Sahabat Sejati

Tuesday, 4 December 2012

Saat aku merindui hujan


 Hujan petang ini berdetak memukul atap anjung rumah saya. Bisingnya membingitkan telinga hingga menenggelamkan suara anak-anak saya yang sedang bermain di situ. Namun saya tidak pula terganggu dengan kebisingannya, malah bagaikan irama yang teralun, sesekali menjadi pengubat rindu pada kenangan lama.

Kebelakangan ini hujan seringkali turun di tempat saya. Jika tidak di sebelah pagi, di waktu petang ataupun malam. Kadang-kadang lebat, adakalanya renyai-renyai sahaja. Mungkin ditempat lain pun begitu juga. Musim tengkujuh!

Hujan dan ribut saling mendahului untuk menimpa bumi. Ada yang mengeluh dan ada juga yang bersyukur. Ada yang ditimpa musibah lalu kampung dan rumahnya ditenggelami air, namun mereka sabar menghadapinya. Ada sebilangan pula yang menyumpah seranah dan memaki hamun lalu menyalahkan pelbagai pihak kerana banyak tugas harian tergendala Jemuran tidak sempat kering, hendak keluar bersiar-siar bersama keluarga juga terencat. Titisan hujan yang luruh umpama tetamu yang tidak dialukan.

Pekebun getah juga pastinya bercuti panjang, demikian sang nelayan yang rezekinya di laut, pastinya mereka jua terpaksa menggantung pukat serta melabuhkan bot buat tempoh yang agak panjang. Pendek kata, banyak urusan terpaksa ditunda kerananya.

Titisan hujan yang luruh

“Hujan itu rahmat.” Ungkapan yang seringkali kita dengar, kita tidak mungkin dapat menyangkal akan kebenarannya. Ungkapan hujan itu rahmat adalah bertepatan dengan konsep penurunan rezeki. Dalam tafsir al-Jalalain menyatakan, maksud rahmat adalah rezeki dan hujan. Sebahagian ulama juga menyimpulkan bahawa rahmat termasuk hujan, rezeki, doa yang dimakbulkan, taubat diterima, hidayah dan taufiq.

Firman Allah SWT: “Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” (al-A`raf: 57) 

Hujan yang turun menghidupkan tanah yang kering-kontang, menyuburkan bumi ini. Lalu menumbuhkan biji-bijian yang menghasilkan buah-buahan. Kesemuanya memberi manfaat dan kegunaan buat seisi alam. Lihatlah dan renungkankanlah kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya. Mudah-mudahan terpercik sedikit keinsafan yang memancarkan rasa syukur dan terhutang budi, hanya kepada-Nya.

Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman: “Dialah yang telah menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit sebagai atap. Dan Dia yang menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan hujan itu tumbuhlah buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah SWT sedangkan kamu mengetahui.” (al-Baqarah: 22) 

Prof Hamka di dalam Tafsir al-Azharnya menyatakan: “Ayat ini menyuruh kita berfikir dan merenung, diikuti dengan merasainya. Bahkan ayat ini mengandungi pengertian tauhid yang dapat dilihat langsung daripada alam.”

Bukankah kemakmuran hidup kita sangat bergantung kepada pertalian langit dan bumi lantaran hujan? Adanya gunung-ganang dan pokok-pokok, menghambat air hujan itu jangan tertumpah percuma sahaja ke laut, tetapi ianya tertahan-tahan lalu menimbulkan sungai-sungai, manakala sebahagiannya lagi terpendam ke dasar bumi menjadi persediaan air.

Pertalian langit dengan bumi, dengan adanya air hujan ia melengkapi proses kehidupan kita. Ayat ini juga menyuruh kita merenung dan berfikir, bahawa semua itu ada yang menciptanya iaitu Allah SWT. Bumi yang terhampar, langit yang menjadi binaan, air hujan yang mencurah sehingga tumbuh bermacam-macam tanaman sebagai rezeki untuk manusia. Tidak mungkin ada kekuasaan lain yang dapat membuat aturan setertib dan sebaik ini. Inilah yang dinamakan Tauhid Rububiyyah.

Di penghujung ayat ini Allah SWT menegaskan pula: “Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah SWT sedangkan kamu mengetahui.”

Benar! Selepas kita menikmati bermacam-macam rezeki kurniaan Allah, maka Allah menyuruh agar tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Sembahlah Dia dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Inilah Tauhid Uluhiyyah! Demikianlah itu sebagai tanda patuh dan taat serta menunjukkan sifat hamba yang bersyukur.

Hujan masih turun 


Hujan masih berdetak, tetapi tidak selebat tadi dan bingitnya sudah semakin perlahan memukul gegendang telinga. Saya mendongak ke langit, sepasang anak mata saya mencakup awan yang masih hitam mengandung hujan, saya renung ke bawah, hanya lopak-lopak air yang beriak diterjah rintik hujan. Angin sejuk terasa lembut menyentuh kulit pipi, saya mengesat kelopak mata menjelaskan pandangan yang tidak semena-mena kabur. Entah mengapa, tiba-tiba hati saya diserkup kerinduan yang amat mendalam. Ada nostalgia yang terbungkus rapi bersama rintik-rintik hujan. Saya cuba memunggah kembali gudang-gudang kenangan.

Sekumpulan budak melintasi hadapan rumah saya membelah hujan sambil mengelek sebiji bola. Saya tersenyum, ada sesuatu yang mencungkil di benak. Lantas terimbau ingatan lebih 2 dekad yang lalu. Saya juga seperti mereka, merayakan musim hujan dengan semahunya dan emak seperti faham, jarang-jarang melarang.

Jika kelaparan selepas berkubang di dalam hujan, balik sahaja ke rumah, mengeringkan badan dan menyelongkar periuk apa rezeki yang ada. Hujan yang mengganas di luar, menaikkan selera makan. Biarpun sekadar nasi putih bersama kuah kicap atau hanya sambal ikan bilis, tetapi itulah nikmat rezeki yang dicicip tanpa bersungut.

Rintik hujan yang menimpa atap juga menjadi irama yang mengasyikkan. Tidak sedar bila mata terlelap tatkala melabuhkan kepala. Selepas hujan ada pula sahutan katak di belakang rumah. Mendamaikan, sentiasa mengundang bahagia.

“Abi nak mandi hujan,” tiba-tiba anak saya bersuara di belakang. Tidak sedar bila mereka menghampiri saya. “Dekat bawah atap tu je,” tukasnya lagi.

“Pergilah, jaga adik tu baik-baik,” jawab saya sambil menghela satu senyuman.

Hujan itu rahmat. Mudah-mudahan rahmat Ilahi membasahi dirimu duhai anak-anakku, sebagaimana hujan yang turun membasahi bumi petang ini.

Kami dambakan ya Allah...

0 comments:

Post a Comment