapkan...

Sesungguhnya peringatan ini lebih utama buat diri saya!

Wednesday, 25 January 2012

Tuesday, 24 January 2012

Pandangan Islam mengenai 'fringe science'

Soalan:

Kebelakangan ini terdapat lambakan program televisyen Barat yang mengenengahkan tema 'fringe science' atau bidang sains yang belum disahkan seperti 'time travel'. Apakah pandangan Dato mengenai subjek ini dan apakah tidak mustahil untuk melakukannya di dalam Islam.

Jawapan:

ILMU Allah amat-amat luas. Yang baru diteroka atau telah diterokai manusia, sebenarnya terlalu sedikit.

Ilmu apa pun yang ada pada manusia, seolah-olah ibarat seperti setitik air di lautan yang amat luas. Inilah yang dianalogi Allah di dalam firmannya berkaitan bandingan ilmu-Nya dengan hamba-Nya (mafhumnya): "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (al-Kahfi: 109)

Allah berfirman lagi yang sebanding dengannya (mafhumnya): "Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Luqman: 27)

Ini semua menggambarkan betapa hebatnya, luasnya ilmu Allah. Sekaligus ia menggambarkan kehebatan penciptaan-Nya. Allah mahu kita memanfaatkan kejadiannya dengan melihat, merenung, meneliti dan mengkaji untuk menyakini penciptaan alam dan segala milik-Nya.

Firman Allah (mafhumnya): "Katakanlah (wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya." (Yunus: 101)

Lebih jelas Allah berfirman (mafhumnya): "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; "(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambi berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka." (Ali-`Imran: 190-191)

Umat Islam adalah umat ilmu. Mereka diberi Allah ilmu yang paling hebat iaitu ilmu wahyu. Umat Islam terdahulu, mereka meneroka ilmu dan menjadi ilmuan ulung dalam segala lapangan termasuk dalam bidang sains moden, tetapi tertinggal seketika dan disambung Barat.

Barat meneroka ilmu sains yang diasaskan oleh umat Islam,mereka menghasilkan ilmu-ilmu yang anda ajukan dalam soalan di atas, termasuk pada bidang-bidang yang anda sebutkan sebagai 'fringe science' dan berbagai-bagai lagi ilmu yang berteraskan kajian.

Sesiapa yang rajin mengkaji, mereka akan menemui hasil penerokaannya dan menguasai ilmu itu. Oleh kerana itu tidak mustahil boleh mencapai ilmu-ilmu yang anda sebutkan.

Ingatlah bahawa Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): "Al-hikmah (ilmu yang berguna) adalah barangan umat Islam yang hilang daripada mereka. Maka di mana sahaja anda temuinya, maka ambillah meskipun dari seorang kanak-kanak."

Banyak penemuan-penemuan sains yang didahului oleh al-Quranul karim. Sebagai contoh, teori sains mengenai kejadian alam semesta yang diterima oleh ramai saintis dengan teori 'the big bang' atau letusan raksasa, pada mulanya hanya teori, tetapi akhir-akhir ini teori itu ada kebenarannya.

Sebenarnya al-Quranul karim yang diturunkan dalam kurun ke-7 Masihi, Allah SWT berfirman (mafhumnya) "Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan (ledakkan) antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" (al-Anbiya: 30)

Cuba anda bandingkan antara air itu dengan teori 'the big bang', sedangkan al-Quran itu lebih jauh mendahului, sebelum teori itu dijumpai oleh saintis (manusia). Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Monday, 23 January 2012

Kenangan yang dirindui...


Cuti panjang sempena Tahun Baru Cina memberi kesempatan kepada saya untuk pulang ke kampung. Sebelum itu saya telah pun berpakat dengan adik-beradik yang lain untuk berkumpul bersama. Mungkin kepulangan kali ini kurang sedikit meriahnya, tanpa kedua orang tua tersayang. Namun demikian, masih ramai lagi saudara-mara yang tinggal berhampiran rumah pusaka ayah. Kami tidak mahu ketiadaan ayah dan ibu merenggangkan perhubungan adik-beradik dengan saudara-mara yang lain.

Seusai makan malam, kami adik beradik duduk berhimpun di beranda, berbual sambil menikmati hening malam yang indah. Bermacam-macam perkara dan topik yang dibualkan. Sesekali berderai tawa tatkala ada perkara-perkara lucu yang mencuit hati. Dan senyap sunyi seketika apabila ada sesuatu yang menyentuh jiwa.

Tidak tahu bagaimana mahu saya gambarkan perasaan ketika itu.

Suasana malam yang sepi memudahkan anak telinga saya menangkap bunyi desiran angin malam yang menyentuh dedaun pokok di luar rumah. Saya dongakkan kepala ke langit, mata saya mencakup awan dan bintang yang bertaburan.

“Indah sekali malam ini...”

Sambil berbual saya mengambil kesempatan merenung wajah abang dan kakak-kakak saya. Abang Ngah, Kak De serta Kak Cik dan saya kekal berpangkat Pak Su di kalangan anak buah. Saya menyedari mereka kelihatan semakin dimamah usia. Masing-masing telah pun mencecah usia 40 tahun, manakala anak-anak mereka telah pun berada di sekolah menengah. Semuanya sudah besar, sehingga ada di antara anak-anak mereka yang lebih tinggi daripada ibu bapa mereka. Saya sendiri juga telah pun mempunyai anak.

Masa yang telah berlalu


Putaran roda kehidupan yang tidak pernah berhenti ini telah membawa kami secara tidak disedari mengantikan orang-orang tua yang terdahulu. Masih baru rasanya kami adik-beradik hidup sebumbung di bawah jagaan ayah dan ibu.

Terasa seolah-olah baru semalam saya mengekori abang yang sulung menangkap ikan di paya berhampiran rumah kami. Setiap ceruk paya berselut itu kami redah dan selongkar. Bila matahari telah tegak di atas kepala, membakar kulit kami yang bersalut lumpur, barulah kami pulang. Kami tidak tidak sekali-kali pulang melangkaui waktu Zohor. Pesan ayah mesti balik sebelum masuk waktu Zohor. Ikan-ikan itu akan saya serahkan kepada ibu. Biasanyanya ibu akan memasak ikan tersebut. Selesai sembahyang, kami akan makan bersama-sama. Mencicip sedikit seorang rezeki-Nya, betapa indahnya waktu-waktu itu. Tetapi abang yang sulung telah pun kembali mengadap Ilahi 7 tahun yang lalu.

Masih terasa baru semalam saya mengikut abang Ngah meranduk semak belukar, mencari buluh duri dan getah sagu untuk dibuat layang-layang. Saya akan mengekori belakang abang Ngah sambil melihat kalau-kalau ada terdapat sarang burung di dahan pokok.

Setelah menemui rumpun buluh, abang Ngah akan menebang dan memotong mengikut panjang yang dikehendaki, lalu di bawa pulang. Biasanya abang Ngah akan membuat layang-layang di pangkin bawah pokok mempelam berhampiran rumah. Abang Ngah akan meraut buluh untuk membuat kerangka layang-layang. Manakala getah sagu pula dijadikan gam untuk melekatkan kertas minyak nipis yang dibeli di kedai nyonya tua.

Setelah siap, kami akan bermain di hadapan rumah. Biasanya saya hanya menjadi kutip layang-layang yang mendarat di bumi. Bila waktu maghrib telah hampir, kami akan berlari berlumba-lumba ke telaga.

Masih terasa baru semalam saya mengikuti Kak De dan Kak Cik mengutip sayuran di kebun belakang rumah. Selalunya saya akan mendahului mereka berdua menjengah dari batas ke batas. Kami akan menggali keledek yang hijau subur di atas batas, serta mengutip terung, bendi dan labu air. Kakak juga akan mengutip pucuk-pucuk kayu untuk dibuat ulam.

Selepas itu kami akan singgah di telaga untuk membasuh sayuran yang dipetik dan saya akan terus mandi di situ. Seakan masih terasa dinginnya air telaga yang dijirus oleh kakak.

Masa yang tidak akan berulang


Itulah di antara saat-saat indah kehidupan dahulu. Masih terasa baru benar wajah abang dan kakak sebagai remaja yang girang. Walaupun kami hanya berkawan adik-beradik, kerana kedudukan rumah yang jauh di sebelah baruh dan dikelilingi pohon-pohon rimba, menyebabkan kami tidak ada jiran, namun kami tidak pernah rasa kesunyian. Bermacam-macam aktiviti yang boleh kami lakukan.

Alangkah pantasnya masa berlalu.

Terasa baru semalam meredah paya dan anak sungai.
Terasa baru semalam meranduk semak dan belukar.
Terasa baru semalam menimba air dari telaga.

Detik-detik itu terasa masih segar dalam ingatan. Kini Abang Ngah sudah kelihatan sangat ketara dimamah usia, begitu juga dengan Kak De dan Kak Cik sedangkan Abang Long sudah lama mendahului. Sudah tentu saya ikut sama dalam peredaran masa itu, menyusuri bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Semuanya bagaikan berbaki di hujung jari.

Patutlah Allah dan Rasul sentiasa memperingatkan agar jangan leka dan lalai. Sesungguhnya masa itu akan berlalu dan terus berlalu. Menangguhkan amal ibadah adalah sifat orang-orang yang lalai. Kelalaian yang amat merugikan, sedangkan kerugian tersebut adalah kerugian yang mutlak. Maka tidak sepatutnya kita tertipu dengan kelalaian tersebut.

“Dah hampir pukul 12, patut pun dah rasa mengantuk,” tiba-tiba Kak Cik bersuara, mengembalikan fikiran saya alam hari ini.

Saya mengesat pelupuk mata untuk menjelaskan pandangan.

Pertemuan yang seketika itu menginsafkan saya betapa telah jauh rupanya perjalanan usia saya. Sedangkan dunia ini kelihatan masih menawan dan menggoda sedangkan amal kebajikan belum mencukupi.

Saturday, 21 January 2012

Minta tolong dengan sahabat-sahabat...

Aduiii...kenapa pulak ni!

Apasal bila klik 'Kembara Mencari Hamba' keluar pula tetamu yang tak diundang ni?

Inilah tetamu yang tak diundang tu...

Beberapa orang sahabat blogger juga bertanya, "Mengapa bila nak buka 'Kembara Mencari Hamba' tiba-tiba yang keluar bizniz web (yang tak diundang tu)?

Saya pun tidak tahu macam mana ianya boleh terjadi, malahan saya sendiri menghadapi kesulitan untuk membuka blog sendiri (Kembara Mencari Hamba).

Sahabat-sahabat ada idea untuk menyelesaikannya? Saya berharap sangat-sangat...

Friday, 20 January 2012

Cetusan rasa: Sebarkan kebaikan

Lama saya bertafakur.

Merenung perjalanan hidup. Menghitung setiap apa yang telah dilalui, susah dan senang. Menilai setiap pemberian-Nya, banyak maupun kurang. Menginsafi setiap ketentuan-Nya, gembira maupun berduka. Namun, tetap terpahat keyakinan setiap apa yang berlaku terselit hikmah dan pengajaran.

Demikianlah kekuasaan-Nya. Dia Maha Berkuasa membahagiakan titik akhir kejadian yang kelihatan muram, dan secara tiba-tiba menghilangkan kemanisan pada kejadian yang sepatutnya kelihatan seperti menggembirakan.

Akal manusia, tidak sempurna mana. Tiada upaya meneka dan menafsir apa yang tersirat di sebalik setiap kejadian. Redha dan tawakkal adalah perkataan terakhir setelah penat berikhtiar.

Apa yang dipandang baik oleh manusia tidak semestinya baik pada pandangan Allah SWT. Manakala apa yang dipandang buruk oleh Allah SWT pasti buruk akibatnya pada manusia. Begitu juga apa yang terpandang buruk oleh manusia, tidak selalu buruk dalam pandangan Allah SWT. Sebaliknya apa yang dipandang baik oleh Allah SWT pasti baik untuk manusia. Itulah hakikat yang mesti dipelajari dan difahami. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui segala-galanya.

Tafakur masih lagi panjang berbaki.

Bicara hati pula berbisik perlahan: “Tulislah duhai insan, coretlah kebaikan buat ummah yang nuraninya kelaparan. Setiap kali ada yang menatap dan mengambil manfaat, maka mengalirlah pahala sebagai bekalan.”

Sebarkan kebaikan

Perjalanan kehidupan manusia tidak sama di antara satu sama lain. Setiap dari mereka pasti mempunyai kisah tersendiri yang amat bermakna bagi dirinya. Manakala hanya segelintir manusia berupaya melihat sebahagian perjalanan kehidupannya untuk menerbitkan ibrah dan mencelikkan pandangan hati.

Begitulah jua akan diri ini, jika termampu diungkapkan, setiap episod kehidupan yang dikongsi biarlah dapat menjadi pengajaran dan dapat diambil tauladan. Walaupun menyedari diri tidak setinggi mana ilmunya, jauh dari mampu mengarang kitab, namun coretlah sebaris ayat yang dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang menatapnya.

Mudah-mudahan setelah pergi jasad bergalang tanah, ada jua suatu kebaikan yang ditinggalkan. Tatkala mereka yang tinggal membaca kebaikan itu lalu menyebarkannya, maka jadilah ia amal soleh yang tersimpan disisi-Nya.

Imam Muslim, Imam Nasaie dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdullah :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ أَبِي الشَّوَارِبِ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ عُمَيْرٍ عَنْ الْمُنْذِرِ بْنِ جَرِيرٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا كَانَ لَهُ أَجْرُهَا وَمِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا
"Sesiapa yang membuat sesuatu yang baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya pahala dan juga pahala seumpama orang yang melakukannya tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun, dan sesiapa yang membuat sesuatu yang tidak baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya dosa dan juga dosa seumpama orang yang melakukannya selepasnya tanpa dikurangi dosanya sedikitpun."

Thursday, 19 January 2012

Bahagianya Merayakan Cinta

Ada dua pilihan ketika bertemu cinta. 'Jatuh cinta' dan 'bangun cinta'. Untuk dirimu, daku memilih cinta yang kedua. Supaya cinta kita menjadi istana, tinggi menggapai syurga...


Cinta. Satu perkataan, sejuta maksudnya. Cinta itu bukan cubaan. Cinta yang lara pasti membawa duka. Tetapi, cinta yang suci, pasti menempa keberkatan daripada Ilahi. Keberkatan sejati itu yang perlu diburu. Meniti bahagia, membawa ke syurga.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu:

•Bagaimana kita merayakan rasa cinta pada perkara yang kita sukai
•Bagaimana kita merayakan rasa cinta pada perkara yang kita tidak sukai
•Bagaimana kita merayakan rasa cinta yang sejati, cinta yang membawa kepada kebaikan

Terkandung juga tip-tip untuk: Mencari cinta yang berkat sehingga melangkah ke alam rumah tangga

•Meraih cinta melalui penjagaan kebersihan diri
•Bagaimana menjaga etika cinta dalam setiap detik, setiap ketika
•Memperkayakan ilmu bercinta demi menjaga hati pasangan
•Adab bercinta yang melibatkan keluarga mertua, jiran, mahupun tetamu
•Bagaimana menjaga keharmonian perhubungan dalam rumah tangga
•Mendapatkan cinta yang berkat di mana sahaja

Ternyata, tatkala keberkatan bercinta itu dinikmati, terpercik kegembiraan dalam hati, terungkai kelapangan dalam dada. Akal menjadi jernih, jasad menjadi nikmat. Berkatnya cinta itu mencorakkan musim menjadi ceria, walaupun badai sedang melanda. Berkatnya cinta itu membawa senyuman bersama, walaupun diiringi titisan air mata. Berkatnya cinta itu menyapa rindu dalam kejengkelan dan membelai lembut jiwa yang resah bergelora.

Barakallahu laka, Bahagianya Merayakan Cinta!

Tajuk : Bahagianya Merayakan Cinta
Penulis : Salim A. Fillah
Penerbit : PTS Millenia Sdn Bhd
M/S : 616
Harga : SM 27.00 / SS 30.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Wednesday, 18 January 2012

مسلسل نيو جحا -- حلقة الموضة

Siri baru JUHA dalam episod fesyen

video

Semoga ceria di pagi hari

Tuesday, 17 January 2012

Bagaikan hilang sebahagian nikmat kehidupan

“Aduh...aduh...”

Saya memejamkan mata sambil menekup telapak tangan pada pipi sebelah kanan. Air mata kesakitan bagai tidak tertahan-tahan. Sakitnya hingga ke gusi atas dan bawah, bahkan berdenyut-denyut hingga mencucuk-cucuk ke dalam telinga kanan.

Apa yang dilakukan serba tidak kena. Berdiri salah, duduk pun salah, berbaring juga sama. Akhirnya saya hanya berjalan mundar-mandir semata-mata untuk melupakan kesakitan.

Sakit gigi!

Semua petua sudah dicuba. Berkumur dengan air garam, sumbatkan cengkih di celah gigi. Memang berkesan tetapi hanya sebentar.

Saat-saat sakit begini apa sahaja cara mahu diguna. Akhirnya setelah memakan 2 biji panadol serta menampal plaster berubat, alhamdulillah kurang sedikit sakit yang menggigit. Bolehlah melelapkan mata seketika. Sambil melayan kesakitan saya menggosok-gosok pipi dengan harapan denyut-denyut kesakitan segera pergi.

Teringat ketika bergaduh dengan sepupu semasa kecil dahulu, saya pernah menggigit lengannya sehingga berbekas gigitan. Dia menangis semahunya kerana kesakitan. Terasa menyesal kerana menyalahguna nikmat yang diberi, sedangkan saya telah berjanji untuk menjaganya di alam roh dahulu.

Jam di dinding sudah pun menghampiri pukul 3 pagi.

“Ya Allah...sembuhkanlah sakit gigiku ini, sudah tidak tertahan rasanya. Ya Allah...hamba-Mu memohon dengan penuh pengharapan kerana di tangan-Mu kunci segala kesembuhan”

Di dalam gelap saya berdoa tidak henti-henti. Terdetik sedikit perasaan marah kerana doa tidak bersambut. Astaghfirullah...

Bagaikan hilang sebahagian nikmat kehidupan

Pagi hari saya bangun dengan sedikit kelegaan. Syukur kerana sakit gigi telah pun tidak terasa. Tekad mahu berjumpa doktor gigi segera hilang begitu sahaja. Doa yang dipanjatkan pada malam tadi juga lantas kian terlupa. Benarlah sifat manusia ini, tatkala merasakan dirinya cukup sempurna, hilang harapan dan munajat...

Menjelang tengahari sakit gigi datang kembali. Dalam keadaan demikian saya segera ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan. Alhamdulillah, Dia yang mendatangkan kesakitan Dia jua yang menyembuhkan. Sesungguhnya nikmat kesembuhan amat bermakna bagi diri saya setelah melalui malam yang bagaikan ‘hilang sebahagian nikmat kehidupan’. Saya merasakannya.

Mensyukuri nikmat kesihatan

Benar-benar kesihatan adalah nikmat yang tidak terperi. Ia bagai kehidupan itu sendiri. Kita tidak akan dapat menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik.

Hampir seluruh kebahagiaan dan nikmat hidup bergantung kepada kesihatan. Ada benarnya, makanan yang lazat menjadi sebaliknya ketika sakit. Suara anak-anak yang biasanya keletah menghiburkan, terasa amat mengganggu dan membosankan. Tilam yang empuk sudah tidak terasa enaknya. Semuanya lenyap apabila tiada kesihatan.

Rasulullah saw pernah mengingatkan agar tidak mensia-siakan “masa sihat sebelum datangnya waktu sakit.”

Sesungguhnya kesihatan adalah kurniaan Allah SWT. Sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesihatan seumpama mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Ada sebahagian manusia yang tidak menghargai anugerah kesihatan kepadanya. Justeru, lihatlah ada kalangan yang membinasakan diri dengan penggunaan dadah, arak dan sebagainya.

Selalunya kita akan tersedar nikmat kesihatan setelah terlantar sakit. Demikianlah seadanya, saya menginsafi hakikat itu.

Saya cuma sakit gigi, tetapi terasa hilang sebahagian nikmat kehidupan. Maka, pergunakanlah kesihatan dengan sebaiknya. Isilah dengan kemanfaatan untuk duniawi dan ukhrawi, kerana semuanya amat mudah ketika sihat.

Cukuplah kesihatan itu sebagai pengajaran buat mereka yang mahu berfikir!

Monday, 16 January 2012

Samakah pajak gadai Islam, bukan Islam?


Soalan:

Bergolok-gadai adalah amalan lumrah dalam masyarakat di kalangan mereka yang sering menghadapi masalah perbelanjaan kehidupan yang mendesak. Sekarang diperkenalkan pajak gadai Islam. Saya pernah melakukan pemajakan barang isteri (emas) di pajak gadai Islam. Tetapi saya rasa, sama sahaja dengan pajak gadai bukan Islam. Apakah pokok perbezaan ketara antara yang Islam dengan tidak Islam? Mohon penjelasan.

Jawapan:

POKOK perbezaan antara kedua-duanya, amat jelas.

Antaranya, Pertama; Pajak gadai Islam diharuskan Allah untuk diamalkan. Bermuamalah dengannya diberi pahala. Sedangkan pajak gadai konvensional, tidak syarie dan tidak diharuskan bermuamalah dengannya. Bukan sahaja tidak diberi pahala, malah mendapat dosa.

Kedua; Ar-Rahnu berbarakah. Rasulullah saw bermuamalah dengannya. Ia adalah sunnah. Mencontohi Rasulullah saw dengan beramal mengikut sunnahnya adalah amalan yang berbarakah.

Ketiga; Keperluan umat Islam kepada amalan ar-Rahnu, adalah suatu tuntutan syarak bagi memenuhi kehendak ummah. Kerana itu, orang yang turut serta menghidupkan amalan ini memberi ruang berta`awun, bagi mengatasi masalah yang timbul.

Gadaian di dalam Islam disebut ar-Rahnu. Ianya istilah al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT (mafhumnya): “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah, Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikan, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah: 283)

Dalam sunnah sendiri amat jelas. Rasulullah saw beramal dengan gadaian. Seperti yang diceritakan dalam sebuah hadis (mafhumnya): “Aishah r.ha menceritakan bahawa baginda pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi setelah mengambil 30 gantang gandum daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Ulama Islam telah berijmak bahawa gadaian adalah salah satu instrumen muamalah Islam yang diharuskan. Sistem gadaian Islam adalah sistem yang menjamin keadilan.

Pemegang pajak tidak mengenakan faedah (riba) kepada pemberi pajak. Malah mengenakan upah menyimpan barang yang dipajak, termasuk menjamin keselamatan barangan tersebut.

Sekiranya pemberi pajak tidak dapat menebus barangnya dalam masa yang dijanjikan, pemegang pajak terpaksa melupuskan barangan tersebut, kerana hendak mendapat wangnya yang sudah diberikan kepada pemberi pajak.

Jika dengan penjualan barangan tersebut wangnya itu lebihan harganya daripada yang patut diambil pemegang pajak, maka wang bakinya hendaklah diberikan kepada pemberi pajakan.

Barangan yang disimpan oleh pemegang pajakan, jika hendak dilelong, hendaklah diberitahu kepada pemberi gadaian dan dia boleh hadir untuk mendapat maklum berapakah harga lelongannya bagi tujuan perkiraan, berapa jumlah yang akan dipulangkan kepadanya.

Segala-galanya telus dan berlaku redha-meredhai tanpa sebarang penipuan seperti yang pernah berlaku kepada sistem yang lain. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Ngomelan diri

Saya pernah menulis begini:

“Sesungguhnya semalam telah pun berlalu, hari ini untuk kita corakkan bahagia atau sengsara dan esok belum tentu kepunyaan kita. Mungkin telah tersurat untuk kita tidak sempat menjengah sinar matahari esok.”

Esok adalah perjalanan yang masih panjang. Seminit dari saat ini pun kita tidak mampu meneka, semuanya tidak jelas dan nyata. Apatah lagi mahu memikirkan hari esok.

Perasaan itulah yang sering bertandang, lalu berpintal-pintal mencuit fikiran, apakah saya sempat menjengah sinar mentari esok? Sedangkan kebimbangan sentiasa menyelimuti diri, kerana merasakan masih belum mencukupi bekalan persiapannya.

Seringkali manusia melihat kematian adalah akhir kepada lakonan kehidupan, kerana itu kita melihat ada yang sewenangnya menghabisi anugerah umurnya. Mereka terlupa bahawa kematian adalah awal kehidupan yang sebenarnya, persiapan untuk menerima hukuman Allah Yang Maha Adil. Dimanakah akhirnya, syurga atau neraka? Diri sendiri yang mengetahui jawapannya..

Kehidupan di dunia ini tidak sentiasa dipenuhi warna-warni, tidak kurang perjalanan hidup yang dirundung suram, kelam dan hitam, yang kerapkali menagih perjuangan moral yang tidak pernah selesai. Kesabaran, ketulusan, keberanian, kejujuran adalah kubu pertahanan yang perlu dimiliki untuk menghadapi kepahitan dan keperitan hidup.

Kehidupan terus berjalan...sehingga akhirnya.

Menanti hari esok bukan sekadar berlalu dengan pejam dan celik, ia bukan hanya kerlipan mata, tetapi lebih daripada itu. Masa adalah usia, ia adalah nikmat yang tidak terperi.

Hargailah...

Saturday, 14 January 2012

Kebahagiaan dan ketenangan, carilah...


Sesungguhnya kebahagiaan dan kedamaian itu dambaan setiap insan. Bahkan ianya adalah fitrah dan naluri keinsanan. Cubalah bertanya kepada sesiapa pun, tentu jawapannya sama: “Kami mahukan kebahagiaan, kami mahukan ketenangan”. Walau siapa pun dia, baik seorang raja atau hamba sahaya, apakah ia orang yang tinggal di kota atau di dusun, apakah ia orang kaya atau orang miskin. Tidak ada seorangpun manusia yang menginginkan kesengsaraan atau kecelakaan. Hanya mereka yang tidak waras sahaja yang menolaknya.

Setiap orang pasti mempunyai formula kebahagiaan masing-masing. Hari ini jika kita lihat manusia berlumba-lumba mencari sesuatu yang dinamakan kebahagiaan. Bahkan tidak kurang yang terkeliru dalam memandangkan erti kebahagian. Mereka akhirnya bagaikan pencari mutiara di dasar laut; badan penat, hati hampa, tangan kosong tanpa membawa hasil sedikitpun.

Ada yang menyangka bahawa kebahagiaan itu dengan memiliki kecerdasan dan pengetahuan. Ada pula yang beranggapan dengan kesihatan dan kekuatan, harta dan kekayaan. Ada yang beranggapan dengan pengaruh dan kemasyhuran serta berbagai-bagai lagi teori dan formula kebahagiaan. Memang pandangan mata dan zahir manusia sedemikian rupa, mudah mendefinasikannya seumpama menyusun blok-blok kayu lagaknya.

Namun, bahagiakah mereka semua?

Beroleh ketenangankah mereka itu?

Belum tentu, mungkin ya dan boleh jadi tidak.

Kebanyakan manusia mungkin menyangkakan bahawa harta, kuasa, wanita dan pengaruh adalah penentu kebahagiaan dan kedamaian jiwa, namun belum tentu bersamanya bahagia. Justeru, seorang yang tinggal dalam istana yang indah dan mewah, belum tentu lebih bahagia dan tenteram jiwa dari seorang yang tinggal di pondok yang usang. Seorang wanita yang bersuamikan orang kaya belum tentu lebih bahagia dari seorang wanita yang bersuamikan lelaki biasa. Seorang yang mempunyai isteri yang cantik, belum tentu lebih bahagia dari yang mempunyai isteri sekadar sahaja rupa parasnya. Bahkan yang dihidangkan makanan lazat, belum tentu dapat menikmatinya melebihi seorang yang hanya dihidang makanan kebanyakan. Kebahagiaan bukan soal harta, tetapi soal jiwa dan emosi yang dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya.

Sedangkan dunia dan segala isinya tidak akan dapat membawa kebahagiaan ke dalam hati manusia. Jika beroleh bahagia pun, ianya bersifat sementara sahaja.

Jadi, bagaimana mahu memperolehi ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki?

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) menulis di dalam kitabnya yang terkenal Madarij al-Salikin:

“Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap kepada Allah, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan Allah, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan dengan-Nya, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepada-Nya, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemu-Nya, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingati-Nya, keikhlasan yang benar kepada-Nya”.

Nah! Inilah formula kebahagiaan sebenar.

Kebahagian yang hakiki ialah apabila ada tali hubungan dengan Allah SWT, kerana Dialah yang Maha Berkuasa mencampakkan kebahagiaan dan ketenangan ke dalam hati manusia. Bahagia apabila Allah memanjangkan umurnya serta diberikan nikmat untuk berlaku taat kepada-Nya. Itulah erti kebahagiaan.

Di situlah puncak yang dapat menghantar manusia menghirup sejuknya udara kehidupan berupa kebahagiaan yang hakiki dalam erti kebahagiaan di dunia dan akhirat

Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya itu menggariskan beberapa sumber penting yang akan menghasilkan kebahagiaan kepada manusia. Antaranya:

1. keimanan yang hakiki

2. ketenangan - as-sakinah

3. keamanan batin - jiwa yang tenang

4. pengharapan - atas pahala dan syurga dari ALLAH

5. kepuasan - dalam melaksanakan ibadah, puas menjadi hamba ALLAH

6. cita-cita - berazam untuk menjadi hamba ALLAH yang benar-benar bertaqwa

Firman ALLAH SWT:

أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَى نُورٍ مِّن رَّبِّهِ فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
“Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” (az-Zumar: 22)


Ya ALLAH, jadikanlah kami dari golongan yang beruntung itu.....

Thursday, 12 January 2012

صور قديمة لمكة المكرمة عمرها مئة و ستة و عشرين عاما

التقطت هذه الصور قبل 126 عاماً

التقطها طبيب العيون العراقي عبد الغفار البغدادي للحجيج في العام 1885م جمعها الباحث الهولندي سنوك هرجرونجي وعرضت لاول مرة في أوربا العام 1889 م








الحجيج في عرفات


الخيم المؤقته في عرفات


جبل عرفات


الحجيج يستريحون قليلا في مزدلفة


(لحجيج حول ضريح السيدة ميمونة ( ايام الجهل والإعتقاد في اصحاب القبور


المطبعة التي بناها العثمانيون في مكة المكرمة


منظر عام لمدينة مكة المكرمة


مكة المكرمة من قمم أحد الجبال المحيطة بها عام 1885 م


لحجاج في وادي ” منى

(Sumber: www.waraqat.net)

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْناً وَاتَّخِذُواْ مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَـَذَا بَلَداً آمِناً وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلاً ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
"Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat shalat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang thawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan yang sujud."
"Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: "Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: "Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."
"Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
"Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah: 125-128)

Tuesday, 10 January 2012

Peluang menuntut ilmu di KUIZM


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) telah beroperasi sejak September 2010 lalu akan menerima kemasukan baru pada Februari 2012. Sehubungan dengan itu, pihak KUIZM amat mengalu-alukan pelajar-pelajar lepasan 4 thanawi, SMU/SMA, SPM, STAM, pelajar tahfiz yang telah tamat hafalan 30 Juzu’ Al-Quran dan yang berkelayakan untuk menyambung pengajian dalam dua bidang yang ditawarkan iaitu DIPLOMA MUAMALAT & KEWANGAN ISLAM dan DIPLOMA DAKWAH & KOMUNIKASI.

Pihak KUIZM memohon jasa baik pihak Ustaz/Ustazah/Tuan/Puan untuk menghebahkan di tempat Ustaz/Ustazah/Tuan/Puan tentang penubuhan kolej ini dan memaklumkan kepada pelajar-pelajar di kawasan Ustaz/Ustazah/Tuan/Puan berkenaan dengan maklumat pengajian dan pengambilan pelajar baru KUIZM sesi Februari 2012 . Untuk maklumat lanjut, sila layari website kuizm (www.kuizm.org)

Pada kesempatan ini, saya juga amat berbesar hati untuk memohon sumbangan ikhlas DANA PENDIDIKAN KUIZM dari pihak Dato’/YB/Ustaz/Tuan/Puan bagi menampung kos penyempurnaan bangunan dan pendidikan pelajar. Sebarang sumbangan boleh dibuat atas nama:

AKADEMI PENDIDIKAN ZULKIFLI MUHAMMAD

No. akaun 14041010074783 (Bank Islam Malaysia Berhad).

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Ustaz Mohd Norhan B Hamsi (017-9503455).

Mudah-mudahan pihak Ustaz/Ustazah/Tuan/Puan dapat mempertimbangkan permohonan kami. Segala kerjasama yang bakal pihak tuan berikan diucapkan ribuan terima kasih.

Jazakumullah khairal jazak.

Sekian, wassalam.

Monday, 9 January 2012

Bagaimana kedudukan ‘takliq talaq’?


Soalan:

Saya sering hadiri upacara akad nikah di Selangor, yang di akhiri dengan ‘takliq talaq’. Baru-baru ini saya di Perlis (negeri Dato`), menghadiri perkahwinan sepupu saya dan tidak ada sebarang ‘takliq talaq’ yang dilafazkan. Mengapa berbeza dan apa komen Dato’ mengenai ‘takliq’ di Selangor ini, adakah itu tuntutan Islam yang sebenar?

Jawapan:

‘Takliq talaq’ dengan maksud, suami melafazkan kata-kata yang mengikat dirinya atau isterinya dengan suatu tingkah laku yang jika dilakukan perkara yang disebut dalam ‘takliq’ itu, jika sabit, maka tertalaklah isteri tersebut dengan talak satu atau sebagainya.

Contohnya, seperti suami menyebut selepas akad nikah, “Apabila saya meninggalkan isteri saya, atau dia (isteri) meninggalkan saya selama tiga bulan hijrah berturut-turut atau lebih, maka tertalaklah isteri saya dengan satu talak.”

‘Takliq talaq’ seperti yang disebut itu, diamalkan di seluruh negeri di Malaysia kecuali Perlis (negeri saya).

Sebenarnya, hukum bertaklik sedemikian itu, tidak disemuafakati semua ulama tentang sah tidaknya dan tentang keharusannya.

Umum mengetahui bahawa ‘takliq talaq’ itu harus dan mempunyai kesan di dalam perkahwinan, di mana talak akan jatuh, apabila yang ditaklikkan itu berlaku secara sah dan taklik yang dibuat itu, secara sukarela dan ada keperluannya.

Namun demikian, terdapat golongan yang menyatakan ‘takliq talaq’ tidak sah dan tiada kesannya di dalam perkahwinan.

Ia lagha dan terbatal. Pandangan ini dipegang oleh sebahagian sahabat seperti Ali bin Abi Talib, Syuraih al-Qadi, Taawuus, `Akrimah, Ataa`, Abu Tsuur, Ibnu Taimiyah, Ibnu Hazm dan lain-lain, termasuk as-Syeikh Mahmud Saltut (bekas Syeikh al-Azhar)

Pandangan inilah yang diterima pakai oleh penggubal undang-undang keluarga Islam di Timur Tengah, yang keseluruhannya tidak menjadikan ‘takliq talaq’ suatu amalan selepas akad nikah disempurnakan.

Tidak seperti yang diamalkan di Malaysia (kecuali Perlis), yang mengamalkan selepas akad nikah, ‘takliq talaq’ itu dilafazkan.

Alasan golongan yang mengharuskan taklik, pertamanya, mereka berpegang kepada firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah janji-janjimu.” (al-Maidah: 1)

‘Takliq talaq’ adalah merupakan janji, maka wajiblah disempurnakannya, mengikut apa yang disebut dalam taklik tersebut.

Kedua, as-Sunnah. Sabda Rasulullah saw (mafhumnya): “Orang-orang Islam hendaklah mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui di antara mereka.” (Riwayat al-Hakim)

Oleh itu kata mereka ‘takliq talaq’ itu hendaklah disempurnakan mengikut kehendaknya.

Adapun hujah yang menyatakan ‘takliq talaq’ itu tidak sah dan terbatal, juga berpandukan dengan hujah-hujah dari al-Quran dan as-Sunnah.

Allah berfirman (mafhumnya): “Wahai Nabi, apabila kamu (dan umatmu) hendak mentalakkan isteri mereka, maka talaklah mereka, pada masa mereka dapat memulakan, hitungan iddahnya.” (at-Talaq: 1)

Talak yang berlaku kerana taklik boleh berlaku pada ketika pelanggaran taklik pada bila-bila masa dalam serba keadaan, sama ada isteri dalam keadaan suci ataupun tidak. Sedangkan talak yang diperintahkan oleh Allah kepada Rasul-Nya dan kepada umat Islam, hendaklah dikira suci dan hendak dihitung iddahnya.

Oleh kerana itu maka talak yang berlaku kerana taklik tidak sah.

Pada saya, kedua-dua pandangan itu boleh dipakai, akan tetapi, mana yang lebih sesuai dengan zaman dan berhikmah, serta tidak berlawanan dengan falsafah perkahwinan.

Perkahwinan adalah sesuatu yang mulia, sunnah Rasul. Tujuan perkahwinan adalah untuk selama-lamanya dalam erti kata, seseorang yang berkahwin tidak ada niat berkahwin untuk bercerai. Kalau boleh perkataan cerai (talak) tidak ada dalam sunnah pasangan yang berkahwin.

Elokkah, sebaik sahaja akad nikah diselesaikan, tiba-tiba disuruh melafazkan talak (cerai), satu, dua dan tiga secara lafaz taklik di hadapan ramai hadirin dan sanak saudara.

Adakah elok pada hemat kita, suatu majlis yang mulia berakhir seperti suatu bencana. Suami telah melafazkan cerai ke atas isteri, cuma cerai yang tergantung. Yang penting cerai sudah dilafazkan? Perlukah cerai itu ditaklikkan dilakukan?

Dr Wahbah az-Zuhaili (penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Malaysia) menyebut dalam kitabnya Fiqhul Islami menyatakan: “Sebenarnya
‘takliq talaq’ adalah talak, walaupun tergantung-gantung dan talak itu merubah ikatan perkahwinan, hanya menunggu masanya.”

Adalah tidak manis dan tidak wajar, sebaik selesai akad nikah, talak dilafazkan. Eloklah diganti dengan yang lebih baik dan lebih sopan.

‘Takliq talaq’ dihapuskan seperti yang berlaku di Perlis (tanah tumpah darahku), diambil segala kandungan taklik itu dijadikan undang-undang nikah kahwin dan dijadikan tatacara salah laku suami atau isteri yang boleh dihukum mengikut undang-undang bertulis dan bukan secara ‘takliq talaq’.

Inilah amalan yang dilakukan di keseluruhan dunia Islam yang lain, kecuali Malaysia. Apabila undang-undang taklik dikuatkuasakan, maka ertinya, semua orang yang berkahwin di Malaysia (kecuali Perlis) telah pun melafazkan talak kepada isterinya dan talak telah terkeluar dan menunggu masa untuk jatuh.

Berbarakahkah perkahwinan yang menunggu masa talak yang tergantung-gantung. Oleh itu saya berpandangan, elok diberi perhatian dan difikirkan semula untuk mencari yang lebih baik. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Penyesalan selepas mati...


Petikan dari kitab BahrulMazi: "Menyesal itu berlaku ia dahulu dari mati dan kemudian dari mati. Tetapi menyesal dahulu dari mati itu boleh buatkan iktibar dan pengajaran apa-apa yang telah menjadikan menyesal itu, dan tidaklah diperbuat lagi barang yang menjadikan menyesal itu. Ada pun menyesal di akhirat itu ialah menyesal kemudian dari mati, tidaklah dapat dijadikan iktibar dan pengajaran bagi diri kerana negeri akhirat itu bukannya negeri beramal bahkan negeri tempat mengambil balasan baik dan jahat jua. Dan menyesal di sana itu ada bermacam-macam rupa sesalnya. Ada yang menyesalkan dirinya kurang dari amalan. Dan ada yang menyesal akan diri tidak beramal. Dan ada yang menyesalkan diri tidak masuk Islam. Dan lain-lainnya daripada sesalan itu." (juz 16/ ms:197-198)

وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ
"Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin. " (as-Sajdah:12)

Sunday, 8 January 2012

Tunjukkanlah jalan yang lurus...


Andaikan anda meminta seseorang menunjukkan jalan menuju ke suatu destinasi, lalu ditunjukkan kepada anda satu arah yang lurus tanpa ada bengkak-bengkok. Anda tidak perlu menghiraukan simpang yang banyak kedapatan di kiri dan kanan jalan. Anda hanya perlu menuju terus dan terus... Tidakkah anda merasakan jalan itu mudah?

Begitulah Allah menyebut jalan-Nya yang lurus. Ertinya Allah menghendaki kita mengikuti jalan yang bukan sahaja benar malahan mudah dan menyenangkan. Itulah antara kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Dia mahu menyenangkan bukan menyulitkan.

Jalan yang lurus adalah jalan yang satu, tiada dua tiada tiga. Jalan dirintis oleh para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan juga solehin. Manusia fitrahnya mahu kepada yang baik-baik. Melalui jalan yang lurus bererti memilih jalan yang baik seterusnya menuju keredhaan Allah SWT.

Namun, ada juga yang melihat jalan menuju Allah amat payah. Mereka melihat jalan yang lurus ini penuh kesulitan. Mereka membayangkan di kotak pemikiran betapa sukarnya jalan Allah. Mengapa begitu sukar?

Tentu sukar jika kita mengambil dan mengagungkan sistem atau cara hidup yang bertentangan dengan Islam yang fitrah. Kita melihat jalan yang lurus itu bersimpang-siur, menakutkan dan membosankan. Yang bengkok dan menyusahkan adalah kita bukan jalan-Nya!

Umat Islam mesti menerima jalan lurus yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Jalan itu adalah Islam yang sebenarnya. Bukan Islam yang ditokok tambah, bukan Islam yang hanya menjadi tempelan kosmetik dan disesuaikan dengan jiwa dan kehendak kita. Rasulullah mewarisi agama Islam ini dalam keadaan terang benderang seumpama matahari yang galak menyinari semesta.

Setiap hari kita memohon jalan yang lurus, sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam. Kita meyakini jalan yang lurus itu benar dan menyelamatkan. Memohon jalan yang lurus terkandung di dalam surah al-Fatihah yang dibaca dalam solat.

Namun, setelah memohon jalan yang lurus, kemudian ditunjukkan inilah jalan yang lurus itu. Lalu mengapa kita memilih jalan yang bengkang-bengkok dan menyusahkan?

Tidakkah pelik, jika kita memohon sesuatu dari seseorang lalu diberikannya. Selepas itu kita tidak mengambil apa yang diberikannya itu. Kemudian kita meminta lagi, dan lagi, dan lagi, berkali-kali. Malahan setiap hari ataupun sehingga habis usia kita masih meminta.

Namun, setelah diberi kita tidak mengambilnya...

Apakah yang mahu dikatakan kepada orang ini?

Mari kita berfikir sejenak...

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.” (al-Fatihah: 6-7)

Friday, 6 January 2012

Kenangan yang sama

“Aduh, letihnya...” saya menyandarkan badan pada sofa di ruang tamu. Merehatkan diri di bawah putaran kipas, setelah kepenatan menguruskan kemasukan angah dan acik ke SAR at-Taqwa.

Suasana hiruk-pikuk ibu bapa yang berpusu-pusu untuk mendaftarkan anak masing-masing amat merimaskan. Tidak sangka ramai pula yang mendaftar pada sebelah petang, sedangkan sebelah pagi pun begitu juga.

Manakala sehari sebelumnya saya ke daerah Jerantut, menghantar anak sulong yang belajar di SMAPT untuk tahun kedua. Saya meminta adik ipar memandu kereta, saya sudah tidak mampu mencelikkan mata dek kerana pulang lewat pada malamnya, kerana bersama rakan-rakan berprogram amal di Cherating. Hampir 2 pagi saya pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan Jerantut saya hanya melelapkan mata.

Seronok melihat ibu bapa yang datang menghantar anak-anak, sungguh-sungguh mengharapkan anaknya menjadi orang yang berilmu. Tidak hanya mereka, termasuk saya dan siapa sahaja mahukan begitu.


Kenangan yang sama

Sambil menunggu proses penempatan bilik untuk anak saya, perlahan-lahan memori lalu mengimbau di kotak fikiran. Berlegar-legar dan berputar-putar menggamit rasa.

Saya membayangkan situasi yang sama sewaktu dihantar oleh orang tua ke sekolah, saya dan adik beradik yang lain.(semoga Allah merahmati kedua ibu bapa saya) Sesungguhnya mereka adalah permulaan hidup di dunia.

Bermula dari sekolah rendah, mereka sabar dengan bermacam-macam karenah yang tercetus. Mengamuk, menangis serta tidak kurang tingkahlaku yang menjelekkan. Kemudian ke sekolah menengah dengan pembelanjaan yang semakin meningkat. Seterusnya menjejakkan kaki ke Maahad Islami, tanpa dikira berapa kesukaran untuk menampung perbelanjaan seterusnya. Namun tidak ada keluhan walaupun seribu kepayahan mengundang.

Kami bukan orang senang, ayah hanyalah bekerja kampung, membanting tulang memerah keringat mencari rezeki. Kerut-kerut garis di wajah serta selaput kasar di tapak tangan bukti pengorbanan yang bukan alang kepalang. Terlihat pula ketabahan menahan terik mentari dan menahan tadahan hujan yang mencengkam, semata-mata untuk menyuapi keluarga. Makan pakai serta kelengkapan pengajian, semata-mata tidak mahu anaknya tercicir dalam pelajaran. Agar anaknya duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Tanpa ada sedikit kekurangan.

“Kamu jangan risau, taulah ayah macam mana nak cari duit. Yang penting kamu belajar bersungguh-sungguh.” Kata-kata ayah yang sentiasa memberi semangat bersama harapan yang menggunung.

Ibu pula mengandungkan selama 9 bulan, menanggung kesakitan loya dan mual. Kemudian berperang dengan ‘satu peperangan’ yang berbagi nyawa, antara hidup dan mati. Dan ianya tidak terhenti setakat itu, dijaga pula dengan belaian kasih sayang. Menyusu selama 2 tahun, terjaga di tengah malam dek tangisan yang entah mengapa, menyuap makan dan minum siang dan malam, memandikan dan membersihkan najis. Menyiapkan diriku setiap pagi untuk ke sekolah. Mengapa? Semata-mata mahu anaknya menjadi seorang yang sempurna.


“Wan belajar rajin-rajin ya. Jangan nakal-nakal, dengar cakap cikgu,” Itulah yang sering emak saya pesan setiap pagi sebelum ke sekolah. Dan ianya saya ingati sehingga kini.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman: 14)

Sesungguhnya kita menyayangi ibu bapa kerana pengorbanan dan kasih sayang mereka yang tidak bersyarat. Sebagaimana Allah SWT menebarkan rahmat-Nya tanpa syarat.

Terhenti lamunan

Petang yang damai di SMAPT

"Abi, cikgu dah panggil nama,” tiba-tiba anak saya memberitahu. Lantas mengejutkan saya dari lamunan.

“Oh ya..., Kamu tinggal di bilik mana? Saya bertanya kepadanya, sambil mengesat pelupuk mata, menjelaskan pandangan yang kabur.

“Bilik Zubair al-Awwam, di blok D,” jawabnya.

“Jom kita ke sana, bawa barang-barang kamu jangan sampai ada yang tertinggal.” Kami berdua beriringan menuju ke bilik Zubair al-Awwam yang terletak di blok D.

Saya hanya dapat membayangkan kesusahan ibu dan bapa tetapi tidak dapat merasainya. “Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah selama-lamanya...” sentiasa saya sematkan di dada.

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya dengan penuh belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’: 24)

Thursday, 5 January 2012

Cetusan rasa: Kehidupan

Semalam kita masih terkapai-kapai menongkah arus kehidupan.
Hari ini kita telah pun menginjak kedewasaan, dan berkira-kira memikirkan kehidupan hari esok.
Sedangkan esok belum tentu taqdirnya, kerana Dia yang lebih mengetahui.

Fikir-fikir dalam diri...

"Agar Allah memberikan keampunan kepadamu (Muhammad) atas dosamu yang lalu dan yang akan datang, serta menyempurnakan nikmat-Nya ke atasmu dan menunjukimu ke jalan yang lurus.” (al-Fath:2)

Sunday, 1 January 2012

Cetusan rasa: Izinkan aku membuka diari hidupku (buat 2011 yang melambai)


Malam yang dulu enak tidurnya semakin terganggu. Entahlah...mungkin bicara hati semakin tidak menentu. Terasa penat dan lelah mengatur derap langkah di pentas dunia. Persis memikul beban sedangkan hanya sedikit yang menjadi bekalan...

Lalu ku bangkit dari kelam malam, kusingkap tabir yang menyerkupinya. Mahu kulihat alam dari pandangan mata hati, lebih dari itu aku mahu melihat jauh ke dalam diri...seorang pengembara yang berlangbuana di bumi Tuhan.....’

Lantas kucoretkan bait-bait bahasa, peringatan buat diri yang semakin dimamah usia...

Tazkirah masa


Di penjuru kecil ini, marilah kita selusuri kembali perjalanan hidup yang telah di lalui. Menilai semula takah-takah usia yang telah berlalu, apakah ianya digunakan untuk menambah taat kepada-Nya ataupun masih lagi mensia-siakannya. Menghitung-hitung anugerah usia dengan penuh keinsafan sebelum dijemput kembali kepada-Nya.

Kembalilah kepada laluan hidup yang nyata, bisikkanlah dengan hati yang tulus: “IZINKAN AKU MEMBUKA KEMBALI DIARI HIDUPKU”... sesungguhnya setahun telah berlalu.

Lihatlah diri dengan jujur, sisihkanlah keegoan yang masih membaluti jiwa ini. Bertambahkah ketaatanku kepada-Nya, atau hanya mendatar graf iman yang dididik setahun lalu. Atau lebih malang lagi jika ia semakin menyusut lalu akhirnya kosong kekontangan. Justeru, jangan sekadar bertanya persoalan ini tetapi rasakanlah dengan sesungguhnya di dalam diri.

Menanti tahun baru tidaklah lebih utama daripada mengurus masa yang sedang menyulit diri di ketika ini. Hari ini mestilah lebih baik dari semalam dan begitulah seterusnya hari-hari yang dilewati. Walaupun ia terlalu sukar untuk dipenuhi, namun ia sentiasa menjadi penguat dan peransang kepada diri dan kehidupan pada hari esok. Ia hikmah yang cukup menginsafkan namun menakutkan kerana sedar diri sentiasa diulit kelalaian.

Sesungguhnya masa akan terus bergerak dan ia tidak akan pulang kembali setelah ia berlalu. Apabila masa mengucapkan selamat tinggal, maka ia benar-benar memaksudkannya. Kerugian masa ialah kerugian mutlak. Kerugian yang tidak mungkin digantirugi dan tidak mungkin dituntut kembali.

Jika hari itu telah habis, maka akan dilipat dan disimpan di sisi-Nya. Kemudian akan dibuka kembali di akhirat nanti untuk menjadi saksi apakah kita menggunakannya untuk kebaikan atau keburukan. Selama mana banyaknya hari atau masa yang dikurniakan, maka sebanyak itulah ia akan muncul untuk menceritakan perilaku kita.

Semuanya akan diceritakan tanpa sembunyi sedikit pun. Bermula tangisan ketika kelahiran dan kenakalan serta kelucuan kita semasa kanak-kanak. Diceritakan juga ketika usia remaja, kemudian dewasa seterusnya ketika meniti usia senja. Akhirnya sampailah ketika hari kematian, lalu diceritakan bagaimana kita menghadapi maut.

Semuanya diceritakan secara jujur, tentang kesombongan kita, kebaikan kita. Diceritakan kepedulian kita kepada agama, kerja mungkar kita. Apa sahaja, maka berbahagialah apabila diceritakan kebaikan kita melampaui keburukan kita. Begitulah sebaliknya jika kejelekan yang memenuhi catatan masa hidup.

Ibnu Abid-Dunya meriwayatkan dengan isnadnya dari Mujahid, ia mengatakan: “Tak satupun hari kecuali mengatakan, wahai anak Adam, hari ini aku masuk ke dalam kehidupanmu dan tidak akan kembali kepada kehidupanmu setelah hari ini.”

Masa lalu yang semakin jauh


Al-Imam al-Ghazali pernah bertanya kepada anak muridnya: “Apakah yang paling jauh? Setelah anak muridnya gagal memberi jawapan yang tepat. Lalu sang Imam yang bergelar Hujjatul Islam itu menyatakan: “Yang paling jauh adalah masa lalu.”

Benar, masa lalu semakin jauh kita tinggalkan.

Masa tidak dapat diputarkan kembali, semakin hari semakin jauh kita meninggalkan masa lalu. Seumpama anda mencelupkan kaki ke dalam arus sungai yang mengalir, tatkala anda mengangkatnya dan mencelupkannya kembali, pastinya ia adalah arus sungai yang lain. Kita tidak dapat memijak arus yang sama, kerana ia telah pun mengalir jauh semakin menjauh. Itulah perbandingan masa lalu.

Masa mengalir terlalu laju, usia pula semakin dimamah perjalanan hidup. Sedar atau tidak kematian juga semakin menghampiri. Setiap derap langkah hanyalah bermakna memendekkan jarak menghampiri liang lahad. Itu juga tanpa kita sedari.

Daripada Abi Ya’la Syaddad Bin Aus ra, daripada Rasulullah saw sabdanya : “Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan daripadanya tanpa beramal soleh).” (Riwayat Imam at-Tirmidzi)

Mati bukan akhir kepada kehidupan tetapi permulaan kepada kehidupan yang abadi. Maka perbanyakkan mengingati mati agar ia akan menghidupkan hati.

Buat diri kamu (aku???)

“Bagaimana pula dengan dirimu...!”

“Apakah kamu juga mengambil peringatan ini...!”

Tiba-tiba batinku tersentak. Aku bagaikan terhenyak dengan soalan-soalan yang tiba-tiba bergema. Betapa gerunnya terhadap soalan-soalan tersebut yang mengundang pengharapan kepada-Nya. Aku memerlukan pimpinan-Nya dalam menyelusuri hidup ini. Tidak mungkin diriku menemukan jalan yang lurus andai tidak dikemudikan hati mengenal-Nya.

Ahh... jauhnya kembara hati ini.

Aku mengakhiri bait-bait coretan hati ini bersama titis-titis jernih yang bergenang tidak semena-mena.

2011 telah melambai pergi.

Banyaknya masa yang telah ku siakan dalam hidup ini...